Ukhwah Islamiyyah

Ahad, 28 Ogos 2011

Peristiwa di Bulan Syawal : Aku Rela Bajuku Bertampal-tampal Daripada Menderhakaimu

سم الله الرحمن الرحيم


Bila nak dekat raya ni, ramailah kanak-kanak dan para remaja yang berharap untuk mendapat pakaian baru, kasut baru dan macam-macam lagi.

Ia seperti menjadi kewajipan kepada ibu bapa untuk membelinya walaupun dalam keadaan kekurangan yang teramat. Sehingga ada kalanya membuatkan anak-anak tersebut membenci kedua ibu bapanya jika tidak membelikan pakaian baru buat mereka.

Marilah kita hayati kisah Saidina Umar al-Khattab dan anaknya.

Suatu hari anak Khalifah Umar al-Khattab pulang dari sekolah dengan menangis teresak-esak. Ketika ditanya oleh ayahnya, ia menjawab bahawa teman-temannya di tempat pengajiannya menghina bajunya yang penuh dengan tampalan (baju yang bertampal-tampal)

Di antara mereka mengatakan : "Hai kawan-kawan, perhatikan berapa jumlah tampalan budak ini!" Ia menjadi bahan ketawa teman-temannya, amatlah sedih hatinya.

Pola hidup keluarga Khalifah Umar memang sederhana, teramat sederhana. Walaupun berjawatan sebagai khalifah, tampalannya bajunya ada empat belas. Salah satunya ditampal dengan kulit kayu.

Tibalah suatu hari apabila Umar al-Khattab berhajat untuk membelikan pakaian baru untuk anaknya di bulan Syawal, kerana ketiadaan wang pergilah Umar ke Baitulmal untuk meminjam beberapa dirham untuk membeli pakaian tersebut . Kerana tidak bertemu Saidina Umar dengan bendahara Baitulmal, beliau meninggalkan sepucuk surat, isinya sebagai berikut :

"Kepada bendahara Baitulmal yang terhormat saya memohon pinjaman sebesar empat dirham. Insya-Allah pada awal bulan depan, setelah pembahagian gaji dari Baitulmal, saya akan segera melunasinya."

Si bendahara tidak langsung cemas setelah menerima surat dari Khalifah. Dia juga tidak cepat-cepat mengambil wang dari Baitulmal lalu mengirimnya kepada Khalifah.

Dia mengamati surat itu sangat lama. Dia mengetahui bahawa pemimpinnya itu bukan sejenis penguasa yang memanfaatkan amanat rakyat untuk kepentingan peribadinya.

Saidina Umar bin Khattab R.A dikenali sebagai pemimpin yang adil dan tegas. Bukan saja dia adil terhadap rakyat sekitarnya, beliau juga bersikap adil terhadap anak-anaknya dan dirinya.

Apabila dirinya terbukti salah dalam menjalankan amanat Allah, dia rela dihukum dan didenda walaupun dia mampu menolak penghukuman tersebut kerana jawatannya.

Apabila dia dihadapkan kepada dua kepentingan, kepentingan si anak dan kepentingan Islam, maka dia akan mendahulukan kepentingan agamanya.

Sifat Umar al-Khattab seperti ini sudah umum diketahui oleh rakyatnya, tidak terkecuali si bendahara Baitulmal ini.

Si bendahara menjawab surat Khalifah dalam bentuk sebuah pertanyaan.

Kepada Amir al-Mukminin Umar bin Khattab,

"Telah saya baca surat anda tentang permohonan pinjaman dari wang Baitulmal. Aku sekadar ingin bertanya, apakah Tuan berani bahawa diri Tuan pasti tetap hidup sampai akhir bulan sehingga aku dapat menuntut hutang Baitulmal dari Tuan? seandainya ajal menjemput Tuan sebelum bulan ini berakhir, apakah Tuan mampu mempertanggungjawabkanya di hadapan Allah? Wasalam."

Selesai membaca surat balasan dari pejabat Baitulmal, Khalifah Umar merasa amat sedih kerana tidak mampu melunasi hajatnya untuk membeli baju baru untuk anaknya.

Setibanya Hari Raya, Umar al-Khattab melihat anaknya memakai baju yang bertampal-tampal dan beliau terus menangis, "Mengapa engkau menangis, wahai ayahku?" Tanya anaknya.

Umar menjawab: "Aku bimbang hatimu sedih di Hari Raya apabila kawan-kawanmu menghina bajumu yang bertampal-tampal itu."

Kemudian anaknya berkata: "Seharusnya yang harus bersedih itu ialah orang yang tidak mendapat keredhaan Allah dan menderhakai kedua orang tuanya. Sesungguhnya aku berharap agar Allah Azza wa Jalla memberikan redha-Nya kepadaku sebab keredhaanmu kepadaku".

Semakin deras air mata Khalifah Umar mengalir apabila mendengar kata-kata anaknya dan beliau terus memeluknya dan mendoakannya.

Kesimpulannya, inilah contoh didikan yang terbaik dari anak Khalifah Saidina Umar al-Khattab, yang tidak mengharap sesuatu pun dari kedua ibu bapanya kecuali keredhaanya.

Adakah wujud anak-anak sebegini di zaman ini? Mungkin 1/1000000 agaknya. Pengajaran lain yang dapat diambil, adakah pemimpin seperti ini wujud pada zaman sekarang? Fikir-fikirkanlah...

-Artikel Iluvislam.com

Rabu, 24 Ogos 2011

Syahdu RAMADHAN yang bakal pergi...

سم الله الرحمن الرحيم



Berada di 2,3 malam terakhir Ramadhan ini, sangat-sangat memberi kesyahduan pada diri.

Ya ALLAH, Ramadhan bakal berakhir! Apakah sempat aku menemuinya lagi?

Dengan keadaan Adilfitri yang bakal menjelma, suasana seluruh negara hari ini telah mula meraikan kedatangannya hingga menenggelamkan detik-detik akhir Ramadhan ini. Siapa lah kita ingin menyambut Aidilftri ini? Tak layak rasanya, baru-baru ini saya mula bertanya kembali pada diri, selama berada dalam madrasah Ramadhan ini, apakah yang telah saya lakukan? Amalan apa yang telah saya kumpul? Tilawah? Tarawih? Sedekah? MasyaAllah, sedikit benar apa yang saya lakukan...

Jika difikirkan andai ini Ramadhan terakhirku, betapa sedihnya diri ini telah mensia-siakan segala peluang yang ALLAH berikan sedangkan bulan ini khusus ALLAH berikan kepada ummatnya untuk mengumpul seberapa banyak pahala.

Bagaimana untuk ku melepaskan Ramadhan ini dalam keadaan begini? Sepatutnya, berakhirnya Ramadhan ini, maka kita graduan hasil daripada institusi Ramadhan ini akan menghadapi dua kemenangan, iaitu kemenangan bertemu dengan Tuhannya dan kemenangan setelah berjaya menghadapi peperangan dalam bulan Ramadhan, iaitu berperang dengan diri, hawa nafsu. Namun, sedih sekali apabila kita tiada perubahan dalam diri, seperti hanya melalui masa Ramadhan ini sebagai trend berpuasa tanpa ada kesan pada diri. Astaghfirullah...

Sepertimana saya petik dari risalah Hilal Asyraf erti Eidul Fitri itu apa sebenarnya?

Makna Aidilfitri dan hakikatnya

Perkataan ‘Aid’ atau (‘id) pada awal kata Aidulfitri adalah berkmaksud perayaan. Perkataan ‘fitri’ atau (fitr) pula pulang kepada makna Fitrah. Di dalam bahasa arab, saya sering menyebutnya dengan ejaan begini: ‘idulfitr. Perkataan ‘id + al-fitr.

Melihat semula maknanya, maka hakikatnya Aidilfitri ini adalah perayaan merayakan fitrah. Fitrah apakah yang hendak dirayakan ini? Mengapa namanya demikian?

Maka di sinilah kita perlu melihat semula kepada Ramadhan. Apakah kegunaan Ramadhan?

Ramadhan adalah kem pengislahan diri, peningkatan peribadi, pembersihan hati. Sekiranya kita benar-benar mengisi Ramadhan dengan baik, maka kita akan keluar daripada menjadi seseorang yang baru. Seseorang yang seakan bayi baru lahir. Suci sesuci fitrahnya yang sebenar. Kita akan kembali kepada fitrah kita yang hakiki, yakni menjadi hamba Allah SWT yang taat.

Aidilfitri wujud, untuk meraikan graduan-graduan Ramadhan yang berjaya kembali kepada fitrah. Aidilfitri wujud, untuk meraikan mereka yang bermati-matian mengisi Ramadhan dengan amal ibadah dengan tujuan untuk kembali kepada fitrah ini. Aidilfitri wujud, untuk mereka yang menghidupkan Ramadhan dan mengambil manfaatnya dengan bersungguh-sungguh, untuk dibawa keluar manfaatnya itu pada sebelah bulan yang lain.
Itulah maknanya Aidilfitri.


Persoalannya, adakah kita benar-benar mengisi Ramadhan kita sehingga selayaknya kita meraikannya kelak di Aidilfitri? Maka tidak layak untukku bergembira tika ini... Seperti nya kita bergembira dengan pemergian RAMADHAN... Secara jujurnya, dalam bulan tarbiyah ini, banyak mengajarku erti kesabaran dan mendidik hatiku untuk setiap ujian yang mendatang, pasti akan ku rindui kedatangan bulan mulia ini. MasyaAllah.. Syahdunya pemergian mu...

Kita perlu berfikir kembali.
Aku berpuasa dalam Ramadhan, tapi masih melakukan maksiat, apakah ibadahku diterima?
Aku bertilawah, tetapi hatiku masih sukar memaafkan sahabt, masih suka mengumpat, apakah puasaku ini hnya menahan lapar dan dahaga?
Aku bertarawih, tetapi masih berpegangan tangan, berbonceng motor lelaki dan perempuan, apakah ibadah Ramdhan ini tidak ada apa untukku?
Ya ALLAH, hambaMu ini masih belum berjaya berperang dengan nafsu, masih tunduk pada nafsu.. Astaghfirullah... Maka layakkah untuk hambaMu ini meraikan kemenangan di Aidilfitri? Sedangkan ini juga ummat yang semakin meraikan pemergian Ramadhan, dan bersungguh-sungguh menyambut kedatangan Syawal...

Marilah kita kembali koreksi diri dalam kesyahduan Ramadhan ini...

Hari-hari yang ku lalui,
Terasa benar-benar berbeza dalam madrasah ini,
Namun insan hina ini gagal membina segunung ibadah,
Malahan selautan kelalaian pula yang di berikan,
Tika mata-mata keinsafan membasahi bumi,
Sujud, tunduk merasai kebesaran ilahi dalam syahdu Ramadhan ini.
Apakah kesempatan ini dapat ku miliki?
Jangan biarkan hati-hati ini kaku dalam kealpaan,
Jangan biarkan kami gembira dalam dosa,
Berilah kesedaran ini walaupun ia pahit untuk ditelan,

Ya ALLAH!
Apakah sisa Ramadhan ini bakal ditempuhi,
Dengan membawa sekeping hati yang suci,
Moga masih ada ruang waktu untukku,
Agar hadiah yang ku terima kelak di Aidilfitri benar untukku.


JALAN MUJAHADAH MENUJU CINTA ILAHI TERASA AMAT PAYAH, NAMUN HANYA KERANA ENGKAU DESTINASI CINTA KU, MAKA PERJUANGAN YANG PAYAH INI TERASA MANIS DAN DOAKU MOGA HATI INI KEKAL DAN THABIT DI ATAS JALAN INI.

Isnin, 22 Ogos 2011

Check Lists Amalan Di Akhir Ramadhan

سم الله الرحمن الرحيم


oleh: Dr Che Engku Nor Bahiyah bt Che Engku Muda

Alhamdulillah, kita telah pun masuk ke fasa terakhir Ramadhan iaitu fasa yang telah Allah janjikan api neraka akan dijauhkan dan Insya-Allah, antara malam-malam kesepuluh ini kita bakal atau telahpun bertemu dengan malam Lailatul-Qadar, sebuah malam yang teramat istimewa, malam yang dikatakan lebih baik daripada seribu bulan, malam yang dinanti-nantikan oleh hamba-hamba-Nya yang beriman.

Untuk membangkitkan semangat memeriahkan sepuluh malam terakhir Ramadhan ini, marilah sama-sama kita muhasabah diri kita.

Renung-renung dan fikir-fikirkan kembali sedalam-dalamnya. Jika kita mati pada hari ini, adakah kita pasti amalan kita cukup untuk melepaskan diri kita daripada azab Allah yang PASTI di Akhirat sana iaitu azab Neraka yang amat pedih dan seksa.

Marilah kita duduk bertafakur dan renungkan kembali, bagaimana agaknya kedudukan kita di sisi Allah Yang Maha Esa?

Jom buat check lists amal ibadah kita!

1) Solat Fardhu : Lengkapkah segala-galanya?

First of all, adakah sudah cukup lengkap solat fardhu kita lima waktu setiap hari?

Adakah kita tunaikannya diawal waktu ataupun kita lengah-lengahkannya hingga ke akhir-akhir waktu?Kalau dah lengkap semak perkara-perkara lain pula yang berkait rapat dengan solat fardhu ini.

Berjemaah kah kita sekiranya mempunyai peluang untuk berbuat demikian? Khusyukkah solat kita atau masih banyak perkara lain yang kerap bermain dikepala ketika menghadap-Nya?

Sedarkah kita bahawa, mereka yang dekat di sisi Allah dan dijanjikan Syurga adalah mereka yang pertama sekali menjaga amalan solat fardhu mereka?

Yang dimaksudkan dengan 'menjaga' solat fardhu ini bukanlah bermakna melakukannya sahaja tetapi ia juga kerap ditunaikan di awal waktu dan secara berjemaah.

Mereka yang beriman akan sentiasa menunggu-nunggu solat fardhu ini bagaikan menunggu detik untuk bertemu kekasih. Mereka solat dengan penuh khusyuk, seolah-olah mereka sedang berkomunikasi dengan Yang Maha Pencipta.

2) Solat-solat sunat: Sejauh mana kita sanggup melakukannya?

Adakah kita pernah menunaikan solat-solat sunat sepanjang hidup kita? Jika pernah, bagaimana halnya dengan solat sunat di sepanjang bulan Ramadhan ini?

Kerapkah kita melaksanakannya? Dan mampukah kita untuk meneruskan tradisi solat sunat ini setelah tamatnya Ramadhan?

Solat-solat sunat ini sebenarnya mempunyai pelbagai keistimewaan antaranya adalah untuk menampung kekurangan kesempurnaan solat fardhu kita.

Rasulullah S.A.W dan para sahabat banyak melakukan solat sunat terutamanya solat malam sehingga bengkak-bengkak kaki Baginda kerana Rasulullah S.A.W terlalu lama berdiri menunaikan solat malam. Rasulullah yang telah dijanjikan Syurga pun tetap melakukan solat sunat setiap malam kerana cintanya terhadap Allah.

Jadi persoalannya di sini, cintakah kita kepada Allah? Jika cinta, mulakan lakukan solat sunat. Mulakan dengan sebulan sekali dan kerapkan hingga kita lali melakukannya setiap hari.

3) Membaca al-Quran : Syafaat yang pasti!

Al-Quran? Sedihnya terdapat generasi muda zaman sekarang yang mengaku Islam tetapi tidak tahu membaca al-Quran. Lebih sedih lagi ada yang mengaku tidak pernah buka dan pegang al-Quran! Salah siapa kah jika perkara ini terjadi?

Maka kita yang reti serba sedikit tajwid dan cara untuk membaca al-Quran ini harus bersyukur kerana Allah telah memberi nikmat kepada kita iaitu nikmat berupa al-Quran, syafaat yang pasti untuk kita di akhirat kelak!

Mari kita semak, sudah banyak mana kita baca al-Quran sepanjang Ramadhan ini? Jika sudah khatam alhamdulillah. Syukur. Tetapi boleh tak sekiranya kita teruskan amalan membaca al-Quran ini dimasa-masa akan datang? Semuanya bergantung pada hati.. sucikanlah hati.

Insya-Allah hati yang suci mudah untuk mendengar dan menyebut kalimah-kalimah Allah walau dimana dan bila-bila masa pun kita berada.

Dan sekiranya kita membaca al-Quran, adalah lebih baik jika kita baca sekali terjemahan-Nya agar kita lebih memahami maksud ayat-ayat yang di baca. Bukan kah itu lebih afdhal?

4) Bersedekah: Tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima.

Bayangkan sebuah situasi yang begini:

Anda dan ahli keluarga anda sedang menjamu selera disebuah warung selepas menunaikan solat terawih di sebuah masjid berdekatan dengan kawasan perumahan anda.

Oleh kerana anda dan ahli keluarga cuma berbuka kurma dan air sebelum berterawih tadi, anda pun memesan segala macam jenis lauk pauk. Tomyam, udang sambal, sotong goreng tepung, ikan siakap tiga rasa dan banyak lagi.

Tiba-tiba sedang anda menjamu selera dengan penuh nikmat, seorang kanak-kanak lelaki datang dengan pakaian yang kusut masai membawa secawan plastik yang berisi duit kertas rm1 dan beberapa sen duit syiling.

Tujuan kanak-kanak itu datang ke meja anda adalah untuk meminta derma.

Ketika itu ada yang pasti berfikiran : Ah ini semua sindiket.. buat apa bagi?

Ada juga yang mungkin memberi ceramah perdana free kepada kanak-kanak itu.

Kan mudah jika kita hulurkan sahaja derma kepada dia? Samada sindiket atau tidak itu adalah urusan mereka yang bertanggungjawab dengan Allah S.W.T. Jangan kita berlagak sombong menduga manusia lain begini dan begitu.

Bagaimana jika kanak-kanak terbabit cuma jelmaan malaikat yang ditugaskan untuk menduga anda? Bil makanan anda mungkin mencecah ratusan ringgit. Apa salahnya menderma sedikit untuk mereka yang memerlukan?

Bila bulan Ramadhan juga ada banyak pihak yang tiba-tiba menjadi prihatin kepada nasib anak-anak yatim dan orang-orang kurang berkemampuan. Baguslah, alhamdulillah.

Tetapi yang tidak berapa bestnya apabila sumbangan derma kita yang mencecah puluhan ribu ringgit itu diwar-warkan di dalam TV1, TV2, TV3, TV9, TV7, TV HIJRAH, ASTRO dan segala macam saluran media. Popularitikah dicari atau keberkatan ilahi?

Ok. Cukuplah 4 dulu check lists kita untuk kali ini. Sedangkan sebenarnya masih banyak lagi amalan-amalan yang kita perlu semak samada cukup atau tidak, lengkap atau kurang lengkap, semuanya perlu kita muhasabahkan lagi.

Jadi macam mana amalan-amalan kita? Sudah elokkah semuanya? Lengkapkah persiapan kita menghadap Ilahi? Ataupun persiapan raya lebih lengkap?

Akhirat itu benar..
Syurga itu benar...
Dan Neraka itu benar...

Marilah kita sama-sama mengambil peluang sepuluh malam terakhir Ramadhan ini, MALAM YANG DIJANJIKAN BAGI SESIAPA YANG MENGHIDUPKANNYA UNTUK DIJAUHKAN DARI AZAB NERAKA INI untuk berdoa, dan memohon keampunan daripada Allah.

Marilah sama-sama kita mohon supaya diri kita dan keluarga kita, sahabat-sahabat kita, semua muslimin muslimat dijauhkan dari azab api neraka dan dilimpahkan dengan rahmat dan kasih sayang Allah S.W.T.

Surah al-Ghaasiyyah Ayat 1-12

[Ayat : 1]
Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal hari kiamat yang huru-haranya meliputi?

[Ayat : 2]
Muka (orang yang kafir) pada hari itu tunduk kerana merasa hina.

[Ayat : 3]
Mereka menjalankan kerja yang berat lagi berpenat lelah.

[Ayat : 4]
Mereka tetap menderita bakaran Neraka yang sangat-sangat panas (membakar).

[Ayat : 5]
Mereka diberi minum dari mata air yang menggelegak panasnya.

[Ayat : 6]
Tiadalah makanan bagi mereka (di situ) selain dari pokok-pokok yang berduri.

[Ayat : 7]
Yang tidak menggemukkan, dan tidak pula dapat menghilangkan sedikit kelaparan pun.

[Ayat : 8]
(Sebaliknya) muka (orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri.

[Ayat : 9]
Berpuas hati dengan balasan amal usahanya (yang baik, yang telah dikerjakannya di dunia).

[Ayat : 10]
(Mereka tinggal menetap) di dalam Syurga yang tinggi (tempat kedudukannya dan darjatnya).

[Ayat : 11]
Mereka tidak mendengar di situ sebarang perkataan yang sia-sia.

[Ayat : 12]
Di dalam Syurga itu ada mata air yang mengalir.......

Sumber imej : Google Image

-Artikel Iluvislam.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...