Ukhwah Islamiyyah

Jumaat, 31 Disember 2010

Azam Tahun Baru

سم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Muhammad SAW serta para sahabat baginda. Kita berada di ambang tahun baru 2011. Tahun 2010 akan ditinggalkan dengan seribu kenangan, yang termaktub sudah dalam lipatan sejarah. Sejarah sukan negara yang terkini adalah tentang skuad bola sepak Negara yang memenangi Piala AFF 2010. Mungkin dalam kehidupan kita sendiri, mempunyai sejarah pahit dan manis yang dilalui sepanjang tahun ini yang akan kekal sepanjang hidup kita. Semua ini mengajar satu erti hidup dan kisah bersama.

Selamat menyambut tahun baru Masihi 2011 kepada seluruh muslimin dan muslimat. Tidak lupa untuk kita panjatkan doa kepada yang Maha Pencipta agar dikuatkan iman yang lemah untuk kebahagiaan di kehidupan yang kekal abadi kelak. Sesungguhnya Allah telah menciptakan mati dan hidup untuk menguji siapakah yang paling baik amalannya di kalangan hamba-hambaNya.Menjadikan dunia ini hanya persinggahan, tempat beramal dan berusaha yang akan dituai hasilnya di akhirat kelak.

Benarlah firman Allah yang bermaksud:

“Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.”

Namun jika kita melihat kepada realiti umat hari ini, hati kita akan menjadi resah. Kemungkaran, maksiat, jenayah dan seumpamanya masih lagi berlaku di mana-mana. Ayat-ayat Allah semakin dilupakan, demikian juga sabdaan Rasulullah SAW.

Kita yakin bahawa semua orang mendambakan syurga, ingin mengecapi segala nikmat di dalamnya. Alhamdulillah agak ramai yang telah berpeluang mendapat pendidikan agama Islam, belajar fardhu ain dan tak kurang juga yang menghadiri kuliah serta pengajian di surau-surau dan masjid. Namun pada masa yang sama, jauh lebih ramai lagi bilangan mereka yang sering melakukan perbuatan yang seolah-olah mahu mencampakkan dirinya ke dalam neraka.

Lihatlah di dataran-dataran, konsert dan karnival hiburan. Biasanya akan dibanjiri oleh ribuan manusia dari pelbagai lapisan termasuk bayi dan anak kecil yang masih tidak mengerti apa-apa yang dibawa oleh kedua ibu bapanya yang rockers suka melepak bersantai atau mendakwanya sebagai reakreasi keluarga..!! Tidak menunaikan solat apatah lagi untuk menyentuh Al Quran. Ada yang sudah lali dengan teguran dan nasihat. Menghampiri judi, dadah dan arak malahan bergelumang dengan dosa perzinaan. Astaghfirullahul azim..!!

Amatlah menyedihkan para pelaku dosa dan maksiat ini yang tidak merasa berdosa, hanyut tenggelam dengan dunia dan nafsu. Menghalalkan perhubungan lelaki dan wanita tanpa ikatan perkahwinan, melahirkan anak-anak haram malahan tak kurang juga yang membuang dan membunuh anak-anak yang tidak berdosa itu. Amalan riba dan rasuah terus mewarnai dunia ekonomi ummat Islam yang lalai. Rakus mencari kekayaan serta melupakan keberkatan.

Peradaban dan tradisi Islam sudah semakin menipis. Anak-anak sudah kurang menghormati ibu bapa, bahkan ada yang sudah tenat sehinggga sanggup membunuh ibu bapa atau datuk nenek mereka sendiri. Generasi tua sudah jadi hilang kuasa sementara anak muda hilang punca.

Kalau dulu anak-anak muda bermain gasing, berpancak silat atau bermain kompang namun hari ini mereka lebih suka berlumba motor dan berpeleseran di mana-mana. Sifat malu sudah hilang dari dalam diri mereka. Gaya hidup bebas menjadi kebanggaan.

Fesyen rambut dan cara berpakaian memang sudah lama mengalami perubahan demi perubahan yang menjadi kegilaan para remaja mahu pun dewasa. Berseluar lusuh, berbaju ketat dan pendek, berbaju labuh tetapi nipis tidak segan silu untuk digayakan…

Bagaimanakah wajah masyarakat Islam di masa akan datang?? Yang pastinya akan dipimpin oleh generasi muda hari ini. Mampukah maruah umat Islam terus dipertahankan?? Mampukah umat Islam menjadi pemimpin dunia dengan imej yang di segani ?? Mampukah negara-negara umat Islam dipertahankan dengan kekuatan dan semangat waja dari musuh-musuh yang sentiasa ingin berkuasa?? Persoalan demi persoalan boleh kita ajukan, namun jawapannya masih tidak pasti. Mungkinkah ketidak pastian ini kita hapuskan dari minda umat Islam?


Ya boleh…Jika umat Islam ini sedar dari mimpi lekanya, bangkit mengorak langkah dengan azam dan cita yang tinggi. Sedar siapa mereka.. Mempunyai identiti Islami yang tersendiri, mempunyai maruah. Kita tidak mahu lagi berteori, berseminar dengan menghasilkan lakaran-lakaran di kertas putih. Tetapi kita mesti melaksanakan segala teori-teori yang sudah bertimbun itu, memenfaatkan segala pengalaman-pengalaman yang ada. Tak kira pengalaman individu, bangsa mahu pun tamadun. Berada di gelanggang kehidupan yang sebenar berpijak dibumi nyata.

Kita bukanlah umat yang fakir. Kita sebenarnya telah mewarisi pusaka berharga peninggalan para Nabi dari segi sejarah dan bimbingan disamping Al Quran mukjizat yang kekal. Inilah aset yang kita punyai… yang perlu kita laburkan dengan bijak untuk memperolehi keuntungan hakiki. Selain itu kita punya aset fitrah. Iaitu secara fitrahnya manusia itu mahu kepada kebaikan dan kecenderungan untuk beragama.

Menurut Asy Syahid Sayyid Qutb dalam kitabnya Inilah Islam: “Aset fitrah ini amat hebat dan menggerunkan. Ia tidak mampu dilemahkan oleh semua timbunan yang menutupnya.” Secara fitrahnya manusia mahu mencari Tuhan dan menuju kepada Tuhan. Kenapa mesti menipu diri sendiri?? Mencari sesuatu yang lain yang akhirnya merosakkan diri sendiri, merosakkan kehidupan seluruhnya.

Inilah yang dikatakan melanggar fitrah, menyimpang dari kebenaran walaupun diketahui ia adalah perlakuan engkar dan mungkar. Jiwa sering menjerit kerana dihidangkan makanan yang tidak serasi dengannya, mendahulukan nafsu dari rohani… tetapi tidak dipedulikan. Berilah peluang kepada diri sendiri untuk berubah.. Mengapa terus terusan memaksiati Allah??

Ingatlah firman Allah:

“Sungguh beruntung orang yang menyucikan diri [beriman], dan mengingat nama Tuhannya, lalu dia bersembahyang. Sedangkan kamu [orang-orang kafir] memilih kehidupan dunia. Padahal kehidupan akhirat itu lebih baik dan lebih kekal. [Surah Al A’laa: 14-17]

Sempena tahun baru ini adalah masa yang tepat untuk kita memperbaiki mana yang silap. Menggilap segala aset dan potensi yang ada dalam diri kita. Sesungguhnya Allah Maha mengasihi hamba-hambanya yang bertaubat. Berhijrahlah daripada yang tidak baik kepada yang baik, daripada yang baik kepada lebih baik. Sesungguhnya kita adalah umat terbaik.

Bila Menjelang Tahun Baru

Biasalah bila menjelang tahun baru, ramai yang akan bertanya tentang dua soalan ini:

1. Apa azam tahun baru yang akan tiba beberapa hari lagi?
2. Sudah tercapaikah azam kita tahun ini?

Tapi biasanya azam tersebut biasanya berkaitan dengan kerjaya, harta, anak, melanjutkan pelajaran, melancong, pelaburan, duit, dan beberapa perkara lagi.

Jarang sangat orang membincangkan azam tahun baru ini untuk perkara-perkara jangka panjang. Maksudnya bekalan untuk kehidupan selepas mati.

Tak ramai yang berazam untuk meningkatkan amal ibadat, meninggalkan dosa-dosa, menambah sedekah, menambahkan kekerapan ke masjid, menambahkan ilmu agama, berusaha keras untuk khusyuk dalam solat, meninggalkan sifat-sifat mazmumah, memperbaiki akhlak dan seumpamanya.

Ramai yang berazam untuk bersungguh-sungguh bekerja dengan lebih keras bagi meningkatkan kerjaya masing-masing. Kalau boleh nak naik pangkat supaya dapat tambah pendapatan. Kononnya untuk masa hadapan yang lebih baik.

Baguslah begitu. Tapi kenapa dalam perkara-perkara ‘dunia’ sahaja?. Memang benar ‘kerja itu ibadah’. Tapi janganlah sampai terperangkap dengan kerjaya sehingga ‘ibadah khusus’ di ketepikan langsung dalam membina azam tahun baru, Kan lebih bagus kalau kita ada azam atau ‘niat’ yang bersangkutan dengan persediaan untuk ke alam lebih kekal dan abadi.

Kita pun tak tahu selama mana lagi hidup kita di dunia ini.

Mari kita betulkan sikit azam dan niat kita menjelang tahun baru ini...

Isnin, 27 Disember 2010

Akal, Ilmu dan Perbuatan Mesti Bergerak Seiring

سم الله الرحمن الرحيم

Artikel ini tidak tertakluk kepada tajuk di atas sahaja. Skopnya luas. Luangkanlah sedikit masa anda untuk membaca artikel ini. Semoga mendapat manfaat.

Kita sering berjumpa orang yang kelihatan seperti lengkap amal ibadatnya tetapi dia masih lagi melakukan perkara yang tidak disukai Allah SWT.

Contohnya :

- Orang yang sembahyangnya lengkap 5 kali, tetapi apabila menonton perlawanan bola sepak di antara pasukan X dan pasukan Y dia akan melaung-laungkan perkataan BODOH, ANJING dan sebagainya yang anjing sendiri akan malu jika mendengarnya.

- Orang yang menulis blog-blog agama, tetapi apabila tiba masa untuk beliau mengulas artikel orang lain, hampir semua perkataan carutan dan makian akan digunakan oleh beliau.

Dan orang-orang ini setelah melakukan perbuatan maki-carut itu, mereka akan kembali berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Pada saya, mereka ini adalah orang yang gagal mengawal emosi mereka. Ya, cuba anda fikirkan. Kenapa perlu mencarut-carut menonton perlawanan bola? Rilex-rilex sudah brother.

Itu semua dunia sahajalah. Perbuatan anda bermati-matian menyokong pasukan bola itu sebenarnya sedikitpun tidak dapat membantu anda di akhirat kelak.

Malah, anda hanya berpotensi ditumbuk muka oleh orang yang berasa jengkel dengan sifat "bajet owner kelab bola yang bakal kerugian pertaruhan wang 1JutaRM jika kelab kalah" anda.

Sebenarnya, saya pun adalah manusia yang suka beremosi berlebih-lebihan dahulu. Tetapi, apabila anda emosi, itu hanya memudahkan syaitan bagi menghasut anda untuk marah dan mencarut.

Ini kerana, orang yang gagal mengawal emosi, jiwanya amat lemah yang mendorong beliau melakukan apa sahaja untuk memuaskan nafsu amarahnya.

Tiada guna anda memaki-maki. Sabarlah.

Malah di dalam Surah At-Takaathur di dalam Al-Quran telah disebut, perbuatan menyayangi dunia melampau boleh membawa padah dan kecelakaan. Yang jika ditukar dalam ayat kasar "takde guna kau obses sangat mencarut-carut, dosa je la weh".

Itu juga sebab kenapa kita umat Islam sekarang lemah. Kita lemah bukan sebab kita tidak beribadat atau apa. Kita lemah kerana kita terlampau sayang kepada dunia. Kita jauh dari ilmu.

Ilmu ini bermaksud bukan ilmu tentang artis hiburan atau gadget apa yang ada di pasaran, tetapi ilmu yang dimaksudkan adalah ilmu yang dapat membentuk kita menjadi manusia yang berjaya di dunia dan akhirat.

Dalam kata lain, ilmu yang dimaksudkan adalah ilmu yang datang dari Pencipta kita sendiri. Iaitu Kitab Al-Quran.

Saya ingin bertanya, ramai orang boleh membaca buku BIOLOGI, TEKNOLOGI dan lain-lain dari kulit ke kulit, tetapi tidakkah anda berasa malu kerana tidak pernah membaca dan memahami ayat Al-Quran.

Kita hanya mendengar daripada orang apakah isi Al-Quran itu. Cukupkah sekadar mengetahui sedikit sahaja isi Al-Quran untuk berjaya di dunia dan akhirat?

Itulah sebab kenapa kita mudah ditipu dengan khabar angin dan berita-berita palsu yang boleh menggugat akidah.

Kita tiada asas kefahaman agama yang baik. Nasihat saya, marilah sama-sama buka Al-Quran dan memahami maksudnya.

Kesimpulan yang ada adalah, akal dan ilmu yang kita miliki dan ketahui mestilah bergerak seiring dengan perbuatan kita.Jangan hanya tahu, tetapi tidak buat. Itu sama sahajalah dengan orang yang pergi mendengar ceramah agama, tetapi selepas itu beliau membuka tudung kembali.

Ingat, Allah akan membantu umat Islam. Tetapi bukan sebarangan umat Islam. Umat Islam yang dibantu Allah adalah umat yang beriman kepada-Nya dengan sepenuh hati.

Renunglah kembali apakah maksud menjadi umat Islam itu. Umat Islam (Muslim) itu bermaksud seseorang yang menyerah diri dan jiwanya kepada Allah SWT atau dalam kata lain seseorang yang menurut perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya tanpa banyak songeh dan kerenah. Yang hidupnya tidak menurut kehendak nafsu sahaja.

Ini kerana Dialah yang menciptakan kita di dunia ini. Dan kepada-Nyalah kita akan kembali. Jika anda masih tidak tahu kenapa anda diciptakan, kembalilah kepada jalan yang benar.

Mohonlah doa kepada Allah SWT agar diberikan petunjuk, bukalah Al-Quran dan Hadis, dan rujuklah orang yang berilmu. Dan yang terakhirnya amalkanlah ilmu-ilmu itu.

Ingat, menyayangi dunia secara melampau tidak akan membawa anda ke mana-mana. Janganlah beremosi melampau kerananya.

Dan apa yang anda buat setiap hari sebenarnya membentuk jiwa anda. Jika banyak membaca sampah, sampahlah jiwa. Jika banyak membaca ilmu kebaikan, tenanglah jiwa.

"Jika hati lebih cenderung cintakan akhirat, maka automatik KURANG berminat dengan dunia, kerna dua cinta tidak akan berkumpul dalam satu hati"...

Jiwa Hamba

Jumaat, 24 Disember 2010

Tanggungjawab Orang Mukmin Memberi Nasihat Untuk Lima Perkara.

سم الله الرحمن الرحيم

Sahabat yang dirahmati Allah,

Abu Hurairah pernah mendengar Rasulullah S.A.W. berwasiat kepadanya yang bermaksud :
“Siapakah yang sudi mengambil dari diriku lima wasiat ini, lalu mengamalkannya atau mengajarkannya kepada orang yang mahu mengamalkannya?”

Abu Hurairah segera menyambut kata-kata Rasulullah ini dengan ucapan, “Saya, ya Rasulullah”

Maka baginda menjabat tangan Abu Hurairah dan menghitung lima kali seraya berkata,
yang bermaksud :
  1. Jagalah dirimu dari perbuatan yang haram nescaya engkau akan menjadi orang yang paling baik dalam beribadah.
  2. Berpuas hatilah dengan kurnia yang Allah berikan kepadamu nescaya kamu akan menjadi orang yang paling kaya.
  3. Berbuat baiklah kepada tetanggamu, nescaya kamu akan menjadi seorang mukmin sejati .
  4. Cintailah manusia sebagaimana kamu mencintai dirimu sendiri, nescaya kamu akan menjadi muslim yang sempurna.
  5. Dan janganlah banyak bergurau kerana banyak bergurau itu akan mematikan hati.
(Hadis Riwayat Muslim)

Rasulullah S.A.W. sering memberi panduan yang berharga sedemikian rupa. Semuanya disesuaikan dengan permintaan para sahabat atau sesuai dengan kadar potensi orang yang baginda ajak berbicara.

Nasihat atau wasiat yang baginda sampaikan walaupun ringkas namun padat serta suatu yang praktikal. Apa sahaja yang baginda ungkapkan sentiasa terbukti kebenarannya dalam sepanjang sejarah kehidupan manusia.

Setiap muslim dan muslimah yang baik bukan mereka yang mengasingkan diri dari masyarakat sekitarnya, sehingga mereka mewujudkan satu kelompok yang terasing. Muslim dan muslimah tidak berhak menuduh masyarakat sebagai masyarakat yang jahil sebelum mereka cuba untuk memperbaikinya.

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :
“Mukmin yang bergaul di tengah-tengah masyarakat dan sabar atas gangguannya lebih baik daripada muslim yang tidak bergaul dalam masyarakat dan tidak sabar terhadap gangguan mereka.”

Oleh itu sebagaimana lima nasihat dari hadis Nabi S.A.W. di atas, memberikan arahan kepada kita untuk hidup dalam masyarakat. Nasihat ini sangat penting, berharga dan berguna ketika berinteraksi dengan masyarakat. Nasihat ini mestilah diamalkan serta disampaikan kepada saudara sesama muslim dimana jua mereka berada.

Pertama : Menjaga diri dari perbuatan yang haram.

Kunci pergaulan Islam di tengah masyarakat adalah memelihara diri dari perkara yang di haramkan Allah. Kaum muslimin boleh melakukan apa saja perkara selagimana perkara itu tidak haram atau syubhat. Perkara syubhat juga perlu dijauhi kerena ia akan menyeret kepada yang haram. Apabila perkara yang haram telah ditinggalkan, yang syubhat pun dihindari, sanggup melawan hawa nafsu serta membentengi diri dari tipu daya syaitan maka itulah jalan menuju takwa. Jalan yang akan mempertemukan kita bersama dengan orang-orang soleh yang di janjikan pelbagai bentuk kenikmatan oleh Allah S.W.T.

Kedua : Puas dan reda dengan kurnia yang dilimpahkan Allah padanya.

Wasiat kedua ini menjelaskan kepada kita bahawa hakikat ‘kaya’. Kaya bukanlah bererti melimpah ruahnya harta, memiliki rumah yang tersergam indah, perabut mewah, kenderaan hebat atau perhiasan yang dipakai oleh seseorang. Tetapi kekayaan yang hakiki terletak pada lubuk hati. Ia merupakan ketenteraman dan ketenangan jiwa kerana puas dengan segenap kurnia yang diberikan Allah S.W.T. Sehingga ia tidak memburu dan rakus terhadap harta lalu menghalalkan segala cara bagi memperolehinya.

Walaubagaimanapun apabila kita bersyukur diatas rezeki yang di kurniakan Allah, nescaya Allah akan tambah lagi rezeki kepada kita dengan berlipatkali ganda dan kekayaan yang di miliki akan membawa kita lebih hampir dengan Allah S.W.T.

Kekayaan juga bermakna apabila kita memiliki nikmat Iman dan Islam yang mampu menyelamatkan kita dari seksa neraka, tentulah ianya tak mungkin dapat dinilai dan diukur dengan nilai-nilai kebendaan.

Ketiga : Berbuat baik kepada jiran tetangga.

Rasulullah S.A.W. memerintahkan kita agar berbuat baik terhadap orang yang paling hampir rumahnya iaitu jiran. Jiran yang paling berhak mendapat perlakuan baik kita. Maka ajaran Islam mengatur masaalah rumah tangga secara terperinci termasuk kewajipan berinteraksi dengan baik terhadap jiran tetangga.

Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud :
“Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia memuliakan jiran tetangganya.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Keempat : Mencintai Orang Lain.

Prinsip dasar ajaran Islam adalah cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. Mencintai orang lain kerana Allah termasuk dalam tuntutan Islam. Mencintai orang lain yang dimaksudkan Rasulullah S.A.W. adalah sesama muslim sebagaimana yang disabdakan baginda dalam hadis lain yang bermaksud :
“Tidak beriman salah seorang di antara kamu sehingga mencintai saudaranya sama sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Manakala terhadap orang yang bukan Islam, tidak boleh ada hubungan cinta selain daripada seruan dakwah ke jalan Allah. Sebagai pendakwah kita perlulah berlemah lembut kepada mereka bagi tujuan memperlihatkan kemuliaan akhlak Islam.

Kelima : Tidak banyak bergurau.

Keceriaan dan kegembiraan merupakan tuntutan hidup yang sihat dan bahagia. Islam menganjurkan umatnya untuk bersikap riang gembira, tidak kaku dan sentiasa bersikap optimis. Rasulullah S.A.W. mengatakan bahawa senyum terhadap saudara seakidah merupakan perbuatan makruf dan tergolong dalam ibadah.

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya :
“Janganlah kamu meremehkan yang makruf meskipun hanya dengan memberi senyuman kepada saudaramu.”

“Senyum terhadap saudaramu adalah sedekah.”

Namun hal ini bukan bererti kita harus banyak bergurau. Gurauan adalah ucapan yang diada-adakan yang sering kali terjerumus pada perlecehan dan seumpamanya. Apabila perlecehan ini berkaitan dengan masaalan agama dan perkara yang berkaitan maka kita akan berdosa dan berhak mendapat kemurkaan Allah. Manakala jika gurauan itu terseleweng lalu melecehkan sesama manusia maka ia juga berdosa kerana mencemarkan kehormatan orang lain.

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :
“Allah melaknat orang-orang yang membuat orang lain ketawa.”

Sahabat yang dimuliakan,
Inilah lima pedoman dalam bergaul dalam masyarakat. Marilah sama-sama kita amalkan dalam kehidupan kita. Setiap muslim yang mengamalkannya tentu akan berjaya di dunia dan di akhirat sebagaimana yang dijanjikan oleh Nabi S.A.W. seperti hadis diatas. Di dunia ia akan menjadi muslim sejati yang di cintai sesama insan sedang di akhirat ia akan terhindar dari kemurkaan Allah.

Rabu, 22 Disember 2010

Babak-babak Kehidupan Manusia

سم الله الرحمن الرحيم


"(Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya: seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja." (An-Naazi’aat: 46)

Perjalanan hidup ini terasa jauh, hakikatnya singkat. Entah, kadang sesuatu yang ingin dicapai terasa sangat jauh, sukar dan berliku. Namun sesuatu yang telah berlaku ibarat terlalu singkat, dekat dan masih diingat. Maha suci Tuhan yang menciptakan perasaan yang sukar untuk digambarkan. Tersembunyi dalam Hikmah Ilahi dan dada-dada orang berilmu. Entah berapa kali aku terjatuh, dan bangun. Entah berapa kali aku gagal, dan menemui kejayaan. Silih berganti. Ibarat malam dan siang, juga gelap dan terang. Apabila aku merenung sejarah hidup sendiri, terasa begitu hebat plot-plot dan babak-babak yang telah ditakdirkan Tuhan, Allah yang Maha Menentukan.

Aku hidup sebagai seorang lelaki yang berbeza, pastinya tak sama dengan orang lain. Dalam hidupku, aku melalui pelbagai situasi yang berbeza, juga tak sama dengan orang lain. Aku menempuhi setiap perkara dengan cara tersendiri, sekalipun mungkin mirip orang lain, tetap tak sama. Ada beza. Walaupun sedikit. Lalu ertinya apa?

Aku berfikir sendiri dan menemui jawapan yang kurasakan mungkin. Dengan ilmuku yang cetek dan pengalamanku yang tak seberapa hebat, aku cuba memberikan jawapan buat diri sendiri bahawa SETIAP ORANG PUNYA BABAK HIDUP TERSENDIRI.

Jalan hidupku dan orang lain tak mungkin sama, mungkin mirip. Masa, tempat dan situasi berubah-ubah mengikut orang. Di setiap babak ada perkara baru yang bertambah, atau ada perkara lama yang berulang. Babak-babak kehidupan sebenar ini begitu menarik kerana plotnya berkembang, sejak zaman bayiku sehingga remaja dan dewasa. Plot ini akan terus bersambung sehingga ke usia tua. Sungguh, aku kagum pada Tuhan yang menciptakan plot kisah hidupku dan orang lain.

Lalu ada seperkara yang merunsingkan diriku. Jika begitu keadaannya, haruskah setiap orang mengambil berat tentang orang lain? Yang sudah termaktub plot kehidupannya? Haruskah kita memaksakan jalan cerita kita kepada cara hidup orang lain? Haruskah kita menjadi penulis skrip untuk babak kehidupan orang lain? Wah, persoalanku menjadi semakin menarik dan berbelit-belit. Namun aku tak berhenti berfikir kerana aku tahu Tuhan ada jawapannya. Lalu aku menemui jawapan yang memuaskan hatiku bahawa TUHAN ADALAH PENGARAH AGUNG PADA BABAK KEHIDUPAN MANUSIA.

Ertinya kita semua berada dalam satu pentas lakonan yang sama, dunia. Setiap babak adalah berkait antara satu sama lain. Jika kita tidak memastikan bahawa orang lain mengikut perintah pengarah, babak kita juga akan terjejas. Ibarat sebuah filem di mana setiap pelakon berperanan dalam memastikan kehendak pengarah dituruti. Jika tidak, filem akan menjadi kucar-kacir.

Hidup kita di dunia ini ibarat sebuah filem yang hebat. Ada watak yang datang lebih dahulu, dan pergi. Ada watak yang datang kemudian, dan meneruskan jalan cerita. Hakikatnya semua babak itu berlaku dalam latar tempat yang sama, dunia. Kita semua berada di bawah pengarah yang sama iaitu Allah Yang Maha Berkuasa. Tugas kita adalah memastikan bahawa manusia-manusia yang lain juga taat dan patuh kepada pengarah, supaya plot kehidupan ini berjalan lancar. Jika tidak, plot kita juga akan terganggu dan rosak. Maka tugas memastikan perintah pengarah dituruti adalah kewajipan kita, dalam babak kehidupan ini.

Apa juga peranan kita dalam babak kehidupan ini, ia tetap penting dan menyumbang kepada perkembangan plot kehidupan. Ada orang diberikan kelebihan dalam menulis, ada yang hebat dalam berpidato, sementara yang lain dikurniakan hikmah dan kebolehan dalam pelbagai bidang. Maka apapun kita, kita tetap seorang pelakon utama dalam babak kehidupan ini dalam bidang masing-masing. Kita adalah kita. Jangan menjadi lemah dan merasa hina kerana diri kita tak terbanding dengan orang lain. Yakinlah bahawa Allah sudah memberikan watak terbaik untuk kita mainkan dalam babak kehidupan ini.

Setiap orang adalah istimewa, setiap orang berperanan penting dalam menjayakan plot kehidupan di dunia ini, kerana segala yang kita lakukan di dunia ini akan dipaparkan di pawagam akhirat.

"Kemudian sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat."(Al-Mukminuun: 16)

Di saat itu tak berguna lagi untuk kita berusaha menjadi pelakon yang terbaik kerana pada saat itu hanyalah waktu untuk anugerah Ilahi, atas apa yang kita lakukan di atas muka bumi.

20 Prinsip Memahami Islam – Syeikh Yusuf Al-Qaradawi

سم الله الرحمن الرحيم

1. Beriman Dengan Allah, Pertemuan Dengannya Dan Risalahnya

  • Islam berdiri atas iman, jalan kejayaan & kebahgiaan iaitu beriman dgn rukun iman
  • Allah ciptakn alam tak sia2 utk uji manusia didunia sbagai psediaan akhirat bdasar amalnya (al-Zalzalah:7-8)
  • Fitrah sejahtera, akal bijaksana & alam luas sebagai tanda kwujudan & kkuasaan Allah
  • Hakikat aqidah tauhid – kita tak boleh pilih kecuali Allah sbagai tuhan, pimpinan & hukum
  • Iman sahih mbenarkan semua kitab yg diturunkan & setiap Nabi yg diutuskan yakni Islam bersifat pembenar, penyempurna & pembina (al-Baqarah: 285, an-Nur:51, al-Ahzab:36)
  • Iman benar tak sempurna kecuali dgn amal salih yg warnai sistem hidup (al-An’am:162)
  • bpegang aqidah yg mana ia hidup & mati (Ali-Imran:102); tolak riddah & hukumnya bg jaga identity Islam
  • Islam hormati ahli kitab samawi yg bpegang pdnya & hanya bahas dgn cara paling baik.

2. Memuliakan Manusia Dan Memberitahukannya Tentang Kewajipan Dan Hak Mereka

  • Islam muliakan manusia yg dicipta Allah dlm bentuk paling baik, khalifah dimukabumi & ditunduk segala makhluk
  • pikul amanah taklif, dikurnia kemahiran & kkuatan fitrah bg laksana risalah dgn akal (berfikir)
  • diberi iradah (kehendak) bg tujuan memilih & qudrah bagi tujuan melaksanakan
  • diturun kitab2, Rasul, manhaj yg diredhai, peringatan akan bisikan syaitan (was2 & ragu2)
  • Kewajipan manusia: (i)ibadah (al-Zariyat:56) (ii)dakwah (iii)khalifah
  • Hak asasi: (i)beragama tnpa paksa (ii)berfikir tnpa desakn (iii)berpendpt tanpa takut (iv)belajar semampunya (v)sama dgn org lain (vi)bebas bgerak/bkerja (vii)pilih/nasihat pemerintah (vii)kecukupan hidup (viii)kselamatan

3. Dialog Dengan Akal Dan Memanfaatkannya

  • Islam berdialog dgn akal utk fahami agama & makmur alam, ajak kpd ilmu & cemerlang,
  • guna pendekatan paling moden dlm semua bidang dan berfikir sebagai ibadah
  • tuntut ilmu satu kwajiban, mundur ilmu satu jenayah & semua jln kpdnya adalah wajib diikuti
  • Tak wujud perselisihan bg akal jelas & nas sahih atau hakikat ilmu & perkara qat’ie
  • Akal adalah asas dalil naqli bukti Allah wujud & nubuwwah dithabitkan
  • Sikap: (i)terima warisan thurat (ii)ceduk hikmah pelbagai sumber (iii)manfaat pengalaman umat (iv)ambil apa terbaik pdnya tanpa taksub (v)manfaat perkara baik walau ia dr bukan Islam
  • Hikmah adalah brg hilang dr mukmin & dimana ditemui maka ia paling berhak milikinya.

4. Seruan Kepada Ijtihad Dan Tajdid

  • Islam ajak perangi jumud, bjalan seiring dgn pkembangan ilmu/material & tak halang pemikiran baru
  • krn Islam mampu beri penyelesaian apa2 masalah & yg tak mampu hanya akal/kemampuan manusia
  • Ijtihad kini jadi satu kwajipan agama & kperluan didesak realiti; pintu ijtihad sntiasa tbuka dgn syarat ditetapkn smada: (i)tarjihi intiqo’ie (pilihan penyaringan) (ii)ibda’ie insyaie (ciptaan baru) (iii)fardhi@jamaie (iv)juzi’ie@kulli
  • Setiap mujtahid dpt ganjaran walaupun tersilap dlm berijtihad
  • Perlu sediakan suasana keilmuan bg lahir mujtahid yg selari dgn tuntutan Islam & zaman kini

- himpun pendpt warisan thurat yg manfaat, pendpt baru yg sesuai, keperluan zaman & maslahat umum

- manfaat khazanah fikah Fukaha’ lalu utk dipilih paling sahih dalil, yg penuhi maqosid syarak & maslahat umat

  • fatwa berubah dgn masa, tempat, ’uruf & keadaan & syariat ditentu utk penuhi keperluan manusia dunia/akhirat; terdiri atas asas pelihara aqidah, nyawa, akal, keturunan & harta.

5. Seruan Kepada Wasatiyah Dan Tawazun

  • Bersifat wasatiyah dlm semua perkara & ciri istimewa/asasi bg umatnya (al-Baqarah:143)
  • Bersifat tawazun (seimbang) positif dlm iktiqad & amali, material & maknawi, wahyu & akal,
  • Dlm hidup individu: seimbangkn ruh-material, akal-hati, dunia-akhirat, hak-kewajipan; individu & mayarakat
  • Islam menolak fahaman isme ciptaan manusia

- kapitalisme –besarkn kbebasan individu & ketepi keadilan masyarakat khusus yg lemah

- komunisme –tak beri rakyat hak/kuasa & tekan/sempitkn ruang kebolehan individu

  • Ciri2 Islam yg wasatiyah & tawazun

- beri setiap individu/masyarakat hak tanpa melampau/merugikan ikut hokum syarak

- pelihara kbebasan rakyat iaitu bebas berfikir bukan kufur, bebas hati bukan nafsu, bebas berpdpt bukan mhina, bebas dpt hak bukan maksiat

- setiap manusia dilahir bebas, tak blh hina org lain & tak dibenar sembah sesama manusia

- kebebasan hakiki ialah tauhid yg hakiki & natijah syahadah

6. Realiti Stabil Yang Mementingkan Manusia Seluruhnya

  • Islam bersifat reality (waqi’e) dan bukan brlegar diawang2an yg ideal
  • Manusia punya betul/silap, lurus/seleweng, lemah/kuat – oleh itu, Islam wajibkn amal ma’aruf, hukuman, taubat, dharurat/rukhsah (keringan tika lupa/silap/terpaksa)
  • Muliakn manusia, naik tarafnya, akui fitrah, tak turunnya ke taraf haiwan, tak naiknya ke taraf ktuhanan, akui keinginan, ruh/jasad, akal/perasaan, lelaki/wanita, individu/ kumpulan
  • peluang bhibur yg dibenarkn dlm suasana positif, batasan syarak & tanpa tekanan/ kerugian
  • Islam pelihara kesihatan jasmani, jiwa & akal, hak badan tika lapar, rehat tika letih, ubat tika sakit, perangi mabuk/khayal, haram racun yg mudarat; galak pendidikan jasmani sebagai wasilah (bukan matlamat); yakin Allah beri sakit & turunkn ubatnya, pentingkn pencegahan

7. Memuliakan Wanita Dan Membebaskankannya Daripada Kezaliman Pelbagai Jahiliyyah

  • Islam bertolak dpd mghormati kemuliaan wanita & kemanusiaannya
  • dianggap manusia yg mdpt taklif sempurna, mpy hak/kewajipan & balasan amal dunia/akhirat
  • bukan lwn lelaki, bahkn lelaki dr wanita (&sebaliknya) & saling menyempurna (Ali-Imran:195)
  • dijaga sebagai anak,isteri, ibu & anggota keluarga & diberi ruang beribadat, belajar & bekerja
  • bekerja khusus bila diperlu atau keluarga/umat perlukan, dgn syarat mjaga ciri kewanitaan
  • perlu jaminan khusus utk pelihara diri jika suami zaliminya, bapa abainya, anak durhakainya
  • diberi hak sertai lelaki dlm berdakwah, amar maaruf & perangi kejahatan (al-Taubah:70)
  • hak sertai permasalahan politik, sosial, budaya, pengundi & calon jawatan yg sesuai
  • Islam tolak benarkan wanita jadi alat nafsu/tarikan dunia & wajib pegang prinsip jaga maruah, adab, tabaruj dll

8. Keluarga Adalah Asas Masyarakat

  • Islam pandang keluarga asas masyarakat dan perkahwinan asas keluarga
  • Galak/mudahkn urusannya & hapuskn halangan ekonomi melalui jln pendidikan & undang2
  • pkiraan utama ialah agama/akhlak; tolak adat palsu susahkn pkahwinan (mahar tinggi, hadiah/kenduri melampau)
  • tutup pintu2 haram/hapus tarikan – dedah aurat, hiasan/kata2 lucah, media/tempat maksiat
  • wujudkan hubungan kekeluargaan atas asas damai, kasihsayang & saling mengasihi
  • akui hak suami sebagai pemimpin keluarga, benarkan ia jatuhkan talaq bila tiada jln damai
  • benarkan lelaki berpoligami bagi yg perlu, mampu & yakin adil pada diri & terbukti
  • bangunkan asas hubungan ibubapa & anak2 atas asas kewajipan mjaga/pelihara secara sempurna (material, perasaan & adab) dpd pihak ibubapa & berbuat baik pd anak2.
  • luaskan keluarga kpd kaum kerabat, kewajipan atas mrk & hukum dosa jika putus hubungan.
  • dokong ikatan keluarga dgn hak nafkah, pewarisan & ’aqilah (penjamin pembunuh dlm qisas)

9. Mengutamakan Tarbiyah, Pendidikan Dan Media

  • individu manusia soleh adalah asas masyarakat soleh; pentingkn tarbiyyah melebihi undang2
  • krn umat dibentuk melalui tarbiyyah bterusan, pendidikan menyedarkn & nasihat mdalam
  • asas pembangunan & perubahan ialah manusia yg punya fikiran & hati, iman & akhlak
  • pjagaan rapi mula dr pdidikan awal kanak2 hingga universiti dimana iman diajar bsama ilmu, akhlak & kemahiran
  • antara ciri utama tarbiyyah utk generasi muslim ialah beriltizam dengan:

- aqidah selamat dpd khurafat & akhlak istiqamah (cakap benar, kerja teliti, amanah & janji)

- berani isytihar kebenaran, musuhi kebatilan & nasihat kpd agama

- bjihad dgn jiwa/harta pd jln Allah & ubah mungkar dgn tangan,lidah & hati ikut kmampu

- perangi kezaliman & penindasan & tak tunduk pd penzalim

  • beri perhatian kpd media cetak/elektronik yg dpt pengaruhi pemikiran, citarasa & cenderung
  • sucikan media massa dpd perkara yg rosak aqidah, racun fikiran & akhlak seleweng
  • miliki media -benar dlm berita, nasihat bijaksana, hiburan sederhana, saling menyempurnakn
  • pelihara masjid sebgai tmpat ibadah, himpun ilmu, kelab ukhuwah, mimbar nasihat & syiar

10. Menguatkan Ikatan Persaudaraan Antara Manusia

  • Islam dirikan umat atas ikatan prsaudaraan, kesatuan penganutnya & tak beri tmpat utk persaingan bangsa, agama, kasta & mazhab; semua manusia bersaudara yg disatu oleh ubudiyyah kpd Allah & anak kpd Adam
  • perselisihan adalah atas kehendak Allah & hikmahnya serta Allahlah pemutus di akhirat
  • Islam hormati non-muslim dlm masyarakat Islam & berada dlm jaminan Allah, Rasul & umat
  • menjadi ibadah bagi setiap Muslim yg pelihara hak bukan Islam, berbuat baik & adil pd mrk
  • hak non-muslim dlm negara Islam

- kebebasan akidah & ibadah, pelihara darah, maruah & harta (seperti umat Islam)

- dijaga dari dizalimi dlm negara, dijajah pihak luar, hak & penghormatan

- kewajipan sebagaimana umat Islam kecuali berkaitan dgn masalah perbezaan agama

- diberi jaminan maknawi, material & perundangan yg akan jaga hak ini

  • toleransi ini diterap melalui akhlak/nilai istimewa dimiliki muslim & bukan paksaan undang2

11. Tidak Ada Kerahiban Di Dalam Islam

  • Dlm Islam tak wujud golongan monopoli agama, tutup pintu tuhan, tetapkan haram/halal atau keampunan
  • Semua manusia bpotensi jd tokoh agama & tak perlu org tengah antara manusia & Tuhan
  • Para ulama jadi pakar rujuk dlm bidang pengkhususan mrk (Fatir:14 & Al-Nahl:43)
  • Menjadi hak setiap muslim utk jadi pakar agama melalui pengajiannya khusus & bukan melalui warisan, gelaran & pakaian krn tiada monopoli & halangan dlm perkara ini.
  • Islam tolak konsep Barat yg bahagi manusia/institusi kpd bersifat agama & tidak beragama.
  • Tiada pbahagian antara manusia/institusi/undang2, krn semua berhak berkhidmat utk Islam.

12. Pemerintahan Adil Dan Syura Yang Mulzimah

  • hak umat pilih kerajaan yg bdiri atas keadilan, psamaan & syura mulzimah (wajib diikuti)
  • Islam anggap pemerintah sebagai khadam umat & umat mpy hak awasi mrk sbgaimana mrk mpy hak utk ditaati dlm perkara maaruf & perintah bsifat maksiat tak wajib taat/patuh
  • Jika pemerintah seleweng, maka wajib dinasihati & hendaklah dilucutkn jawatan jika masih
  • Negara yg disifat Islam bukanlah negara keagamaan tetapi adalah daulah, fikrah & risalah
  • Daulah terdiri atas baiah, syura, nasihat, keadilan & berhukum dgn undang2 ciptaan Allah.
  • Ciri utama pemimpin bukanlah golongan agama ttapi mrk yg bersifat amanah & quwwah yakni pemelihara lagi bijaksana, diri solat, keluar zakat, buat maaruf & cegah mungkar
  • Islam terima plaksanaan yg jamin hak minoriti, bidang kuasa/parlimen/mahkamah, akhbar/ucapan, parti pembangkang & sebagainya yg tepati maqasid syarak, walaupun tak pernah dinyata secara jelas dlm nas.

13. Memelihara Harta Dan Menyuburkannya

  • Pelihara harta adalah salah satu daruriyyat & penting bg hidup manusia, dpt makmur dunia & bela agama
  • Nikmat yg wajib disyukuri, amanah yg wajib dipelihara, ujian/fitnah Allah bg uji manusia
  • Wajib cari/suburkannya melalui jln yg disyariatkan, tunai hak yg wajib atasnya, elak bazir & belanja melampau
  • Islam hormati pemilikan swasta, perangi monopoli & pelihara kepentingan umat
  • Usaha bangun ekonomi umat, maksimum guna sumber, latih tenaga kerja, berdikari & kerjasama hasilkn keperluan dlm pelbagai bidang, supaya tak beban sesatu pihak khususnya dlm masalah makanan ruji & asasi
  • Islam lihat kerja utk dunia adalah satu juzuk agama dlm memakmur bumi adalah ibadat, suburkan umat adalah kewajipan, kuatkan umat adalah jihad pd jln Allah & usaha ekonomi adalah amalan yg dekatkan diri kpd Allah
  • Dgn itu Islam beri motivasi spiritual yg akan cetus pembangunan umat & Islam juga pencipta pembangunan

14. Memelihara Golongan Yang Lemah Di Dalam Masyarakat

  • Islam mjaga golongan lemah dlm masyarakat yg hasil produk tika aman & punca kmenangan tika perang
  • Hadith sahih- “bukankah kamu diberi rezeki & kemenangan krn golongan yg dhaif”
  • Islam pelihara hak mrk dgn baik (gaji cukup & jaminan kukuh), yg tak mampu bekerja, yg tak cukup pendapatan (fakir, miskin & ibnu sabil), hak terima zakat, hapuskan jurang kemiskinan & tingkat taraf hidup mrk
  • Tidak terima individu tidur kenyang tika jiran kelaparan
  • Negara bertanggungjawab krn pemerintah adalah pemimpin & akan ditanya mengenai mrk yg dipimpin.

15. Membetulkan Pemikiran Nasionalisme Dan Kebangsaan

  • Islam tak halang cintai/bangga dgn negara/bangsa selagi tak bertentangan dgn cinta/bangga thadap Islam
  • Dgn itu Islam tak halang nasionalisme selagi tak bermaksud memusuhi/nafi Islam seperti sekular/atheis dll
  • Islam membina bukan meruntuhkan, menyatu bukan memecahbelahkan, menguat bukan melemahkan
  • Islam seru kesatuan negara, kesatuan Arab & kesatuan umat Islam
  • di samping usaha arah kesatuan manusia dibawah prinsip2 akhlak

16. Dakwah Dengan Hikmah Dan Dialog Yang Terbaik

  • Islam hadapi pemikiran dgn pemikiran, syubhat dgn hujjah; tiada paksaan dlm agama & keganasan dlm dakwah
  • Seru ke jln Allah dgn hikmah & nasihat yg baik, dialog dgn cara paling baik, tolak teroris sbagai jalan
  • Berpegang kpd dialog membina yg beri semua peluang pkenalkan diri dgn terang, iltizam dgn pokok perbincangan & adab berbahasa yg tlh dinyatakan dlm al-Quran (al-Nahl:125 & al-Ankabut: 41)
  • Jika ada dua jalan utk berdialog, maka muslim pilihlah cara paling baik, tumpu titik persamaan & kesepakatan sebagai usaha dekati pihak lain.

17. Keharusan Berbilangnya (Pluralisme) Agama Dan Politik

  • Islam akui bhw Allah tlh ciptakan manusia saling berselisih (Hud:18-19); adalah hasil pemberian akal & kehendak
  • Perlu hormati pandangan pihak lain dlm masalah memahami agama atau menilai situasi politik krn perselisihan ini adalah rahmat dan kebaikan bila timbul pelbagai pandangan & ijtihad
  • Berbilang parti dlm system Islam dibenarkan dlm lingkungan prinsip Islam & hukum2 qat’e; selagi timbul dari sudut berbilangnya pengkhususan & bentuk, bukan berbilang yg membawa ptentangan & pmusuhan
  • Ertinya saling melengkapi & bekerjasama, selagi berada dlm saf yg satu dlm masalah masa depan umat & lupakan perselisihan juz’ie & berpaksikan Al-Quran & Sunnah, bermatlamat bela Islam & letakkan slogan “Kita bekerjasama dlm perkara yg disepakati & saling bertolak ansur dlm perkara yg diperselisihkan

18. Membina Tamadun Baru Yang Unggul

  • Islam tak memadai berbangga tamadun unggul masa lalu tetapi berusaha teruskan usaha cipta tamadun baru
  • Tamadun baru yg ambil kebaikan tamadun hari ini (sains, teknologi dll) di samping pelihara keaslian Islam
  • Iaitu tamadun yg hubungkn nilai manusia dgn ketuhanan, keunggulan Islam & moden, himpunkan sains & iman, ciptaan material & akhlak, satukan cahaya akal & wahyu.
  • Tonjolkan keistimewaan Islam yg tergambar pd matlamat/manhaj pbinaan individu, keluarga, masyarakat, negara
  • Perakukan interaksi antara budaya, dialog tamadun, umat sejagat; tanpa hilang keaslian & keistimewaannya

19. Membangunkan Kehidupan Islam Yang Sempurna

  • Islam tidak mjadikan matlamat utamanya utk jlnkan secara zahir sudut perundangan syariah khususnya hudud & qisas, walaupun ia adalah satu juzuk yg tak boleh diabaikan dpd hokum syariah
  • Tetapi pertempuran utama & tugas terbesar adalah usaha bagi bangun hidup Islam hakiki & bukan sekadar kulit
  • bentuk hidup utk baiki jiwa manusia, bina manusia mukmin, keluarga kukuh, masyarakat padu & Negara adil.
  • Hidup Islam yg sempurna yg tunduk kpd aqidah, diperintah syariat, dikuasai kefahaman, dikawal akhlak
  • Hidup masyarat yg saling membantu & bersatu, tiada individu kelaparan, disedia ilmu manfaat, kerja bersesuaian, gaji berpatutan, makanan cukup, ubat mujarab, rumah baik utk setiap keluarga, penjagaan social golongan lemah
  • Wujud kekuatan dlm semua bidang – pemikiran, jiwa, tubuhbadan, akhlak, ekonomi, senjata, kesatuan iman.

20. Penyatuan Umat Bagi Melaksanakan Risalah Dan Membebaskan Tanahairnya

  • Islam melihat umat Islam walau dimana mrk berada adalah satu umat yg saling btanggungjawab
  • mrk bersaudara, satu aqidah, satu kiblat, satu Rasul & satu syariat.
  • wajib hapuskan faktor asobiyah bangsa, daerah, cara hidup bukan Islam, pengikut hawa nafsu & individualistik
  • hendaklah kukuhkan & luaskan kesatuan politik/ekonomi & satu blok besar yg sahut seruan Allah (Ali-Imran:103)
  • umat bersatu yg bebaskan tanah2 Islam dpd penjajah mula dari negara sendiri yg dibantu oleh seluruh umat khususnya jiran terhampir ikut kemampuan tentera, ekonomi & tenaga manusia
  • usaha mrk adalah jihad paling utama dijln Allah & Palestin khususnya adalah tempat jihad umat pd tika ini
  • jadi umat yg terbuka bukan bersifat perkauman taksub & berusaha bahagiakan seluruh manusia, beri manfaat & hidayah serta seru perkenalan & bukan permusuhan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...