Ukhwah Islamiyyah

Jumaat, 5 April 2013

Apakah Ciri-ciri Kepimpinan Dalam Islam?

























Dalam Islam, menentukan dan memilih pemimpin adalah suatu perkara yang sangat penting dan wajib. Ini dibuktikan dalam sejarah Islam apabila wafatnya junjungan besar Nabi kita Muhammad S.A.W, maka seorang khalifah terus dilantik menjadi pemimpin bagi mengantikan baginda sebelum pemakaman baginda S.A.W dilangsungkan.

Ijmak sahabat sepakat bahawa haram hukumnya kaum muslimin hidup tanpa adanya seorang khalifah atau pemimpin lebih dari tiga hari tiga malam.

Sabda Nabi S.A.W maksudnya, “Apabila keluar tiga orang dalam bermusafir maka hendaklah dilantik seorang ketua”. (Hadis Riwayat Abu Daud)

Dalam hadis yang lain sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,“ Tidak halal bagi tiga orang yang berada di satu tempat melainkan dilantik seorang daripada mereka seseorang sebagai ketua.”
 (Hadis Riwayat Ahmad) 

Ini bermakna kepentingan melantik pemimpin untuk mengantikan kepimpinan yang telah berlalu untuk mengurus hal ehwal Islam dan melaksanakan kemaslahatannya adalah wajib. Atas sebab inilah Islam begitu memandang berat soal memilih pemimpin dalam semua peringkat kehidupan.

Persoalannya, bagaimanakah kita hendak menjadi pemimpin yang baik? Kita harus sedar bahawa pemimpin yang baik akan memberikan kesan yang amat besar terhadap masa depan Islam dan umatnya. Kita juga hendaklah memahami bahawa soal kepimpinan mempunyai kaitan yang amat besar dengan dosa dan pahala dan ia adalah sebahagian tindakan atau perbuatan yang tidak terlepas dari penghakiman Allah terhadap kita pada hari kiamat kelak.

Firman Allah dalam Surah al-Muddathir ayat 38 yang bermaksud : “Setiap diri terikat (bertanggungjawab) dengan apa yang telah dikerjakannya”. 

Sebagai pemimpin, kita hendaklah melaksanakan tugas secara berhati-hati dan tiada berkepentingan peribadi dan sebagainya. Jika kita gagal melaksanakan tugas dengan adil dan mengutamakan kebajikan untuk rakyat maka sudah tentulah amat bersalah dan akan diazab oleh Allah di akhirat kelak.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas ayat 41 yang bermaksud : “Dan Kami jadikan mereka pemimpin-pemimpin yang menyeru (manusia) ke neraka dan pada hari kiamat pula mereka tidak mendapat sebarang pertolongan”. 

Islam telah menjelaskan kepada kita bagaimana untuk menjadi pemimpin yang baik. Terdapat lapan ciri-ciri utama sebagai seorang pemimpin yang baik;

1. Seorang yang berupaya untuk menjaga agama dan menegakkan syariat Allah di atas muka bumi, sebaliknya bukan menjadikan agama sebagai ‘istihza’ atau dipermainkan. Justeru amanah sebagai pemimpin sebenarnya adalah ganti diri Rasulullah S.A.W ‘niabatan ‘anin nabi SAW’ untuk memelihara, menjaga dan melaksana syariat Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Haj ayat 41 yang maksudnya : “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. (Ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan”. 

2. Seseorang yang memiliki ‘al-Quwwah’ yakni kekuatan dari semua sudut samada fizikal, spiritual, emosi dan mental. Dalam al-Quran telah dijelaskan kisah dua anak perempuan Nabi Syu’aib a.s. meminta kepadanya agar memilih pekerja mengembala kambing daripada kalangan yang kuat bekerja dan amanah, inikan lagi soal memilih pemimpin yang sudah tentu skop menanggung kerjanya yang lebih luas dan amanahnya sangat besar memerlukan kekuatan semua sudut dan bidang.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas ayat 26 yang maksudnya : “Salah seorang antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (kita), sesungguhnya sebaikbaik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah”. 

3. Seseorang yang memiliki sifat takwa, kerana ciri-ciri inilah yang menjamin seseorang pemimpin itu berintegriti dan takutkan Allah SWT dalam melaksanakan tugas-tugasnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan seandainya mereka itu tetap beriman dan bertakwa nescaya mereka akan mendapat pahala); sesungguhnya pahala dari sisi Allah itu adalah lebih baik, seandainya mereka mengetahuinya”. (Surah al-Baqarah ayat 103)

4. Seseorang pemimpin itu mestilah beramanah, adil dan tidak melakukan kezaliman atau diskriminasi kepada mereka yang di bawah pimpinannya. Sifat-sifat ini mesti dimiliki oleh mana-mana pemimpin dan menjadikan ia sebagai prinsip asas pentadbiran untuk menjamin kepimpinannya yang dihormati, disegani dan disayangi. Jauhkan diri daripada pemimpin yang zalim yang tidak memberi keadilan dan hak rakyat untuk bersuara dan berhimpun secara aman.

Firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 58 maksudnya : “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya). Apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil…”. 

5. Seseorang pemimpin itu mestilah bertanggungjawab dan tidak sombong kepada mereka yang di bawah pimpinannya. Sikap bertanggungjawab kepada mereka yang di bawah pimpinannya. Sikap bertanggungjawab ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad S.A.W), yang mengambil berat atas sebarang kesusahan yang menimpa kamu, yang sangat menginginkan kebaikan bagi kamu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap makhluk terhadap orang yang beriman”.
                                                                                                                     (Surah at-Taubat ayat 128) 

6. Seseorang pemimpin itu hendaklah tegas dan berpegang teguh kepada prinsip dalam melaksanakan amanah termasuklah mengambil tindakan sewajarnya dalam hal-hal berkaitan penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak yang bersalah, sekalipun melibatkan ahli keluarga, kawan mahupun lawan.

Hadis daripada Aisyah r.a. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku akan memotong tangannya”. (Hadis Riwayat al-Bukhari)

7. Seseorang pemimpin itu hendaklah berakhlak, baik budi pekertinya dan menjadi teladan yang baik dalam semua tindak tanduknya.

Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi S.A.W bersabda (maksudnya) : “Orang-orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah mereka yang paling baik akhlaknya”. (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

8. Seseorang pemimpin itu hendaklah menunaikan janji-janjinya kepada orang bawahannya. Pemimpin yang mengotakan janji adalah pemimpin yang disenangi dan dipercayai oleh orang bawahannya, bukan berdusta dan menghampakan orang bawahannya.

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud : “Sesiapa yang diamanahkan oleh Allah untuk memimpin rakyat, lalu dia mati. Pada hari dia mati dalam keadaan dia menipu rakyatnya, maka Allah telah mengharamkan syurga untuknya”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jelaslah kepada kita bahawa dalam soal kepimpinan yang baik tidak boleh dilakukan secara tangkap muat. Sehubungan dengan itu Imam alQurtubi menjelaskan dalam kitab ‘Al-Jamik li Ahkamil Quran’ bahawa, “Bagi umat Islam dalam memilih pemimpin mestilah dari golongan yang adil, ihsan dan mulia. Adapun yang fasik dan zalim mereka tidak layak menjadi pemimpin”.

Jika kalian diberi mandat untuk mengundi untuk memilih pemimpin yang baik maka pilihlah pemimpin yang amanah, berakhlak mulia dan bertakwa. Kalian akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti sekiranya kalian silap memilih pemimpin yang tidak berakhlak dan hanya mementingkan pembangunan duniawi berbanding dengan kehidupan di hari akhirat.

Hadis daripada Huzaifah r.a. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Bahawasanya akan wujud (akan datang) para pemerintah yang berbohong dan berlaku zalim. Barangsiapa yang membenarkan pembohongan mereka dan membantu atas kezaliman mereka, maka (mereka) bukan daripada (golongan) kami dan aku bukan daripada (golongan) mereka, dan dia tidak akan menemuiku di haudh (telaga Rasulullah di akhirat kelak). (Sebaliknya) sesiapa yang tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak membantu atas kezaliman mereka, maka dia daripada (golongan) ku dan aku daripada (golongan) nya dan dia akan menemuiku di haudh”. (Hadis Riwayat Imam Ahmad) 

Marilah kita menjadi pemimpin yang takutkan Allah melebihi daripada segala-galanya. Kerana hanya pemimpin yang benar-benar takutkan Allah sajalah yang mampu menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin dengan jujur, amanah dan berdedikasi.

sumber: http://abubasyer.blogspot.com/2012/12/apakah-ciri-ciri-kepimpinan-dalam-islam.html

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...