Ukhwah Islamiyyah

Jumaat, 12 Februari 2010

Valentine’s Day ?

سم الله الرحمن الرحيم


Budaya Hari Kekasih bercanggah syariat Islam
ANTARA produk yang dijadikan hadiah dijual peniaga menjelang sambutan Hari Kekasih.
Sambutan 14 Februari sebenarnya banyak berkaitan amalan ritual penganut Kristian
TIBANYA 14 Februari tidak lengkap tanpa peringatan supaya umat Islam tidak menyambut Hari Kekasih atau Valentine’s Day yang sudah menjadi sebahagian budaya masyarakat khususnya generasi muda sekarang.

Ada berpendapat usah dibangkitkan isu itu kerana hanya akan menjadi pencetus kepada amalan bercanggah dengan syariat Islam. Namun, ada baiknya dibincangkan perkara ini sebagai peringatan kepada mereka yang sudah memasang niat untuk meraikannya.
Malah, ia sebagai penjelasan kerana ada yang cuba menghalalkan sambutan Hari Kekasih ini supaya perancangan meraikannya tidak dipandang serong dengan pendapat, ia adalah hari untuk menterjemahkan perasaan kasih sayang bukan saja kepada kekasih, malah juga keluarga serta sahabat handai.

Hakikatnya, apa juga alasan diberikan untuk membolehkan Hari Kekasih disambut terutama oleh golongan muda Islam, Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memutuskan bahawa amalan menyambut Hari Valentine adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan Islam. Roh perayaan itu mempunyai unsur Kristian, amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam.”
Buku Elak Sambut Valentine’s Day terbitan Jakim membincangkan secara lanjut alasan mengapa umat Islam dinasihatkan supaya tidak meraikan hari yang mengambil sempena nama paderi besar Kristian Saint Valentine.

Islam sangat prihatin serta menginginkan supaya umatnya mempunyai identiti tersendiri dan berbeza dengan umat lain. Kerana itu penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak serta tradisi yang ada pada umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain.

Dalam erti kata lain, umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan amalan ibadat agamanya dengan akidah dan ibadat agama lain.
Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat dan secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (Surah al-Kafirun, ayat 1-6)

Demikian juga penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain dalam hal bersifat individu seperti dalam hal berpakaian, minuman, hiasan rumah, gaya hidup, penampilan yang dikhuatiri bercanggah dengan identiti dan syariat Islam.
Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan daripada amalan kami maka ia akan ditolak.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...