Ukhwah Islamiyyah

Memaparkan catatan dengan label nasihat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label nasihat. Papar semua catatan

Jumaat, 3 Januari 2014

Pengertian Bughah Menurut Islam


Pengertian bughah mengikut istilah syara` adalah “ segolongan umat Islam yang melawan dan menderhaka terhadap Ulil Amri (imam) iaitu pemerintah atau kerajaan yang adil yang menjalankan hukum-hukum syariat Islam.’ (Kifayah al-Akhyar, jild 2 hal 122)

Bughah (pemberontak) ialah sesiapa sahaja yang melampai batas yang sepatutnya dipatuhi. Di dalam istilah Bahasa Arab asal perkataannya bermaksud “zalim”. Secara umum, bughah ialah sekumpulan umat Islam yang menentang pemerintah Islam dan melanggar arahannya, atau menghalang hak Allah ataupun hak manusia.

Bughah dari perkataan al-baghyu bermaksud melampau. Keluar dari ketaatan pemimpin yang sah iaitu tidak mentaati pemerintah dalam urusan kewajipan yang benar seperti membayar zakat, berjihad, dan yang seumpamanya. Sedangkan hal ini sangat jauh daripada situasi perhimpunan.

Antara Dalil Tentang Bughah Menurut Al-Quran & As-Sunnah : 

Bughah dalam pandangan Islam ada disentuh pada ayat 9 surah al-Hujurat yang bermaksud;

“Dan sekiranya dua kumpulan orang beriman saling berperang maka damaikanlah antara kedua-duanya, jika salah satu kumpulan telah menceroboh ke atas kumpulan yang lain maka perangilah kumpulan yang menceroboh itu sehingga ia kembali kepada Allah (dengan meninggalkan perbuatan menceroboh). Jika ia telah kembali, maka damaikanlah kedua-duanya dengan adil dan berlaku saksamalah, sesungguhnya Allah suka orang yang melakukan kesaksamaan” 

Sementara dalil al-Sunnah terhadap perbuatan Bughah. Antaranya adalah seperti berikut;

- Daripada Ubadah bin al-Somit beliau berkata yang bermaksud; “Kami telah membaiah Rasulullah s.a.w. untuk dengar dan taat dalam keadaan kami suka atau benci, kami senang atau susah, mengutamakan pemimpin daripada diri kami dan untuk tidak menentang pemimpin melainkan terdapat kekufuran yang jelas hukumnya dalam agama Allah”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Syarat Untuk Membasmi Pemberontak : 

1. Pemberontak tersebut mestilah mempunyai kekuatan dan ketahanan tersendiri, samada bilangan yang ramai atau mempunyai kubu untuk menentang pemerintah.

2. Pemberontak itu mestilah benar-benar di luar kawalan pemerintah disebabkan kekuatan mereka. Sekiranya masih dalam keadaan terkawal, maka sudah tentu tidak perlu diperangi. Cukup sekadar menangkap sahaja.

3. Mestilah mempunyai tafsiran yang dibenarkan dalam ruang ijtihad bahawa mereka ini pemberontak dengan alasan yang kukuh iaitu menentang pemerintah.

4. Pemberontak tersebut mempunyai tokoh yang ditaati, yang menguatkan pengaruh mereka. Walaupun bukan sebagai pimpinan tertinggi, tetapi pandangannya dijadikan sebagai “sandaran”.

Kesimpulan : 

-Peserta himpunan bukanlah golongan yang menentang kewajipan agama yang diperintahkan pemerintah.
-Peserta himpunan tidak membawa senjata.
-Peserta himpunan tidak bertujuan menggulingkan kerajaan.
-Peserta himpunan tidak memberi ancaman besar kepada keselamatan umum.

Dan seandainya pun berlaku pemberontakan bersenjata, pihak pemerintah perlu terlebih dahulu menghantar utusan untuk berbincang guna menghuraikan kekusutan. Barangkali pemberontakan berlaku disebabkan kezaliman pemerintah yang tidak menunaikan hak terhadap rakyat. Maka pemerintahlah yang perlu melaksanakan kewajipan dalam urusan keadilan terlebih dahulu.

Tidak boleh mudah-mudah menghalalkan darah manusia. Rakyat bangkit bersebab. Rakyat bangkit sebab kezaliman pemimpin. Selesaikan kezaliman pemimpin dulu, barulah rakyat tidak bangkit. Inilah sifir Fiqh Bughoh. 

“Bahkan kebangkitan rakyat bukan atas dasar pemberontakan, tapi atas jalan menasihati” 

SUMBER : -Azman Syah Ibnu Alias (ASIA)
( BA Syariah Islamiah Al-Azhar University )
-Muhammad Mujahid Ibnu Ir Fadzil
( BA Usuluddin Al-Azhar University ) 
-Al-Quran Dan Hadis Riwayat Al-Bukhari & Muslim
-Kitab Kifayah Al-Akhyar Fi Hilli Ghayah Al-Ikhtisar

Selasa, 19 November 2013

Adab Bersahabat


Sabda Nabi saw: "Seseorang itu adalah atas agama (perjalanan) rakannya, maka hendaklah diperhatikan siapa yang harus dipilih sebagai rakan." 

Al-Qamah, seorang ulama yang masyhur suatu ketika dahulu memberikan beberapa panduan kepada anaknya dalam memilih sahabat, antaranya:

  1. Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, dia akan membantu menguasahakan pertolongan itu sedaya upayanya. 
  2. Jika dia mendapat sesuatu kebajikan daripadamu, dia akan menghargainya. 
  3. Jika engkau membuat bakti kepadanya pasti dia akan melindungimu. 
  4. Jika engkau berdua berselisih faham, dia akan mengalah untuk menjaga ikatan persahabatan itu. 


Imam al-Ghazali telah menyenaraikan adab-adab bersahabat di dalam kitab Bidayatul Hidayah. Antaranya:


  1. Melebihkan saudara/sahabatnya itu dengan hartanya (apa yang dimiliki). ~Sepertimana dia berkehendakkan sesuatu kebaikan untuk dirinya, begitu jugalah yang dia harapkan buat sahabatnya (mendapat kebaikan yang sama). ~Memberikan hartanya padahal dirinya berhajat kepada harta itu. 
  2. Menghulurkan bantuan kepada sahabatnya walaupun tanpa diminta. 
  3. Menyembunyikan akan rahsia sahabatnya. 
  4. Menutup aib sahabatnya. 
  5. Apabila terdengar celaan seseorang kepada sahabatnya, tidak disampaikan celaan tersebut kepada sahabatnya itu. 
  6. Apabila diketahui sahabatnya dicela,maka janganlah ia sesekali mendengar celaan itu. 
  7. Apabila diketahui sahabatnya dipuji, maka hendaklah ia menyampaikan pujian tersebut kepada sahabatnya itu. 
  8. Hendaklah memberi perhatian kepada sahabatnya tatkala ia berbicara. 
  9. Menghindarkan diri dari berbantah-bantah dengan sahabatnya. 
  10. Apabila melihat kebajikan yang dibuat oleh sahabatnya, maka hendaklah ia memuji akan sahabatnya.
  11.  Menegah orang yang sedang mencela sahabatnya walaupun ketika ketiadaan sahabatnya. 
  12. Memberi nasihat dan teguran kepada sahabat apabila diminta. 
  13. Memaafkan segala kesalahan sahabatnya itu dan tidak mencacinya atas kesalahan yang telah dilakukan. 
  14. Sentiasa mendoakan kebaikan kepada sahabat sama ada yang masih hidup atau telah mati. 
  15. Hendaklah membuat kebajikan kepada sahabatnya dan kepada keluarganya apabila dia telah meninggal dunia. 
  16. Tidak memberati akan sahabatnya itu daripada suatu hajatnya supaya senang hati sahabat itu dari kesusahan. 
  17. Mendahului memberi salam ketika berjumpa sahabatnya. 
  18. Memuliakan akan sahabatnya itu akan segenap hal kebaikan. 
  19. Apabila sahabatnya berkata, hendaklah dia mendengar sehingga selesai sahabatnya berkata, sesudah itu barulah dia berkata. 


Saidina Ali berkata: "Saudaramu yang sebenar ialah orang yang sentiasa berada di sisimu (ketika susah dan senang). Dia sanggup membahayakan dirinya demi kebaikanmu, dan sanggup berkorban apa sahaja untuk kepentinganmu." 

Abu Sulaiman al-Darani ra mengingatkan kita agar melihat dua sifat ini pada seseorang sebelum memilihnya sebagai rakan:

(1) Orang yang mudah engkau berurusan dalam kehidupan seharian.
(2) Orang yang dapat memberikan faedah dan manfaat dalam segala perkara.

Setiap individu muslim mempunyai hak yang perlu ditunaikan terhadap sahabatnya. Janganlah sekadar menagih hak kita (sebagai sahabat kepada muslim yang lain), dan mengabaikan hak sahabat lain yang perlu kita tunaikan.

Isnin, 6 Mei 2013

Kemenangan Adalah Milik Allah


Menang dengan bergaya, atau menipu sampai berjaya. Kalah dengan mulia, pendam seribu duka. Semuanya berlaku di atas qudrat dan iradat Allah SWT. Perhitungan dan formula Allah tak tercapai oleh akal manusia. Usah ditanya mengapa ditakdirkan Allah begitu begini. Ikhtiar diberikan kepada makhluk, tadbir urusan Sang Khaliq, Teruskan ikhtiar, kemenangan hakiki terletak di negeri abadi. Hanya bersama Allah ia boleh dikecapi. 

Kemenangan adalah milik Allah. Jika Dia belum mahu memberikannya kepada kita, maka kita takkan pernah memperolehnya. Kita selalu tertipu. Merasakan bahawa kemenangan itu milik kita, hak kita, bahawa dengan segala amal dan usaha yang kita lakukan, kita pasti menang. Sehinggakan kita terkeliru, tersilau mata. Memfokuskan kepada kemenangan, bukan pada amal dakwah yang berterusan.

Kita harus memahami realiti dakwah. Ia bersifat Robbani. Kita menyeru manusia kepada Allah, menegakkan hukum-hukum Allah. Dakwah ini bukan milik kita, ia adalah amanah. Amanah yang wajib kita sandarkan kepada-Nya. Apabila Dia menentukan bahawa sudah tiba masanya kita menang, maka pasti tidak ada yang dapat menghalang. Jika masih belum nampak bibit-bibit kemenangan, kita harus terus beramal dan berjihad tanpa sedikitpun meragui akan kehendak Allah.

Maka kemenangan, adalah sebuah anugerah Allah. Apabila Allah memberikannya kepada kita, itu bererti sudah selayaknya kita memperolehnya. Jika belum, ertinya kita belum layak memperolehnya. Boleh jadi kesediaan kita belum cukup untuk menggalas segala amanah-amanah pasca kemenangan tersebut. Maka masa, bukanlah sebuah indikator sesebuah kemenangan. Sekalipun sebuah perjuangan itu memakan masa puluhan tahun, bahkan ratusan tahun, belum menjadi penguat bahawa kita harus menang kerana ia adalah sebuah ketentuan Allah!

Kita tahu bahawa kita bukan pemula sebuah perjuangan menegakkan agama Allah. Kita adalah penerus kepada tali-tali rantainya. Dan hujungnya belum tentu kita. Kita mungkin akan bisa merasa kemenangan tersebut, atau kita mungkin mati sebelum tertegak agama ini di seluruh pelusuk bumi. Apa yang paling penting, kita mengambil posisi penerus dakwah yang tidak kenal henti berjuang dan tidak menggantungkan usaha kepada hasil.

Taujih Robbani itu selalu menyeru kita agar ikhlas dalam perjuangan. Tidak merasa besar dengan amal kita, tidak menggantungkan kekuatan pada jumlah kita. Lihat sahaja dalam kisah perang Hunain ketika Umat Islam itu ramai, namun Allah memberikan pelajaran dengan menangguhkan kemenangan untuk Umat Islam. Firman Allah:

"Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (hai para mukminin) di medan peperangan yang banyak, dan (ingatlah) peperangan Hunain, iaitu diwaktu kamu menjadi bongkak karana banyaknya jumlah (mu), maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikitpun, dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai." [At-Taubah: 25]

Sudah tiba masanya kita tidak bermain-main dalam melaksanakan dakwah kerana Allah. Ketika Allah memilih kita untuk diberikan nikmat besar ini, janganlah kita mengabaikan dan menolaknya lalu menjadikannya sebagai tugas sampingan. Takut-takut apabila sampai masa kemenangan, kita tidak berada bersama-sama dalam angkatan yang memperjuangkannya.

Bersyukurlah, apabila Allah terus memberikan kesempatan dan ruang untuk kita beramal. Jangan dirisaukan akan kemenangan dan jangan dijadikan ia pelemah kepada amal, kerana KEMENANGAN ADALAH MILIK ALLAH!

"Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat". [An-Nasr: 1-3]

Kemenangan besar yang kita semua inginkan adalah kita mati dalam keadaan Allah meredhai kita, bahkan lebih istimewa kita gugur ketika sedang melaksanakan tugas-tugas dakwah.

Wallahua'lam.

Sabtu, 23 Februari 2013

Teladan Perubahan


Kejayaan mengubah manusia banyak bergantung kepada faktor pengubah itu sendiri. Justeru, pemimpin atau sesiapa sahaja yang hendak mengubah sikap bangsanya mestilah menjadi teladan perubahan. Berubahlah untuk merubah orang lain!

Rasulullah s.a.w. berjaya mengubah manusia kerana baginda terlebih dahulu menjadi qudwah hasanah – contoh yang baik pada seruan, pendidikan dan pimpinannya. Hanya orang yang berjaya mengubah sikapnya dahulu, barulah dia akan berjaya mengubah sikap orang lain.

Manusia lebih mempercayai mata daripada telinga. Maksudnya, cakap kita yang didengar manusia akan menjadi hambar sekiranya sikap kita yang dipandang terlalu tercemar. 

kredit: akuislam.com

Jumaat, 25 Januari 2013

Bagai Mulut Ayam, Tiada Henti Bercakap


Mulut ayam atau dari erti kata lain dalam peribahasa yang berbunyi “mulut bagai ekor ayam dihembus” atau lebih dikenali dalam peribahasa yang lain, “moncong seperti ekor ayam” bermaksud seseorang yang tidak berhenti-henti bercakap dan juga yang tidak tahu erti diam. Individu ini juga mungkin lebih dikenali dalam masyarakat melayu kita sebagai “mulut murai” atau “banyak mulut”.

Biasanya seseorang yang bercakap banyak ini tidak mudah merajuk. Mereka ini tergolong dalam golongan yang berfikiran terbuka. Tetapi, jika banyak bercakap, semakin banyak pula kesalahannnya. Hal ini kerana, semakin banyak kita bercakap, semakin ramai orang yang akan sakit hati dengan kata-kata kita.

Pesan Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Sesiapa yang banyak bercakap banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya banyaklah dosanya, api nerakalah yang layak untuk dirinya.” (Hadis riwayat Baihaqi). Jika sudah banyak dosa, maka tentulah neraka yang paling layak untuk si mulut murai ini, seperti sabda Rasulullah s.a.w, “Tidaklah dihumban muka manusia ke dalam neraka itu sebagai hasil tuaian (jelik) lidahnya.” (Hadis riwayat At-Tarmizi)

Pepatah Melayu juga ada mengatakan, “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.” Berapa ramai di kalangan kita yang dapat menjaga lidah? Peliharalah lidah kita daripada menuturkan kata-kata yang tidak berfaedah, bercakap kosong, mengumpat keji dan mengadu-domba. Bukanlah kita tidak dibenarkan bercakap, tetapi jika terlalu banyak bercakap, tentulah banyak kesalahan yang terkeluar daripada percakapan kita itu dan natijahnya banyak juga dosa kerana kita telah membuat orang terasa hati dengan kata-kata kita.

Imam Nawawi juga ada berpesan, kita seharusnya menjaga lidah daripada bercakap perkara yang sia-sia, kecuali jika percakapan itu boleh mendatangkan kebaikan. Jika asyik bercakap sedangkan percakapan itu tidak memberi faedah apa-apa, tiada guna juga. Sebaliknya, gunakanlah bicara kita dengan mengeluarkan kata-kata yang berhikmah.

Perlukah kita bercakap banyak atau lebih baik berdiam diri? Pada pandangan saya, lebih baik kita berdiam diri sahaja. Hal ini kerana bercakap dan berdiam diri adalah sama saja hasilnya, maka mengikut sunnahnya adalah lebih baik kita berdiam diri kerana percakapan yang diharuskan mungkin menjerumus kepada yang haram atau makruh. Kejadian demikian telah banyak berlaku, tetapi jarang kita dapati kebaikan daripadanya.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah dia mengucapkan perkataan yang baik dan kalau tidak, hendaklah diam.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Jika tiada apa yang hendak diperkatakan, lebih baik kita ambil inisiatif dengan berdiam diri sahaja. Daripada hadis di atas, dapatlah kita memahami bahawa seseorang yang beriman itu sentiasa mengawasi lidahnya dalam berkata-kata dan apabila berkata hanya kepada perkara yang memberi manfaat kepada dirinya dan juga orang lain.

Bercakap banyak juga boleh mendatangkan banyak kelemahan. Sebagai insan biasa pastinya kita tidak dapat lari daripada kekangan melakukan kesalahan, kerana manusia bukanlah malaikat yang Allah jadikan cukup sempurna. Namun begitu Rasulullah s.a.w. telah mewasiatkan kepada kita Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan di dalam kehidupan seharian kita, maka jika kita tersesat, terlupa, tersilap dan sebagainya maka kembalilah kita kepada Al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w.

Islam amat menuntut umatnya supaya berhati-hati ketika berkata-kata dan ingatlah tentang 5 perkara yang perlu disebut selalu untuk memberi kesedaran kepada kita sepanjang menjalani kehidupan di dunia ini. Nabi Muhammad s.a.w pernah mengingatkan umat-umatnya tentang kelima-lima perkara ini iaitu perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk, perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia, perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan, jangan menyebut-nyebut kebaikkan diri dan keluarga, dan yang terakhir jangan menyebut dan menampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain.

Banyak bercakap juga menjadikan hati kita mati. Thabit bin Qurrah berkata, “Kerehatan badan bergantung kepada kurangnya makan. Kerehatan jiwa bergantung kepada kurangnya melakukan dosa. Kerehatan lidah bergantung kepada kurangnya bercakap. Dosa bagi hati umpama racun bagi badan.”

Hati adalah tempat untuk kita rasa berkasih sayang, rasa pemurah, rasa bertuhan, rasa cemas, takut dan beribuan lagi rasa. Hati juga sangat sensitif serta mencorakkan akhlak, peribadi dan kehidupan manusia. 

Rasulullah s.a.w ada menyebut, “Dalam diri manusia ada seketul daging, kalau baik daging itu baiklah seluruh kehidupan manusia, kalau jahat maka jahatlah kehidupan manusia itu, ketahuilah kamu itulah hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hati yang bersih adalah cerminan dari bersihnya jasad. Walau bagaimana pun, setiap tubuh badan manusia mempunyai segumpal daging yang bernama hati. Hati yang menentukan sifat seseorang itu. Banyak berkata-kata yang sia-sia itu mematikan hati kita kerana kita mengeluarkan perkataan yang menyakitkan hati orang lain, bergelak ketawa yang berlebihan serta bicara kata-kata yang sia-sia tanpa arah tujuan.

Bercakap banyak juga petanda akhlak buruk. Jika percakapan yang keluar daripada seseorang itu perbuatan elok dan terpuji, maka orang tersebut baik budi pekertinya. Sebaliknya, jika percakapan yang keluar adalah perbuatan jahat, maka jahatlah budi pekertinya.

Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya yang paling aku cintai di antara sekalian kamu dan paling dekat kedudukannya kepadaku di akhirat adalah mereka yang terbaik akhlaknya. Dan yang terburuk di antara kamu sekalian bagiku dan terjauh dariku di akhirat iaitu mereka yang terburuk akhlaknya. Mereka itulah ‘Tsarsarun’, ‘Mutafaihiqun’ dan ‘Mutasyaddiqun’.”

Maksud tsarsarun ialah orang yang banyak bercakap, mutafaihiqun pula ialah orang yang sombong manakala mutasyaddiqun ialah mereka yang bercakap tanpa berhati-hati. Bercakap banyak itu adalah tergolong dalam akhlak yang buruk. Justeru, sesiapa yang ingin dicintai Rasulullah s.a.w dan ingin dekat dengannya di akhirat, maka hendaklah ia memperbaiki akhlak dan peribadinya.

Kesimpulannya, keselamatan seseorang itu terletak pada penjagaan lisannya. Jika baik tutur bicaranya, maka baiklah akhlaknya dan jika buruk budi bicaranya maka buruklah perangainya. Oleh itu, berhati-hatilah ketika berbicara, dan jagalah tutur percakapan kita serta kurangkanlah berkata-kata kerana ianya akan mengurangi kesalahan dalam pertuturan kita. Jagalah lidah kita sebaik mungkin kerana ia adalah amanah Allah s.w.t

kredit : http://anasyuhadda.blogspot.com/

Lidah itu tidak bertulang namun cukup kuat untuk meremukkan hati. 
Berhati hatilah dengan setiap percakapan kita.
Jiwa Hamba

Selasa, 15 Januari 2013

DENGAR !


Mereka kata: "tak suka dengan undang2 kerajaan Malaysia, ko boleh keluar dari Malaysia ni. Dasar tak reti bersyukur dengan apa yang kerajaan dah bagi."(syukur..alhamdulillah..)

Cara jawab: tak suka dengan hukum hakam kerajaan Allah, ko keluar dari planet ni. ini Allah punya. semua Allah punya. Dasar tak reti bersyukur!

--------------------------

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. (Al-A'raaf 7:179

Ahad, 2 September 2012

Risiko Makan Banyak di Musim Raya

بسم الله الرحمن الرحيم

Siapa mampu menolak juadah pagi raya apabila lemang, ketupat dan rendang yang penuh menyelerakan terhidang di atas meja makan menunggu untuk dijamah. Sementara menanti makan tengah hari, mulut mengunyah biskut raya dan kerepek sambil menonton rancangan menarik sempena raya di kaca televisyen.

Hampir semua hidangan mengandungi kadar lemak, gula, garam serta kolesterol yang tinggi. Itu belum dengan pelbagai jenis minuman manis yang sentiasa tersedia di dalam bekas air.

Begitulah lumrah pemakanan bagi kebanyakan individu setiap kali menjelang 1 Syawal. Puasa sebulan terus dibalas dengan makan dalam sehari.

Risiko Terkejut

Namun apakah risiko yang mungkin terjadi pada sistem perut dan penghadaman yang tiba-tiba dikejutkan dengan pemakanan mendadak ini?

Dalam keadaan berpuasa, kadar metabolik turun kerana tidak banyak makanan untuk diproses. Namun apabila hari raya, individu yang makan terlalu banyak boleh mengakibatkan kadar metabolik mereka semakin tidak stabil.

Kerana keadaan ini, individu yang makan berterusan akan mengalami penambahan berat badan secara mendadak, segala makanan yang masuk secara banyak itu tidak boleh dibakar oleh sistem metabolisme kerana keadaannya yang lemah selepas sebulan berpuasa.

Makan Alas Perut

Apa yang sepatutnya dilakukan oleh individu pada pagi raya ialah makan alas perut seperti buah-buahan dan sayuran sebelum menikmati juadah sinonim pada hari raya seperti lemang dan rendang.

Alas perut memang penting kerana apabila kita mengambil buah dan sayur yang kaya dengan serat, akan memberi lapisan kepada usus supaya lemak tidak diserap dengan banyak ke dalam darah. Antara buah yang baik dimakan ialah buah limau, epal hijau, kiwi dan salad.

Elak Kafein

Seperkara lagi yang perlu dielak pada musim raya ialah pengambilan minuman yang mengandungi kafein. Bukan kopi dan teh sahaja yang mengandungi kafein, air bikarbonat juga mengandungi kafein.

Pengambilan minuman berkafein bersama lemang, rendang dan sebagainya memang memudaratkan usus. Sebaiknya, apabila kita makan makanan berlemak, minumlah air suam dan jus buah sebagai alternatif.

Salah satu cara penyerapan lemak terbaik untuk tubuh ialah pengambilan soy lecithin sebelum makan makanan berlemak. Makanan tambahan ini berfungsi sebagai penyerap lemak yang akan dikeluarkan melalui najis ketika membuang air besar.

Elak Kerepek

Kerepek adalah makanan yang perlu dielak kerana ia mengandungi oksida yang tinggi.

Bahan makanan bergoreng dan mengandungi oksida tinggi ini boleh menyebabkan badan dipenuhi dengan toksin dan sebagai penyelesaiannya mereka disarankan mengambil bahan anti-oksida seperti vitamin A, C dan E.

Jika mahu makan kerepek, pilihlah kerepek daripada jenis dipanggang seperti emping jagung. Jika suka makan kekacang pula pilihlah kacang parang atau kacang kuda yang mempunyai kandungan lemak baik atau omega yang tinggi.

Jangan makan makanan mengandungi protein sekali gus. Sebagai contoh, makan ayam, daging, sotong dan ikan dalam satu masa, ini kerana usus hanya akan menghadamkan protein yang paling ringkas sahaja seperti ikan.

Protein lain seperti daging dan sotong akan terus menjadi toksin yang sekiranya tidak dibuang akan menjadi penyebab penyakit seperti migrain dan masalah-masalah lain.

Risiko Makan Banyak

Antara risiko yang boleh terjadi pada individu yang tidak mengawal pemakanan mereka pada musim raya ialah sembelit.

Apabila sembelit berlaku, masalah seperti buasir akan timbul. Selain itu, usus juga boleh mengalami kecederaan dan sekali gus mengakibatkan sistem penghadaman kacau bilau.

Ketika bulan puasa, pesakit darah tinggi atau kencing manis akan turun kadar glukos dan kolesterol tetapi naik mendadak pada musim raya. Kita tidak mahu bulan raya diserang penyakit berbahaya, sebab itu kena kawal makan.

Buang air besar sekurang-kurangnya sekali sehari. Selain menikmati makanan yang sedap pada hari raya, pastikan juga minum air kosong 8 gelas sehari demi kesihatan yang optimum.

p/s Kalau di Afrika orang mati kerana tak cukup makan, jangan pula kita di sini mati kerana
banyak makan!

sumber: http://paapaada.blogspot.com

Ahad, 13 Mei 2012

AUDIT PRESTASI DAN DIDIK DIRI

بسم الله الرحمن الرحيم
Hari ini manusia begitu teruja dengan audit. Audit kewangan, audit prestasi kerja dan macam-macam lagi. Daripada audit, barulah dapat dikesan kelemahan dan puncanya. Seterusnya langkah pembetulan dan penambahbaikan dapat dilaksanakan. Ini budaya yang bagus! Orang Islam seharusnya sentiasa berusaha ke arah yang lebih baik. Bagaimana pula dengan audit diri? Sejauh mana usaha yang kita lakukan dalam mendidik diri? Sudahkah dikesan kesilapan untuk dibetulkan, atau kelemahan untuk diperbaiki? Jom, sama-sama kita lakukan audit prestasi didik diri!

PANDUAN: Penyataan di bawah berkaitan tanggapan anda tentang usaha mendidik diri. Nilai tahap usaha anda, berdasarkan skala berikut:

1.  Tidak berkaitan langsung  2. Kurang berkaitan 
3. Lebih kurang  4. Agak berkaitan 5. Sangat berkaitan  

SOALAN:
1-Saya sentiasa berasa bersyukur dan teringat bahawa setiap perkara yang diperolehi nikmat Allah.[___]
2-Saya tidak keberatan untuk menolong  apabila ada orang memerlukan bantuan.[___]
3-Setiap perkara yang akan dilakukan, saya sentiasa ikhlaskan niat kerana Allah.[___]
4-Saya sentiasa memohon ampun dan taubat kepada Allah.[___]
5-Setiap kali berlaku perkara yang tidak diingini, saya sentiasa mengingatkan diri saya supaya bersabar.[___]
6-Setiap kali berfikir untuk melakukan perkara yang tidak baik, saya sentiasa ingatkan diri saya bahawa Allah sentiasa memerhati.[___]
7-Setiap kali keluar rumah, saya tidak lupa untuk bertawakal kepada Allah.[___]
8-Saya sentiasa memulakan salam ketika bertemu, baik kepada orang yang dikenali atau tidak dikenali.[___]
9-Saya ada satu amalan baik(contoh:sedekah RM1.00 setiap hari), biarpun kecil tetapi saya tidak pernah lupa untuk melakukannya.[___]
10-Setiap kali terlintas untuk melakukan satu kebaikan, saya akan segera berusaha sehingga berhasil.[___]
11-Setiap kali melihat orang yang tidak bernasib baik, saya sentiasa berasa kasihan dan ingin menolongnya.[___]
12-Saya sentiasa mengaitkan setiap perkara yang saya lakukan, biarlah ada saham untuk saya di akhirat nanti.[___]
13-Saya berjanji akan menjaga ibu bapa saya sebaik-baiknya apabila mereka tua nanti.[___]
14-Rahsia kawan sentiasa saya simpan, aib mereka sentiasa saya tutup dan maruah mereka sentiasa saya jaga.[___]
15-Saya sentiasa berusaha mencari ilmu. Ada sahaja buku baru yang akan dibaca, tazkirah yang akan didengari  dan program ilmmu yang akan dihadiri.[___]
16-Saya sentiasa cuba mengajak orang disekeliling saya untuk melakukan kebaikan.[___]
17-Saya ingin dekat kepada Allah dan sentiasa berusaha ke arah itu.[___]
18-Saya sentiasa sedar setiap kali melakukan satu-satu dosa atau kesalahan.[___]
19-Saya sentiasa ingatkan diri supaya merendah diri.[___]
20-Saya sentiasa berusaha memperbaiki akhlak saya dari  semasa ke semasa.[___]
Totalkan semua mata yang ada perolehi.

KESIMPULAN:

20 KEBAWAH- AMAT MEMBIMBANGKAN
Anda mungkin tidak memberi perhatian langsung dalam soal mendidik diri sebelum ini. Jadikan kebimbangan ini sebagai pencetus kepada perubahan.

21 HINGGA 59- MEMBIMBANGKAN
Diri anda begitu mudah dipengaruhi. Boleh jadi baik dan jahat pada bila-bila masa. Ambillah kesempatan pada diri anda yang mudah terpengaruh ini dengan mendekati ilmu dan orang berilmu.

60 HINGGA 79- USAH BERPUAS HATI
Ada perkara boleh dibuat biasa-biasa sahaja, tetapi tidak dalam soal mendidik diri. Selagi hayat dikandung badan, teruskan usaha mendidik diri.

80 HINGGA 89-TERUSKAN USAHA
Sebahagian besar diri anda sudah dididik dengan sebaiknya. Namun kekalkan keazaman dan tingkatkan usaha dalam mendidik diri menjadi lebih baik. Seorang Mukmin tidak akan berpuas hati dalam berbuat baik.

90 HINGGA 100- ALHAMDULILLAH
Diri anda boleh dikatakan sudah terdidik. Namun syaitan tidak pernah putus asa untuk membiadabkan kita. Berwaspadalah! Mungkin syaitan sedang menjerat anda dengan jeratan ujub, “baiknya aku.!”

-Ujian ini hanya sebahagian kecil sahaja daripada aspek diri yang perlu dididik. Untuk panduan didik diri yang lebih menyeluruh, bolehlah merujuk kitab Riyad al-Salihin, susunan Iman al-Nawawi. Lakukan audit ini sekurang-kurangnya sebulan sekali. Didiklah diri, Insya-Allah syurga Allah akan menanti-

sumber: majalah al-Ustaz

Isnin, 7 Mei 2012

Berjaya: Penilaian Siapakah Yang Kita Utamakan?


بسم الله الرحمن الرحيم


“Beruntunglah badan.  Wajahnya cantik, dipujai ramai pula!”

“Hebat sungguh dia.  Sudah pakai kereta BMW…!”

“Kau dah tengok rumah dia?  Dahsyat!  Besar betul rumah dia.  Bangga aku jadi kawan dia!”

“Kau nak tahu tak, gaji dia sekarang sudah 5 angka!  Pangkat besar dia sekarang ni.  Berjaya betul dia!”

“Bahagia betul dia tu kan.  Asyik melancong je.  Tiga bulan lepas ke Australia.  Minggu lepas ke London pula”

Begitulah penilaian manusia kepada manusia lain.  Hebat, berjaya atau beruntungnya seseorang semuanya dinilai pada rupa, wang, pangkat dan harta.  

Makin cantik rupa, makin banyak wang, makin tinggi pangkat dan makin melimpah harta, maka berjayalah seseorang itu pada pandangan manusia.  Jika tidak mempunyai salah satu darinya, maka akan dinilailah seseorang itu sebagai orang yang rugi dan tidak berjaya.  Itulah kejayaan definisi kebanyakan manusia.

Penilaian ALLAH `Azza wa Jalla yang merupakan TUHAN yang mentadbir dan memiliki alam seluruhnya ini tidak begitu.  ALLAH menilai manusia bukan kepada rupa, wang, pangkat atau harta.  DIA, TUHAN Yang Maha Agung menilai manusia berdasarkan iman, amalan dan taqwa yang dipunyai oleh seseorang manusia itu.

Ciri-ciri orang yang berjaya dan beruntung di sisi ALLAH telah disenaraikan di dalam al-Quran dalam banyak ayat.  Antaranya ialah di dalam surah al-Baqarah, ayat 2-5.  Di dalam ayat tersebut, ALLAH mencirikan orang yang berada di atas jalan hidayah ALLAH dan berjaya ialah orang-orang yang menjadikan al-Quran sebagai sumber rujukan dan petunjuk.  Merekalah orang-orang yang bertaqwa, iaitu yang beriman dengan sungguh-sungguh dengan hal yang ghaib, mendirikan solat, menginfaqkan sebahagian kurniaan yang telah ALLAH berikan, beriman dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam serta apa yang diturunkan kepada para nabi sebelum Baginda.  Mereka juga sangat-sangat yakin dengan adanya kehidupan dan pembalasan Hari Akhirat lalu berusaha mendapat balasan yang baik pada hari tersebut.

Di dalam surah al-Mukminun ayat 1-11 pula, tersenarai lagi beberapa ciri orang-orang yang berjaya untuk kita lekatkan pada diri kita.  Mereka yang berjaya ialah orang-orang yang beriman yang khusyuk di dalam solatnya, yang menjauhkan diri mereka dari perkara-perkara yang tidak berguna, yang menunaikan zakat, yang menjaga kemaluannya, yang menjaga amanah dan janjinya serta orang-orang yang menjaga solatnya.

Orang yang khusyuk dan menjaga solat adalah antara ciri orang yang berjaya pada pandangan ALLAH.
Orang-orang mukmin yang menyeru kepada kebaikan, yang menyuruh kepada hal-hal yang ma`ruf dan yang mencegah dari perkara-perkara yang mungkar juga termasuk di dalam orang-orang yang berjaya.  Hal ini telah disebut oleh ALLAH Jalla wa A`la di dalam ayat 104 dari surah ali-`Imran.

Surah al-A`la dan asy-Syams pula menyebut orang yang beruntung pada pandangan ALLAH ialah orang-orang yang menyucikan jiwanya dengan beriman bersungguh-sungguh kepada ALLAH.

Dan di dalam surah yang biasa kita baca iaitu surah al-`Asr, ALLAH `Azza wa Jalla telah menyebut semua makhluq yang dinamakan manusia berada di dalam kerugian.  Ya, semua dalam kerugian.  Yang tidak rugi ialah manusia yang beriman kepada ALLAH, yang beramal dengan amalan yang soleh, yang nasihat-menasihati dengan kebenaran dan juga supaya tetap dalam kesabaran.

Nah, itulah antara ciri-ciri orang yang berjaya dan beruntung yang telah disebut oleh ALLAH Ta`ala di dalam al-Quran.  Cuba bandingkan dengan kayu ukur penilaian-penilaian manusia.

Marilah kita sama-sama bermuhasabah adakah selama ini kita pernah menitik beratkan penilaian ALLAH dalam menilai diri kita?  Atau adakah selama ini kita terperangkap dengan penilaian manusia lalu berlumba-lumba menaikkan nilai rupa, wang, pangkat dan harta untuk dinilai berjaya pada sisi pandangan manusia?

Penilaian siapakah yang sepatutnya kita kejar dan utamakan?

Terpulanglah kepada masing-masing.  Kerana kita akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas tindakan kita.  Pada Hari Akhirat nanti kita masing-masing akan dibangunkan untuk dihisab terhadap semua perbuatan kita ketika hidup di dunia.

Jika keberjayaan dan keberuntungan pada pandangan manusia yang kita kejar selama hidup di dunia, maka nasib kita akan diserahkan kepada manusia-manusia itu pada Hari Akhirat nanti.  Bagaimana nasib akhir kita?  Fikirlah sendiri!

Manakala jika keberjayaan dan keberuntungan pada pandangan ALLAH yang kita kejar selama hidup di dunia yang sementara ini, maka nasib kita akan diserahkan kepada ALLAH Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.  Dan sebaik-baik diserahkan urusan kita ialah kepada ALLAH `Azza wa Jalla!
ALLAHU A`LAM.

oleh: Shahmuzir Nordzahir
muzir.wordpress.com

Khamis, 22 Mac 2012

Masa Akan Menjadi Singkat

بسم الله الرحمن الرحيم

Masa yang panjang terasa singkat
Amal ibadat belum dibuat
Bulan berlalu hari dan saat
Tanda dunia hampir qiamat

Kenapa kita selalu lalai
Masa dibuang tidak dipakai
Masalah umat berbagai-bagai
Tanggungan kita belum selesai

Daripada Anas bin Malik r.a. berkata Rasulullah s.a.w bersabda :

"Tidak akan terjadi qiamat sehingga masa menjadi singkat. Maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api."
[Hadis Riwayat Tirmizi]

Keterangan

Masa akan berlalu begitu cepat. Belum sempat berbuat sesuatu, tiba–tiba masa sudah terlalu larut, sehingga banyak perkara yang belum dapat diselesaikan. Kita seakan- akan sibuk, tetapi kita tidak faham apa yang disibukkan.

Kita diburu masa dan ia berlalu dengan tiada perkara yang dapat kita selesaikan. Inilah yang dimaksudkan dengan singkatnya masa.

Menurut Imam al–Karmani, yang dimaksudkan dengan singkatnya masa itu ialah dicabut keberkatan daripadanya.

Memang benar apa yang dikatakan oleh Imam al–Karmani itu, dahulunya kita merasakan dalam sehari banyak perkara yang dapat kita laksanakan, tetapi sekarang dalam sehari yang sama hanya sedikit perkara-perkara yang dapat kita laksanakan.

Ini adalah satu petanda hampirnya kiamat.

Wallahu a'lam...

Ahad, 18 Disember 2011

KITA - Peringatan

سم الله الرحمن الرحيم



وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَى تَنفَعُ الْمُؤْمِنِينَ

Dan tetaplah memberi peringatan, karena sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.


Pembaziran yang sering dilakukan manusia:

Walaupun ilmu ada, jika tidak diamalkan untuk jalan kebaikan.

Setiap amalan yang dilakukan tidak dengan hati yang ikhlas.

Ada kekayaan tetapi, membazir jika dibelanjakan pada perkara
yang tidak bermanafaat dan tidak diredhai Allah.

Hati lalai dan leka bahkan membazir jika kosong daripada ingatan
dan kasih kepada Allah.

Jasad yang kaku dan beku bahkan membazir jika tidak digunakan untuk beribadah kepada Allah.

Alangkah membazir jika dicurahkan kepada selain Allah atau melebihi cinta kepada-Nya

Masa yang dikurniai Allah, jadi membazir jka tidak diurus dengan sebaiknya.

Penat dan membazir jika tidak memikirkan sesuatu yang bermakna kepada agama dan mencari redha Allah

Amal zikir, tetapi ianya membazir jika tidak memberi kesan kepada hati.

Islam amat melarang umatnya melakukan pembaziran sehingga Allah SWT menyifatkan orang-orang yang suka membazir itu sebagai saudara syaitan.

Firman Allah SWT
إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُواْ إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُوراً
yang bermaksud,

“Sesungguhnya orang-orang yang melakukan pembaziran itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya”
(Surah al-Isra’: 27).


Pesan dan Nasihat

Ilmu adalah sesuatu yang bermanfaat dan bukannya apa yang hanya dihafaz semata-mata.
dan bukan juga sekadar tahu menyebut dan menyanyikan sahaja

Kebaikan itu ada pada lima perkara iaitu mampu mengawal diri,
menjauhkan diri daripada menyakiti orang lain,
menggunakan rezeki yang halal,
berserah diri kepada Allah dan menyakini segala kekuasaan Allah.

Imam Syafie ditanya mengenai tabiatnya yang suka menggunakan tongkat,
sedangkan beliau tidak uzur. Maka, jawabnya :

"Ini bertujuan agar aku sentiasa mengingati bahawa hidup di dunia hanya sebagai musafir yang pasti akan kembali kepada Allah."

Perkara yang mesti ada pada pemimpin ada lima iaitu benar dalam percakapan,
menjaga rahsia,
menunaikan segala janji,
sentiasa memberi nasihat dan
menunaikan kewajipan yang diamanahkan.

Keredaan manusia sukar untuk engkau capai. Selamat daripada lidah manusia tidak bermakna sudah boleh dianggap mencapai jalan kepada mendapat keredhaan mereka. Oleh itu engkau hendaklah melakukan perkara yang bermanfaat kepada dirimu dan sentiasalah berbuat demikian.

Sesiapa yang berasa marah, tetapi tidak meluahkannya, maka, dia seumpama keldai.

Sesiapa yang redha terhadap sesuatu, tetapi tidak dapat menerimanya, maka dia seperti syaitan yang mana redha dengan ketuhanan Allah, tetapi tidak mahu tunduk pada perintah-Nya.

Capailah tujuan sesuatu percakapan itu dengan diam dan
capailah sesuatu keputusan itu dengan berfikir.

Orang yang menzalimi diri sendiri ialah mereka yang tunduk pada nafsunya
dan patuh pada mereka yang tidak menghormatinya,
mengharapkan kemanisan pada sesuatu yang tidak memberi manfaat kepadanya
dan mengharap pujian daripada mereka yang tidak dikenalinya.

Sesiapa yang mahu dipandang baik dan mulia, maka dia hendaklah berbaik sangka terhadap orang lain.

Sesiapa yang memberi peringatan dan nasihat kepada rakannya dalam keadaan sembunyi, maka sesungguhnya dia telah menasihati dan memperelokkannya. Sesiapa yang menasihati secara terang, maka dia telah menyakiti dan mengkhianatinya.

Tidak akan tercapai ilmu melainkan bersabar di atas segala kesusahan dalam mencapainya.

Apabila telah tetap perkara asal dalam hati, maka lidah akan berkata mengenai cabangnya (hasil).

Sesiapa yang mahu kebahagiaan di akhirat, maka dia hendaklah ikhlas dengan ilmu.

Orang berilmu bertanya mengenai perkara yang dia sudah tahu dan perkara yang belum diketahuinya. Maka dengan cara ini dia dapat memperkemaskan ilmu yang telah ada dan dapat menimba ilmu yang belum diketahui.

Orang jahil pula sentiasa menyisih diri daripada menerima pelajaran dan berhenti daripada belajar.

Perdalamkan ilmumu sebelum memimpin kerana apabila sudah menjadi pemimpin engkau tidak mempunyai jalan lagi untuk mendalami ilmu.

Perdalamkan segala masalah ilmu agar ia tidak akan menyempitkan masamu.

Keelokan orang yang berilmu ialah mulia diri dan
kecantikan ilmu pula adalah warak dan berlemah lembut.

Sesiapa yang mendakwa bahawa dia mencintai dunia pada masa sama mencintai Penciptanya, maka sebenarnya dia telah berbohong.

Seseorang itu tidak mampu untuk menghukum sama ada sesuatu itu halal atau haram, melainkan dengan ilmu yang dimiliki.

Sesiapa yang tidak dimuliakan oleh takwa, maka tiada kemuliaan baginya.

Terlalu mengharapkan kelebihan dunia adalah azab Allah kepada ahli tauhid (beragama).

Sesiapa yang engkau redha akan menyebut-nyebut (puji) pada sesuatu yang tiada pada dirimu. Begitulah juga mereka yang engkau marah akan menyebut-nyebut (keji) pada sesuatu yang tiada pada dirimu.

Orang berakal ialah mereka yang mana akalnya mampu mengawasi dirinya daripada segala kejahatan.

Sekiranya manusia mengetahui keburukan percakapan dan hawa nafsu,
maka mereka akan melarikan diri daripada kedua-duanya seperti
mereka melarikan diri daripada harimau.

Bagi akal itu ada penghujungnya. Begitulah juga dengan sabar yang ada penghujungnya.

Sesiapa yang menyimpan rahsianya, maka kebaikan berada di tangannya

Jumaat, 1 Julai 2011

Peringatan kepada orang Islam

سم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum.

Berilah berita gembira kepada hamba-hamba Allah yang bermaksiat
bahawa Allah sentiasa ada masa untuk memaafkan mereka sekiranya mereka mencari keampunanNya.

Jangan lengah daripada mendapatkan keampunan Allah dari maksiat yang anda lakukan. Bahkan berlengah-lengah dengannya menyebabkan anda terus terperosok di dalam kekejian.

Berilah peringatan kepada hamba-hamba Allah yang taat
bahawa segala amalan baik mereka hanya dipandang jika hanya Allah yang menjadi tujuan.

Jangan bangga dengan kebaikan yang anda lakukan. Bahkan berasa bangga dan puas dengan amalan walaupun apa alasannya adalah bukan dari sifat yang terpuji.

Khamis, 19 Mei 2011

Jadilah Kunci Kebaikan

سم الله الرحمن الرحيم



“Sesungguhnya di kalangan manusia ada yang menjadi kunci-kunci pembuka kebaikan dan penutup keburukan. Dan di kalangan manusia ada pula yang menjadi kunci-kunci pembuka keburukan dan penutup kebaikan. Maka beruntunglah orang yang Allah jadikan kunci-kunci kebaikan di tangannya dan celakalah bagi orang-orang yang Allah jadikan kunci-kunci keburukan di tangannya”.[ Ibnu Majah, Dari Anas R.a dihasankan oleh Al-albani]

Jadilah pemegang kunci kebaikan kerana ia akan mendapat keredaan Allah dan balasan syurga. Jadilah hamba Allah yang soleh dengan menunaikan kewajipan dan menghindari kemungkaran serta mengajak orang lain juga menjadi sepertinya. Golongan ini sentiasa mempromosi kebaikan dan perkara yang diredai oleh Allah SWT. Orang ramai akan mencarinya bila mempunyai sesuatu keperluan berupa kebajikan malah dia bersedia untuk membantu orang lain dengan senang hati tanpa upah dan ganjaran.Memadailah ganjaran di sisi Allah di akhirat kelak.

Jangan jadi golongan yang kedua iaitu pemegang kunci keburukan. Golongan ini melakukan kejahatan malah turut mendorong orang lain untuk melakukannya. dia mempromosi perbuatan maksiat dan dosa. Dia mendapat dosa malah turut memikul dosa orang yang mengikutinya. Sebagaimana sabda Nabi saw yang bermaksud :

“Sesiapa yang memulakan satu sunnah yang baik di dalam Islam dia akan memperolehi ganjarannya dan ganjaran orang yang melakukannya selepasnya dengan tidak kurang sedikitpun ganjaran mereka. Dan sesiapa yang memulakan satu sunnah yang buruk di dalam Islam dia akan menanggung dosanya dan dosa orang yang melakukannya selepasnya dengan tidak kurang sedikitpun dosa-dosa mereka." ( Imam Muslim )

Hindarilah diri dari menjadi pemegang kunci kejahatan ini kerana dosa yang bertimbun-timbun terpaksa dipikul akibat menjadi ikutan oleh orang lain. Era IT yang serba canggih pada masa kini ramai benar pemegang kunci keburukan boleh dilihat di laman blog-blog dan laman sosial. Terdapat individu muslim yang menjadikan blog peribadi mereka sebagai sumber dosa dan maksiat. Dia meletakkan gambar-gambar yang mendedahkan aurat, separuh bogel, promosi filem dan video lucah, cerita-cerita berunsurkan fitnah dan gosip yang tidak berasas malah turut mempromosikan artis-artis kafir dan musyrik serta memujanya secara melampau-lampau. Bukan sedikit pengunjung blognya. Entah berapa ‘bukit’ dosa yang terpaksa dia pikul akibat memegang kunci kejahatan itu.

Namun Alhamdulillah tidak kurang juga mereka yang ‘celik hati dan akhirat’ memilih untuk memegang kunci kebaikan. Mereka berkongsi ilmu agama dan ilmu keduniaan yang bermanfaat yang boleh dikongsi oleh orang lain. Sungguh beruntung mereka ini. Mereka mendapat pahala dengan sebab orang lain mengambil faedah dari blog-blog mereka. golongan ini akan terus mendapat pahala selagi ilmunya dimanfaatkan walaupun telah meninggal dunia sebagaimana maksud hadis nabi saw. Semoga Allah merahmati dan membimbing kita agar menjadi pemegang kunci kebaikan dan menjauhkan kita dari menjadi pemegang kunci keburukan. Mudah-mudahan Allah membimbing kita ke jalan yang diredaiNya.

Hendaklah kita mengajar kebaikan kepada orang lain.

Dengan pengajaran yang dilakukan akan memberi kesempatan kepada ramai orang lain untuk menerima dan menimba kebaikan.

Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyerukepada kebaikan."

"Barang siapa yang menunjukkan (seseorang) kepada kebaikan, maka ia akan mendapat pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya." - (Hadis Riwayat Muslim).

Senantiasa mempelajari dan mengkaji kebaikan

Seseorang yang mempelajari dan mengkaji ilmulayak disebut sebagai kunci pembuka kebaikan. Dengan belajar maka pada akhirnya ia akan terdorong untuk mengajarkan kebaikan yang dipelajarinya.

"Sebaik-baik orang dikalangan kamu adalah orang yang mempelajari Al Quran dan mengajarkannya kepada orang lain" – HR Bukhari .

Dengan belajar, seseorang akan menghidupkan kembali ilmu gurunya yang mungkin hampir mati.

Sentiasa mengamalkan kebaikan

Seseorang yang mengerjakan kebaikan akan dianggap kunci pembuka kebaikan kerana dengan mengamal kebaikan bererti ia memberikan contoh dan teladan kepada orang lain agar ikut mengerjakan kebaikan juga. Mengajar dengan contoh teladan lebih berkesan daripada mengajar dengan lisan.

Abu Darda' berkata: "Tidaklah kamu dianggap sebagai orang alim sehingga kamumengamalkan ilmumu".

Sentiasa mendukung proses belajar dan mengajar pelbagai bidang kebaikan.

Sekiranya seseorang tiada kesempatan untuk belajar dan tidak mampu mengajar maka hendaklah ia menjadi orang yang memberi kemudahan kepada orang-orang yang mengajar dan belajar untuk melakukan kebaikan.

Firman Allah yang bermaksud:

"Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebaikan dan ketaqwaan." (Al Maidah ayat 2)

Memberikan bantuan atau kemudahan kepada sesiapapun yang hendak mengamalkan kebaikan.

"Barangsiapa yang menyiapkan perbekalanuntuk orang yang berperang di jalan Allah maka ia akan mendapatkan pahala orang yang berperang." (Muttafaqun 'alaih).

Menjadi penggembira dan memperlihatkan sikap bersahabat kepada penyeru kebaikan.

Seorang yang hadir dalam sebuah majlis kebaikan, meskipun hanya ikut-ikutan dan tidak serius melakukannya, juga layak dianggap sebagai kunci pembuka kebaikan sehingga layak mendapat keampunan dan rahmat Allah.

Dalam sebuah hadis Qudsi Allah berfirman:

"Saksikanlah olehmu bahawa Aku telah mengampuni mereka semuanya," Malaikat berkata: "Diantara mereka ada si fulan, ia bukan sebahagian daripada mereka, kerana sebenarnya ia datang untuk suatu keperluan." Allah berfirman:"Sesungguhnya Aku juga telah mengampuninya. Kerana mereka adalah suatu kaum yang barangsiapa duduk bersama mereka, maka tidak akan mengalami kesengsaraan." (HR Muslim).

Rujukan: Fakhruddin Nursyam, Lc, Syarah Lengkap Arba'in Da'awiyah – Teladan Aplikatif Dakwah Rasulullah, Bina Insani Press Solo, September 2006

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...