Ukhwah Islamiyyah

Memaparkan catatan dengan label Hadis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hadis. Papar semua catatan

Ahad, 14 Jun 2015

Pekerjaan Apa yang Paling Baik? Ini Jawaban Rasulullah





















Pekerjaan apakah yang paling baik dan paling mulia? Melalui empat hadits shahih ini, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam menerangkannya kepada kita.

Dari Sa’id bin Umair dari pamannya, dia berkata,

  سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- أَىُّ الْكَسْبِ أَطْيَبُ قَالَ : عَمَلُ الرَّجُلِ بِيَدِهِ وَكُلُّ بَيْعٍ مَبْرُورٍ

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ditanya, “Pekerjaan apakah yang paling baik?” Beliau menjawab, “Pekerjaan seseorang dengan tangannya sendiri dan semua pekerjaan yang baik.” (HR. Baihaqi dan Al Hakim; shahih lighairihi)

Dari Khalih, ia berkata,

سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَفْضَلِ الْكَسْبِ فَقَالَ بَيْعٌ مَبْرُورٌ وَعَمَلُ الرَّجُلِ بِيَدِهِ

Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ditanya tentang pekerjaan yang paling utama. Beliau menjawab, “perniagaan yang baik dan pekerjaan seseorang dengan tangannya sendiri” (HR. Al Bazzar dan Thabrani dalam Al Mu’jam Kabir; shahih lighairihi)

Dari Ibnu Umar, ia berkata,

سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الْكَسْبِ أَفْضَلُ ؟ قَالَ : عَمَلُ الرَّجُلِ بِيَدِهِ وَكُلُّ بَيْعٍ مَبْرُورٍ

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ditanya, “Pekerjaan apakah yang paling utama?” Beliau menjawab, “Pekerjaan seseorang dengan tangannya sendiri dan semua perniagaan yang baik.”
(HR. Thabrani dalam Al Mu’jam Kabir; shahih)

Dari Rafi’ bin Khadij, ia berkata,

قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَىُّ الْكَسْبِ أَطْيَبُ قَالَ عَمَلُ الرَّجُلِ بِيَدِهِ وَكُلُّ بَيْعٍ مَبْرُورٍ

Rasulullah ditanya, “Wahai Rasulullah, pekerjaan apakah yang paling baik?” Beliau menjawab, “Pekerjaan seseorang dengan tangannya sendiri dan setiap perniagaan yang baik.”
(HR. Ahmad dan Al Bazzar; shahih lighairihi)

Dari keempat hadits tersebut, meskipun kadang Rasulullah ditanya dengan istilah “pekerjaan yang paling baik” dan kadang ditanya dengan istilah “pekerjaan yang paling utama”, ternyata jawaban beliau hampir sama. Yakni pekerjaan seseorang dengan tangannya sendiri dan perniagaan yang baik.

Pekerjaan dengan tangan sendiri maksudnya adalah pekerjaan yang dilakukan seseorang tanpa meminta-minta. Pekerjaan itu bisa berupa profesi sebagai tukang batu, tukang kayu, pandai besi, maupun pekerjaan lainnya. Dalam hadits yang lain dicontohkan pekerjaan seseorang yang mencari kayu bakar. Profesi dokter, arsitek, dan sejenisnya di zaman sekarang juga termasuk dalam hadits ini.

Sedangkan perniagaan yang baik maksudnya adalah perniagaan atau perdagangan yang bersih dari penipuan dan kecurangan. Baik kecurangan timbangan maupun kecurangan dengan menyembunyikan cacatnya barang yang dijual.

Jadi, dalam Islam, pekerjaan apapun baik. Pekerjaan apapun bisa menjadi pekerjaan paling baik. Asalkan halal dan bukan meminta-minta. Baik menjadi karyawan, profesional, pebisnis maupun pengusaha, semua punya peluang yang sama. Masya Allah… indahnya…
[Muchlisin BK/bersamadakwah]

*Maraji': Shahih At-Targhib wa At-Tarhib dan Maktabah Syamilah

Isnin, 4 November 2013

Muharram 1435H Tiba

























Muharram tiba lagi, tahun silih berganti dengan cepatnya, kita semakin menghampiri kiamat. Sudah bersediakah kita dengan bekalan amalan? Dalam persediaan itu jangan pula kita tersalah jalan tersasar dari yang sahih sehingga merugikan... Ramai daripada kalangan masyarakat yang bertanya:

❓ Benarkah sebaran mengenai catatan amalan ditutup pada akhir tahun, dibuka pada awal Muharram, dan ganjaran orang memperingatkan tentang muharram?

Ada beberapa perkara yang agak keliru dikaitkan dengan bulan Muharram. Antaranya, hijrah Rasulullah saw dikatakan berlaku pada 1 Muharram, doa awal tahun dan buku catatan amalan ditutup dan dibuka yang baru.

➡ HIJRAH:

Hijrah Rasulullah saw ke Madinah bermula pada bulan Safar. Manakala sahabat-sahabat lain ramai yang berhijrah beberapa bulan sebelum Baginda. Baginda sampai di Madinah pada bulan Rabi'ulAwwal. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, kitab sirah karangan Safiy al-Rahman al Mubarakfuri) Bukan bulan Muharram.

Jadi, ada sedikit kekeliruan pada lirik nasyid yang kita dendangkan semenjak kecil dahulu... " Satu Muharram detik permulaan... perpindahan nabi dan umat Islam..." 

Agak pahit untuk menyampaikan, apatah lagi hendak ditelan, tetapi kebenaran bukan untuk terus disimpan. 

Muharram adalah bulan pertama dari 12 bulan dalam perkiraan orang-orang Arab sejak zaman jahiliyyah. Namun mereka tidak ada sistem tahun seperti sekarang. Maka khalifah Umar al-Khattab r.a memutuskan, selepas perbincangan dengan para sahabat yang lain, perkiraan tahun bagi umat Islam ialah bermula pada tahun hijrah Rasulullah saw. Pada tahun Rasulullah berhijrah itu, Baginda berhijrah dari tempoh Safar hingga Rabiul Awwal, bukan dalam 1 Muharram.

➡ DOA AWAL TAHUN (DAN BERANGKAI DENGAN DOA AKHIR TAHUN)

Doa itu ibadah, begitu juga memohon ampun, boleh dilakukan pada bila-bila masa yang sesuai. Termasuklah doa kita contohnya, "Ya Allah, semoga bermula tahun baru hijrah ini, bertambah iman dan ilmuku, dan semakin baik amalanku."

Namun doa awal tahun dan akhir tahun, yang dibaca dengan kaifiyyat tertentu dikritik oleh para ulama’, kerana ia disandarkan kepada sebuah riwayat yang antaranya; ‘Menganjurkan dibaca doa itu 3 kali, dan syaitan pun dikatakan kecewa tidak dapat menggodanya pada tahun itu.'

Riwayat ini tidak ditemui asal usulnya oleh para ulama’. Ia dikemukakan dalam buku tertentu tanpa dinyatakan sanad dan sumber. Tiada dalam kitab-kitab hadith mu'tabarah, dan diputuskan sebagai riwayat yang batil. Jadi, tidak boleh kita yakini bahawa ia adalah anjuran dalam agama Islam.

➡ CATATAN AMALAN 

Dakwaan yang mengatakan catatan amalan ditutup pada akhir Zulhijjah, dan dibuka pada awal Muharram tidak didasari dengan dalil al-Quran, tidak juga daripada hadith Nabi saw. Hadith-hadith yang sahih/ thabit menyebut bahawa amalan kita dibentangkan pada:

1. Setiap hari (setiap pagi dan petang.)
2. Dua kali setiap minggu (setiap Isnin dan Khamis)
3. Setiap tahun, iaitu pada bulan Syaaban. (Bukan nisfu Syaaban. -Hadith palsu juga banyak berkisar tentang nisfu syaaban-)

Hadith-hadith sahih / thabit bagi setiap kategori adalah seperti berikut :

1. Amalan diangkat / dibentang dua kali setiap hari : Rasulullah saw bersabda, maksudnya : "Para malaikat (syif) malam dan malaikat (syif) siang silih berganti turun kepada kalian. Mereka berkumpul pada setiap waktu Subuh dan setiap waktu Asar. Kemudian, malaikat yang menjaga kalian (jika waktu Subuh, malaikat malam, jika waktu Asar, malaikat siang) naik ke atas. Allah pun bertanya kepada malaikat-malaikat itu - walhal Dia lebih mengetahui tentang hamba-hambaNya :

'Dalam keadaan bagaimana kamu semua tinggalkan hamba-hambaKu itu ?'

Jawab para malaikat : 'Kami tinggalkan mereka dalam keadaan mereka sedang solat. Begitu juga ketika kami datang kepada mereka, mereka sedang solat.'" (Sahih Bukhari, Kitab Waktu-Waktu Sembahyang, Bab Fadilat Sembahyang Asar. ) -Hadith Sahih-

Berbahagialah bagi mereka yang menunaikan solat Subuh dan solat Asar, lebih-lebih lagi di awal waktu.

2. Amalan juga diangkat setiap Isnin dan Khamis, dua kali seminggu : Rasulullah saw bersabda, maksudnya :

"Amalan-amalan manusia dibentangkan setiap minggu pada hari Isnin dan Khamis. Allah pun mengampunkan dosa setiap hamba-Nya yang beriman, kecuali hamba yang saling bermusuhan. Lalu dikatakan kepada para malaikat, 'Tinggalkan dahulu mereka berdua ini, sehinggalah mereka berdamai." (Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, Bab Larangan Saling Bermusuhan Dan Saling Tidak Mempedulikan) -Hadith Sahih.-

3. Amalan dibentangkan setiap tahun, pada bulan Syaaban. (Bukan Nisfu Syaaban)

Usamah bin Zaid ra melaporkan, katanya, "Saya pernah bertanya, 'Wahai Rasulullah, mengapa saya tidak pernah lihat tuan berpuasa dalam bulan lain, sebanyak puasa tuan dalam bulan Syaaban?'

Jawab Rasulullah saw, "Itulah bulan yang ramai manusia lalai, antara bulan Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yang diangkatkan amalan kepada Tuhan sekelian alam, dan saya suka amalan saya diangkat dalam keadaan saya sedang berpuasa.'" (Al-Sunan al-Sughra, Kitab Puasa.) -Hadith Hasan-

➡ BENARKAH ANJURAN MEMPERINGATKAN ?

Tentang hadith anjuran supaya memperingatkan bulan Muharram, dengan ganjaran tidak dibakar api neraka, tidak dapat dikesan dari mana datangnya hadith itu. Agak pelik bila lafaz yang sama juga disebarkan untuk bulan-bulan lain.

"Barangsiapa yang memperingatkan bulan Syaaban...."
"Barangsiapa yang memperingatkan bulan Zulhijjah...."
"Barangsiapa yang memperingatkan bulan Rejab..."

Berdasarkan panduan para ulama’ dalam mengenali hadith palsu, dan jika kita biasa dengan hadith-hadith yang sahih, hadith ini perlu kita tawaqquf (jangan sebar, jangan beramal kerana hadith itu). Sebarkanlah penjelasan tentangnya.

Kesimpulan : Sedaya upaya yang mungkin, kita cuba pastikan sebaran yang dibuat menepati saranan hadith sahih :

Nabi saw bersabda, maksudnya, "Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat. Ceritakanlah tentang Bani Israel dan tidak mengapa (jika kamu tidak menyampaikannya atau jika kamu menyampaikannya). Dan sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja maka biar dia sediakan tempatnya dalam neraka." (Sahih Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya, Bab Ma Dhukira Bani Israil.)

oleh: Ustaz Abu Anas Madani
(AAM, Madinah 29 Zulhijjah 1434H)

Jumaat, 5 April 2013

Apakah Ciri-ciri Kepimpinan Dalam Islam?

























Dalam Islam, menentukan dan memilih pemimpin adalah suatu perkara yang sangat penting dan wajib. Ini dibuktikan dalam sejarah Islam apabila wafatnya junjungan besar Nabi kita Muhammad S.A.W, maka seorang khalifah terus dilantik menjadi pemimpin bagi mengantikan baginda sebelum pemakaman baginda S.A.W dilangsungkan.

Ijmak sahabat sepakat bahawa haram hukumnya kaum muslimin hidup tanpa adanya seorang khalifah atau pemimpin lebih dari tiga hari tiga malam.

Sabda Nabi S.A.W maksudnya, “Apabila keluar tiga orang dalam bermusafir maka hendaklah dilantik seorang ketua”. (Hadis Riwayat Abu Daud)

Dalam hadis yang lain sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,“ Tidak halal bagi tiga orang yang berada di satu tempat melainkan dilantik seorang daripada mereka seseorang sebagai ketua.”
 (Hadis Riwayat Ahmad) 

Ini bermakna kepentingan melantik pemimpin untuk mengantikan kepimpinan yang telah berlalu untuk mengurus hal ehwal Islam dan melaksanakan kemaslahatannya adalah wajib. Atas sebab inilah Islam begitu memandang berat soal memilih pemimpin dalam semua peringkat kehidupan.

Persoalannya, bagaimanakah kita hendak menjadi pemimpin yang baik? Kita harus sedar bahawa pemimpin yang baik akan memberikan kesan yang amat besar terhadap masa depan Islam dan umatnya. Kita juga hendaklah memahami bahawa soal kepimpinan mempunyai kaitan yang amat besar dengan dosa dan pahala dan ia adalah sebahagian tindakan atau perbuatan yang tidak terlepas dari penghakiman Allah terhadap kita pada hari kiamat kelak.

Firman Allah dalam Surah al-Muddathir ayat 38 yang bermaksud : “Setiap diri terikat (bertanggungjawab) dengan apa yang telah dikerjakannya”. 

Sebagai pemimpin, kita hendaklah melaksanakan tugas secara berhati-hati dan tiada berkepentingan peribadi dan sebagainya. Jika kita gagal melaksanakan tugas dengan adil dan mengutamakan kebajikan untuk rakyat maka sudah tentulah amat bersalah dan akan diazab oleh Allah di akhirat kelak.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas ayat 41 yang bermaksud : “Dan Kami jadikan mereka pemimpin-pemimpin yang menyeru (manusia) ke neraka dan pada hari kiamat pula mereka tidak mendapat sebarang pertolongan”. 

Islam telah menjelaskan kepada kita bagaimana untuk menjadi pemimpin yang baik. Terdapat lapan ciri-ciri utama sebagai seorang pemimpin yang baik;

1. Seorang yang berupaya untuk menjaga agama dan menegakkan syariat Allah di atas muka bumi, sebaliknya bukan menjadikan agama sebagai ‘istihza’ atau dipermainkan. Justeru amanah sebagai pemimpin sebenarnya adalah ganti diri Rasulullah S.A.W ‘niabatan ‘anin nabi SAW’ untuk memelihara, menjaga dan melaksana syariat Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Haj ayat 41 yang maksudnya : “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. (Ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan”. 

2. Seseorang yang memiliki ‘al-Quwwah’ yakni kekuatan dari semua sudut samada fizikal, spiritual, emosi dan mental. Dalam al-Quran telah dijelaskan kisah dua anak perempuan Nabi Syu’aib a.s. meminta kepadanya agar memilih pekerja mengembala kambing daripada kalangan yang kuat bekerja dan amanah, inikan lagi soal memilih pemimpin yang sudah tentu skop menanggung kerjanya yang lebih luas dan amanahnya sangat besar memerlukan kekuatan semua sudut dan bidang.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas ayat 26 yang maksudnya : “Salah seorang antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (kita), sesungguhnya sebaikbaik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah”. 

3. Seseorang yang memiliki sifat takwa, kerana ciri-ciri inilah yang menjamin seseorang pemimpin itu berintegriti dan takutkan Allah SWT dalam melaksanakan tugas-tugasnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan seandainya mereka itu tetap beriman dan bertakwa nescaya mereka akan mendapat pahala); sesungguhnya pahala dari sisi Allah itu adalah lebih baik, seandainya mereka mengetahuinya”. (Surah al-Baqarah ayat 103)

4. Seseorang pemimpin itu mestilah beramanah, adil dan tidak melakukan kezaliman atau diskriminasi kepada mereka yang di bawah pimpinannya. Sifat-sifat ini mesti dimiliki oleh mana-mana pemimpin dan menjadikan ia sebagai prinsip asas pentadbiran untuk menjamin kepimpinannya yang dihormati, disegani dan disayangi. Jauhkan diri daripada pemimpin yang zalim yang tidak memberi keadilan dan hak rakyat untuk bersuara dan berhimpun secara aman.

Firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 58 maksudnya : “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya). Apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil…”. 

5. Seseorang pemimpin itu mestilah bertanggungjawab dan tidak sombong kepada mereka yang di bawah pimpinannya. Sikap bertanggungjawab kepada mereka yang di bawah pimpinannya. Sikap bertanggungjawab ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad S.A.W), yang mengambil berat atas sebarang kesusahan yang menimpa kamu, yang sangat menginginkan kebaikan bagi kamu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap makhluk terhadap orang yang beriman”.
                                                                                                                     (Surah at-Taubat ayat 128) 

6. Seseorang pemimpin itu hendaklah tegas dan berpegang teguh kepada prinsip dalam melaksanakan amanah termasuklah mengambil tindakan sewajarnya dalam hal-hal berkaitan penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak yang bersalah, sekalipun melibatkan ahli keluarga, kawan mahupun lawan.

Hadis daripada Aisyah r.a. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku akan memotong tangannya”. (Hadis Riwayat al-Bukhari)

7. Seseorang pemimpin itu hendaklah berakhlak, baik budi pekertinya dan menjadi teladan yang baik dalam semua tindak tanduknya.

Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi S.A.W bersabda (maksudnya) : “Orang-orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah mereka yang paling baik akhlaknya”. (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

8. Seseorang pemimpin itu hendaklah menunaikan janji-janjinya kepada orang bawahannya. Pemimpin yang mengotakan janji adalah pemimpin yang disenangi dan dipercayai oleh orang bawahannya, bukan berdusta dan menghampakan orang bawahannya.

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud : “Sesiapa yang diamanahkan oleh Allah untuk memimpin rakyat, lalu dia mati. Pada hari dia mati dalam keadaan dia menipu rakyatnya, maka Allah telah mengharamkan syurga untuknya”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jelaslah kepada kita bahawa dalam soal kepimpinan yang baik tidak boleh dilakukan secara tangkap muat. Sehubungan dengan itu Imam alQurtubi menjelaskan dalam kitab ‘Al-Jamik li Ahkamil Quran’ bahawa, “Bagi umat Islam dalam memilih pemimpin mestilah dari golongan yang adil, ihsan dan mulia. Adapun yang fasik dan zalim mereka tidak layak menjadi pemimpin”.

Jika kalian diberi mandat untuk mengundi untuk memilih pemimpin yang baik maka pilihlah pemimpin yang amanah, berakhlak mulia dan bertakwa. Kalian akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti sekiranya kalian silap memilih pemimpin yang tidak berakhlak dan hanya mementingkan pembangunan duniawi berbanding dengan kehidupan di hari akhirat.

Hadis daripada Huzaifah r.a. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Bahawasanya akan wujud (akan datang) para pemerintah yang berbohong dan berlaku zalim. Barangsiapa yang membenarkan pembohongan mereka dan membantu atas kezaliman mereka, maka (mereka) bukan daripada (golongan) kami dan aku bukan daripada (golongan) mereka, dan dia tidak akan menemuiku di haudh (telaga Rasulullah di akhirat kelak). (Sebaliknya) sesiapa yang tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak membantu atas kezaliman mereka, maka dia daripada (golongan) ku dan aku daripada (golongan) nya dan dia akan menemuiku di haudh”. (Hadis Riwayat Imam Ahmad) 

Marilah kita menjadi pemimpin yang takutkan Allah melebihi daripada segala-galanya. Kerana hanya pemimpin yang benar-benar takutkan Allah sajalah yang mampu menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin dengan jujur, amanah dan berdedikasi.

sumber: http://abubasyer.blogspot.com/2012/12/apakah-ciri-ciri-kepimpinan-dalam-islam.html

Rabu, 27 Mac 2013

Jangan Mendahului Imam Semasa Solat





















Dari Anas, katanya: "Pada suatu hari Rasulullah saw solat berjemaah. Tatkala selesai solatnya beliau menghadapkan mukanya kepada kami lalu bersabda , katanya:

" Wahai suadara-saudara, aku ini Imam kamu, maka janganlah kamu mendahului aku ketika ruku', sujud, bangkit dari ruku' dan iktidal (bubar), kerana akau dapat melihat yang di depan dan di belakangku," 

Sabdanya lagi,; " Demi Allah, kalau kamu dapat melihat apa yang telah aku lihat, niscaya tangismu akan lebih banyak dari tawanya". tanya hadirin kepada beliau: Apakah yang telah tuan lihat hai Rasulullah?, Jawabnya: "Syurga dan Neraka" -

(HR Muslim)

Ahad, 3 Mac 2013

3 Mac: Tarikh Duka Umat Islam























3 Mac 1924 merupakan tarikh yang amat membekas bagi dunia Islam. Bermula dari tarikh ini, umat Islam secara rasmi telah kehilangan sebuah perisai yang selama ini melindung umat Islam dan mendaulatkan al-Quran dan as-Sunnah. Maka, bermulalah satu episod hitam bagi umat Islam seluruh dunia.

Maksud hadis: “Bahawasanya Imam itu bagaikan perisai, dari belakangnya umat berperang dan dengannya umat berlindung.” [HR. Muslim]

Mustafa Kemal Atarturk Laknatullah menjadi dalang di sebalik keruntuhan Daulah Khilafah pada 3 Mac 1924. Kemudian, British menghadiahkan si syaitan ini dengan pangkat presiden Turki pertama dan kononnya perlantikan beliau menjadi presiden Turki pertama merupakan titik tolak bermulanya 'Turki Moden'.

Hakikatnya, Turki bukanlah sebuah negara moden yang dicanang oleh media-media, tetapi Turki hanyalah sebuah negara yang mendokong ideologi kapitalis yang beraqidahkan aqidah sekular. Tertegaknya sebuah negara sekular Turki, maka sekularisme amat mudah dan cepat ditebarkan di muka bumi Allah semenjak jatuhnya Daulah Khilafah.

Semenjak peristiwa itu, umat Islam berada dalam zaman kuku besi, di mana umat Islam menjadi mangsa kekejaman golongan-golongan yang kuat menentang Islam. Buktinya, terlalu banyak umat Islam dibunuh beramai-ramai di seluruh seantero dunia.

Umat Islam bukan sahaja menderita akibat diseksa. Malah, umat Islam juga dibelit dengan masalah-masalah ekonomi, sosial, dan sebagainya. Umat Islam diterapkan dengan sistem riba, kemiskinan, kancah zina, dan sebagainya, akibat tiada Daulah Khilafah untuk menerapkan hukum-hakam Islam.

Umat Islam juga dibelenggu dengan masalah sekularisme. Lahir pula golongan-golongan yang menolak politik Islam dan hanya beriktikaf dan berzikir di dalam masjid, dan hanya menyeru umat Islam hanya untuk ke masjid. Ini merupakan suatu kekeliruan yang amat dahsyat sekali. Kerana mereka beranggapan bahawa hukum-hakam Islam itu akan kembali dengan amalan-amalan ritual sahaja. Walhal, Rasulullah SAW telah keluar berpolitik untuk menerapkan hukum-hakam Islam, dan bukan hanya beriktikaf di dalam masjid. Kekeliruan ini menyebabkan pemikiran umat Islam itu berada dalam keadaan yang amat mundur, sempit, dan kolot. Sedangkan Islam adalah sebuah cara kehidupan yang sempurna, di mana tiada suatu pun yang tertinggal sejak syariat Islam itu lengkap diturunkan, termasuklah cara membuang air kecil sehinggalah kepada memerintah dunia.

Melihat kejayaan Barat dalam meruntuhkan Daulah Khilafah, maka kaum Barat akan cuba sedaya-upaya dengan cara apa sekalipun supaya umat Islam itu sendiri yang menentang Daulah Khilafah. Maka, mereka menerapkan semangat nasionalisme, agar umat Islam terus berpecah-belah, di bawah naungan, sempadan, dan bendera nasional.

Selain daripada itu, mereka juga dengan sedaya-upaya menyorok hakikat Daulah Khilafah itu. Maka, umat Islam akan terus jahil tentang Daulah Khilafah. Maka, ada yang terkeliru dengan istilah-istilah seperti Khilafah, Khalifah, dan Khilafiyah. Ini baru sahaja bab istilah, belum lagi tentang batang tubuh Daulah Khilafah.

Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama menegakkan semula Daulah Khilafah, kerana ia adalah suatu kewajipan terhadap setiap muslim, sebagaimana wajibnya hukum solat! Sesungguhnya tertegaknya semula Daulah Khilafah itu pasti, pasti, dan pasti akan berlaku, kerana ia adalah janji Allah dan Rasul-Nya

Maksud hadis: 

"...Kemudian akan kembali Khilafah di atas jalan kenabian..." [HR Ahmad] 

sumber: http://www.soutulmujahid.com

Jumaat, 15 Februari 2013

Jadilah Kamu Orang Yang Berilmu dan Jadilah Seorang yang Rajin Berdoa























Dari Abu Bakrah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya: "Jadikanlah dirimu orang yang alim  (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu, atau orang yang selalu mendengar pelajaran agama, atau pun orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut); dan janganlah engkau menjadi (dari) golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.".. (HR Al-Bazzar)....

Hadis ini menyuruh supaya tiap-tiap seorang MENENTUKAN SIKAPNYA terhadap ilmu agama.... dengan salah satu dari EMPAT CARA, iaitu:

1] Menjadikan dirinya orang yang berilmu (alim), yang mengajar ilmu agama kepada orang lain, atau

2] Orang yang belajar ilmu agama; berusaha mencari ilmu dengan berguru, membaca, 'menadah' kitab, dan lain-lainnya, atau

3] Orang yang mendengar ilmu dan syarahan-syarahan agama; menghadiri kuliah-kuliah agama, atau majlis-majlis ilmu, atau

4] Orang yang mencintai dan menghargai ilmu agama, dan salah satu dari tiga golongan yang tersebut di atas, dengan menurut jejak langkahnya....

5] Golongan orang yang kelima, iaitu yang tidak termasuk dalam salah satu dari empat golongan yang tersebut, maka mereka adalah GOLONGAN YANG BINASA; berilmu pun tidak, belajar ilmu pun tidak, mendengar pun tidak, kasih kepada ilmu pun tidak.... MALAH GOLONGAN INI MEMUSUHI salah satu, atau keempat-empat golongan di atas, mereka tidak ada pimpinan untuk dapat membezakan di antara yang benar dengan yang salah, yang HAQ dan yang BATHIL....

Imam Al-Mawardi menyatakan: Bahawa orang yang menganggap ilmu agama (syarak) itu tidak ada faedahnya dipelajari, dan lebih baik sahaja ditinggalkan, sebenarnya orang itu TENGGELAM DALAM KESESATAN, dan jauh dari mendapat hidayat pertunjuk, serta ia termasuk dalam golongan yang kelima, iaitu yang binasa...

ORANG YANG BERDOA' TIDAK AKAN RUGI...

Sebagai hamba, kita hendaklah sentiasa bergantung dengan Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang... Jangan sekali-kali PUTUS HARAPAN dan berputus asa dengan pertolongan Allah... Berdoalah setiap masa... Kerana orang yang sentiasa berdoa akan mendapat kebaikan sama ada di dunia atau di akhirat... Tidak pernah rugi orang yang tekun berdoa... Namun sesiapa yang malas atau liat untuk berdoa akan menyesal sehabis-habisnya di akhirat nanti....

Sesiapa yang berdoa pasti akan mendapat ganjaran sama ada untuk kehidupan dunianya atau akhiratnya... Dengan syarat dia memenuhi syarat-syarat penerimaan doa tersebut... Antara syarat dan ganjaran doa ialah hadis Nabi S.A.W. dari Abu Sa’id al-Khudri r.a, bahwa Rasulullah S.A.W. bersabda :

“Tiada seorang muslim pun yang memohon (kepada Allah Ta’ala) dengan doa yang tidak mengandung dosa (permintaan yang haram), atau memutus hubungan (baik) dengan keluarga / kerabat, kecuali Allah akan memberikan baginya dengan (sebab) doa, itu salah satu dari tiga perkara:

[1] boleh jadi akan disegerakan pengabulan doanya,

[2] atau Allah akan menyimpannya untuk kebaikan (pahala) baginya di akhirat,

[3] atau akan dihindarkannya dari keburukan (bencana) yang sesuai dengannya”. Para sahabat Radhiyallahu ‘anhum berkata: Kalau begitu, kami akan memperbanyak (doa kepada Allah)... Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Allah lebih luas (rahmat dan kurniaanNya)”... ( Imam Ahmad disahihkan oleh al-Hakim, Ibn Hajar dan al-Albaniy)...

Syarat doa diterima antaranya ialah hendak doa itu bukan kearah dosa dan maksiat, serta bukan untuk memutuskan silaturahim sesama muslim... Seseorang yang berdoa akan mendapat salah satu daripada tiga perkara di bawah :

a- Diterima doa serta-merta...
b- Disimpan untuk akhirat dalam bentuk pahala....
c- Diselamatkannya daripada musibah dan bencana....

Alangkah beruntungnya golongan yang banyak berdoa, kerana pasti mereka akan mendapat kebaikan di dunia dan akhirat.... Semoga Allah membimbing kita agar sentiasa berdoa kepadaNya setiap masa....

kredit:  http://jaksa-yadim.blogspot.com

Selasa, 15 Januari 2013

DENGAR !


Mereka kata: "tak suka dengan undang2 kerajaan Malaysia, ko boleh keluar dari Malaysia ni. Dasar tak reti bersyukur dengan apa yang kerajaan dah bagi."(syukur..alhamdulillah..)

Cara jawab: tak suka dengan hukum hakam kerajaan Allah, ko keluar dari planet ni. ini Allah punya. semua Allah punya. Dasar tak reti bersyukur!

--------------------------

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. (Al-A'raaf 7:179

Ahad, 8 Julai 2012

Hukum Puasa Selepas Nisfu Sya'ban

بسم الله الرحمن الرحيم
Masih ramai kalangan orang awam yang keliru dengan hukum berpuasa selepas hari Nishfu Sya'baan (15 Sya'baan).
Ramai yang tidak tahu bahawa menurut qawl yang mu'tamad dalam Mazhab Syafi'i hukum berpuasa selepas Nishfu Sya'baan adalah HARAM DAN TIDAK SAH dengan beberapa pengecualian yang akan datang penjelasannya. Kekeliruan mungkin disebabkan mazhab-mazhab lain mempunyai pendapat yang berbeza dengan Mazhab Syafi'i berdasarkan kepada ijtihad mereka. Ulama Syafi'i mengistinbathkan pengharaman berpuasa tersebut berdasarkan beberapa dalil termasuklah hadits-hadits Junjungan Nabi SAW. Antaranya apa yang diriwayatkan dalam "Sunan at-Tirmidzi", juzuk 2, halaman 183, bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda sebagai berikut:-
"Telah diberitakan kepada kami oleh Qutaibah, telah diberitakan kepada kami oleh 'Abdul 'Aziiz bin Muhammad, daripada al-'Alaa' bin 'Abdur Rahman, daripada ayahnya, daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. yang telah berkata: Telah bersabda Junjungan Rasulullah SAW:
"Apabila tinggal baki separuh dari bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa"
 [ HR At-Tirmidzi ]
Dan telah berkata Abu 'Isa (yakni Imam at-Tirmidzi): "Hadits Abu Hurairah ini adalah hadits hasan shohih dan tiada kami ketahui akan dia melainkan dengan wajah (riwayat) ini atas lafaz ini."
Selain daripada hadits di atas, Imam Abu Daud turut meriwayatkan dalam sunannya sebagai berikut:-
Daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. bahawasanya Junjungan Rasulullah SAW bersabda:
"Apabila masuk separuh bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa."
 [ HR Abu Daud ]
Imam ash-Shan'ani dalam "Subulus Salam" juzuk 2, halaman 345 menyatakan bahawa hadits ini adalah hasan shohih di sisi para muhadditsin selain Imam Ahmad. Imam Ahmad mendhoifkannya kerana bagi Imam Ahmad perawi yang bernama al-'Alaa' bin 'Abdur Rahman adalah perawi yang dhoif. Menurut kajian Imam ash-Shan'aani, pendapat Imam Ahmad tersebut adalah tidak tepat kerana al-'Alaa' bin 'Abdur Rahman adalah seorang perawi yang hadits-hadits yang diriwayatkannya diambil oleh Imam Muslim dan selanjutnya Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani dalam "at-Taqrib" menghukumkan al-'Alaa' bin 'Abdur Rahman ini sebagai seorang perawi yang shaduuq (benar atau kepercayaan).
Sungguhpun dihukumkan haram, tetapi pengharaman berpuasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan ini tidaklah mutlak seperti pengharaman berpuasa pada 5 hari yang diharamkan secara mutlak berpuasa, iaitu 2 hari raya dan 3 hari tasyriq. Pengharaman berpuasa pada hari-hari nishfu kedua Sya'baan dan hari Syak tidaklah mutlak kerana ianya mempunyai pengecualian. Maka hukum HARAM DAN TIDAK SAH puasa yang dilakukan selepas nishfu Sya'baan (iaitu selepas tanggal 15 Sya'baan) mempunyai PENGECUALIAN seperti berikut:-
1. Puasa sunnat tersebut disambungkan atau dihubungkan dengan hari-hari yang berada di nishfu pertama.
(separuh pertama) bulan Sya'baan walaupun dengan hanya satu hari sahaja (yakni dihubungkan dengan berpuasa pada hari 15 Sya'baan) dengan syarat ianya hendaklah berterusan sehingga Ramadhan, jika terputus walaupun dengan uzur maka tidaklah boleh disambung lagi puasa tersebut. Contohnya, jika seseorang berpuasa sunnat pada 15 Sya'baan, maka bolehlah dia berpuasa pada 16 Sya'baan dan hari-hari berikutnya. Tetapi katakanlah setelah berpuasa pada 15, 16, 17 dan 18 Sya'baan, dia tidak berpuasa pada 19 Sya'baan, dengan atau tanpa uzur, maka tidaklah boleh lagi dia berpuasa sunnat pada 20 Sya'baan dan hari-hari yang berikutnya sehinggalah Ramadhan.

2. Puasa sunnat tersebut telah menjadi amalan biasa seseorang.
(yakni yang telah dijadikan wirid kebiasaannya). Contohnya, seseorang yang telah membiasakan puasa pada setiap Isnin, maka tidaklah jadi halangan untuk dia meneruskan kebiasaannya itu.

3. Puasa qadha' samada qadha puasa fardhu atau qadha puasa sunnat yang berwaktu.

4. Puasa kaffarah atau puasa nazar dengan syarat ianya tidak dilakukan dengan sengaja dan dengan tahu yang hari yang dinazarkan itu adalah hari-hari nishfu kedua bulan Sya'baan.
Misalnya, seseorang bernazar hendak berpuasa pada hari Khamis minggu hadapan tanpa menyedari bahawa Khamis hadapannya sudah masuk dalam nishfu kedua Sya'baan, maka bolehlah dia berpuasa pada Khamis tersebut. Maka jika sekiranya dia tahu yang Khamis tersebut adalah dalam nishfu kedua bulan Sya'baan, maka tidaklah boleh dia berpuasa dan tidaklah sah nazarnya itu.


Inilah perincian hukum bagi puasa yang dilaksanakan setelah nishfu Sya'baan menurut Mazhab Syafi'i yang menjadi pegangan kita, sebagaimana yang tersebut dalam kitab-kitab fiqhnya. Antaranya dalam "Anwarul Masaalik syarah 'Umdatis Saalik wa 'Uddatin Naasik" karya Syaikh Muhammad az-Zuhri al-Ghumrawi rahimahUllah yang menyatakan pada halaman 125 seperti berikut:-
(Dan haram berpuasa [sunnat] pada hari-hari selepas nishfu Sya'baan, jika sekiranya puasa tersebut tidak berbetulan dengan adat kebiasaan seseorang) sebagaimana yang telah disebut terdahulu ketika perbincangan tentang hari Syak, (dan [puasa tersebut] tidak berhubung / bersambung dengan hari yang sebelumnya) iaitu tidak bersambung puasa pada nishfu yang kedua [bulan Sya'baan] dengan berpuasa pada separuh yang pertama bulan tersebut. Maka jika sekiranya puasa tersebut berbetulan dengan adat kebiasaan baginya atau dihubungkan [dengan hari-hari separuh pertama Sya'baan], sahlah puasa tersebut dan hilanglah keharamannya.
Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahUllah menulis dalam "al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah", jilid 2 halaman 82, sebagai berikut:-
Dan daripadanya [yakni daripada hadits-hadits berkaitan dengan] puasa dalam bulan Sya'baan, ialah hadits Sayyidatina 'Aisyah r.'anha yang menyatakan: "Tidak aku melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan penuh, melainkan bulan Ramadhan dan tiada aku melihat baginda berpuasa lebih banyak daripada bulan Sya'baan", hadits diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, dan keduanya meriwayatkan juga hadits lain dengan kata-kata: "Tiada baginda berpuasa dalam suatu bulan yang lebih banyak daripada bulan Sya'baan, bahawasanya baginda berpuasa pada keseluruhan bulan Sya'baan", dan bagi Imam Muslim terdapat satu lagi riwayat dengan kata-kata:- "Adalah baginda berpuasa pada bulan Sya'baan keseluruhannya kecuali sedikit."... Kemudian hadits-hadits tersebut tidaklah menafikan hadits yang mengharamkan puasa pada hari-hari selepas nishfu bulan Sya'baan, kerana berlakunya pengharaman tersebut ialah kepada sesiapa yang hanya berpuasa selepas nishfu tersebut dan tidak menghubungkan puasanya [dengan berpuasa pada hari Nishfu Sya'baan (yakni hari 15 Sya'baan)]. Manakala berlakunya keharusan (baca: boleh / jaiz) berpuasa, bahkan sunnat berpuasa, ialah kepada sesiapa yang berpuasa sebelum nishfu lagi dan meninggalkan berpuasa selepasnya [yakni dia berpuasa sunnat pada nishfu pertama bulan Sya'baan dan berhenti setelah nishfunya tersebut]; ATAU dia meneruskan puasanya dengan menghubungkan puasanya itu dengan berpuasa pada hari Nishfu Sya'baan [yakni hari 15 Sya'baan]; ATAU dia tidak menghubungkan puasanya, akan tetapi puasanya pada hari-hari nishfu kedua bulan Sya'baan tersebut ialah puasa kerana qadha' atau puasa nazar atau puasa yang menjadi wiridnya (kebiasaannya). Dan hadits yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Imam Abu Daud, Imam at-Tirmidzi, Imam an-Nasai dan Imam Ibnu Majah, iaitu: "Apabila berbaki separuh daripada bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa sehingga menjelang Ramadhan", adalah jelas pada yang demikan (yakni pada menyatakan haramnya berpuasa pada hari-hari selepas Nishfu Sya'baan).
Murid Imam Ibnu Hajar rahimahUllah, iaitu Syaikh Zainuddin bin 'Abdul 'Aziz al-Malibari, rahimahUllah, menulis dalam karya beliau "Fathul Mu'in"pada halaman 60:-
(Tatimmah) Haram puasa pada hari-hari tasyriq ..., dan demikian pula haram puasa selepas Nishfu Sya'baan, selagi mana ianya tidak berhubung / bersambung dengan hari sebelumnya [yakni hari sebelum 16 Sya'baan iaitu hari 15 Sya'baan] atau jika puasa tersebut tidak muwafaqah dengan adatnya (yakni tidak berbetulan dengan kebiasaannya atau wiridnya); atau jika puasa tersebut bukan puasa nazar atau puasa qadha' walaupun hanya qadha' puasa sunnat.
Penjelasan 'Allaamah Sayyid Muhammad 'Abdullah al-Jurdani dalam "Fathul 'Allam" juzuk 4, halaman 152- 153, pula adalah seperti berikut:-
Dan haram puasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan, melainkan jika ianya disambung / dihubungkan dengan hari yang sebelumnya [yakni hari sebelum 16 Sya'baan iaitu hari 15 Sya'baan], walaupun hanya satu hari [yakni walaupun dengan hanya berpuasa pada 15 Sya'baan sahaja] dan hendaklah berkekalan puasa tersebut sehingga ke akhirnya. Maka jika tidak berkekalan, bahkan jika berbuka (yakni tidak berpuasa) dengan uzur sekalipun, tertegahlah atasnya untuk berpuasa lagi dengan tanpa sebab.
Inilah khulasah hukum berpuasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan. Harap kita sebagai pengamal Mazhab Syafi'i dapat beri perhatian sewajarnya. Allahlah yang Maha Mengetahui.
Sumber : http://jomfaham.blogspot.com
Sumber Asal : http://bahrusshofa.blogspot.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...