Ukhwah Islamiyyah

Jumaat, 17 September 2010

AIDILFITRI : SATU RENUNGAN

سم الله الرحمن الرحيم

Kemeriahan Aidilfitri terus dirasai dan disemangati dengan pelbagai upacara sambutan dan amalan tradisi rumah terbuka di sana sini. Fenomena ziarah-menziarahi dan rumah terbuka Aidilfitri seperti ini sudah begitu sebati dalam masyarakat kita tidak kira di mana sahaja mereka berada.

Demikianlah hebatnya sambutan Hari Raya Aidilfitri yang merupakan saat yang sememangnya disunatkan untuk umat bergembira dengan penuh rasa kesyukuran setelah berjaya menempuh fasa latihan kerohanian dan penyucian jiwa (tazkiah an-Nafs) di sepanjang bulan Ramadan.

Seperti biasa syawal akan dipenuhi dengan budaya ziarah-menziarahi dan sedekah-mensedekahi, cuma dikesempatan yang ada, inginku berpesan pada diri dan teman-teman supaya menjaga adab-adab ziarah, ambillah masa seketika, belajar sejenak tentang adab-adab ziarah. Supaya ziarah yang kita lakukan mendatangkan pahala kepada kita dan kepada orang yang menerima penziarahan kita.


Pelihara mata ketika ziarah usah melilau mata memandang harta benda tuan rumah kecuali dengan keizinan dan redha tuan rumah, pelihara suara ketika berbicara ketika menziarah, pilih masa yang paling sesuai ketika ziarah, dan pastikan tempoh ziarah tidak terlalu lama supaya tuan rumah memiliki masa untuk berehat ataupun memiliki peluang turut sama meraikan aidilfitri dengan aktiviti-aktiviti yang dirancangnya bersama keluarga ataupun kawan-kawan mereka.


Jika mampu, bersedekahlah kepada mereka yang lebih afdhal, usah bersedekah kerana memilih bulu, atau keturunan, atau latarbelakang semata-mata kerana ingin menjaga standard atau menjaga nama. Seafdhal-afdhalnya sedekahlah kepada orang miskin yang benar-benar memerlukan pensedekahan. Berkongsilah sinar aidilfitri dengan mereka yang benar-benar memerlukan terutamanya anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal, orang-orang kurang upaya dan tidak lupa terhadap warga tua.

Hendak berpuasa Syawal atau hendak meneruskan raya

Setelah selesai berpuasa Ramadan kita disuruh atau diperintahkan Allah supaya berhari raya iaitu pada 1hb.Syawal dan setelah itu diperintahkan pula supaya berpuasa sunat, walau bagaimana pun perintah ini hanya perintah yang lebih ringan sedikit, iaitu boleh pilih sama ada hendak berpuasa atau sebaliknya. Tetapi ditegaskan bahawa melakukannya itu lebih utama daripada mengabaikannya kerana berpuasa itu lebih baik, sekiranya kita berhari raya sehari sahaja dan meneruskan dengan berpuasa syawal pada 2hb.Syawal sehingga 7hb.Syawal akan mendapat ganjaran yang berlipat ganda, mereka itu ibarat berpuasa sepanjang tahun , demikianlah penjelasan dari Rasulullah.s.a.w.

Jika kita mengikut betul-betul sunnah Nabi tanpa ubahsuai, kefarduan puasa dan berhari raya , sebenarnya tidak membebankan pun, baik dari segi apa pun khasnya dari segi ekonomi kerana berhari raya Aidil Fitri hanya sehari sahaja, kemudian kita seharusnya meneruskan puasa. jika ditakdirkan semua orang Islam mematuhinya maka tiada masalah yang mengganggui pelaksanaan syariat tersebut, tetapi, jika berlaku sebaliknya tentulah ada gangguan, satu pihak berpuasa sunat, suatu pihak pula menziarahi kita untuk berhari raya, situasi inilah yang menjadi masalah, di mana ibadat dan adat berlawan tarik tali.Satu pihak ingin menegakkan syariat dengan lebih mantap lagi tetapi ada pula pihak lain ingin mengekalkan adat yang direka dan ditokok tambah pada item sambutan hari raya.

Sebenarnya Hari Raya Haji sahaja yang mengambil masa sampai empat hari iaitu mulai 10hb.Zulhijjah sehingga 13hb.Zulhijjah dalam jarak masa tersebut disuruh mengerjakan ibadat korban dan mereka yang mengerjakan Haji pula ditambah dengan kerja Hajinya.

Semua amalan tersebut tidak akan kembali menjadi lebih baik sekiranya kita melakukannya secara ikut-ikutan tanpa merujuk kepada sunnah Nabi secara teliti dan serius serta takut hendak menyuarakan perubahan kerana takut disanggah oleh orang lain, sepatutnya kita perlu mentahsinkan atau membersihkan amalan kita supaya adat yang terjadi itu adalah hasil ibadat yang kita lakukan berterusan, bukannya bertukar ibadat menjadi adat semat-mata kerana ditokok tambah oleh pihak-pihak tertentu supaya sesuai denga kehendak hati dan naluri. Akhirnya terjadilah ibadat itu kurang berkualiti kerana kita meninggalkan afdal dengan mengambil yang kurang afdal atau tidak afdal, contohnya yang afdal pada 2hb sehingga 7hb.Syawal adalah lebih utama berpuasa sunat tetapi kita gantikan dengan berhari raya, puasa sunat dianjak ke hadapan atau ditinggalkan terus, pada hal dengan anjakan itu akan berbelanja besar kerana persediaan Hari Raya, maklumlah seluruh minda masyarakat tertumpu pada sambutan tersebut.

Perubahan ini memerlukan penglibatan semua orang dan memahami syariat Islam secara kognitif, afektif , psikomotor dan juga berfikir secara proaktif serta menghayatinya berdasarkan kefahaman yang kukuh yang sentiasa merujuk kepada amalan asal yang dihayati oleh Rasulullah.s.a.w.Kalau tidak melibatkan semua orang Islam perubahan akan kelihatan sumbang. Mereka yang melakukan perubahan ke arah yang lebih baik itu umpama kera sumbang dan kelumpok besar yang tidak mahu mentahsinkan itu dilihat lebih baik, walaupun bukan hakikat.

Sikap mengutamakan ibadat dapat mengelakkan pembaziran


Dalam menyambut perayaan sama ada Aidil Fitri mahupun Aidil Adha, sekiranya umat Islam benar-benar mengikut ajaran Islamdalam setiap langkah menyambut perayaan ianya akan mengurangkan pembaziran kerana suruhan yang dianjurkan tiada suatu pun yang menyebabkan pembaziran.

Kiranya inilah pilihan kita insya Allah tidak akan berlaku pembaziran dan melibatkan perbelanjaan yang besar. Adat adalah faktor utama menjadikan kita membazir dan jika silap langkah bukan sahaja kerugian kebendaan atau wang ringgit tetapi juga pahala dan ganjaran baik yang menjadi simpanan untuk akhirat.

Pandangan ini mungkin kelihatan mundur dari segi aqlinya tetapi sebenarnya adalah suruhan yang hakiki yang belum diasimilasikan dengan unsur nagetif yang mendatang.Siapakah yang mula mencemarkan perayaan Aidil Fitri yang suci ini, bukankah di dalam kitab-kitab yang merujuk dan membuat sudutan ajaran dari al.Quran dan al.Hadis tidak langsung menyebut bahawa perayaan itu perlu disertai dan diiringi dengan membakar mercun, bunga api atau perlu mengadakan rancangan hiburan di Tv atau sebagainya.Adakah kita merayakan Aidil Fitri atau kita sebenarnya "Berpesta Aidil Fitri" yang akan melenyapkan pahala ibadat puasa yang dihayati selama sebulan itu.

Jadikanlah Aidilfitri yang kita rayakan ini dapat mendekatkan diri kita kepada Allah. Semoga kita dapat menghayati bulan Syawal dengan sepenuhnya dan
semoga syawal yang kita rayakan memberikan kesan yang baik dalam kehidupan kita.

Rabu, 15 September 2010

Antara 9 Mimpi Nabi Muhammad S.A.W.

سم الله الرحمن الرحيم

Daripada Abdul Rahman Bin Samurah ra berkata, Nabi Muhammad saw bersabda:

“Sesungguhnya aku telah mengalami mimpi-mimpi yang menakjubkan pada malam aku sebelum di Israqkan…. ….”

1. Aku telah melihat seorang dari umatku telah di datang oleh malaikatul maut dengan keadaan yg amat mengerunkan untuk mengambil nyawanya, maka malaikat itu terhalang perbuatannya itu disebabkan oleh KETAATAN DAN KEPATUHANNYA KEPADA KEDUA IBUBAPANYA.

2 . Aku melihat seorang dari umatku telah disediakan azab kubur yang amat menyeksakan, diselamatkan oleh berkat WUDUKNYA YANG SEMPURNA.

3. Aku melihat seorang dari umatku sedang dikerumuni oleh syaitan-syaitan dan iblis-iblis lakhnatullah, maka ia diselamatkan dengan berkat ZIKIRNYA YANG TULUS IKHLAS kepada Allah.

4. Aku melihat bagaimana umatku diseret dengan rantai yang diperbuat daripada api neraka jahanam yang dimasukkan dari mulut dan dikeluarkan rantai tersebut ke duburnya oleh malaikat Ahzab,tetapi SOLATNYA YANG KHUSUK DAN TIDAK MENUNJUK-NUNJUK telah melepaskannya dari seksaan itu.

5. Aku melihat umatku ditimpa dahaga yang amat berat, setiap kali dia mendatangi satu telaga di halang dari meminumnya, ketika itu datanglah pahala PUASANYA YANG IKHLAS KEPADA ALLAH SWT memberi minum hingga ia merasa puas.

6. Aku melihat umatku cuba untuk mendekati kumpulan para nabi yang sedang duduk berkumpulan- kumpulan, setiap kali dia datang dia akan diusir, maka menjelmalah MANDI JUNUB DENGAN RUKUN YANG SEMPURNANYA sambil kekumpulanku seraya duduk disebelahku.


7. Aku melihat seorang dari umatku berada di dalam keadan gelap gelita di sekelilingnya, sedangkan dia sendiri di dalam keadaan binggung, maka datanglah pahala HAJI DAN UMRAHNYA YANG IKHLAS KEPADA ALLAH SWT lalu mengeluarkannya dari kegelapan kepada tempat yang terang – benderang.


8. Aku melihat umatku cuba berbicara dengan golongan orang mukmin tetapi mereka tidakpun membalas bicaranya, maka menjelmalah SIFAT SILATURRAHIMNYA DAN TIDAK SUKA BERMUSUH-MUSUHAN SESAMA UMATKU lalu menyeru kepada mereka agar menyambut bicaranya, lalu berbicara mereka dengannya.


9. Aku melihat umatku sedang menepis-nepis percikan api ke mukanya,maka segeralah menjelma pahala SEDEKAHNYA YANG IKHLAS KERANA ALLAH SWT lalu menabir muka dan kepalanya dari bahaya api tersebut.





di ambil dari:
http://pesananbersama.blogspot.com/

Selasa, 14 September 2010

Raya Sebenar Raya

سم الله الرحمن الرحيم























Sempena hari raya ini, marilah sama-sama kita merenung sebuah hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, berkaitan dengan konsep 'hari raya' yang lebih luas. Menurutnya, Nabi Muhammad saw. bersabda hari raya yang sebenarnya bagi orang beriman itu ada pada 5 keadaan:

1. Setiap hari ia berjalan dan bertemu seorang yang beriman serta ia tidak melakukan sebarang dosa, itu ialah hari raya baginya.

2. Hari keluarnya dari dunia dengan penuh keimanan dari tipu daya syaitan

3. Hari menyeberang Siratul Mustakim dan terselamat dari bencana jatuh ke dalam api neraka

4. Hari kita masuk syurga dengan selamat dan terlepas dari api neraka

5. Hari ia menatap wajah Allah Ta'ala

Menurut Nabi Muhammad saw. Hari Raya bagi setiap orang beriman ada pada 5 ketika; iaitu setiap hari yang dia tidak melakukan sebarang dosa, saat meninggal dunia dalam husnul-khatimah, hari berjaya melintasi Siratul-Mustakim dan terselamat dari masuk ke neraka, masuk ke dalam syurga dan hari dia mengadap Allah Taala.

Sekiranya kita tidak melakukan sebarang dosa pada sesuatu hari, itu adalah hari raya bagi kita. Kalaulah kita berusaha sungguh-sungguh menghindarkan diri melakukan sebarang dosa dengan menjauhi larangan Allah serta mematuhi segala perintah Allah, hari itu adalah sebenarnya hari yang harus dirayakan.

Saat menghembuskan nafas terakhir dengan penuh keimanan dari tipu daya syaitan juga termasuk dalam 'hari raya' yang dimaksudkan oleh Nabi Muhammad saw. Saat sakratul-maut adalah masa yang paling genting bagi setiap individu.

Kesakitannya yang amat sangat bukan saja menimpa jasad bahkan rohnya juga; seperti yang digambarkan oleh ulama kesakitannya lebih dahsyat daripada dipalu dengan 1000 pedang, atau digunting dengan beberapa gunting atau digergaji dengan beberapa gergaji. Malahan dikatakan saat sakrat adalah hari kiamat bagi si-mati.

Menurut Imam Ghazali kesusahan mati itu 3, pertama kesakitan sakrat, kedua kesusahan melihat kedatangan malaikatul-maut dengan mukanya yang amat bengis dan ketiga kesusahan jika dinampakkan tempat kediaman di neraka (jika ahli maksiat).


Sudahlah tidak tertahan dengan kedahsyatan yang amat sangat, syaitan pula sibuk menangguk di air keruh. Di saat inilah dia menjalankan taktik dan strategi terakhir untuk menumpaskan kita. Hanya orang yang Allah tetapkan mati dalam husnul khatimah saja terlepas dari tipu dayanya. Berjayanya kita di saat ini barulah kita dapat menikmati hari raya sebenarnya.

Namun alam perkuburan merupakan alam yang penuh dengan peristiwa-peristiwa dahsyat. Bagi orang mukmin, ia merupakan satu taman dari taman-taman syurga, sebaliknya bagi orang kafir, alam barzakh adalah satu pintu dari pintu neraka.

Hari Raya seterusnya adalah hari kita berjaya melepasi api neraka selepas merentas Titian Siratul Mustaqim. Sebelum menyeberang jambatan yang direntang di atas kawah neraka, setiap individu disoal dan ditimbang amalan baik dan jahatnya.

Selesai dari segala perhitungan tersebut barulah diperintah meniti Titian yang sangat tajam dan sangat halus ini. Orang yang mengikut jalan lurus semasa di dunia selamat menyeberang dengan kelajuan yang pantas. Malangnya mereka yang menyeleweng dari jalan lurus di dunia gagal dan jatuh ke dalam api neraka.

Bayangkan betapa dahsyat dan ngerinya berada di jambatan yang di bawahnya terdapat lautan api yang sentiasa mengait sesiapa saja yang berdosa. Andainya terlepas dari tercebur ke neraka, barulah boleh kita berhari raya.

Hari kita masuk syurga adalah hari raya seterusnya bagi orang beriman. Terlepasnya dari neraka bermakna kita akan dimasukkan ke dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan dan kelazatan. Syurga adalah tempat manusia pilihan.

Penghuni-penguni syurga dengan muka yang berseri-seri diberikan kerajaan yang sangat luas dengan mahligai yang besar serta menikmati pelbagai juadah yang lazat-lazat. Pendeknya mereka beroleh segala kelazatan dan terhindar dari segala seksa. Inilah sebenarnya hari raya bagi orang mukmin.

Hari raya yang paling meggembirakan orang beriman ialah di saat memandang wajah Agung Ilahi. Inilah kenikmatan yang paling agung dan lazat sehingga terlupa kelazatan dan kenikmatan syurga. Ia merupakan puncak atau klimaks kenikmatan orang beriman.

Memandangkan kita belum pun menempuh saat-saat di atas, sepatutnya kita berasa cemas dan berwaspada. Dalam masa kita bersuka ria menyambut hari raya ini, lintaskanlah di hati sanubari kita bahawa hari raya sebenarnya belum kita tempuhi lagi. Amat jauh terpesongnya budaya kita yang menyambut hariraya dengan maksiat seperti hiburan, nyanyian, tarian dan pelbagai kegilaan yang melupakan kita akan hari raya sebenarnya.

Idilfitri hanya satu gambaran atau tamsilan bagi kita merenung bahawa Allah akan membalas dengan ganjaran baik jika berjaya melepasi rintangan hawa nafsu dan mengendalikan hidup mengikut cara yang Allah redhai.

Mudah-mudahan hari raya yang kita hadapi ini tidak berakhir di sini saja, sama-samalah kita berdoa semoga ia berterusan sehinggalah kita berjaya melepasi sakaratul-maut, titian siratul-mustaqim, menjadi penghuni syurga dan akhirnya mengadap zat Allah Taala di syurga kelak.
Amin..

Wallahu 'alam

Khamis, 9 September 2010

Amalan Sunat Di Aidilfitri

سم الله الرحمن الرحيم


Dalam keseronokan dan kegembiraan kita menyambut k
edatangan Hari Raya, kita jangan lupa melakukan perkara-perkara yang sunat sebagaimana yang ditetapkan oleh agama Islam, antaranya:

1. Sunat melaungkan takbir sebaik sahaja diumumkan bahawa anak bulan Syawal telah jelas dilihat (samada secara hisab atau rukyah).

2. Sunat menghidupkan malam Hari Raya dengan berzikir dan mengerjakan sembahyang terutama Sembahyang Sunat Tasbih.

3. Sunat mandi dengan niat kerana kedatangan Aidilfitri pada pagi Hari Raya sebelum pergi ke masjid.

4. Sunat memakai bau-bauan yang harum, membersihkan diri dengan bergunting rambut dan memotong kuku serta memakai pakaian yang paling elok.

5. Sunat makan sedikit pada pagi itu (sebaiknya makan buah kurma dengan bilangan yang ganjil) sebelum ke masjid bagi menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya.

6. Sunat menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya, kerana ia adalah perkara yang paling penting dan utama dalam kita menyambut Hari Raya daripada perkara-perkara sunat yang lain.

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam riwayat Al-Imam Al-Bukhari maksudnya:

"Dari Al-Bara' bin 'Azib ia berkata: Sabda Nabi s.a.w, sesungguhnya yang awal-awal sekali kita mulakan pada hari ini (Hari Raya) ialah sembahyang."

7. Sunat doa-mendoakan dan mengucapkan tahniah antara satu sama lain seperti mengucapkan :

Taqaballahuminna wa minkum 'semoga Allah menerima daripada kita dan menerimanya daripada awak'.


Dalam suasana kegembiraan dan kemeriahan kita menyambut Hari Raya yang akan menjelang tiba, kita juga jangan melupakan manusia yang kurang bernasib baik yang hidup susah dan menderita disebabkan kemiskinan dan musibah yang menimpa mereka.

Mudah-mudahan amal yang kita lakukan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban kesengsaraan dan penderitaan yang mereka tanggung. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya:

"Dari Abi Hurairah r.a.: Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Barangsiapa melepaskan seorang mukmin itu suatu kesusahan dari kesusahan dunia, Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan dari kesusahan-kesusahan di akhirat."

--
Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. (At-Taubah 9: 41)

Sabtu, 4 September 2010

Andai kita tahu ini Ramadan terakhir...

سم الله الرحمن الرحيم

Andai malam ini Lailatul Qadar, sudah pasti kita akan membuat persiapan di siang hari lagi. Tidak sabar menunggu malam nanti. Rindu untuk beribadah pada Allah. Adakah anda sebegitu?

Andai malam ini Lailatul Qadar, ramai tahu kelebihannya, tapi lebih ramai yg memenuhi shopping complex berbanding masjid. Anda yang mana satu?

Andai malam ini Lailatul Qadar, bagi siapa yg menunggu ketibaannya, pasti gugur air mata apabila imam membaca Surah Al-Qadr tatkala Solat Terawih.

Andai malam ini Malam Lailatul Qadar, dan andai kamu mengetahui kelebihan Lailatul Qadar, pasti ada yang sudah mahu bersiap2 ke masjid, beriktikaf dan melakukan Qiyamullail, beribadah tanpa henti. Adakah kamu sebegitu? Atau masih mahu menunggu Ramadan tahun hadapan?

Sudah berapa kali kita menitiskan air mata kita untuk Allah sempena Ramadan ini, lebih2 lagi tatkala solat Tarawikh? Adakah kita enggan melakukannya tahun ini, kerna mahu menantikan Ramadan tahun hadapan?

Andai kita tahu ini Ramadan terakhir, pasti kita tak henti-henti beribadat, kerana amalan fardu akan dilipat gandakan sehingga 70 kali ganda. Menunaikan yang sunat diberi balasan pahala fardhu. Adakah wujud peluang ini pada bulan-bulan lain? Yakinkah kita akan bertemu lagi Ramadan tahun depan? Cukupkah amal dan pahala kita?

Andai kita tahu ini Ramadan terakhir, pasti tatkala ini sudah separuh Al-Quran kita baca dan fahami. Ya, bukan sekadar Surah Yaasin atau sehelai dua sahaja. Tapi kita ego, kita mengerti semua itu, tapi masih tidak peduli, kerana yakin ada lagi Ramadan tahun depan untuk kita. Benarkah umur kita panjang lagi?

Andai kita tahu ini Ramadan terakhir, pasti kaki kita sakit kerana berdiri terlalu lama, melakukan solat malam. Bukan kaki sakit kerana membeli-belah untuk persiapan Aidilfitri. Tapi kita ego, lebih pentingkan shopping, kerana yakin ada lagi Ramadan tahun depan untuk kita. Benarkah umur kita panjang lagi?

Andai kita tahu ini Ramadan terakhir, pasti kita sanggup tidur 1 jam setiap hari. Selebihnya, kita solat menyembah Allah, memohon ampun. Tapi kita ego, lebih pentingkan tidur, kerana yakin ada lagi Ramadan tahun depan untuk kita. Benarkah umur kita panjang lagi?

Andai kita tahu ini Ramadhan terakhir, pasti kita akan cuba khatam Al-Quran, berserta maknanya berkali-kali selagi mampu. Bukan hanya sekadar membaca 1-2 muka sehari. Ini kerana kita rasa masih ada Ramadhan pada tahun depan untuk kita. Tapi adakah umur kita cukup panjang?

Andai kita tahu ini Ramadhan terakhir, pasti mulut kita tidak lekang berzikir, memuji Allah. Al-Quran jadi teman setia. Tapi kita cuma berazam, tidak melakukan. Lebih banyak bercerita tentang dunia berbanding cerita agama. Adakah masih ada Ramadhan pada tahun depan untuk kita? Adakah umur kita cukup panjang?

Andai kita tahu ini Ramadhan terakhir, pasti kita berbuka sekadar kurma dan air sahaja. Sekadar alas perut, tak perlu terlalu kenyang. Yang lain2, kita sedekahkan pada anak2 yatim dan masjid. Tapi kita cuma berazam, tidak melakukan. Adakah masih ada Ramadhan pada tahun depan untuk kita? Adakah umur kita cukup panjang?

Andai kita tahu ini Ramadhan terakhir, pasti kita akan bersedekah dan terus menderma. Hanya cukup2 sahaja tinggal untuk kita dan keluarga. Pasti kita akan tinggalkan kemewahan. Tapi kita cuma berazam, tidak melakukan. Adakah masih ada Ramadhan pada tahun depan untuk kita? Adakah umur kita cukup panjang?

Andai kita tahu ini Ramadhan terakhir dan andai kita mengetahui kelebihan Tarawikh, tentu kita akan ke sanggup masjid walaupun terpaksa merangkak. Namun kita masih tak mahu buat, kerana ingin menunggu Ramadan tahun depan. Tapi panjangkah umur kita?

Andai kita tahu ini Ramadhan terakhir, tentu waktu malam kita sibukkan diri dengan bertarawih, berqiamullail, bertahajjud, mengadu, merintih, meminta belas kasih "Sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MU, tapi aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU". Namun kita masih tak mahu buat, kerana menunggu Ramadan tahun depan. Tapi panjangkah umur kita?

Andai kita tahu ini Ramadhan terakhir, tentu kita tidak akan sia-siakan masa, walau sesaat tidak akan dibiarkan begitu saja. Di setiap kesempatan masa yang terluang, pasti kita akan mengalunkan & syairkan Al-Quran. Tapi masih adakah lagi Ramadan tahun depan untuk kita? Masih panjangkah umur kita?

Andai kita tahu ini Ramadhan terakhir, tentu solat 5 waktu kita kerjakan di awal waktu. Penuh khusyu' dan tawadu'. Menghambakan diri pada Allah. Menangisi kecurangan janji "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan Sekelian Alam". Adakah lagi Ramadan tahun depan untuk kita? Masih panjangkah nyawa kita?

Andai kita tahu ini Ramadhan terakhir, tentu siangnya kita sibuk berzikir, tentu kita tak akan jemu melagukan syair rindu mendayu.. mendayu.. kepada-NYA Allah yang satu. Adakah lagi Ramadan tahun depan untuk kita? Masih panjangkah nyawa kita?

diambil dari Nama-nama Islam

Jumaat, 3 September 2010

Lailatul Qadar Kemuncak Pesta Ibadah

سم الله الرحمن الرحيم

Fasa ke3 Ramadhan Pembebasan dari Api Neraka

Alhamdulillah, kita telah memasuki fasa terakhir dalam bulan Ramadhan iaitu pembebasan dari api Neraka iaitu disepuluh terakhir. Apa yang kita sangat harapkan bertemu malam Lailatul Qadar iaitu malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Apabila kita masuk saja fasa terakhir dalam bulan Ramadhan iaitu pembebasan dari api Neraka iaitu disepuluh terakhir. Apa yang kita sangat harapkan bertemu malam Lailatul Qadar iaitu malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Di fasa ini kita di tuntut menggandakan amal ibadah, bertahajjud, berikhtikaf di masjid, membaca al-Qur'an, zikrullah, berdo'a, bermunajat dan memohon keampunan kepada Allah s.w.t dari segala dosa dan kesalahan dan memohon untuk di bebaskan dari siksaan api Neraka!

Teruskanlah ibadah dengan bersungguh-sungguh, kurangkan berbicara dan sembang-sembang kosong, tinggalkan rutin harian seperti menonton t.v dan sebagainya, ikutilah amalan Nabi s.a.w yang merasa terlalu sibuk lebih dari masa-masa sebelumnya kerana fasa terakhir ini amat penting iaitu mendapat pembebasan dari siksaan api Neraka. Nabi s.a.w. masa 10 malam terakhir mengikat kain sarung baginda (tidak mendekati isteri-ister baginda) .Kita amat berharap belas kasihan Allah s.w.t. semoga Allah memberi pembebasan dan menyelamatkan kita dari siksaan api Neraka. Malaikat Jibril mengatakan celaka pada mereka yang berakhir Ramadhan tetapi namanya masih tercatat sebagai ahli Neraka.

Allah s.w.t. Maha Mendengar atas rintihan hamba-hamba-Nya yang mengaku atas dosa dan kesalahannya meminta rahmat dan rahim Allah s.w.t. dimalam yang penuh sahdu hingga menitiskan air mata penyesalan.

Alangkah bahagianya hidup kita apabila Allah s.w.t. mengampunkan segala dosa-dosa kita dan diredhai-Nya dan dipilih untuk memasuki Syurga-Nya seluas langit dan bumi.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Barangsiapa yang memohon Syurga kepada Allah sebanyak tiga kali, maka Syurga itu berkata :'Ya Allah masukkanlah ia ke Syurga!' Dan barangsiapa yang memohon diselamatkan dari Neraka sebanyak tiga kali, maka Neraka itu berkata: 'Ya Allah! Selamatkanlah ia dari Neraka," (Hadis Riwayat Tirmizi)

Sahabat yang dimuliakan,

Malam Lailatul-Qadar sunat dicari, kerana malam ini merupakan suatu malam yang diberkati serta mempunyai kelebihan dan diperkenankan do'a oleh Allah s.w.t. Malam Lailatul-Qadar adalah sebaik-baik malam mengatasi semua malam termasuk malam Jumaat. Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Al-Qadr 97 Ayat 3.

Maksudnya:

" Malam Lailatul - Qadar lebih baik daripada seribu bulan"

Ertinya menghidupkan malam Lailatul-Qadar dengan mengerjakan ibadah adalah lebih baik daripada beribadah pada seribu bulan yang tidak ada Lailatul-Qadar seperti sabda Nabi s.a.w.maksudnya :

" Sesiapa menghidupkan malam Lailatul-Qadar kerana beriman serta mencari pahala yang dijanjikan akan mendapat pengampunan daripada dosa-dosa yang telah lalu "

Diriwayatkan daripada Saiyidatina Aisyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadhan, baginda menghidupkan malam-malamnya dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya.

Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan maksudnya :

"Rasulullah s.a.w. berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh
akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam lain. "

Malam Lailatul-Qadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya :

" Carilah malam Lailatul-Qadar pada sepuluh akhir bulan Ramadhan dalam malam ganjil. "

Pendapat yang terkuat mengikut para ulama' bahawa malam Lailatul Qadar terkena pada malam 27 Ramadhan. Menurut Abu Ka'ab katanya, "Demi Allah sesungguhnya ibn Mas'ud telah meyakinkan bahawa malam Lailatul-Qadar jatuh dalam bulan Ramadhan manakala Lailatul-Qadar pula terjatuh pada malam 27, akan tetapi dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya."

Daripada Riwayat Mu'awiyah maksudnya :

"Bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda dalam malam lailatul-qadar
iaitu malam ke-27."

Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah Al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir(hia) yang kembalinya kepada Lailatul-Qadar.

Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah Hadis daripada Ibn Umar r.a yang berbunyi maksudnya :" Sesiapa yang mencari Lailatul-Qadar , dia hendaklah mencarinya pada malam yang ke-27, carilah kamu malam Lailatul-Qadar pada malam yang ke-27. "

Aisyah r.a. bertanya kepada Rasulullah, katanya, "Ya Rasulullah s.a.w. andainya aku mendapati malam Lailatul-Qadar, apakah doa yang patut aku bacakan? Rasulullah s.a.w. berdoa dengan do'a:

" Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, oleh itu berilah keampunan-Mu untukku. "

"Ya Allah, aku memohon daripada-Mu keredhaan-Mu dan Syurga, dan aku memohon perlindungan-Mu dan dari azab api Neraka."

Sahabat,

Walaupun malam Lailatul Qadar ada riwayat menyatakan 27 Ramadhan tetapi seelok-eloknya kita isi kesemua malam terakhir (10 malam) dengan amal ibadah dan beriktikaf di masjid kerana ganjaran Ramadhan adalah cukup besar berbanding bulan-bulan yang lain. Nabi sendiri menghidupkan 10 malam terakhir dengan berikhtikaf di masjid, beribadah, solat, zikir dan baca al-Qur'an dengan penuh kesungguhan. Mintalah ampun dengan penuh khusyuk dan tawaduk kepada Allah supaya kita dibebaskan dari siksaan api Neraka.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...