Ukhwah Islamiyyah

Khamis, 31 Mac 2011

Mengapa Manusia Enggan Memberi?

سم الله الرحمن الرحيم

oleh: Ustaz Pahrol Mohd Juoi

Hari ini manusia hilang kebahagiaan kerana sikap suka memberi semakin terhakis. Ramai yang menganggap dengan mendapat sesuatu mereka akan lebih berjaya dan bahagia dalam kehidupan. Kita sering terlupa hikmah yang diungkapkan menerusi kata-kata ini:

“We make a living by what we get but we make a life by what we give” – kita membina hidup dengan apa yang kita dapat tetapi kita membina kehidupan dengan apa yang kita berikan.

Ya, kita hidup dengan kuantiti material (makanan, pakaian, kenderaan, rumah) tetapi kita membina kehidupan dengan kualiti hati (ketenangan, kemesraan, kasih sayang dan persaudaraan). Rumah misalnya, memang dibina dengan gabungan batu, kayu dan simen tetapi rumah tangga dibina dengan kasih sayang. Memanglah dengan apa yang kita dapat (get), kita mampu membina sebuah rumah yang besar, tetapi untuk boleh membina rumah tangga yang tenang kita perlu memberi (give). Kasih sayang, kemesraan dan cinta itu dibina dengan sikap memberi.

Kata bijak pandai, “memberi lebih gembira daripada menerima.” Tapi benarkah memberi lebih gembira daripada menerima? Kalau ditanyakan kepada anda, memberi hadiah dengan menerima hadiah, mana lebih gembira? Tentu ramai yang menjawab, menerima hadiah. Betul tidak? Jadi di mana letaknya kebenaran ungkapan ini?

Baiklah, bayangkan seorang ibu yang mempunyai seorang anak yang merayu dibelikan sebuah anak patung. Sedangkan “spesifikasi” anak patung yang diidamkannya itu terlalu sukar untuk dicari. Telah merata kedai dia mencarinya. Tetapi masih tidak ditemui. Setelah berbulan-bulan kemudian, ketika berkursus di luar negara, tiba-tiba si ibu temui anak patung yang dicari-cari selama ini...

Bayangkan, pada ketika si ibu menyerahkan anak patung yang baru dibelinya itu kepada anak kesayangannya... si anak terlompat-lompat kegembiraan sambil mengucup si ibu bertalu-talu. Ya, pada ketika itu siapakah yang lebih gembira? Si ibu yang memberi atau si anak yang menerima? Ya, pasti anda tahu jawapannya. Lebih-lebih lagi jika anda sendiri seorang ibu. Si ibulah yang lebih gembira.

Setiap ibu bapa yang penyayang pasti lebih gembira “memberi” kepada anaknya. Seorang penoreh getah (yang telah bertungkus-lumus “memberi” segala tenaga dan upaya untuk menyekolahkan anaknya) akan menjadi insan yang paling gembira pada hari anaknya menerima ijazah. Padahal dia yang memberi, anak yang menerima. Begitu juga si suami yang dapat memberi apa yang diidamkan oleh isterinya ketika mengandung anak yang pertama. Ini bukti memberi lebih gembira daripada menerima.

Tetapi perlu diingat, memberi hanya akan menjadikan kita lebih gembira dengan satu syarat, memberi mestilah dengan adanya kasih sayang. Si ibu gembira ketika memberi kepada anaknya kerana adanya kasih sayang. Begitu juga si suami dan sesiapa sahaja. Tanpa kasih sayang, memberi bukan sahaja tidak dengan rasa gembira, bahkan terasa begitu merugikan. Jadi, sekiranya kita sudah tidak gembira lagi ketika memberi, itu petanda kita sudah kehilangan kasih sayang!

Memberi Akan Lebih Banyak Menerima

Kata orang, masakan yang paling enak adalah masakan ibu. Kenapa? Sebab ibu memasak penuh dengan kasih sayang. Semua dibuat semata-mata ingin “memberi” kepuasan kepada anak-anaknya. Jarang sekali seorang ibu merasa terpaksa atau terdera apabila memasak untuk anak-anaknya. Sebab itu masakan itu enak walaupun mungkin resipi atau bahannya tidak sama dengan yang disediakan tukang masak di restoran atau warung yang digemari pelanggan.

Jadi, untuk ceria, kita mesti berpegang pada prinsip “ingin memberi” bukan “ingin mendapat”. A’id al-Qarni, penulis buku La Tahzan (Jangan Bersedih) telah berkata: “Orang yang pertama mendapat manfaat daripada suatu kebaikan ialah orang yang melakukannya.”

Sebab itu beliau menganjurkan, jika kita sedih atau bermuram durja, carilah orang lain dan gembirakannya... nescaya kita akan mendapat kegembiraan semula.

Tidak susah untuk menggembirakan orang lain. Mungkin hanya dengan kata-kata, mungkin hanya dengan senyuman ataupun dengan doa. Berilah kegembiraan kepada orang lain, kegembiraan itu akan datang kepada kita semula. ‘What you give, you get back” – apa yang kita beri akan kita terima semula. Ini hukum alam sunnatullah – “what goes around, comes around.”

Sebenarnya, manfaat memberi ini turut Allah limpahkan juga kepada orang bukan Islam (satu lagi bukti menunjukkan betapa pemberinya Allah). Henry Ford, pencipta kereta yang pertama mempunyai cita-cita ingin melihat ramai orang memiliki kereta. Tetapi cita-citanya tidak dipersetujui oleh pelaburnya yang pertama. Henry Ford berfikir bagaimana hendak memberi sedangkan pelaburnya berfikir bagaimana hendak menerima. Henry Ford berfikir bagaimana hendak membuat kereta dengan kos yang murah dan dijual dengan harga yang murah supaya lebih ramai orang mampu membelinya. Sedangkan pelaburnya berfikir sebaliknya.

Henry Ford mencari pelabur yang kedua. Apabila ditemuinya, kereta mula dibuat dengan kos yang rendah dan dijual dengan harga yang murah. Akhirnya, ramai orang yang mampu membelinya. Rugikah Henry Ford? Tidak! Dia mendapat semula apa yang diberikannya. Lebih ramai orang membeli kereta bererti lebih banyak kereta terjual dan lebih banyak keuntungan yang didapatinya. Benarlah, what you give, you get back!

Berilah Kemaafan

Satu penyelidikan telah dijalankan terhadap penghuni rumah-rumah sakit jiwa. Penemuannya sangat menakjubkan. Didapati orang yang pemurah jarang menjadi penghuninya. Sekali gus ini membukti kebanyakan penghuni rumah sakit jiwa ialah orang yang kedekut – tidak mahu memberi. Mereka rasa tertekan kerana tidak disayangi atau diendahkan, tetapi mungkin mereka terlupa akan punca mereka tidak disayangi atau diendahkan. Boleh jadi mereka sebelum ini tidak terlebih dahulu menyayangi atau mengendahkan orang lain.

Dale Carnargie dalam bukunya Stop Worrying and Start Living menyatakan bahawa memaafkan kesalahan orang lain adalah seperti memaafkan diri sendiri. Hal ini kerana kemarahan kita terhadap orang lain akan lebih merosakkan diri sendiri berbanding orang yang kita marahkan itu. Percaya tak, orang yang tidak memaafkan, akan sentiasa “diikat” oleh orang yang tidak dimaafkannya. Sebaliknya, jika kita memaafkan, kita akan terlepas daripada ikatan kemarahan yang membakar diri sendiri.

Allah mengingatkan hamba-Nya dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumannya) perbuatan yang baik dan perbuatan jahat, jadi, tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih, apabila engkau melakukan demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu dengan serta mereka akan menjadi seolah –olah seorang sahabat karib.” (Surah Fussilat 41:34)

Langkah kita memaafkan orang lain termasuklah dalam erti “tolaklah kejahatan dengan sebuah kebaikan” seperti yang dituntut oleh Allah itu. Berilah kemaafan kerana manfaatnya besar untuk diri dan orang lain. Sebaliknya, tidak memaafkan meletakkan kita sebagai calon penghuni rumah sakit jiwa!

  • - Berikut adalah antara kebaikan memberi maaf:
  • - Hati akan lebih tenang.
  • - Wajah akan bersih.
  • - Semangat kerja akan tinggi.
  • - Penyakit akan cepat sembuh.
  • - Hidup akan menjadi berkat.
  • - Murah rezeki.
  • - Mendapat lebih ramai sahabat.

Anehnya, manusia masih enggan memberi sekalipun hanya memberi maaf, senyuman dan kata-kata yang baik. Mengapa? Berikut adalah antara sebab-sebab mengapa manusia enggan memberi:

  • - Dia rasa dengan memberi akan mengurangkan.
  • - Orang yang menerima tidak berterima kasih.
  • - Tidak ada apa-apa yang hendak diberi.
  • - Takut dieksploitasi & dimanipulasikan.
  • - Tidak adil setelah kita penat berusaha.
  • - Tidak mendapat balasan (sia-sia).

Mari kita tangani setiap alasan untuk tidak memberi itu!

RASA MEMBERI AKAN MENGURANGKAN

Sayidina Ali r.a. berkata, “Rezeki kamu adalah apa yang telah kamu gunakan dan apa yang telah kamu belanjakan ke jalan Allah.”

Apabila kita “memberi” hakikatnya kita memberi kepada kita sendiri kerana semuanya menjadi “saham” di akhirat. Ramai tokoh-tokoh korporat yang berjaya hari ini kerana niat awal mereka berniaga adalah untuk mengeluarkan zakat.

Bukankah dalam Islam memberi sebahagian harta seperti yang kerap dianjurkan oleh al-Quran, akan membersihkan dan menyuburkan harta. Metaforanya sama seperti mencabut sebahagian anak pokok sayur di atas batas. Dengan mencabut sebahagiannya, baki pokok sayur yang masih di atas batas itu akan tumbuh lebih subur dan lebat.

Sebenarnya keinginan untuk memberi juga adalah menjadi dorongan yang kuat untuk seseorang itu berusaha (mencari rezeki). Hal ini kerana untuk memberi mestilah apa yang dimiliki. Untuk memiliki kita mesti mencari. Oleh sebab itu dorongan untuk memberi itu menyebabkan kita akan berusaha dengan lebih gigih. Kita akan mengamalkan prinsip 3M dalam berusaha; Mencari, Menyimpan dan Memberi.

ORANG YANG MENERIMA TIDAK BERTERIMA KASIH

Ini lumrah alam (sunnatullah). Jika kita ingin hidup dengan majoriti manusia yang berterima kasih kita perlu berada di planet lain. Jika kita mengharapkan terima kasih atas kebaikan yang kita lakukan, nescaya kita akan sakit jiwa kerana ramai manusia tidak pandai berterima kasih di dunia ini. Jika dengan adanya ucapan terima kasih, baru kita boleh memberi, nescaya kita bukan sahaja akan kecewa bahkan sikap itu menunjukkan kita orang yang ego.

Bayangkan, Allah yang Maha Memberi pun tidak mendapat balasan terima kasih daripada hamba-Nya. Allah sendiri mengakui hakikat ini menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai-bagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur) , tetapi amatlah sedikit di antara kamu yang bersyukur.” (Surah al-‘Araf 7: 10)

Namun apakah dengan itu Allah berhenti daripada memberi? Tidak. Allah terus memberi walaupun hamba-Nya tidak pandai berterima kasih (bersyukur). Lalu siapakah kita untuk berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat balasan terima kasih?

TIDAK ADA APA-APA YANG HENDAK DIBERI

Jangan sempitkan rezeki dengan “menyempitkan” pengertiannya. Rezeki bukan hanya wang ringgit dan harta. Jika itulah pengertiannya sudah tentu kita tidak selalu “ada” untuk memberi. Luaskan pengertian rezeki nescaya “banyaklah” rezeki kita untuk diberikan kepada orang lain. Rezeki bukan hanya berbentuk material tetapi tenaga, doa, ilmu, kata-kata yang baik, pimpinan, senyuman, malah pandangan yang baik juga termasuk rezeki. Kalau demikian, tertolaklah alasan untuk tidak memberi kerana tidak ada apa yang hendak diberikan.

BIMBANG DIEKSPLOTASI DAN DIMANUPULASI

Mesti diimbangi antara sangka baik dengan sifat berhati-hati. Jangan terlalu prasangka dan jangan pula percaya secara membabi buta. Lihat dan telitilah dahulu berdasarkan fakta dan data-data lahiriah. Kemudian memberilah jika dirasakan hasil pemerhatian lahiriah kita, orang itu patut menerima pemberian kita.

Jangan cuba-cuba menembak hati manusia. Urusan hati orang yang menerima bukan soal kita. Sekiranya, tersilap orang pun pasti pemberian kita akan mendapat pembalasan daripada Allah, jika tidak di dunia, pasti di akhirat sudah tersedia. Jangan terlalu berhati-hati hingga jatuh ke tahap prasangka dan curiga. Relakanlah diri jika dieksploitasi dan dimanipulasikan untuk kebaikan.

TIDAK ADIL UNTUK KITA YANG BERUSAHA

Dengan apa kita berusaha? Apakah modal kita? Bukankah modal usaha kita semua daripada Allah. Tenaga, fikiran dan apa jua milik kita hakikatnya diberikan oleh Allah. Allah memberi untuk kita mudah memberi. Boleh jadi Allah memberi kepada hamba-Nya melalui saluran hamba-hamba-Nya yang lain. Jadi, kita harus sedar bahawa kita adalah “saluran” Allah untuk memberi. Oleh sebab itulah Allah menggunakan kalimah “Kami” (keterlibatan pihak lain) apabila menjelaskan tentang pemberian rezeki-Nya.

Berdasarkan itu adalah tidak terpuji sekiranya kita tidak memberi kerana sikap itu sama seperti menyekat saluran rezeki daripada Allah untuk orang lain. Hakikatnya “kepunyaan” kita yang hendak diberikan itu bukanlah kepunyaan kita tetapi kepunyaan Allah yang diperintahkan-Nya untuk diberikan kepada orang lain.

Jelasnya, manusia ialah “peminjam” bukan “pemilik”. Maka memulangkan pinjaman itu adalah adil. Sebaliknya tidak memberi itulah kezaliman yang nyata.

TIDAK MENDAPAT BALASAN

Individu yang beriman kepada Allah dan hari akhirat pasti menolak anggapan bahawa memberi tidak akan mendapat balasan. Bukankah Allah telah berfirman yang bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam buku amalannya). Dan sesiapa yang berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam buku amalannya).” (Surah al-Zalzalah 99: 7-8)

Apa yang diharapkan balasan daripada manusia sedangkan pembalasan daripada Allah adalah lebih baik dan lebih kekal. Keyakinan kepada Allah dan hari akhirat sangat penting sebagai dorongan untuk kita memberi.

Kita harus sedar, ganjaran atas kebaikan yang kita lakukan bukan hanya di akhirat tetapi ia turut dirasai di dunia lagi. Di dunia, orang yang memberi akan mendapat “ketenangan” hati. Tidakkah itu semua akan berikan ketenangan di dunia?

Dalam sebuah hadis panjang yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan Ahmad, Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda tentang dialog Allah dengan para malaikat yang begitu kagum melihat penciptaan gunung, kemudian besi, kemudian api, kemudian air, kemudian angin... Malaikat bertanya: “Ya Allah! Adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih daripada semua itu?” Allah yang Maha Gagah dan Maha Dahsyat kehebatannya menjawab: “Ada, yakni amal anak Adam yang mengeluarkan sedekah dengan tangan kanannya sementara tangan kirinya tidak mengetahui.”

Walaupun hadis tersebut menjelaskan betapa pentingnya ikhlas dalam amalan, tetapi ia secara tidak langsung menunjukkan keutamaan memberi. Ya, untuk berjaya (dunia dan akhirat) kita hendaklah meneladani orang yang berjaya. Mereka semua terdiri daripada orang yang sangat komited dalam memberi.

Jika anda miskin, jangan jadikan itu sebagai alasan untuk tidak memberi. Jadilah si miskin seperti Sayidina Ali Karamallahu wajhah. Dia tetap memberi walaupun hidup dalam kemiskinan. Sesungguhnya dia sangat menyedari apa yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. bahawa Allah cinta kepada orang yang pemurah, namun Allah lebih cintakan orang miskin yang pemurah.

sumber: SOLUSI

Khamis, 24 Mac 2011

Mari Kembali ke Pangkuan Jalan Lurus

سم الله الرحمن الرحيم

RAMAI menangis ketika menghadapi sakaratul maut. Apakah makna tangisan itu? Sebenarnya, tangisan itu membawa makna manusia tidak mahu berenggang dengan dunia kerana begitu cintakannya mengalahkan cinta kepada Allah dan mengatasi keinginannya untuk kembali bertemu Allah.

Dia benci kepada kematian, padahal itu perjumpaan istimewa antara hamba dengan Allah. Mereka mahu setiap hari adalah hari yang gembira seolah-olah menyambut kelahiran baru. Padahal, kelahiran dan kematian tidak akan membawa sebarang makna kepada seseorang jika mereka lupa diri dan lupa jalan pulang ke akhirat.

Dunia begitu manis dan lazat sehingga mampu mempengaruhi manusia ke tahap mabuk yang teruk dan seterusnya lupa kepada akhirat, walaupun al-Quran sudah mengingatkan manusia dengan ayat yang mendekatkan mereka kepada alam akhirat, namun rangsangan dunia terbukti mampu memutuskan tali ingatan itu perlahan-lahan.

Semakin manusia lalai dan lupa, maka semakin sakitlah jiwa, kerana jiwa itu sebenarnya rindu kepada akhirat tetapi dipaksa juga cinta kepada dunia. Sungguh anehnya manusia kini, mencari ketenangan dengan mengikut hawa nafsunya menerusi harta, hiburan, wanita, perniagaan dan mengikuti ajaran sesat serta menyeleweng daripada al-Quran dan hadis yang menyebabkan jiwa mereka semakin gelisah.

Ia bagaikan dadah yang memberi ketenangan sekejap saja kemudian semakin melaratlah jiwa tanpa bimbingan wahyu. Ada pula yang mencuba pelbagai teknik untuk mendapat ketenangan jiwa, seperti meditasi gaya Hindu Buddha, mengamal tarekat songsang, menokok tambah amalan ibadat yang kononnya memberi kepuasan lebih kepada jiwa.

Kesihatan roh dan jiwa hanya dapat dirasai dengan disiplin dalam menjaga iman. Usaha menilai diri dan mengenal pasti keadaan iman setiap masa adalah amalan Rasulullah SAW dan sahabat. Pelik tetapi benar, keadaan manusia zaman sekarang boleh berdisiplin untuk kebaikan dunianya, tetapi menyerah kalah untuk iman.

Mereka boleh berdisiplin menjaga diet pemakanan, bersungguh mencergaskan badan dengan senaman, susah payah hadir dalam kelas pendidikan, mengikuti kursus keusahawanan, bergiat mencapai cita-cita, tetapi malangnya tidak pandai berdisiplin menjaga keimanan.

Sembahyang dilakukan apabila perlu, majlis ilmu agama dipinggirkan berbanding ilmu dunia, usaha mencari hidayah ditinggalkan kerana terlalu sibuk mencari habuan dunia. Bagaimana mungkin jiwa akan tenang dalam keadaan sebegini? Tiada disiplin dalam mencari akhirat.

Iman dan hidayah boleh bertambah serta berkurang bergantung sejauh mana seseorang berusaha mengekalkan dan mempertingkatkannya. Allah berfirman bermaksud: "Dan orang yang berjihad mencari keredaan Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan Kami. Sesungguhnya Allah benar-benar bersama orang yang berbuat baik" (Surah al-Ankabut, ayat 69)

Akhir kata renung-renungkanlah dan Marilah Kembali ke Pangkuan Jalan Lurus

Sumber: Halaqah.net

Isnin, 21 Mac 2011

Jangan Mengundang Kemurkaan Allah

سم الله الرحمن الرحيم

Sejak kebelakangan ini kita dapati pelbagai bencana alam yang merunsingkan telah berlaku seperti ancaman tsunami, gegaran bumi, ribut kencang dan lain-lain lagi. Ada kalanya hujan turun dengan kadar yang banyak bukan pada kebiasaan musimnya. Ada kalanya pula cuaca menjadi terlalu panas sehingga ke tahap membahayakan kesihatan manusia. Para Saintis mengkaji dan mengemukakan pelbagai teori yang antaranya mengklasifikasikan senario ini sebagai pemanasan global.

Dari satu sudut yang lain, kita tidak boleh menafikan bahawa senario begini adalah permulaan amaran Allah SWT., kesan dari kerosakan yang dilakukan manusia kepada alam ini. Firman Allah di dalam surah Ar-Rum ayat 41;

Maksudnya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Namun terlalu sedikit di kalangan kita yang ingin mengambil iktibar disebalik sesuatu yang ditimpakan Allah SWT. Mereka lebih meyakini teori dan pandangan manusia yang hanya bersandarkan pengalaman berbanding ancaman Allah SWT.

Apabila Allah SWT. menurunkan sesuatu bala bencana, sudah pasti ada sebab dan musababnya. Sama ada disebabkan oIeh kezaliman, kemaksiatan, kelalaian terhadap peringatan-peringatan Allah atau mungkin juga sebagai suatu dugaan untuk menguji tahap keimanan hamba-hamba-Nya. Apa yang jelas, apabila bala bencana itu turun, ia tidak memilih sesiapa walaupun ianya berpunca daripada sebahagian pihak sahaja. Firman Allah di dalam surah Al-Anfal ayat 25:

Maksudnya: “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.”

Pada 26.12.2004 Peristiwa Tsunami telah berlaku dan mengorbankan ribuan nyawa. Masihkah kita ingat lagi, di saat umat Islam bersedia meraikan ‘Iduladha, negara kita dikejutkan dengan tragedi tanah runtuh; yang mengorbankan 4 nyawa dan ramai lagi kehilangan tempat tinggal mereka. Kini, setelah lama berlalu, kita mula dirisaukan lagi dengan gegaran-gegaran bumi yang berlaku di negara-negara jiran?. Apakah kita masih merasa selesa lantaran bencana tersebut tidak berlaku di tempat kita?.

Begitulah antara siri-siri ujian atau mungkin juga bala bencana yang berlaku dan akan terus berlaku seandainya manusia masih lagi berpaling daripada peringatan-peringatan Allah SWT. Ujian atau bala bencana itu tidak terhenti sekadar itu sahaja. Ia mungkin berulang selagi mana manusia masih takabbur, angkuh, sombong dan bangga diri.

Dengan peristiwa seperti ini, sepatutnya membuka mata hati kita semua supaya segera bertaubat, mentaati dan berserah diri hanya kepada Allah. Manusia tidak seharusnya menyalahkan takdir Allah semata-mata, sedangkan peristiwa-peristiwa malang yang berlaku adalah kerana kerakusan, ketamakan dan kesombongan mereka sendiri. Malang sekali kerana peristiwa sebegini jarang dijadikan iktibar dan panduan. Hanya sekejap sahaja menimbulkan rasa gerun kemudian dilupakan begitu sahaja.

Bala bencana boleh berlaku secara tiba-tiba sama ada siang atau malam tanpa sebarang amaran. Allah juga mengingatkan manusia di muka bumi ini supaya jangan terlalu yakin bahawa mereka terkecuali daripada ditimpa bencana. Ingatlah apabila manusia leka dan membiarkan kemaksiatan bermaharajalela, maka itu merupakan isyarat bahawa mereka bakal diruntuh dan dihancurkan oIeh Allah SWT. Perkara ini telah pun dibuktikan oIeh Allah SWT. kepada kaum-kaum terdahulu supaya menjadi pengajaran kepada kita contohnya seperti kaum Nabi Lut ‘Alaihis-Salam yang mengamalkan hubungan sesama jenis, akhirnya dihancurkan dan dilenyapkan dari muka bumi Allah ini.Begitu juga dengan kaum Nabi Hud, kaum Nabi Saleh dan lain-lain lagi yang ditimpakan bencana oIeh Allah disebabkan keingkaran mereka.

Kita tidak nafikan bahawa segala punca kemurkaan yang mendekatkan kita dengan bala bencana Allah SWT. telah berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini. Antaranya adalah kerana;

Pertama: Terlalu banyak kemungkaran dan maksiat yang dilakukan seperti bunuh, rogol, rompak dan lain-lain lagi.

Kedua: Berleluasanya Pergaulan bebas di kalangan remaja seperti di Taman-taman Rekreasi, di Tempat-tempat Hiburan atau di mana jua sehingga berlakunya maksiat perzinaan yang menghasilkan kes pembuangan bayi.

Ketiga : Anak-anak menderhaka kepada kedua ibu bapanya sehingga sanggup meninggalkan mereka yang telah tua di rumah-rumah kebajikan.

Keempat: Amalan rasuah menjadi-jadi dan dianggap amalan biasa sama ada di peringkat bawahan mahu pun di peringkat atasan.

Apa yang menyedihkan, Pusat-pusat Hiburan tumbuh bagaikan cendawan, para artis menjadi pujaan, teguran dan nasihat ulama tidak dihiraukan, malahan mereka pula menjadi bahan hinaan.

Selain itu, tidak kurang juga manusia-manusia jahil yang mendakwa memiliki pelbagai keramat dan ‘azimat sehingga ada yang mengakui bahawa pemimpin mereka yang telah mati sebenarnya tidak mati tetapi ghaib yang kononnya dikatakan akan kembali hidup semula. Malah ada juga yang mengaku sebagai rasul kaum atau nabi baru, wali dan sebagainya. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk mencari keuntungan diri sendiri dengan cara menyesatkan orang lain. Ke semuanya ini hanya akan mengundang kemurkaan Allah SWT.

Dalam suasana kemungkaran yang berleluasa di sekeliling kita, alangkah baiknya jika para ilmuan, para pemimpin, organisasi dan politik, usahawan, remaja, belia dan para pencinta agama dapat disatukan fikrah dan pendirian mereka seterusnya bersama-sama pihak berwajib membanteras segala kemungkaran dan anasir-anasir yang membawa kerosakan.

Bagi mengelakkan bala bencana Allah ini, marilah kita kembali kepada ajaran Islam dan menjadikannya sebagai landasan kehidupan serta bersabar dalam menghadapi segala bentuk ujian daripada Allah SWT. Marilah kita sama-sama mencari keredhaan Allah dan segera bertaubat memohon kerahmatan-Nya dan berdoa supaya terhindar daripada malapetaka yang tidak diingini. Jauhilah diri kita daripada terjebak ke dalam perkara-perkara maksiat dan mungkar.

Maksudnya: ”Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.”

Sumber: Khutbah Jumaat – 22 Oktober 2010 (JAIS)

Sabtu, 19 Mac 2011

Wasiat

بسم الله الرحمن الرحيم

WaSiat RasULLaH kePada SaiDiNA aLi



Wahai Ali, bagi orang 'ALIM itu ada 3 tanda2nya:
1) Jujur dalam berkata-kata.
2) Menjauhi segala yg haram.
3) Merendahkan diri.

Wahai Ali, bagi orang yg JUJUR itu ada 3 tanda2nya:
1) Merahsiakan ibadahnya.
2) Merahsiakan sedekahnya.
3) Merahsiakan ujian yg menimpanya.

Wahai Ali, bagi org yg TAKWA itu ada 3 tanda2nya:
1) Takut berlaku dusta dan keji.
2) Menjauhi kejahatan.
3) Memohon yang halal kerana takut jatuh dalam keharaman.

Wahai Ali, bagi AHLI IBADAH itu ada 3 tanda2nya:
1) Mengawasi dirinya.
2) Menghisab dirinya.
3) Memperbanyakkan ibadah kepada Allah s.w.t.

Wang RM50 kelihatan begitu besar bila dibawa ke kotak derma masjid, tetapi begitu kecil bila kita bawa ke supermarket. 45 minit terasa terlalu lama untuk berzikir tapi betapa pendeknya waktu itu untuk pertandingan bola sepak. Semua insan ingin memasuki syurga tetapi tidak ramai yang berfikir dan berbicara tentang bagaimana untuk memasukinya.

TSUNAMI JEPUN PERINGATAN DAN BALASAN ALLAH

بسم الله الرحمن الرحيم



"Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala ni'mat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut dengan bala bencana yang membinasakan, maka mereka pun berputus asa dari mendapat sebarang pertolongan".

(Al- An'aam ayat 44)

Ahad, 13 Mac 2011

Pergi Masjid Kerana Minat dan Memenuhi Sesuatu

سم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Peminat bola sepak akan bersusah payah berkejar ke stadium walaupun bersesak dengan penonton yang lain dan terpaksa membeli tiket dengan harga yang mahal.

Seorang bapa pergi ke kedai runcit untuk membeli barangan keperluan.

Seorang kerani pergi ke pejabat untuk memenuhi tanggungjawabnya di sana.

Oleh kerana peminat bola, bapa dan kerani mempunyai minat dan kepentingan maka mereka pergi ke tempat tersebut.

Kalau tiada kerana minat, buat apa pergi ke Stadium.
Kalau tiada kerana keperluan, buat apa pergi ke kedai.
Kalau tiada kerana gaji, buat apa pergi ke pejabat.

Sekiranya kita menggunakan premis demikian, kita boleh mengatakan bahawa orang yang tidak pergi ke surau atau masjid, memang tiada minat terhadap Islam dan merasa tidak perlu kepada Islam.

Buat apa pergi, kalau tiada apa-apa kepentingan.

RENUNG-RENUNGKANLAH KEBENARANNYA...

Jumaat, 11 Mac 2011

Umat akhir zaman sia-siakan solat

سم الله الرحمن الرحيم

SOLAT Subuh hanya dua rakaat tetapi fadilat dan ganjaran pahalanya amat besar.

Bagaimanapun, kita dapati dalam zaman mutakhir ini, ramai umat Islam khususnya generasi muda sangat berat untuk bangun melaksanakan solat Subuh.

Mengantuk, penat dan malas antara alasan yang sering diberikan.

Sebenarnya, perintah melaksanakan solat Subuh sangat ditekankan seperti ditegaskan Rasulullah s.a.w.

Kata Nabi: “Tiada solat yang paling berat bagi orang munafik adalah Isyak dan Subuh.

Seandainya mereka mengetahui pahala di sebalik solat Isyak dan Subuh dengan berjemaah, tentu mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Ini pernyataan cukup jelas kepada umat Islam supaya mengerjakan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah.

Dilema generasi sekarang mahu bangun mengerjakan solat Subuh di rumah pun amat berat, apatah lagi jika diajak berjemaah di masjid.

Rasulullah juga ada mengatakan solat berjemaah bagi solat Subuh dan Isyak diberi ganjaran pahala 27 kali ganda berbanding solat bersendirian.

Namun, dalam situasi semasa yang kebanyakan manusia begitu sibuk mencari kemewahan duniawi, kesedaran untuk bersolat secara jemaah semakin hambar.

Masjid hanya akan penuh ketika solat Jumaat atau solat Aidilfitri dan Aidiladha.

Bagaimana pada waktu Subuh dan Isyak? Adalah dua atau tiga saf, kebanyakannya terdiri daripada warga emas.

Di mana anak-anak muda kita? Masih berselimut jawapannya! Berikut dipaparkan sebuah kisah yang menggambarkan mukmin begitu menjaga solat berjemaah dan kisah ini seharusnya menjadi pengajaran buat kita semua.

Diriwayatkan bahawa Ubaidillah bin Umar Al-Qawariri, iaitu guru kepada Imam Bukhari, Imam Muslim dan Abu Daud menceritakan yang dia tidak pernah meninggalkan solat Isyak berjemaah.

Katanya lagi: “Ditakdirkan Allah, pada suatu malam aku didatangi tetamu sehingga membuatku terlewat untuk menunaikan solat Isyak berjemaah di masjid.

Sesudah tamuku pulang, aku bergegas ke masjid di sekitar Basrah untuk meninjau kalau-kalau ada yang belum mengerjakan solat Isyak berjemaah.

Namun, aku kecewa kerana semuanya telah selesai mengerjakannya, malah pintu masjid pun sudah berkunci.

“Lantas aku pun pulang dengan perasaan hampa sambil dalam perjalanan pulang aku teringat satu peringatan Rasulullah yang berbunyi: “Sesungguhnya solat berjemaah itu 27 kali ganda darjatnya jika dibandingkan dengan solat seorang diri.” Kemudian sambung beliau lagi: “Sesampai di rumah, aku mendirikan solat Isyak 27 kali, selepas itu barulah aku tidur.

Ketika tidur aku bermimpi melihat ada sekumpulan manusia menaiki kuda, kemudian aku mengejar mereka dengan kudaku.

“Ketika saat hampir dengan kedudukan mereka, salah seorang daripada mereka itu berkata: “Kamu tidak akan mampu mengejar kami, sebab kami mengerjakan solat berjemaah di masjid sedangkan kamu hanya bersendirian di rumah.” Selepas mendengar kata-kata yang dilontarkan orang itu, aku terjaga daripada tidur dan aku sangat susah hati.” Inilah secebis kisah bagaimana orang terdahulu begitu mengambil berat soal solat berjemaah.

Kita bagaimana? Adakah kita susah hati seandainya tertinggal solat berjemaah? Saya pasti ramai tidak berasa bersalah atau kecewa.

Sekarang mari kita baca dan renungkan kisah yang mungkin akan memberikan impak positif kepada daya fikir agar mendidik diri sentiasa mendirikan solat lebih-lebih lagi secara berjemaah.

Dikatakan pada suatu ketika, malaikat Jibril a.s.

datang menemui Rasulullah sambil mengatakan: “Bacalah.” Jawab Nabi: “Bacaan manakah yang mesti aku baca?” Kemudian Jibril pun membaca ayat 59 Surah Maryam iaitu: “Maka datanglah sesudah mereka pengganti yang lebih buruk, yang mensia-siakan solat dan menuruti hawa nafsunya, hingga kelak mereka akan menemui kesesatan.” Lantas Rasulullah bertanya: “Ya Jibril, adakah sepeninggalanku nanti akan ada daripada kalangan umatku yang mensia-siakan solat?” Jawab Jibril: “Ya ada.

Pada akhir zaman nanti akan ada sekelompok manusia daripada umatmu yang mensia-siakan solat, mengakhirkan waktu dari waktu yang ditentukan dan memperturutkan kehendak nafsunya.

Wang satu dinar baginya lebih berharga daripada solat.” Subhanallah, memang benar ramalan Jibril itu.

Cuba kita perhatikan fenomena masa kini, sesetengah umat Islam lebih sayangkan masa dengan menggembleng tenaga untuk mengejar kebendaan duniawi.

Kita sudah pun berada dalam zaman yang diperkatakan Jibril itu.

Kita boleh menilai kedudukan iman diri sendiri setakat mana tebalnya dengan melihat apakah hati kita sentiasa terpaut pada masjid bagi mengerjakan solat berjemaah.

Kita boleh juga jadikan kerajinan mengunjungi masjid atau surau bagi menunaikan solat berjemaah sebagai kayu pengukur kepadatan iman kita.

Mari kita jadikan firman Allah ini sebagai motivasi untuk gagah ke masjid bersolat berjemaah.

Allah menegaskan: “Dirikanlah solat dari sesudah matahari tergelincir sampai gelap malam dan (dirikanlah pula solat) Subuh.

Sesungguhnya solat Subuh itu disaksikan (oleh malaikat).” (Maksud Surah Al-Isra’ ayat 78).

Inilah perintah Allah kepada kita semua agar sentiasa mematuhi suruhan mendirikan solat dan lihatlah bagaimana Allah mengkhususkan solat Subuh dengan memberikan pujian yang lebih, iaitu solat Subuh itu disaksikan malaikat.

Semoga kita semua dibukakan pintu hati dan digagahi semangat untuk solat berjemaah sama ada di masjid ataupun surau.

Insya-Allah kita semua mampu melakukannya.

sumber: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Minda_Umatakhirzamansia-siakansolat/Article/index_html


Khamis, 10 Mac 2011

Monolog Seorang Hamba

سم الله الرحمن الرحيم

JIWA KACAU…..

Salam,
Pagi Jumaat yang indah, bersama tenangnya angin yang bertiup. Memang pagi Jumaat, pagi yang selalu indah dan tidak pernah mengecewakan. Seakan-akan ada sakinah yang turun bersama dengan rahmat yang di pagi Jumaat sehingga menjelang waktu matahari berada tepat di tengah-tengah ruang angkasa, masuklah waktu zohor dan solat Jumaat dilakukan secara berjemaah di surau-surau kecil di ceruk desa, sehinggalah ke masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, jalan Duta. Dari barat sehingga ke Timur, Perlis hingga ke Sabah dan Sarawak, Jumaat dilaksanakan.

Tidak tahu..

Sebenarnya saya tidak tahu, nak tulis apa. Sekadar omelan dan bebelan kecil yang terus menerjah seluruh ruang rasa saya terjemahkan analoginya seperti kawalan sistem oleh anggota badan tertentu semasa proses rangsangan yang diterima oleh neuron dan diterjemahkan oleh minda sedar manusia. Setidak-tidaknya, bukanlah tulisan picisan yang tidak nilai ilmiahnya. Bagi seorang yang mencintai dan tahu apa itu penulisan, tulisan picisan yang tidak ada nilai ilmiahnya, adalah satu penderhakaan terhadap penulisan dan terhadap nilai dan kedudukan ilmu itu sendiri..

Sebelum-sebelum ini pun, saya banyak menyentuh tentang kehidupan dari sudut yang saya fikirkan dan saya rasakan, tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak sama ada hidup ataupun mati. Sedikit pandangan dan pendapat dan juga penambahbaikan yang perlu terhadap mana-mana sistem yang tidak ada nilai fungsinya. Yang sudah tentu ada pro dan kontranya, yang sudah pasti ada benar dan ada salahnya. Tapi kita adalah rakyat yang berjiwa merdeka, tidak salah untuk kita mengeluarkan pendapat selagi ianya bukan berunsur fitnah dan provokasi semata-mata.

Mari menjadi hamba..

Saya sedar, bukan semua manusia sedar akan tanggungjawab yang perlu dilakukan semasa di dunia ini. Dan kadang kala kecelaruan minda pun berlaku dengan peribahasa-peribahasa yang diadakan, kita menjadi hamba. Dan, kita yang terpilih oleh Allah dalam jutaan kalangan manusia yang sekadar tahu, sedar dan celik, maka tanggungjawab memberi peringatan itu terletak di bahu kita. Dan di dalam kebaikan dan keburukan yang sentiasa bermain dan bertukar ganti di dalam hidup manusia, ada unsur lain yang perlu kita sedar iaitulah faktor nasib berada di tengah-tengahnya. Siapalah kita menolak takdir dari yang Maha Kuasa, melainkan sudah tertulis nasib kita sejak azali. Bukan mudah bernafas di dalam jiwa seorang hamba, namun akal yang lurus sentiasa kita luruskan jangan bengkang-bengkokkan, seperti Israel yang sudah terencat akalnya dan manusia yang semakin luntur perikemanusiaannya. Kita boleh sahaja berbicara apa sahaja, tentang apa yang berlaku selepas dan sebelum ini, dari ramalan kisah kehancuran bima sakti menjelang 2012, tentang isu Mesir, sehinggalah kebiadapan Israel terhadap Palestin.

Siapalah kita untuk merasa dirinya baik..

Dan bila kita renungi: berkatalah Aisyah binti Abu Bakar, untuk membelikan kain kapan yang baru untuk jenazah ayahnya nanti, Abu Bakar as-Siddiq.Jawab beliau: " Wahai anakku Aisyah!, sesungguhnya yang baru itu lebih bagus untuk yang hidup daripada yang mati!"

Dan ketika menyesalnya Umar al-Khattab kerana terluput waktu solat asar kerana leka dengan kebun buah tamarnya:" Sesungguhnya aku telah terlepas sembahyang Asar berjemaah maka aku sedekahkan kebunku itu untuk sekalian fakir miskin sebagai kaffarah atas apa yang telah aku lakukan"


Kita tidak mampu menjadi sebaik itu. Siapalah kita untuk merasakan dirinya baik? Dan bila mana semua manusia dikumpulkan, untuk dihitung kualiti imannya dengan Saidina Abu Bakar, nescaya tidak akan ada tandingannya. Pada merasakan itu, bahawa proses pembaikan diri itu perlu konsisten dan istiqamah, seperti JKR yang akan sentiasa memperbaiki keadaan jalan raya yang tidak elok untuk mengelakkan kemalangan dan kehilangan jiwa dan TNB yang perlu sentiasa memastikan bekalan elektrik tidak terhenti untuk mengelakkan kerugian kepada manusia. Dan bila berbicara tentang itu semua, kita tidak lari dari persoalan nikmat. Cara bagaimana kita berhadapan dengannya mungkin masih banyak kekurangan.

Kebaikan.

Dan kita sedia maklum, sains dan sastera itu jauh berbeza. Tidak boleh menyatu tetapi boleh sama-sama jalan seiringan, kerana seni itu penting. Manusia yang tidak ada seni di dalam jiwanya, tidak akan merasa betapa berharganya nilai sebuah kepuasan. Saya semakin larut dengan penulisan ini, larut dengan kecelaruan jiwa yang kacau saat ini. Bila bercakap mengenai Islam dan Iman, kita bersyukur, sebagaimana Iman itu, bukan sekadar lafaz keyakinan semata-mata. Tanpa amal, iman tidak bermakna, dan apalah ertinya amalan tanpa iman yang sebenar.Semuanya ini berkadar langsung dengan kesan selepas tindakan yang kita akan ambil untuk kali pertama. Yang seharusnya, Malaysia perlu menjadi negara Islam yang total bukan Islam hanya pada nama, seperti Islam di Cina. Bukan Islam hanya warisan dan Islam hanya sekadar agama seperti yang tercatat di kad pengenalan masing-masing, ia lebih dari itu. Tidak ada siapa yang mahu mengaku dirinya jahil, dirinya hina dan dirinya kerdil, tetapi hakikatnya kita tidak akan dapat lari dari persoalan itu.

Inilah takdirnya..

Kita tidak mahu menjadi manusia yang prihatin, yang bila mana kita menjadinya jiwa kita merasa gelisah dan kacau seperti hendak lompat sahaja daripada tingkat paling tinggi bangunan KLCC, kerana jiwa kita tidak pernah tenteram dengan kemungkaran dan kemaksiatan, selama kita menjadi insan yang prihatin, sebut sahaja kes kemungkaran dan kemaksiatan dewasa ini, berderet isu yang membuat kita hilang akal dan kesabaran. Buang bayi, ragut, bunuh, rogol, pergaulan bebas,penyalahgunaan dadah, mat rempit, permainan judi, minuman keras dan apa lagi yang saya terlupa senaraikan? Benar, menjadi seorang yang prihatin dengan isu ini, membuat kita hilang akal dan kesabaran, bukan mudah untuk mengekalkan momentum kesabaran pada tahap tinggi setiap masa dan ketika. Ferrari, Mercedes Benz hatta kancil sekalipun akan berhenti untuk menservis keretanya sendiri akan berubah momentum kelajuannya, bagaimana pula lagi dengan momentum kesabaran dan keimanan manusia? Tetapi di sebalik itu sendiri, bersyukurlah andai jiwa kita masih prihatin, kerana dengan sebab itu, hati kita masih lagi hidup dan bernyawa.

Tidak ada pengakhirannya..

Selama dunia ini belum kiamat, kemungkaran pasti sentiasa berlaku.Kecil ataupun besar, kerap ataupun jarang, itu persoalan kedua. Selagi manusia masih lagi kekal dengan tipu daya, masih tertipu dengan dirinya sendiri dan tertipu dengan dunia ini, selagi itulah bumi terus menjadi saksi kebuasan manusia. Marilah berusaha menjadi insan yang hidup dalam erti dan pengertian hidup yang sebenar, bukan teori dan retorik semata-mata. Bukan mudah tetapi tidak sukar!.


"Aku impikan diriku yang sentiasa mengalirkan air mata
akibat rindunya aku pada penciptaku akibat malunya aku kerana sering
berbuat maksiat akibat segannya aku kerana sering menipu
kecintaanku padaNYA"

Jiwa Hamba

Selasa, 8 Mac 2011

Bila jiwa kita mula mengecil

سم الله الرحمن الرحيم

Salam buat semua..

Semoga kita semua masih dijalan dakwah ini. Masih basah disirami hujan tarbiyah. Masih kuat dan bersemangat bagai halilintar. Tidak larut. Tidak berhenti. Tidak lemah. Tidak futur atau terasa malas untuk bergerak!

InsyaAllah. Teruskan akhi.

Jangan ada rasa didalam hati untuk berundur. Berehat atau berkalau kalau. Biar apa pun yang berlaku, teruskan! Inilah medan amal kita. Medan kita menanam benih. Medan kita untuk mengumpul obor pahala untuk kita terangi jalan ke barzakh. Untuk kita luaskan titian sirat menuju wajah Allah.

Jangan sebab ditangan kanan mu itu ada masaalah, dan ditangan kiri mu itu ada ujian, kamu mula lemah. Hatimu mula retak. Fikiran mu mula sasau. Prinsipmu mula bergoyang. Amanah-amanah mula diabai!

Dan mulalah nafsu kamu bercatur dan berpantun dengan iman lemahmu untuk mengatur dan mengkhayalkan syurga palsu duniamu!

Mulalah kamu sia-siakan kekuatan yang pernah kamu kumpul diwaktu kamu sedang kuat menghayati tarbiyah dulu. Mulalah kamu sia-siakan semangat yang menjulang hingga ke awan dulu. Diwaktu jiwamu kental dengan tawakkal yang tinggi masa kamu sorang sorang dulu, sehingga kamu lupa akan hari penyesalan!

Kamu tahu tak, di akhirat nanti bukan sahaja penghuni neraka akan menyesal malah penghuni syurga juga akan menyesal …

Tidak ada sesuatu yang paling disesali oleh penghuni syurga kecuali satu saat yang pernah mereka lalui didunia yang tidak mereka gunakan untuk mengingat Allah dialamnya ~ HR Thabrani

Kamu tahu tak, betapa sukarnya kita nak bina empayar iman. Betapa sukarnya kita nak jadikan hati kita takut kepada Allah. Bukan sehari atau dua kita terpaksa mujahadah dan dicanai dengan tarbiyah tapi bertahun-tahun!

Bertahun-tahun kita korbankan usia muda kita semata-mata mencari falsafah diri kita. Dari mana kita? Siapa kita? Dan ke mana kita nak pergi? Hingga kita temui mesin tarbiyah. 'Memblender' kita hingga lumat. Kita dipintal-pintal. Dikoyak-koyak hingga akhirnya kita keluar menjadi orang yang mengenal hidup ini!

Inilah dunia kita. Dunia dakwah. Dunia yang memerlukan kita. Dunia yang akan menyedut segala saripati yang ada pada kita. Dunia yang akan meminta segala- galanya dari kita dan tidak mengizinkan kita menyimpan sedikit pun untuk kepentingan peribadi kita.

Aku tak punya apa lagi ya Rasullulah ….. ( Sayidatina Khadijah )

Letakkanlah bait-bait kata Ibu ini untuk kita satukan didalam aliran darah kita. Biar dia menyatu. Mengalir dan mengalir terus ke hati kita sehingga kita dapat menghayati mas'uliyah yang pernah beliau hayati dalam hidupnya bersama sang Rasul!

Akhi,

Hari-hari dalam hidup kita adalah lembaran baru untuk goresan amal perbuatan kita. Jadikanlah hari-hari kita sarat dengan amalan terbaik kerana kesempatan yang kita ada ini akan segera lenyap secepat perjalanan awan dan janganlah kita menunda-nunda kerja kerja dakwah ini kerana jika kita tunda kita adalah orang yang rugi!

Barangsiapa bersampan dengan kemalasan, ia akan tengelam bersamanya ~ Ibnul Jauzy

Wahai diriku, Wahai mujahid

Kenapa jiwa mu mula mengecil. Kamu masih lagi belum ke penghujung. Kamu masih di medan ini. Medan perang dengan nafsu mu. Medan perang dengan suami dan isterimu. Medan perang dengan dunia fantasimu … teruskan peperangan ini. Menangkan dakwah ini. Menangkan deen ini. Gunakan senjata-senjata tarbiyah itu untuk kamu menguasai dirimu. Menguasai nafsu mu. Menguasai tarikan-tarikan duniamu yang datang berwarna-warni mengelilingimu.

Buat sesuatu …initiate something. Allah will do the rest.

Dan barangsiapa yang berjihad di jalan kami, kami akan tunjukan jalan-jalan kami.

Dunia sering menakut nakutkan kita. Mengugut kita. Menyindir kita …

Lihat! Apa dunia dan nafsu kata pada da’i kerdil ini …

” Aku pelik tengok kamu ni. Siang kerja bagai nak rak. Malam pergi usrah, pergi mesyuarat, pergi program sampai pukul dua tiga pagi. Hari-hari pulak tu! Tak letih ke tak bosan ke? Orang lain pun ibadah dan buat dakwah jugak.

Ustaz yang bagi kuliyah kat masjid tu lagi hebat dari kamu. Banyak anak muridnya yang menadah kitab dengan dia! Besar pahalanya. Ada jugak masanya! Taklah macam kamu!

Tu, Ustadz YB tu, Wakil Rakyat lagi, kalau nak ikutkan lagi sibuk dari kamu.Tapi taklah jugak macam kamu. Ada juga masanya untuk anak bininya.

Tapi kamu … Tak hebat seperti mereka tapi hidup melebihi dari mereka tak tentu arah ke sana ke mari mengalah menteri.

Keluar pagi balik pagi. Solat tahajud pun dah nak masuk subuh. Itu pun tersenguk-senguk. Macam tak khusuk aje. Da’i apa macam ni! Macam ini ke seorang mujahid berhubung dengan Allah. Kelam kabut tak tentu pasal. Islam ajar macam ni ke? Apa yang kamu dapat? Tak alim pun. Tak hebat pun. Tak kenal pun orang pada kamu. Tak kaya pun malah duit tak pernah ada…..

Lalu da’i itu menjawab atas prinsipnya dan kefahamannya …

” Oii nafsu dan dunia, katalah apa kamu nak kata.

Aku tahu apa yang kamu tak tahu. Aku buat kerja yang tak ramai orang nak buat. Itu saja kemampuan yang Allah beri pada aku.

Aku faham agama cara macam tu. Mungkin kamu kata kerja aku ni sia-sia. Kerja kecik tapi bagi aku, aku buat kerja yang besar sebab itu aku tak cukup masa. Sebab itu aku terkejar-kejar dan kelam kabut. Sebab ramai yang tak nak tolong.

Kamu tahu tak, orang yang tak buat kerja saja yang ada masa. Orang yang buat kerja kecik saja yang ada masa dengan suami dan isteri jalan jalan bersantai. Berpegangan tangan menyulam cinta.

Orang yang buat kerja kecik saja yang boleh rehat rehat. Ronda sana ronda sini. Bergelak ketawa dan bercanda.

Aku tahu aku bukan siapa-siapa. Bukan ustaz, bukan YB dan bukan orang agama. Memang aku tak banyak ilmu agama pun. Tak mampu nak hurai kitab pun. Aku pun bukan ahli politik yang asyik nak berjuang diatas isu semasa saja dan memusuhi manusia diatas kesesatan mereka.

Yang aku tahu, kerja aku nak selamatkan aku dan nak selamatkan siapa-siapa saja yang dinamakan manusia dan bukan nak cari salah manusia.

Aku tahu aku tak kaya. Tak ada duit banyak nak infaq. Tak ada apa-apa yang berbentuk material nak sumbang! Sebab tu aku nak guna tubuh badan aku ini untuk gantikan segala yang aku tak ada.

Memang kamu nampak aku tak punya apa. Tapi tahukah kamu bahawa aku punya jiwa yang besar. Jiwa untuk lepas dari neraka ALLAH dan nak jawab soalan soalan Allah diatas penciptaanNya terhadap aku …

Betul akh…

Jangan kita kecilkan jiwa kita sebab Allah telah mengistimewakan kita. Bukan saja diberinya kita iman malah diberinya kita jamaah, diberinya kita kereta dakwah,diberinya kita mas'uliyah, dibukanya pintu-pintu amal yang luas dan banyak untuk kita melaksanakan amal hingga kita redha menjadi ‘khadam ummah’ sehingga Dia meredhai kita dengan lapangnya hidup kita dan lapangnya dada kita dari kesempitan dunia. Mulianya kita. Tak semua orang dapat macam yang kita dapat. Dia yang memilih kita seperti memilih antah beras ….Allahu akbar.

Apabila kita hidup untuk orang lain maka jadilah hidup kita ini panjang dan berarti ( Sayyid Qutb)

Kalau kita rasa jiwa kita mula mengecil sebab kerja dakwah ini, ingatlah sesungguhnya kita buat kerja besar. Kerja para nabi dan rasul ……penyambung matarantai perjuangan ini.

Mungkin medan amal manusia biasa hanyalah pada solat zikir dan amal-amal fardi mereka tapi kita Allah lebarkan amal kita hingga segenap makhluk hidup ini kagum dan mendoakan kita malah setiap langkah kita dan setiap gerak tubuh badan kita untuk dakwah ini mereka mengaminkan … amin … amin …amin ya Allah!

Bukalah cara pandang kita pada hidup ini. Pada jalan dakwah ini dan pada setiap amal yang kita lakukan ini ….tidak lain tidak bukan adalah mencari redhaNya dan untuk meraih kehidupan kita yang akan abadi sebentar lagi!

Biarlah orang lain bekerja dan sibuk mengurus duniawinya untuk memenuhi keperluan duniawinya. Tapi kita tidak boleh begitu ….kita adalah mesin dakwah yang akan terus bekerja untuk deen ini. Sibuk juga dengan duniawi ini tapi adalah untuk ukhrawi …

Jangan cemburu melihat mereka manja diatas ribaan suami dan isteri mereka dan didalam pelukan dunia itu kerana kita juga akan merasa akan kemanjaan itu cuma perlu sedikit kesabaran. Cumanya …marilah kita menentukan cara kematian kita agar kematian kita kematian yang menyentuh. Kematian yang menghidupkan seperti para syuhada’ …

Pendamkan. Azamkan. Insyaalah. Bidadari itu tidak sabar sabar menantimu …
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...