Ukhwah Islamiyyah

Selasa, 30 November 2010

Ilmu Menjadikan Kita Takut Kepada Allah

سم الله الرحمن الرحيم

Pada hari ini, kita melihat rata-rata umat Islam di negara ini sudah mula berjinak-jinak dengan majlis-majlis ilmu dan ulama. Di masjid-masjid dan surau-surau majlis-majlis pengajian ilmu semakin rancak diadakan.

Ia mendapat sambutan yang memberangsangkan dari segenap lapisan masyarakat yang dahagakan ilmu dan pentarbiahan hatta terdapat masjid yang mengadakan majlis pengajian pada setiap malam. Ini suatu perkembangan yang baik kepada peningkatan kualiti umat Islam di negara ini dan agama Islam itu sendiri.

Persoalannya, apakah ilmu yang mereka perolehi ini benar-benar memberikan manfaat dan kesan ke dalam diri mereka?

Ketahuilah, bahawa sebaik-baik ilmu ialah ilmu yang menjelmakan perasaan takut kepada Allah SWT. Iaitu, takut yang disertai perasaan membesarkan Allah dan menumbuhkan amal. Allah SWT telah memuji para ulama melalui firman-Nya:

Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu.

(al-Faatir: 28)

Inilah ilmu yang paling bermanfaat kerana ilmulah yang memandu kita ke jalan akhirat. Kalam hikmah ini diungkapkan oleh Sheikh Ibnu Atoillah al Sakandari r.a dalam Hikamnya yang bertajuk al Hikam al Atoiyyah.

Terbukti, kalam hikmahnya ini telah mampu melunakkan hati yang keras, menenangkan jiwa yang resah, mengekang nafsu yang rakus dan mengajak manusia menyelami hikmah-hikmah di sebalik kejadian Allah SWT. Semoga kita mendapat manfaat daripadanya.

Adapun orang alim yang tidak mempunyai perasaan takut kepada Allah bukanlah orang alim yang sebenarnya.

Lebih-lebih lagi, orang alim yang keinginannya untuk mendapatkan kemewahan dunia, kemegahan dan bersikap takbur dengan ilmunya.

Ilmu sebegini hanya akan menjadi hujah ke atasnya di akhirat kelak dan sebab yang akan mengundang bala dan akibat yang buruk kepadanya.

Umar ibn al Khattab r.a pernah berkata,

"Perkara yang paling aku takuti berlaku terhadap umat ini ialah munculnya orang yang alim pada lisan tetapi jahil pada hati".

Ini bukanlah ciri-ciri pewaris para nabi kerana pewaris para nabi memiliki sifat zuhud terhadap dunia, berminat terhadap akhirat, ikhlas menyampaikan amanah ilmu dan bertakwa.

Orang yang memiliki ilmu yang bermanfaat, tidak memiliki sifat bongkak atau takbur, tidak suka mencaci orang lain, berlapang dada, mudah diajak berbincang dan tidak cepat melatah.

Sahl ibn Abdullah r.a pernah berkata:

"Janganlah kalian memutuskan satu urusan dari urusan-urusan dunia dan agama kecuali setelah berbincang dengan ulama. Maka kesudahannya akan dipuji di sisi Allah SWT".

Abu Muhammad r.a pernah ditanya:

"Wahai Abu Muhammad! Siapakah ulama?" Jawabnya: "Orang-orang yang mengutamakan akhirat daripada dunia dan mengutamakan Allah daripada diri mereka sendiri".

Saidina Umar ibn al Khattab r.a pernah mewasiatkan:

"Berbincanglah mengenai urusanmu dengan orang-orang yang takutkan Allah".

Al Wasiti r.a berkata:

"Manusia yang paling pengasih ialah ulama, kerana perasaan takut mereka kepada Allah dan kebimbangan mereka terhadap apa yang diajar oleh Allah SWT".

Banyak ayat dan hadis yang menyebut tentang kemuliaan ilmu atau ulama. Rasulullah SAW pernah bersabda: "Penuntut ilmu dijamin oleh Allah rezekinya".

Ketahuilah, bahawa ilmu yang diulang-ulang sebutannya di dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW ialah ilmu yang bermanfaat yang disertai oleh perasaan takut kepada Allah. Bahkan, ilmu yang bermanfaat juga ialah ilmu yang mampu menguasai nafsu dan mengekang syahwat.

Disebut juga, ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang membantu pemiliknya mentaati Allah, dan berdiri di atas landasan agama Allah.

Sebahagian Salaf berkata:

"Sesiapa yang bertambah ilmunya, maka bertambah jugalah kekhusyukannya (kerendahan hatinya)".

Seorang lelaki bertanya kepada Sheikh Junaid al Baghdadi r.a:

"Apakah ilmu yang paling berguna?" Jawabnya, "Ilmu yang menunjukkan kamu kepada Allah SWT dan menjauhkan kamu daripada menurut hawa nafsumu".

Beliau berkata lagi:

"Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang menunjukkan pemiliknya kepada sifat tawaduk, sentiasa bermujahadah, menjaga hati, menjaga anggota zahir dari melakukan maksiat, takut kepada Allah, berpaling daripada dunia dan penuntut dunia, menjauhi orang-orang yang mengasihi dunia, meninggalkan apa yang ada di dunia kepada ahli dunia, suka memberi nasihat kepada makhluk, baik perilaku terhadap makhluk, suka duduk bersama golongan fuqara, memuliakan kekasih-

kekasih Allah dan menghadapkan diri kepada apa yang mereka utamakan.

"Apabila orang alim yang mencintai dunia dan ahlinya, dan mengumpulkan dunia melebihi daripada keperluannya, maka dia akan lalai daripada akhirat dan ketaatan kepada Allah mengikut kadar kecintaannya kepada dunia".

Allah SWT berfirman (maksudnya):

Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja, dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat.
(al-Rum: 7)

Rasulullah SAW bersabda:

"Siapa yang kasihkan dunia, maka dia telah membahayakan akhiratnya dan siapa yang kasihkan akhirat maka dia telah membahayakan dunianya. Justeru ingatlah, utamakanlah suatu yang kekal (akhirat) daripada yang akan rosak binasa (dunia)".

(riwayat Imam Ahmad dan al Hakim)

Fudhail ibn 'Iyadh berkata:

"Orang alim ialah doktor agama dan cinta dunia ialah penyakit agama. Apabila doktor telah memasukkan atau mengheret penyakit ke dalam dirinya, maka bilakah masanya dia boleh mengubati orang lain".

Sesiapa yang ilmunya memandunya kepada menuntut dunia, ketinggian di dalamnya, jawatan dan pandangan makhluk, maka ia adalah ilmu yang tidak bermanfaat. Bahkan, dia tertipu dengan ilmunya.

Tidak ada kerugian yang lebih besar daripada rosaknya orang alim dengan ilmunya yang diharapkan dapat menyelamatkannya. Kami memohon dengan Allah daripadanya.

Ilmu yang bermanfaat juga ialah ilmu yang diamalkan. Ulama mengumpamakan orang yang menghabiskan banyak waktu menuntut ilmu, duduk selama 40 atau 50 tahun belajar tanpa beramal, seperti orang yang asyik bersuci selama waktu itu dan memperbaharui wuduknya tetapi tidak solat walau satu rakaat.

Ini kerana maksud atau tujuan suatu ilmu ialah beramal dengannya sebagaimana tujuan berwuduk adalah untuk melakukan solat.

Berkata sebahagian ulama:

"Kalaulah ilmu tanpa takwa itu penentu suatu kemuliaan, nescaya semulia-mulia makhluk Allah ialah iblis".

Sumber : YayasanSofa

Ahad, 28 November 2010

Maher Zain dan lagu nasyid kita

سم الله الرحمن الرحيم

Penyanyi nasyid perlu tampil dengan imej lebih segar, kontemporari

Maher Zain Mustapha, dilahirkan di Beirut, ibu negara Lebanon pada tahun 1982. Dia memang berdarah Arab tetapi dibesarkan dan mendapat pendidikan di di Stockholm, Sweden. Album pertamanya Thank You Allah memuatkan 13 lagu dengan dua lagu bonus mula pasarkan pada 1 November 2009.

Keluarganya berhijrah ke Sweden ketika Maher berumur lapan tahun. Pada usia lapan tahun, Maher sudah boleh bermain alat muzik iaitu keyboard. Kini Maher adalah lelaki berkelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Angkasa. Kariernya dalam muzik bermula apabila dia bekerja di studio muzik RedOne, milik seorang penerbit berketurunan Maghribi tetapi sudah lama menetap di Sweden. Daripada RedOne, Maher berpindah ke New York. Tetapi tidak lama. Dia kembali ke Sweden untuk sementara waktu dan dari sini bermulalah satu kesedaran dan jati diri agama bermula secara serius dalam hidupnya. Pada Januari 2009, Maher Zain mula bekerja menyiapkan album dan kemudian menandatangani dengan Awakening Records.

Maher menjelajah ke Timur Tengah dan lima bandar utama di Amerika Syarikat dengan pertubuhan Islamic Relied dan ini seterusnya membawa dia ke Malaysia. Album pertamanya Thank You Allah menduduki tangga pertama dalam carta Amazon World Music dan tempat kesembilan bagi carta kategori lagu-lagu R&B.

Klip videonya The Chonsen One yang bercerita mengenai kehidupan dan ajaran Nabi Muhammad SAW di buat di Los Angeles.

Sebenarnya agak menarik kalau dikaji mengenai kemunculan Maher Zain dalam arena muzik. Dia mengembangkan muzik yang berlandaskan ketuhanan, kerohanian dan kedamaian dengan imej Islam tidak menerusi negara-negara Arab, terutama di tempat kelahirannya. Dia mencipta, menerbitkan dan merakamkan lagu-lagu yang memuji kebesaran Allah itu di negara yang majoriti penduduknya bukan Islam iaitu Sweden. Negara Scandinavia ini memang terkenal menghasilkan produk kumpulan pop, heavy metal dan rock. Kumpulan Abba, Roxette, Ace To Base, Brigit Nilssona adalah penyanyi atau kumpulan muzik terkenal yang berasal dari Sweden.

Maher Zain memang sudah tiba dan mengadakan persembahan di Kuala Lumpur sebulan yang lalu. Dan penyanyi itu dikatakan mahu kembali ke Malaysia tahun depan. Ketika di Malaysia, pengeluar kereta nasional Proton, bersetuju tampil menjadi penaja. Kereta Proton menjadi kenderaan rasmi Maher Zain sepanjang berada di Malaysia. Penajaan itu dikatakan menimbul rasa cemburu terhadap penyanyi dan beberapa kumpulan nasyid tempatan.

Memang agak malang bagi penyanyi nasyid kita. Sudahlah susah mendapat tempat untuk lagu-lagu mereka disiarkan oleh radio tempatan, ada syarikat korporat pula lebih berminat menaja penyanyi luar. Tapi konsep dan pendekatan serta corak persembahan untuk lagu-lagu bercorak ketuhanan dan kerohanian juga sepatutnya berubah, sesuai dengan peredaran zaman. Lihatlah Maher Zain tatkala menyanyikan lagu Insha Allah, Thank You Allah dan Baraka Allahu Lakuma.

Penampilannya ketika membuat persembahan, ternyata berbeza dengan kebanyakan penyanyi nasyid sekarang. Bukanlah hendak merendah imej nasyid, tetapi gaya penampilan dan corak persembahan perlu menepati selera pendengar dan peminat masa kini. Bagi lagu nasyid - kadang-kadang, bukan soal lagu yang mereka nyanyikan. Imej dan cara pembawaan penting. Kalau kumpulan Rabbani, Raihan dan Hijjaz tampil dengan gaya bersongkok dan baju Melayu, kenapa kumpulan berikutnya harus mengikut gaya yang sama. Sepatutnya, anak muda atau kumpulan nasyid yang muncul selepas ketiga-tiga kumpulan itu mungkin boleh tampil dengan imej yang lebih kasual. Tidak semestinya berkopiah atau bersongkok.

Maher Zain berjaya ke seluruh pelusok dunia dengan memakai topi Beretta, berseluar jeans dan berjaket kulit saja. Walaupun jati diri Arabnya tebal dan pegangan Islamnya kuat, tetapi tidaklah pula tampil dengan memakai igal, jubah atau pakaian tradisional lelaki Arab.

Mendengar suara Ramli Sarip menyanyikan lagu Seruan ketika membuat persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC memang cukup menakjubkan. Lagu dalam muzik rock, Seruan adalah cerita mengenai laungan azan Subuh yang mengajak umatnya mengerjakan solat Subuh ketika sedang lena diulit mimpi. Ia bukan sekadar itu. Tapi suara atau seruan azan itu sendiri sudah membuatkan menggigil ketakutan dan tertanya-tanya apakah kita sudah menunaikan tanggungjawab kepada-Nya? Tapi Ramli tetap dengan gaya seorang rock!

Oleh itu, lagu-lagu daripada genre nasyid perlu diberikan nafas baru. Vokalis Rabbani, Allahyarham Mohd Asri Ibrahim sudah mula merintis pembaharuan lagu-lagu nasyid dengan menyuntik muzik yang lebih kontemporari, padat dan catchy. Mohd Asri sudah mula membawa nasyid melangkau jauh ke hadapan, walaupun dikritik kerana mencemarkan imej dan keaslian muzik nasyid. Tapi lagu Intifada dan Pergi Tak Kembali sering berkumandang di radio dan mudah diterima kerana corak muzik seperti itulah yang ditunggu-tunggu oleh anak muda.

Antara Maher Zain, Rabbani, Raihan, Hijaz, malahan Ramli Sarip tetap ada persamaan iaitu mesej yang dibawa menerusi lagu nyanyiannya. Apa yang membezakan ialah pendekatan dan cara penampilan. Itulah yang perlu difikirkan oleh mana-mana penyanyi dan kumpulan nasyid sekarang.

Maher Zain ~ cover album ~

AlwaysBeThere.mp3

YaNabiSalamAlayka.mp3

Inshallah.mp3

PalestineWillBeFree.mp3

ThankYouAllah.mp3

AllahAllahKiyaKaroFtIrfanMakki.mp3

TheChosenOne.mp3

BarakaAllahLakuma.mp3

ForTheRestOfMyLife.mp3

HoldMyHand.mp3

Awaken.mp3

SubhanaAllah.mp3

OpenYourEyes.mp3

YaNabi.mp3

ThankYouAllahAcousticVersion.mp3

Rujukan : Zainuri Misfar [zainuri@bharian.com.my] di BHarian 15/11/2010 dan ziddu.com

Sabtu, 27 November 2010

Kelebihan Selawat

سم الله الرحمن الرحيم


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Selawat kepada Nabi Muhammad SAW adalah merupakan ibadah yang mulia dan terpuji, mengandung berbagai-bagai kelebihan dan mendapat pertolongan dan perlindungan yang istimewa dari baginda SAW serta memperolehi ganjaran yang besar dari Allah di hari akhirat kelak. Di antara kelebihan selawat adalah seperti berikut:

1. Mendapat syafaat Nabi SAW

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barangsiapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat.” (Hadis riwayat at-Tabrani)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barangsiapa berziarah kekuburku maka baginya wajib menerima syafaatku.” (Hadis riwayat Ibnu Adi & al-Baihaqi)

2. Mendapat perlindungan dan pembelaan dari Nabi SAW

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barangsiapa berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, barangsiapa berselawat kepadaku dari jauh maka selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya.” (Hadis riwayat al-Baihaqi dan al-Khatib)

3. Mendapat keampunan dosa dari Allah

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barangsiapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali selawat dan Allah menghapus sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat kepadanya.” (Hadis riwayat Ahmad, an-Nasaie & al-Hakim)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barangsiapa berselawat kepadaku pada hari Jumaat dua ratus selawat, maka diampuni baginya dosa dua ratus tahun.” (Hadis riwayat ad-Dailami)

Sabda Rasulullah SAW, dari Ubai bin Ka’ab: “Aku bertanya, wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku memperbanyak selawat, maka berapakah aku jadikan untukmu dari selawatku? Nabi bersabda: “Apa yang kamu kehendaki?” Ia berkata: kataku: “Seperempat.” Sabda Nabi: “Apa yang kamu sukai dan jika kamu tambah maka itu yang lebih baik bagi kamu.” Kataku: “Apakah sepertiga?” Sabda Nabi: “Apa yang kamu sukai,jika kamu tambah itulah yang lebih baik bagi kamu.” Ia bertanya: “Apakah aku jadikan selawatku buatmu semuanya.” Nabi bersabda: “Jika demikian maka dicukupilah cita-citamu dan diampuni dosamu.” (Hadis Riwayat Ahmad, at-Tirmidzi & al-Hakim)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barangsiapa yang berselawat kepadaku dari umatku, maka dicatat baginya sepuluh kebaikan dan dihapuskan darinya sepuluh dosa.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Telah datang kepadaku utusan dari Tuhanku Azza Wa Jalla maka dia (Jibril) berkata: ‘Barangsiapa yang mengucapkan selawat kepadaku dari umatmu, Allah SWT mencatat baginya sepuluh kebaikan dan menghapuskan darinya sepuluh dosa dan mengangkat Allah baginya sepuluh darjat dan menolak Allah atasnya (membalas) yang seumpamanya.’” (Hadis riwayat Ahmad)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Berselawatlah kamu kepadaku, kerana selawat itu menjadi zakat (penghening jiwa & pembersih dosa) bagimu.” (Hadis riwayat Ibnu Murdawaih)

4. Mendapat rahmat dari Allah

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barangsiapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah menurunkan rahmat kepadanya sepuluh kali.” (Hadis riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barangsiapa berselawat kepadaku di hari Jumaat seratus kali maka ia datang di hari Kiamat dengan cahaya, sekiranya dibahagi antara makhluk semuanya maka cahaya itu akan memenuhinya.” (Hadis riwayat Abu Nu’aim)

5. Mendapat hajat dunia dan akhirat

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barangsiapa berselawat kepadaku dalam sehari seratus kali, maka Allah datangkan baginya seratus hajat, tujuh puluh untuk akhirat dan tiga puluh untuk di dunianya.” (Hadis riwayat Ibnu Majar dari Jabir r.a.)

6. Digembirakan dengan syurga

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barangsiapa berselawat kepadaku dalam sehari seribu kali, maka ia tidak akan mati sehingga ia digembirakan dengan syurga.” (Hadis riwayat Abu as-Syaikh dari Anas r.a.)

Sesungguhnya amat beruntunglah mereka yang sentiasa berselawat ke atas Nabi dengan menjadikannya sebagai wirid dan amalan harian dalam hidupnya. Sebaliknya amatlah rugi dan tercelanya mereka yang tidak mahu membaca selawat kepada Nabi SAW dalam hidupnya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Hinalah hidung orang yang ketika disebutkan namaku tidak membaca selawat kepadaku.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Orang yang bakhil ialah yang disebut namaku kepadanya lalu ia tidak mahu berselawat kepadaku.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Manafaat berselawat

Di dalam kitab Ibnu Farhun Al-Qurthubi dinyatakan bahawa membaca selawat kepada Nabi SAW mengandungi sepuluh macam manafaat dan mendatangkan kemuliaan iaitu:

1. Memperolehi selawat dari Tuhan Penguasa Alam
2. Memperolehi syafaat dari Nabi SAW
3. Mendapat pimpinan dari malaikat yang baik-baik
4. Menghapuskan dosa
5. Mendapat pertolongan dan tercapai keperluan hidup
6. Mempunyai pembeza dengan orang munafik dan kafir
7. Memperolehi nur lahir dan batin
8. Mendapat keselamatan dari azab neraka
9. Membolehkan memasuki syurga
10. Memperolehi ucap selamat dari Allah

Menurut para ulama yang berdasarkan keterangan-keterangan hadis, bahawa membaca selawat kepada Nabi SAW akan memperoleh berbagai-bagai faedah yang amat besar, di antaranya :

1. Memperolehi limpah rahmat dari Allah Taala
2. Ditulis sepuluh kebajikan
3. Dihapuskan sepuluh kesalahan
4. Diangkat sepuluh darjat
5. Memperolehi kesempurnaan iman
6. Menjauhi dari kerugian dan penyesalan
7. Tergolong sebagai mereka yang soleh
8. Mendekatkan diri kepada Allah Taala
9. Memperolehi syafaat Nabi SAW
10. Memperolehi hubungan yang rapat dengan Nabi SAW
11. Menghilangkan kesusahan dan melapangkan rezeki
12. Melapangkan dada dan mententeramkan jiwa
13. Menghapuskan dosa dan menutupkan aib
14. Terselamat dari kebingungan di hari akhirat
15. Menjadi sedekah bagi yang tidak mampu bersedekah
16. Terhindar dari kefakiran
17. Dipandang sebagai orang yang mencintai Nabi SAW
18. Memperolehi keberkahan dalam hidup
19. Terhindar dari mereka yang bakhil
20. Menjadikan sebab doa diterima oleh Allah Taala
21. Memudahkan jalan bagi memasuki syurga
22. Menjadi zakat dan pembersih diri
23. Memperolehi selawat dari Allah dan para malaikat
24. Memperolehi pujian seluruh makhluk di bumi dan di langit
25. Memenuhi hak Nabi sebagai suatu tugas ibadah
26. Memperolehi petunjuk dan menghidupkan hati
27. Tergolong dalam mereka yang tidak melupai Nabi SAW
28. Menghilangkan rasa dahaga dan panas matahari Padang Mahsyar
29. Dapat meneguhkan telapak kaki ketika meniti Titian Sirat di akhirat
30. Terkabul segala hajat dan cita-cita

Demikianlah faedah berselawat yang sempat dikongsikan dalam entry kali ini. Semoga dipermudahkan Allah agar kita dapat membasahkan lidah dengan berselawat...

Rujukan asal : ahrasis.com

Selasa, 23 November 2010

Rahmat Sebalik Ujian

سم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan Al-Quran kepada hamba-Nya, yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kita, siapa di antara kita yang lebih baik amalnya. Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. Allah telah memuliakan manusia sebagai sebaik-baik ciptaan. Dia menghantar Rasul-Nya untuk mengeluarkan manusia daripada gelap gelita kepada cahaya terang benderang, menuju Tuhan. Maha Suci Allah yang menciptakan segala sesuatu dengan tujuan dan bersebab.

Telah bertasbih kepada Allah apa saja yang ada di langit dan apa saja yang ada di bumi, dan Dia-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, yang telah dihantar oleh Allah kepada Umat Manusia sebagai satu anugerah, membawa Rahmah ke seluruh pelosok alam. Demi Allah, sungguh tidak akan sesat orang yang berpegang pada tali agama Allah, menggigit Al-Quran dan Sunnah dengan gigi gerahamnya dan dia sama sekali tidak pernah mencari selainnya sebagai sesuatu yang lebih agung dan lebih utama.

Hidup ini adalah satu medan ujian. Dunia ini hanyalah sebuah persinggahan dan bukan destinasi. Sebuah perhentian dan bukan pengakhiran. Tanpa ujian, manusia takkan pernah terhantuk dan tengadah, bahkan akan terus lalai dengan dunianya sendiri yang penuh dengan angan-angan, hiasan syaitan. Ujian adalah satu bentuk interaksi antara Allah dan kita. Ujian membuatkan kita mendongak ke langit, menadah tangan memohon perhatian Tuhan. Kita selalu lupa, namun Allah tak pernah sekali-kali lalai daripada hamba-Nya.

Di hujung ujian ada Rahmat yang disediakan buat orang-orang yang berjaya, dan penyesalan buat orang-orang yang gagal. Jika kita tak pernah memahami atau cuba untuk mengerti hakikat ini, maka kita akan terus terkandas dalam ujian. Ujian demi ujian, keluhan demi keluhan, hidup terus berjalan dengan tertekan, tak pernah merasakan kenikmatan di sebalik ujian. Maka kita sangat perlu memahaminya, bahawa Rahmat Allah menanti di sebalik sesebuah ujian. Ujian itu takkan pernah hilang daripada papan cerita kehidupan ini.

Ujian membawa kita semakin dekat dengan pemberi ujian, mungkin juga sebaliknya. Ujian adalah lambang kasih sayang pencipta. Itu tanda Allah sentiasa mengambil berat dan tak pernah meninggalkan kita sendirian, kita bagaimana?

Ujian dan Iman

Firman Allah dalam surah Al-‘Ankabuut Ayat yang ke-2, ertinya:

“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?”

Ayat ini menggambarkan kepada kita betapa iman itu berkait rapat dengan ujian. Kenikmatan iman itu dikecapi setelah kita berjaya melalui beberapa siri ujian yang telah ditetapkan oleh Allah. Semakin hebat ujian, semakin manis iman yang bakal kita rasai di penghujungnya, bagi orang-orang yang berjaya melaluinya. Jika kita gagal menempuhinya dengan baik, kita akan terus diberi peluang dan didatangkan lagi dengan ujian-ujian yang lain. Kita akan semakin tersasar jika kita terus menerus gagal dan tak belajar menjadi lebih baik. Allah itu begitu Maha Pengasih dan masih memberi ruang kepada kita belajar daripada ujian.

Firman Allah lagi dalam surah Al-‘Ankabuut Ayat yang ke-3, ertinya:

“Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”

Iman itu memerlukan pembuktian. Seberat-berat ujian yang pernah kita alami, tak mungkin seberat Bilal Bin Rabah R.A. tatkala menampung batu besar di terik panas matahari padang pasir. Khabbab Bin ‘Arath R.A. begitu terseksa saat besi panas yang membara di atas kepalanya membakar dan menghanguskannya. Namun, mereka telah membuktikan keimanan mereka dan Allah mengetahui orang-orang yang benar dan orang-orang yang dusta. Di hujung penderitaan yang dialami generasi awal Islam itu, mereka mengakhiri kehidupan menuju alam abadi dengan penuh ketenangan.

Ujian itu adalah tempaan Allah buat orang-orang beriman. Pedang yang hebat takkan terbentuk jika tidak diketuk, dipanaskan dan ditempa dengan baik. Maka kita beruntung kerana Allah akan mengangkat darjat kita dengan ujian yang diturunkannya. Allah ingin memberikan berita gembira kepada kita jika kita bersabar atas ujian yang kita hadapi. Lihatlah Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah Ayat 155-156, ertinya:

“Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun (Kita milik Allah dan kepada-Nya kita dikembalikan)””

Ujian Pelbagai Bentuk

Tahap ujian yang ditimpakan oleh Allah kepada manusia itu berbeza-beza, berdasarkan kepada keimanannya. Bentuk ujian itu juga pelbagai. Ada orang diuji dengan wanita, yang lainnya dengan harta, anak-anak, kesusahan, kawan-kawan dan sebagainya. Bagi para pelajar, peperiksaan itu juga satu bentuk ujian. Hakikatnya, kehidupan ini sendiri keseluruhannya adalah medan ujian, akhirat nanti medan ganjaran.

Biar apa juga bentuk ujian yang kita alami, Rahmat Allah tetap akan mengiringi jika kita menghadapinya dengan penuh sabar dan pengharapan kepada Allah. Allah sangat-sangat suka jika hamba-Nya mengadu kepada-Nya, menitiskan air mata di balik tirai malam dan mengakui kelemahannya. Tidak dapat tidak, ujian itu harus dilalui dengan penuh pengharapan kepada pertolongan Allah, kebergantungan yang sepenuhnya kepada pemilik diri kita. Jika tidak, kita akan buntu mencari jalan, kerana hanya Dia penunjuk jalan. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah Ayat 153, ertinya:

“Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan Solat, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”

Ayat ini begitu dalam maknanya bagi orang-orang yang ingin memahami, dan begitu berat kecuali bagi orang-orang yang khusyu’. Sabar dan Solat itu kunci dalam memohon pertolongan Allah. Sampai bila kita harus bersabar? Sampai Allah memberikan pertolongan. Selagi kita diuji, selagi itulah kita bersabar.

Rasulullah adalah orang yang paling hebat kesabarannya bahkan paling besar ujiannya. Dan baginda jugalah yang paling mulia di sisi Allah di kalangan seluruh Umat manusia. Maka ujian itu sememangnya menuntut kesabaran, dan kesabaran akan mengangkat darjat seorang manusia.

“Dari Abu Hurairah R.A., ada seorang lelaki berkata kepada Nabi S.A.W., “Berilah aku wasiat.” Rasulullah S.A.W. bersabda, “Jangan marah!” Beliau mengulang-ulang beberapa kali ucapan, “Jangan marah!” (HR Bukhari)

Kesimpulannya, ujian itu pasti. Pergantungan kepada Allahlah yang akan membuatkan kita tenang menghadapinya. Mungkin kita sudah puas membaca, sekarang mari kita sama-sama merasa. Wallahua’lam.

Sabtu, 20 November 2010

Menjaga diri dan keluarga daripada api neraka

سم الله الرحمن الرحيم

Marilah kita sentiasa mengulangi ucapan rasa syukur kepada Allah s.w.t kerana nikmat-nikmat-Nya yang telah dicurahkan kepada kita semua sehingga kesihatan jasmani dan rohani masih menghiasi kita. Semoga rasa syukur yang kita panjatkan ini menjadi kunci lebih terbukanya pintu-pintu kurniaan-Nya.

Firman Allah s.w.t dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud:

“Jika kamu bersyukur, maka akan Kami tambahkan bagimu dan jika kamu mengingkarinya, sesungguhnya siksaan-Ku itu sangat pedih.”

Sentiasalah menjaga ketakwaan agar mengakar kuat dan kukuh di lubuk hati yang paling dalam. Sebab itulah modal yang hakiki untuk menyongsong kehidupan abadi, agar hari-hari kita nanti bahagia.

Seorang Muslim seharusnya menjadikan kampung akhirat sebagai sasaran utama yang harus capai. Tidak meletakkan dunia dan gemerlapannya di lubuk hatinya, namun hanya berada di genggaman tangannya saja sebagai batu loncatan untuk mencapai nikmat Jannah. Jadi, jangan sampai kita hanya duduk-duduk santai saja menanti perjalanan waktu, apalagi tertipu oleh ilusi dunia.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Hadid ayat 20 yang bermaksud:

“Ketahuilah bahawasanya kehidupan dunia hanyalah permainan dan sesuatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tenaman-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan akhirat nanti ada azab yang keras dan ampunan dari Allah s.w.t serta keredaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.”

Ibnu Katsir berkata, “Allah s.w.t membuat permisalan dunia sebagai keindahan yang fana dan nikmat yang akan sirna (lenyap). Iaitu seperti tanaman yang tersiram hujan setelah kemarau panjang, sehingga tumbuhlah tanaman-tanaman yang menakjubkan para petani seperti ketakjuban orang kafir terhadap dunia, namun tidak lama kemudian tanaman-tanaman tersebut menguning dan akhirnya kering dan hancur.”

Misalan ini mengisyaratkan bahawa dunia akan hancur dan akhirat akan menggantikannya, lalu Allah s.w.t pun memperingatkan tentangnya dan menganjurkan untuk berbuat baik.

Di akhirat, hanya ada dua pilihan iaitu tempat yang penuh dengan azab pedih dan hunian yang sarat ampunan dan keredhaan Allah swt bagi hamba-Nya. Ayat ini diakhiri dengan penegasan tentang hakikat dunia yang akan menipu orang yang takjub padanya.

Kita menekankan pentingnya pendidikan anak yang termasuk salah satu unsur keluarga, agar dia selamat dunia dan akhirat. Anak bagi orang tua merupakan buah perkahwinan yang menyenangkan. Di sebalik itu, anak adalah amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas orang tua. Tidak boleh di sia-siakan.. Pelaksanaan amanah harus menjaga dengan baik keadaan titipan agar tidak rosak. Sebab orang tua kelak akan ditanya tentang tanggungjawabnya.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin dan akan ditanya tentang tanggungjawabnya.” (Riwayat Ahmad, Muslim dan at-Tirmidzi)

Anak lahir dalam keadaan fitrah. Kewajipan orang tua merawatnya agar tidak menyimpang dari jalan yang lurus dan selamat dari api neraka. Selain itu, anak yang soleh akan menjadi modal penting bagi kedua-dua orang tuanya.

Firman Allah s.w.t dalam surah at-Tahrim ayat 6 yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya daripada manusia dan batu, penjaganya malaikat yang kasar, keras, tetapi tidak menderhakai Allah s.w.t terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”

Salam Aidiladha

سم الله الرحمن الرحيم

Salam sejahtera,

Salam Aidiladha buat umat Islam semua..

Marilah sama-sama kita hayati hari yang mulia ini. Di samping itu jangan lupa kepada mereka-mereka yang tak senasib, tak sebaik kita ketika menyambut Raya Korban.

Sama-samalah kita berdoa buat mereka-mereka yang di timpa bencana gempa bumi, letusan gunung berapi dan banjir. Tak lupa kepada saudara-saudara kita yang masih berjuang menegakkan keadilan serta syiar Islam di bumi Palestin.


Khamis, 11 November 2010

Merebut peluang 10 Awal Zulhijjah

سم الله الرحمن الرحيم

Ramai dari kita yang telah maklum kelebihan 10 Malam-malam Terakhir Ramadhan. Tetapi adakah ramai dikalangan umat kita yang maklum kelebihan 10 Hari-hari Pertama dalam bulan Zulhijjah?

Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah.

Para sahabat baginda bertanya, ‘Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari tersebut)? Ujar Baginda, Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah).

Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).

Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa baginda s.a.w bersabda, “Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.

Amalan yang dianjurkan padanya

1. Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadis menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi s.a.w.: “Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan syurga”.

2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari Arafah. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ia adalah pilihan Allah seperti yang dinyatakan di dalam sebuah hadis qudsi, “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”. Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang.

3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah s.w.t yang bermaksud, (Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum), hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari di bulan Zulhijjah. Sebab itulah para ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadis Ibnu Umar r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di antaranya, “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)”.

4. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.

5. Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut. Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil tetapi ia lebih disukai oleh Allah dibandingkan pada hari-hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

6. Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah. Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijjah), semuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.

7. Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunah Nabi Ibrahim a.s. setelah Allah s.w.t mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

8. Imam Muslim meriwayatkan dari Ummu Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya, dan di dalam riwayat lain : “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban. Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah, maksudnya, (Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Mekah) itu sampai ke tempatnya). Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

9. Setiap muslim hendaklah berusaha menunaikan solat hari raya secara berjemaah, mendengar khutbah oleh imam selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya. Sepatutnyalah kita mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini. Ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan. Janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan maksiat, kesombongan, pertengkaran dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan kebaikan yang dikerjakannya sebelum itu.

10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, mendekatkan diri kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-Nya.

Jumaat, 5 November 2010

Berharap Kepada Yang Tak Punya

سم الله الرحمن الرحيم

“Untuk apa kita mengharap pada seseorang yang tidak tahu mengharap kepada Tuhan?”

Pengharapan adalah sesuatu yang dapat memberikan kekuatan. Walaupun kita berada dalam suatu kesusahan yang sangat berat, pengharapan akan memberikan kesegaran kepada Iman untuk sentiasa bertahan. Kita percaya bahawa masih ada jalan keluar kepada permasalahan. Kita percaya bahawa pasti ada pertolongan. Namun, pada siapa harus kita berikan pengharapan tersebut? Adakah pada makhluk seperti kita yang juga tak punya untuk memberi? Atau pada Tuhan yang sentiasa menanti untuk diseru nama-Nya pagi dan petang? Bahkan Dialah yang memenuhi segala permintaan.

Seringkali kita meletakkan harapan yang tinggi kepada manusia untuk dipenuhi. Padahal orang yang kita harapkan tersebut tak berdaya untuk memenuhi harapan dirinya sendiri. Adalah lebih bahaya kalau orang yang kita harapkan sebenarnya tak pernah mengharap kepada Tuhan sekalian alam. Dia menggantungkan kepercayaan kepada dirinya semata-mata tanpa sedikitpun merasa terikat dengan ketentuan Allah. Jika orang sebegini yang kita harapkan, adakah dia akan membawa kita mendekati Tuhan? Harapan tak tertunai, bahkan Iman terungkai-rungkai ikatannya.

“Jangan risau, kalau aku ada, mesti ok punya semua benda. Hanya aku seorang yang boleh diharapkan”.

Kata-kata sombong apakah itu? Seolah-olah dirinya adalah Tuhan yang menentukan segala keadaan. Tanpa dia, mungkin keadaan menjadi kurang baik. Namun, dengan dia, adakah keadaan semestinya baik tanpa izin Tuhan? Jika ada orang yang kita harapkan mengatakan begitu, berhati-hatilah, boleh jadi kita sedang mengharap pada yang tidak tahu mengharap kepada Tuhan.

Bukan tidak boleh kita percaya diri, meletakkan harapan kepada manusia. Namun, cukuplah harapan itu setakat yang patut. Jangan sampai harapan itu melangkaui harapan tertinggi yang seharusnya diberikan kepada Allah mutlak. Tak ada gunanya mengharap kepada seseorang yang tidak tahu mengharap kepada Tuhan, kerana kelak kita akan disesatkannya. Pengabdian kita kepada Allah akan tercalar. Berharaplah kepada manusia untuk berbuat sekadar kemampuannya, namun keizinan untuk sesuatu itu terjadi tetap harus dikembalikan urusannya kepada Allah.

Pengharapan yang tidak patut kepada manusia selalu terjadi tanpa kita sedari. Pengharapan yang tidak langsung diikat dengan pengharapan kepada Allah. Contohnya, selalu kita terlalu mengharap manusia memberikan cinta kepada kita sedangkan Allah yang menumbuhkan cinta dalam hatinya. Kenapa tidak berdoa sahaja kepada Allah agar mengurniakan rasa cinta tersebut? Walaupun pengharapan tidak memansuhkan ikhtiar, namun pengharapan yang tepat akan menjadikan ikhtiar kita lebih berkat.

“Ya Allah, Engkau berikanlah kekuatan kepada dia untuk melaksanakan tugas yang aku berikan”.

Itulah bentuk pengharapan yang lebih baik. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan izin-Nya.

Tuntasnya, hubungan berbentuk horizontal yang tidak diikat dengan hubungan vertical akan menimbulkan kecelaruan dan kegoyahan. Horizontal saya maksudkan sebagai hubungan sesama manusia, vertical sebagai hubungan dengan pencipta. Hubungan horizontal yang tidak ada ikatan vertical adalah ibarat sebuah kipas syiling yang berpusing tanpa tergantung pada syiling, putarannya bukan menyejukkan, tapi menghancurkan.

Jauhkanlah diri kita daripada berharap secara keterlaluan kepada manusia sehingga langsung melupakan pengharapan kepada Allah. Lebih parah kalau manusia yang kita harapkan itu memang tak pernah mengharap kepada Tuhan. Manusia terbatas kemampuannya sedangkan Allah tak ada istilah tidak mampu bagi-Nya. Apabila Dia mengatakan jadi, maka jadi.

“Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain. dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.” (Al-Insyirah: 7-8)

Wallahua’lam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...