Ukhwah Islamiyyah

Isnin, 30 Mei 2011

Air Mata Takut Kepada Allah

سم الله الرحمن الرحيم


Air Mata Mahal

Api maksiat yang masuk ke hati manusia merubah hati mereka menjadi arang hitam. Api maksiat hanya boleh dipadamkan dengan air mata yang mengalir deras sebab takut nanti dihisab pada hari kiamat dan perasaan semua perkataan dan perbuatan selalu diawasi Allah Taa'la. Tentang air mata mahal ini, Hasan al-basri berkata,"Jika mata seseorang menyucurkan air mata kerana takut Allah, maka dia mengharamkan neraka menyentuh tubuhnya." Jika airmata mengalir ke pipinya maka wajahnya tidak hitam dan hina pada hari kiamat. Tiada amal perbuatan yg bertimbang berat dan diberi pahala, kecuali airmata yang keluar kerana takut Allah. Airmata seperti ini memadamkan panasnya api neraka. Jika ada seorang pada suatu umat menangis kerana takut Allah, aku berharap umat itu secara keseluruhan dirahmati Allah gara-gara tangis satu orang tersebut.

Api maksiat dan kelalaian telah merasuki hati kita, lalu membuat kita tidak mampu khusyuk. Mahukan kita memadamkan api maksiat itu, dengan airmata mahal seperti di atas dan kita evaluasi atau koreksi diri mulai sekarang juga?

Taujih Ruhiyah- Abdul Hamid Al-Bilali

Rasulullah S.A.W telah bersabda, "Bahawa tidak akan masuk neraka orang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya."

Dalam sebuah kitab Daqa'iqul Akhbar menerangkan bahawa akan didatangkan seorang hamba pada hari kiamat nanti, dan sangat beratlah timbangan kejahatannya, dan telah diperintahkan untuk dimasukkan ke dalam neraka. Maka salah satu daripada rambut-rambut matanya berkata,"Wahai Tuhanku, Rasul Engkau Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda, sesiapa yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T, maka Allah mengharamkan matanya itu ke neraka dan sesungguhnya aku menangis kerana amat takut kepada-Mu."

Akhirnya Allah S.W.T mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya dari api neraka dengan berkat sehelai rambut yang pernah menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Malaikat Jibril A.S mengumumkan, telah selamat Fulan bin Fulan sebab sehelai rambut."

Dalam sebuah kitab lain, Bidayatul-Hidayah, diceritakan bahawa pada hari kiamat nanti, akan didatangkan neraka jahanam dengan mengeluarkan suaranya, suara nyalaan api yang sangat menggerunkan, semua umat menjadi berlutut kerana kesusahan menghadapinya. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, "Kamu lihat (pada hari itu) setiap umat berlutut (yakni merangkak pada lututnya). Tiap-tiap umat diseru kepada buku amalannya. (Dikatakan kepadanya) Pada hari ini kamu dibalasi menurut apa-apa yang telah kau kerjakan." (Surah al-Jatsiyah ayat 28)

Sebaik sahaja mereka menghampiri neraka, mereka mendengar kegeraman api neraka dengan nyalaan apinya, dan diterangkan dalam kitab tersebut bahawa suara nyalaan api neraka itu dapat didengar sejauh 500 tahun perjalanan. Pada waktu itu, akan berkata setiap orang hingga Nabi-nabi dengan ucapan, "Diriku, diriku (selamatkanlah diriku Ya Allah) kecuali hanya seorang nabi sahaja yang akan berkata, "Umatku, umatku." Beliau ialah junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Pada masa itu akan keluarlah api neraka jahim seperti gunung-gunung, umat Nabi Muhammad berusaha menghalanginya dengan berkata, "Wahai api! Demi hak orang-orang yang solat, demi hak orang-orang yang ahli sedekah, demi hak orang-orang yang khusyuk, demi hak orang-orang yang berpuasa, supaya engkau kembali."

Walaupun dikata demikian, api neraka itu tetap tidak mahu kembali, lalu malaikat Jibril berkata, "Sesungguhnya api neraka itu menuju kepada umat Muhammad S.A.W" Kemudian Jibril membawa semangkuk air dan Rasulullah meraihnya. Berkata Jibril A.S. "Wahai Rasulullah, ambillah air ini dan siramkanlah kepadanya." Lalu Baginda mengambil dan menyiramkannya pada api itu, maka padamlah api itu. Setelah itu Rasulullah S.A.W pun bertanya kepada Jibril A.S. "Wahai Jibril, Apakah air itu?" Maka Jibril berkata, "Itulah air mata orang derhaka di kalangan umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Sekarang aku diperintahkan untuk memberikannya kepadamu agar engkau menyiramkan pada api itu." Maka padamlah api itu dengan izin Allah S.W.T.

Rasulullah saw seringkali berdoa: "Ya Allah berilah aku rezeki dua mata yang menangis kerana takut kepada Engkau sebelum air mata ini habis." Diceritakan daripada Muhammad bin Munzir ra.

Terdapat 2 jenis dua jenis mata yang tidak akan disambar di api neraka. Mata itu adalah :

  • Mata yang berjaga kerana berjihad ke jalan Allah
  • Mata yang berjaga kerana menangis takutkan Allah

Kata ahli Hikmah, dunia ini dimulai dengan tangis, dicelahi oleh tangis dan
diakhiri dengan tangis.

Menangis adakalanya dituntut oleh syariat. Abid yang menyintai Tuhan akan selalu menangis mengenangkan dosanya. Mereka memaksa diri menangis apabila mengenang nasib diri di hari akhirat dan membayangkan huru-hara apabila menjelang kiamat. Dalam hal ini menangis adalah dituntut. Setitis airmata yang jatuh kerana takutkan Allah akan dapat memadamkan api neraka di hari akhirat kelak.

Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w bersabda bahawa air mata dari tangisan pembuat dosa yang bertaubat adalah lebih disukai Allah dari tasbih para wali. Rasulullah s.a.w juga ada bersabda: "Kejahatan yang dibuat lalu menimbulkan rasa sedih adalah lebih baik dari kebaikan yang menimbulkan rasa takbur."

Anas r.a berkata: Pada suatu hari Rasulullah s.a.w berkhutbah, lalu baginda bersabda dalam khutbahnya itu: "Andaikan kamu mengetahui sebagaimana yang aku ketahui, nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis." Anas berkata: seketika itu para sahabat menutup muka masing-masing sambil menangis teresak-esak.

Hari ini manusia terus menangis dan menangis, tetapi tangisan mereka amatjauh bezanya dengan tangisan para Nabi, Rasul dan sahabat. Jika orang soleh zaman dahulu menangis kerana mengenang nasibnya diakhirat tetapi orang hari ini menangis kerana takut kehilangan dunia. Tangisan ini datangnya dari sifat tamak dan tidak redha. Kalau orang soleh takut berpisah dengan iman dan kecintaannya pada Allah, orang hari ini takut berpisah dengan dosa dan maksiat.

Jika para Nabi dan rasul serta para sahabat takut menghadapi akhirat, orang hari ini seolah-olah berani dan tidak takut menghadapinya. Tetapi bila orang soleh berani menghadapi gelombang hidup duniawi, orang hari ini takut dan lemah hati dalam menghadapi kegagalan dan kekecewaan dalam hidup.

Menangis dan menangislah tapi biarlah kena pada tempatnya yang dibolehkan oleh agama. Apa akan jadi jika kita gagal diakhirat? Inilah sebenarnya kegagalan yang total... jadi kalau perkara ini yang kita tangiskan, memang kenalah pada tempatnya. Abu Hummah(Shadujja) Bin Adilan Albahily r.a berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w:

"Tiada suatu yang lebih disukai oleh Allah dari dua titis dan dua bekas. Titisan airmata kerana takut kepada Allah dan titisan darah dalam mempertahankan agama Allah. Adapun dua bekas adalah bekas dalam perjuangan fisabilillah dan bekas perjuangan kewajiban kepada Allah."

Bukan mudah untuk kita mengalirkan air mata kerana air mata yang mengalir dengan ikhlas kepada Allah s.w.t lahir daripada hati yang merasai kehebatan dan keagungan Allah s.w.t.bersihkan hati kita setiap saat agar mudah untuk kita mengalirkan air mata kerana takutkan Allah s.w.t

"Menangislah.. walau dalam keterpaksaan...kerana dalam keterpaksaan akan lahirlah kebiasaan..dan dari kebiasaan akan lahirlah keikhlasan...takutkan ALLAH...menangislah kerana TAKUTKAN ALLAH...."

Jiwa Hamba

Rujukan: Halaqah.net

Sabtu, 21 Mei 2011

Maksiat Halang Tekun Beribadat

سم الله الرحمن الرحيم


Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Assalamualaikum w.b.t.h..salam syukur,salam tarbiyah,salam perjuangan..
Apa khabar iman sahabat-sahabat sekalian?
Apa khabar rohani anda hari ini?
Apa khabar jiwa rakan-rakan sekalian?

Diketika kaki melangkah menyusuri jalan-jalan yang berliku,menempuhi onak-duri dugaan dunia..kekadang tersungkur dan terjatuh tika dihempas ombak ujian yang dirasakan sangat berat untuk ditempuhi...semakin kaki cuba gagah berlari dan melangkah, kian terasa berat kaki melangkah dan semakin parah luka dihati..

APAKAH kita pernah mengalami perasaan malas beribadah? Terasa berat untuk tilawah atau ada kenikmatan ketika membaca al-Quran atau solat?

Atau mungkin berasa susah bangun malam untuk qiyamulail, padahal jam dikunci untuk mengejutkan kita atau telefon bimbit sudah dipasang tetapi ketika berdering, tetap terlelap dalam tidur.

Apa yang kedengaran hanya seperti dalam mimpi dan akhirnya jam dan telefon bimbit mati sendiri atau bangun dengan setengah sedar. Selepas itu, tarik selimut dan tidur lagi. Padahal, biasanya dengan mudah boleh bangun.

Jadi, apa yang sudah terjadi dengan diri kita? Atau mungkin kita pernah merasakan mulut ini terasa berat ketika melantunkan ayat-ayat al-Quran atau mengucapkan salam kepada saudara kita. Atau mungkin kita secara sengaja memlambatkan waktu menunaikan solat?


Terkadang hati rasa meluat dengan rakan di pejabat kerana hal yang kecil atau prasangka buruk. Terkadang kita melalui hari yang kita isytiharkan hari malang atau tidak ada ‘mood’. Makin malang, kita dengan sengaja melanggar perintah Allah.


Jika hal itu terjadi pada kita, segeralah muhasabah diri. Ada apa dengan diri kita? Keadaan seperti ini jangan dibiarkan begitu saja. Lama-kelamaan ia akan terbiasa.
Seperti halnya penyakit, jika ada gejala, segera berjumpa doktor dan makan ubat agar cepat sembuh.


Begitu pula dengan ruhiyah kita. Kalau sudah ada gejala penurunan anjakan ruhiyah, segeralah kita muhasabah diri. Bagaimana hubungan kita dengan Allah dan apa yang sudah kita lakukan?

Jangan-jangan kita banyak mengerjakan maksiat hingga menghalang amalan kita. Mungkin kita tidak boleh menjaga daripada melakukan perkara yang makruh, bahkan diharamkan Allah sehingga menghalangi organ tubuh kita untuk beribadah kepada-Nya. Misalnya, kita menggunakan mata untuk menonton drama atau filem yang melalaikan meskipun cuma satu atau dua jam.


Mungkin mata kita tidak dijaga daripada melihat perkara yang tidak berguna, bahkan mengandungi maksiat. Akhirnya Allah pun tidak menjaga mata kita untuk beribadah pada-Nya. Lalu, mata kita malas untuk bangunkan kita solat malam. Mata kita rasa berat untuk beribadah, rasa berat untuk membaca buku tazkirah hati, rasa berat untuk melihat e-mel yang memberi nasihat.


Selain mata, telinga juga perlu kita jaga. Boleh jadi kita susah bangun malam untuk bertaqarub kepada Allah S.W.T kerana kita tidak menjaga telinga kita. Telinga kita gunakan untuk mendengar gosip atau muzik melalaikan, bahkan terkadang boleh terngiang-ngiang dalam memori kita kerana seharian yang didengari adalah muzik.


Akhirnya, pada waktu malam, telinga kita tidak mampu mendengar deringan jam loceng bahkan suara azan. Telinga kita rasa berat untuk mendengar tazkirah dan telinga kita bosan mendengar nasihat.
Selain itu, mulut penting untuk dijaga kerana ia banyak menjerumuskan manusia terutama wanita ke neraka. Mulut boleh menjadi sarana ghibah, fitnah dan caci maki.
Mulut tidak dapat kita kawal. Macam air saja mengata perilaku kawan-kawan. Kita tidak kenal pun dengan si polan, tapi mulut kita seronok mengata mereka. Mulut kita juga berat nak berzikir.
Kenapa ini terjadi?



Begitu juga hati. Ini adalah bahagian terpenting yang perlu dijaga. Hati ibarat pemimpin manakala organ tubuh yang lain adalah komando. Hati boleh sakit, buta bahkan mati jika semakin banyak berbuat maksiat.

Hati ibarat cermin. Semakin banyak membuat maksiat, maka semakin banyak noda titik hitam di cermin itu. Atau mungkin tidak ada lagi titik hitam tapi sudah jelaga hitam yang susah dibersihkan.



Begitu pula dengan diri kita, semakin banyak kita berbuat maksiat dan tidak bertaubat, kita semakin terbiasa dengan kemaksiatan itu.Salah satu yang menyebabkan kematian hati adalah banyak bercanda atau bergurau senda. Kita boleh bergurau senda untuk menceriakan suasana atau menciptakan suasana ukhuwah.

Tapi hendaklah memperhatikan adabnya. Perhatikan dengan siapa juga dan tidak berlebihan, apalagi adanya lelaki dan perempuan dalam satu majlis.Tengoklah diri kita. Muhasabahlah diri kita. Jika selama ini kita belum menjaga mata, mulut, telinga, hati dan organ tubuh kita yang lain daripada kemaksiatan, segeralah kita bertaubat dan istighfar diri.


Tidak ada kata terlambat untuk kebaikan. Seharusnya kita sayang jika tidak boleh tadarus al-Quran meskipun hanya terlepas satu hari.Kita berasa sayang jika tidak ada nikmat beribadah. Jika masih berasa sayang, jagalah diri kita dan Allah akan menjaga kita agar sentiasa dekat dengan-Nya.

What will happen today if Allah take ourlife because we forgot to sujud,
What will happen today if Allah close our heart from the light of goodness and iman because yesterday we forgot to remember him?


Jika harini kita mampu untuk solat jemaah dimasjid pada waktu subuh,berdoalah pada Allah supaya memilih kita untuk sujud padanya pada zuhur nanti,
Jika pada waktu solat zuhur kita dipilih Allah untuk sujud berjemaah dimasjid, berdoalah pada Allah supaya memilih kita untuk sujud padanya pada waktu asar nanti..
dan seterusnya,setiap waktu yg berlalu doakan setiap detik agar Allah memilih kita untuk melakukan kebaikan..


Setiap perkara kebaikan yang kita laKukan doakan agar Allah memilih kita untuk melakukan kebaikan yang seterusnya, kerana iman itu adalah rahmat, tanda belas kasihan Allah pada kita. dan Allah yang memilih siapakah yang menjadi pemilik IMANNYA..

Dan ingatlah hidayah itu bukan milik ana atau antum,bukanlah milik wali mahupun ustaz, ia juga bukan milik malaikat mahupun nabi,TAPI ia adalah milik Allah...dan Allah s.w.t.. yang menentukan siapakah pemilik hidayahNYA...

Jumaat, 20 Mei 2011

Mengejar Pengiktirafan Manusia

سم الله الرحمن الرحيم



Apabila kita melakukan kebaikan yang terlihat oleh orang lain, pasti akan ada yang mengatakan, “wah, baguslah!” “awak memang baik” “jarang jumpa orang macam awak” “Hebatnya!”. Paling tidak pun, akan ada yang tersenyum menandakan sebuah penghargaan diberikan kepada kita. Lantas kita menjadi termotivasi dan bersemangat untuk terus melakukan kebaikan. Kita merasakan ada nilainya kebaikan tersebut pada pandangan mata manusia. Bagaimanakah pula keadaannya apabila ada yang mengatakan “eleh, tu nak tunjuk baik la tu” “buang masa awak saja buat macam tu” “jangan buat macam tu lagi lain kali!”, apakah kesannya kepada diri kita? Adakah kita masih terus melakukan kebaikan tersebut atau kita meninggalkannya? Kesan yang berlaku atas diri kita daripada respons positif dan negatif orang lain ini menjadi indikator kepada keikhlasan kita dalam beramal.

Nilai sesebuah amal itu tidak ditentukan berdasarkan kepada pujian manusia. Apa yang lebih penting adalah nilai yang telah Allah gariskan dalam Al-Quran atau yang ditekankan oleh Rasulullah dalam Hadith baginda. Apabila telah ada saranan untuk melakukan sesebuah amal daripada Allah dan Rasul, maka ia tetap mempunyai nilai yang tinggi sama ada orang lain memuji atau mengeji. Dalam ertikata lain, orang yang ikhlas tidak akan berganjak sedikitpun daripada sebuah amal yang baik, bahkan dia sentiasa istiqomah dengan kebaikan. Tidak bertambah kerana pujian, atau berkurang kerana kejian. Berbeza dengan seseorang yang mengejar pengiktirafan manusia, bila dipuji dia berbangga dan menambah lagi kebaikan, bila dikeji dia merasakan seolah-olah azab Allah menimpanya lalu dia meninggalkan amal baik tersebut. Konsistensi amalannya bergantung kepada respons manusia terhadapnya.

Seseorang yang saya maksudkan tersebut boleh jadi kita sendiri, termasuk saya yang menulis. Pernahkah kadang-kadang kita merasa kagum dengan mujahid Islam yang syahid lantas kita juga bercita-cita untuk syahid sepertinya? Namun jauh di sudut hati kecil kita bersuara, “tentu aku akan dikenang orang”. Pernahkah kita membaca karya agung Ulama’-ulama’ silam lantas kita ingin berkarya seperti mereka? Hati kecil kita masih lagi bersuara,“tentu orang akan menyanjung aku”. Tatkala kita melayani perasaan tersebut dan berusaha mengejar pengiktirafan manusia, maka amal kita telah dicemari dan tidak lagi ikhlas. Namun kita tidak mempunyai kuasa untuk menghalang perasaan tersebut daripada timbul sama sekali, apa yang boleh kita usahakan ialah menentangnya dan melawannya.

Oleh itu, matlamat yang jelas perlu ditentukan sejak kita berniat melakukan sesebuah amal sehinggalah kita habis melaksanakannya. Keikhlasan itu perlu dijaga sebelum, ketika dan setelah melakukan sesebuah amal. Susah memang susah, sebab itulah perlunya mujahadah. Sampai bila? Sampai kita bertemu Allah. Saya masih ingat pesan ustaz Che’ Abdul Majid yang pernah saya kenali di Pusat Asasi UIAM Petaling Jaya dulu;

Berbuat baik ayuhai teman
ke dalam laut engkau campakkan
kalau tidak dikenal ikan
tuhanmu tahu iyakah, bukan

Bait syair di atas menyeru supaya kita ikhlas melakukan sesebuah amal hanya untuk keredhaan Allah dan hanya untuk mendapat ganjaran daripada Allah. Amal yang baik itu takkan sekali-kali disiakan oleh Allah. Bahkan apa yang terdetik di sudut hati kita juga tak pernah terlepas daripada pandangan Allah. Biarlah Allah yang menilai kebaikan kita dan memberikan ganjaran di akhirat. Firman Allah:

“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan dibiarkan, sedang Allah belum mengetahui (dalam kenyataan) orang-orang yang berjihad di antara kamu dan tidak mengambil menjadi teman yang setia selain Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (At-Taubah: Ayat 16)

Saya pernah mendengar sebuah kata hikmah, “jika kamu tamakkan apa yang ada di sisi manusia, kamu akan dibenci Allah. Jika kamu tamakkan apa yang ada disisi Allah, kamu akan disanjung manusia”

Bahkan dalam memuji juga kita harus berhati-hati. Boleh jadi pujian kita itu akan menghancurkan saudara seagama kita. Pujilah sekadar yang perlu dan kembalikanlah hak menilai itu kepada Allah. Dalam sebuah Hadith Rasulullah berpesan:

“Dari Abdurrahman bin Abu Bakrah, dari bapanya r.a katanya,: “Seorang lelaki memuji orang lain berhampiran Nabi s.a.w, lalu Nabi s.a.w berkata kepadanya: “Celaka kamu. Bererti kamu memenggal leher saudara kamu. (Kata-kata itu diucapkan baginda berulang kali.)“Apabila seorang kamu memuji saudaranya, seharusnya dia berkata: “Cukuplah bagi si fulan Allah sahaja yang menilainya. Tidak ada yang lebih berhak menilainya selain Allah Taala, sekalipun temannya tahu dia begini dan begitu.” (HR Muslim)

Jika ada yang memujimu, katakanlah “Alhamdulillah” dengan sebenar-benarnya.

Wallahua’lam

Khamis, 19 Mei 2011

Jadilah Kunci Kebaikan

سم الله الرحمن الرحيم



“Sesungguhnya di kalangan manusia ada yang menjadi kunci-kunci pembuka kebaikan dan penutup keburukan. Dan di kalangan manusia ada pula yang menjadi kunci-kunci pembuka keburukan dan penutup kebaikan. Maka beruntunglah orang yang Allah jadikan kunci-kunci kebaikan di tangannya dan celakalah bagi orang-orang yang Allah jadikan kunci-kunci keburukan di tangannya”.[ Ibnu Majah, Dari Anas R.a dihasankan oleh Al-albani]

Jadilah pemegang kunci kebaikan kerana ia akan mendapat keredaan Allah dan balasan syurga. Jadilah hamba Allah yang soleh dengan menunaikan kewajipan dan menghindari kemungkaran serta mengajak orang lain juga menjadi sepertinya. Golongan ini sentiasa mempromosi kebaikan dan perkara yang diredai oleh Allah SWT. Orang ramai akan mencarinya bila mempunyai sesuatu keperluan berupa kebajikan malah dia bersedia untuk membantu orang lain dengan senang hati tanpa upah dan ganjaran.Memadailah ganjaran di sisi Allah di akhirat kelak.

Jangan jadi golongan yang kedua iaitu pemegang kunci keburukan. Golongan ini melakukan kejahatan malah turut mendorong orang lain untuk melakukannya. dia mempromosi perbuatan maksiat dan dosa. Dia mendapat dosa malah turut memikul dosa orang yang mengikutinya. Sebagaimana sabda Nabi saw yang bermaksud :

“Sesiapa yang memulakan satu sunnah yang baik di dalam Islam dia akan memperolehi ganjarannya dan ganjaran orang yang melakukannya selepasnya dengan tidak kurang sedikitpun ganjaran mereka. Dan sesiapa yang memulakan satu sunnah yang buruk di dalam Islam dia akan menanggung dosanya dan dosa orang yang melakukannya selepasnya dengan tidak kurang sedikitpun dosa-dosa mereka." ( Imam Muslim )

Hindarilah diri dari menjadi pemegang kunci kejahatan ini kerana dosa yang bertimbun-timbun terpaksa dipikul akibat menjadi ikutan oleh orang lain. Era IT yang serba canggih pada masa kini ramai benar pemegang kunci keburukan boleh dilihat di laman blog-blog dan laman sosial. Terdapat individu muslim yang menjadikan blog peribadi mereka sebagai sumber dosa dan maksiat. Dia meletakkan gambar-gambar yang mendedahkan aurat, separuh bogel, promosi filem dan video lucah, cerita-cerita berunsurkan fitnah dan gosip yang tidak berasas malah turut mempromosikan artis-artis kafir dan musyrik serta memujanya secara melampau-lampau. Bukan sedikit pengunjung blognya. Entah berapa ‘bukit’ dosa yang terpaksa dia pikul akibat memegang kunci kejahatan itu.

Namun Alhamdulillah tidak kurang juga mereka yang ‘celik hati dan akhirat’ memilih untuk memegang kunci kebaikan. Mereka berkongsi ilmu agama dan ilmu keduniaan yang bermanfaat yang boleh dikongsi oleh orang lain. Sungguh beruntung mereka ini. Mereka mendapat pahala dengan sebab orang lain mengambil faedah dari blog-blog mereka. golongan ini akan terus mendapat pahala selagi ilmunya dimanfaatkan walaupun telah meninggal dunia sebagaimana maksud hadis nabi saw. Semoga Allah merahmati dan membimbing kita agar menjadi pemegang kunci kebaikan dan menjauhkan kita dari menjadi pemegang kunci keburukan. Mudah-mudahan Allah membimbing kita ke jalan yang diredaiNya.

Hendaklah kita mengajar kebaikan kepada orang lain.

Dengan pengajaran yang dilakukan akan memberi kesempatan kepada ramai orang lain untuk menerima dan menimba kebaikan.

Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyerukepada kebaikan."

"Barang siapa yang menunjukkan (seseorang) kepada kebaikan, maka ia akan mendapat pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya." - (Hadis Riwayat Muslim).

Senantiasa mempelajari dan mengkaji kebaikan

Seseorang yang mempelajari dan mengkaji ilmulayak disebut sebagai kunci pembuka kebaikan. Dengan belajar maka pada akhirnya ia akan terdorong untuk mengajarkan kebaikan yang dipelajarinya.

"Sebaik-baik orang dikalangan kamu adalah orang yang mempelajari Al Quran dan mengajarkannya kepada orang lain" – HR Bukhari .

Dengan belajar, seseorang akan menghidupkan kembali ilmu gurunya yang mungkin hampir mati.

Sentiasa mengamalkan kebaikan

Seseorang yang mengerjakan kebaikan akan dianggap kunci pembuka kebaikan kerana dengan mengamal kebaikan bererti ia memberikan contoh dan teladan kepada orang lain agar ikut mengerjakan kebaikan juga. Mengajar dengan contoh teladan lebih berkesan daripada mengajar dengan lisan.

Abu Darda' berkata: "Tidaklah kamu dianggap sebagai orang alim sehingga kamumengamalkan ilmumu".

Sentiasa mendukung proses belajar dan mengajar pelbagai bidang kebaikan.

Sekiranya seseorang tiada kesempatan untuk belajar dan tidak mampu mengajar maka hendaklah ia menjadi orang yang memberi kemudahan kepada orang-orang yang mengajar dan belajar untuk melakukan kebaikan.

Firman Allah yang bermaksud:

"Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebaikan dan ketaqwaan." (Al Maidah ayat 2)

Memberikan bantuan atau kemudahan kepada sesiapapun yang hendak mengamalkan kebaikan.

"Barangsiapa yang menyiapkan perbekalanuntuk orang yang berperang di jalan Allah maka ia akan mendapatkan pahala orang yang berperang." (Muttafaqun 'alaih).

Menjadi penggembira dan memperlihatkan sikap bersahabat kepada penyeru kebaikan.

Seorang yang hadir dalam sebuah majlis kebaikan, meskipun hanya ikut-ikutan dan tidak serius melakukannya, juga layak dianggap sebagai kunci pembuka kebaikan sehingga layak mendapat keampunan dan rahmat Allah.

Dalam sebuah hadis Qudsi Allah berfirman:

"Saksikanlah olehmu bahawa Aku telah mengampuni mereka semuanya," Malaikat berkata: "Diantara mereka ada si fulan, ia bukan sebahagian daripada mereka, kerana sebenarnya ia datang untuk suatu keperluan." Allah berfirman:"Sesungguhnya Aku juga telah mengampuninya. Kerana mereka adalah suatu kaum yang barangsiapa duduk bersama mereka, maka tidak akan mengalami kesengsaraan." (HR Muslim).

Rujukan: Fakhruddin Nursyam, Lc, Syarah Lengkap Arba'in Da'awiyah – Teladan Aplikatif Dakwah Rasulullah, Bina Insani Press Solo, September 2006

Rabu, 18 Mei 2011

Istiqamah Dalam Jalan Dakwah & Islam

سم الله الرحمن الرحيم


Maksud istiqamah ialah terus tetap atas jalan ISLAM. Sekali seseorang itu beriman, maka dia akan terus menerus bersama ISLAM, walau apa pun yang terjadi. Sanggup mempertahankan ISLAM dalam semua keadaan. Tetap memilih kebenaran. Ini selaras dengan firman Allah dalam surah Huud: 112

Oleh itu, hendaklah Engkau (Wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan Yang betul sebagaimana Yang diperintahkan kepadaMu, dan hendaklah orang-orang Yang kembali kepada kebenaran dengan mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; Sesungguhnya Allah Maha melihat akan apa Yang kamu kerjakan.

Ramuan untuk terus beristiqamah dengan ISLAM adalah;

1. Sabar
2. Ikhlas
3. Muhasabah
4. Interaksi dengan al-Quran
5. Yakin dengan keutamaan dakwah Islam
6. Membaca kisah orang-orang yang istiqamah di jalan dakwah
7. Sokongan daripada keluarga

يا رسولَ اللهِ, قُلْ لِيْ في الإسلام قَوْلاً لاَأسْأَلُ عَنْهُ أَحَداً غَيْرَكَ ! قال : قُلْ آمَنْتُ باللهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ.

Dari Abu ‘Amroh Sufyan bin Abdillah ra berkata ; Ya Rasulallah,katakan kepadaku satu kata saja yang aku tidak akan bertanya kepada siapapun selain engkau ! Jawab Rasul SAW :
Katakan , aku beriman kepada Allah, lalu istiqomahlah.

(Hadith Riwayat. Muslim)

يا رسولَ اللهِ, أتَعُودُ الى مكَّةَ وقَدْ أخْرَجوكَ؟ قال : يا زَيْدُ إن اللهَ جاعِلٌ لِما تَرَى فَرَجا وَمَخْرَجا وإن اللهَ ناصِرٌ دِيْنَه وَمُظْهِرٌ نبِيَّه.

Zaid bin Haritsah bertanya kepada Rasul SAW (dalam perjalanan ditengah cobaan badai da’wah ke Thoif), Ya Rasulallah ; apakah engkau akan kembali ke Makkah sedang engkau telah diusir oleh mereka (kuffar quraisy)? Wahai Zaid; sesungguhnya apa yang kamu saksikan saat ini (dari kesulitan , banyaknya tantangan dan rintangan), Allah akan berikan kelapangan dan jalan keluar dan Allah Maha menolong agamanya lagi Maha pemberi kemenangan kepada nabiNya (dan orang yang membela agamaNya).

Isnin, 16 Mei 2011

Hargai Nikmat Islam dan Iman

سم الله الرحمن الرحيم


Subhanallah.. alhamdulillah.. Allahuakbar..

Suatu petang yang tenang.. aku sedang duduk bersendirian di halaman rumah, bertemankan segelas air teh dan sedikit biskut... tiba-tiba terdengar ucapan salam daripada belakangku, "assalammualaikum"..

Aku menoleh, dan tersenyum kerana mengenali orang yang memberi salam itu, "waalaikummusalam warahmatullahi wabarakatuh, adik rupanya"..

adikku tersenyum dan menarik bangku kayu yang ada berdekatan, lalu duduk berhampiranku..

adikku memulakan bicaranya, "abang, leh adik bertanya?"

aku tersenyum, "alhamdulillah, apa dik?"

adikku bertanya, "abang, Islam ni kadang-kadang susah juga ya nak amalkan.."

aku tersenyum, "dik, apa yang adik minat dan suka, tapi tak dapat lagi?"

adikku menjawab, "banyak yang minat dan suka, macam nak melancong ke luar negara ke.."

aku tersenyum, "kenapa tak pegi melancong?"

adikku mengerut, "ish, abang ni, macam mana nak pergi, tiket kapal terbang pun mahal, nak belanja kat sana lagi, macam2 lagi"..

aku tersenyum, "maka, sama lah juga dengan Islam wahai dikku.. benda mahal, susah nak dapatkan..Islam dan Iman ni adalah sesuatu yang mahal.. kita kena berusaha untuk mendapatkannya, tak boleh merungut dik.. nanti hilang keikhlasan kerana ikhlas itu lagi mahal..

dan dik.. abang nak ceritakan seorang pahlawan Islam yang berani, tidak merungut, bahkan mempunyai Iman yang tinggi, subhanallah....

Pahlawan Islam itu adalah Mu'az bin Afra, Mu'az merupakah salah seorang pemuda dari golongan Ansar yang ikut berjuang dalam peperangan Badar..

Semangat yang dimiliki Mu'az bin Afra ini amat luar biasa iaitu dia bercita-cita mahu membunuh Abu Jahal tetapi dia tidak mengenali pun siapa Abu Jahal.

Maka, peperangan Badar pun berlaku.. di dalam peperangan itu, Mu'az bin Afra bersama temannya iaitu Auf bin Afra' mencari-cari siapakah Abu Jahal, lalu mereka bertemu dengan Abdul al-Rahman bin Auf, dan bertanya kepadanya, yang bermaksud :

Wahai Pakcik, adakah pak cik kenal Abu Jahal? tunjukkan dia pada saya.."

Abdul al-Rahman bin Auf terkejut dengan pertanyaan itu dan bertanya, yang bermaksud : "wahai anakku! Apa yang kamu hendak buat dengannya?"

katanya pula, yang bermaksud : "Saya mendapat tahu yang ianya selalu memaki Rasulullah S.A.W, demi Tuhan yang nyawa ku di tangan-Nya, kalaulah aku ternampaknya nescaya diri ku tidak akan renggang dari dirinya, kecuali kematian sahaja yang akan meragut diriku"

Abdul al-Rahman bin Auf bertambah terkejut dengan jawapan pemuda itu.. Selepas itu, pemuda kedua juga menanyakan perkara yang sama kepada Abdul al-Rahman bin Auf.. Abdul al-Rahman bin Auf pun terus mencari-cari Abu Jahal..

lalu Abdul al-Rahman bin Auf berkata kepada mereka berdua dan menunjuk ke arah seorang lelaki yang terkial-kial di tengah-tengah orang ramai itu, yang bermaksud : "Kamu tengok disana? Itu dia orang yang kamu tanyakan tadi"..

Belum sempat Abdul al-Rahman bin Auf menghabiskan percakapannya, kedua-duannya sudah melompat menuju ke tempat Abu Jahal.. Mereka merempuh barisan tentera kafir sambil menebas kiri dan kanan dengan pedang mereka..Akhirnya, mereka berjaya sampai kepada Abu Jahal dan memukul Abu Jahal dengan pedang mereka sehingga Abu Jahal jatuh...

Semua orang tidak menyangkakan tindakan kedua-dua pemuda tersebut.. Abu Jahal telah cedera parah namun masih lagi bernyawa.. Auf bin Afra', iaitu salah seorang pemuda tersebut berada di tengah-tengah tentera bukan Islam dan telah di bunuh oleh Ikrimah iaitu anak Abu Jahal yang berada berhampiran dengan ayahnya.. Manakala, Muaz bin Afra' pula sempat berundur tetapi tangannya telah terpotong dan masih tergantung di badannya.. lalu berkata ia, yang bermaksud : "tangan ini menganggu pergerakan aku untuk melawan musuh, aku mesti putuskannya!".. subhanallah..

Dia terus berperang dan akhirnya syahid dalam peperangan Badar...

Subhanallah.. alhamdulillah.. Allahuakbar..

dik, cuba renungkan kisah yang abang ceritakan tadi.. terutama kepada Mu'az bin Afra.. dia tidak merungut dan tidak mengaduh sakit di ketika tangannya terpotong, bahkan dengan beraninya mencabut tangan tersebut bagi meneruskan perjuangan, dan akhirnya dia syahid.. Subhanallah.. alhamdulillah..Allahuakbar..

maka, dik, begitu juga dengan diri adik, abang pun sama.. Islam adalah sesuatu yang mahal, Iman juga adalah sesuatu yang mahal.. kita kena berusaha, kita kena berjuang untuk mendapatkannya..

dan kita beruntung dik, kita sudah mendapatkannya.. maka, kita kena pertahankannya..

ibarat emas.. kita sudah mendapat emas, maka mesti ramai yang nak mencurinya, maka kita pertahankannya..

Islam dan Iman itu lebih WAJIB di pertahankan dik.. kita nak kembali kepada Allah dalam keadaan muslim yang mukmin..insya Allah, amin.."

adikku mengangguk dalam keadaan kesedihan..

aku bertanya, "kenapa dik sedih ni?"

adikku menjawab, "hebat dua pemuda yang abang ceritakan tadi, mereka mempunyai Iman yang tinggi, kecintaannya kepada Islam dan Iman melebihi daripada kesakitan yang dirasai.. subhanallah, hebatkan bang.. mereka mendapat Iman dan Islam dalam keadaan susah di ketika itu, namun mereka pertahankannya dengan nyawa mereka sepenuhnya, subhanallah.. dan adik pula, dah dapat, tetapi merungut pula.. astaghfirullah"..

aku tersenyum, "dah lah dik, hal dah lepas, adik merungut tu yang dah lepas, sekarang, bangkit balik, hargai Iman dan Islam yang dikurniakan oleh Allah, pertahankannya dik, insya Allah, andai mati selepas ini, abang doakan adik mati dalam keadaan husnul khatimah iaitu mati dalam keadaan baik, amin"..

adikku menjawab, "amin"..


wallahua'lam..

Sabtu, 14 Mei 2011

Syeikh Faisal al-Mawlawi رحمه الله

سم الله الرحمن الرحيم


Pada hari Ahad, 8hb. Mei 2011 lalu, telah meninggal dunia Syeikh Faisal Mawlawi pemimpin al-Jama’ah al-Islamiyyah di Lubnan pada usia sekitar tujuh puluh tahun. Faisal Mawlawi adalah seorang qadhi, faqih, penasihat, pemikir dan pendakwah Islam. Namanya sudah masyhur dikenal di Lubnan, malah dunia Arab, Islam dan juga Eropah.

Beliau adalah kelahiran tahun 1941 di bandar Tarabulus, Lubnan, dan merupakan salah seorang aktivis Islam yang paling menonjol di Lubnan. Beliau pernah menjadi ketua Persatuan Pendidikan Islam, Lubnan, berkhidmat sebagai setiausaha am bagi al-Jama’ah al-Islamiyyah, Lubnan, presiden Bait al-Da’wah wa al-Du’at sejak ia ditubuhkan pada tahun 1990 dan juga ahli jawatankuasa pengurusan Persidangan Islam Nasional

Syeikh Mawlawi telah menamatkan pengajian undang-undang di Fakulti Undang-Undang di Universiti Lubnan, dan pengajian Syariah Islam di Fakulti Syariah di Universiti Dimasyq Syria. Beliau telah menerima sarjana muda undang-undang dari Universiti Lubnan, Fakulti Undang-undang dan Sains Politik pada tahun 1967, sarjana muda Syariah Islam dari Universiti Dimasyq, Fakulti Syariah pada tahun 1968, dan sijil pengajian lanjutan dari Universiti Sorbonne di Paris. Beliau juga pernah meraih anugerah penceramah Islam terbaik dari Majlis Antarabangsa Pemuda Islam di Riyadh.

Allahyarham telah menjawat pelbagai jawatan, antaranya sebagai hakim syar’i di Lubnan pada tahun 1968, dan kemudian bertukar-tukar tugas antara mahkamah-mahkamah syariah rendah di Rasyaya, Kemudian dilantik sebagai penasihat di Mahkamah Syariah Tinggi di Beirut pada tahun 1988 dan terus tetap dengan jawatan tersebut sehinggalah beliau bersara pada tahun 1996. Beliau memegang gelaran "hakim kehormat dengan pangkat penasihat". Syeikh Faisal Mawlawi telah mengasaskan di Perancis Kesatuan Islam dan Kolej Pengajian Islam Eropah, dan menjadi mursyid agama bagi Kesatuan Organisasi-organisasi Islam di Perancis dan kemudian di Eropah sejak tahun 1986 sampailah beliau meninggal dunia.

Beliau turut memberikan sumbangan dalam pembentukan Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah di United Kingdom pada bulan Mac 1997, di bawah pimpinan Syeikh Yusuf al-Qaradawi. Beliau dipilih oleh Majlis Antarabangsa Pemuda Muslim sebagai pendakwah Islam terbaik di Eropah dan dianugerahkan dengan anugerah kehormatan. Beliau menjadi dekan pengasas bagi Kolej Pengajian Islam Eropah di Perancis sejak ditubuhkan pada tahun 1990. Ia adalah sebuah institusi bagi pengajian Islam yang bertaraf universiti dan dikhususkan untuk golongan muslim Eropah. Beliau terus dengan jawatan tersebut sehingga tahun 1994. Semasa meninggal dunia, beliau masih sebagai naib presiden Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah.

Di antara buku-buku yang ditulisnya ialah:
  1. تيسير فقه العبادات (tentang fiqh ibadah)
  2. دراسات حول الربا والمصارف والبنوك (tentang riba dan perbankan)
  3. أحكام المواريث، دراسة مقارنة (tentang fara’idh)
  4. الأسس الشرعية للعلاقات بين المسـلمين وغير المسلمين (tentang hubungan antara Muslim dan non-Muslim)
  5. نظام التأمين وموقف الشريعة منه (tentang insurans).
  6. سلسلة مبادئ التربية الإسلامية للمرحلة الابتدائية (Siri Asas-Asas Pendidikan Islam Peringkat Rendah - 5 juzuk)
  7. سلسلة التربية الإسلامية للمرحلة المتوسطة (Siri Pendidikan Islam Peringkat Menengah - 4 juzuk)
  8. موقف الإسلام من الرقّ (Pendirian Islam terhadap perhambaan)
  9. نبوّة آدم (Kenabian Adam)
  10. المرأة في الإسلام (Wanita dalam Islam)
  11. حكم الدواء إذا دخل فيه الكحول (tentang hukum ubat beralkohol)
  12. السلام على أهل الكتاب (Salam ke atas Ahli Kitab)
  13. المفاهيم الأساسية للدعوة الإسلامية في بلاد الغرب (tentang asas-asas dakwah di negara-negara Barat)
  14. أثر انهيار قيمة الأوراق النقدية (Kesan keruntuhan nilai wang kertas).
Rujukan:
  1. almoslim.net
  2. alrabita.info
رحمه الله تعالى
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...