Ukhwah Islamiyyah

Jumaat, 30 September 2011

Adakah Anda Seorang Yang Ikhlas

سم الله الرحمن الرحيم


KITA mungkin selalu mendengar orang berkata,"saya ikhlas." Tapi itu sekadar adat berbahasa kerana tidak ada siapa pun tahu keikhlasan seseorang. Malah hati sendiri pun susah hendak diteropong sama ada ikhlas atau tidak ikhlas. Tapi sekurang-kurangnya keikhlasan dapat dibaca pada sikap dan tindak-tanduk kita. Cuba-cubalah kuiz ini.......

1. Anda sedang melangkah ke majlis pengajian di surau apabila ada yang menegur. "Rajin ke surau nampaknya, tak lama lagi bolehlah jadi ustazah/ustaz." Reaksi anda?

A. Teragak-agak hendak meneruskan langkah.
B. Terus melangkah dengan sopan sambil berkata, "Amin, mudah-mudahan begitulah hendaknya..."

2. Anda sangat menjaga waktu solat bila bersama rakan-rakan sealiran. Bila berseorangan?
A. Hilang kekuatan dan selalu lewat solat.
B. Alhamdulillah,dapat pertahankan solat pada awal waktu.

3. Ada orang mengutip derma untuk kebajikan. Ketika itu anda hanya ada sedikit wang tapi tidak dapat mengelak. Bicara hati anda?

A. "Hai...melayanglah duit belanja aku..."
B. "Moga-moga Allah nilai dan Allah ganti dengan yang lebih baik."

4. Anda dipuji seseorang. Rasa hati anda?

A. Bangga tidak terperi.
B. Mengembalikan pujian kepada Allah.

5. Anda bermuka manis dan memberi senyuman kepada seorang teman, tapi dia seakan tidak memberi respons sahaja. Komen anda?

A. "Malas nak senyum-senyum lagi kat dia."
B. "Agaknya mood dia tak berapa baik hari ni...Ada masalah agaknya."

6."Amboi! Alim nampak..." tegur seorang kawan apabila melihat anda pertama kali berserban. Reaksi anda?

A. Tersinggung,rasa macam kena perli.
B. Tenang dan masih boleh bermuka manis.

7. Mudahkah bagi anda untuk konsisten membuat sesuatu amalan baik?

A. Susah
B. Mula-mula memang susah, tapi lama-kelamaan rasa seronok pula.

8. Anda dilucutkan jawatan dalam persatuan dan menjadi ahli jawatankuasa biasa. Bicara hati anda?

A. "Tidak ada moodlah nak buat apa-apa lagi...."
B. "Tak apalah, asalkan aku dapat terus berkhidmat bakti."

9. Anda telah bersusah payah menjayakan sesuatu projek, tetapi tiada siapa pun yang menghargai. Reaksi anda?

A. Kecil hati dan hilang mood hendak buat lagi.
B. Tetap bahagia kerana sudah berjaya sambil mengharap Allah terima sebagai ibadah.

10. Anda ternampak seorang wanita daif menggunakan duit sedekah daripada anda untuk membeli rokok. Bicara hati anda?

A. "Tak patut sungguh. Ishh...menyesal pulak sedekah kat dia..."
B. "Tak patut dia buat macam tu. Tapi tak apalah, mudah-mudahan dia dapat hidayah dan moga-moga sedekah aku tetap Allah terima."

(Beri satu markah untuk diri anda bagi setiap jawapan 'B')

ANALISIS MARKAH

10: Anda masih tidak boleh mendakwa sebagai seorang yang ikhlas, kerana keikhlasan itu rahsia Allah. Hanya Allah yang dapat menilainya. Tetapi tanda-tanda keikhlasan sedikit sebanyak ada pada diri anda. Jangan jemu mencari keredhaan-Nya kerana Dia tidak pernah jemu menerima pengabdian daripada hamba-Nya.

7-9: Tahap keikhlasan anda belum sepenuhnya. Tetapi keihlasan boleh diusahakan.Buatlah sebanyak mungkin kebaikan. Walaupun pada peringkat awalnya anda benar-benar tidak ikhlas, mudah-mudahan lama-kelaman apabila kebaikan itu menjadi sebati, akhirnya Allah campakkan keikhlasan di hati kita. Jangan lupa berdoa agar Allah masukkan kita ke dalam golongan hamba-hamba-Nya yang ikhlas.

6 ke bawah: Mungkin tahap keikhlasan anda sangat kurang disebabkan anda belum dapat hayati tujuan sebenarnya hidup ini; untuk apa dan kerana siapa. Carilah keredhaan Allah, bukan keredhaan manusia. Bumi yang kita pijak ini milik Allah, kenalah kita berjaga-jaga dengan pandangan Allah.Yakinlah, sungguhpun manusia suka atau tak suka, ia tetap tak menjejaskan kita kalau Allah suka dan sayangkan kita.Kita hidup untuk mengabdikan diri kepada Allah, bukan untuk manusia.


Laksanakan Empat Perkara Paling Sukar Untuk Mencari Keredaan Allah

سم الله الرحمن الرحيم


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.


Sahabat yang dirahmati Allah, Saidina Ali bin Abi Talib k.wj berkata : "Sesungguhnya amalan yang paling sukar ada empat perkara iaitu:

Pertama : Memberi maaf pada waktu marah.

Kedua : Suka memberi pada waktu susah.

Ketiga : Menjauhi yang haram pada waktu sunyi.

Keempat : Mengatakan yang hak kepada orang yang ditakuti atau
kepada orang yang diharapkan sesuatu darinya."

Huraiannya :

Pertama : Memberi maaf pada waktu marah.

Semua manusia pada dasarnya memiliki sifat marah, kerana marah adalah salah satu tabiat manusia. maka agama tidak melarang marah, tetapi kita diperintahkan untuk dapat mengawal perasaan marah dan senantiasa menjadi pemaaf.

Marah adalah salah satu sifat mazmumah yang harus di jauhi supaya kita tidak termasuk dikalangan orang yang memilikmi sifat tercela.. Sesiapa yang tidak dapat mengawal perasaan marah sebenarnya ia sedang dikuasi oleh hawa nafsu. Banyak keadaan marah boleh mendatangkan perkara buruk. Apabila seseorang itu marah, ia dibantu oleh syaitan. Syaitan adalah musuh utama manusia yang berjanji kepada Allah untuk menggoda dan memesongkan anak cucu Adam.

Fiirman Allah SWT yang bermaksud : “Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta jangan pedulikan orang-orang yang bodoh” (Surah Al-A'raaf ayat 199)

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)"
(Hadis Riwayat Baihaqi)

Sabda Nabi SAW. lagi yang bermaksud : "Tiada seorang pun yang meneguk satu tegukan yang lebih agung pahalanya daripada tegukan berupa kemarahan yang ditahannya semata-mata mengharapkan keredaan Allah Taala." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Kedua : Suka memberi pada waktu susah

Sifat suka bersedekah dan memberi pertolongan kepada orang yang memerlukan pertolongan adalah satu sikap yang mulia. Terutama apabila pertolongan yang diberikan ketika itu kita juga sedang berada di dalam kesusahan.

Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : “Satu dirham mengatasi seribu dirham.”

Para sahabat bertanya, “Bagaimana berlaku demikian, ya Rasulullah?”

Rasulullah SAW. menjawab, “Seorang lelaki ada dua dirham, lalu disedekahkannya satu dirham yang paling baik. Seorang kaya mengeluarkan dari hartanya yang banyak dan disedekahkan seribu dirham. Maka satu dirham itu lebih baik.”

Nilai sedekah ketika susah lebih bernilai disisi Allah SWT daripada sedekah orang kaya yang diberikan tidak mendatangkan apa-apa kesusahan kepadanya.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah S.A.W. bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya." (Hadis Riwayat Muslim).

Ketiga : Menjauhi yang haram pada waktu sunyi

Biasanya sesaorang manusia suka melakukan maksiat ketika bersunyian, ketika itu tidak ada siapa yang melihatnya . Baginya akan terselamat daripada penglihatan manusia lain.

Tetapi sebaliknya apa yang berlaku kepada orang mukmin iaitu dia merasai bahawa Allah SWT sentiasa melihat perbuatan dan amalannya sehingga segala hasad dengki yang tersimpan di hatinya juga dapat diketahui oleh Allah SWT.

Perasaan takut, malu dan gementar untuk berhadapan di Mahkamah Allah SWT nanti membuatkan hati dan jiwanya sentiasa muraqabah terhadap-Nya.Ingatlah ketika di sini nanti lidah akan dikunci, giliran anggota lain yang akan berkata-kata mengeluarkan pengakuan dan saksi bagi semua perbuatan si tuan badan. Mata, telinga, tangan dan kaki serta alam yang ada disekitarnya, hari dan masa semuanya akan mengaku perbuatan itu dan ini. Ketika itu manusia akan terperangkap dengan perbuatan dosa kerana anggota badan sendiri tidak menyebelahinya. Terbongkarlah rahsianya!

Di tambah pula akan di tayangkan 'video clip' semua perbuatannya semasa di dunia.Ia tidak boleh berbohong dan berdalih. Semua ini akan menyingkap kekejiannya. Memalukan dan membawa segunung penyesalan kepadanya.

Orang yang muraqabah , bertakwa dan muhsin akan tenang walau pun mendapat nikmat, pujian, atau menghadapi kesusahan, tohmahan dan seumpamanya. Dia merasa bimbang sekiranya kehilangan reda dan pertolongan dari Allah SWT

Nabi SAW pernah berpesan yang bermaksud "Seorang mukmin itu tidak akan mencuri, ketika mana melakukan perbuatan itu dia adalam mukmin." Maknanya , ketika dalam hati seseorang itu ada iman atau hatinya hadir, maka dia tidak akan melakukan kesalahan. Orang beriman tidak akan mencuri jika dia merasai pengawasan Allah SWT. Ini kerana, hati yang di miliki itu adalah hati yang sedar dan mampu merasai Allah SWT melihat serta mengawasi segala amalannya. Itulah hakikat muraqabah.

Hati orang mukmin dan hati yang dapat muraqabah bersedia menerima tarbiah dan peringatan, kerana segala peringatan akan memandu seluruh anggata kita melakukan ketaatan. Firman Allah SWT yang bermaksud "Oleh sebab itu berikanlah peringatan kerana peringatan itu bermenfaat." (Surah al-A'laa, ayat 9). Dengan saling memberi peringatan ini juga akan melahirkan perasaan takut untuk melakukan kesalahan terhadap Allah SWT seperti firmanNya yang bermaksud "Orang yang takut kepada Allah akan mendapat pelajaran." (Surah al- A'laa, ayat 10).

Keempat : Mengatakan yang hak kepada orang yang ditakuti atau kepada orang yang diharapkan sesuatu darinya.

Diriwayatkan oleh Jabir, Nabi SAW menyebut yang maksudnya: “Tiada sedekah yang lebih dicintai Allah daripada bercakap benar.” (Hadis riwayat Baihaqi)

Sampaikanlah kebenaran walaupun pahit di dengar kepada orang yang kita mengharapkan sesuatu daripadanya. Contoh kepada ibu bapa sendiri atau majikan kita. Jika di dapati sesuatu yang tidak betul maka tanggungjawab kita untuk memperbetulkannya. Cara nasihat atau teguran biarlah cara hikmah dan bijaksana. Terpulanglah kepada mereka untuk menerimanya.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita hayati empat perkara yang paling sukar tetapi wajib kita laksanakan semata-mata mencari keredaan Allah SWT. Berdoalah kepada Allah SWT semoga kita sentiasa dipermudahkan-Nya untuk membuat kebaikan dan kebajikan. Tidak ada sesuatu yang akan menjadi mudah apabila dipermudahkan oleh Allah SWT, begitu juga tidak ada sesuatu yang sukar melainkan dihalang dan di sukarkan oleh Allah SWT .

sumber: Abu Basyer facebook

Khamis, 29 September 2011

Jawapan pada keraguan hati

سم الله الرحمن الرحيم


KITA BERTANYA : KENAPA AKU DIUJI?
QURAN MENJAWAB

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” (“I am full of faith to Allah”) sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan, sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
-Surah Al-Ankabut ayat 2-3

KITA BERTANYA : KENAPA AKU TAK DAPAT APA YG AKU IDAM-IDAMKAN?
QURAN MENJAWAB

“Boleh jadi kamu membenci sesua itu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”
– Surah Al-Baqarah ayat 216

KITA BERTANYA : KENAPA UJIAN SEBERAT INI?
QURAN MENJAWAB

“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
– Surah Al-Baqarah ayat 286

KITA BERTANYA : KENAPA RASA FRUST?
QURAN MENJAWAB

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.”
– Surah Al-Imran ayat 139

KITA BERTANYA : BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?
QURAN MENJAWAB

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) , dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah (be fearfull of Allah The Almighty) kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).”

KITA BERTANYA : BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?
QURAN MENJAWAB

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk”
– Surah Al-Baqarah ayat 45

KITA BERTANYA : APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI?
QURAN MENJAWAB

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu’min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka… ?
– Surah At-Taubah ayat 111

KITA BERTANYA : KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?
QURAN MENJAWAB

“Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari Nya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal.”
– Surah At-Taubah ayat 129

KITA BERKATA : AKU TAK DAPAT TAHAN!!!
QURAN MENJAWAB

“… ..dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.”
– Surah Yusuf ayat 12

Sabtu, 24 September 2011

Perkongsian Bersama

سم الله الرحمن الرحيم





Syukran kepada sahabat yang telah memberikan artikel ini.. hanya Allah yang dapat membalasnya...sekadar berkongsi...semoga ada manfaat

cahaya_sufi

____________________________________

Sebagai panduan hidup
Astaghfirullah

Awal tahun 80 an dahulu, tidak ramai wanita yg
bertudung. Ketika itu wanita bertudung terpaksa
menghadapi cabaran yg besar kerana sering menjadi
bahan umpatan masyarakat. Mereka dituduh ekstreem,
sesat dan ketinggalan zaman. Bahkan ada juga yang
mengatakan itu fesyen ala Arab padang pasir. Kita
tidak pelik hal begini boleh terjadi.

Ini disebabkan masyarakat jahil terhadap hukum menutup
aurat sehingga mereka tidak dapat menerima, malah
memandang serong terhadap syariat menutup aurat.
Berkat kesabaran wanita-wanita yg bertudung diwaktu
itu, akhirnya masyarakat semakin sedar dan faham
bahawa memakai tudung itu adalah untuk memenuhi
tuntutan syariat.

Seperkara yg menarik di waktu itu, apabila seseorang
wanita itu bertudung, maka akan nampak beza tingkah
lakunya berbanding dgn wanita yg tidak menutup aurat &
peribadinya sendiri sebelum memakai tudung. Kalau
dahulu dia senang bergaul bebas dgn lelaki, tetapi
bila sudah bertudung, pandangannya sudah mula
ditundukkan, bercakap dgn lelaki pun jarang sekali,
tidak seronok malah tidak menghadiri majlis yg ada
percampuran bebas lelaki & perempuan, tidak suka
berkeliaran di tempat-tempat awam, cenderung utk
mendalami ilmu-ilmu Islam, suka utk beribadah, akhlak
& tutur katanya menjadi semakin lembut & lunak. Suka
menolong orang, bibir sentiasa menguntum senyum
sebagai sedekah sesama muslim, sedia membantu
kesusahan orang lain, sudah benci kpd kemewahan dunia,
tahan diuji & sentiasa mencari-cari peluang utk
mengajak masyarakat wanita yg lainnya agar sama-sama
menutup aurat.

Lantaran berbezanya mereka dgn wanita yg lain, maka
org pandang tinggi kpd wanita yg bertudung, walaupun
masih ramai yg tidak suka kpd mereka. Waktu itu, kalau
wanita sudah sanggup bertudung, ertinya didlm dadanya
sudah ada sedikit sebanyak ilmu- ilmu agama.
Sekurang-kurangnya dia sudah hafal dalil-dalil Al
Quran dan hadith mengenai hal penutupan aurat.Ini
disebabkan mereka sering dihujani dgn berbagai
pertanyaan mengenai apa yg mereka buat. Untuk
menjawapnya, mereka sudah bersedia memberi jawapan yg
sesuai dgn nas Al Quran dan hadith utk menyakinkan org
ramai. Oleh sebab itu org ramai memandang tinggi
kepada mereka.

Di awal 90'an, bilangan org bertudung semakin ramai.
Di mana- mana sahaja kita boleh bersua dgn wanita yg
bertudung. Sama ada di kilang, di sekolah, di stesen
bas, di pejabat, di universiti & di politeknik malah
beberapa pengacara televisyen & radio pun sudah
memakai tudung. Alhamdulillah

Tetapi yg menyedihkan, kalau dahulu wanita bertudung
tidak akan ditemui di taman-taman bunga, di tempat-
tempat hiburan, berpegangan tgn dgn teman lelaki,
dipanggung wayang atau kalau dahulu wanita bertudung
bersih mukanya drp calaran alat-alat make up, tetapi
kini dgn mudah kita boleh jumpa wanita bertudung
berpeleseran dgn teman lelaki di tempat-tempat
sedemikian. Tudung berwarna warni mengikut fesyen
sesuai dgn aliran zaman dan fesyen baju. Kadang-kadang
pakai tudung pun tidak sempurna mengikut syariat.
Kadang-kadang macam nak terlondeh. Antara hendak tutup
& hendak buka. Akhlak & tutur katanya kasar, malah
kadang kala lebih buruk drp mereka yg tidak memakai
tudung atau buka aurat.

Sesetengahnya bertudung tetapi tidak sembahyang. Imej
wanita bertudung telah tercemar dgn wanita-wanita yg
menjadikan tudung sebagai fesyen atau terpaksa pakai
kerana mengikut peraturan. Kalau dahulu bila wanita
itu bertudung, automatik dia sudah malu ke panggung
wayang, malu untuk berasmara, malu utk ke tempat
hiburan & sebagainya. Tetapi kini tudung sudah tidak
mempunyai peranan utk mencegah manusia dari terjerumus
ke dalam lembah maksiat.

Bila direnung-renung mengapa hal ini boleh terjadi,
maka jelaslah wanita-wanita yg bertudung pada hari ini
jahil mengenai tujuan dan peranan pemakaian tudung.
Ramai wanita yg memakai tudung pada hari ini kerana
terikut-ikut dgn suasana. Mereka lihat adik beradik,
teman sekolah, teman pejabat atau jiran telah ramai
memakai tudung, maka timbul rasa malu kerana mereka
sahaja yg masih tidak bertudung. Lantaran itu mereka
mengambil keputusan utk memakai tudung, walaupun hati
tidak berapa menyetujuinya.

Kini masyarakat telah menerima wanita yg pakai tudung.
Ujian sudah tidak besar. Kadang kala orang lelaki yg
hendak berkahwin pun memberi syarat, wanita yang
hendak dikahwininya mestilah bertudung.

Setengahnya apabila mereka melihat wanita lain memakai
tudung lebih cantik dan manis, mereka pun hendak
memakainya, tanpa mengetahui tentang ilmunya, mengapa
mesti pakai tudung. Ada juga yg terpaksa memakai
tudung kerana desakan keluarga atau suami. Ada yg mahu
menjadikan tudung macam fesyen. Sekejap pakai, sekejap
buka.Lantaran itulah nilai org yg bertudung pada hari
ini sudah menurun. Sudah tidak semahal wanita yg
bertudung awal-awal dahulu. Hanya wanita yg berpurdah
yg belum kelihatan berjalan-jalan di taman bunga atau
di tempat-tempat hiburan. Mungkin taraf berpurdah sama
dgn wanita yang bertudung dan wanita yg memakai tudung
diperingkat awal dahulu.

Sesuatu amalan yg dilakukan kalau bukan atas dasar
ilmu dan yakin serta faham apa yg mereka perbuat akan
nampak ganjil dan pincang hasilnya. Sesuatu yg di buat
bukan dari hati yang ikhlas, walau pun nampak hebat
tetapi semuanya kosong. Tiada nilai di sisi Allah.

Wanita yg pakai tudung selain drp keinginan utk
menutup aurat, tidak akan dapat berbohong dgn Allah
walaupun di di dunia mereka berjaya membohongi mata
manusia mengatakan mereka juga sudah menutup aurat.
Tetapi di akhirat nanti, niat sebenar & apa yg ada di
dalam hati mereka akan diselongkar & didedahkan oleh
Allah dipadang Makhsyar di hadapan jutaan umat
manusia.

Rasulullah s.a.w pernah ditanya oleh seorang sahabat :
" Ya Rasulullah Dgn apakah mencapai keselamatan kelak
?"
Jawab Nabi s.a.w : "Jangan menipu Allah."
Orang itu bertanya lagi : " Bagaimana menipu Allah ?"
Jawab baginda " Iaitu mengerjakan apa yang
diperintahkan oleh Allah, tetapi tidak kerana Allah."

Disamping tiada niat utk menutup aurat dgn bertudung
akan ditolak oleh Allah, wanita yg berniat utk menutup
aurat dgn tudung tetapi tudungnya berfesyen sehingga
menarik lelaki memandangnya, atau pun tudung yg
dipakainya tidak memenuhi syarat menutup aurat yakni
bertudung tetapi masih nampak pangkal leher, bermakna
dia belum lagi sempurna menutup aurat, malah semakin
berdosa kalau dgn memakai tudung yg berfesyen itu
menyebabkan lelaki jatuh hati. Dikala itu tudung bukan
menjadi alat menutup aurat, tetapi menjadi alat utk
berhias. Wanita begini bukan mendapat pahala dgn
menutup aurat tetapi mendapat dosa.

Bahaya besar kalau beramal bukan kerana ilmu tetapi
kerana mengikut masyarakat & peredaran zaman.
Sementara yg mengamalkan syariat kerana pengaruh
sekeliling, hanya mampu bertahan atau beramal selagi
dia berada di dlm suasana begitu. Tetapi bila dia
terkeluar dari kelompok masyarakat, dia sudah tidak
mampu bertahan & turut hanyut dgn masyarakat di
sekitarnya. Ujian yg sedikit sahaja mampu
menggoyangkan imannya. Oleh itu kalau hendak mendapat
keredhaan Allah, maka seseorang itu mestilah berilmu
dgn apa yg dilakukannya. Jesteru itu menuntut ilmu
adalah perkara yg utama sebagai penyuluh ibadah.

Di samping ada ilmu, amalan yg dilakukan hendaklah
diniatkan kerana Allah bukan kerana yg lain dari itu.
Kita mesti bina keyakinan di dalam diri kita &
mempunyai kefahaman yg mendalam agar kita tidak mudah
tergugat apabila datang ujian, betul di dalam tindakan
dan bersabar di dalam apa jua kesusahan.
Renung-renungkanlah wahai wanita yg berada di luar
sana. Jangan memakai tudung hanya ingin mengikut
fesyen semata-mata.
Wallah hu aklam

P/s: sebarkanlah walaupun satu ayat

10 Laluan Yang dilalui Oleh Manusia Sehingga Akhirat

سم الله الرحمن الرحيم


Hisablah diri kita sama ada kita dapat melepasi 10 imigresen untuk bertemu Allah...


10 laluan yang bakal dilalui oleh manusia dari dunia sampai akhirat:


Bagaimana memudahkannya?


LALUAN MENUJU KE KUBUR

a. Jauhkan dari perbuatan mengumpat & mengeji
b. Hindarkan perasaan irihati (benci)
c. Jangan terpengaruh dengan harta dunia
d. Sucikan qadha' hajat dgn istibra (berdehem selepas buang air kecil!)


LALUAN UNTUK BERJUMPA IZRAIL

a. Bersihkan diri dengan bertaubat
b. Gembirakan hati orang Mu'min
c. Bayar semula qadha' (solat & puasa) yang tertinggal
d. Kasih sepenuh hati kepada ALLAH Taala


LALUAN UNTUK BERTEMU MUNGKAR NANKIR

a. Mengucap dua kalimah syahadat
b. Suka memberi sedekah
c. Berkata benar
d. Bersihkan dan perbaiki hati


LALUAN UNTUK MEMBERATKAN TIMBANGAN

a. Belajar atau mengajar ilmu yang bermanfaat
b. Sucikan perkataan dan pakaian
c. Bersyukur dengan yang sedikit
d. Suka dan redha dengan yang didatangkan oleh ALLAH


LALUAN MEMANTAPKAN AMALAN

a. Jauhkan perkataan yang sia-sia
b. Pendekkan cita-cita dunia
c. Banyakkan puji-pujian kepada ALLAH
d. Banyakkan sedekah dan khairat


LALUAN MELALUI TITIAN SIRAT AL-MUSTAKIM

a. Kasihilah aulia ALLAH Ta'ala
b. Berbaktilah kepada kedua ibubapa
c. Berpegang teguh dengan hukum syara'
d. Bercakap perkataan yang baik sesama makhluk


LALUAN MENJAUHKAN DIRI DARI NERAKA

a. Banyakkan membaca al-Quran
b. Banyakkan menangis kerana dosa-dosa yang lalu
c. Tinggalkan perkara yang maksiat
d. Jauhkan segala yang haram

LALUAN UNTUK MEMASUKI SYURGA

a. Membuat kebajikan seberapa banyak yang boleh
b. Kasihi orang yang soleh
c. Kerjakan segala suruh-suruhan ALLAH
d. Merendahkan diri di antara semua makhluk ALLAH


LALUAN BERJUMPA DENGAN NABI MUHAMMAD

a. Kasihilah Nabi ALLAH
b. Kasihilah Rasulluah
c. Tuntutilah yang difardhukan oleh ALLAH
d. Banyakkan selawat Nabi S.A.W.


LALUAN UNTUK BERTEMU ALLAH

a. Serahkan seluruh jiwa raga kepada ALLAH
b. Hindarkan diri dari menderhaka kepada ALLAH
c. Betulkan dan baikkan i'tiqad kepada ALLAH
d. Bencikan segala yang diharamkan-Nya

Mahar Ke Syurga

سم الله الرحمن الرحيم



Bismillahirrahmanirrahim..

Sekarang ini saya berada di sebuah kawasan yang tidak dapat untuk dinyatakan tempatnya. Apa yang pasti saya berada berseorangan tidak ditemani teman namun Allah tetap memerhatikan saya. Lalu bagi mengisi masa ini dari diterjah perkataan boring, maka tercetuslah idea untuk tajuk post kali ini. Catatan ini juga terhasil bukan kerana keboringan semata tetapi apa yang saya rasa sepanjang hidup di dunia buat masa ini..

Masa terus berjalan tik tok tik tok..

Saya semakin hari semakin berdebar sebenarnya. Sebab kita makin dekat dengan kematian kita. Masa terus berjalan tanpa mempedulikan kita. Tetapi jika kita terus leka dan lalai. Ia adalah satu kerugian yang nyata.


Dan.. pasti setiap orang ada masalah tersendiri dalam mengharungi hidup ini. Masalahnya pelbagai. Masing-masing tidak sama kerana setiap orang ada keunikannya yang tersendiri.


Secara straight to the point ...



Apa yang ingin saya sampaikan adalah berkaitan dengan pengorbanan. Kita sering menangis, mengeluh dengan ujian. Kata kita.. berat sekali untuk ditanggung.. rasa tidak patut kita menerima ujian sebegitu..

Tapi itulah tiket untuk kita ke syurga. Ya, ujian yang kita hadapi itu adalah tiket untuk kita ke syurga. Perasaan sedih, kecewa yang Allah uji sebenarnya ada sebabnya. Baca ayat ini..


Firman Allah subhanahuwataala yang bermaksud : “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. ”
(Surah Al-Ankabut : 2,3)


Firman Allah subhanahuwataala yang bermaksud : “Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?.”
(Surah Ali-Imran : 142)


Kita berserahlah pada Allah.. biarlah air mata kita itu jatuh berlinangan..dan kita redha dengan apa yang Allah uji tapi dalam masa yang sama Allah tetap memerintahkan kita untuk berdoa kepadaNya supaya diringankan ujian.


Perjuangan memang memerlukan pengorbanan. Itu mahar kita ke syurga. Relalah jiwamu, jasadmu, hartamu ke jalan Allah. Kelak Allah akan membalas setimpal dengan apa yang kita korbankan. Korbankanlah apa yang jiwa inginkan kalau keinginan kita itu bercanggah dengan tuntutan syariat..


Biarlah air matamu berlinangan kerana itulah air mata redha seorang hamba yang pasrah berserah, bertawakkal pada Yang Maha Penyayang dan Maha Mengetahui.. Ambillah iktibar dari kisah para anbiya' dan Salafussoleh yang sangat tinggi pengorbanan mereka. Apalah sangat pengorbanan kita jika dibandingkan dengan mereka.. Nak masuk syurga memang memerlukan pengorbanan..

Semoga Allah menerima amal-amal kita.. Amin

Selasa, 20 September 2011

4 Perkara yang lebih baik kedudukannya

سم الله الرحمن الرحيم



1- Rasa malu pada lelaki adalah baik, namun rasa malu lebih baik jika ada pada wanita.


2- Adil ada setiap orang adalah baik, namun adil jika ada pada pemerintah adalah lebih baik.

3- Taubat orang tua adalah baik, namun taubat orang muda adalah lebih baik.

4- Bermurah hati pada orang kaya adalah baik, namun bermurah hati pada kaum fakir miskin adalah lebih baik.

Mutiara Kebijaksanaan Dalam Islam. M/S : 85 & 86.

Rujukan Gambar :

http://www.ajurry.com/vb/showthread.php?p=55756

4 Perkara yang lebih buruk kedudukannya

سم الله الرحمن الرحيم


1- Perbuatan dosa yang dilakukan oleh orang muda yang bodoh adalah buruk, tetapi ianya lebih buruk jika dilakukan oleh kaum tua.

2- Sibuk dengan urusan duniawi oleh orang bodoh itu adalah buruk, tetapi lebih buruk lagi jika orang alim sibuk dengan urusan duniawi.

3- Malas beribadat orang awam adalah buruk tetapi lebih buruk apabila orang alim malas beribadat.

4- Berperangai sombong bagi orang kaya adalah buruk tetapi lebih buruk lagi apabila orang fakir berperangai sombong.

Mutiara Kebijaksanaan Dalam Islam. M/S : 86

Sabtu, 17 September 2011

Adab Kunjungi Rumah Terbuka

سم الله الرحمن الرحيم



Setiap kali tibanya musim perayaan terutama Aidilfitri, pasti ramai yang tidak melepaskan peluang mengadakan rumah terbuka bagi meraikan kenalan, sanak-saudara serta jiran tetangga.. begitu juga jemputan rumah terbuka... terutamanya pada cuti hujung minggu begini? Dalam sehari ada sampai 3-4 jemputan dapat.

Alhamdulillah.. sebagai peringatan bersama disini ada 7 perkara yang mesti dijaga semasa pergi ke rumah terbuka

1. Jaga niat dan tujuan

Setiap perkara yang kita lakukan pastinya akan adanya niat bukan? Kenapa kita ingin pergi ke rumah terbuka? Adakah kita mahu mengeratkan hubungan sillaturrahim, saling bermaaf-maafan atau pun sekadar ingin memperagakan atau menunjuk-nunjuk baju raya kita yang paling cantik dan mahal? jawapan itu ada pada anda! tepuk dada tanya iman.

2. Jaga aurat

Bagi yang lelaki tidaklah ada masalah dari segi aurat, tetapi bagi yang perempuan seharusnya memakai pakaian yang menutup aurat dimana tidak menjolok mata para- para tetamu yang lain.

3. Jaga masa

Masa amat penting dimana kita harus tahu waktu majlis Rumah Terbuka tersebut diadakan. Jangan pula bila tuan rumah sudah siap mengemas semuanya barulah anda semua sampai. Menyusahkan tuan rumah pula untuk melayan anda. (Kalau setakat lewat 30 minit tuh tuan rumah boleh terima lagi lah. hehehe)

4. Jaga solat

Jangan sibuk kita ke sana ke mari menghadiri majlis Rumah Terbuka sehingga kita lupa untuk tunaikan solat. Dah pakai baju cantik-cantik, mekap tebal-tebal, sehingga nak ambik wuduk pun tak mahu sebab sayangkan make-upnya. Ingatlah, matlamat tidak menghalalkan cara. Bagi tuan rumah pula, bila dok sibuk melayan tetamu yang hadir jgn pula tinggalkan solat. Jgn pula sibuk mencari pahala berumah terbuka tetapi dosa pulak yang kita dapat. Ingat tu...

5. Jaga akhlak & tatasusila

Akhlak & tatasusila haruslah dijaga semasa berada di majlis Rumah terbuka. Sebagai contoh:

  • Memberi salam & bersalaman - Memberi salam dengan baik dan jelas. Bagi yang bukan mahram dilarang sama sekali untuk kita bersalam.
  • Meminta izin untuk masuk - mintalah izin dengan penuh hormat
  • Memendekkan tempoh ziarah - janganlah pula kita duduk dalam majlis tersebut berjam-jam.
  • Mengawal pandangan dan merendahkan suara - kita haruslah menjaga pandangan semasa di rumahnya. Janganlah pula kita melilau-lilau memandang ikut sukahati sahaja (meneroka rumah tuan rumah sehingga ke bilik). Merendahkan suara juga perlu, ingat.. tetamu yang ada dalam majlis tersebut takkan mahu dengar suara anda seorang je bukan? jadi pandai-pandailah anda kontrol suara agar tidak menganggu ketenteraman tetamu yang lain.
  • Meminta izin untuk balik - jangan lupa meminta izin untuk balik dari tuan rumah, jgnlah anda terus pergi begitu sahaja, memberi salam dan bersalaman dgn tuan rumah terlebih dahulu dan tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih atas jemputan dan hidangan yang disediakan.

6. Jaga adab makan

Adab makan perlu dijaga semasa menghadiri rumah terbuka. Ambil apa yang anda rasa perlu sahaja. Jangan mudah membazir walau anda tahu banyak lagi makanan yang disediakan. Membazir amalan syaitan.

7. Jaga mulut

Lepas dari rumah terbuka janganlah pula kita dok membanding-bandingkan pula. Rumah nih BEST, Rumah yang tu hidangannya sikit dan tak sedap plak! Macam-macam kita komplen lagi , langsir tuan rumah tak cantiklah, rumah kecil lah, dan sebagainya. Namun sebagai tetamu haruslah kita bersyukur dengan apa yang tuan rumah sediakan.

Itulah serba sedikit tips atau panduan yang saya mahu kongsikan bersama pembaca sebelum kita menghadiri majlis ke Rumah Terbuka agar kita menjaga adab-adab dengan sebaik mungkin. Jadikan kunjungan kita ke rumah terbuka sebagai satu jambatan mengeratkan hubungan silaturrahim sesama kita selain mencari pahala dan keberkatan padanya di hari yang penuh mulia ini. InsyaALLAH.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...