Ukhwah Islamiyyah

Isnin, 30 April 2012

Sungguh LUCU dan MEMALUKAN, Muslim yang seperti ini

بسم الله الرحمن الرحيم


Sungguh LUCU dan MEMALUKAN, Muslim yang seperti ini!? Cuba check balik adakah kita tersenarai dalam golongan yang memalukan Islam?

Ini contoh sederhana yang mungkin tanpa disedari sering kita lakukan sehari-hari [termasuk admin juga]
Kadang-kadang kita akan dengan senang hati, tanpa terasa menghabiskan dan meluangkan masa kita untuk:

5-8 jam (+/- 33% waktu kita dalam sehari) untuk tidur!!
2-4 jam (+/- 17% waktu kita dalam sehari) untuk main game-internet, menonton TV, membaca akhbar dan majalah!!
1-2 jam (+/- 8% waktu kita dalam sehari) untuk bergayut telefon, SMS dengan kawan / kekasih!!

Dan apa yang terjadi dengan Solat Wajib 5 waktu kita yang hanya +/- 50 Minit (hanya 4% waktu kita dalam sehari!!)
atau
Masa kita untuk membaca Al-Quran yang hanya +/- 15 Minit (hanya 1% waktu kita dalam sehari!!)

Tetapi mengapa kita berat sekali untuk menunaikannya!? sehingga kita tidak menjalankannya dengan ikhlas, rutin dan senang hati!?

Akhirnya kita menjadi suka melalaikan Solat dan tidak pernah sekalipun tergerak hati untuk membaca Al-Quran. Sungguh LUCU dan MEMALUKAN bukan!? Termasuk kita!?

Semasa ada ‘panggilan’ dari HP kita, kita pasti akan SEGERA melihatnya, mengangkat telefon dsb. [Apalagi kalau tahu itu dari kekasih! ]. Malah semasa kita memandu pun, kita akan SEGERA, pada masa itu juga menepikan kenderaan untuk mengangkat call atau sekadar melihat SMS dsb, dan bukan perkara luar biasa ramai yang telefon / SMS semasa memandu!


Tapi apa yang terjadi jika kita mendengar ‘panggilan’ Allah SWT, dari Azan yang berkumandang sebagai petanda waktu kita Solat!? Kadang-kadang kita menjawab: ‘Nanti ahh…!’ ‘Alahhh, masih awal lagi ni..!” ‘Alamak, sibuk betul, banyak kerja ni!” “Uahhmm..mengantuk, penat!” “Lek lu, tunggu iklan Raja Lawak ni..” dsb.

Akhirnya kita menjadi suka menunda-nunda waktu Solat kita. Sungguh LUCU dan MEMALUKAN bukan!? Termasuk aku!?

Kita Solat Wajib, jumlah 17 rakaat dalam sehari. Pastinya kita WAJIB membaca Al-Fatihah sebanyak 17 kali. Apabila dikira, dalam setahun kita membaca Al-Fatihah 6,120 kali! Jika kita selama ini sudah Solat selama (katakanlah) 5 tahun, ertinya kita telah membaca Al-Fatihah sebanyak 30,600 kali!! Tapi harus kita tanyakan kepada diri kita sendiri, apakah selama ini kita tahu ertinya!?

Tapi apa yang terjadi jika kita dengan lirik-lirik lagu seperti lagu cinta, puitis, romantis dari band kesayangan kita?
Wooowww… Sehari, dua hari sudah hafal dalam kepala! Menghayati! Sampai menangis-nangis dengan syahdunya!

Akhirnya kita menjadi ‘jauh’ dari Al-Quran, kerana kita hanya membacanya saja tanpa pernah mengetahui dan menghayati ertinya [lebih teruk lagi, yang menjadikan Al-Quran hanya sebagai hiasan rumah! ].

Sungguh LUCU dan MEMALUKAN bukan!?

‘PERINTAH’ [bisikan] Syaitan: “Wahai Manusia, tak mengapa kamu bermaksiat, melayan syahwat, puaskan hawa nafsumu brg sesaat! Kesempatan tidak akan datang kedua kali, sekarang ini adalah saat yang tepat! Percayalah! Kau akan sungguh-sungguh merasakan NIKMAT!”

PERINTAH Allah SWT: “Wahai Manusia, Jangalah kau menuruti hawa nafsu syaitan yang akan selalu menyesatkanmu dari jalanKu. Jagalah pandanganmu dan peliharalah kemaluanmu!”

PERINTAH siapakah yang kita jalankan? PERINTAH siapakah yang kita ikuti? PERINTAH siapakah yang kita amalkan dengan teguh?

Tapi apa yang terjadi??? Suka melayari web-web lucah, menonton video-video biru, chat sex dsb.

Akhirnya terjadilah Free Sex, penzinaan suami dan isteri orang, berpeluk dengan yang bukan muhrimnya, gangguan seksual, dsb.

Sungguh LUCU dan MEMALUKAN bukan!?

Kita cukup peka dengan perkembangan teknologi, hiburan, fesyen bolasepak dan sebagainya. Sebut sahaja ipad, tablet, angry birds, EPL, F1 dan sebagainya semua kita hafal.

Namun surah-surah dari ayat lazim yang kita baca ketika solat – balik-balik surah yang sama. Tidak ada usaha untuk improve dengan menghafal surah-surah yang berlambak-lambak sedia ada dalam Al-Quran.

Sungguh LUCU dan MEMALUKAN bukan!?



Betapa kita SERING MEMINTA ini-itu kepadaNya, kadang-kadang dengan sedikit ‘memaksa’ harus dikabulkan sekarang juga, bahkan sampai kecewa kepadaNya ketika doa kita tidak juga dikabulkan, tetapi kita JARANG MEMBERI kepada ALLAH!

Sesungguhnya, Allah SWT yang perlukan kita atau kita yang perlukan Allah SWT!?
“Apabila kamu bersyukur pasti Aku (Tuhan) menambah nikmatmu dan apabila kamu kufur (mengingkari/tidak bersyukur) sesungguhnya balasanKU (balasan Tuhan) amatlah pedih (menyakitkan)”
[Surah:Ibrahim;7]

Sungguh LUCU dan MEMALUKAN bukan!?

artikel: http://www.isuhangat.net/.

Sabtu, 28 April 2012

Kenali Apa Itu Mujahadah


بسم الله الرحمن الرحيم


Mujahadah ialah salah satu istilah yang sering kita jumpa dalam pengajian ilmu tasawwuf atau akhlak. Perkataan “mujahadah” berasal daripada perkataan“jihad”, yang bererti usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapai kebaikan yang diredai Allah.

Ia juga membawa pengertian penentangan (perlawanan) terhadap anasir-anasir yang hendak merosakkan negara dan lain-lain seperti hawa nafsu, diktator, kezaliman dan sebagainya.
Dalam ilmu tasawwuf, mujahadah lebih menitikberatkan kepada usaha melawan hawa nafsu secara bersungguh-sungguh untuk mencapai reda Allah. Orang yang bermujahadah dipanggil mujahid (bukan mu jahat).

Al marhum Said Hawwa dalam kitabnya تربتنا الروحية menyebut rukun mujahadah ada empat iaitu pertama memencilkan diri, kedua diam, ketiga berlapar dan keeempat berjaga malam.


1. Memencilkan diri (al uzlah)

Yang didekehendaki dengan al-uzlah di sini ialah memencilkan diri daripada segala kekufuran, kemunafikan dan pembuat kejahatan, termasuk menjauhkan diri daripada majlis yang mempersendakan ayat-ayat Allah.

“Dan aku akan menjauhkan diri darimu dan dari apa yang kamu seru selain Allah, dan aku akan berdoa kepada Tuhanku, mudah-mudahan aku tidak akan kecewa dengan berdoa kepada Tuhanku".
(Maryam:48)

Dan apabila kamu melihat orang-orang memperolok-olokkan ayat-ayat kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka membicarakan pembicaraan yang lain. dan jika syaitan menjadikan kamu lupa (akan larangan ini), maka janganlah kamu duduk bersama orang-orang yang zalim itu sesudah teringat (akan larangan itu).
(al an’am:68)

Walau bagiamanpun uzlah ini bukanlah berpanjangan sepanjang masa. Ianya merupakan ubat hati untuk melawan sifat mazmumah. Sekiranya hati sudah terubat dan tidak terikut kepada kejahatan maka hendaklah dizahirkan kebenaran di hadapan kebathilan sebagaimana hadis nabi SAW:

“Tetap akan ada dalam kalangan umatku yang menzahirkan kebenaran, mereka tidak akan terhina dengan penghinaan yang dilemparkan kepada mereka..”.

2. Berdiam (as somt)

Orang tua-tua ada berkata “Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa”. sabda nabi SAW yang bermaksud “ Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia berkata perkataan yang baik ataupun dia diam”.

As somt yang dikehendaki di sini ialah menjaga lidah daripada daerah dosa dan lagha seperti mengumpat, mencaci, mengadu domba, bertengkar, memaki hamun, bercakap perkara yang sia-sia dan sebagainya.
Sekiranya kedaan memerlukan kita untuk bercakap atau bersuara, seperti amar makruf nahi mungkar, mengajar manusia tentang Islam, maka ketika itu berdiam adalah haram. Diam adalah wasilah untuk mencapai reda Allah. Ianya bukanlah matlamat dalam kehidupan kita.

3. Berlapar (al ju’)

Hukum asal dalam soal makan minum ialah makan untuk menguatkan tubuh badan supaya dapat mengerjakan suruhan Allah. Membazir dan berlebihan adalah dilarang.

Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.
(al a’raf:31)
Orang yang sentiasa berlapar akan dikurniai kejernihan hati dan hikmah. Lapar akan melemahkan hawa nafsu untuk mengerjakan kejahatan. Di antara rukun Islam ialah berpuasa. Puasa disifatkan oleh nabi SAW sebagai pendinding diri daripada mengerjakan sesuatu yang dilarang. Sabda nabi SAW:

“Wahai para pemuda! Barangsiapa yang mampu berkahwin, maka kahwinlah. Sesungguhnya dengan berkahwin dapat menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Barangsiapa yang tidak mampu maka hendaklah ia berpuasa kerana puasa itu adalah pendinding”.

4. Berjaga malam (as sahr)

Islam mengajar umatnya supaya pandai mengurus dan membahagikan masa. Sekiranya kita tidak pandai mengurus masa tidur, maka ianya boleh menyebabkan kita mengalami kerugian yang besar. Kita berkemungkinan tidak dapat solat subuh berjamaah, beristighfar pada waktu fajar, solat tahajjud dan solat isya’ berjamaah.

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa itu berada dalam taman-taman (syurga) dan mata air-mata air, Sambil menerima segala pemberian Rabb mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Di dunia mereka sedikit sekali tidur diwaktu malam. Dan selalu memohonkan keampunan pada waktu pagi sebelum fajar. “
(az zariyat:15 – 18).

“Hai orang yang berselimut (Muhammad), Bangunlah (untuk sembahyang) di malam hari, kecuali sedikit (daripadanya), (yaitu) seperduanya atau kurangilah dari seperdua itu sedikit. Atau lebih dari seperdua itu. dan Bacalah Al Quran itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya kami akan menurunkan kapadamu perkataan yang berat. Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan di waktu itu lebih berkesan. Sesungguhnya kamu pada siang hari mempunyai urusan yang panjang (banyak). Sebutlah nama Tuhanmu, dan beribadatlah kepada-Nya dengan penuh ketekunan.”
(al muzzammil:1 – 8)

Amat malang pada zaman sekarang ini manusia berjaga malam bukan untuk beribadat tapi untuk buat maksiat. Keindahan malam yang mahal harganya ditukar dengan noda dan dosa. Lebih malag lagi sekiranya solat subuh tidak terlaksana apatah lagi solat tahujjud. Orang lain solat tahujjud kita bangun terkejut!

Bersih Duduk Bantah dan Bersih Jiwa

بسم الله الرحمن الرحيم



BERSIH jiwa melalui taubat, bersih amal melalui ikhlas, bersih akhlak melalui ilmu. Syurga hanya menerima orang yang bersih jiwanya, amalnya dan akhlaknya dari kejahilan Ilmu agama mampu bersihkan manusia dari segala kejahatan dan keburukan.. Masjid tempat membersih jiwa manusia, tempat ibadat mampu membersihkan akhlak buruk manusia... Maka bersih adalah tuntutan syariat, termasuk bersih dalam aspek demokrasi pilihanraya, bersih dalam soal moral kepimpinan dan bersih dalam aspek akhlak dan peradaban..

Isnin, 23 April 2012

Pandanglah Manusia Lain Dengan Penuh Pengharapan

بسم الله الرحمن الرحيم

Semenjak kita mengenal apa itu kebaikan dan apa itu keburukan, adakah kita lebih kerap membuat penilaian pada perbuatan orang lain daripada perbuatan diri kita sendiri? Lazimnya, apabila kita melihat orang lain membuat kemungkaran kita terus menghukumkan orang itu sebagai orang jahat, ahli maksiat dan orang yang terlaknat.

Kita lupa memandang pada diri sendiri, seolah-olah kita merasakan bahawa diri kitalah yang lebih baik daripada orang yang kita pandang. Sedangkan hakikatnya, kalau kita mengatakan orang lain itu lebih jahat dari diri kita, sebenarnya kitalah lebih jahat lagi. Kalau pun perbuatan kita tidak sejahat yang mereka lakukan, tapi yang jahat itu adalah hati kita. Kejahatan hati adalah lebih dahsyat daripada kejahatan perbuatan.

Memandang orang lain jahat, ahli maksiat, dan golongan terlaknat, hanya akan menutup hati kita daripada membungakan harapan agar orang tersebut berubah menjadi baik. Seolah-olah yang bagi kita tidak tahu apa-apa ini merasakan bahawa Tuhan itu sudah pun mengunci mati hati mereka daripada menerima hidayahNya. Apakah kita yang menjaga Lauh Mahfudzh sehingga kita sudah tahu kehendakNya? Mengapa kita harus mendahului Tuhan dalam menghukum manusia?

Siapakah kita untuk menjadi penghukum? Apakah kita ini sebaik Nabi Musa a.s, Nabi pilihan dan mereka itu sejahat Firaun musuh Tuhan? Sebaik-baik Nabi Musa dan sejahat-jahat Firaun pun, Allah masih mahukan rasulNya itu terus berdakwah kepada Firaun dengan cara yang lemah lembut. Allah masih mahukan sunnah alam terus berlaku, walaupun Dia Maha Tahu bahawa Firaun akhirnya tetap mati dalam kekufuran..

Akan selesailah tugas kita sebagai hamba Allah, hanya apabila kita menghukum seseorang itu sebagai orang yang keras hati dan tak boleh lagi dinasihatkan. Kalau benar kita ingin membuat teguran kepada mereka yang kita hukumkan sebagai ahli maksiat, teruskanlah usaha dakwah sebagaimana yang dibuat oleh Rasulullah S.A.W terhadap bapa saudaranya Abu Talib. Biar pun Abu Talib mati dalam kekufuran, namun Baginda tetap memujuk sehingga nafas terakhir dihembuskan oleh bapa saudaranya yang paling disayangi itu.

Kalau selama ini kita tegur dengan kekerasan, apalah salahnya kita cuba dengan cara yang lembut. Siapa tahu, dengan cara itu maka Allah berkenan memberinya petunjuk. Pernahkah kita berdoa sesuatu yang baik untuk mereka yang kita namakan sebagai ahli maksiat? Atau selama ini dek kerana saratnya hati kita dengan perasaan benci, kita sanggup menadah tangan memohon kehancuran untuk mereka? Siapa yang lebih jahat kalau bukan orang yang selalu mengharapkan kehancuran untuk orang lain?

Berkata Imam Hassan Al Banna “Jadilah umpama pohon kayu, orang membaling kita dengan batu tapi kita membalasnya dengan buah”. Terlalu banyak teladan yang Rasul SAW tunjukkan dalam menghadapi kekerasan. Sejauh mana kita mencontohi baginda? Allah sendiri mengingatkan Rasulullah SAW supaya jangan bersikap keras kerana ia hanya akan menyebabkan manusia manusia lari daripada kita.

Siapa untung, bila mereka ini menjauhi kita sebelum sempat kebenaran Islam itu kita sampaikan. Bagaimana manusia ingin sudi mendengar kebenaran kalau ia kita sampaikan semuanya dalam bentuk kekerasan. Makanan yang lazat pun kalau kita campak atau balingkan ke hadapan orang, akan terbantut selera mereka untuk menjamahnya. 

Cuba renungkan kembali kehidupan kita ini. sememangnya tiada seorang pun mahukan hujung hayat mereka diakhiri dengan cara yang terburuk. Tapi tanyakanlah pada hati kita ini, siapa boleh jamin bahawa kita yang kononnya merasa diri sentiasa beramal ibadat ini, akan mati dalam keadaan yang baik? Siapa pula yang boleh jamin bahawa orang yang kita katakan jahat kerana selama hidupnya membuat maksiat itu, hujung hayatnya adalah buruk?


Siapa tahu, orang yang kita lihat kaki maksiat dan sentiasa buat dosa selama hidupnya, tiba-tiba mati sebagai kekasih Allah? Siapa tahu, kita yang hidup dengan segala macam perbuatan yang baik, tiba-tiba kita mati dalam kekufuran. Wal’iyazubillah! Tidak cukup kah kisah-kisah teladan yang kita dengar selama ini untuk menjadi peringatan buat diri kita sendiri.

Usahlah diri kita sibuk melihat keburukan orang lain. Pandanglah kepada keburukan diri sendiri. Hukumlah diri sendiri, jangan suka menghukum orang lain. Hidupkan cahaya iman dalam diri agar kegelapan hati dapat kita sinari. Letakkanlah cermin wara’ di hadapan kita supaya dapat kita melihat kesilapan diri kita sendiri. Labuhkanlah tirai Taqwa di sekeliling kita agar kita terlindung daripada memandang keburukan orang lain. Kemudian muhasabahlah diri sendiri. Risaukanlah tentang diri, kerana kita tidak tahu apakah hujung hayat kita nanti akan kekal sebagai husnul khotimah. 

Wallahu ‘aklam.

Sabtu, 21 April 2012

Kita Merantau dan DiPantau

بسم الله الرحمن الرحيم

Jauh sekali kita berjalan, mencari harapan cahaya yang sering dinanti-nanti. Dan apabila ia semakin lambat untuk dikecapi, kita merasa nasib kita tidak adil. Merungut keseorangan sambil menekan-nekan keyboard untuk diluahkan ke dalam alam dunia facebook tanpa kita menghiraukan sedikit pun tentang asal usul kejadian seorang hamba yang bertakwa.

Jiwa Hamba hari ini ingin membawa satu kisah yang sering terjadi acap kali dalam kehidupan seorang hamba Allah.

Setiap hari, hamba Allah ini yang sangat taat pada perintah Tuhannya selalu berdoa pagi dan petang, meminta sesuatu yang sangat diharapkan dalam kehidupannya ketika merantau. Beliau berdoa agar Allah memakbulkan segala permintaanya..

Hari demi hari, masa terus berlalu meninggalkan kisah hari-hari yang berlaku bertahun lamanya..Lantas, hamba Allah ini terasa sangat bersedih..Namun, beliau tidak berputus asa untuk sentiasa berdoa kerana dia yakin bahawa Allah akan senantiasa memperkenankan doa hamba-hambaNya..

Pada satu saat ketika beliau sedang duduk berzikir di dalam masjid, datang seorang sahabat karibnya yang datang untuk solat dan berdoa agar Allah memperkenankan permintaan terbarunya.. Selang beberapa hari kemudian, sahabat karibnya itu mendapat apa yang dihajatkan. Hamba Allah yang taat ini merasa sangat hairan, mengapa sahabatnya yang selalu ponteng solat dan jarang mengikuti apa yang diajar dalam Islam tiba-tiba mendapat apa yang dihajati.

Keajaiban dan kehairanan ini membuatkan hati hamba Allah ini tertarik untuk berjumpa dengan seorang hamba Allah yang alim lalu beliau menceritakan segala isi hatinya kepada orang alim ini.

Dengan bentukan senyuman yang mengukir di wajah orang alim ini, dia bertanya kepada hamba yang taat ini tentang satu persoalan yang sangat ringkas.

"Wahai saudaraku, apakah yang kamu akan lakukan sekiranya datang kepadamu seorang pemuzik jalanan yang suaranya tidak seberapa merdu dan bernyanyi dihadapan rumahmu?"

Lalu, hamba yang taat ini menjawab, " sudah tentu saya akan menyuruh dia berhenti bernyanyi dan memberikan RM 1 serta minta segera beredar ke tempat lain."

"Bagaimana pula sekiranya seorang pemuzik jalanan datang kerumah mu yang mempunyai suara yang merdu untuk meminta derma?" balas orang alim pula.

" Sudah tentu juga saya akan suruh dia menyanyi lebih banyak lagu lagi untuk menghiburkan hati saya, malah saya sanggup memberinya RM50 sebagai balasan," jawap hamba yang taat itu.

Kemudian, orang alim ini menepuk-nepuk dibahunya sambil berkata, " begitu juga dengan kehidupan kita yang merantau dan dipantau. Jika hambaNya berdoa dengan sambil lewa dan ditambah pula tidak taat kepadaNya, sudah tentu Dia tidak mahu mendengar rintihan hambaNya terlalu lama dan terus Dia makbulkan. Tetapi apabila datang seorang hambaNya yang taat meminta doa dengan sepenuh harapan dan diiringi dengan ibadah yang ikhlas kerana cintanya hanya kepada Allah, sudah tentu Dia mahu mendengar suara hambaNya selalu dan lebih lama lagi sebelum Dia memberikan sesuatu yang lebih baik dari apa yang hambaNya hajati."

Hamba yang taat ini tersentak dengan jawapan yang diberikan oleh orang alim itu tadi lantas beliau cepat-cepat beristighfar memohon ampun dan maaf kerana telah berprasangka kepada Tuhannya..


Allah sangat dekat kepada hamba-hambaNya yang taat kepadaNya. 

AL-AYYUBI dalam bayanganku

بسم الله الرحمن الرحيم

oleh:  Muawwidz Al-ansori

Dalam kesejukan malam itu..

Aku mendengar..
Cerita tentang hebatnya seorang muslim bernama
Salahuddin Al-Ayubbi
rugilah bagi anak-anak pelapis agama dan bangsa sekarang yang kerap kali mendengar cerita Hero fiksyen, tahyul dan rekaan barat seperti Batman, Spiderman, serta ultraman lebih kerap daripada mendengar cerita tentang pahlawan Islam..

Kita ? Kita bagaimana? Secara jujur, kita sendiri lebih kenal siapa spiderman daripada kisah tokoh-tokoh Islam bukan?

Cuba kita tanya pada umat Islam sekarang tak kisah mat rockers ke anak muda ke orang veteran ke..

Siapa dia Salahuddin Al-Ayubbi?
Siapa dia Syeikh Yusuf Qaradawi ?
Siapa dia As-Syahid Hassan Al-Bana?
Siapa dia Muhammad Al-Fateh?
Siapa dia Syeikh Ahmed Deedat?

hurm..

Aku dengan teliti mendengar cerita sang penceramah tentang Sallahuddin bagaikan anak kecil mendengar cerita sang pelipur lara. Bezanya Sang pelipur lara hanya bercerita kisah dongeng.. Ini kisah benar-benar berlaku..

Bila??

Suatu Masa Dulu.....

""""Bagaimana aku ingin ketawa sedangkan masjid Al-Aqsa masih dibawah jajahan musuh?"""


kata Sallahuddin al-Ayubbi ketika ditanya mengapa beliau sentiasa serius dan tidak pernah ketawa..

Salahuddin adalah dari keturunan Kurdis. Bukan berbangsa Arab.. bukan berbangsa palestin..tapi.. mengapa salahuddin menghabiskan sepanjang umurnya bertarung mendapatkan Palestin dan Al-Aqsa?


Betapa hebatnya salahuddin apabila berjaya menyatukan umat islam yang berpecah belah .. segala persoalan fahaman, mazhab, bangsa,dan keturunan semuanya ditinggalkan untuk bersatu dibawah panji islam yang diketuai Salahuddin. Malah.. Salahuddin berjaya menyatukan fahaman yang sering bertelagah syiah dan ahli sunnah waljamaah untuk berjuang atas nama Islam..

Hebatnya Kau Salahuddin....

Suatu ketika dulu beliau pernah meminta air minum, tetapi entah apa sebabnya air itu tidak diberikan kepadanya. beliau meminta sehingga lima kali lalu berkata, "Aku hampir mati kehausan". beliau
kemudian meminum air yang dibawakan kepadanya tanpa menunjukkan kemarahan..

Penyabarnya kau Salahuddin..

Dalam kesungguhan, semangat dan ketahanan rasanya tiada siapa yang boleh menandingi Salahuddin.

Kadang-kadang beliau sendiri pergi ke kawasan perkhemahan tentera musuh bersama perisik-perisiknya sekali bahkan dua kali sehari. Ketika berperang beliau sendiri akan pergi merempun celah-celah tentera musuh yang sedang mara. beliau sentiasa mengadakan pemeriksaan ke atas setiap tenteranya dan memberikan arahan kepada panglima-panglima tenteranya.


Suatu Malam.. Richard the lion Raja England , musuh salahuddin sedang sakit didalam khemah tentera kristian..
Tiba-tiba ada satu kelibat manusia datang kepada Richard the Lion untuk merawat penyakitnya.. siapa sangka manusia itu musuh Richard sendiri.. Solahuddin Al-Ayubi.. Beliau sanggup menyamar dan membuang perasaan benci untuk merawat musuhnya sendiri. Subhanallah..

Pernah diceritakan, Salahuddin Al-ayubi pernah berhadapan Richard the lion untuk menunjukkan kehebatan dan kemahiran masing-masing. Richard the lion yang berbadan sasa mengambil pedang dari sarungnya dan dengan penuh tenaga menghunus kearah sebiji batu besar.. batu itu terbelah..
Apabila tiba giliran Salahuddin.. Salahuddin lantas mencampakkan sehelai kain sutera kelangit dan menghulurkan pedangnya,. Kain sutera dengan perlahan jatuh dan hinggap dimata pedang.. Kain itu terpotong dua kerana tajamnya mata pedang Salahuddin.

Dalam medan peperangan beliau bagaikan seorang ibu yang garang kehilangan anak tunggal
akibat dibunuh oleh tangan jahat.

Beliau akan bergerak dari satu hujung medan peperangan ke hujung yang lain untuk
mengingatkan tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan Allah semata-mata.
Beliau juga akan pergi ke seluruh pelosok tanah air dengan mata yang berlinang
mengajak manusia supaya bangkit membela Islam.

Ketika mengepung Acre beliau hanya minum, itupun selepas dipaksa oleh doktor peribadinya
tanpa makan. Doktor itu berkata bahawa Salahuddin hanya makan beberapa suap makanan
semenjak hari Jumaat hingga isnin kerena beliau tidak mahu perhatiannya kepada
peperangan terganggu ..


Asakan Tentera Islam teramat dahsyat
Memaksa Tentera Kristian menyerah kalah.
tiada lagi pertempuran berlaku


Ketua tenteta kristian menunggang kuda menuju kearah Salahudin Al-Ayubbi didepan Baitul Maqdis..

"Adakah kamu orang islam akan memperlakukan kami seperti mana kami memperlakukan keatas orang-orang kamu terdahulu?" Kata Ketua Tentera Kristian

Semasa Kristian berjaya menawan Baitul Maqdis dahulu, jalan-jalan di jerusalem 'tersumbat' dengan mayat-mayat, orang-orang Islam yang tidak bersenjata disiksa, dibakar dan dipanah dari jarak dekat di atas bumbung dan menara  rumah-rumah ibadah. Darah merah mewarnai bumi palestin akibat pembunuhan orang Islam beramai-ramai.


" Kami orang Islam tidak seperti kamu" Jawab Salahuddin Al-Ayubi.

Jawapan ini telah menyebabkan ramai orang kristian memeluk Islam akibat keindahan akhlak yang ditunjukkan Salahuddin Al-ayubbi..

Salahuddin tidak membalas tindakan mereka membunuh orang Islam yang tidak bersalah semasa orang kristian menawan baitul maqdis. Bersesuaian dengan tuntutan Islam, Orang awam tidak boleh dibunuh dalam peperangan..

Hari itu, Langit begitu Cerah
Laungan "Allahhu Akbar" dan "Tiada tuhan melainkan
Allah" telah memenuhi langit..
Para tentera tersenyum girang..

Pada Jumaat,
27 Rajab 583H
bersamaan dengan tarikh peristiwa iskraj mikraj Rasulullah SAW.
Baitul Maqdis Ditawan Tentera Mukmin.
Ramai orang yang terdiri dari ulama,
Pembesar-pembesar, peniaga dan orang-orang biasa
datang merayakan gembira kemenangan ini
Selepas menunggu hampir 90 tahun
kini sembahyang Jumaat telah diadakan
semula di Baitul Muqaddis. ALLAHUAKBAR!
Salib yang terpampang di 'Dome of Rock' telah diturunkan.
Betapa Hebatnya hari itu hanya Allah yang tahu..
Kemenangan Seluruh Umat Islam
Kemenangan Atas Kemenangan

27 Safar, 589H
malam itu telah nampak tanda-tanda
berakhirnya hayat Salahuddin

Syeikh Abu Ja'afar , seorang yang wara' telah diberi kepercayaan untuk duduk disebelah Salahuddin ketika beliau Nazak.

Salahuddin Antara pengsan dan sedar.

Lantas, Syeikh Abu Jaafar membacakan

"Dialah Allah, tiada tuhan melainkan Dia, Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata"
(Al-Hasyr: 22)



Sejurus Syeikh Abu Jaafar membacakan ayat tersebut,
Salahuddin terus membuka matanya sambil tersenyum
dengan muka yang berseri dan perasaan yang gembira dia berkata

"Memang Benar"



Selepas mengucapkan kata-kata itu, Rohnya pun kembali kerahmatullah.

Salahuddin tidak meninggalkan harta kecuali satu dinar dan 47 dirham ketika beliau wafat. Tiada rumah-rumah, barang-barang, tanah, kebun dan harta-harta lain yang ditinggalkannya. Bahkan harta yang ditinggalkannya tidak cukup untuk kos pengkebumiannya. Keluarganya terpaksa meminjam wang untuk menanggung kos pengkebumian. Malah kain kafan pun diberikan oleh seorang menterinya.

Empat puluh tahun kemudian,
Lord Olenby yang mengetuai pasukan Salibiah berjaya memasuki semula kota Baitulmaqdis, dia pergi ke kubur Salahuddin dan menginjakkan kakinya ke atas kubur Salahuddin sambil berkata:

"Sekarang aku datang semula ke sini."



Alangkah penakutnya Si Olenby.. Celakalah si penakut ini kerana hanya berani berdepan dengan Salahuddin yang telah mati..

Tidak cukup dengan itu,

1917
Selepas Perdana Menteri Britain mengumumkan tamatnya perang salib ,
General Perancis,Goro telah datang kekubur Salahuddin Al- Ayubi dan menyepak kubur pembela Islam ini sambil berkata

" Bangunlah Salahuddin, Kami dah sampai disini!"



Alangkah bencinya mereka terhadap Hero umat islam ini.. Maha Suci Allah , telah mengurniakan seorang manusia yang hebat dalam membantu menegakkan umat Islam


Dalam tidak sedar,
aku rasa ada air mengalir dipipi..

Layakkah kita dibandingkan dengan Salahuddin Al-Ayubi?

Reflexi dan cermin-cerminkan diri..
mana tahap kita?

astaghfirullah..
lemah nya umat sekarang..
lemahnya aku...

Malam itu, aku terdengar bunyi bising motor berlumba..
aku menjenguk diluar jendela..
Anak-anak muda bertaruh nyawa untuk mendapatkan hadiah- seorang perempuan untuk ditiduri,..

Aku menggelengkan kepala...

mungkin ini generasi Salahuddin Al-Ayubi??
hurm..
generasi AL-AYYUBI dalam bayanganku~

Khamis, 19 April 2012

Pendorong Ke Arah Usaha Membaiki Diri


بسم الله الرحمن الرحيم

Usaha-usaha membaiki diri ini memang susah kerana tiga faktor iaitu:
1. Memerlukan mujahadatun nafsi yang serius.
2. Latihan mengawal nafsu ini satu kerja yang sangat menjemukan dan meletihkan. Risikonya, payah hendak istiqamah.
3. Banyak halangan dan rintangan yang menyekat iaitu dunia dan tarikannya serta keluarga dan sahabat-handai yang melalaikan kita.

Kalau begitu halnya, apa yang patut kita buat untuk mengatasi keadaan ini? Apa pula pendorong untuk kita terus berjuang membaiki diri? Jawapannya ialah ilmu rohaniah inilah pendorongnya. Yang patut kita buat ialah:
1. Suluh kelemahan diri kita.
2. Bangkitkan kesedaran jiwa.
Kedua-dua ini hendaklah dibuat melalui tafakur. Antara perkara-perkara yang boleh kita tafakurkan ialah:
A. Lemahnya diri kita
Mari kita sama-sama tafakur, merenung sekejap ke dalam diri kita. Rasakan di hati kita bahawa kita ini hamba Allah yang maha dhaif, lemah dan hina.
Buktinya:
1. Bolehkah kita elak diri kita dari sakit? Kalau terkena atau tercucuk duri yang halus dapatkah kita menahan bisanya? Itupun sudah terlalu sakit, sudah tidak tertahan lagi rasanya. Itulah tanda lemahnya kita. Bolehkah kita melihat kalau jarum tercucuk di mata kita? Bolehkah kita bernafas kalau air tersumbat di hidung kita? Tentu tidak boleh. Itulah tanda lemahnya kita ini. Apatah lagi kalau Allah tarik satu sahaja urat saraf kita, meranalah kita seumur hidup.
2. Bolehkah kita elak dari orang caci maki dan kata kita?
3. Bolehkah kita menolak dari bencana alam yang melanda mengejut pada kita? Tentu tidak boleh walaupun berkumpul seluruh tenaga makhluk yang berada di langit dan di bumi. Bencana alam tetap terjadi juga. Kita tidak mampu menahannya. Banjir yang melanda, datangnya tidak mampu diempang. Angin taufan, ribut yang mengangkat dan menghumban, tidak mampu kita membendungnya. Gempa bumi yang dahsyat yang membunuh segala hidupan, tidak kuasa manusia menahannya. Lemahnya manusia ini.
4. Dapatkah kita menahan kematian orang yang kita cintai? Akhirnya kita juga akan mati. Dapatkah kita menolaknya? Tentu tidak mampu. Betapa lemah dan hinanya kita. Sudah mati jadi bangkai. Tidak seorang pun yang mahukan jasad  kita itu. Isteri tidak mahu. Suami tidak mahu. Anak-anak pun tidak mahu. Ibu ayah tidak mahu. Kekasih pun tidak mahu. Sebab itulah orang hantar cepat-cepat ke kubur kerana kalau dibiarkan, busuk! Bila dinilai bukti-bukti tadi menggambarkan betapa hinanya kita. Cuba kita rasakan kehinaan dan kelemahan itu setiap ketika dan kita bawa perasaan itu di mana-mana.
B. Nikmat yang kita dapat
Hitung-hitungkan pula nikmat-nikmat yang ada pada kita. Mata, hidung, mulut, telinga, kaki, tangan, akal dan lain-lain lagi yang sangat penting untuk kehidupan kita itu.
Fikirkanlah tentang akal yang dikurniakan pada kita. Alangkah berharganya. Dengan akal itulah kita jadi cerdik, pandai dan bijaksana. Dengan akal itu juga kita membelah bumi, menerobos angkasa, menguasai lautan dan daratan. Kita bebas buat apa saja semahu-mahunya. Hatta jadi kaya-raya dan berkuasa. Menungkanlah, apakah layak akal yang begitu mahal kita gunakan hanya semata-mata untuk meruntuhkan tamadun manusia dengan berperang dan membunuh? Rasakan di hati takut pada Tuhan kerana sebelumnya kita tidak gunakan akal itu untuk memikirkan kebesaran-Nya dan nikmat-nikmat pemberian-Nya yang ada pada kita.
C. Nikmat di luar diri kita
Fikirkan dan hitungkan pula nikmat-nikmat Allah yang berada di luar diri kita. Hitung berapa banyak harta, duit, rumah, kereta, perabot, pinggan mangkuk, periuk belanga, kain baju, kasut, barang kemas, makanan yang kita simpan, berapa jenis lauk yang dimakan untuk satu hari, berapa banyak kenderaan kita, kebun, anak-anak, isteri-isteri, kawan-kawan, pengikut-pengikut, pembantu-pembantu, udara yang dihirup, bumi yang dipijak, cahaya matahari yang kita dapat manfaat darinya. Rasakan di hati bahawa alangkah banyaknya kurniaan Allah pada kita selama ini.
Kemudian pandang ke langit. Lihatlah besarnya ciptaan Tu-han itu. Tergantung tanpa tiang. Walhal rumah kita yang kecil pun ada tiangnya. Bumi yang terhampar tempat kita berpijak, sangat berguna pada kita. Saksikanlah matahari yang turun naik, yang cahayanya sangat memberi manfaat, yang menjadikan silih bergantinya siang dan malam, memberi peluang untuk kita bekerja dan rehat. Menjadikan waktu yang bermusim juga sangat berfaedah pada manusia. Air yang disedut naik, hujan yang turun, ini memberi bekalan air untuk seluruh hidupan. Memeriahkan alam dengan cahaya. Tenaga solar serta tenaga elektriknya. Rasakan ke dalam hati kita betapa pentingnya ini semua. Rasakan betapa perlunya nikmat-nikmat ini dalam kehidupan kita.
Fikirkanlah! Bolehkah manusia mencipta tanah, api dan air itu? Dapatkah kita tumbuhkan pokok? Yang kayunya kita gunakan untuk membuat rumah itu? Dapatkah kita buat segala keperluan-keperluan asas yang jadi peralatan hidup kita itu? Bolehkah hidup tanpa kita gunakan barang-barang ciptaan Allah itu? Tentu tidak. Oleh itu datangkan rasa insaf pada diri kita bahawa kita tidak mampu mengadakan itu semua.
Bila kita sedar begitu barulah kita terasa perlunya Allah itu pada kita. Barulah kita terasa patut kita menyembah-Nya. Barulah terasa patut kita taat perintah-Nya. Kalau begitu bukankah patut kita patuh kepada-Nya. Bukankah patut kita jadikan Allah itu Tuhan kita. Tidaklah kita hendak bertuhankan diri kita lagi. Inilah pendorong untuk kita beribadah.
Bila kita bawa berfikir tadi barulah kita terasa Tuhan itu terlalu berjasa dan pemberi. Barulah terasa patutnya kita bersyukur pada Allah kerana segala-galanya adalah ciptaan-Nya dan pemberian-Nya. Bukan kita buat sendiri. Inilah pendorong.
D. Kehidupan selepas mati
Lihatlah kepada kehebatan dunia ini. Semua yang kita miliki itu nanti akan terlucut dari kita kerana dunia ini negara yang fana. Allah jadikan kita bukan untuk tinggal terus di sini buat selama-lamanya. Tetapi akan mati dan pulang ke negara asal, negara Akhirat yang kekal lagi abadi. Yakni Syurganya kekal, Nerakanya juga kekal. Nikmatnya kekal, azab siksanya pun kekal.
Cuba kita rasakan nikmat Syurga yang kekal itu. Tiada bandingan dan tandingannya. MasyaAllah terlalu hebat! Patah lidah untuk mengungkapnya. Tiada bahasa yang dapat menggambarkannya. Tiada mampu mata pena untuk menulisnya. Mahligainya saja sudah seluas langit dan bumi, dibuat daripada emas, permata, dinding yang berkilau-kilau cahayanya, atapnya intan berlian yang tidak terkata indahnya dan nikmat berada di dalamnya. Seorang yang bertaqwa saja memiliki berpuluh-puluh buah bandar. Kalau rumahnya saja seluas langit dan bumi, agaknya berapa pula luas sebuah bandar? Apatah lagi kalau berpuluh-puluh buah bandar. Tentulah tidak dapat hendak dibayangkan betapa luasnya bandar-bandar kepunyaan seseorang itu. Tidak dapat pena menulisnya. Tidak ada kiraan di dunia ini. Peralatan mewah dalam mahligai itu pula tidak pernah rosakrosak. Bahkan makin dipandang, makin cantik. Semakin terasa nikmat. Sekali pandang lain cantiknya. Dua kali pandang, lain pula cantiknya. Tidak pernah jemu-jemu menikmatinya.
Kenderaan di Akhirat pula ialah apa saja yang kita inginkan. Teringat saja, sekelip mata datang. Teringat hendak naik kapal terbang, niat saja terus berada dalam kapal terbang yang diidamidamkan. Terbanglah selaju mana yang kita mahu dan ke mana saja yang kita ingin tuju, tidak pernah rasa bimbang dan cemas. Kalau naik kapal terbang dunia, hati selalu diragut takut tetapi di Akhirat, kalau ingin jatuh, ia jatuh tapi tidak sakit. Sebaliknya tetap lazat.
Rasakan pula nikmat di Akhirat itu tidak pernah lapar-lapar. Atau tidak pernah haus-haus. Sentiasa kenyang. Makanan yang kita makan tidak pernah menjemukan. Sebab rasanya berlainan. Suapan pertama dengan yang kedua, berlainan rasanya. Begitulah seterusnya. Untuk satu jenis buah, kita akan dapat berpuluhpuluh jenis rasa. Jadi tidak pernah jemu memakannya. Makin dimakan makin hendak dan semakin lazat. Demikian juga dengan jenis-jenis makanan yang lain. Makanlah sebanyak mana pun tidak akan memudaratkan. Tidak menyakitkan perut. Tidak juga susah payah untuk ke jamban. Tidak payah buang najis yang busuk itu. Tidak ada istilah tahi lagi seperti tahi mata, tahi telinga dan tahi gigi. Semuanya sedap-sedap, baik-baik, lazat dan indah-indah sahaja. Hatta peluh kita pun berbau wangi.
Rasakan pula setiap orang bertaqwa itu hadiahnya ialah bidadari-bidadari yang cantik jelita. Bukan seorang tetapi berpuluh-puluh dan beratus-ratus orang, yang nikmat dan ke-puasannya tiada tolok bandingannya dengan dunia ini. Seperti firman Allah dalam Al Quran: “Mereka bertelekan di atas dipandipan berderetan dan Kami kahwinkan mereka dengan bidadari-bidadari yang cantik bermata jeli. Dan Kami beri mereka tambahan dengan buah-buahan dan daging dari segala jenis yang mereka inginkan. Di dalam Syurga mereka saling memperebutkan piala (gelas) yang isinya tidak (menimbulkan) kata-kata yang tidak berfaedah dan tidak pula perbuatan dosa. Dan sekeliling di sekitar mereka anak-anak muda untuk melayani mereka, seakan mereka itu mutiara yang tersimpan.” (At Thur: 20 – 24)
Kemudian kita rasakan ke lubuk hati kita betapa azabnya Neraka yang kekal itu. Penderitaannya amat dahsyat dan mengerikan. Tidak dapat hendak ditulis dengan mata pena kedahsyatannya itu. Api yang dahsyat itu 70 kali ganda panasnya dari panas api dunia. Api di dunia pun kita tidak boleh pegang, apatah lagi api Neraka. Kita berada dalam rumah api, dinding api, bumbung api, lantainya api, makanannya api, minumannya api, pakaiannya api, bantalnya api dan segala-galanya dalam api. Apabila hancur daging-daging tubuh kita maka digantikan dengan daging baru, dibakar lagi hingga jadi bara dan diganti lagi.
Begitulah terus-menerus. Rasakan di hati, aduh, betapa sakitnya. Dahsyat dan ngeri. Rasakan di hati takut yang amat sangat. Di penjara Akhirat itu, seluruh kaki tangan diikat dan disatukan. Dihumban dan tenggelam di dalam api yang ombaknya bergelombang, menggulung dan membakar. Bila tubuh kita jadi bara dan hangus, diganti dengan kulit yang baru, kemudian diseksa lagi. Di samping itu malaikat Zabaniah yang tidak pernah senyum-senyum mencemeti terus setiap detik hingga jadi hancur-lebur, bersepai-sepai.
Gambarkan betapa dahsyatnya azab yang pedih itu yang tidak akan tertanggung oleh kita. Itu baru sedikit gambaran yang dapat digambarkan. Tidak akan tertulis hal keadaan yang sebenarnya betapa rasa azab itu. Yang diceritakan itupun sudah cukup untuk menggambarkan betapa ngerinya.
Kemudian datangkan rasa takut itu berterusan di hati kita. Di sana tidak ada yang boleh membela dan membantunya. Pangkat kita, kereta menjalar, pengikut-pengikut, pemimpin-pemimpin, ibu ayah, suami, isteri, anak-anak dan sahabat-handai kita, seorang pun tidak menjenguk kita. Tidak ada sebarang makhluk pun yang akan datang menolong meringankan penderitaan yang maha dahsyat itu. Rasakanlah di hati, kita sendirian nanti menanggung kesakitan itu, yang penderitaannya puluhan kali ganda seperti yang disebutkan.
Kalau kesemua rasa-rasa yang kita gambarkan di atas tadi dapat diresapkan secara serius ke dalam hati nurani kita, langsung kita bawa hati itu ke mana-mana, itulah yang jadi motor atau power yang kuat untuk mendorong hingga kita mudah dan ringan untuk membaiki diri. Inilah yang dikatakan hati mukmin. Al hasil kita tidak tergamak untuk melakukan dosa-dosa kecil, apatah lagi dosa besar. Kita akan rasa malu.
Hati mukmin ini walaupun fizikalnya bersama dengan makhluk tetapi hatinya tetap dengan Allah. Hatinya sentiasa meneroka alam Akhirat. Hatinya sentiasa takut dengan Allah, rindu dengan Allah dan Syurga-Nya. Perasaan-perasaan inilah yang akan menyelamatkan kita di dunia dan di Akhirat. Tetapi kalau kesedaran jiwa dalam hati seseorang itu tidak ada, apakah yang akan jadi pendorong untuk mengelak daripada kemungkaran? Apakah yang jadi pendorong untuk cinta Allah dan hari Akhirat? Tentu tidak ada.
Kalau perasaan ini tidak wujud di hati, apa yang akan terjadi ialah:
1. Makin tinggi ilmu seseorang, makin alim dia, makin jahat lagi sifatnya.
2. Bertambah kaya seseorang itu, makin dia angkuh dan sombong.
3. Makin berkuasa seseorang itu, bertambah lagi zalim dan kejamnya.
4. Bolehkah kita percaya dia dapat berlaku adil, tidak rasuah, tidak menipu, tidak mencuri masa dan lain-lain lagi? Apakah jaminannya? Tentu tidak ada.
Oleh itu sematlah perasaan-perasaan di atas. Moga-moga ia dapat membantu kita dalam membaiki diri. Inilah jalan yang menyelamatkan kita yakni bila hati kita selalu sedar dan insaf.

Rabu, 18 April 2012

Adakah kita pencinta dunia atau akhirat?


بسم الله الرحمن الرحيم


Pecinta Dunia selalu bercerita tentang kehebatan diri dan harta dunia yang ingin dikejar, sebaliknya Pecinta Tuhan akan selalu bercerita tentang kehebatan Tuhan dan nikmat
Akhirat yang ingin dikejar"

Macam mana nak tahu menilai diri kita ini terlalu
 'cintakan dunia' atau tak?

Senang je, guna facebook pun boleh...

Cuba ingat berapa banyak Status dan Wall Photos 'duniawi' yang kita LIKE..

Cuba tengok berapa banyak FB Group dan FB Pages 'duniawi' yang kita LIKE..

Cuba nilaikan banyak tak topik 'duniawi' yang dah kita pos sebagai Status di Wall kita..

Senang cerita cuba nilaikan 'Adakah kat FB kita cenderung cari kongsi dan LIKE topik yang hanya memberi 'faedah duniawi' semata-mata atau topik yang menjanjikan kita 'faedah saham Akhirat' ?

JOM! Sama-sama kita renungkan...

Selasa, 17 April 2012

Rahsia Khusyuk Dalam Solat

بسم الله الرحمن الرحيم

Solat adalah ibu segala ibadah, yakni ibadah rasmi dari Allah kepada hamba-hamba-Nya seluruhnya. Ia merupakan pertemuan rasmi lima kali sehari semalam dengan Allah Al Khaliq.  Ertinya pertemuan rasmi dengan Raja yang Maha Agung, Raja bagi segala Raja.

Jika dalam pertemuan rasmi dengan raja di dunia ini, sesama rakyat jelatanya, bagaimana keadaan kita? Apa yang kita rasa? Apa persiapan yang sepatutnya?

Kita bersihkan badan serta berwangi-wangian, berpakaian yang paling cantik dan kemas yang selayaknya untuk mengadap raja. Kemudian pergi dengan kenderaan sampai istana. Tiba di sana kita duduk dengan penuh tertib berhadapan dengan raja di balai mengadap. Kita duduk dengan penuh tertib dan tawadhuk. Bahu membongkok mata ke lantai, tidak pandang kiri dan kanan. Penuh bimbang, malu dan takut. Tidak ada seorang yang berani bercakap-cakap dan bersembang-sembang.

Menunggu dengan penuh takut akan perintah raja. Apa titah raja, apa pesanan, apa amanahnya, Dan apa nasihatnya.

Begitulah solat, pertemuan dengan Allah SWT secara rasmi, Dia adalah Raja Segala Raja. Raja yang mempunyai Zat yang Maha Suci daripada segala penyerupaan. Allah yang Maha mengetahui dan Maha mendengar. Dia mengetahui segala perbuatan baik dan buruk hamba-hambaNya. Dia mendengar segala detik hati yang tidak diketahui makhluk-makluk yang lain.

Sepatutnya pertemuan kita lebih serius, lebih beradab, bertertib dan takut. Di waktu itu, kita menyediakan diri agar bersih lahir dan batin. Menunggu penyembahan itu dengan penuh takut, malu, khusyuk, penuh rasa kehambaan. Takut dan malu hendak bercakap-cakap dan berbual, kecuali yang ada hubungkait dengan Allah. 

Kita menyembah, seluruh fikiran, hati dan jiwa seluruhnya tertumpu kepada Allah. Fizikal rukuk, fikiran ikut rukuk, hati juga ikut rukuk. Fizikal bersujud, fikiran ikut sujud, jiwa juga ikut sujud.

Waktu berdiri dirasakan seolah-olah kita berada di Padang Mahsyar, sedangkan Allah sedang melihat. Aduh! Kecutnya perut, menggeletar jiwa. 

Di waktu itu sepatutnya tidak ada apa yang dapat diingat, melainkan dengan sepenuh hati jiwa raga dan fikiran hanya kepada Allah semata-mata.

Tapi ramai manusia tidak begitu. Berhadapan dengan raja jenis manusia lebih terasa gerun, malu dan beradab berbanding berhadapan dengan Tuhan pencipta manusia, dek kerana manusia belum kenal Tuhan Khaliqnya, Allah SWT.

Saya perturunkan satu kisah buat teladan dan iktibar, agar kita lebih gigih berusaha untuk meningkatkan kualiti kusyuk dalam solat.

Seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusuf, sangat warak dan khusyuk solatnya. Namun, dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasanya kurang khusyuk.

Pada suatu hari Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al Assam dan  bertanya: "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?"

Hatim berkata: "Apabila masuk waktu solat, aku berwudhuk zahir dan batin."

Isam bertanya: "Bagaimana wudhuk zahir dan batin itu?"
Hatim berkata: "Wudhuk zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua anggota wudhuk dengan air. Sementara wudhuk batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara:

1. Bertaubat.
2. Menyesali dosa yang telah dilakukan.
3. Tidak tergila-gilakan dunia.
4. Tidak mencari atau mengharap pujian orang (riya')
5. Tinggalkan sifat berbangga.
6. Tinggalkan sifat khianat dan menipu.
7. Meninggalkan sifat dengki.

Seterusnya Hatim berkata: "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan aku sedang berhadapan dengan Allah, Syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut berada di belakangku, dan aku bayangkan pula bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian Siratal mustaqim dan menganggap bahawa solat ku kali ini adalah solat terakhir bagiku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.

Setiap bacaan dan doa dalam solat ku faham maknanya, kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk, aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun."

Apabila Isam mendengar menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

Ya Allah, permudahkanlah kami untuk mengingatimu, rukuk dan sujud kepadaMu. Bantulah kami untuk khusyuk dalam solat kami, sepertimana firmanMu, 

قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ هُمۡ فِى صَلَاتِہِمۡ خَـٰشِعُونَ 

"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya." (Al Mukminun:23:1-2)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...