Ukhwah Islamiyyah

Selasa, 30 Oktober 2012

Tanda-Tanda Taubat Diterima Allah


Kenapa Orang Tidak Solat Boleh Berjaya ?

بسم الله الرحمن الرحيم

Seperti yang kita tahu, ilmu itu merupakan cahaya, dan ianya tidak akan memasuki hati-hati yang gelap. tetapi kita lihat, kawan kita yang berjudi, yang minum arak, boleh berjaya pula, sedangkan kita terkial-kial walaupun sudah berusaha.

Kita tahu bahawa, siapa yang berbuat baik, taat kepada ALLAH akan dipermudahkan jalan kehidupannya, tetapi kita lihat, kawan kita ini tidak solat, tetapi bisnesnya menjadi, kita pula hidup dengan penuh cabaran dan dugaan. Kita juga tahu bahawa, ISLAM ini agama yang benar, tetapi kita sering melihat orang-orang yang bukan ISLAM itu lebih berjaya, dan ummat ISLAM tertindas dalam kehidupan sempit lagi derita.

Orang bertanya kepada saya. Kenapa begitu? Sekarang ini, yang manakah benar? Adakah kita faham selama ini tidak benar?

Maka saya hendak bertanya kepada anda.

Adakah anda tahu apa itu istidraj?

Istidraj ini adalah satu kalimah, yang sering menunjuk kepada keadaan seseorang itu yang terus dilimpahkan rezeki dan kejayaan yang melimpah ruah dalam kehidupannya, walaupun dia bukan hamba ALLAH yang taat, malah seorang pembuat maksiat yang tegar. Kenapa mereka ini dinamakan manusia yang mendapat istidraj? Apakah maksud istidraj?

Istidraj adalah, apabila ALLAH memberikan kejayaan, harta kekayaan, rezeki yang melimpah ruah untuk manusia itu menjadi lebih jauh dariNya.

Biasanya, manusia yang mendapat istidraj ini adalah mereka yang tidak berusaha menjalankan ISLAM dalam kehidupan, juga tidak berusaha mengenali ALLAH SWT.

Contoh manusia yang mendapat istidraj ini banyak. Saya bagi contoh yang paling mudah. Salah seorang darinya adalah Qarun. Apakah anda kenal kepada Qarun? Dia ini adalah seorang manusiayang teramat kaya. Diriwayatkan bahawa, kotak yang mengisi kunci kepada gedung-gedung perbendaharaannya tidak mampu diangkat oleh orang-orang yang kuat. Hal ini hendak menyatakan betapa kayanya dia.

Kisah Qarun terdapat di dalam Al-Quran. Hartanya melimpah ruah. Segala perniagaannya menjadi. Segala pelaburannya mengembang. Hartanya makin hari makin bertambah, sedang yang bertambah semalam tidak pula luak digunakan. Tetapi bila Nabi Musa cuba mengingatkannya berkenaan semua kekayaannya itu datang daripada ALLAH, maka Qarun dengan angkuh menjawab,

“ Tidak, semua ini adalah hasil dari ilmuku”

Lihat. Lihat apa kata Qarun. Tidak, semua ini adalah hasil dari… ILMUKU. Dia nyata semakin jauh dari ALLAH, walaupun kekayaannya menjadi, rezekinya melimpah ruah dan sebagainya. Dia saban waktu memperlekehkan pengikut-pengikut nabi Musa yang terdiri dari orang miskin dan hamba.

Apakah pengakhiran Qarun? Dia akhirnya ditenggelamkan ALLAH ke dalam bumi dengan seluruh hartanya. Kisah ini terdapat di dalam Al-Quran.

Nah… Apakah itu yang kita mahu?

Sebab itulah, saya hendak mengajak saudara-saudari berfikir, apakah yang akan timbul di dalam hati kalian apabila kalian ini jenis yang melazimi dosa-dosa, melakukan maksiat, kemudian kalian berjaya di dalam peperiksaan atau perniagaan. Apakah yang agaknya akan timbul dalam jiwa kalian?

Saya yakin, 99% akan merasa begini, “ Tengok, aku tak solat pun berjaya. Siapa kata solat tu bawa kejayaan?”

Apakah yang akan terjadi kepada anda ketika itu? Anda berjaya, tetapi anda langsung lupa bahawa yang memberi kejayaan adalah Allah SWT , dan ini buktinya ada semakin jauh dari ALLAH. Itulah istidraj.

Maka jangan gusar bila tidak berjaya. Cuba lagi. Hubungan keimanan anda dengan ALLAH itulah yang pertama sekali perlu anda perhatikan. Jika anda berjaya membina hubungan keimanan yang baik, insyaALLAH, datanglah badai apa sekalipun, anda akan mampu melaluinya.

Sebenarnya ALLAH suka menguji hamba-hambaNya yang beriman. Terdapat satu kisah yang saya suka baca ketika saya masih kecil.

Terdapat dua orang nelayan. Seorang penyembah berhala, dan seorang lagi muslim yang taat kepada ALLAH. Ketika menebar jala, yang menyembah berhala menyebut nama berhalanya, manakala yang muslim membaca bismillah. Bila jala diangkat, yang menyembah berhala mendapat banyak ikan, manakala yang muslim, hampir sahaja tiada ikan untuknya pada hari itu.

Malaikat yang melihat keadaan itu bertanya kepada ALLAH.

“ Ya ALLAH, apakah yang telah berlaku? HambaMu yang menyekutukanMu, KAU berikan dia rezeki yang banyak, sedangkan hambaMu yang menyebut namaMu, KAU tidak memberikan DIA apa-apa” ALLAH menjawab,

“ Yang menyekutukanKu, tempatnya memang sudah pasti NERAKA. Maka apalah sangat rezeki yang pasti akan hancur itu jika Kuberikan kepadaNya? Tetapi HambaKu yang beriman itu, AKU hendak mengganjarkanNya syurga, maka AKU suka mengujinya untuk melihat kebenaran imanNya”

Nah, jangan anda kecewa bila diuji, tidak berjaya di dalam peperiksaan walau sudah study ? gagal dalam perniagaan walau hebat menyusun strategi. Itu semua adalah sebahagian dari ujian ALLAH. ALLAH menguji hanya untuk mereka yang dikasihi. Bukankah ALLAH SWT ada berfirman,

“ Apakah kamu mengira KAMI akan membiarkan kamu berkata kami beriman sedangkan kamu belum diuji?…”

Jika gagal terhadap satu-satu perkara, itu perkara itu. Anda masih belum gagal dalam kehidupan. Teruskan usaha, selagi nyawa masih ada. InsyaALLAH ALLAH akan memberikan sesuatu yang bermakna kepada anda. Bersangka baiklah kita kepada PENCIPTA kita.

Maka sebenarnya, bila hidup kita digegarkan dengan masalah, hendaklah kita rasa bersyukur. Tandanya, ALLAH masih lagi dekat dengan kita. Ujian adalah tanda kasih sayang dan perhatianNya kepada kita. Mustahil anda suka senang sebentar di dunia, di akhirat yang kekal abadi nanti anda merana. Anda mahukan istidraj?

Saya yakin tidak..

Anda tenang sekarang?

Anda wajib untuk tidak berasa tenang jika anda berbuat dosa, dan anda berjaya. Sebab itulah, muhasabah diri itu penting. Untuk kita sentiasa periksa bagaimanakah hubungan kita dengan ALLAH SWT.

Aku berdosa, tetapi aku berjaya…. Berhati-hatilah kita agar jangan sampai lafaz itu, atau lafaz-lafaz yang membawa maksud serupa itu terkeluar dari mulut kita.

Mari kita sama-sama duduk, dan bermuhasabah semula. 

kredit: rakangroup

Jumaat, 26 Oktober 2012

Peristiwa di Bulan Zulhijjah

بسم الله الرحمن الرحيم 

Oleh: Tariq Abdul Rahman

Bulan Zulhijjah merupakan bulan-bulan yang mempunyai kedudukan tertinggi di dalam jiwa umat Islam, iaitu salah satu bulan-bulan Haram dan bulan yang mengandungi beberapa peristiwa besar, yang paling utama dan paling besar ialah perhimpunan Islam sedunia sempena menunaikan fardu haji.

Di antara peristiwa di bulan yang agung ini:

1. Ghazwah dan peperangan 

Pada 11 Zulhijjah 571H Salehuddin al-Ayubi berjaya merempuh kubu kukuh yang menjadi tempat saliran air. Ia termasuk dalam strategi utama mewujudkan kesatuan Islam. Kubu ini berjaya ditawan selepas berlaku pengepungan selama 38 hari. Salehuddin al-Ayubi mengukuhkan binaan kubu selepas menerima penyerahannya yang kini dikenali Qal’ah Sultan Salehuddin. Fungsinya menyamai yang diguna pakai bagi menyatukan tentera-terntera bersekutu yang terdiri dari tentera Halab dan tentera Salib Antakiyah.

Pada 4 Zulhijjah 616H  Kota Bukhara telah jatuh ke tangan tentera Moghul di bawah pimpinan Gengiz Khan selepas berlaku pengepungan selama tiga hari. Tentera Moghul telah memburu seluruh penduduk Bukhara dan menggunakan pedang kepada semua orang yang masih hidup di dalam kota dan mengakhiri kekejaman mereka dengan membakar seluruh kota!

2. Kelahiran

Pada 25 Zulhijjah 1326H lahir seorang sarjana besar Abdul Salam Muhammad Harun seorang “syaikhul muhaqqiqin” (penyelidik atau pengedit besar), perintis dalam seni penyelidikan khazanah silam dan meninggalkan puluhan bahan ilmiah Arab seperti buku-buku sastera dan bahasa yang diperakuinya. Antara yang paling utama ialah “Al-Kitab” karya Sibaweih, “Al-Hayawan” karya Al-Jahiz dan “Khazanah al-Adab” karya al-Baghdadi.

Pada 5 Zulhijjah 1335H lahir seorang pendakwah, muslih, faqih dan mujaddid Syeikh Muhammad al-Ghazali di Mesir dan menamatkan pengajiannya di Al-Azhar. Beliau menghabiskan usianya dengan menjalankan dakwah dan memusatkan dakwahnya dalam hal membaharui iman kepada Allah, memerangi kekerasan dan kezaliman, seruan kepada keadilan social, membebaskan dan membangkitkan umat.

3. Kewafatan

Pada 26 Zulhijjah tahun 27H Khalifah Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab telah terbunuh setelah ditikam oleh Abu Lukluk seorang Majusi yang dikatakan berdendam ketika beliau sedang memimpin solat. Saidina Umar telah dilantik menjadi khalifah selepas kewafatan Abu Bakar as-Siddiq. Beliau memerintah selama sepuluh tahun di mana jajaran Negara Islam telah bertambah luas. Pada masa pemerintahannya dipenuhi dengan keadilan dan kemuliaan kepada umat Islam. Pada zamannya juga Mesir dan al-Quds Berjaya dibuka.

Pada 18 Zulhijjah tahun 35H Khalifah Amirul Mukminin Uthman bin Affan r.a telah terbunuh di tangan orang-orang yang terpedaya dengan fitnah. Sumbangan utama Saidina Uthman ialah menghimpunkan al-Quran di dalam satu mushaf. Tempoh pemerintahannya selama 13 tahun. Beliau mendapat gelaran “Zu an-Nur’ain” kerana mengahwini dua puteri Rasulullah, Ruqayyah dan Ummu Kalthum.

Pada 6 Zulhijjah tahun 158H Khalifah Abu Jaafar al-Mansur, pengasas sebenar Daulah Abbasiyah telah mangkat. Baginda telah Berjaya mengukuhkan tonggak dan sendi Daulah serta menyelesaikan semua fitnah dan kebangkitan rakyat yang wujud untuk menentangkannya. Sebagaimana yang diketahui baginda adalah seorang khalifah yang sangat mengambil berat tentang kebajikan dan urusan Negara. Baginda jugalah yang mengasaskan kota Baghdad dan seterusnya menjadinya sebagai ibukota Daulah Abbasiyah. Baginda telah mendapat nasihat secara langsung tentang pembinaannya dari Imam Abu Hanifah an-Nu’man.

Pada 26 Zulhijjah 206H al-Hakam bin Hisyam bin Abdul Rahman salah seorang raja Andalus yang terkenal telah mangkat. Baginda telah dilantik pada usia 26 tahun. Al-Hakam merupakan raja pertama yang mendapat kemuliaan di Andalus.

Pada 11 Zulhijjah 207H seorang sejarawan besar, Muhammad bin Umar al-Waqidi telah meninggal dunia. Beliau adalah sarjana ilmu al-Maghazi dan Sirah. Penulis kitab “Al-Maghazi”. Dilahirkan di Madinah dan memperolehi ilmu di tangan ulama setempat, kemudian menetap di Baghdad sehingga meninggal.

Pada tahun 286H Muhammad bin Yazid bin Abdul Akbar yang lebih dikenali dengan “Al-Mubarrad” telah meninggal dunia. Beliau digelar Al-Mubarrad, menurut satu riwayat kerana kecantikan wajahnya dan satu riwayat lain kerana ketelitian dan kepetahan jawapannya. Al-Mubarad adalah pemimpin sarjana ilmu Nahu tanpa sebarang pertikaian. Belaiu juga imam pada zamannya dalam bidang sastera dan bahasa yang diperolehi dari gurunya al-Mazny. Beliau hidup sezaman dengan 9 orang khalifah Abbasiyah. Di antara sumbangan al-Mubarrad ialah penulisan kitab “Al-Kamil” dalam bidang sastera dan bahasa.

Begitu juga pada tahun 463H di bulan Zulhijjah telah meninggal dunia al-Hafiz Abu Bakar Ahmad bin Ali bin Tsabit, yang lebih dikenali dengan “Al-Khatib al-Baghdadi” yang merupakan salah seorang imam Hadith dan sejarah pada kurun ke 5H. Beliau telah menghasilkan banyak karya tentang sejarah dan yang terkenal ialah “Tarikh Baghdadi”.

http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=32791&SecID=363

Rabu, 24 Oktober 2012

Salam Aidiladha 1433H


Esok 10 Zulhijjah, bagi penganut agama Islam, kita bakal merayakan Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Haji bagi tahun 1433H. Sungguh besar perayaan yang bakal kita rayakan nanti sehinggakan Allah telah mengharamkan kita untuk berpuasa pada hari tersebut. Malah banyak amalan-amalan sunat yang dituntut agar kita lakukan. Berzikir, bertakbir, beristighfar, berpuasa sunat, melakukan ibadah korban serta ziarah-menziarahi adalah di antara amalan yang boleh kita lakukan semasa menyambut hari raya ini.

Sinonimnya perayaan tersebut dengan diri kita adalah kita sentiasa dikaitkan dengan kisah pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s untuk menyembelih anaknya sendiri iaitu Nabi Ismail a.s. Ketaatan ayah dan juga anak kepada perintah Allah melebihi segala-galanya walaupun si ayah mendapat perintah untuk menyembelih anaknya hanya melalui mimpi. Jika kita berada pada situasi tersebut, sudah tentu kita hanya mengatakan perintah tersebut sebagai ‘mainan mimpi’ sahaja. Apatah lagi, mimpi tersebut meminta kita untuk menyembelih anak sendiri pula. Mungkin kita tidak tergamak atau berasa berat hati untuk menyembelih anak sendiri, lebih-lebih lagi anak itu merupakan anak yang kita sayangi pula. Itulah pertarungan perasaan yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim a.s. sungguh luar biasa pertarungan tersebut. Namun, Nabi Ibrahim a.s telah menunjukkan contoh terbaik kepada kita bahawa ketaatan kepada Allah mengatasi segala-galanya walaupun terpaksa mengorbankan anak sendiri.

Saya pasti kisah ini seringkali kita baca atau dengari, paling tidak kita akan mendengarnya melalui ceramah-ceramah atau melalui pak khatib yang akan membacakan kisah agung ini melalui khutbah bersempena Hari Raya Aidil Adha. Tinggalnya sahaja adalah pengorbanan yang bagaimanakah yang mampu kita berikan bagi mencapai ketaatan kepada Allah SWT. Mungkin pengorbanan tersebut tidaklah sehebat yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s. Namun, sifat berkorban demi agama amatlah dituntut lebih-lebih lagi di saat agama kita masih lagi belum didaulatkan pada tempat yang tertinggi. Kita boleh mengorbankan masa kita, fikiran kita, tenaga kita, keluarga kita, harta kita, kedudukan kita, kepentingan kita, perniagaan kita dan pelbagai lagi demi kebaikan Islam serta umat Islam seantero dunia.

Jika tidak sampai ke Palestin pun harta kita dikorbankan, paling tidak kita membantu fakir miskin, anak yatim atau jiran-jiran yang susah di tempat tinggal kita. Tenaga yang ada pula, kita boleh salurkan untuk melakukan aktiviti kemasyarakatan atau membantu membersihkan tandas atau laman masjid, kubur dan seumpamanya. Banyak aktiviti yang kita boleh lakukan sebenarnya. Paling tidak kita berfikirlah tentang nasib saudara seIslam dengan kita dan mendoakan kebaikan untuk mereka.

Jangan sesekali menjadi manusia yang hanya mengambil berat tentang diri sendiri serta keluarga kita sahaja. Tidak cukup sekadar itu, kita mesti juga mengambil berat tentang orang lain. Jiran-jiran, rakan sepejabat, rakan taulan, kaum kerabat dan waris, masyarakat setempat dan pelbagai peringkat lagi yang boleh kita ambil tahu dan ambil berat. Jika mereka memerlukan bantuan atau khidmat, maka hulurkanlah dengan seadanya. Mudah-mudahan usaha kita itu akan menjadi sebahagian amal soleh di sisi-Nya kelak. 

Bersempena musim haji ini juga, saya mendoakan agar para jemaah haji mendapat haji yang mabrur dan diterima Allah kelak. Sesungguhnya peluang bertandang ke Tanah Suci Mekah merupakan nikmat yang cukup besar sekali, bukan hanya setakat menunaikan rukun Islam kelima sahaja, malah ia merupakan peluang untuk kita benar-benar dekat dan hampir dengan Allah SWT. Moga-moga kita akan menjadi manusia yang bertaqwa di sisi-Nya kelak. Itulah sebaik-baik natijah yang kita mahukan dalam melakukan apa jua sahaja ibadat untuk-Nya. Biarlah timbul sifat kehambaan dan tawadduk dengan Tuhan yang menciptakan kita dan alam ini. Jika masih lagi ‘kurang rasa takut’ dengan larangan Allah dan masih lagi ‘leka’ dengan suruhan-Nya, sudah pasti masih ada lagi kekurangan yang perlu diperbaiki dan dimuhasabah oleh kita.

Akhir kata, selamat berpuasa pada hari ini, 9 Zulhijjah iaitu bersempena dengan Hari Wuquf di Padang Arafah dan selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha 1433H buat semua umat Islam serta pembaca blog saya khususnya. Maaf zahir dan batin di atas kesilapan yang dilakukan sama ada saya sedari atau tidak sedari semasa menulis serta menghantar entri di blog ini. Semoga saya mendapat keampunan di sisi-Nya.

Tingkatkan pengorbanan setiap masa dan juga keadaan!

"Kita patut berasa malu betapa hebatnya pengorbanan dan sikap bersungguh-sungguh orang kafir untuk mendapatkan kenikmatan dunia yang sementara... sedangkan kita masih bermalas-malasan  untuk mendapatakan kenikmatan akhirat yang kekal abadi!"
Jiwa Hamba

Selamat Berpuasa Sunat Hari Arafah

بسم الله الرحمن الرحيم


Esok hari Khamis 25 Oktober bersamaan 9 Zulhijjah 1433H, Jom kita pakat-pakat ajak anak isteri dan sahabat-sahabat seperjuangan agar menunaikan puasa sunat hari Arafat.

Puasa sunat Hari Arafat ini hanya disunatkan kepada mereka yang tidak mengerjakan Haji. Mereka yang sedang mengerjakan Haji tidak disunatkan berpuasa pada tarikh tersebut. Terdapat tegahan dari Nabi s.a.w. sebagaimana yang diceritakan oleh Abu Hurairah r.a.; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. menegah dari berpuasa pada hari ‘Arafah bagi jamaah haji yang berada di ‘Arafah” (Riwayat Imam Abu Daud, Ahmad, Ibnu Majah dan al-Hakim).

Hari ‘Arafah ialah hari sembilan Zulhijjah. Ia adalah hari terbaik sepanjang tahun kerana Nabi s.a.w. bersabda; “Tidak ada hari yang paling banyak Allah membebaskan hambanya pada hari tersebut dari neraka dari hari ‘Arafah” (Riwayat Imam Muslim).

Adapun disunatkan berpuasa pada hari tersebut, dalilnya ialah; hadis dari Abu Qatadah r.a. yang menceritakan;

وَسُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ عَرَفَةَ , فَقَالَ: يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ

Nabi s.a.w. ditanya tentang puasa hari ’Arafah. Baginda bersabda; “(Puasa hari itu) dapat menghapus dosa tahun lalu dan yang akan datang” (Riwayat Imam Muslim). NIAT: “Sahaja aku puasa sunat hari A’rafah esok hari kerana Allah Ta’ala.”

Jumaat, 19 Oktober 2012

Perbualan Dua Malaikat Ketika Menunaikan Haji

بسم الله الرحمن الرحيم

























Seorang ulamak yang juga ahli sufi terkenal iaitu Hasan Al-Basri, dalam suatu perjalanan pada suatu musim haji, telah berhenti rehat lalu tertidur. Semasa tertidur itu, beliau telah bermimpi tentang perbualan di antara dua Malaikat.

Berkatalah Malaikat pertama, “Sungguh ramai sekali orang menunaikan ibadah haji pada tahun ini.” 

Kata Malaikat kedua, “Yalah, tahun inilah paling ramai sekali orang menunaikan ibadah haji iaitu 700,000 orang.” Kata Malaikat yang pertama, “Tahukah kamu berapa orangkah yang mendapat Haji Mabrur?” Kata Malaikat yang kedua, “Hanya Allah jua yang Maha Mengetahui.” 

Berkata lagi Malaikat yang pertama, “Tidak seorang pun dari jemaah tersebut yang mendapat Haji Mabrur. Tahukah kamu mengapakah tidak ada seorang pun dari jemaah tersebut layak mendapat Haji Mabrur?” 

“Tidak!” Jawab Malaikat yang kedua.

Lalu Malaikat yang pertama memberitahu, “Mereka tidak layak mendapat Haji Mabrur kerana ada yang menunaikan ibadah haji sedangkan kewajipan tanggungannya dalam kekurangan diabaikannya; Ada di antara mereka menunaikan ibadah haji sedangkan jirannya yang berada dalam serba kekurangan tidak dihiraukannya; Ada pula antara mereka menunaikan ibadah haji untuk kali yang kedua dan ketiga untuk menunjuk-nunjuk sedangkan masih ramai lagi orang lain yang tersangat ingin untuk menunaikan ibadah haji tetapi tidak dipedulikannya. Akan tetapi ada seorang hamba Allah yang bernama Zaid seorang tukang kasut yang tinggal di kota Damsyik yang mendapat pahala Haji Mabrur.” .

Tatkala itu Hasan Al-Basri terjaga dari tidurnya dan masih teringat-ingat akan mimpinya. Beliau merasakan mimpinya itu adalah amat benar belaka lalu mengambil keputusan pergi ke Kota Damsyik untuk mencari Tukang Kasut tersebut.

Setelah berada di Kota Damsyik, maka Hasan Al-Basri telah berjaya bertemu seorang tukang kasut yang bernama Zaid. Beliau tidak tahu bagaimana hendak memulakan soalan dan akhirnya mengambil keputusan menceritakan perihal mimpinya itu.

Lalu berkatalah si Tukang Kasut.

“Sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu, saya tersangatlah rindu hendak mengunjungi Kota Makkah. Maka sejak dari itulah saya mula menabung sebahagian dari duit upah sebagai seorang tukang kasut. Maka pada tahun ini cukup sudah duit tabungan tersebut untuk saya menunaikan fardhu haji. Tetapi pada tahun ini juga isteri saya sedang hamil dan akan melahirkan anak. Isteri saya telah mengidam hendak memakan apa yang dibauinya dan meminta saya mendapatakan untuknya. 

Maka saya mendapati bau tersebut datangnya hasil masakan dari rumah yang serba kedaifan milik seorang Ibu Tunggal yang menyara enam orang anak. Kemudian saya menceritakan hasrat isteri saya mengidam hendak memakan masakannya. Lalu berkatalah Ibu Tunggal tersebut, masakan ini haram bagi kamu tetapi halal bagi kami. 

Saya tetap menyatakan hasrat untuk membelinya walau dengan berapa harga sekali pun. Lalu berkata lagi si Ibu Tunggal tersebut, makanan ini haram bagi kamu tetapi halal bagi kami. Kemudian diceritakannya masakan yang baunya harum semerbak itu adalah bangkai dari seekor keldai. Kami terpaksa memakannya agar kami tidak akan mati kebuluran. Lalu saya dengan berlinangan air mata, saya kembali ke rumah lalu menceritakannya kepada isteri saya. 

Setelah mendengarnya isteri saya juga menitiskan air mata dan kami mengambil keputusan memberi kesemua wang simpanan saya itu kepada Ibu Tunggal tersebut. 

Itulah apa yang dapat saya beritahu tuan.” Kata si Tukang Kasut kepada Hasan Al-Basri mengakhiri ceritanya. .

Hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, “Dalam hal agama dan kepatuhannya, kita mesti sentiasa melihat mereka yang lebih dari kita, agar kita terus berusaha. Manakala dalam hal keduniaan, barulah kita disuruh oleh Islam untuk melihat mereka yang kurang berbanding kita, agar kita lebih tahu untuk bersyukur dan tidak dijangkiti penyakit tamak.” (Riwayat At-Tirmidzi) .

والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam bishowab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

sumber: shafiqolbu.wordpress.com

Rabu, 17 Oktober 2012

AMALAN 10 HARI PERTAMA ZULHIJJAH

بسم الله الرحمن الرحيم


























oleh: Dr. Zaharuddin Abdul Rahman

BULAN Zulhijjah, khususnya 10 hari awalnya, adalah peluang kedua selepas Ramadan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredaan serta keampunan Allah SWT selain daripada pahala amalan.

Rasulullah SAW menyebut:

Sebaik-baik hari di dunia adalah 10 hari itu. (Riwayat al-Bazzar: Albani)

Ini juga dinyatakan dalam firman Allah SWT bahawasanya:

Demi Fajar dan hari-hari yang 10. (Al-Fajr, 1)

Majoriti ulama menyatakan 10 hari itu merujuk kepada hari pertama hingga 10 Zulhijjah dan bukan 10 terakhir Ramadan. (Zad Al- Ma’ad, Ibn Qayyim)

Ia juga disebut oleh baginda Rasulullah SAW bahawasanya:

Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya memperbanyakkan amalan daripada 10 hari ini. (Riwayat Al-Bukhari)

Sebagaimana kita sedia maklum, beberapa amalan digalakkan untuk sepanjang 10 hari terawal Zulhijjah yang diketahui sangat besar pahalanya, seperti:

1. Berzikir. 

Iaitu dengan memperbanyakkan zikir seperti ‘Subhanallah’, ‘Alhamdulillah’, ‘La ilaha Illa Allah’ dan ‘Allahu Akbar’. Ia bersumber daripada hadis riwayat At-Tabrani yang diakui sahih oleh Imam Al-Munziri di mana Allah SWT menyebut ertinya:

Supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.” (Al-Hajj, 28) 


























Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu’ adalah 10 hari Zulhijjah ini dan ini juga adalah pendapat majoriti ulama.

2. Berpuasa. 

Sangat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah) pula hari terbaik untuk berpuasa.

Rasulullah SAW bersabda mengenai kelebihan Hari Arafah, bahawasanya:

Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih daripada Hari Arafah. (Riwayat Muslim) 

Baginda juga menyatakan puasa itu menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

3. Melakukan amalan bersedekah, membaca al-Quran, solat sunat dan lain-lain. 

Ia semuanya termasuk di dalam umum hadis yang menunjukkan ia sangat disukai oleh Allah SWT.

4. Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan taubat bagi sesiapa yang masih teragak-agak dan menangguhnya.

Sungguh biadap jika umat Islam bersuka ria dengan melampaui batas haram pada hari yang sangat agung di sisi Allah SWT ini. Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.

5. Bertakbir.

Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa Saidina Ali menyatakan, permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu Asar hari ketiga tasyrik.

6. Melakukan sembelihan korban. 

Allah SWT berfirman:

dan berdoalah dan berkorban,” dan “Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) maka ia adalah daripada tanda ketakwaan hati. (Al-Hajj, 32) 

Hadis Riwayat At-Tarmidzi, Abu Daud, Gharib menyebut: “Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai Allah SWT pada hari korban kecuali berkorban (dengan menyembelih binatang).”

Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama, termasuk sahabat besar seperti Abu Bakar As-Siddiq RA, Umar Al-Khattab RA dan Ibn Mas’ud RA berpendapat ia WAJIB bagi mereka yang berkemampuan.

Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri daripada memotong rambut dan kuku. Ia berdasarkan hadis sahih riwayat Muslim bahawasanya:

"Barang siapa yang ingin menyembelih (berkorban), dan sudah masuk 10 awal Zulhijjah, maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya sehinggalah sampai korban dilaksanakan. (Muslim, 3/39)

Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.

Bagaimanapun, ia tidak termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah RA pernah meriwayatkan beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan korban.

"Aisyah RA menyebut bahawa tiadalah Rasulullah SAW mengharamkan apa- apa (ketika menunggu masa untuk menyembelih) hinggalah sampai waktu sembelihan. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Oleh itu, dibenarkan memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wuduk dan kewajipan lain. Tidak dibenarkan berkorban hanya dengan membayar harganya atau membeli daging lembu yang disembelih dari pasar, lalu disedekahkan atas niat korban.Tatkala itu, ia dianggap sedekah biasa saja dan bukan korban yang disyariatkan pada hari raya Aidiladha.

Pahala korban jauh lebih hebat daripada bersedekah harganya saja. Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain.

Firman Allah SWT:

"Daging unta dan darahnya sekali-kali tidak dapat mencapai (keredaan) Allah tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik.” (Al-Hajj, 37) 

Untuk melakukan korban, binatang yang sebaik-baiknya ialah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri dan kambing.

Dalam menentukan pembahagian daging ini, daging korban yang dilapah perlu dibahagikan satu pertiga kepada individu yang berkorban, satu pertiga kepada fakir miskin, jiran serta saudara mara dan selebihnya satu pertiga kepada sesiapa yang memintanya.

Ini berdasarkan firman Allah SWT bahawasanya:

Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan fakir, (Al-Haj, 28) 

Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya. (Al-Haj, 36) 

Bagaimanapun, dilarang memberi upah kepada tukang lapah dan penyembelih atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal). Namun, ia ‘harus’ jika termasuk daripada kalangan fakir miskin atau diberi secara sukarela orang ramai sebagai hadiah. Malah, daging korban juga tidak dibenarkan dijual sebagaimana dipersetujui majoriti ulama.

Selain daripada itu, dalam menentukan syarat sah korban, sesebuah organisasi atau syarikat tidak boleh mengeluarkan perbelanjaan dan menyembelih korban atas nama syarikat.

Ini adalah kerana korban mesti dilakukan oleh individu tertentu atau untuk individu tertentu, dan semestinya bukan untuk organisasi yang bukan manusia.

"Dalam melaksanakan korban ini, Rasulullah SAW menamakan hari sembelihan, iaitu 10 Zulhijjah sebagai Haji Akbar. (Riwayat Abu Daud dengan sanad sohih: Ibn Qayyim dan Albani). Sayyidina Ali Abi Talib juga pernah ditanya apa itu Haji Akbar, beliau menjawab: “Ia adalah hari sembelihan (iaitu haji raya pertama). (Riwayat At-Tirmidzi)

Menurut Ulama, itulah yang dimaksudkan dalam ayat surat At-Taubah tetapi sesetengah ulama lain membawakan hujah mereka mengatakan Haji Akbar itu adalah Hari Arafah.

Sesetengah ulama pula bersama sahabat seperti Ibn Abbas RA dan Ibn Umar RA yang menyatakan Haji Akbar adalah hari Arafah yang jatuhnya pada hari Jumaat dan pahalanya disebut sehebat 70 kali pahala Haji biasa.

Ia juga disebut oleh Imam Al-Ghazzali, ini bermakna pada Haji Akbar, semua orang yang berada di Arafah akan diampunkan. Namun, ada sahabat mengatakan Haji Akbar adalah hari Arafah yang jatuh pada hari Jumaat, manakala Saidina Ali pula mengatakan ia hari korban pada 10 Zulhijjah dan setengah yang lain pula menyebut ia adalah semua hari-hari wukuf di Mina (hari Tasyrik).

Akhirnya, perlu dipastikan bahawa tarikh hari raya Aidiladha menurut ijtihad pemerintah kerajaan Saudi bagi menyatukan umat Islam di seluruh dunia (kecuali jika benar-benar sesebuah negara itu mengikut rukyah).

Sumber: Bimbingan Agama Metro

Jumaat, 12 Oktober 2012

Mencari korban yang diterima Allah s.w.t

بسم الله الرحمن الرحيم

Umat Islam lazimnya menyambut Hari Raya Korban. Salah satu ibadah amaliah yang dilaksanakan pada sekitar Hari Raya Haji ialah ibadah korban. Berkorban (dalam istilah fekah disebut udhiyah) adalah menyembelih binatang ternak pada Hari Raya Aidiladha dan Hari Tasyrik dengan niat mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Inilah peristiwa besar yang melambangkan sejarah agama tauhid, pengorbanan yang ikhlas kerana Allah dan usaha terus menerus untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Ia merupakan amalan tradisi para nabi sejak Adam hingga Nabi Muhammad SAW.

Kita gembira melihat ramai kaum Muslim yang menyambut panggilan mulia ini, mengorbankan sebahagian harta atau haiwan ternak mereka. Kita tanamkan niat murni dan ikhlas ini kerana Allah SWT dan jangan sekali-kali ia dilakukan supaya lebih dihormati oleh masyarakat. Lebih dari itu berkorban itu biarlah benar-benar sesuai dengan tuntutan Rasulullah SAW.

Dalam satu riwayat dari Aisyah disebutkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tidaklah keturunan Adam melakukan suatu perbuatan pada hari nahr yang lebih dicintai Allah selain mengalirkan darah (menyebelih haiwan korban). Haiwan sembelihan itu akan datang pada hari Kiamat membawa tanduknya, kukunya dan bulunya. Sesungguhnya darah haiwan sembelihan itu sampai kepada Allah lebih dulu daripada sampai ke tanah. Maka sucikanlah diri kamu dengannya (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan At-Tarmizi). 

Al-Allamah Al-Manawi berkata, maksud hadis tersebut adalah bahawa ibadah yang paling utama pada hari itu adalah mengalirkan darah (menyembelih haiwan korban) dan pada hari Kiamat kelak, korban itu akan datang sebagaimana adanya ia di dunia, tidak berkurang sedikit pun. Dan orang yang berkorban akan diberi pahala dari setiap anggota tubuh haiwan korbannya itu.

Baginda Rasulullah sendiri dalam sebuah hadis mengungkapkan, orang- orang yang tidak melaksanakan ibadah korban sedangkan dia berada dalam keadaan mampu, maka jangan dekat kepada kami yang melaksanakan ibadah ini. Hakikatnya kita sebagai manusia sering bergelumang dalam dosa dan memiliki jarak antara dia dengan Allah. Manusia berkewajipan mendekatkan diri kepada-Nya. Salah satu caranya dengan berkorban. Kerana itu Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Barang siapa yang mempunyai keluasan rezeki, lalu tidak berkorban, maka janganlah mendekati tempat solat kami (Hadis Ibnu Majah dengan sanad sahih).

Dalam satu peristiwa yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibnu Majah dari Zaid bin Arqam, pernah seorang sahabat bertanya kepada baginda:

"Wahai Rasulullah, apakah erti korban ini?" ujar sahabat.

"Itulah sunah daripada nenekmu Ibrahim," jawab Rasulullah.

"Apakah keuntungan korban itu untuk kita?" tanya sahabat lagi.

"Tiap-tiap bulunya merupakan satu kebaikan (hasanah)," jawab Rasulullah.

Penyembelihan


kredit: http://digitalmukmin.com/
Seandainya ada sesuatu yang lebih utama daripada penyembelihan haiwan korban yang menjadi penebusan manusia atas segala nikmat, tentunya Allah tidak akan menyebutkan penyembelihan haiwan korban itu dalam firmannya yang bermaksud: Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar, sebagai tebusan atas Ismail a.s. (surah as-Shaffat ayat 107).

Berdasarkan keterangan hadis dan firman Allah yang diungkapkan dalam al-Quran, amalan korban berasal daripada Nabi Ibrahim yang kemudiannya diwarisi oleh baginda sebagai ibadah dalam syariat Islam yang sangat dianjurkan untuk dilaksanakan. Ibadah korban ini berasal dari zaman Nabi Ibrahim. Tatkala Nabi Ibrahim bersama puteranya Ismail selesai membina Kaabah di Mekah di atas arahan Allah sebagai pusat kegiatan bagi menegakkan dasar-dasar tauhid, Allah menguji kekuatan iman kedua-dua nabi ini. Pengorbanan itu adalah pengorbanan yang paling tinggi dalam hidup iaitu pengorbanan jiwa dan raga. 

Menurut Imam As-Syafiie, hukum korban adalah sunat muakad yang sangat dituntut kepada mereka yang mampu termasuk para hujjaj (jemaah haji) yang berada di Mina dan umat Islam yang berada di kampung halaman sendiri, kerana ia amalan yang sangat dikasihi Allah pada hari nahar (Hari Raya). Namun begitu, terdapat sebahagian ulama menyatakan ia wajib kepada mereka yang mampu berdasarkan firman Allah dalam surah Al-Kautsar ayat 2 yang bermaksud: Maka dirikanlah solat kepada Allah (Tuhanmu) dan berkorbanlah.

Di dalam al-Quran disebut tentang pengorbanan dua anak Adam. Anak pertama memberi korban dengan tulus ikhlas atas dasar niat untuk mematuhi perintah Allah SWT dan mendekatkan diri kepada-Nya. Sementara anak yang lain juga berkorban tetapi tidak berdasarkan ketulusan hati dan usaha sungguh-sungguh untuk mendekatkan diri kepada Allah. Oleh itu korban anak yang pertama diterima di sisi Allah manakala anak kedua tidak diterima oleh Allah. Allah berfirman dalam surah al-Maidah ayat 27 yang bermaksud:

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Haabil dan Qaabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang antaranya (Haabil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qaabil). Berkata (Qaabil): "Sesungguhnya aku akan membunuhmu." (Haabil) menjawab: "Hanya sanya Allah menerima (korban) dari orang- orang yang bertakwa."

Praktik ibadah korban ini kemudiannya diteruskan oleh Nabi Ibrahim sebagaimana firman Allah dalam surah As-Shaffat ayat 102.

Maka tatkala anaknya itu sampai ke peringkat umur yang membolehkan dia berusaha bersama-samanya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku. Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkan apa pendapatmu? Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintah kepadamu; insya-Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.

Mengapa Allah memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih Ismail kemudian membatalkan dan menebus dengan kibas? Ini bukan hanya ujian untuk kedua-duanya, bukan juga untuk membuktikan ketabahan keluarga Ibrahim tetapi juga untuk menjelaskan kepada siapa saja bahawa tiada sesuatu yang mahal untuk dikorbankan bila panggilan Ilahi telah datang. Inilah bukti iman sejati. Akan tetapi harus diingat bahawa pembatalan tersebut bukan kerana manusia terlalu mahal untuk berkorban atau dikorbankan kerana Allah, tetapi ia dibatalkan demi kasih sayang Allah kepada manusia.

Amalan berkorban bertindak mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah dan mendekatkan hubungan manusia dengan Allah ini dikenali sebagai amaliah yang bersifat vertikal. Sementara amaliah yang bersifat horizontal pula, ibadah penyembelihan korban meningkatkan hubungan antara manusia dengan manusia melalui pembahagian daging-daging korban terutama kepada golongan fakir dan miskin. Ini sebagai petunjuk bahawa takwa yang bersifat personal dan vertikal (hubungan hamba dengan Tuhan) sering tidak terpisah dengan hubungan hamba itu dan persekitarannya. Justeru, amal sosial seperti korban harus didasarkan kepada Allah. Melalui ibadah korban terselit maknawi yang mendalam bahawa manusia memerlukan pengorbanan dalam menuju kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Ibadah korban memanifestasikan rasa syukur dan puncak takwa. Ia sebagai tanda kembalinya manusia kepada Allah SWT setelah menghadapi ujian sehingga ada yang terpedaya dengan pujukan syaitan, menjauhkan diri daripada Allah serta mengerjakan larangan-Nya. Korban disyariatkan bagi mengingatkan manusia bahawa jalan menuju kebahagiaan memerlukan pengorbanan. Akan tetapi yang dikorban bukan manusia, bukan pula nilai-nilai kemanusiaan tetapi binatang sebagai petanda bahawa pengorbanan harus ditunaikan dan bahawa yang dikorbankan adalah sifat-sifat kebinatangan dalam diri manusia saperti sifat rakus, tamak, ego, mengabaikan norma, nilai dan sebagainya. Secara hurufiahnya, kesempurnaan ibadah korban ini bermaksud membunuh segala sifat kebinatangan yang terdapat dalam diri manusia. 

Korban 

Berpandukan kisah Haabil dan Qaabil tentang korban yang diterima oleh Allah, jelas menunjukkan, keikhlasan itu adalah satu sifat yang paling utama dalam ibadah. Amalan berkorban harus menggunakan haiwan yang baik dan tinggi kualitinya, tidak cacat, cukup umur serta banyak dagingnya. Meskipun, hal-hal berkaitan 'darah' atau daging itu tidak sampai kepada Allah, tetapi yang lebih penting adalah ketakwaan kepada Allah. Korban itu tidak memberi erti sama sekali untuk Allah kerana ia adalah Allah, yang Maha Agung, yang tidak memerlukan.

Dengan korban tersebut diharapkan agar takwa kita kepada Allah semakin meningkat. Oleh hal yang demikian, kunci kepada semua amalan sama ada sosial mahupun yang bersifat individual ialah takwa. Dalam hal ini Allah SWT berfirman yang bermaksud: Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu (surah Al-Hajj ayat 37)

Bila pengorbanan binatang ternak sebagai ritual keagamaan dilakukan pada hari-hari tertentu pada bulan korban, maka segala bentuk pengorbanan yang dilakukan umat Islam pada hari-hari yang lain juga dapat disebut pengorbanan bila disertai sikap takwa kepada Allah. Sikap itulah yang akan membezakan dari pengorbanan lain yang dilakukan demi kekasih, keluarga dan bangsa yang belum tentu diredai Allah.

sumber: *Artikel ini dipetik dari http://halaqah.net

Jumaat, 5 Oktober 2012

Masjid yang pertama di Jepun


Masjid Kobe adalah masjid yang pertama dibina di negara Jepun. Bangunan masjid ini telah didirikan pada tahun 1928 setelah mendapat restu daripada Emperor Showa (biiznillah). Beliau (Emperor Showa) pernah mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Khalifah Othmaniah sebelum jatuhnya Daulah Othmaniah Turki.

Subhanallah, masjid ini adalah satu daripada hanya beberapa bangunan yang lain yang terselamat apabila berlakunya gempa bumi yang sangat besar iaitu Hanshin Earthquake pada tahun 1995.

Sumber : https://www.facebook.com/ImamWaleed

Isnin, 1 Oktober 2012

BULAN ZULKAEDAH : ERTI, KELEBIHAN DAN PERISTIWA BERSEJARAH

بسم الله الرحمن الرحيم
kredit : Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 






PENGENALAN

Zul ertinya "yang empunya". Qa'dah ertinya "duduk". Ini membawa erti bahawa bulan Zulkaedah ialah bulan untuk berehat-rehat.

Sejak dari dahulu lagi, sebelum kedatangan Islam, masyarakat Arab telah mengiktiraf bahawa Zulkaedah adalah satu bulan daripada empat bulan yang mulia dan diharamkan berperang.

Maka masyarakat Arab jahiliah tidak keluar berperang pada bulan ini. Selain Zulkaedah, bulan Zulhijjah, Muharram dan Rejab juga adalah bulan haram ( bulan yang dimuliakan dan diharamkan berperang ).

Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah SAW mengekalkan kemuliaan empat bulan haram ini, mengekalkan namanya dan mengharamkan berperang padanya.

Bersempena inilah dinamakan ia dengan "Zulkaedah".

KELEBIHAN BULAN ZULKAEDAH 

Bulan Zulkaedah adalah satu dari empat bulan haram. Bulan haram adalah bulan yang amat dimuliakan. Bulan haram adalah bulan persaudaraan, perdamaian dan kemaafan.

Masyarakat kafir Quraisy menangguhkan permusuhan dan peperangan di bulan haram maka kita sebagai umat Islam hendaklah lebih menghormati bulan-bulan haram ini.

Eratkan silaturrahim, yang bermusuh, damaikanlah, yang berdendam, berlapanglah dan yang renggang, rapatkanlah, InsyaAllah hidup penuh berkat dan harmoni.

Tiada ibadah khusus dalam bulan Zulkaedah. Bulan Zulkaedah adalah bulan permulaan musim haji. Namun begitu sebahagian besar ulamak mengatakan bahawa umrah adalah lebih afdhal di bulan Zulkaedah berdasarkan Rasulullah SAW mengerjakan umrah-umrah beliau di bulan Zulkaedah dan haji tamattu' juga dimulakan di bulan Zulkaedah.

Daripada Abu Bakrah(1), sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya:

Sesungguhnya zaman itu berputar sejak awal waktu Allah menjadikan langit-langit dan bumi. Satu tahun mengandungi dua belas bulan ini, darinya empat bulan haram, tiga dari empat bulan ini berturut-turutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram dan satu bulan berasingan ialah Rejab di antara Jamadil Akhir dan Sya'aban. 

1. Peperangan Bani Quraizah 

Peperangan ini berlaku pada tahun ke 5 Hijrah. Setelah tentera Ahzab telah ditewaskan maka malaikat Jibril AS telah memberitahu Rasulullah SAW bahawa Allah SWT telah memerintahkan nabi agar pergi ke perkampungan Bani Quraizah.

Bani Quraizah ialah satu puak Yahudi yang telah terlibat bergabung dengan tentera Ahzab, mengepung umat Islam semasa perang Ahzab. Rasulullah SAW yang masih belum sempat melucutkan pakaian perangnya telah mengerah tentera Islam mengepung perkampungan Bani Quraizah sehinggalah mereka menyerah kalah.

2. Perjanjian Hudaibiyah 




Peristiwa ini terjadi pada bulan Zulkaedah, penghujung tahun ke 6 Hijrah. Antara sebab berlaku Perjanjian Hudaibiyah tersebut, Nabi SAW mengumumkan kepada kaum muslimin keinginan baginda Rasulullah SAW untuk berangkat pergi ke Mekkah bagi melaksanakan satu lagi ibadah iaitu dengan menunaikan ibadah umrah.

Hasil pengumuman tersebut yang diberitahu itu telah mendapat sambutan yang sangat baik oleh sekitar 1 400 orang sahabat dari kaum Muhajirin dan Ansar pada masa itu. Nabi Muhammad SAW berihram untuk ibadah umrah tersebut ditengah perjalanan dan membawa bersama-sama binatang yang boleh disembelih atau dikorbankan (al-hadyu) supaya ianya menjadi pentunjuk atau sebagai memberitahu kepada orang-orang lain bahawa Nabi Muhammad SAW keluar sedemikian bukan untuk bermaksud untuk berperang tetapi ianya semata-mata untuk menziarah ke Baitulullah iaitu Ka'abah, bagi menunaikan ibadah Umrah tersebut.

Dalam perjalanan ke Makkah, Rasulullah SAW telah disekat oleh kafir Quraisy dan dihalang dari memasuki Makkah. Berlaku beberapa perundingan dan ia membawa kepada perjanjian damai yang dinamakan "Perjanjian Hudaibiyah". Dalam perjanjian itu, Rasulullah SAW dibenarkan memasuki Makkah dan mengerjakan umrah hanya pada tahun hadapan serta tahun seterusnya dan gencatan senjata selama sepuluh tahun di antara Makkah dan Madinah.

3. Bai'atur Ridwan

Peristiwa ini berlaku sebelum terjadinya Perjanjian Hudaibiyah, Rasulullah SAW telah mengutus Usman RA ke Makkah untuk membahas masaalah mengapa rombongan Rasulullah SAW dihalang dari memasuki Makkah untuk mengerjakan umrah. Sesampainya di sana Usman bin Affan RA ditahan selama beberapa waktu oleh orang-orang Quraisy.

Dalam pada itu sampailah berita kepada Nabi Muhammad SAW bahawa Usman bin Affan RA telah mati dibunuh oleh orang-orang Quraisy. Maka Nabi Muhammad SAW dengan lantangnya menyatakan tekadnya : "Kami tidak akan tinggal diam, hingga kami berhasil menumpas kaum Quraisy".

Kemudian Rasulullah SAW mengajak berbai'at. Maka terjadilah Bai'atur Ridhwan di bawah sebatang pohon di tempat tersebut. Bai'at yang dimaksudkan ialah satu perjanjian yang berlaku antara Nabi Muhammad SAW bersama para-para sahabat yang ada ketika itu untuk bersatu padu dan bekerjasama menentang orang-orang kafir Quraisy.

Para sahabat berbai'at kepada Nabi Muhammad SAW untuk tidak takut dan lari meninggalkan medan perang sebagai tanda membalas dendam di atas kematian yang menimpa sahabat baginda Rasulullah SAW. Sementara itu Rasulullah SAW menepukkan tangannya yang satu ke tangan yang lain seraya berkata : "Pembai'atan ini untuk Usman bin Affan".

Setelah pembai'atan tersebut, yang mana telah didengari oleh pihak orang-orang Quraisy, barulah datang berita yang menyampaikan kepada Rasulullah SAW bahawa khabar terbunuhnya Usman bin Affan itu tidak benar.

4. Berlakunya Haji Wida'

Pada tanggal 25 Zulkaedah tahun ke 10 Hijrah, Rasulullah SAW meninggalkan Kota Madinah untuk menuju ke Kota Makkah bagi menunaikan Haji Wida' (Haji Penghabisan), baginda disertai seramai 10,000 kaum muslimin.

Haji tersebut adalah haji pertama Rasulullah SAW dan yang terakhir bagi baginda. Rasulullah SAW hanya mengerjakan sekali sahaja ibadah haji dan empat kali ibadah umrah sepanjang umurnya mengikut catatan sejarah.

5. Kematian Syeikhul Islam, Ibnu Taimiyah 


Nama lengkap Ibnu Taimiyah ialah Taqiyuddin Abdul Abbas Ahmad bin Abdul Salam bin Abdullah bin Muhammad bin Taimiyah Al-Harrani Al-Hambali. Beliau dilahirkan pada hari Isnin, 10 Rabiulawal 66l Hijrah bersamaan 22 Januari 1263 Masihi di Harran. Beliau adalah seorang yang amat berjasa dalam melaksanakan dasar "pembersihan" dalam Islam.

Apabila umat Islam sudah mula menyimpang dan mencampur adukkan unsur-unsur bid'ah dan khurafat dalam ajaran Islam pada zamannya maka beliau tampil berusaha mengembalikan mereka ke landasan Islam yang sebenarnya. Beliau juga meninggalkan ratusan buah kitab karangannya yang menjadi rujukan sehingga sekarang. Karangan terbesarnya ialah Fatawa Ibnu Taimiyyah yang menjadi rujukan ahli fiqh dan hukum sehingga ke hari ini. Beliau meninggal dunia hari Isnin, 20 Zulkaedah 728 Hijrah. (28 September 1328 Masihi), dalam usia 67 tahun, setelah sakit dalam penjara lebih dari 20 hari.

Beliau menghembuskan nafas yang terakhir di atas tikar solatnya, sedang dalam keadaan membaca Al-Quran. Walaupun beliau juga seorang yang banyak dibenci orang kerana pendirian tegasnya, tetapi jenazah beliau diiringkan ke pusara oleh 200,000 orang lelaki dan 15,000 orang wanita.

Sumber: http://www.al-azim.com/

Petua Wajah Berseri

بسم الله الرحمن الرحيم


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...