Ukhwah Islamiyyah

Jumaat, 3 Januari 2014

Pengertian Bughah Menurut Islam


Pengertian bughah mengikut istilah syara` adalah “ segolongan umat Islam yang melawan dan menderhaka terhadap Ulil Amri (imam) iaitu pemerintah atau kerajaan yang adil yang menjalankan hukum-hukum syariat Islam.’ (Kifayah al-Akhyar, jild 2 hal 122)

Bughah (pemberontak) ialah sesiapa sahaja yang melampai batas yang sepatutnya dipatuhi. Di dalam istilah Bahasa Arab asal perkataannya bermaksud “zalim”. Secara umum, bughah ialah sekumpulan umat Islam yang menentang pemerintah Islam dan melanggar arahannya, atau menghalang hak Allah ataupun hak manusia.

Bughah dari perkataan al-baghyu bermaksud melampau. Keluar dari ketaatan pemimpin yang sah iaitu tidak mentaati pemerintah dalam urusan kewajipan yang benar seperti membayar zakat, berjihad, dan yang seumpamanya. Sedangkan hal ini sangat jauh daripada situasi perhimpunan.

Antara Dalil Tentang Bughah Menurut Al-Quran & As-Sunnah : 

Bughah dalam pandangan Islam ada disentuh pada ayat 9 surah al-Hujurat yang bermaksud;

“Dan sekiranya dua kumpulan orang beriman saling berperang maka damaikanlah antara kedua-duanya, jika salah satu kumpulan telah menceroboh ke atas kumpulan yang lain maka perangilah kumpulan yang menceroboh itu sehingga ia kembali kepada Allah (dengan meninggalkan perbuatan menceroboh). Jika ia telah kembali, maka damaikanlah kedua-duanya dengan adil dan berlaku saksamalah, sesungguhnya Allah suka orang yang melakukan kesaksamaan” 

Sementara dalil al-Sunnah terhadap perbuatan Bughah. Antaranya adalah seperti berikut;

- Daripada Ubadah bin al-Somit beliau berkata yang bermaksud; “Kami telah membaiah Rasulullah s.a.w. untuk dengar dan taat dalam keadaan kami suka atau benci, kami senang atau susah, mengutamakan pemimpin daripada diri kami dan untuk tidak menentang pemimpin melainkan terdapat kekufuran yang jelas hukumnya dalam agama Allah”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Syarat Untuk Membasmi Pemberontak : 

1. Pemberontak tersebut mestilah mempunyai kekuatan dan ketahanan tersendiri, samada bilangan yang ramai atau mempunyai kubu untuk menentang pemerintah.

2. Pemberontak itu mestilah benar-benar di luar kawalan pemerintah disebabkan kekuatan mereka. Sekiranya masih dalam keadaan terkawal, maka sudah tentu tidak perlu diperangi. Cukup sekadar menangkap sahaja.

3. Mestilah mempunyai tafsiran yang dibenarkan dalam ruang ijtihad bahawa mereka ini pemberontak dengan alasan yang kukuh iaitu menentang pemerintah.

4. Pemberontak tersebut mempunyai tokoh yang ditaati, yang menguatkan pengaruh mereka. Walaupun bukan sebagai pimpinan tertinggi, tetapi pandangannya dijadikan sebagai “sandaran”.

Kesimpulan : 

-Peserta himpunan bukanlah golongan yang menentang kewajipan agama yang diperintahkan pemerintah.
-Peserta himpunan tidak membawa senjata.
-Peserta himpunan tidak bertujuan menggulingkan kerajaan.
-Peserta himpunan tidak memberi ancaman besar kepada keselamatan umum.

Dan seandainya pun berlaku pemberontakan bersenjata, pihak pemerintah perlu terlebih dahulu menghantar utusan untuk berbincang guna menghuraikan kekusutan. Barangkali pemberontakan berlaku disebabkan kezaliman pemerintah yang tidak menunaikan hak terhadap rakyat. Maka pemerintahlah yang perlu melaksanakan kewajipan dalam urusan keadilan terlebih dahulu.

Tidak boleh mudah-mudah menghalalkan darah manusia. Rakyat bangkit bersebab. Rakyat bangkit sebab kezaliman pemimpin. Selesaikan kezaliman pemimpin dulu, barulah rakyat tidak bangkit. Inilah sifir Fiqh Bughoh. 

“Bahkan kebangkitan rakyat bukan atas dasar pemberontakan, tapi atas jalan menasihati” 

SUMBER : -Azman Syah Ibnu Alias (ASIA)
( BA Syariah Islamiah Al-Azhar University )
-Muhammad Mujahid Ibnu Ir Fadzil
( BA Usuluddin Al-Azhar University ) 
-Al-Quran Dan Hadis Riwayat Al-Bukhari & Muslim
-Kitab Kifayah Al-Akhyar Fi Hilli Ghayah Al-Ikhtisar

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...