Ukhwah Islamiyyah

Sabtu, 25 Februari 2012

Zainab al-Ghazali : Permata Dakwah Yang Berkilau Di Era Jatuhnya Islam

Zaynab al-Ghazali bukanlah seperti wanita biasa. Seperti Aisha Abdul Rahman, beliau merupakan rakyat Mesir dan mempertahankan hak-hak wanita Islam berdasarkan apa yang diyakini beliau sebagai fahaman Islam yang betul.

Beliau dilahirkan di Al-Bihira pada tahun 1917 di dalam keluarga yang terhormat, keturunan Umar al-Khattab dan al-Hasan bin Ali bin Abi Talib.

Ayah beliau juga merupakan lulusan al-Azhar. Beliau lebih terkedepan sebagai pejuang dan aktivis Islam daripada seorang yang ulama’.

Sewaktu mudanya, beliau aktif dalam pergerakan feminis, dan menyertai Kesatuan Wanita Mesir (Egyptian Feminist Union) yang diasaskan oleh Huda as-Syarawi pada tahun 1923.

Beliau telah keluar daripada persatuan itu disebabkan tidak bersetuju dengan idea dan landasan perjuangan gerakan pembebasan wanita.

Pada umur 18 tahun (1936), beliau mengasaskan Persatuan Wanita Islam untuk menguruskan hal-ehwal dan akitiviti-aktiviti wanita berlandaskan ajaran Islam dan tujuan ke arah Islam.

Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Hasan al-Banna pada 1928 mempunyai perancangan untuk mengasaskan sayap wanita di dalam pertubuhannya. Hasan al-Banna telah meminta beliau untuk mengetuai bahagian wanita dalam Ikhwan Muslimin.

Beliau dan persatuannya menolak tawaran ini tetapi menyatakan persetujuan untuk memberikan kerjasama. Setelah Ikhwan Muslimin dibubarkan pada tahun 1948, Zaynab al-Ghazali telah berbaiah kepada Hasan al-Banna pada tahun 1949 untuk menyokongnya dan bersama memperjuangkan sebuah daulah Islam.

Malangnya Hasan al-Banna telah gugur syahid tidak lama setelah itu. Kesedihan hati Zaynab telah tercoret dalam bukunya yang masyhur, Hari-hari Dalam Hidupku.

Beliau menyambung perjuangan dan mengotakan baiahnya kepada pemimpin Ikhwan Muslimin yang menggantikan Hasan al-Banna iaitu Hasan al-Hudhaibi.

Beliau menyertai dan bersama dengan ahli Ikhwan Muslimin terutama apabila Ikhwan Muslimin diharamkan dan mereka terpaksa bergerak secara rahsia di bawah pemerintahan Jamal Abdul Naser sekitar tahun 1950-1960an.

Dalam satu temuramah dirumahnya di Heliopolis, Mesir pada tahun 1981, Zainab al-Ghazali berkata:

“Islam telah menyediakan segala-galanya untuk lelaki dan perempuan. Islam memberikan wanita semuanya-kebebasan,hak ekonomi,hak politik,hak social, hak awam dan juga hak persendirian. Islam telah memberikan hak-hak wanita di dalam keluarga lebih daripada persatuan dan agama lain. Wanita boleh berkata tentang kebebasan wanita dalam masyarakat Kristian,Yahudi dan juga masyarakat pagan, tetapi dalam masyarakat Islam adalah satu kesilapan besar untuk berkata tentang kebebasan wanita. Wanita Muslim perlu mempelajari Islam supaya mereka tahu Islam telah memberikan mereka semua hak-hak mereka.”

Inilah intipati pemikiran Zainab al-Ghazali berkenaan dengan status wanita seperti yang selalu diluahkan dan disampaikan beliau dalam ceramah-ceramah beliau dan juga karya-karya beliau di dalam majalah al-Da’wa, dimana beliau merupakan editor sebuah ruangan untuk pembangunan rumah tangga Muslim yang sebenar.

Perkara utama dalam perjuangan beliau adalah pentarbiyahan, iaitu untuk memberi kefahaman Islam di dalam pemikiran wanita, mendidik mereka tentang hak-hak dan tanggungjawab mereka dan mengubah masyarakat untuk membina sebuah daulah Islamiah yang berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw.

Zainab al-Ghazali menyakini bahawa Islam membenarkan wanita untuk bergiat aktif dalam hal sosial, memegang jawatan, memasuki politik dan juga memberi pendapat.

Beliau percaya Islam membenarkan wanita memiliki harta, menguruskan perniagaan dan apa sahaja yang mereka mahu dalam perkhidmatan masyarakat Islam.

Beliau berpendapat tugas utama wanita Muslimah ialah menjadi ibu dan isteri. Oleh itu, tiada tanggungjawab lain yang boleh mengatasi tanggungjawab ini.

Jika wanita itu mempunyai masa luang untuk menyertai aktiviti kemasyarakatan setelah tugasnya sebagai ibu dan isteri telah dipenuhi, maka dia boleh berbuat demikian kerana Islam tidak melarang perbuatan tersebut.

Zainab al-Ghazali sangat meyakini tanggungjawab agama dan sosial apabila berkahwin. Pada perkahwinan beliau yang pertama, suami beliau tidak bersetuju untuk membenarkan beliau bergiat aktif dalam perjuangan Islam.

Dengan sebab itu, beliau telah meminta cerai daripada suaminya kerana pra-syarat yang diletakkan oleh beliau sebelum berkahwin adalah membenarkan beliau memperjuangkan Islam.

Suami beliau yang kedua memahami semangat dan gagasan perjuangan beliau dan melibatkan diri dalam penulisan untuk menyokong beliau dan sama sekali tidak menghalang beliau dari perjuangan.

Didalam buku ‘Hari-hari dalam Hidupku’ (Ayyam min Hayati) beliau mengisahkan bagaimana suami beliau walaupun sangat bimbang akan diri beliau tetapi terus menerus menyokong perjuangan suci beliau.

Zainab al-Ghazali juga menekankan beliau tidak akan mengabaikan tanggungjawab kepada suami dan keluarga beliau walaupun beliau Amirah sayap wanita Ikhwan Muslimin.

Tanggungjawab beliau yang berat itu menyebabkan beliau perlu bekerja pada waktu yang panjang di pejabat beliau dan aktiviti bersama Ikhwan Muslimin.

Setelah kematian suaminya yang kedua, beliau masih di dalam penjara. Beliau merasakan tanggungjawabnya terhadap perkahwinan telah selesai dan beliau bebas untuk mengorbankan seluruh masanya untuk perjuangan Islam.

Sebagaimana pejuang-pejuang Islam yang lain, beliau juga kecewa dengan revolusi Mesir 1952 yang didokong mereka pada mulanya dan akhirnya pejuang Islam telah dikhianati oleh Jamal Abdul Naser.

Zainab al-Ghazali menyatakan bahawa regim Jamal Abdul Naser adalah musuh kepada Islam. Setelah beberapa tokoh Ikhwanul Muslimin ditangkap dan dihukum mati dan ramai dipenjara, beliau mendahului pergerakan untuk menolong isteri, janda dan keluarga pejuang yang telah dibunuh dan dipenjarakan.

Walaupun dipenjara, beliau meningkatkan usaha tarbiyyah secara rahsia diketuai oleh pimpinan Ikhwan Muslimin. Dalam tahun 1962, beliau dapat berhubung dengan Sayyid Qutb melalui dua orang adik Sayyid Qutb dan menerima tulisan beliau berkenaan perjuangan Islam dan tafsir al-Quran dan hadith serta syariah Islam.

Beliau juga menerima sebahagian dari buku yang dikarang oleh Sayyid Qutb dalam penjara yang kemudian diterbitkan dengan judul Ma’alim Fit-Tariq (Petunjuk Sepanjang Jalan).
Tulisan dan petunjuk daripada Sayyid Qutb di dalam penjara dan juga ayat-ayat al-Quran akan dipelajari dalam satu kumpulan terdiri daripada lima hingga sepuluh pemuda yang berjumpa pada waktu malam di rumah Zainab ataupun tempat lain.

Perbincangan, pandangan dan pendapat diutarakan di dalam pertemuan tersebut. Dengan persetujuan Sayyid Qutb dan pimpinan Ikhwan Muslimin, keputusan untuk menjalankan program tarbiyyah selama 13 tahun sepertimana zaman Rasulullah saw di era Mekah.

Apabila tempoh ini berakhir, maka studi dan kajian akan dibuat adakah sekurangnya 75% daripada rakyat Mesir sudah yakin dengan keperluan adanya daulah Islam dan membangunkannya.

Jika ianya terjadi maka gerak kerja menubuhkan daulah Islam akan dilakukan dan jika belum lagi mencapai tahap tersebut, program pentarbiyahan akan dilakukan semula selama 13 tahun lagi sehingga sehingga rakyat bersedia untuk membina daulah Islam, menerima pakai undang-undang syariah Islam dan menegakkan hukum Islam berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw.

Apabila kerajaan Mesir berasa curiga dengan perkumpulan rahsia dan matlamat mereka ini, Ikhwan Muslimin diserbu pada tahun 1965. Ikhwah dan akhawat pergerakan Ikhwan Muslimin semuanya ditangkap dan dipenjarakan.

Zainab al-Ghazali adalah salah seorang daripada mereka. Jemaah wanita Ikhwan Muslimin dibubarkan. Beliau dibicarakan bersama sahabiah yang lainnya pada tahun 1966 dan dihukum penjara seumur hidup dengan kerja berat.

Satu hukuman yang tidak masuk akal bagi seorang wanita. Namun pada tahun 1971 beliau telah dibebaskan apabila kematian Jamal Abdul Nasir dan Anwar Sadat mengambil alih tampuk pemerintahan.

Setelah itu, beliau terus sahaja meneruskan perjuangan beliau tanpa mengenal penat lelah dalam mendaulatkan Islam dibumi Mesir.

Beliau merupakan wanita yang terkemuka setelah jatuhnya khilafah Islamiah di Mesir. Beliau tidak mempunyai anak dan segalanya hidupnya diserahkan kepada perjuangan Islam.

Beliau juga menjadi sanjungan dan pendorong kepada perjuangan wanita di seluruh dunia. Beliau dihormati oleh kawan dan lawan, malah disegani oleh tokoh-tokoh ulama’ kerana perjuangannya yang luar biasa.

Zainab al-Ghazali kembali ke rahmatullah pada hari Rabu 3 Ogos 2005 di kala umur beliau 88 tahun. Ternyata umur yang panjang yang dianugerahkan Allah pada beliau telah digunakan tanpa sia-sia sedikitpun, semuanya dikorbankan demi menegakkan agama Allah yang mulia.

Beliau terus menjadi idola dakwah kepada pejuang-pejuang Islam di seluruh dunia. Beliau juga menjadi bukti kukuh bahawa sebenarnya Islam mampu membina wanita yang berjuang untuk Islam.

Sejarah hidup beliau persis hidup srikandi di teratak Rasulullah saw. Jadi tidaklah salah jika kita menggelarnya sebagai Ummul Mujahidah pada masa kini.

Moga Allah mencucuri rahmat yang melimpah ruah kepada beliau dan menjadikan beliau di kalangan para siddiqin,amilin dan mujahidin.

sumber: Dakwah.Info

Nikmat Lisan

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah syukur pada Allah atas limpah rahmatNya pada ummat manusia. Betapa banyak salah silap yang kita lakukan selama ini, namun atas kasih sayang Allah jualah kita masih diberi peluang untuk bernafas di bumi milik-Nya. Manusia adalah makhluk Allah yang istimewa, dibekalkan dengan pelbagai anggota yang memudahkan penghidupan seharian kita. Hari ini saya terfikir tentang sejauh mana saya menggunakan nikmat anggota yang satu ini iaitu lidah.

Mungkin kita sudah sedia maklum betapa pentingnya lidah dalam kehidupan kita. Setiap kata-kata yang terucap melahirkan perasaan dan gerak hati kita. Namun, kadangkala saya terfikir, banyak sudah saya berkata-kata, namun sebanyak mana pula kata-kata itu bermanfaat andai bukan untuk orang lain, untuk diri saya sendiri. Berapa peratusannya yang berguna, berapa pula yang hanya sia-sia. Seringkali kita banyak berbicara, terus petah dan rancak berborak, namun adakah perbualan itu melahirkan rasa taqarrub pada Allah? Pernahkah kita bermuhasabah memikirkan setiap kata-kata yang telah terungkap?

Marilah sama-sama merenung persoalan di bawah:

Sedarkah kita selama ini kita banyak berbicara?
Pernahkan kita terfikir adakah kata-kata kita pernah menyakitkan hati orang lain?
Adakah kita pernah memburukkan orang lain?
Adakah kita berfikir terlebih dahulu sebelum berbicara?

Sahabat-sahabatku,

Apa yang kita ucapkan sebenarnya mencerminkan diri kita. Pemilihan kata-kata menunjukkan akhlak kita. Baginda Nabi SAW adalah contoh terbaik insan yang sopan berbicara dan bijak berkomunikasi. Baginda pandai menyesuaikan diri bukan sahaja ketika berbicara dengan orang dewasa, malahan bijak berbual dengan kanak-kanak. Kata-kata yang sopan itulah wajar kita contohi. Bila memikirkan banyaknya kata sia-sia yang terungkap menyebabkan saya malu dengan diri sendiri. Anggota yang sepatutnya basah dengan zikir kepada Allah, kadangakala tidak dimanfaatkan sebaiknya. Namun, saya bersyukur lahirnya kesedaran untuk membetulkan. Pastinya kita manusia sering lalai, maka bersyukurlah andai kesedaran lahir dalam diri. Lidah ciptaan Allah mampu menjadi medium untuk kita mencapai keredhaan-Nya dan pada masa yang sama mampu membawa kepada kemurkaan-Nya, nauzubillah. Berapa ramai ummat manusia yang tersalah menggunakan kurniaan ini contohnya dengan memfitnah dan mengumpat orang lain. Ada juga yang menggunakan kelebihan suara yang merdu untuk dipersembahkan kepada yang tidak selayaknya.

Di sini saya ingin mengajak diri sendiri dan sahabat-sahabat sekalian untuk sama-sama memanfaatkan lidah untuk kebaikan bagi diri sendiri dan orang lain. Antara amalan yang boleh dilakukan ialah:

1) berzikir, berselawat
2) membaca Al-Quran dan mentadabbur maknanya
3) menyampaikan ilmu yang bermanfaat; tidak semestinya ilmu agama sahaja
4) menyampaikan nasihat untuk kebaikan
5) berdoa sebanyak-banyaknya

Sahabat-sahabatku,

Berapa ramai di antara manusia yang akan dicampakkan ke dalam neraka akibat dosa lidah mereka. Jelas menunjukkan bahawa lidah ini bahaya andai tidak dijaga sebaiknya. Ia ibarat pedang yang mampu membunuh, maka wajar untuk kita menyarungnya dan meletakkannya pada tempat yang betul agar tidak mencederakan. Diam itu lebih mendamaikan andai berbicara hanya menyakitkan. Beruntunglah andai kita tergolong dalam golongan yang banyak berfikir berbanding berbicara yang sia-sia. Merugilah andai kita hanya petah berbicara, namun kata-kata yang terungkap tidak berisi dan tidak menambah keimanan kita kepada-Nya.

Akhirnya, saya menyeru agar kita berubah untuk menjadi insan yang setiap butir yang terluah itu menyenangkan dan mendamaikan orang di sekitar bukan melahirkan rasa benci dan menyakitkan hati semata-mata. Percayalah ucapan yang baik mampu melahirkan impresi yang baik kepada kita seterusnya melahirkan ukhwah sesama insan. Mulakan kini, gunakan perkataan yang sopan, guna pada tempat yang betul dan intonasi yang tepat. Jadikan lidah anggota yang dapat menambah keimanan kita kepada Allah, InsyaAllah. Sekadar mengingatkan diri yang lupa jua.

Diam lebih baik dari berbicara yang sia-sia!

Kerana pulut santan binasa.
kerana mulut badan binasa.
Begitulah pepatah yang menggambarkan
betapa mulut dapat memberi kesan
kepada pelakunya.

Nikmat lisan yang dikurniakan
Allah hendaklah digunakan
dengan sebaik-baiknya, iaitu
menyeru yang makruf dan
mencegah yang mungkar.

Ingatlah, lisan itu
juga dapat menjadi
tiket untuk ke syurga!.

Wallhua'lam.

Khamis, 16 Februari 2012

Mengorbankan Kepentingan Peribadi

بسم الله الرحمن الرحيم

Kepentingan sendiri tidak diingini
Bahagia kekasih itulah yang diharapi..


Ini adalah bait-bait yang saya petik daripada lagu P.Ramlee. Kali ini saya nak menulis tentang mengorbankan kepentingan sendiri demi kebahagiaan Kekasih.

Kekasih yang ingin saya highlightkan di sini ialah Allah dan Rasul, secara langsung berkait dengan agama dan ummah. Ibubapa juga adalah sebahagian daripada kekasih, yang kita harapkan kebahagiaannya. Saudara-saudara seagama kita juga adalah kekasih-kekasih kita. Jika kita inginkan kebaikan dan ganjaran yang besar, kita harus siap mengorbankan sesuatu yang bersifat peribadi demi meraih keredhaan Kekasih tadi. Beratnya, tidak dapat disangkal. Namun, untuk suatu jangka masa yang lebih panjang, kita akan mampu merasai hikmah dan kebahagiaan dalam kehidupan. Yakinlah akan perkara ini. Kerana sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan sesuatu amalpun yang dilakukan semata-mata demi meraih redha-Nya. Dan ingatlah, redha Allah bersama redha kedua ibubapa.

Banyak kepentingan peribadi yang ingin kita tunaikan, berkait dengan apa yang kita sendiri impikan dan harapkan dalam segenap aspek kehidupan. Ia tentang kehendak hati kita, impian kita, harapan kita. Bukan berkait dengan kepentingan Allah dan Rasul, ibubapa, ummah, atau apa saja yang terkait dengan harapan dan keperluan pihak lain.

Dalam bab bernikah misalnya, kita mungkin punya keinginan yang sangat kuat untuk menikahi seseorang, namun ibubapa kita mungkin tidak bersetuju atau tidak mampu berlapang dada dengan pilihan hati kita, bahkan mungkin menentang. Maka dalam soal ini, kepentingan peribadi kita telah bertentangan dengan kehendak ibubapa. Contoh lain, kita mungkin nak pergi jauh untuk mengejar cita-cita, namun dakwah memerlukan kita untuk berada di sesuatu kawasan demi kepentingan dakwah, maka kita punya pergeseran antara kepentingan peribadi dan dakwah. Mungkin juga kita punya banyak wang yang ingin dibelanjakan untuk mendapatkan kemewahan-kemewahan duniawi, namun perjuangan memerlukan dana yang besar untuk kita infaqkan.


Dalam sejarah perjuangan Islam, banyak siri-siri pengorbanan kepentingan diri demi meraih redha Allah. Ketika muhajirin dan ansar disaudarakan, ada yang menawarkan isterinya kepada saudaranya, dan sanggup menceraikan salah satu daripada dua isteri untuk dinikahkan dengan saudaranya. Sehingga begitu sekali tahap pengorbanan yang dipaparkan. Allah merakamkan tahap itsar (mengutamakan orang lain lebih daripada diri sendiri) tersebut dalam Al-Quran:

"Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya." (Al-Hasyr: 9)

Dalam kisah lain yang begitu mahsyur tentang 3 sahabat yang syahid dalam sebuah peperangan, mereka menidakkan air untuk dirinya demi mendahulukan sahabat yang lain di sebelah yang mengerang kesakitan. Akhirnya satu persatu syahid bertemu Allah, dalam sebuah episod pengorbanan yang agung.

Mus'ab Umair mengorbankan masa mudanya di jalan dakwah, sehingga dakwahnya meliputi seluruh Madinah. Abu Bakar mengorbankan seluruh hartanya demi Allah dan Rasul. Contoh terdekat di zaman ini, para pejuang di Palestin mengorbankan diri mereka untuk pembebasan Al-Aqsa. Tidakkah mereka juga punya kepentingan peribadi? Keinginan untuk memiliki sebuah kehidupan seperti yang diimpikan? Namun semua itu menjadi kurang penting, kerana mereka telah mengorbankannya demi sebuah matlamat yang lebih besar dan penting.

Sehingga ke hari ini, pernahkah kita sendiri mengorbankan kepentingan peribadi, demi kepentingan agama Allah dan Rasul? In contrast, berapa banyak pula kepentingan agama Allah dan Rasul yang telah kita korbankan demi meraih kepentingan peribadi? Hanya kita yang tahu sejauh mana pengorbanan kita, dan Allah pasti tidak akan lengah atas apa yang kita kerjakan.

Banyak perkara yang kita lalui dalam hidup ini, yang memerlukan kita mengorbankan kepentingan peribadi, demi matlamat lain yang lebih besar. Kita harus korbankan keinginan dunia demi kebahagiaan yang kekal di akhirat. Jika kita berusaha untuk ikhlas dengan pengorbanan tersebut, maka Allah akan mempermudahkan jalan bagi kita dan memenuhi tuntutan-tuntutan peribadi yang lain yang mungkin kita belum nampak. Jika bukan di atas muka bumi ini, di akhirat Insya-Allah.

"Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata." (Al-Ahzab: 36)


Memang sukar, kerana laluan ke syurga itu bukan mudah. Kita tidak dihamparkan dengan kesenangan dan carpet merah. Jika insan agung iaitu Rasulullah sendiri melalui sebuah kehidupan yang sukar, apakah kita merasa cukup dengan bersenang-senang untuk meraih syurga? Sekali lagi, memang sukar kerana saya sedang bercakap tentang mengorbankan apa yang kita nak. Selagi ruh perjuangan tidak dihayati dalam diri seseorang, tak mungkin kita mampu memahami hakikat ini, dan bersedia melaksanakannya.

Dalam banyak keadaan, memahami itu lebih mudah daripada melaksanakan. Cubalah laksanakan, insya-Allah, kefahaman itu akan terpahat dalam diri kita. Mudah-mudahan Allah memberikan keteguhan hati kepada kita.


Buktikan keimananmu!


Wallahua'lam.

Sabtu, 11 Februari 2012

12 FEBRUARI 1949

بسم الله الرحمن الرحيم
Hari ini, tarikh kematian As Syahid Imam Hassan Al Banna. Siapakah Hassan Al Banna? Mungkin kalian boleh saja search di internet atau klik saja di sini.

Hampir 64 tahun Hassan Al Banna meninggalkan kita. Adakah roh perjuangannya masih sebati dengan diri kita? Adakah jejak langkah perjuangannya kita teruskan? Ataupun kisah perjuangannya kita soroti dan praktiskan?

Jika isu ummah pun kita tidak cakna, usah kita katakan, kita mencintai perjuangan. Lihat di bawah ini, isu Syria. Malu untuk aku katakan padamu, as syahid.. kamilah pejuang kerana hakikatnya kami bukanlah pejuang. Kami pengecut!



*****

Mari sama-sama kita hayati hari yang penuh bersejarah ini. Dunia telah kehilangan seorang permata perjuangan yang sangat hebat. As Syahid Imam Hassan Al Banna. Ya Allah.. Kau berilah kami kekuatan dan semangat perjuangannya kepada kami.

Kami perlukan kekuatan. Kami perlukan semangat. Meneruskan perjuangan yang penuh mehnah ini. Bantulah kami untuk cakna isu ummah Ya Allah..


Jawatankuasa Penyelaras Tempatan bagi Revolusi Syria : Angka rasmi kematian di sebelah rakyat Syria pada Jumaat "Russia Bunuh Kanak-Kanak Kami" semalam ialah 105 orang, 95 daripadanya adalah di wilayah Homs..Hingga semalam, sudah 400 kematian dilaporkan sejak rejim menggempur Homs sejak Sabtu lalu..Hasbunallahu wani'mal wakil.

Seorang pemuda, Abdul Manan As-Syaqhabi memandikan jenazah rakannya yang terkorban di Bab Hud. Lima hari kemudian, As-Syaqhabi pula menemui ajal di muncung senapang tentera rejim Basyar.
Kanak-kanak kecil ini tidak sepatutnya menjadi korban kepada kezaliman rejim Basyar jika mereka mempunyai sifat perikemanusiaan.. Tetapi Marwah 'Adil Bahar tiada pilihan lain kecuali mati mulia dengan pisau sembelihan tentera Basyar..Hasbunallahu wani'mal wakil.

[Sucinya wajah anak kecil ini, meskipun hanya kepala yang tinggal, Allah...]

Imej dari udara ini dirakamkan bukan pada peperangan negara umat Islam dengan Israel tetapi kelengkapan perang yang digunakan oleh rejim Syria menggempur rakyat di Homs pada waktu ini..Pelancar roket dan bom! Hasbunallahu wani'mal wakil.
Kering air mata untuk ditangisi, tiada kalimah yang mampu dituturkan, hanya sekeping kertas dan pena menulis "Wahai orang-orang yang mulia di dunia; Jika kalian tidak dapat membantu kami, maka kasihanilah kami.."

Kalau di Mesir, Mubarak mengupah 'baltojiyah' atau perusuh yg akan menggempur Tahrir atau himpunan pro-demokrasi bertujuan menghalang kebangkitan rakyat sementara di Syria pula, rejim Basyar telah mengupah golongan'Syabih' atau tali barut bg membunuh rakyat dgn tanpa belas kasihan ..Inilah rupa antara 'syabih' mereka..Siap ada tatoo..Mereka ini akan berpakaian biasa dan akan masuk ke dalam demonstrasi rakyat lalu membunuh dari dalam perhimpunan..

Pemimpin tertinggi Syiah Iran, Ayatullah Ali Khomeini memberikan fatwa bahawa Iran menghadapi revolusi kedua (selepas berjaya revolusi pertama 1979 yg menggulingkan Shah Iran)..Katanya, revolusi kedua ini berbeza kerana ia tercetus di Syria dan yang kedua, wajib bagi Iran bersama-sama mempertahankan kerajaan Syria, bukan rakyat seperti revolusi kali pertama dulu..

Syiah mengambil kesempatan untuk bergabung menghapuskan Sunni.
Pembongkaran : Gambar ini diambil sejurus selepas tentera Israel berjaya memasuki Lubnan awal tahun 80-an..Tentera Israel membawa potret Hafez Al-Asad, bapa Basyar hari ini dan meraikan kejayaan menakluki Lubnan..Ya, jika tidak kerana usaha Hafez Al-Asad maka Lubnan dan Bukit Golan tidak akan dapat ditakluki oleh Israel dgn mudah.
Mari sama-sama kita baca doa ini setiap detik, setiap hari hingga Basyar dijatuhkan oleh ALLAH..Kita masih ada ALLAH sementara Basyar hanya bergantung kepada Russia, China dan Iran yang juga makhluk ALLAH..Harap baca dengan penuh yakin bahawa doa kita akan diperkenankan oleh-Nya..

Syeikh Dr.Yusuf Qardhawi berucap di Doha, Qatar berkaitan Syria : "Saya bersumpah dengan nama ALLAH Yang Maha Agung bahawa pertolongan semakin hampir, kemenangan semakin dekat, bahawa kita bakal meraikan kemenangan kita di Syria dan menyeru kepada tentera (Syria) agar berada bersama-sama rakyat."


P/s : sama-sama solat hajat untuk Umat Islam Syria.


Qani’ah Mawaddah
Sakan Yarmouk
1.36 pm
12 Februari 2012

Khamis, 9 Februari 2012

Betapa Sayangnya Rasulullah Kepada Kita....

بسم الله الرحمن الرحيم

Boleh dengar nasyid Wahai Kekasih-Nazrey Johani sambil baca ni.

Suatu ketika, Rasulullah s.a.w dalam keadaan kelaparan. Nabi betul-betul lapar. Dikhabarkan sudah sebulan nabi tidak makan, pagi atau tengahari. Sekiranya baginda dapat makan, baginda akan makan hanya sekali sehari sahaja dan selalu dalam kelaparan. Disebabkan laparnya nabi, baginda tidak boleh melelapkan matanya. Walaupun perut baginda sudah diikat dengan batu, baginda masih lagi lapar. Dalam keadaan gelisah itu, baginda bangun dan tunaikan solat dua rakaat. Selesai solat, baginda mengangkat kedua-dua belah tangan dan berdoa kepada Allah s.w.t.;

“ Ya Allah, aku lapar ya Allah”
“Aku lapar ya Allah”


Akhirnya setelah selesai Nabi berdoa, turun malaikat.
Malaikat berkata ;

“Ya Muhammad, Allah perintahkan minta apa sahaja yang engkau hendak minta”
”Apa sahaja yang engkau minta, Allah kabulkan. Hatta menjadikan gunung-gunung menjadi emas”

Tiba-tiba Rasulullah s.a.w. menjawab :
” Ya Allah, aku minta satu ya Allah, walaupun aku lapar, aku minta satu ya Allah, JANGAN ADA SATU DARI UMATKU MASUK KE DALAM NERAKA....aku sayang umatku ya Allah”

Sahabat muslimin dan muslimat...
Pernah kita fikir selama ini adakah kita jalankan segala saranan Rasulullah??
Pernah kita fikir pengorbanan baginda???
Pernah kita ada rasa untuk mencintai baginda???

Pernah kita hargai betapa sayangnya baginda pada kita???
Betapa baginda mendoakan kita walaupun terpaksa kelaparan???

Tika sakaratul mautnya.....
Perkataan apa yang keluar dari mulut baginda???
Ummati...ummati...ummati....

YA ALLAH...
tiada kata yang bisa keluar dari mulut ini...
tiada ungkapan yang dapat digantikan dengan betapa kasihnya Rasullullah pada umatnya..

Betapa besar cinta Rasulullah kepada kita, tetapi sedetik pun kita tak rasa cinta kepada Rasulullah, langsung tidak rasa bersalah apabila meninggalkan sunnah baginda..

"Ya Allah, kau tanamkanlah rasa cinta ku kepada Mu dan Rasul-Mu".. Tak dapat bayangkan macam mana perasaan para sahabat ketika nabi wafat. Tapi kita sekarang, tak rasa sedih langsung walaupun Rasulullah telah meninggalkan kita.

tak dapat nak teruskan penulisan....
sebak...

Selasa, 7 Februari 2012

Benarkah Kita Mencintai Rasulullah S.A.W.?

بسم الله الرحمن الرحيم

Sambutan Maulidur Rasul yang baru sahaja di sambut oleh umat Islam seluruh dunia menjadi salah satu hari kebesaran Islam yang disambut meriah di negara ini. Walaupun Nabi Muhammad SAW telah meninggalkan kita sejak kira-kira 1433 yang lalu, tetapi dengan cinta kasih kita kepada baginda serta sunnah baginda, maka kita merasakan seolah-olah baginda masih hidup berada bersama kita.

Nabi Muhammad adalah satu-satunya Rasul yang telah menyelesaikan tugas dan menyempurnakan amanah pekerjaan sewaktu hayat baginda. Baginda telah membawa kepada kita risalah Allah dengan dua cara:

Pertama: menyampaikan perintah dan panduan Allah SWT melalui wahyu Qur’ani;

Kedua: menghidupkan wahyu-wahyu Allah dengan sempurna melalui perbuatan, perkataan dan pengakuannya atau apa yang dinamakan sebagai sunnah nabawiyah.

Kemuliaan akhlak Rasulullah SAW sebagaimana yang dicerminkan di dalam al-Quran, wajib di ambil tauladan secara mutlak dan di taati oleh manusia sepanjang kehidupan ini. Firman Allah SWT di dalam Surah at-Taghaabun, ayat 12 yang bermaksud:

“Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu berpaling, maka sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah Allah) dengan jelas nyata”.

Berdasarkan ayat diatas, Allah SWT menegaskan bahawa perintah mentaati Rasulullah SAW adalah bererti mentaati Allah SWT; dan mengingkari baginda bererti juga mengingkari Allah SWT.

Bukti penegasan ‘taat kepada Rasulullah’ ini terdapat di dalam kalimah syahadah. Kalimah ini mensyaratkan bahawa seseorang tidak boleh menganut Islam jika hanya mengaku beriman kepada Allah SWT tanpa mengakui kerasulan Nabi Muhammad SAW. Ini menggambarkan satu istinbat mutlak bahawa makna mencintai Rasulullah SAW adalah dengan mentaati keseluruhan ajaran baginda. Pada masa sama ia membawa kita mencintai Allah SWT. Oleh itu, beriman kepada para Rasul Allah adalah wajib dan menjadi tunjang kekuatan akidah Islam. Sesiapa yang mengingkari perintah Rasul bererti dia keluar dari lingkaran keimanan.

Selari dengan ikrar yang kita lafazkan dalam syahadah, maka menjadi tanggungjawab umat Islam sekalian bahawa semua ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW hendaklah dipatuhi dan diamalkan. Jika kita mengabaikan pelaksanaan perintah-perintah Allah dan suruhan Rasul-Nya, maka Allah akan jauh daripada kita. Ini bererti iman kita mulai lemah dan kelemahan iman ini memberi ruang kepada musuh Allah dan syaitan mendekati bahkan mempengaruhi kita dalam membuat keputusan.

Oleh itu, tidak menghairankan ada di kalangan umat Islam yang mengaku beriman dengan Allah dan RasulNya, tetapi pada masa sama telah mentafsir Islam mengikut hawa nafsu. Mereka sanggup melakukan tindak-tanduk mengikut kemahuan sendiri dan akhirnya perbuatan tersebut kelihatan janggal, pelik di khalayak ramai. Besarnya pengaruh nafsu dan peranan syaitan dalam kehidupan ini terbukti apabila mereka tanpa segan silu mengutamakan kepentingan diri, mengutamakan kebendaan walaupun nyata bercanggah dengan al-Quran dan sunnah.

Persoalan besar timbul ialah bagaimana bentuk dan pengukuran bahawa kita tergolong orang Islam yang benar-benar mencintai Rasulullah SAW?. Ramai orang mengakui cinta kepada Rasulullah tetapi tidak tahu bentuk dan hakikatnya. Cinta yang jujur akan menggerakkan seluruh perasaan dan kelakuan manusia untuk membuat sesuatu sebagai cermin kehidupannya yang selari dengan ajaran Islam.

Para sahabat dalam membuktikan kecintaan mereka kepada Rasulullah dan sunnahnya telah sanggup berkorban nyawa, rela kehilangan harta kekayaan, anak-anak, ibubapa dan status diri, demi mempertahankan perjuangan suci bersama Rasulullah. Nama-nama besar seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar al-Khattab, Saidina Ali dan ramai lagi para syuhada’ dan golongan solihin baik lelaki dan wanita telah membuktikan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada Rasulullah SAW.

Setiap tahun umat Islam menyambut Maulidur Rasul dalam pelbagai bentuk. Kadangkala sambutan yang dibuat itu mendapat kritikan hebat kerana kualiti keberhasilan natijahnya iaitu sejauhmana sambutan ini dapat menjana peningkatan dalam penghayatan dan ketaatan dalam melaksanakan ajaran yang di bawa oleh Rasulullah SAW. Program Maulidur Rasul ini pada dasarnya adalah sebahagian daripada aktiviti dakwah. Ia bertujuan untuk mentarbiyah, membimbing dan memperingatkan umat Islam agar menghargai apa yang dikurniakan oleh Allah SWT. Salah satu pengajaran itu ialah memperingati perjuangan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang pesuruh Allah yang paling berjaya menegakkan ajaran Allah, Rasul terakhir, tokoh teragong sepanjang abad di dunia dan akhirat kerana membawa perubahan besar kepada lanskap akidah seluruh juzuk hidup manusia di dunia. Malah hingga ke hari ini peribadi suci Rasulullah SAW masih dikagumi musuh-musuh Islam, seolah-olah baginda masih hidup walaupun hampir satu setengah alaf telah meninggalkan kita.

Dengan demikian sambutan Maulidur Rasul yang diberi liputan meluas dalam media cetak dan media elektronik memberi peluang kepada rakyat pelbagai agama di negara ini memperingati seorang insan terpilih, memahami gaya kepimpinan, memahami akhlaknya dan memahami dasar politik, ekonomi dan sosial untuk kita teruskan dan hayati. Hakikatnya sambutan Maulidur Rasul adalah suatu peringatan, suatu tazkirah yang bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah adz-Dzaariyat, ayat 55 yang bermaksud:

“Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang yang beriman.”

Sirah baginda SAW ini hendaklah diulangkaji, dirujuk dan disuburkan setiap masa, supaya kekal dalam ingatan dan jiwa manusia. Sambutan yang diadakan bukan sekadar untuk bermain-main, bersenda gurau, atau mengisi masa kosong; tetapi lebih kepada mencapai suatu tugas yang perlu kita laksanakan, berbentuk amanah yang perlu kita tunaikan.

Bagaimana pun mimbar sangat kesal jika sambutan yang diadakan setiap tahun ini, tidak di hayati sepenuhnya dengan pengisian yang tepat oleh umat Islam. Bahkan lebih menyedihkan lagi ialah pada satu masa kita mengagongkan Rasulullah SAW dan pada masa yang lain pula kita bersifat talam dua muka, bertukar rupa dengan melakukan perkara yang dilarang oleh Rasulullah.

Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 31dengan maksudnya:

“Katakanlah: Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Imam at-Tirmizi pula meriwayatkan bahawa Abdullah bin Mughaffal r.a. berkata:

“Seseorang telah datang menemui Nabi SAW dan berkata: “Demi Allah, saya sangat kasih kepada-Mu, Ya Rasulullah”. Jawab Nabi SAW: “Perhatikan benar-benar perkataanmu itu”. Orang itu berkata: “Demi Allah, saya cinta kepadamu, Ya Rasulullah (di ulangi sehingga tiga kali)”. Maka Nabi SAW bersabda: “Jika benar kamu cinta-kasih kepadaku, maka bersiap-sedialah menghadapi kemiskinan-kesusahan, persiapkan dirimu dengan baju (benteng iman) yang kukuh (agar dapat menghadapi segala kemungkinan susahpayah), kerana kemiskinan-susahpayah itu lebih cepat datangnya kepada orang yang cinta-kasih kepadaku melebihi kecepatan (air) banjir ke dalam jurang (lembah-gaung yang dalam).

Akhir sekali, bimbinglah ahli keluarga kita dalam mempertingkatkan kasih sayang dan mencintai Rasulullah SAW supaya generasi Islam terus subur berpegang akidah dan berpegang kuat kepada ajaran Islam. Bagi menentukan sambutan Maulidur Rasul memberi keberhasilan yang tinggi kepada negara dan rakyat, maka terdapat lima petanda aras untuk menentukan kejayaannya iaitu:

Allah S.W.T. berfirman:

“Dan hari Kami bangkitkan di kalangan setiap umat, seorang saksi ke atas mereka, dari mereka sendiri; dan Kami datangkanmu untuk menjadi saksi terhadap mereka ini; dan Kami turunkan kepadamu Al-Qur’an menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang menggembirakan bagi orang Islam.” (Surah an-Nahl:89)

oleh Lokman Mohd Hashim, Penerbit MuitiaraIslam Online.

Sabtu, 4 Februari 2012

Kenapa Patut Cinta Rasulullah

بسم الله الرحمن الرحيم

Selepas iman dan akidah, pengukuhan iman seorang Muslim dikuatkan dengan keimanan kepada Rasulullah. Beriman kepada rasul juga mesti sampai ke peringkat buat apa yang nabi buat, bukan pilih-pilih tapi segala-galanya mesti diikut kerana segala perbuatan nabi adalah wahyu daripada Allah.

Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“Tiadalah segala yang datang dari nabi itu nafsu melainkan wahyu yang diturunkan kepadanya.”

Jadi kita perlu melakukan apa yang nabi suruh kita lakukan. Itu sebab nabi diutus dalam bentuk manusia. Bayangkan jika malaikat jadi nabi, kita pasti susah mahu ikut kerana malaikat tak makan, tak minum, tak kahwin.

Kehidupan Rasulullah berlandaskan wahyu Allah. Semua orang makan, tapi jika makan cara nabi jadi ibadat. Begitu juga kahwin, nabi ajar cara perkahwinan yang betul, begitu juga hiburan, nabi mengajar cara berhibur yang betul.

Kenapa mesti kita mencintai Rasulullah? Pertamanya, kerana nabi terlalu cinta kepada kita. Apa bukti nabi sangat cinta pada kita? Bacalah sejarah, sebelum nabi wafat, antara perkataan akhir nabi ialah “ummati, ummati” (umatku, umatku) umat nabi itu kitalah.

Menurut satu riwayat lain, ketika nabi dibangkitkan di Padang Mahsyar kelak antara perkataan pertama nabi tanya kepada malaikat Jibril ialah “Di mana umatku?”

Nabi juga pernah menyatakan dalam satu hadis yang bermaksud:

“Bahagialah siapa yang melihat ku dan beriman padaku” kemudian nabi sebut tiga kali: “Bahagialah, bahagialah, bahagialah siapa yang tidak melihatku tapi beriman denganku.”

Orang yang tak lihat nabi tapi beriman pada nabi, antaranya kitalah, nabi puji kita tiga kali. Sebab kedua kenapa mesti mencintai nabi sebab cinta nabi tanda sempurnanya iman seseorang Muslim.

Maknanya kalau tak cinta nabi tak sempurnalah iman kita. Sabda nabi yang bermaksud:

“Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih disayangi daripada kamu menyayangi kedua ibu bapamu dan manusia seluruhnya.”

Saidina Umar pernah satu hari berkata pada nabi,

“Aku sayangi diriku, lepas tu baru aku sayang padamu, wahai Rasulullah. Nabi menjawab, cintailah aku lebih daripada cinta pada dirimu, barulah sempurna iman kamu.”

Ketiga, nabi sangat banyak jasa kepada kita, jasa nabi bukan sembarangan, bukan kecil, tak boleh ditebus dengan wang ringgit. Jasa nabi pada kita kerana memperkenalkan siapa Tuhan kita yang sebenar.

Nabi sanggup berkorban harta, isteri baginda jadi miskin, bergadai untuk membuat modal bagi menjalankan dakwah. Rasulullah SAW berjuang mendidik pelapis agar ada penyambung generasi hingga Islam sampai ke dalam hati kita.

Itulah kenapa kita perlu sangat bersyukur merasai nikmat iman dan Islam kerana bapa saudara nabi sendiri, Abu Talib, walaupun nabi sudah melakukan dakwah tetapi masih tidak dapat terima Islam.

Jadi begitu mahalnya nilai Islam ini sebenarnya kepada kita semua. Kemudian, kita mesti cinta nabi sebab nabi makhluk Allah yang maksum, yang tidak ada salah apatah lagi cacat cela.

Rasulullah terpelihara daripada segala aib. Malahan baginda mendapat pula al-Quran sebagai mukjizat, sebagai panduan. Jelas sekali mencintai nabi bermakna kita mencintai seorang yang agung dan amat mulia.

Justeru cintailah Nabi Muhammad kerana baginda membimbing kita kepada kebenaran, huraikan ayat al-Quran agar kita mudah memahaminya, nabi juga tak jemu-jemu memberi nasihat agar umatnya selamat dan berbahagia di dunia dan akhirat.

Akhir sekali kenali nabi dengan mempelajari sirah nya, memahami hadisnya dan cintailah nabi dengan mencintai apa yang dicintainya.

Nabi Muhammad patut diikuti dan disayangi sebab pada nabi ada segala-galanya.

Baginda paling cantik dan dialah yang paling hebat. Cuma kita saja tak tahu kerana tidak baca secara mendalam perjalanan sirah nabi dan jika baca pun sambil lalu saja.

Nabi Muhammad cemerlang dalam pelbagai dimensi. Cerita nabi lengkap daripada mula lahir, ketika kanak-kanak, remaja, dewasa sehingga tua dan wafat.

Kehebatannya cukup terserlah sejak dari kelahirannya, ketika kanak-kanak, remaja, dewasa sehingga baginda tua dan wafat. Daripada orang biasa, baginda mengasaskan kemudian mengembangkan agama yang terhebat di dunia.

Oleh: Ustaz Zawawi Yusoh

Tanda manusia yang benar-benar mengasihi Rasulullah SAW ialah mengikuti baginda dengan penuh ikhlas. Dia segera mengerjakan apa yang disukai atau dikasihi baginda. Itulah tanda-tanda manusia yang benar-benar kasihkan Rasulullah SAW
Jiwa Hamba
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...