Ukhwah Islamiyyah

Memaparkan catatan dengan label Aidiladha. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Aidiladha. Papar semua catatan

Rabu, 16 Oktober 2013

Korban Dihayati Islam Disanjung Tinggi























Khutbah Aidil Adha

فرمان الله تعالى دالم أية 1-3 سورة الفجر : وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ وَالشَّفْعِ وَالْوَتْرِ 

Maksudnya : Demi waktu fajar; Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah); Dan bilangan yang genap serta yang ganjil;

Selamat menyambut hari raya Eidil Adha diucapkan kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat. Kesyukuran yang tidak terhingga kita panjatkan ke hadhrat Allah atas nikmat hari raya korban yang juga dipanggil Aidil Akbar bermakna hari raya besar. Sepatutnya hari raya korban lebih dirasai kemeriahan sambutannya berbanding hari raya puasa yang juga dipanggil Aidil Asghor iaitu hari raya kecil. Sesungguhnya Aidil Adha mengingatkan kita kepada Saiyidina Omar bin Al-Khattab yang memberikan ucapan beliau ; “Sesungguhnya Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadhan, lalu ia disambut dengan Aidil Fitri. Manakala hari penurunan terakhir Al-Quran pula ialah pada bulan Zulhijjah ketika Rasulullah s.a.w. menunaikan ibadah haji yang terakhir (Haji Wada’), maka ia disambut dengan Aidil Adha ” .

Maka jelaslah Aidil Adha adalah hari merayakan kesyumulan Islam sebagai satu-satunya cara hidup yang lengkap dan sempurna, yang mengatur, menyusun segala aspek kehidupan manusia, akidah, syariat, politik, ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan, perundangan, akhlak dan sebagainya. Sempena berada pada hari yang mulia ini marilah kita sama merebut kelebihan yang dijanjikan oleh Allah sebagaimana yang disebut oleh Allah pada awal surah al-Fajr di mana Ibnu Abbas dan Mujahid menyatakan bahawa malam sepuluh yang dimaksudkan ialah 1 hingga 10 Zulhijjah di mana pendapat ini dikuatkan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a:

 عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ مَا الْعَمَلُ فِي أَيَّامٍ أَفْضَلَ مِنْهَا فِي هَذِهِ قَالُوا وَلَا الْجِهَادُ قَالَ وَلَا الْجِهَادُ إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ يُخَاطِرُ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ بِشَيْءٍ” – رواه البخاري 

Maksudnya : Tidak ada dari hari-hari yang dilakukan amal soleh padanya yang lebih disukai oleh Allah daripada hari-hari yang sepuluh ini. Sahabat r.a bertanya, Wahai Rasulullah! Dan tidakkah juga berjihad fi sabilillah (lebih afdal daripada beramal pada hari-hari ini)? Rasulullah SAW bersabda, “Tidak juga berjihad fi sabilillah, kecuali orang yang berjihad dengan diri dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun”. 

Muslimin/mat yang dirahmati Allah S.W.T

Bulan Zulhijjah mempunyai kelebihan tersendiri di mana al-Hafiz Ibnu Hajar menjelaskan sebab keutamaan 10 hari pertama Zulhijjah ialah kerana pada hari-hari tersebut terkumpul ibadat-ibadat yang induk seperti solat, puasa, sedekah, ibadat korban dan haji yang mana hal-hal itu kesemuanya tidak terdapat secara serentak pada bulan-bulan lain.

Rasulullah s.a.w sendiri begitu gemar untuk berpuasa sunat pada 9 awal bulan Zulhijjah terutama pada hari Arafah. Kita juga disunatkan untuk bertakbir bermula dari waktu subuh hari Arafah iaitu 9 Zulhijjah dan berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah yang menunjukkan bagaimana besarnya kelebihan dan sambutan hari raya korban berbanding hari raya puasa tetapi kita di sebelah Asia Tenggara adalah sebaliknya di mana lebih meriah menyambut Aidil Fitri daripada Aidil Adha.

Ketika kemeriahan menyambut Aidil Adha marilah kita sama-sama menghayati isi penting yang pernah disampaikan oleh junjungan besar nabi Muhamamd s.a.w dalam khutbah haji wada’ atau perpisahan antaranya [1] pengharaman riba yang menindas manusia di mana Islam sentiasa menanamkan kasih sayang dalam setiap aspek kehidupan agar tidak wujudnya sikap suka mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain. Riba telah menghancurkan ekonomi dunia dan membawa kepada penderitaan seperti keganasan terhadap peminjam sehingga ada yang dibunuh dan tidak kurang yang membunuh diri sendiri.

Takutilah amaran Allah melalui ayat 278 -279 surah al-Baqarah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ ۖ وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ 

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.
 
اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ 

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 179 :

وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ 

Maksudnya : Dan di dalam hukuman Qisas (balasan yang seimbang) itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.

Perkara ke-[2] yang disentuh dalam khutbah wada’ iaitu Islam sentiasa menjamin perlindungan jiwa manusia daripada diceroboh samada dengan pembunuhan langsung atau tidak langsung. Kes bunuh yang terus meningkat tanpa mengira usia dan pangkat bagaikan tiada penyudahan. Begitu juga masalah kemalangan maut yang berlaku silih berganti di mana disarankan agar Kerajaan melaksanakan hukum Islam dalam menanganinya sebagai contoh kes jika seseorang melanggar orang hingga mati maka dia kena bayar diyat kepada keluarga si mati berbanding undang-undang hari ini di mana pesalah hanya dikenakan bayaran kompaun kepada kerajaan sedangkan keluarga mangsa hanya menerima kematian dan kesedihan tanpa pembelaan atau pun pampasan sewajarnya.

Perkara ke-[3] Rasulullah s.a.w turut menekankan agar menghindari peperangan kerana Islam adalah agama yang sejahtera yang membenci perang kecuali setelah terpaksa bagi mempertahankan agama, negara dan diri. Pelbagai cara dilakukan oleh musuh Islam dalam menuduh Islam sebagai agama pengganas disamping sekatan demi sekatan termasuk pembinaan masjid, pakaian purdah bagi menghalang kebangkitan Islam namun usaha mereka tetap digagalkan oleh Allah.

Kewajipan kita umat Islam ialah menerangkan tentang keindahan Islam melalui kefahaman terhadap agama kita sendiri dan pengamalan dalam kehidupan seharian Muslimin/mat yang diberkati Allah S.W.T, Firman Allah dalam ayat 59 surah al-Ahzab:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا 

Maksudnya : Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani 

Sesuai dengan kedatangan nabi Muhamamd s.a.w pembawa rahmat kepada sekalian alam maka jasa baginda terhadap golongan wanita begitu banyak yang menukar pandangan masyarakat yang dulu menganggap wanita setaraf dengan syaitan, binatang, hamba abdi kepada kedudukan yang tinggi sehingga perkara ke -[4] nabi menyentuh berkaitan kewajipan menjaga hak wanita tetapi malangnya semakin ramai yang menzalimi wanita dan ramai pula wanita sendiri yang rela maruah mereka dilacurkan dengan mendedah aurat dan bergaul bebas sehingga keadaan akhlak semakin parah. Apa yang lebih malang jasa nabi seperti dilupakan apabila berlakunya penghinaan terhadap Islam dan nabi Muhammad s.a.w dalam Festival Busana Muslim di Monte Carlo 9 Ogos lalu di mana kebanyakan yang terlibat sebagai peganjur adalah beragama Islam. Pertunjukan itu bukan sahaja tidak menutup aurat dengan sempurna malah menghina nabi Muhammad di pakaian seksi mereka dengan menamakannya sebagai Islam seolah-olah meghalalkan apa yang jelas diharamkan oleh Allah demi menjaga hati musuh Islam. Mereka yang terlibat belum lagi memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam sehingga hari ini. Mereka sepatutnya takut kepada Allah dan azabnya yang begitu dahsyat disamping malu kepada masyarakat barat sendiri yang mula merasai bagaimana pakaian seksi dan menjolok mata boleh menyebabkan masalah kerosakan akhlak dan merebaknya kes jenayah. Kita dapat baca berita terbaru di mana ada sebuah Bandar persisiran pantai di Itali akan menyaman sehingga RM 2000 kepada mereka yang memakai skirt pendek atau menjolok mata sedangkan kita di sini rasa malu dan rimas menutup aurat.

اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ 

Perkara ke-[5] yang ditekankan dalam Khutbah haji wada’ ialah Islam menghalang penindasan melalui penyalah gunaan kuasa oleh pemimpin ke atas rakyat jelata seperti hukum rimba ISA dan sebagainya. Semasa rakyat terus dihimpit dengan kenaikan harga minyak RON97 ketika minyak RON95 sedang dikaji kerana banyak kes menyebabkan kenderaan mudah terbakar disamping harga barangan yang terus naik ditambah lagi dengan saman ekor yang jelas zalim kerana ia memeras wang rakyat bukan untuk mendidik rakyat supaya cermat di jalanraya. Begitu juga pemimpin terus menambah hutang negara dengan nisbah setiap rakyat terpaksa menanggung 14 ribu seorang hutang akibat penyelewengan dan pembaziran disamping kerugian akibat rasuah RM 10 bilion setahun. Pemimpin juga terus bernafsu untuk melakukan pembaziran dengan cadangan pembinaan Menara Warisan setinggi 100 tingkat bernilai lebih RM 5 bilion di samping Pusara Negara bersebelahan tugu negara memuatkan 250 lubang kubur VIP Islam dan 250 VIP bukan Islam dengan kos RM 70 juta dengan anggaran RM 140 ribu selubang. Akibat pemimpin bernafsu besar maka rakyat jelata terus menderita. Ingatlah peringatan nabi s.a.w

قَالَ أَنْ تَلِدَ الْأَمَةُ رَبَّتَهَا وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ 

Maksudnya : Sabda nabi tentang tanda-tanda qiamat bahawa hamba akan melahirkan tuannya dan engkau melihat orang berjalan tanpa kasut dan orang yang bertelanjang lagi miskin yang hanya mengembala kambing berlumba-lumba untuk membina bangunan tinggi-tinggi lambang kemegahan

Ulama’ menerangkan pada akhir zaman akan timbul golongan miskin yang mendirikan bangunan tinggi dengan cara berhutang di mana tidak pelik walau hutang negara terus meningkat tetapi nafsu untuk membazir terus bertambah. Penyakit suka berhutang turut ditiru oleh rakyat sehingga ramai yang sanggup berhutang melebihi kemampuan demi memiliki rumah atau kenderaan mewah. Penafsiran yang lain mengatakan golongan miskin menjadi orang kaya secara tiba-tiba termasuk melalui rasuah pilihan raya sehingga dapat membina bangunan tinggi

Muslimin/mat yang dirahmati Allah S.W.T,

Mesej ke- [6] Khutbah wada’ turut menekankan persamaan nilai kemanusiaan tanpa mengira bangsa dengan membuang semangat perkauman sempit yang boleh menghancurkan perpaduan rakyat. Kerajaan sepatutnya menjadikan pelajaran agama sebagai mata pelajaran Teras di sekolah bukannya mata pelajaran Sejarah bagi menangani masalah sosial, perpaduan dan semangat cintakan negara kerana pelajaran sejarah yang banyak lagi kekurangan dibimbangi hanya melahirkan masyarakat yang memuja pemimpin bukannya yang cintakan perpaduan dan negara

Perkara ke- [7] yang ditekankan oleh nabi iaitu Islam membanteras sistem monopoli yang menghakis rasa kasih sayang dengan menggalakkan penindasan terutama menerusi sistem kapitalis yang digunapakai. Akhirnya syarikat tertentu menguasai harga barangan di pasaran yang membolehkan mereka sesuka hati menaikkan harga yang sepastinya menindas rakyat jelata

Wasiat nabi yang ke-[8] yang paling penting sekali iaitu wajib menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan di mana kejayaan umat Islam bergantung kepada sejauh mana mereka berpegang teguh kepada 2 sumber utama ini dalam kehidupan. Kita merasa kecewa bila pemimpin masih gagal mengasingkan antara sumber halal dengan haram seperti hasil judi bernilai RM2.3 bilion yang terdapat dalam akaun hasil yang disatukan di Kementerian Kewangan pada tahun 2009. Hasil inilah yang telah digunakan oleh kerajaan untuk membayar gaji kepada seramai 1.2 juta penjawat awam dan semua projek pembangunan termasuk untuk manfaat masyarakat Islam. Begitu juga cadangan untuk menggadaikan maruah dan akhlak rakyat demi mengaut keuntungan dengan mengisytiharkan Malaysia sebagai Hab hiburan malam yang bakal menyaksikan masalah semakin bertambah bukan semakin kebah. Sepatutnya pemimpin melahirkan rakyat bertaqwa untuk mendapat berkat bukan manusia derhaka yang mengundang laknat Allah dunia akhirat.

Firman Allah dalam ayat 7 surah al-Hasyru :

 ۚ وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ 

Maksudnya : ……Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

خطبة كدوا

اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا و الحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلا. الحَمْدُ ِللهِ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأحْزَابَ وَحْدَهُ . أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَحْدَهُ لا شَرِيْكَ لَهُ , وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ , اللّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ . أَمَّا بَعْدُ.......فَيَا أَيُّهَا المُسْلِمُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ وَأَطِيْعُوْهُ وَاعْلَمُوْا أَنَّ اللهَ يُحِبُّ المُتَّقِيْنَ …. فرمان الله تعالى دالم أية 103-107سورة الصافات : فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ وَنَادَيْنَاهُ أَنْ يَا إِبْرَاهِيمُ قَدْ صَدَّقْتَ الرُّؤْيَا إِنَّا كَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ إِنَّ هَذَا لَهُوَ الْبَلاَءُ الْمُبِينُ وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ 

Maksudnya : Setelah keduanya berserah bulat-bulat ( menjunjung perintah Allah) dan nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya atas tompok tanah ( untuk disembelih) serta Kami menyerunya :”Wahai nabi Ibrahim! Sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu”. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebuskan anak itu dengan sembelihan yang besar. 

Muslimin/mat yang dirahmati Allah,

Ketika mengingati pengorbanan hebat nabi Ibrahim yang terpaksa menyembelih anaknya nabi Ismail melalui suatu arahan dalam mimpi benarnya maka umat Islam pada hari ini mesti disuburkan kembali rasa yakin tentang keadilan dan kehebatan sistem Islam dalam menjanjikan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Kira pernah menyaksikan bagaimana Suraqah bin Malik terlalu yakin dengan janji nabi yang belum lagi menjadi pemimpin Daulah Islamiah di Madinah bahawa dia bakal dikalungkan dengan gelang kerajaan Kisra, Parsi ditambah lagi dengan keyakinan para sahabat yang lain sehingga kerajaan Islam yang mulanya hanya dianggap kecil akhirnya berjaya menumbang Empayar Kristian, Rom dan Majusi,Parsi pada zaman Sayyidina Umar al-Khottab seterusnya menguasai Empayar Hindu, India dan Budha, China. Begitu juga keyakinan pejuang Islam terhadap janji nabi bahawa sebaik-baik ketua ialah yang berjaya membuka kota Intanbul dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya sehingga Sultan Muhammad al-Fateh berjaya menawan kota Istanbul yang begitu kukuh kubunya. Oleh itu bila umat Islam berjaya menyuburkan rasa yakin terhadap janji Allah untuk membebaskan Masjid Aqsa maka kemenangan semakin dekat dan hampir

Muslimin/mat yang dirahmati Allah,

Sempena berada pada hari raya korban juga kita mesti meningkatkan tahap pengorbanan dalam memperjuangkan Islam dan membantu saudara seagama. Jika semasa menyambut Aiduil Fitri kita diwajibkan membayar zakat untuk meringankan bebanan saudara seagama begitulah kedatangan Aidil Adha yang digalakkan kita mengerjakan ibadat korban untuk diagihkan daging kepada saudara yang memerlukan di mana ia semua bertujuan melahirkan masyarakat yang penyayang dan mengambil berat tentang penderitaan saudara seagama yang lain. Penderitaan umat Islam yang sedang dibunuh di Selatan Thailand, Filiphina, Palestin, Iraq, Afghanistan dan sebagainya menuntut pembelaan sewajarnya daripada kita. Begitu juga mangsa Gunung Berapi dan Tsunami di Indonesia. Tidak lupa kita ucapkan takziah kepada mangsa banjir di Kedah, Perlis dan Kelantan sendiri di samping hulurkanlah bantuan setakat termampu. Ringankanlah bebanan dan penderitaan mereka terutama dalam susana hari raya di mana Allah pasti meringankan bebanan kita di akhirat kelak

اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ 

Salam Eidil Adha diucapkan kepada seluruh muslimin dan muslimat. Bagi yang berkemampuan disarankan agar menghidupkan sambutan Eidil Adha ini dengan ibadat korban sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam. 

قَالَ الرَّسُوْلُ : مَنْ كَانَ لَهُ سَعَةٌ وَلَمْ يُضَحِّ فَلاَ يَقْرَبَنَّ مُصَلاَّناَ – رواية ابن ماجه 

Maksudnya : Sesiapa yang mempunyai kemampuan sedangkan dia tidak melakukan ibadat korban maka janganlah dia mendekati tempat solat kami.

Rabu, 24 Oktober 2012

Salam Aidiladha 1433H


Esok 10 Zulhijjah, bagi penganut agama Islam, kita bakal merayakan Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Haji bagi tahun 1433H. Sungguh besar perayaan yang bakal kita rayakan nanti sehinggakan Allah telah mengharamkan kita untuk berpuasa pada hari tersebut. Malah banyak amalan-amalan sunat yang dituntut agar kita lakukan. Berzikir, bertakbir, beristighfar, berpuasa sunat, melakukan ibadah korban serta ziarah-menziarahi adalah di antara amalan yang boleh kita lakukan semasa menyambut hari raya ini.

Sinonimnya perayaan tersebut dengan diri kita adalah kita sentiasa dikaitkan dengan kisah pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s untuk menyembelih anaknya sendiri iaitu Nabi Ismail a.s. Ketaatan ayah dan juga anak kepada perintah Allah melebihi segala-galanya walaupun si ayah mendapat perintah untuk menyembelih anaknya hanya melalui mimpi. Jika kita berada pada situasi tersebut, sudah tentu kita hanya mengatakan perintah tersebut sebagai ‘mainan mimpi’ sahaja. Apatah lagi, mimpi tersebut meminta kita untuk menyembelih anak sendiri pula. Mungkin kita tidak tergamak atau berasa berat hati untuk menyembelih anak sendiri, lebih-lebih lagi anak itu merupakan anak yang kita sayangi pula. Itulah pertarungan perasaan yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim a.s. sungguh luar biasa pertarungan tersebut. Namun, Nabi Ibrahim a.s telah menunjukkan contoh terbaik kepada kita bahawa ketaatan kepada Allah mengatasi segala-galanya walaupun terpaksa mengorbankan anak sendiri.

Saya pasti kisah ini seringkali kita baca atau dengari, paling tidak kita akan mendengarnya melalui ceramah-ceramah atau melalui pak khatib yang akan membacakan kisah agung ini melalui khutbah bersempena Hari Raya Aidil Adha. Tinggalnya sahaja adalah pengorbanan yang bagaimanakah yang mampu kita berikan bagi mencapai ketaatan kepada Allah SWT. Mungkin pengorbanan tersebut tidaklah sehebat yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s. Namun, sifat berkorban demi agama amatlah dituntut lebih-lebih lagi di saat agama kita masih lagi belum didaulatkan pada tempat yang tertinggi. Kita boleh mengorbankan masa kita, fikiran kita, tenaga kita, keluarga kita, harta kita, kedudukan kita, kepentingan kita, perniagaan kita dan pelbagai lagi demi kebaikan Islam serta umat Islam seantero dunia.

Jika tidak sampai ke Palestin pun harta kita dikorbankan, paling tidak kita membantu fakir miskin, anak yatim atau jiran-jiran yang susah di tempat tinggal kita. Tenaga yang ada pula, kita boleh salurkan untuk melakukan aktiviti kemasyarakatan atau membantu membersihkan tandas atau laman masjid, kubur dan seumpamanya. Banyak aktiviti yang kita boleh lakukan sebenarnya. Paling tidak kita berfikirlah tentang nasib saudara seIslam dengan kita dan mendoakan kebaikan untuk mereka.

Jangan sesekali menjadi manusia yang hanya mengambil berat tentang diri sendiri serta keluarga kita sahaja. Tidak cukup sekadar itu, kita mesti juga mengambil berat tentang orang lain. Jiran-jiran, rakan sepejabat, rakan taulan, kaum kerabat dan waris, masyarakat setempat dan pelbagai peringkat lagi yang boleh kita ambil tahu dan ambil berat. Jika mereka memerlukan bantuan atau khidmat, maka hulurkanlah dengan seadanya. Mudah-mudahan usaha kita itu akan menjadi sebahagian amal soleh di sisi-Nya kelak. 

Bersempena musim haji ini juga, saya mendoakan agar para jemaah haji mendapat haji yang mabrur dan diterima Allah kelak. Sesungguhnya peluang bertandang ke Tanah Suci Mekah merupakan nikmat yang cukup besar sekali, bukan hanya setakat menunaikan rukun Islam kelima sahaja, malah ia merupakan peluang untuk kita benar-benar dekat dan hampir dengan Allah SWT. Moga-moga kita akan menjadi manusia yang bertaqwa di sisi-Nya kelak. Itulah sebaik-baik natijah yang kita mahukan dalam melakukan apa jua sahaja ibadat untuk-Nya. Biarlah timbul sifat kehambaan dan tawadduk dengan Tuhan yang menciptakan kita dan alam ini. Jika masih lagi ‘kurang rasa takut’ dengan larangan Allah dan masih lagi ‘leka’ dengan suruhan-Nya, sudah pasti masih ada lagi kekurangan yang perlu diperbaiki dan dimuhasabah oleh kita.

Akhir kata, selamat berpuasa pada hari ini, 9 Zulhijjah iaitu bersempena dengan Hari Wuquf di Padang Arafah dan selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha 1433H buat semua umat Islam serta pembaca blog saya khususnya. Maaf zahir dan batin di atas kesilapan yang dilakukan sama ada saya sedari atau tidak sedari semasa menulis serta menghantar entri di blog ini. Semoga saya mendapat keampunan di sisi-Nya.

Tingkatkan pengorbanan setiap masa dan juga keadaan!

"Kita patut berasa malu betapa hebatnya pengorbanan dan sikap bersungguh-sungguh orang kafir untuk mendapatkan kenikmatan dunia yang sementara... sedangkan kita masih bermalas-malasan  untuk mendapatakan kenikmatan akhirat yang kekal abadi!"
Jiwa Hamba

Jumaat, 12 Oktober 2012

Mencari korban yang diterima Allah s.w.t

بسم الله الرحمن الرحيم

Umat Islam lazimnya menyambut Hari Raya Korban. Salah satu ibadah amaliah yang dilaksanakan pada sekitar Hari Raya Haji ialah ibadah korban. Berkorban (dalam istilah fekah disebut udhiyah) adalah menyembelih binatang ternak pada Hari Raya Aidiladha dan Hari Tasyrik dengan niat mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Inilah peristiwa besar yang melambangkan sejarah agama tauhid, pengorbanan yang ikhlas kerana Allah dan usaha terus menerus untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Ia merupakan amalan tradisi para nabi sejak Adam hingga Nabi Muhammad SAW.

Kita gembira melihat ramai kaum Muslim yang menyambut panggilan mulia ini, mengorbankan sebahagian harta atau haiwan ternak mereka. Kita tanamkan niat murni dan ikhlas ini kerana Allah SWT dan jangan sekali-kali ia dilakukan supaya lebih dihormati oleh masyarakat. Lebih dari itu berkorban itu biarlah benar-benar sesuai dengan tuntutan Rasulullah SAW.

Dalam satu riwayat dari Aisyah disebutkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tidaklah keturunan Adam melakukan suatu perbuatan pada hari nahr yang lebih dicintai Allah selain mengalirkan darah (menyebelih haiwan korban). Haiwan sembelihan itu akan datang pada hari Kiamat membawa tanduknya, kukunya dan bulunya. Sesungguhnya darah haiwan sembelihan itu sampai kepada Allah lebih dulu daripada sampai ke tanah. Maka sucikanlah diri kamu dengannya (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan At-Tarmizi). 

Al-Allamah Al-Manawi berkata, maksud hadis tersebut adalah bahawa ibadah yang paling utama pada hari itu adalah mengalirkan darah (menyembelih haiwan korban) dan pada hari Kiamat kelak, korban itu akan datang sebagaimana adanya ia di dunia, tidak berkurang sedikit pun. Dan orang yang berkorban akan diberi pahala dari setiap anggota tubuh haiwan korbannya itu.

Baginda Rasulullah sendiri dalam sebuah hadis mengungkapkan, orang- orang yang tidak melaksanakan ibadah korban sedangkan dia berada dalam keadaan mampu, maka jangan dekat kepada kami yang melaksanakan ibadah ini. Hakikatnya kita sebagai manusia sering bergelumang dalam dosa dan memiliki jarak antara dia dengan Allah. Manusia berkewajipan mendekatkan diri kepada-Nya. Salah satu caranya dengan berkorban. Kerana itu Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Barang siapa yang mempunyai keluasan rezeki, lalu tidak berkorban, maka janganlah mendekati tempat solat kami (Hadis Ibnu Majah dengan sanad sahih).

Dalam satu peristiwa yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibnu Majah dari Zaid bin Arqam, pernah seorang sahabat bertanya kepada baginda:

"Wahai Rasulullah, apakah erti korban ini?" ujar sahabat.

"Itulah sunah daripada nenekmu Ibrahim," jawab Rasulullah.

"Apakah keuntungan korban itu untuk kita?" tanya sahabat lagi.

"Tiap-tiap bulunya merupakan satu kebaikan (hasanah)," jawab Rasulullah.

Penyembelihan


kredit: http://digitalmukmin.com/
Seandainya ada sesuatu yang lebih utama daripada penyembelihan haiwan korban yang menjadi penebusan manusia atas segala nikmat, tentunya Allah tidak akan menyebutkan penyembelihan haiwan korban itu dalam firmannya yang bermaksud: Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar, sebagai tebusan atas Ismail a.s. (surah as-Shaffat ayat 107).

Berdasarkan keterangan hadis dan firman Allah yang diungkapkan dalam al-Quran, amalan korban berasal daripada Nabi Ibrahim yang kemudiannya diwarisi oleh baginda sebagai ibadah dalam syariat Islam yang sangat dianjurkan untuk dilaksanakan. Ibadah korban ini berasal dari zaman Nabi Ibrahim. Tatkala Nabi Ibrahim bersama puteranya Ismail selesai membina Kaabah di Mekah di atas arahan Allah sebagai pusat kegiatan bagi menegakkan dasar-dasar tauhid, Allah menguji kekuatan iman kedua-dua nabi ini. Pengorbanan itu adalah pengorbanan yang paling tinggi dalam hidup iaitu pengorbanan jiwa dan raga. 

Menurut Imam As-Syafiie, hukum korban adalah sunat muakad yang sangat dituntut kepada mereka yang mampu termasuk para hujjaj (jemaah haji) yang berada di Mina dan umat Islam yang berada di kampung halaman sendiri, kerana ia amalan yang sangat dikasihi Allah pada hari nahar (Hari Raya). Namun begitu, terdapat sebahagian ulama menyatakan ia wajib kepada mereka yang mampu berdasarkan firman Allah dalam surah Al-Kautsar ayat 2 yang bermaksud: Maka dirikanlah solat kepada Allah (Tuhanmu) dan berkorbanlah.

Di dalam al-Quran disebut tentang pengorbanan dua anak Adam. Anak pertama memberi korban dengan tulus ikhlas atas dasar niat untuk mematuhi perintah Allah SWT dan mendekatkan diri kepada-Nya. Sementara anak yang lain juga berkorban tetapi tidak berdasarkan ketulusan hati dan usaha sungguh-sungguh untuk mendekatkan diri kepada Allah. Oleh itu korban anak yang pertama diterima di sisi Allah manakala anak kedua tidak diterima oleh Allah. Allah berfirman dalam surah al-Maidah ayat 27 yang bermaksud:

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Haabil dan Qaabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang antaranya (Haabil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qaabil). Berkata (Qaabil): "Sesungguhnya aku akan membunuhmu." (Haabil) menjawab: "Hanya sanya Allah menerima (korban) dari orang- orang yang bertakwa."

Praktik ibadah korban ini kemudiannya diteruskan oleh Nabi Ibrahim sebagaimana firman Allah dalam surah As-Shaffat ayat 102.

Maka tatkala anaknya itu sampai ke peringkat umur yang membolehkan dia berusaha bersama-samanya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku. Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkan apa pendapatmu? Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintah kepadamu; insya-Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.

Mengapa Allah memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih Ismail kemudian membatalkan dan menebus dengan kibas? Ini bukan hanya ujian untuk kedua-duanya, bukan juga untuk membuktikan ketabahan keluarga Ibrahim tetapi juga untuk menjelaskan kepada siapa saja bahawa tiada sesuatu yang mahal untuk dikorbankan bila panggilan Ilahi telah datang. Inilah bukti iman sejati. Akan tetapi harus diingat bahawa pembatalan tersebut bukan kerana manusia terlalu mahal untuk berkorban atau dikorbankan kerana Allah, tetapi ia dibatalkan demi kasih sayang Allah kepada manusia.

Amalan berkorban bertindak mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah dan mendekatkan hubungan manusia dengan Allah ini dikenali sebagai amaliah yang bersifat vertikal. Sementara amaliah yang bersifat horizontal pula, ibadah penyembelihan korban meningkatkan hubungan antara manusia dengan manusia melalui pembahagian daging-daging korban terutama kepada golongan fakir dan miskin. Ini sebagai petunjuk bahawa takwa yang bersifat personal dan vertikal (hubungan hamba dengan Tuhan) sering tidak terpisah dengan hubungan hamba itu dan persekitarannya. Justeru, amal sosial seperti korban harus didasarkan kepada Allah. Melalui ibadah korban terselit maknawi yang mendalam bahawa manusia memerlukan pengorbanan dalam menuju kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Ibadah korban memanifestasikan rasa syukur dan puncak takwa. Ia sebagai tanda kembalinya manusia kepada Allah SWT setelah menghadapi ujian sehingga ada yang terpedaya dengan pujukan syaitan, menjauhkan diri daripada Allah serta mengerjakan larangan-Nya. Korban disyariatkan bagi mengingatkan manusia bahawa jalan menuju kebahagiaan memerlukan pengorbanan. Akan tetapi yang dikorban bukan manusia, bukan pula nilai-nilai kemanusiaan tetapi binatang sebagai petanda bahawa pengorbanan harus ditunaikan dan bahawa yang dikorbankan adalah sifat-sifat kebinatangan dalam diri manusia saperti sifat rakus, tamak, ego, mengabaikan norma, nilai dan sebagainya. Secara hurufiahnya, kesempurnaan ibadah korban ini bermaksud membunuh segala sifat kebinatangan yang terdapat dalam diri manusia. 

Korban 

Berpandukan kisah Haabil dan Qaabil tentang korban yang diterima oleh Allah, jelas menunjukkan, keikhlasan itu adalah satu sifat yang paling utama dalam ibadah. Amalan berkorban harus menggunakan haiwan yang baik dan tinggi kualitinya, tidak cacat, cukup umur serta banyak dagingnya. Meskipun, hal-hal berkaitan 'darah' atau daging itu tidak sampai kepada Allah, tetapi yang lebih penting adalah ketakwaan kepada Allah. Korban itu tidak memberi erti sama sekali untuk Allah kerana ia adalah Allah, yang Maha Agung, yang tidak memerlukan.

Dengan korban tersebut diharapkan agar takwa kita kepada Allah semakin meningkat. Oleh hal yang demikian, kunci kepada semua amalan sama ada sosial mahupun yang bersifat individual ialah takwa. Dalam hal ini Allah SWT berfirman yang bermaksud: Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu (surah Al-Hajj ayat 37)

Bila pengorbanan binatang ternak sebagai ritual keagamaan dilakukan pada hari-hari tertentu pada bulan korban, maka segala bentuk pengorbanan yang dilakukan umat Islam pada hari-hari yang lain juga dapat disebut pengorbanan bila disertai sikap takwa kepada Allah. Sikap itulah yang akan membezakan dari pengorbanan lain yang dilakukan demi kekasih, keluarga dan bangsa yang belum tentu diredai Allah.

sumber: *Artikel ini dipetik dari http://halaqah.net

Khamis, 3 November 2011

Erti Sebuah Pengorbanan

سم الله الرحمن الرحيم



Setelah setahun ia meninggalkan kita, maka tirai Aidiladha akhirnya muncul semula. Dengan tarikh yang sama yakni 10 Zulhijjah pada tiap-tiap tahun Hijrah, cuma hari dan juga pengalaman sahaja yang akan menjadi berlainan pada setiap tahun. InsyaAllah pada hari Ahad ini, umat Islam di seluruh Malaysia akan menyambut salah satu hari yang paling besar, keberkatannya sebenar lebih besar daripada Aidilfitri, nak tau ape hari tu?? sudah semestinya Hari Raya Aidiladha!

Alhamdulillah, semoga kita dapat bertemu kembali dengan hari yang penuh dengan makna sejarah dan pengorbanan ini...

Seperti yang kita sedia maklum, kedatangan Aidiladha ini bukanlah disengajakan, lebih-lebih lagi menyimpang daripada kebetulan semata-mata, sebab ia mempunyai peristiwa sejarah pengorbanan yang teramat penting dalam sejarah Islam. Selalunya apabila dikatakan tentang Aidiladha, mesti ia sinonim dengan peristiwa Nabi Ibrahim a.s. dan juga anaknya Nabi Ismail a.s. Betul tak?? Tetapi sebenarnya ia lebih daripada itu, kerana Aidiladha ini merupakan gambaran simbol kasih sayang yang kukuh antara seorang Nabi kepada Tuhannya, seorang ayah kepada anaknya, seorang suami kepada isterinya dan juga seorang ibu kepada anaknya.

Peristiwa yang pertama kita dapat lihat adalah apabila Nabi Ibrahim a.s. diperintahkan oleh Allah S.W.T agar meninggalkan isterinya Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s. di padang pasir yang tandus. Dan dari situ Siti Hajar terpaksa berlari dari gunung Safa ke Marwah untuk mendapatkan bekalan air untuk anaknya Ismail yang kehausan, dan dengan mukjizat daripada Allah, akhirnya Nabi Ismail a.s. menghentakkan kakinya ke tanah dan terhasilnya air zam-zam. Padang pasir yang tandus itu juga telah menjadi tumpuan buat umat Islam zaman sekarang untuk menunaikan haji yakni Makkatul Mukarramah atau nama dahulunya Bakkah.

Peristiwa kedua ni pulak sudah biasa kita dengar, tetapi ia amat penting dalam sejarah kerana bermulanya ibadah korban bagi umat Islam, yakni ujian Allah kepada Nabi Ibrahim a.s. kepada agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. Tanpa ragu-ragu lagi Nabi Ibrahim menyahut seruan Allah walaupun masyarakat pada waktu itu mengatakan bahawa baginda gila. Dengan rahmat Allah yang Maha Kuasa, maka akhirnya Allah gantikan anaknya dengan kibash untuk dijadikan sembelihan. Ya Allah, kalau aku yang diberi ujian sebegitu pun aku tak sanggup melakukannya. Sungguhlah benar bahawa Allah tahu setiap perkara yang dilakukanNya.

Nabi Ismail a.s. berkata: "Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.'' (Ash-Shafaat:102)

Kita perlu tahu dan sedar bahawa erti sebuah pengorbanan pada hari Aidiladha bukanlah hanya sekadar sembelih lembu ataupun dapat mengerjakan haji di Baitullah sahaja. Banyak lagi yang kita dapat ambil iktibar lebih-lebih lagi daripada peristiwa yang aku ceritakan sebentar tadi. Dalam setiap pengorbanan itu perlulah ada usaha, doa dan tawakal. Dalam setiap pengorbanan itu memerlukan kecekalan dari segi mental dan fizikal. Dan dalam setiap pengorbanan itu juga tiada kenal erti putus asa dalam kamus hidupnya. Apabila kita melakukan suatu pengorbanan tidak kiralah untuk diri sendiri, keluarga, pakwe awek, ataupun sesiapa, kita haruslah terima segala keputusannya dengan tabah.

Lagi satu perkara, macam yang aku cakap pada awal artikel aku tadi, pengertian sambutan Aidiladha ini adalah lebih bermakna daripada sambutan Aidilfitri. Tetapi yang kita boleh nampak kita terlalu ghairah dalam persiapan sambutan Aidilfitri tetapi untuk Aidiladha nih buat rilek2 je, macam tak ada apa-apa yang berlaku langsung.


Kita sebenarnya tersilap kerana melebihkan Aidilfitri daripada Aidiladha. Cuba kita lihat perbandingannya:

Pertama: Kita dituntut bertakbir membesarkan Allah hanya dalam lingkungan 12-14 jam sahaja pada hari Raya Aidilfitri sedangkan tempoh takbir Hari Raya Korban ialah 4 hari lamanya.

Kedua: Kita diharamkan berpuasa 1 hari sahaja (1 Syawal) pada Aidilfiri tetapi kita diharamkan berpuasa selama 4 hari lamanya (10 Zulhijjah dan 3 Hari Tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah) pada hari raya Korban.


“Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah s.w.t. pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah s.w.t. sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat korban yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Oleh itu, kepada semua pembaca yang aku amat hargai sekalian, jadikanlah Aidiladha pada tahun ini sebagai titik permulaan untuk kita mengambil iktibar dan keberkatan daripada Allah s.w.t. Semoga kita semua dapat menikmati apa yang dinamakan erti sebuah pengorbanan...


Mudah-mudahan Aidiladha kali ini akan memberikan kita satu dimensi baru akan maksud serta pengertian kita terhadap apa yang dikatakan sebagai KORBAN dan PENGORBANAN.

Tidak ramai diantara kita yang benar-benar sanggup berkorban. (sangat subjektif ayat ini..)

Dan sangat ramai juga di antara kita yang berdetik-detik atau berkata-kata di dalam hati apabila berhadapan dengan situasi atau suasana atau keadaan yang menuntut kita melakukan pengorbanan... sedang kita amat lupa bahawa kehidupan kita di muka bumi ini adalah merupakan satu perlaksanaan ibadah secara total yang sewajibnya di akhir nafas nanti kita akan terkorban dalam pengorbanan.

Jika kita mampu mangaku bahawa kehidupan kita di dunia ini adalah merupakan satu jihad... maka kita sebenarnya sudah hampir memahami istilah serta maksud pengorbanan yang sebenar..

Para sahabat Rasulullah yang kita sering ikuti atau terdengar atau didendangkan kisah mereka adalah merupakan contoh-contoh yang boleh kita lihat akan tahap pengorbanan mereka tidak lain tidak bukan hanya kepada Rasul & Allah semata-mata..

Apabila kita mengatakan Rasul & Allah maka kita sebenarnya telah bersaksi akan kesanggupan kita berkorban dalam segenap segi di dalam agama kita..

Ayat 'Amal Maaruf Nahi Mungkar' juga adalah merupakan satu syiar atau seruan jihad di mana semua umat islam yang bersaksi kepada Allah & Rasul telah berjanji sepenuh hati untuk berjuang dan berkorban di atas jalan lurus sebagaimana yang kita diwajibkan membaca surah Al-Fatihah di dalam solat kita...

Maka mereka-mereka yang berjuang di jalan Allah adalah mereka-mereka yang berjihad dan syurgalah tempat kekal abadi buat mereka..

"Peperangan di akhir zaman nanti adalah peperangan melawan hawa nafsu..."

Sabda Rasulullah tersebut juga turut membawa erti pengorbanan dalam maksud yang tersirat.. di mana kita sedaya-upaya berusaha bersungguh-sungguh @ berjihad untuk memerangi hawa nafsu (jahat) yang sering kita biarkan terpengaruh dengan hasutan syaitan.. dan dalam perjuangan jihad melawan hawa nafsu inilah kita perlu berkorban.. korban wang ringgit, korban masa kesukaan kita, korban perasaan dan sebagainya...

maka di penghujung jihad kita dalam memerangi hawa nafsu ini.. dengan segenap pengorbanan lalu berjaya menumpas dan berjaya mengawalnya.... maka sambutlah kemenangan jihad serta pengorbanan kita ini dengan berita gembira, lalu lakukanlah solat taubat, sujud syukur dan berhiaslah cantik sekadar mampu lalu melangkah ke masjid bersama-sama saudara se islam bertasbih, bertahmid dan bertakbir untuk meraikan kemenangan ini...

Mengharapkan sesuatu tanpa berkorban hanyalah sekadar angan-angan kosong ibarat menanam benih di padang pasir yang gersang ketandusan..

Jiwa Hamba
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...