Ukhwah Islamiyyah

Memaparkan catatan dengan label Sunnah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sunnah. Papar semua catatan

Selasa, 25 Februari 2014

Sunnah Yang Diabaikan






















Solat Sunat Istisqa'

Istisqa’ bermaksud meminta siraman air.

Istisqa’ juga bermakna doa meminta hujan kepada Allah S.W.T dengan cara yang tertentu seperti berdoa ketika khutbah Jumaat, berdoa setelah selesai solat, doa secara sendirian (tanpa solat atau khutbah) dan mengerjakan solat Istisqa’.

Oleh itu solat sunat Istisqa’ adalah solat yang dikerjakan secara spesifik untuk memohon kepada Allah swt agar menurunkan hujan ketika terjadinya musim kemarau.

Sebagai mukmin,kita meyakini bahawa apa jua musibah seperti kemarau yang menimpa adalah salah satu tanda kemurkaan Allah SWT terhadap hamba-hamba-Nya yang tidak menurut perintah-Nya.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:

 ...وَلَمْ يَنْقُصُوا الْمِكْيَالَ وَالْمِيزَانَ إِلاَّ أُخِذُوا بِالسِّنِينَ وَشِدَّةِ الْمَئُونَةِ وَجَوْرِ
 السُّلْطَانِ عَلَيْهِمْ وَلَمْ يَمْنَعُوا زَكَاةَ أَمْوَالِهِمْ إِلاَّ مُنِعُوا الْقَطْرَ مِنْ السَّمَاءِ... 

 …Dan tidak akan ada suatu golongan yang mengurangi sukatan dan timbangan kecuali Allah akan mencabut nikmat-Nya dan menjadikan penguasa zalim memerintah mereka. Tidak ada orang yang menahan zakat daripada harta-harta mereka kecuali Allah akan menahan turunnya titisan air dari langit…
(Riwayat Ibnu Majah)

Justeru, Rasulullah saw telah mengajar umatnya agar mengerjakan solat Istisqa’, memperbanyakan doa serta istighfar (memohon keampunan) agar Allah swt mengampunkan dosa lalu Dia menurunkan hujan dan mengembalikan nikmat rezeki kepada para hamba-Nya.

Hukum solat Istisqa’ ini adalah sunat .

KAIFIAT PERLAKSANAAN SOLAT ISTISQA’

Antara perkara yang perlu dilakukan oleh para jemaah untuk solat ini ialah :

Puasa tiga hari, sambil itu bertaubat kepada Allah dengan meninggalkan segala dosa dan kezaliman.

1. Pada hari yang keempat, semua penduduk disuruh keluar dengan berpakaian sederhana menuju ke tanah lapang. Di samping itu binatang-binatang ternakan juga perlu dibawa bersama. Maka pada hari tersebut semua penduduk disuruh supaya memperbanyakkan membaca istighfar.

2. Pada rakaat pertama sesudah membaca surah al-Fatihah bacalah Surah Sabbihisma Rabbikal A’la, dengan suara keras. Dan pada rakaat kedua pula dibaca surah Hal Ataaka Hadithul Ghasyiah.

3. Sesudah itu, khatib harus membaca dua khutbah, pada khutbah yang pertama dimulai dengan membaca Istighfar 9 kali dan pada khutbah kedua pula dimulai dengan 7 kali istighfar.

4. Sunnah memperbanyak membaca doa minta hujan di dalam khutbah yang kedua, yang diucapkan oleh khatib terkadang dengan jahar (suara keras) dan terkadang dengan sir (suara perlahan) menzahirkan harapan dari alunan suara. Adapun jika doa itu diucapkan dengan jahar maka ma’mum mengucapkan “amin” dengan jahar pula, dan jika diucapkan dengan perlahan maka ma’mum berdo’a sendiri dengan perlahan juga .

5. Sunnah pada akhir khutbah yang kedua :
a) khatib menghadap qiblat (membelakangi makmum)
b) Bagi khatib dan sekalian makmum membalikkan selendangnya (serbannya) dengan menjadikan yang sebelah atas menjadi kebawah dan yang sebelah kanan menjadi kekiri.
c) kemudian berpaling lagi oleh khatib membelakangi kiblat pada akhir khutbah yang kedua itu. 

NIATNYA

 أُصَلِّي سُنَّةَ الإِسْتِسْقَاءِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى 

Maksudnya : Sahaja aku menunaikan solat ististiqa’ 2 rakaat kerana Allah Taala.

DOA SOLAT ISTISTIQA’

الْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِين . الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ مَالِكِ يَوْمِ الدِّيْنِ
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ يَفْعَلُ مَا يُرِيْدُ ، اللَّهُمَّ أَنْتَ اللهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ . أَنْتَ الْغَنِّيُ وَنَحْنُ الْفُقَرَاءُ
، أَنْزِلْ عَلَيْنَا الْغَيْثَ وَاجْعَلْ مَا أَنْزَلْتَ عَلَيْنَا قُوَّةً وَبَلاًغًا إِلَى حِيْنَ . 

Maksudnya : “Segala puji bagi Allah pemelihara alam semesta, Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Raja hari kiamat, tiada Tuhan yang maha benar selain Allah, Yang berbuat menurut kehendak-Nya. Ya Allah, Engkaulah Allah yang tiada Tuhan selain-Mu. Engkaulah Maha Kaya, sedangkan kami adalah papa, turunkanlah kepada kami hujan, dan jadikanlah apa yang Engkau turunkan itu menjadi bekal sampai beberapa lama.

PENCERAHAN :

A) Penampilan Fizikal Dan Mental Untuk Bersolat Istisqa’ Mereka yang mengerjakan solat Istisqa’ ini hendaklah menuju ke tempat perlaksanaan solat tersebut dengan penampilan sederhana, tawadhu’ (merendah hati), tadharru’ (bersungguh-sungguh dalam memohon) dan tamaskun (menunjukkan benar-benar perlukan permintaan tersebut)

B) Solat Istisqa’ Dikerjakan Secara Berjemaah Sebanyak Dua Rakaat.

C) Tidak Dilaungkan Azan Atau Iqamah Sebelum Solat Tersebut.

D) Dilaksanakan Sebagaimana Solat Hari Raya. Solat Istisqa’ dikerjakan sama sebagaimana solat Hari Raya yakni dengan melakukan tujuh takbir pada rakaat pertama dan lima takbir pada rakaat kedua.

E) Waktu Perlaksanaan Solat Istisqa’. Solat sunat Istiqa’ boleh dikerjakan pada bila-bila masa kecuali waktu yang diharamkan untuk bersolat.

F) Bacaan Dalam Solat Istisqa’ Adalah Secara Jahar (Kuat).

G) Tempat Perlaksanaan Solat Istisqa’. Tidak dikerjakan di dalam masjid atau surau tetapi di tanah yang lapang seperti padang atau halaman masjid yang luas.

RUMUSAN : Rasulullah saw sebagai ketua negara umat Islam telah turun bersama-sama rakyat untuk mengerjakan solat Istisqa’ ini. Lantaran itu pada masa kini terdapat beberapa negara-negara Islam di timur tengah yang mana para pemerintah tertinggi sesebuah negara itu turut turun bersama rakyat jelata untuk mengerjakan solat Istisqa’ ini Kita ternanti-nanti bila sunnah ini akan diamalkan pula oleh pemerintah di Malaysia.

Wallahu a'lam

Selasa, 11 Februari 2014

Garam - Amalan Sunnah Yang Jarang Diketahui

Amalan Rasulullah S.A.W memakan secubit garam sebelum dan selepas makan kini dibuktikan oleh para saintis bahawa tabiat ini menambahkan keberkesanan perut untuk menghadam makanan dan menghindarkan perut dari menyerap racun.

Pada zaman Yunani, Tentera Yunani ( askar Greek ) dibayar gaji menggunakan garam. Begitu juga dengan episod penjajahan negara kecil oleh negara besar dengan mengenakan hukuman penjara kepada penentang mereka.

Apabila dipenjarakan, mereka ( penentang ) akan diberi makanan seperti roti dan air tanpa garam. Walaupun kerap dihidangkan dengan roti dan air tanpa garam, badan mereka tetap lemah memandangkan kurangnya kandungan garam dalam badan.

Dari Abdullah Bin Umar ”Sesungguhnya ALLAH menurunkan empat perkara berkat ( mempunyai kebaikan ) dari langit ( menerusi hujan ) ke bumi iaitu besi, api, air dan garam” 

Hadis Riwayat Al-Baghawiy dalam tafsirnya. Dari Anas Bin Malik, Nabi s.a.w. bersabda ;

”Penghulu segala lauk pauk kamu ialah garam ."

Dalam kitab perubatan Islam, untuk penyakit dari laut maka untuk keluarkannya dari badan / merawatnya dari laut juga iaitu menggunakan air garam.

Antaranya:

1. Penyakit Ghaut – timbus anggota badan atau bahagian yang bengkak dengan pasir laut ( tepi pantai ) 1 – 2 jam kemudian mandi air laut.

2. Kalau tinggal di bandar, goreng 1 – 2 genggam garam kasar sampai kekuningan kemudian demah / tuam di bahagian yang bengkak atau sakit. Garam itu dibungkus dengan kain.

3. Guna cara yang sama seperti di atas untuk penyakit lenguh-lenguh sendi, sakit kepala, senggugut. Kalau sakit lelah demah / tuam pada tapak kaki.

4. Elak mabuk semasa perjalanan dengan meminum madu dan secubit garam atau air suam dan secubit garam sebelum memulakan perjalanan.

5. Mengembalikan tenaga untuk orang yang bekerja berat seperti bertani, bersukan dan seumpamanya – minum air suam dan sedikit garam. 

6. Cuci perut : minum air suam dan satu butir garam kasar sebelah pagi.

Petua berdasarkan kajianMerendam kerang supaya hilang tahinya. Dalam kaedah perubatan Islam, sesuatu perkara yang buruk diubat dengan asalnya. Kerang berasal dari laut, dan garam digunakan untuk meneutralkan keburukannya (tahi).

Mengurang tahap kemasinan ikan masin. Ikan kering yang terlalu masin boleh dikurangkan kadar kemasinannya dengan merendam dalam air garam juga.

Merawat cirit-birit. Ia boleh diubati dengan meminum air yang dicampur sedikit garam.

Garam diguna untuk merawat kegatalan. Air yang dicampur garam disapukan pada kulit yang gatal. 

Menambah imuniti badan akibat perubahan hawa / angin. Hal ini berlaku di sesetengah tempat di negeri Arab. Misalnya pelajar Malaysia yang berkunjung ke Arab akan mengalami alahan terhadap hawa / angin tempat baharu. Air garam diminum sebagai ubatnya.

Selasa, 21 Januari 2014

3 Jenis Sunnah Nabi Yang Perlu Anda Ketahui


























1. Sunnah SURAH : iaitulah fizikal atau luaran nabi seperti rambut nabi, janggut nabi, pakaian nabi, serban nabi, shawl nabi, selipar nabi, celak nabi dan sebagainya.

2.  Sunnah SIRAH : iaitulah aktiviti harian nabi dari bangun tidur sampai tidur balik seperti cara berjalan, cara makan, cara solat, cara pakai baju, cara naik kenderaan, cara tidur, cara beristinjak, bacaan quran nabi, solat nabi, qiamullail nabi dan lain-lain lagi.

3.  Sunnah SARIRAH : iaitulah perkara spiritual atau dalaman nabi seperti zikir nabi, pedih hati nabi, tangisan hati nabi, kerisauan nabi terhadap ummat, kepedihan hati nabi melihat kerosakan ummat, kebencian nabi terhadap kemungkaran dan lain-lain lagi.

Menurut ustaz Ibnu Battoota, Sunnah Surah (cara nabi sollallahu'alaihi wasallam BERPAKAIAN) adalah amalan sunnah PALING SUSAH diamalkan pada masa kini. Sebabnya ialah kerana majoriti ummat Islam hari ini lebih selesa mengamalkan pemakaian orang-orang kafir dan mengikuti orang Yahudi berpakaian. 

Sedangkan orang yang mengamalkan sunnah surah contohnya orang yang sentiasa memakai jubah dan serban (yang menjadi kebanggan Nabi sollallahu'alaihi wasallam) dianggap aneh, pelik, kolot dan ketinggalan zaman.

Subhanallah, tidak hairanlah Nabi sollallahu'alaihi wasallam pernah bersabda bahawa siapa yang dapat amal sunnah di akhir zaman, maka dapat pahala seratus orang mati syahid.

“Dari Ibnu Abbas ra. Bahawa Nabi SAW yang berkata: “Barangsiapa yang berpegang dengan ) sunnahku, ketika berlakunya pelbagai kerosakan pada ummatku (akhir zaman). Maka baginya pahala seratus orang yang mati syahid”. (Riwayat Baihaqi)

Dalam riwayat Thabrani dari Abu Hurairah ra. ada sedikit perbedaan, iaitu katanya: Baginya pahala orang yang mati syahid. (At-Targhib Wat-Tarhib 1:44)

Subhanallah. Maha Suci Allah. Besar sungguh ganjaran bagi mereka yang dapat amalkan sunnah di akhir zaman ini.

Semoga kita sama-sama dapat cuba untuk mengamalkan sunnah seberapa banyak yang mungkin, dengan istiqamah.

Ahad, 29 September 2013

Kita ditipu oleh Yahudi tentang daging kambing


Mereka yang berpangkat doktor menyarankan kita supaya mengelakkan dari memakan daging kambing, kerana daging kambing boleh menyebabkan panas badan. Ada juga doktor yang mengatakan kandungan lemak dan kolesterol pada daging kambing tinggi serta seringkali daging kambing dituding sebagai penyebab darah tinggi dan sakit jantung.

Sebenarnya, daging kambing adalah makanan kegemaran Rasulullah S.A.W. Setiap sunnah nabi mesti ada kelebihannya. Oleh kerana orang barat (yahudi) tidak mahu kita ikut sunnah nabi, pelbagai kenyataan mereka keluarkan. Tetapi hakikat sebenarnya banyak manfaat, khasiat dan kesan daripada kambing sama ada memakan dagingnya atau digembala sehingga ia digelar terapi kambing.

Daging kambing adalah daging yang paling baik

Kajian dari Persatuan Jantung Amerika menyatakan, daging kambing baik untuk mereka yang mempunyai masalah berkaitan jantung. Ini disebabkan daging tersebut tinggi kualiti proteinnya dengan nisbah kandungan lemak yang sihat. Struktur molekul daging kambing yang berbeza menjadikan daging kambing lebih mudah dihadam. Ia juga amat sesuai untuk mereka yang menjaga kesihatan. Bukan setakat itu sahaja, malah jika dibandingkan, daging kambing mengandungi zat besi dan kandungan potasium yang rendah kandungan mineralnya. Dagingnya lebih pejal dan lebih rendah kalori daripada daging lembu dan ayam tanpa kulit. Kesemua asid amino yang diperlukan ada di dalam daging kambing.

Pengurai Kolestrol Tepu

Daging kambing yang rendah kandungan proteinnya menjadikan ia terkecuali daripada membentuk sebarang ikatan kolestrol akibat amalan pemakanan yang tidak sihat.

Ikatan kolestrol tepu boleh dielakkan sekiranya Omega 3 terdapat di dalam darah, tetapi Omega 3 tidak mampu mengurai kolestrol yang telah terbentuk. Hanya ikatan hidrogen dan karbon (kolestrol lembut) sahaja yang boleh menguraikan ikatan hidrogen dan karbon (kolestrol kasar). Oleh itu, kolestrol yang terbentuk dalam badan tidak boleh diurai dengan sebarang bahan melainkan dengan kolestrol kambing sahaja.

Vitamin C dan chitosan yang digunakan untuk menyelaputi protein boleh mengakibatkan pembentukan kolestrol yang lebih bahaya sekiranya ia diserap oleh darah. Sekiranya kandungan kolestrol tepu jenis ini banyak terdapat didalam darah, ia boleh mengakibatkan masalah jantung.

Sodium yang digunakan untuk mengawet daging serta untuk menyedapkan rasa daging akan membentuk kolestrol tepu yang halus. Biasanya kaedah ini digunakan untuk membuat daging burger. Selain itu memakan makanan yang tinggi protein yang dicampurkan dengan perasa makanan seperti MonoSodium Glutamat (MSG) juga akan membentuk kolestrol tepu yang sangat halus. Ia boleh dipam naik ke bahagian otak dan sekiranya tersekat, ia boleh menyebabkan strok .

Pencegah Penyakit Darah Tinggi Dan Obesiti

Kolestrol kambing boleh menguraikan kolestrol dalam darah yang menjadi punca kepada penyakit darah tinggi. Kolestrol kambing yang menguraikan darah yang tercemar dengan kolestrol tepu akan menyebabkan isipadu darah meningkat. Pesakit darah tinggi yang mengambil daging kambing akan mengalami gejala penguraian akibat peningkatan isipadu darah seperti pening.

Walaupun daging kambing bertindak sebagai pengurai protein yang terbaik, tetapi pesakit darah tinggi yang tidak tahan dengan kesan pembongkaran penguraian ini dinasihatkan agar tidak mengambil daging kambing sebagai terapi. Tetapi bagi mereka yang tidak mengalami masalah tekanan darah tinggi dinasihatkan agar mengamalkan pemakanan daging kambing untuk mengelakkan penyakit darah tinggi.

Lemak di bawah permukaan kulit terbentuk akibat kolestrol yang gagal dicerna oleh hati. Ia akan menyebabkan masalah obesiti (kegemukan) jika terdapat dalam jumlah yang banyak. Pesakit obesiti yang mengambil daging kambing akan mengalami masalah tekanan darah yang tidak stabil dan turut mengalami pening kepala akibat kesan pembongkaran kolestrol tepu oleh kolestrol kambing. Selain itu, daging kambing akan membakar lemak yang berlebihan dalam badan. Kesan pembakaran lemak akan mengakibatkan gejala pembongkaran seperti panas badan, berpeluh dan telinga berdengung.

Mencantikkan Kulit

Vitamin C semulajadi yang tidak teroksida juga terdapat dalam daging kambing. Vitamin C tidak teroksida amat penting untuk pembinaan dan ketahanan sel kulit. Vitamin C yang tidak teroksida akan menyeimbangkan dan mengurangkan bebanan fungsi hempedu serta mencantikkan kulit.

Pengambilan protein yang secara berlebihan akan menyebabkan ia tersimpan di bahagian bawah kulit akan mudah teroksida dan bertindak balas dengan sel kulit untuk membentuk tenaga. Proses ini akan mengakibatkan kulit kelihatan hangus dan gelap sekiranya berjemur di bawah sinaran matahari. Vitamin C daripada daging kambing akan memberi lebih ketahanan terhadap kulit daripada bertindak balas terhadap protein yang terkena cahaya matahari.

Mengamalkan memakan daging kambing adalah salah satu cara semula jadi untuk mendapatkan kulit yang lebih putih dan cantik.

Meningkatkan Rasa Kasih Sayang Dan Kegembiraan

Sistem darah (NW18) berkaitan dengan kawasan Thalamus (NW3). Thalamus berfungsi sebagai penjaga kasih sayang. Sistem darah yang sihat dan kuat akan memastikan bahagian Thalamus juga kuat dan membantu mewujudkan perasaan kasih sayang.

Jantung akan menjadi lebih lembut dan lancar pergerakannya apabila menerima kolestrol daging kambing. Jantung yang lembut akan mewujudkan perasaan yang gembira. Jantung yang lancar pergerakannya akan mudah tersentuh dan terpesona dengan sesuatu yang mengusik perasaannya. Oleh itu ia akan membahagiakan dan mewujudkan perasaan kecintaan (kasih sayang).

Mereka yang mengamalkan pemakanan daging kambing akan merasa tenang dan gembira serta mudah merasa getaran kasih sayang. Amalkanlah pemakanan daging kambing sekiranya menghadapi masalah sukar merasai nikmat kasih sayang dan getaran kecintaan.

Inilah tipu helah yahudi untuk menjatuhkan umat islam terutamanya.

Wallahu'Alam.

Ahad, 14 Julai 2013

Amalan Sunah Pada Bulan Ramadan


Ramadan yang menjelma pada setiap tahun merupakan bulan yang sangat yang dinanti-nantikan oleh umat Islam dengan berbagai persiapan sama ada dari segi mental mahu pun fizikal mereka. Kedatangan Ramadan adalah membawa satu ibadah khusus buat umat Islam iaitu diwajibkan berpuasa.

Berpuasa ialah dengan menahan diri dari lapar dan dahaga serta mengawal semua pancaindera daripada berbuat perkara yang dilarang di samping mengekang nafsu syahwat.

Berpuasa yang mengikut sunah adalah satu ibadah seperti dalam sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesiapa menghidupkan sunahku ketika umatku rosak maka baginya mendapat pahala seratus orang mati syahid”. 

Amalan Sunah Terpenting Pada Bulan Ramadan 

  • Mengucapkan “Marhaban ya Ramadan”. 
  • Niat berpuasa sebulan pada malam pertama dan seterusnya berniat pada tiap-tiap malam berikutnya. 
  • Solat Isyak berjemaah di masjid / surau 
  • Solat Tarawih 20 rakaat diikuti solat Witir 3 rakaat. 
  • Tadarus membaca al-Quran dengan bersemak dan berturut-turut juzuk. 
  • Sebelum tidur malam membaca empat ayat terakhir surah al-Kahfi, supaya dikejutkan bangun jam 4.00 pagi. 
  • Bangun jam 4.00 pagi untuk Qiamullail ringan (Solat Tahajjud, solat Taubat dan solat Hajat) selama setengah jam. 
  • Jam 4.30 pagi kaum ibu masak sahur. 
  • Jam 5.00 – 5.15 pagi makan sahur. 
  • Jangan tidur sesudah sahur 
  • Solat Subuh berjemaah di masjid 
  • Tadarus pendek selepas Subuh 
  • Apabila matahari tinggi segalah, lakukan solat sunat Isyrak 
  • Menjalankan kerja harian dan menjaga pancaindera dari melakukan dosa. 
  • Tunaikan solat sunat Dhuha antara jam 8-11 pagi. 
  • Lakukan solat sunat Kafarah Baul 2 rakaat pertama selepas Fatihah baca Surah al-Kautsar 7 kali dan rakaat kedua selepas Fatihah baca Surah Ikhlas 7 kali. 
  • Jam 12.00 tengahari tidur Qailullah selama ½ - 1 jam (ganti berjaga satu jam pada waktu sahur). 
  • Solat Zuhur berjemaah. 
  • Tadarus pendek selepas Zuhur. 
  • Sebelah petang kaum ibu menyediakan juadah berbuka puasa. 
  • Solat Asar berjemaah di masjid. 
  • Masa petang jangan gunakan untuk bersiar-siar atau menonton TV yang melibatkan kemaksiatan atau kelalaian. Sebaik-baiknya digunakan utnuk mengikuti majlis-majlis ilmu atau berdoa kerana waktu itu amat mustajab untuk berdoa. 
  • Berbuka ala kadar dengan minuman yang belum dipanaskan api dan buah kurma atau buah tempatan. Segera solat Maghrib berjemaah di masjid. 
  • Makan malam bersama keluarga. 
  • Bersiap sedia untuk pergi ke masjid menunaikan solat Isyak dan Tarawih secara berjemaah.
Dipetik daripada Ramadan Tiba Lagi, terbitan Yamani Angle

Jumaat, 12 Julai 2013

MAKANAN KEGEMARAN RASULULLAH S.A.W




























1. Barli – Bagus untuk demam jika dibuat sup / air minuman.

2. Kurma – Nabi berkata rumah yang tidak mempunyai kurma adalah seperti rumah yang tidak ada makanan.

3. Buah Tin – Buah dari syurga. Boleh mengubati buasir.

4. Anggur – Nabi suka buah anggur. Ia membersihkan darah, menguatkan buah pinggang, membersihkan perut

5. Madu – Ia adalah makanan segala makanan, minuman segala minuman, ubat segala ubat. Mengubati cirit birit jika dibancuh dengan air panas, membuka selera, menguatkan perut, membuang kahak. Elok diminun waktu pagi dengan air suam.

6. Tembikai (Segala Jenis) – Nabi berkata wanita mengandung tidak akan gagal melahirkan anak yang baik dari segi perwatakkan dan wajahnya.

7. Susu – Nabi berkata susu baik untuk membuang panas badan. Menguatkan belakang,memperbaiki otak memperbaharui pandangan mata, membuang kelupaan.

8. Cendawan – Baik untuk mata, perancang keluarga.

9. Minyak Zaitun – Rawatan kulit dan rambut. Melambatkan penuaan, merawat radang perut.

10. Delima – Membersihkan tubuh dari syaitan & bisikan syaitan selama 40 hari.

11. Cuka – Nabi selalu meminum dengan minyak zaitun (Trend yang popular di restoran Itali)

12. Air – Minuman terbaik. Jika dahaga hendaklah disedut perlahan-lahan. Jangan diteguk. Mudah mendapat sakit pada hati ~

SUMBER: Kami Peminat Ustaz Mohd Kazim Elias

Rabu, 10 Julai 2013

BERSEDEKAH WALAU DENGAN SEBIJI KURMA

بسم الله الرحمن الرحيم


SEMUA orang tahu sedekah itu besar pahalanya, malah sedekah boleh menjadi pendinding kita daripada api neraka. Walaupun bersedekah boleh dibuat pada bila-bila masa namun sepanjang bulan Ramadan, kecenderungan dan keghairahan bersedekah lebih tinggi.

Rasulullah SAW menggalakkan umat baginda bersedekah walaupun hanya dalam bentuk cuma sebelah buah kurma. Ini terbukti melalui hadis baginda yang bermaksud: Dari ‘Adi bin Hatim r.a. kata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Siapa yang sanggup mendinding dirinya dari api neraka. Walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma, maka hendaklah dia lakukan (segera). (Hadis nombor 972 daripada Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV)

Satu lagi hadis baginda bermaksud: Dari ‘Adi bin Hatim r.a. kata: Bahawa Rasulullah SAW pernah bercerita mengenai mereka, lalu baginda berlindung kepada Allah daripadanya, dan memalingkan mukanya tidak kali. Kemudian baginda bersabda, Peliharalah dirimu daripada api neraka, walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma. Jika kamu tidak sanggup, maka dengan tutur kata yang baik. (Hadis nombor 973 dari Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV)

Ini bermakna amalan bersedekah itu amat dituntut termasuk di kalangan mereka yang miskin. Penerima sedekah barangkali boleh memberi sebahagian daripada sedekah yang diterimanya kepada orang lain yang lebih memerlukan sedekah.

Dengan hanya sebelah buah kurma pun digalakkan bersedekah atau paling tidak pun bersedekah dalam bentuk menggunakan tutur kata yang baik, maknanya dalam konteks kita di Malaysia, tidak ada sebab untuk kita tidak bersedekah walaupun barangkali kita adalah merupakan orang sering diberi dan menerima sedekah.

Orang Malaysia tidak akan membeli hanya sebiji buah kurma untuk berbuka puasa, sebaliknya akan membeli sekotak dan akan dipilih daripada jenis yang baik, malah akan dipilih pula kurma yang diimport.

Tok fakir pun pilih kurma yang ada tangkai atau kurma segar untuk berbuka puasa. Namun, masih ramai umat Islam di negara kita yang memilih untuk menjadi penerima daripada memilih menjadi pemberi sedekah.

Ada yang sanggup sewa kereta berpemandu sehari suntuk untuk membawa satu keluarga meminta sedekah bermula pada minggu ketiga Ramadan dan jumlahnya akan bertambah bila 1 Syawal semakin dekat.

Daripada setiap tangan yang menghulur diharap paling kurang pun RM10. Kalau sekadar hulur RM5 atau RM1, apatah kalau 50 sen atau jumlahnya lebih kecil, pasti peminta sedekah akan tarik muka masam, malah siap dengan seranah lagi.

Kalau pemberi sedekah bertindak balas dengan kata-kata kesat juga, maka hilanglah pahala bersedekah. Anggap saja muka masam dan seranah penerima sedekah kita itu sebagai suatu bentuk ujian. Malah ia akan mendatangkan bonus pahala kepada kita kalau kita mampu bersabar.

Penerima sedekah yang mencerca pemberi sedekah atau tidak berpuas hati dengan jumlah sedekah yang diberikan akan menerima seksa yang pedih.

Ini dijelaskan oleh Allah dalam firmannya yang bermaksud: Orang munafik, yakni mereka yang mencela orang-orang mukmin yang memberikan sedekah dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang yang yang tidak memperoleh (sesuatu untuk disedekahkan) selain hasil jerih payah mereka. maka orang-orang munafik itu menghina mereka. Allah akan membalas penghinaan mereka dengan seksaan yang pedih. (at-Taubah: 79)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah bersabda: Hai, wanita muslimat! Janganlah kamu meremehkan pemberian tetanggamu, walaupun hanya berupa kuku kambing. (Hadis nombor 988 daripada Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV)

Di samping itu, pemberi sedekah pula dilarang menghitung-hitung sedekah yang diberi dan bakal diberi. Larangan itu terbukti melalui hadis baginda yang bermaksud: Dari Asmai binti Abu Bakar r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda: Bersedekahlah kamu dan jangan menghitung-hitung kerana Allah akan menghitung-hitung pula pemberian-Nya kepadamu, dan jangan kikir kerana Allah akan kikir pula kepadamu. (Hadis nombor 987 daripada Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV)

Rabu, 20 Februari 2013

Potong Kuku Mengikut Sunnah

























Jom potong kuku mengikut sunnah

Imam Ghazali ada mengajarkan kepada kita cara-cara memotong kuku mulai dari tangan kanan barulah kekiri:

Tangan kanan = Mula daripada jari telunjuk-jari tengah-jari manis-jari kelengking-ibu jari.

Tangan kiri = Mula daripada jari kelengking-jari manis-jari tengah-jari telunjuk-ibu jari.

Senang je, kan..?

Semoga kita dapat pahala sunnah...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...