Ukhwah Islamiyyah

Rabu, 30 November 2011

3 Tanda Kemanisan Iman

سم الله الرحمن الرحيم



Kemanisan Iman

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Ada tiga hal, yang jika tiga hal itu ada pada seseorang, maka dia akan berasakan manisnya iman. (Iaitu) Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai daripada selain keduanya; mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah; benci untuk kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkan darinya, seperti bencinya jika dicampakkan ke dalam api.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim dari Anas bin Malik ra)

Berdasarkan hadis ini, ada tiga sifat yang jika ada pada seseorang maka orang itu akan berasakan manisnya iman. Manisnya iman adalah rasa nikmat ketika melakukan ketaatan kepada Allah, ketenangan jiwa, kesenangan hati dan lapangnya dada.

Al-Imam Ibn Hajar al-Asqalani berkata, “Syaikh Abu Muhammad bin Abu Hamzah berkata: “Pengungkapan dengan lafaz ‘manis’ kerana Allah mengumpamakan iman seperti pohon, seperti di dalam firman-Nya bermaksud:

“Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik.”
(Surah Ibrahim, ayat 24)

Kalimat yang baik adalah kalimat ikhlas, kalimat tauhid, sedangkan pohon adalah pokok daripada keimanan, cabangnya adalah menjalankan perintah dan menjauhi larangan, daun-daunnya adalah segala amal kebaikan yang harus diperhatikan seorang mukmin, dan buahnya adalah tingkatan Ihsan dalam kerja-kerja amal yang dilakukan yang dirasai di sebaliknya pemerhatian Allah .

Manisnya buah pula amat dirasai ketika buah sudah cukup tua bersedia untuk dinikmati.

Mencintai Allah mestilah melebihi cintanya kepada orang lain seperti orang tua, anak, diri sendiri dan sesiapa saja yang dekat dengan kita. Beriman kepada Allah memiliki rasa manis yang tidak mungkin dinikmati, kecuali oleh orang yang beriman dengan sebenar-benar keimanan, penuh keikhlasan dan ilmu.

Oleh kerana itu, tidak semua orang yang mengatakan dirinya Muslim atau mukmin secara automatik dapat berasakan manisnya iman. Iman bukan cukup hanya dengan angan-angan, tetapi wajib dimantapkan dalam hati, dikuatkan dengan perkataan dan perbuatan yang dijiwai sepenuh hati. Kata kunci segala permasalahan ini adalah ikhlas, dan ikhlas pula adalah hadian dianugerahi pada hamba yang bersih hatinya.

Mengikut Ibrahim al-Khawas, proses pembersihan hati berlaku melalui langkah-langkah berikut :

  • Membaca al-Quran dengan merenungkan dan memahami maknanya.
  • Qiyamullail
  • Banyak beristighfar
  • Berkawan dengan orang yang jujur mencintai Allah dan orang salih.
  • Kurangkan makan

Mencintai Rasulullah SAW yang menyusul selepas mencintai Allah adalah ciri terpenting yang harus dimiliki siapa saja yang ingin berasakan kelazatan iman.

Dalam sebuah hadith yang sahih Saidina Umar al-Faruq pernah berkata kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, sungguh engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu apa pun, kecuali diriku.” Maka Nabi SAW menjawab, “Bukan begitu, demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sehingga aku lebih engkau cintai daripada dirimu sendiri.” Maka Umar menjawab, “Demi Allah, sesungguhnya engkau sekarang lebih aku cintai daripada diriku sendiri.” Maka Nabi SAW menjawab, “Sekarang Umar, (telah sempurna imanmu).”

Al-Syaikahani meriwayatkan dari Anas r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak beriman salah seorang di antara kalian, sehingga aku lebih dia cintai daripada orang tuanya, anaknya dan seluruh manusia.”

menurut Dr Aish al-Qarniy dalam kitabnya Rahmatan Lil Alamin, antara cara mencintai Nabi SAW:

- Beriman bahawa Muhammad SAW adalah utusan Allah, yang diutus kepada seluruh umat manusia, sebagai pemberi peringatan dan khabar gembira, sebagai penyeru ke jalan Allah dengan pembawa cahaya kebenaran.

- Menjalankan perintah Baginda dan menjauhi larangannya.

- Memperjuangkan sunnahnya, mengamalkan dan menyebarkan

- Banyak berselawat dan bersalam kepada Rasulullah SAW.

- Mencintai sahabat dan kaum kerabat Baginda dan membela mereka.

- Mengkaji perjalanan hidup dan sirah Baginda

Mencintai seseorang kerana Allah maksudnya menjaga hubungan kasih sayang antara seorang Muslim dengan saudaranya atas landasan iman kepada Allah SWT dan amal soleh.

Kita mencintai saudara kita bukan kerana keuntungan kebendaan atau harta, kita membencinya atau menjauhinya bukan kerana kemiskinan atau tidak memperoleh manfaat dunia darinya. Ukuran kecintaan kita kepadanya adalah atas dasar iman dan amal salih.Tanda mencintai seseorang muslim juga ialah menolongnya pada saat dia memerlukan bantuan, tidak membuka aib, tidak membenci, tidak iri dan dengki terhadap nikmat yang diberikan Allah kepada saudara kita.

Selain itu kita juga hendaklah mendoakan buat saudara kita tanpa pengetahuannya dan mengucapkan salam jika bertemu, bertanya khabar keadaannya, tidak berkelakuan sombong kepadanya.

sumber: http://www.zahazanmohamed.blogspot.com/

Isnin, 28 November 2011

Kenduri Kahwin Cara Islam

سم الله الرحمن الرحيم



Di zaman moden ini, masih ada segelintir masyarakat yang menjalankan majlis perkahwinan dengan terlalu ringkas, hanya cukup syarat dan rukun sahaja, berlainan dengan masyarakat yang mengikut arus perdana, menghabiskan banyak wang untuk kenduri kendara, dengan khemah dan peralatan yang mewah, karaoke, D.J jemputan, joget lambak, pertunjukkan silat dan macam-macam lagi, maklumlah sekali seumur hidup katanya.

Manakala golongan yang tidak mengikuti gaya hidup semasa pula sering menjadi topik perbualan yang amat panas, lebih panas dari gosip dunia hiburan, maka masyarakat yang tidak faham mulalah membuat andaian dan tekaan, " Oh, mereka ini terlalu extrem lah".."Alahai, bab kahwin pun nak berkira ke, cerewet betul la, bukannya haram pun".. dan macam-macam lagi. Oleh yang demikian, disini ingin saya jelaskan kepada pembaca yang mungkin masih belum faham apa tuntutan Agama kita dalam bab perkahwinan ini.

Anas bin Malik dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah (saw) telah melaksanakan majlis kenduri kahwin dengan seekor kambing untuk isteri-isterinya dan untuk Zainab.

Jelas daripada mafhum hadis itu bahawa hukum mengadakan walimah atau kenduri perkahwinan adalah diharuskan agama sebagai mengumumkan suatu ikatan pernikahan, tetapi hendaklah mengikut batas yang ditetapkan syariat Islam.

Menurut pandangan Syed Sabaq dalam sebuah kitabnya, beliau menerangkan bahawa walimah atau kenduri kahwin dapat dilaksanakan ketika berlangsungnya akad nikah atau sesudahnya. Ia juga boleh dilangsungkan pada hari perkahwinan (mencampuri isterinya) atau sesudahnya.

Pada kisah Abi Usaid juga didapati bahawa walimah yang dilakukan beliau yang dihadiri Rasulullah, Abu Usaid menghidangkan kurma yang disimpan pada malam harinya. Kurma itulah yang dihidangkan kepada tetamu. Ini bermakna, jenis makanan yang ingin dihidangkan pihak keluarga yang mengadakan walimah itu bergantung kepada kemampuan.

Pun begitu, dalam mengadakan majlis kenduri kahwin, janganlah pula ada di kalangan keluarga Islam yang mengadakannya secara melampau batas syariat.

Antaranya menyerlahkan sikap ingin menunjuk-nunjuk dengan mengadakan kenduri besar-besaran, boros berbelanja hingga memberi kesan kepada kewangan apabila melakukan pembaziran wang ringgit dan harta benda, membuat pinjaman bank dan berhutang.


Firman Allah dalam surah al-Isra bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang boros itulah saudara syaitan. Dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.

Sudah menjadi budaya masyarakat kita, apabila orang daripada golongan mewah dan kaya mengadakan kenduri kahwin, jarang sekali mendahulukan orang miskin dan kurang berada sebagai tetamu untuk meraikan majlis itu.

Hal ini dijelaskan Rasulullah dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan Bukhari bermaksud: Seburuk-buruk makanan ialah makanan dari majlis kenduri kahwin yang hanya dijemput orang kaya, orang fakir dan miskin tidak diundang untuk makan bersama.

Dari segi memenuhi tuntutan sebagai orang yang dijemput untuk menghadiri majlis kenduri kahwin pula, Rasulullah menyatakan dalam hadis baginda yang diriwayatkan Bukhari bermaksud: Jika salah seorang di antara kamu dijemput ke majlis perkahwinan, maka hendaklah ia mendatangi majlis itu.

Walau apapun, jika diteliti hadis di atas, menghadiri jemputan majlis kenduri kahwin adalah dituntut agama sebagai sunat muakad. Dalam sebuah kitab yang ditulis Syed al-Bari ada menyatakan syarat undangan yang wajib dipenuhi hendaklah memenuhi syarat-syarat yang berikut:

  • Orang yang mengundang itu adalah mukallaf, merdeka serta sihat pemikirannya.
  • Tidak dikhususkan kepada orang-orang kaya sahaja.
  • Orang yang mengundang beragama Islam.
  • Tidak ada kemungkaran(pergaulan bebas, nyanyian, joget dll) di majlis itu.
  • Orang yang diundang tidak mengalami keuzuran syarie.

Janganlah mencemarkan kenduri dengan perkara yang bercanggah dengan syariat Islam. Pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pertuturan keji dan lucah, nyanyian dan tarian yang melalaikan, senda gurau yang melampau adalah contoh beberapa situasi yang sering berlaku dalam majlis kenduri kahwin.

At-Tirmizi meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah yang bermaksud: Perbezaan antara majlis perkahwinan yang halal dan haram ialah adanya nyanyian dan pukul rebana.

Daripada mafhum hadis itu, sama-samalah kita menepati kehendak sebenar syariat apabila ingin memeriahkan majlis walimah atau kenduri kahwin dengan persembahan hiburan agar ia tidak tercemar dengan unsur yang ditegah agama.

Agama hendaklah didahulukan daripada Budaya, kerana dalam budaya belum pasti ada kebaikan dan kejayaan dari Allah s.w.t Tuhan Semesta Alam, Budaya adalah rekaan nenek moyang kita semata. Jangan tertipu dengan kata-kata "Biar mati anak, jangan mati adat" . Ada ketika kita terpaksa melawan adat, kerana bila beradat kita terpaksa melanggar perintah Tuhan, dan membuat larangan-Nya.

Biarlah masyarakat sekeliling memanggil kita dengan panggilan cerewet sekalipun, asalkan kita berpegang kepada Al-Quran dan Hadis, mereka yang mencaci adalah mereka yang jahil mengenai Islam. Ramai orang yang saya perhatikan sangat cerewet dalam pemakaian, adat melayu, makanan dan adab bertutur, tetapi bila bab syariat Islam, langsung tak diendahnya. Semoga kita dijauhi dari sifat tersebut. amin...

P/S : Memandangkan kenduri kahwin sekali je seumur hidup bagi yang tak berpoligami sahaja, maka biarlah menjadi faktor ke syurga buat suami dan isteri itu, bukannya ke neraka... Wallahu A'lam

Sabtu, 26 November 2011

Amalan Zikir Untuk Menundukkan Nafsu Dan Kesombongan

سم الله الرحمن الرحيم



Ada yang bertanya apakah zikir untuk menundukkan nafsu syahwat supaya dapat hidup dengan lebih tenang dalam mentaati perintah Allah s.a.w. Tidak dapat dinafikan dalam kehidupan ini, kita pasti berdepan dengan pelbagai cabaran. Selagi kita ini hidup, cabaran dan ujian silih berganti. Di antara ujian getir ialah runtutan syahwat yang tidak terkawal. Memang kita ketahui nafsu syahwat yang tidak terkawal membawa akibat yang buruk kepada diri berkenaan. Kemungkinan besar boleh terjerumus dosa besar jika iman lemah dan tidak mampu membentengi diri dari godaan syaitan.

Saya tidak berniat untuk menulis panjang dalam soal ini, perbincangan berkaitan boleh dibincangkan pada ruang yang lain. di sini saya hanya ingin memenuhi hasrat mereka yang bertanya tentang amalan zikir yang boleh diamalkan bagi menundukkan nafsu syahwat. Semoga apa yang dikongsikan di sini mendatangkan kebaikan untuk semua, insya Allah.

Amalkan zikir Ya Qahhar:

Allah al-Qahhar adalah Dia Yang Maha Mengalahkan seluruh makhluk dengan keperkasaan-Nya. Dia-lah Yang Maha Menjinakkan sesiapa yang menentang-Nya dengan menunjukkan bukti keesaan-Nya. Dia-lah Yang Mahan Menundukkan sesiapa sahaja yang membantah-Nya dengan kekuasaan-Nya. Dia-lah Yang Maha Mematahkan belakang mereka perkasa dari musuh-Nya dengan kematiaan dan kehinaan.

Cara beramal:

  • Bacalah 337 kali siang dan malam dengan menghayati makna sehingga meresap ke dalam hati. Yakin bahawa Allah s.w.t. akan memberi kekuataan kepada dirinya untuk menundukkan, mengalahkan, menguasai dan mengendalikan hawa nafsunya.
  • Bacalah doa berikut:

Ertinya:”Tuhanku, Engkau telah menundukkan dan menjinakkan seluruh alam, yang tinggi mahupun yang rendah, yang dekat mahupun yang jauh. Anugerahilah aku secercah rahsia asma’- Mu al-Qahhar, agar nafsuku tunduk dan dapat kukendalikan dan agar berlutut di hadapanku seluruh penjahat. Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku kemampuan menguasai seluruh kewujudan diriku, agar aku dapat menghadapi iblis dan selamat dari pujuk rayuan syahwat. Ya Allah, jadikalah aku selalu memandang kegermerlapan cahaya nama-Mu al-Qahhar (Yang Maha Mengalahkan), sehingga aku tidak terpedaya dengan semua yang agung dan perkasa di bumi ini, wahai Yang Maha Agung, Yang Maha Menundukkan segala yang agung. Dan semoga selawat da salam sentiasa dilimpahkan kepada Nabi kami, Rasul kami Muhammad s.a.w. berserta keluarga dan sahabat beliau.”

sumber: http://www.penawar.com/v11/2011/10/30/amalan-zikir-untuk-menundukkan-nafsu-dan-kesombongan/

Rabu, 23 November 2011

Sebaik-baik Orang Yang Berhijrah

سم الله الرحمن الرحيم



Hadith :
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr r.a: “ Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang maksudnya:” Seorang Muslim adalah orang yang tidak menyakiti Muslim lainnya dengan lidah, mahupun dengan kedua tangannya.

Dan seorang Muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan semua larangan Allah SWT.”
(al-Bukhari)

Huraian:

Hijrah mengandungi hikmah yang besar sekali peranannya dalam pembangunan ummah. Suatu kumpulan masyarakat tidak akan menjadi baik jika setiap individu yang ada di dalamnya telah rosak kerana kumpulan masyarakat itu bergantung kepada individu itu sendiri.

Oleh itu hijrah amat ditekankan di dalam al-Quran dan disebutkan sebanyak lebih 28 kali di dalam berbagai bentuk dan makna. Dengan hijrah, hati, perkataan dan perbuatan kita akan menjadi bersih dari segala maksiat, dosa dan syirik seperti kisah khalifah Umar bin al-Khathab r.a yang menarik untuk kita renungkan bahawa beliau sebelum memeluk Islam dikenali dengan julukan “penghulu para pelaku kejahatan”, namun setelah berhijrah, beliau menjadi pemimpin yang disegani, tawaddhu’ dan suka menolong orang miskin, menjadi tonggak bagi berkembangnya agama Islam.

Hakikatnya hijrah sangatlah berat, kerana di samping harus memiliki kesabaran, kita juga dituntut memiliki keteguhan aqidah dan keyakinan agar tidak mudah termakan dengan pujuk rayu dan godaan dari kenikmatan dunia yang fana.

Ahad, 20 November 2011

Nasib Baik Hidup Lagi

سم الله الرحمن الرحيم


Manusia kadang-kadang sangat mudah lupa bahawa segala nikmat yang dikurniakan kepada kita adalah daripada Allah semata-mata. Kadang-kadang juga mereka akan berkata-kata dengan keterlaluan, tanpa mereka sedari bahawa Allah tidak tuli mahupun pekak, bahkan Allah sentiasa tahu apa yang kita lakukan.


Dalam surah al-Fathir ayat 10, Allah berfirman yang bermaksud: “Barangsiapa yang menghendaki kemuliaan, maka bagi Allah-lah kemuliaan itu semuanya. Kepada-Nyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal yang soleh dinaikkan-Nya. Dan orang-orang yang merencanakan kejahatan bagi mereka azab yang keras. Dan rencana jahat mereka akan hancur.”

Dalam satu seminar yang mengumpulkan pelajar-pelajar lulusan agama dari hampir seluruh universiti. Telah berlangsung satu sesi yang berasaskan etika kerja. Pensyarah luar telah dijemput untuk menyampaikan ceramah tersebut.

Pada awalnya penceramah telah berceramah dengan kosisten sekali, semua peserta memberi perhatian dan seronok semasa berkursus.

Tiba-tiba pada satu ketika, entah bagaimana dia telah memulakan perbincangan yang agak panas kepada khalayak peserta.

Satu provokasi kepada ustaz dan ustazah yang hadir.

“Saya ingin membuat perkongsian dengan anda sekalian. Saya tahu hampir keseluruhan daripada kamu adalah ustaz dan ustazah. Maaf, saya bukan berasal dari latar belakang pengajian agama. Namun saya yakin Islam itu sendiri tidak pernah menyekat kebebasan berfikir, menganalisis dan memberikan pendapat walaupun pendapat tersebut lain daripada yang lain.”

Para peserta terkejut dengan kata-kata penceramah tersebut, beberapa peserta yang hampir tersungkur dek kantuk yang melampau tiba-tiba menggeletak bagaikan terkena renjatan mini eletrik.

Mata mereka buntang, ingin menyaksikan perkongsian daripada penceramah itu.

Kata penceramah itu, “Tahukah kamu semua bahawa, saya mendapati wanita yang bertudung terutamanya yang bertudung labuh seperti kamu semua adalah amat tidak produktif dalam kerja. Dalam erti kata lain, sangat lembab!”

Kesemua peserta bagaikan terkena renjatan eletrik, nafas menjadi turun naik tidak keruan. Jantung berdebar-debar tanpa ritma yang sekata.

“Boleh dikatakan kesemua perempuan yang saya jumpa, jika dia dari jenis yang memakai jubah dan bertudung labuh sangat lembab dan menyusahkan orang sahaja.”

Sudah ada yang mendidih darahnya. Sementelahan pula, majoriti muslimat yang ada di dalam dewan itu adalah ustazah yang memakai tudung labuh.

“Golongan ini bukan sahaja sangat tidak cekap bekerja malah hampir tidak pandai bersosial. Jalan hanya menunduk ke bumi, perlahan pula. Mungkin dia ingat baik sangat kalau buat begitu.” Sindiran penceramah itu semakin pedas.

Ramai peserta sudah mula tidak selesa, namun tidak berani membantah kerana dikhuatiri tidak akan dikurniakan sijil tamat kursus yang merupakan lesen untuk pengesahan untuk mereka mendapatkan ijazah mereka.

“Kamu ingat bagus sangat jadi baik, jadi ustaz, jadi ustazah!? Padahal kamulah manusia paling kolot yang ada di muka bumi ini.”

Dia menambah lagi, “Bagaimana kamu ingin menyatakan kepada anak-anak murid kamu bahawa arak itu haram, judi itu haram, zina itu haram sedangkan kamu semua tidak pernah merasainya? Saya ingin beritahu, saya sudah merasai kesemuanya dan sekarang saya tahu apa itu arak, judi dan zina. Baharulah layak untuk memberi nasihat kepada anak-anak murid mengenainya.”

Suasana semakin membahang, sudah ada dua atau tiga bakal ustazah yang keluar, tidak tahan didera dengan sindiran demi sindiran yang terhambur dari lafaz sang pensyarah. Para ustaz pula masih mampu bersabar, mungkin keliru pada konsep sabar itu sendiri.

“Siapa yang pernah minum arak?”

Khali. (diam)

“Siapa pula yang sudah berzina?”

Khali.

“Siapa pula yang pernah berjudi?”

Khali jua.

Pensyarah itu mundar-mandir seolah-olah tidak berpuas hati, dia iginkan respon daripada khalayak.

Tiba-tiba.

“Tuan!”

Semua mata tertumpu kepadanya, Ustaz Burhan. Peserta termuda sekali dalam kursus itu cuba mengatur bicara.

“Tuan, saya mewakili kawan-kawan saya di sini ingin menjawab persoalan yang tuan lontarkan sebentar tadi.” Lembut tuturnya.

“Silakan.”

“Berkenaan dengan ustazah yang berpakaian labuh namun sangat tidak bagus gerak kerjanya. Dan tuan salahkan pemakaiannya, itu adalah salah kerana menutup aurat adalah kewajipan kepada kaum muslimin. Sila tuan rujuk kepada surah An-Nur ayat 30. Secara terang Allah memerintahkan kaum muslimat supaya menutup aurat.”

Ustaz Burhan menambah lagi, “Dia lembab mahupun tidak produktif bukan kerana pakaiannya, kerana masih ramai lagi yang berpakaian menutup aurat namun sangat bagus gerak kerjanya. Sebaliknya mereka yang tidak menutup aurat dan mendedah bahagian tubuh badan di sana sini bukan semuanya yang bagus dan produktif, jika diperiksa kalangan mereka juga ramai yang lebih lembab dan bodoh. Kerana mereka tidak faham hukum Allah.”

Perbincangan semakin rancak, si pensyarah memakukan pandangan kepada Ustaz Burhan.

“Saya ingin bertanya kepada tuan, boleh?”

Si pensyarah mengangguk.

“Antara dua orang pelajar tuan, yang seorang berpakaian lengkap menutup aurat malah memakai purdah untuk mengelakkan wajahnya dilihat orang awam, manakala yang seorang lagi berpakaian dengan sangat seksi di samping dirinya sendiri sangat manis orangnya. Rupa-rupanya keduanya adalah adik beradik kembar. Apabila kedua-duanya datang berjumpa tuan secara berasingan dalam keadaan yang jauh daripada pandangan orang ramai, agak-agaknya yang mana antara keduanya yang mampu mengetuk pintu nafsu tuan?”

Muka si pensyarah merah padam, “Tentu kamu juga tahu jawapannya!”

“Jadi salahkah ustazah tersebut menutup auratnya dengan sempurna? Sudah terbukti tuan sendiri juga tidak tertarik kepadanya. Ini bermakna dia selamat daripada sebarang ancaman jenayah seksual.”

Belumpun sempat pensyarah tersebut memberikan respon, salah seorang ustaz bangkit dan bersuara.

“Izinkan saya membuat perkongsian tuan.”

Tiada respon darinya, ustaz Halim meneruskan sahaja bicaranya.

“Dulu, saya ada seorang kawan yang berfikiran seperti tuan. Katanya dia mahu merasainya semua perkara dahulu, walaupun perkara tersebut haram. Dalam banyak-banyak dosa besar yang ingin dia lakukan, dia memilih untuk minum arak. Kerana itulah paling ringan mengikut perkiraannya. Kemudian dia akan bertaubatlah katanya.”

Semua yang hadir menumpukan perhatian kepada ustaz Halim.

Dia meneruskan bicara, “Maha suci Allah yang maha berkuasa lagi maha mengetahui, saat pertama kali minum arak dia terus mabuk, dek kerana kemabukannya dia terus sahaja merogol wanita pelayan tersebut. Kerana ketakutan jenayahnya diketahui orang, tanpa berfikir panjang sementelah diri dibawah pengaruh arak wanita itu dibunuhnya. Setelah itu, dia melarikan diri dengan keretanya. Dalam keadaan yang tidak stabil, dengan takdir Allah keretanya terbabas dan meletup, sahabat saya meninggal dalam keadaan…wallahu’alam, hanya Allah yang selayaknya memberikan penilaian.”

“Apa kaitannya dengan saya?” Tingkah si pensyarah kasar.

“Tuan, sahabat saya punyai niat seperti tuan. Buat dosa dahulu kemudian bertaubat, begitu juga tuan. Tuan bertuah, masih punya nyawa hingga ke saat ini namun sahabat saya pergi dalam keadaan sedang melakukan dosa-dosa besar. Apakah tuan boleh bayangkan jika tuan adalah sahabat yang saya maksudkan tadi? Di mana tuan berada sekarang? Balasan apa yang akan Allah timpakan kepada tuan? Namun itu semua mustahil kerana, tuan masih hidup…hanya kerana Allah masih memberikan peluang kepada tuan, tuan sepatutnya menggunakan peluang tersebut dengan sebaik-baiknya.”

Semua hadirin mendapat manfaat dan menginsafi diri masing-masing. Pensyarah tersebut tenggelam dalam keinsafan juga.

________________________________________

PENGAJARAN

Setiap manusia itu tidak lari daripada melakukan dosa. Namun, setiap dosa itu ada penawarnya yakni bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat. Dan sesungguhnya Allah sangat mengasihi hamba-hamba-Nya yang sentiasa bertaubat kepada-NYA.

Kita hendaklah bertaubat sebelum pintu taubat tertutup buat selama-lamanya yakni pada masa kedatangan Hari Kiamat. Rasulullah SAW bersabda:

"Sesiapa yang bertaubat sebelum matahari terbit dari sebelah barat, maka Allah menerima taubatnya."
(Hadis Riwayat Muslim)

oleh: Zahiruddin Zabidi
sumber: http://kalamkhalifah.com/2010/04/kisah-6-%E2%80%93-nasib-baik-hidup-lagi/

Rabu, 16 November 2011

Kisah Si Ibu Merebus Batu

سم الله الرحمن الرحيم



Alhamdulillah kerna kita diberi kesempatan lagi untuk menghuni muka bumi ini dengan penuh keimanan, dengan kesungguhan demi menegakkan iman, ilmu dan amal untuk bekalan perjalanan menuju negara abadi.

Tadi di Masjid Nahdhah Al-Islam Seksyen 18 Shah Alam dimana aku menjadi ahli kariahnya ada Kuliah Agama Mingguan setiap Selasa yang dipimpin oleh Y.M.Ustaz Uda Kassim. Pada malam ini, Ustaz telah huraikan ayat ke 6 Surah Fatihah dan semua aspek akan kepentingan ayat ini dan segala cerita2 yang sangkut paut dengan ayat ini.

Di antaranya yang aku selalu catit apabila ada kuliah atau ceramah agama di Masjid Nahdhah yang di rahmati Allah SWT adalah seperti cerita seorang ibu yang terpaksa merebus batu di dalam periuknya agar anak-anaknya memikirkan yang ibu mereka sedang memasak sesuatu makanan untuk mereka dan hanya perlu sabar dan tunggu masakan itu siap. Seperti ceritanya, Saidina Umar ra adalah seorang Khalifah yang terunggul seperti juga sahabat-sahabatnya yang lain seperti Saidina Abu Bakar As-Sidiq ra, Saidina Uthman Affan ra dan Saidina Ali kja.

Saidina Umar ra sedang membuat rondaan malamnya di sekililing kota dan agak hairannya mengapa si ibu ini sedang merebus batu dalam periuknya? Adakah batu itu boleh dimakan?Apabila bertanya pada si ibu itu maka barulah Saidina Umar ra ketahui yang ibu itu hidup dalam kemiskinan dan tiada duit untuk membeli makanan untuk anak-anaknya yang ramai dan memerlukan itu! Maka, Saidina Umar ra amat sedih dan dukacita kerana dia sebagai Khalifah tidak prihatin akan nasib rakyatnya yang hidup miskin wal hal ramai rakyat di negara itu ada yang hidup mewah dan makanan sentiasa ada untuk dimakan dan diminum.

Dengan spontan Saidina Umar ra terus ke Baitulmal dan mohon diberi makanan seperti gandum untuk si ibu ini dengan segera. Saidina Umar ra sendiri ingin memikul guni gandum itu dan tidak membenarkan pegawainya untuk berbuat demikian kerana itu adalah tanggung jawabnya sendiri yang beliau rasa perlu penglibatan dan komitmennya. Sampai ke rumah ibu itu, Saidina Umar ra pun bantu memasak dan menyediakan makanan dari gandum itu mungkin dibuat roti2 dan apabila siap, Saidina Umar ra mengajak anak-anak si ibu itu untuk makan dan kenyangkan perut2 lapar mereka.

Ini adalah suatu pengajaran pada kita semua terutama sebagai pemimpin-pemimpin atau Ahli Parlimen atau ADUN dimana kita perlu prihatin akan nasib rakyat2 kita supaya mereka mendapat jagaan, layanan dan kasih sayang dari kita setiap masa supaya tiada suara keluarga yang hidup kelaparan, tiada rumah tempat tinggal dan tiada pertolongan untuk mereka yang miskin, sengsara dan yang daif atau perlu bantuan segera.

Al-Quran dan Hadis2 Nabi Muhammad saw adalah rujukan yang terbaik pada Umat Islam keseluruhannya dan kita perlu yakin akan kebenaran Al-Quran dan Hadis2 yang banyak mengajar kita cara kehidupan yang terbaik dan mulia seperti Rasullullah saw buktikan dengan cara kepimpinannya serta cara hidup Baginda saw yang penuh kesederhanaan hingga kadang2 sangat menyedihkan dimana Rasullullah saw lebih suka melihat umatnya bahagia dan dibelai dari apa yang Baginda saw ada kerana itulah Rasullullah saw, hamba Allah SWT yang terpuji dan disayangi oleh Allah SWT sepenuh2nya.

Khalifah-khalifah Islam seperti Saidina Abu Bakar ra, Saidina Umar ra, Saidina Uthman ra dan Saidina Ali kja semua mendapat didikan, tunjuk ajar dari Nabi Muhammad saw dan dengan “coach” dan hidup berjemaah mereka setiap masa dengan Nabi Muhammad saw mereka juga mewarisi sifat2 dan budi pekerti mulia seperti Rasullulah saw. Alhamdulillah.

Dalam era 1432 hijrah ini dan seterusnya, semoga Umat Islam akan menjiwai budi pekerti dan “leadership qualities” seperti Saidina Umar ra dan Rakyat jelata mendapat hidup penuh kasih sayang, dijagai, dibantu dan dipupuk dengan nilai2 murni serta sentiasa bekerja keras serta berdoa pada Allah SWT untuk mendapat taufik dan hidayah daripada Allah SWT. InshaAllah.

Selasa, 15 November 2011

10 Soalan Sebelum Meminang

سم الله الرحمن الرحيم



Membuat keputusan untuk berkahwin bukanlah suatu perkara yang mudah. Perkahwinan bererti memasuki suatu alam yang berlainan sama sekali dengan alam yang pernah dilalui sebelumnya, bak kata Tan Sri S M Salim dalam salah satu lagunya, ‘dulu lain sekarang lain, dulu bujang sekarang dah kahwin’.


Setiap pasangan yang berkahwin pastinya mengharapkan perkahwinan itu kekal bahagia buat selama-lamanya. Ramai yang berjaya. Namun tidak kurang pula yang kecewa.

Al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa’, bekas kadi ahwal syakhsiyyah di Kuwait yang kini aktif mengadakan program-program berbentuk bimbingan kekeluargaan, berdasarkan pengalaman dan pengamatannya ketika mengendalikan kes-kes berkaitan dengan masalah rumahtangga menyimpulkan antara sebab berlakunya keretakan dan kegagalan dalam perkahwinan adalah kurang taaruf atau tidak mengenali antara satu sama lain dengan mendalam sebelum berkahwin.

Taaruf yang mendalam atau mengenali bakal teman hidup sebelum melangsungkan perkahwinan sangat penting demi menjamin kesejahteraan dan keseimbangan dalam menjalani kehidupan berumahtangga. Ini tidak bermakna pasangan mesti melalui alam percintaan sebelum berkahwin, kerap bertemu dan berhubung melalui panggilan telefon, sms, chating dan sebagainya.

Percintaan sebelum berkahwin seperti yang dilakukan oleh segolongan masyarakat dan ditonjolkan dalam segala macam media sebagai suatu kemestian, suatu dunia yang penuh dengan keindahan dan keseronokan adalah sebenarnya penipuan belaka. Alam percintaan tidak mendedahkan hakikat diri yang sebenarnya. Masing-masing berusaha menunjukkan yang terbaik sahaja di hadapan pasangannya. Setelah berkahwin barulah terbongkar segala rahsia, segala perangai dan sikap buruk yang selama ini disembunyikan.

Untuk mengenali calon pasangan hidup anda dengan mendalam, al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa’ mencadangkan agar anda mengajukan 10 soalan. Soalan-soalan ini boleh diajukan secara langsung semasa sesi taaruf, atau melalui orang tengah. Jika calon memilih untuk bertemu, melihat dan berkenalan pastikan pertemuan itu tidak dilakukan secara berdua-duaan di tempat suci dan terpencil. Jangan cemari niat yang suci dengan melanggari perintah Allah dan Rasul. Jangan relakan syaitan menjadi orang ketiga di antara anda dengan si dia.



10 soalan itu adalah:


1. Apakah wawasan hidupnya?
Setiap orang mempunyai wawasan dan cita-cita yang ingin dicapai dalam hidupnya. Inilah yang perlu anda ketahui mengenai bakal pasangan hidup anda. Sekiranya anda dan dia mempunyai wawasan dan matlamat hidup yang sama maka perselisihan dalam rumahtangga akan berkurangan.

2. Bagaimanakah kefahamannya mengenai konsep perkahwinan?
Kefahaman serta tasawur yang jelas mengenai perkahwinan amat penting. Sekiranya kedua-dua pihak mempunyai kefahaman yang berbeza, umpamanya satu pihak menganggap perkahwinan hanya sekadar memenuhi tuntutan nafsu semata-mata, sedang satu pihak lagi memandang sebagai satu ibadah, sudah semestinya rumahtangga yang bakal dibina tidak akan aman daripada perselisihan dan pergaduhan.

3. Apakah sifat-sifat yang digemari dan tidak digemarinya?

Adalah penting bagi setiap pasangan mengetahui kegemaran pasangannya, apa yang disukai dan tidak disukainya kerana kadang-kadang perselisihan berlaku disebabkan kelainan kegemaran dan citarasa. Sekiranya kegemaran setiap pihak diketahui terlebih awal mungkin perselisihan dapat dielakkan.

4. Apakah pandangannya mengenai anak pada tahun pertama perkahwinan?
Setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza mengenai masa yang sesuai untuk menimang cahaya mata. Sekiranya satu pihak belum bersedia sedang pihak yang satu lagi sudah tidak sabar untuk bergelar ibu atau ayah, pastilah kedua-dua pihak akan berasa tertekan dan perhubungan akan jadi tegang.

5. Adakah dia mempunyai masalah kesihatan atau kecacatan?
Masalah kesihatan yang kronik atau kecacatan semula jadi pada anggota badan tidak wajar disembunyikan. Mengetahui adanya penyakit atau kecacatan tertentu akan mempengaruhi keputusan yang bakal diambil. Menyembunyikan penyakit yang kronik atau kecacatan yang mengaibkan boleh dianggap sebagai satu penipuan.

6. Adakah dia seorang yang suka bergaul?
Sesetengah orang suka bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat, mempunyai kawan dan kenalan di merata-rata tempat. Sesetengah yang lain pula suka menyendiri, tidak pandai berkawan dan sukar didampingi. Orang macam mana yang anda cari?

7. Bagaimana hubungannya dengan ahli keluarganya?
Perkahwian bukan sekadar aqad yang mempertemukan antara dua jiwa. Sebaliknya perkahwinan merupakan hubungan kemasyarakatan yang mencantumkan antara dua keluarga atau lebih. Oleh itu bakal tunangan harus tahu status keluarga serta hubungan mereka antara satu sama lain. Hubungan kekeluargaan juga sedikit sebanyak menggambarkan keperibadian seseorang.

8. Apakah kegemarannya dan bagaimana dia mengisi waktu lapangnya?

Kegemaran serta cara seseorang memenuhi masa lapangnya juga memberi gambaran tentang wawasan serta cita-citanya dalam hidup ini.

9. Adakah dia aktif dalam mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan kebajikan?
Keaktifan dalam persatuan kebajikan atau pertubuhan sukarela menggambarkan dia bukan seorang yang sombong dan mementingkan diri. Orang yang hidupnya sekadar untuk memenuhi cita-cita dan wawasan peribadi semata-mata sebenarnya hidup dalam dunia yang sempit dan mati sebagai insan yang kerdil. Tetapi orang yang hidup dalam perjuangan akan hidup sebagai insan yang hebat dan apabila dia mati namanya akan dikenang zaman-berzaman.

10. Apakah pandangannya sekiranya ibu bapa masuk campur dalam urusan peribadi atau urusan rumahtangga mereka?
Setengah orang menganggap rumahtangga adalah masalah peribadi yang terlalu khusus. Tiada seorang pun yang boleh masuk campur walaupun ibu bapa sendiri. Hal ini sangat penting diketahui oleh setiap orang yang akan memasuki gerbang perkahwinan. Apakah pandangan bakal pasangan hidupnya. Adakah dia termasuk dalam golongan di atas atau sebaliknya seorang yang terlalu bergantung kepada kedua-dua ibu bapanya walaupun telah berkeluarga?

Apabila anda telah mendapat jawapan yang bersesuaian dengan apa yang dicari, maka teruskanlah hasrat anda untuk melamarnya. Begitu juga halnya dengan pihak yang dilamar. Pastikan anda mengenali jejaka yang melamar itu dengan mengajukannya 10 soalan di atas.

Ustazah Maznah Daud
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia

"Ukhuwah Teras Kegemilangan"

http://www.malaysiaharmoni.com/

Isnin, 7 November 2011

Rahsia seorang lelaki Ghuraba'

سم الله الرحمن الرحيم


P: Kenapa awak tak pernah minta gambar saya walaupun dah lama kita berkawan?


L: Bagi saya itu bukan satu kepentingan. Saya hanya akan lihatnya bila sampai masanya. (Lihat hanya untuk melamar).

P: Kenapa awak tak pernah minta nombor telefon saya?

L: Itu mungkin akan menjadi perangkap syaitan antara saya dan awak.

P: Kenapa awak tak penah puji saya macam laki2 lain puji awek dorang?

L: Puji2an hanya untuk Allah yang Maha Esa.

P: Kenapa awak tak macam lelaki lain, yang selalu bergurau senda dengan perempuan2?

L: Rasulullah saw tidak pernah bergurau dengan mana-mana perempuan bukan mahram. kecuali isteri-isterinya sahaja.

P: Kenapa awak terlalu tegas dengan perempuan-perempuan yang cuba kenal dengan awk?

L: Umar Al-Khattab seorang yang tegas. Saya mahu mencontohi beliau. Lelaki dan perempuan ibarat magnet.

Kalau saya bersikap terlalu mesra, perempuan2 akan mengambil kesempatan atas kemesraan saya dan ini akan menimbulkan satu harapan dalam hati mereka. Saya sangat cintakan wanita sebab itu saya tidak mahu mengecewakan mereka. Allah lebih mengerti. Wassalam...

P: Allahu Akbar... Ini pertama kali saya jumpa lelaki seperti awak.


Jumaat, 4 November 2011

Amalan Islam Dan Kesihatan

سم الله الرحمن الرحيم



Mandi pagi sebelum subuh @ sekurang kurangnya sejam sebelum matahari naik. Air sejuk yang meresap kedalam badan boleh mengurangkan lemak mengumpul. Kita boleh saksikan orang mengamal mandi pagi kebanyakan badan tak gemuk.

Rasulullah mengamalkan minum segelas air sejuk (bukan air ais) setiap pagi. Mujarabnya InsyaAllah jauh dari penyakit (susah nak kena sakit).

Waktu solat subuh disunatkan kita bertafakur (iaitu sujud sekurang kurangnya seminit selepas membaca doa). Ia boleh mengelak dari sakit pening atau migrin. Ini terbukti oleh para saintis yang membuat kajian kenapa dalam sehari perlu kita sujud. Ahli-ahli sains telah menemui beberapa milimeter ruang udara dalam saluran darah di kepala yg tidak dipenuhi darah. Dengan bersujud maka darah akan mengalir ke ruang berkenaan.

Dalam kitab juga ada melarang kita makan makanan darat bercampur dengan makanan laut. Nabi pernah menegah kita makan ikan bersama susu. di kuatiri akan cepat mendapat penyakit. Ini terbukti oleh saintis yang menjumpai dimana dalam badan ayam mengandungi ion+ manakala dalam ikan mengandungi ion-, jika dalam suapan ayam bercampur dengan ikan maka terjadi tidakkan balas biokimia yang terhasil yang boleh
merosakkan usus kita.

Nabi juga mengajar kita makan dengan tangan dan bila habis hendaklah menjilat jari. Begitu juga ahli saintis telah menjumpa bahawa enzyme banyak terkandung di celah jari jari, iaitu 10 kali ganda terdapat dalam air liur. (enzyme sejenis alat percerna makanan, tanpanya makanan tidak hadam)

Khamis, 3 November 2011

Erti Sebuah Pengorbanan

سم الله الرحمن الرحيم



Setelah setahun ia meninggalkan kita, maka tirai Aidiladha akhirnya muncul semula. Dengan tarikh yang sama yakni 10 Zulhijjah pada tiap-tiap tahun Hijrah, cuma hari dan juga pengalaman sahaja yang akan menjadi berlainan pada setiap tahun. InsyaAllah pada hari Ahad ini, umat Islam di seluruh Malaysia akan menyambut salah satu hari yang paling besar, keberkatannya sebenar lebih besar daripada Aidilfitri, nak tau ape hari tu?? sudah semestinya Hari Raya Aidiladha!

Alhamdulillah, semoga kita dapat bertemu kembali dengan hari yang penuh dengan makna sejarah dan pengorbanan ini...

Seperti yang kita sedia maklum, kedatangan Aidiladha ini bukanlah disengajakan, lebih-lebih lagi menyimpang daripada kebetulan semata-mata, sebab ia mempunyai peristiwa sejarah pengorbanan yang teramat penting dalam sejarah Islam. Selalunya apabila dikatakan tentang Aidiladha, mesti ia sinonim dengan peristiwa Nabi Ibrahim a.s. dan juga anaknya Nabi Ismail a.s. Betul tak?? Tetapi sebenarnya ia lebih daripada itu, kerana Aidiladha ini merupakan gambaran simbol kasih sayang yang kukuh antara seorang Nabi kepada Tuhannya, seorang ayah kepada anaknya, seorang suami kepada isterinya dan juga seorang ibu kepada anaknya.

Peristiwa yang pertama kita dapat lihat adalah apabila Nabi Ibrahim a.s. diperintahkan oleh Allah S.W.T agar meninggalkan isterinya Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s. di padang pasir yang tandus. Dan dari situ Siti Hajar terpaksa berlari dari gunung Safa ke Marwah untuk mendapatkan bekalan air untuk anaknya Ismail yang kehausan, dan dengan mukjizat daripada Allah, akhirnya Nabi Ismail a.s. menghentakkan kakinya ke tanah dan terhasilnya air zam-zam. Padang pasir yang tandus itu juga telah menjadi tumpuan buat umat Islam zaman sekarang untuk menunaikan haji yakni Makkatul Mukarramah atau nama dahulunya Bakkah.

Peristiwa kedua ni pulak sudah biasa kita dengar, tetapi ia amat penting dalam sejarah kerana bermulanya ibadah korban bagi umat Islam, yakni ujian Allah kepada Nabi Ibrahim a.s. kepada agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. Tanpa ragu-ragu lagi Nabi Ibrahim menyahut seruan Allah walaupun masyarakat pada waktu itu mengatakan bahawa baginda gila. Dengan rahmat Allah yang Maha Kuasa, maka akhirnya Allah gantikan anaknya dengan kibash untuk dijadikan sembelihan. Ya Allah, kalau aku yang diberi ujian sebegitu pun aku tak sanggup melakukannya. Sungguhlah benar bahawa Allah tahu setiap perkara yang dilakukanNya.

Nabi Ismail a.s. berkata: "Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.'' (Ash-Shafaat:102)

Kita perlu tahu dan sedar bahawa erti sebuah pengorbanan pada hari Aidiladha bukanlah hanya sekadar sembelih lembu ataupun dapat mengerjakan haji di Baitullah sahaja. Banyak lagi yang kita dapat ambil iktibar lebih-lebih lagi daripada peristiwa yang aku ceritakan sebentar tadi. Dalam setiap pengorbanan itu perlulah ada usaha, doa dan tawakal. Dalam setiap pengorbanan itu memerlukan kecekalan dari segi mental dan fizikal. Dan dalam setiap pengorbanan itu juga tiada kenal erti putus asa dalam kamus hidupnya. Apabila kita melakukan suatu pengorbanan tidak kiralah untuk diri sendiri, keluarga, pakwe awek, ataupun sesiapa, kita haruslah terima segala keputusannya dengan tabah.

Lagi satu perkara, macam yang aku cakap pada awal artikel aku tadi, pengertian sambutan Aidiladha ini adalah lebih bermakna daripada sambutan Aidilfitri. Tetapi yang kita boleh nampak kita terlalu ghairah dalam persiapan sambutan Aidilfitri tetapi untuk Aidiladha nih buat rilek2 je, macam tak ada apa-apa yang berlaku langsung.


Kita sebenarnya tersilap kerana melebihkan Aidilfitri daripada Aidiladha. Cuba kita lihat perbandingannya:

Pertama: Kita dituntut bertakbir membesarkan Allah hanya dalam lingkungan 12-14 jam sahaja pada hari Raya Aidilfitri sedangkan tempoh takbir Hari Raya Korban ialah 4 hari lamanya.

Kedua: Kita diharamkan berpuasa 1 hari sahaja (1 Syawal) pada Aidilfiri tetapi kita diharamkan berpuasa selama 4 hari lamanya (10 Zulhijjah dan 3 Hari Tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah) pada hari raya Korban.


“Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah s.w.t. pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah s.w.t. sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat korban yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Oleh itu, kepada semua pembaca yang aku amat hargai sekalian, jadikanlah Aidiladha pada tahun ini sebagai titik permulaan untuk kita mengambil iktibar dan keberkatan daripada Allah s.w.t. Semoga kita semua dapat menikmati apa yang dinamakan erti sebuah pengorbanan...


Mudah-mudahan Aidiladha kali ini akan memberikan kita satu dimensi baru akan maksud serta pengertian kita terhadap apa yang dikatakan sebagai KORBAN dan PENGORBANAN.

Tidak ramai diantara kita yang benar-benar sanggup berkorban. (sangat subjektif ayat ini..)

Dan sangat ramai juga di antara kita yang berdetik-detik atau berkata-kata di dalam hati apabila berhadapan dengan situasi atau suasana atau keadaan yang menuntut kita melakukan pengorbanan... sedang kita amat lupa bahawa kehidupan kita di muka bumi ini adalah merupakan satu perlaksanaan ibadah secara total yang sewajibnya di akhir nafas nanti kita akan terkorban dalam pengorbanan.

Jika kita mampu mangaku bahawa kehidupan kita di dunia ini adalah merupakan satu jihad... maka kita sebenarnya sudah hampir memahami istilah serta maksud pengorbanan yang sebenar..

Para sahabat Rasulullah yang kita sering ikuti atau terdengar atau didendangkan kisah mereka adalah merupakan contoh-contoh yang boleh kita lihat akan tahap pengorbanan mereka tidak lain tidak bukan hanya kepada Rasul & Allah semata-mata..

Apabila kita mengatakan Rasul & Allah maka kita sebenarnya telah bersaksi akan kesanggupan kita berkorban dalam segenap segi di dalam agama kita..

Ayat 'Amal Maaruf Nahi Mungkar' juga adalah merupakan satu syiar atau seruan jihad di mana semua umat islam yang bersaksi kepada Allah & Rasul telah berjanji sepenuh hati untuk berjuang dan berkorban di atas jalan lurus sebagaimana yang kita diwajibkan membaca surah Al-Fatihah di dalam solat kita...

Maka mereka-mereka yang berjuang di jalan Allah adalah mereka-mereka yang berjihad dan syurgalah tempat kekal abadi buat mereka..

"Peperangan di akhir zaman nanti adalah peperangan melawan hawa nafsu..."

Sabda Rasulullah tersebut juga turut membawa erti pengorbanan dalam maksud yang tersirat.. di mana kita sedaya-upaya berusaha bersungguh-sungguh @ berjihad untuk memerangi hawa nafsu (jahat) yang sering kita biarkan terpengaruh dengan hasutan syaitan.. dan dalam perjuangan jihad melawan hawa nafsu inilah kita perlu berkorban.. korban wang ringgit, korban masa kesukaan kita, korban perasaan dan sebagainya...

maka di penghujung jihad kita dalam memerangi hawa nafsu ini.. dengan segenap pengorbanan lalu berjaya menumpas dan berjaya mengawalnya.... maka sambutlah kemenangan jihad serta pengorbanan kita ini dengan berita gembira, lalu lakukanlah solat taubat, sujud syukur dan berhiaslah cantik sekadar mampu lalu melangkah ke masjid bersama-sama saudara se islam bertasbih, bertahmid dan bertakbir untuk meraikan kemenangan ini...

Mengharapkan sesuatu tanpa berkorban hanyalah sekadar angan-angan kosong ibarat menanam benih di padang pasir yang gersang ketandusan..

Jiwa Hamba

Rabu, 2 November 2011

Indahnya Sebuah Pengorbanan

سم الله الرحمن الرحيم


Musim hujan yang berlalu menjadikan pepohon subur menghijau. Kelihatan seekor ulat merayau-rayau di antara dedaun menghijau yang bergoyang-goyang diterpa angin.


“Apa khabar daun hijau,” katanya.
Tersentak daun hijau menoleh ke arah suara yang datang

“Oh, kamu ulat. Badanmu kelihatan kurus dan kecil, mengapa?” tanya daun hijau.

“Aku hampir tidak mendapatkan dedaunan untuk makananku. Bolehkah engkau membantuku sahabat?” kata ulat kecil.

“Tentu.. tentu.. dekatlah kemari.” Daun hijau berfikir, “Jika aku memberikan sedikit dari tubuhku ini untuk makanan si ulat, aku akan tetap hijau. Hanya sahaja aku akan kelihatan berlubang-lubang. Tapi tak apalah.”

“Perlahan-lahan ulat menggerakkan tubuhnya menuju daun hijau.

Setelah makan dengan kenyang ulat berterima kasih kepada daun hijau yang telah merelakan bahagian tubuhnya menjadi makanan si ulat.

Ketika ulat mengucapkan terima kasih kepada sahabat yang penuh kasih dan pengorbanan itu, ada rasa puas di dalam diri daun hijau. Sekalipun tubuhnya kini berlubang di sana-sini namun ia bahagia dapat melakukan sesuatu bagi ulat kecil yang lapar.

Tidak lama berselang ketika musim panas datang daun hijau menjadi kering dan berubah warna. Akhirnya ia jatuh ke tanah, disapu orang dan dibakar.

Moral Of The Story:

Apa yang terlalu bererti bagi hidup kita sehingga kita tidak boleh berkorban sedikit sahaja untuk kesenangan orang lain? Nah… akhirnya semua yang ada akan mati dan lenyap.

Merelakan kesenangan dan kepentingan diri sendiri untuk sesama insan memang tidak mudah, tetapi indah. Ketika berkorban diri kita sendiri menjadi seperti daun hijau yang berlubang namun itu sebenarnya tidak mempengaruhi hidup kita, kita akan tetap hijau, Tuhan akan tetap memberkati dan memelihara kita.

Bagi “daun hijau”, berkorban merupakan sesuatu perkara yang bermakna dan terasa indah serta memuaskan. Dia bahagia melihat si ulat dapat tersenyum kerana pengorbanan yang ia lakukan. Ia juga melakukannya kerana menyedari bahawa ia tidak akan selamanya tinggal sebagai “daun hijau”. Suatu hari ia akan kering dan jatuh.

Demikianlah kehidupan kita. Hidup ini hanya sementara, kemudian kita akan mati. Maka isilah hidup ini dengan perbuatan-perbuatan baik, kasih, pengorbanan, pengertian, kesetiaan, kesabaran dan kerendahan hati.

Jadikanlah berkorban itu sebagai sesuatu yang menyenangkan dan menggembirakan diri kita. Kita dapat berkorban dalam banyak perkara. Mendahulukan kepentingan sesama, melakukan sesuatu bagi mereka, memberikan apa yang kita punyai dan masih banyak lagi pengorbanan yang dapat kita lakukan.

Yang mana yang sering kita lakukan? Menjadi ulat kecil yang menerima kebaikan orang atau menjadi “daun hijau” yang senang memberi??.. Kita sendiri yang pilih dan tentukan.

Selasa, 1 November 2011

Biasa Berdosa

سم الله الرحمن الرحيم


Din: Apa ko rasa mula-mula tinggal sembahyang…?

Man : Rasa berdosa.., rasa bersalah dan insaf.

Din: Bila dah selalu sangat tinggal sembahyang, apa ko rasa?

Man : Rasa cam biase…

Din: Itulah di dunia…bila dosa dah jadi kebiasaan, tak ada apa-apa lagi yang akan dirasakan.

Man : Ko perli aku?

Din: Tak, aku perli dunia. Ko tak ‘bersalah’, tapi dunia…

Man : Hah? Erk….

Din: Tapi jangan bimbang, kat akhirat tak ada rasa biasa..

Man : Maksud ko?

Din: Nikmat syurga akan seperti selalu diperbaharui… setiap hari. Kenikmatannya tak akan jadi satu kebiasaan.

Man : Neraka?

Din: Samala.. Kalau ko selalu pening kepala kat dunia, ko akan rasa ia satu kebiasaan buat ko. Kat neraka tak ada lagi kebiasaan. Semua seksaan bersifat luar biasa dan tak akan pernah berubah sifat itu.. Sakitnya amat.

Man : (Berkerut dahi. Terduduk dan termenung)

Din: (Berjalan ke surau sambil makan Choki-choki dan menyanyi) la la la la..

p/s: untuk aku dan engkau semua
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...