بسم الله الرحمن الرحيم
Sesungguhnya hati nurani kita sentiasa mahu menghubungi Allah dengan cinta, beribadat dan taat, kerana ia mengetahui bahawa Dialah yang mentadbir urusan-Nya dan urusan tiap-tiap sesuatu di sekeliling-Nya menurut hikmah dan tadbir-Nya. Itu adalah fitrah. Tiada siapa yang dapat membantah. Namun sampaikah kita kepada-Nya, andai diri masih seronok dalam gelumang dunia yang tiada sudahnya.
Soalan:
Kepada yang boleh membantu hamba Allah ini, bagaimana kita boleh dengan mudah dan tetap dalam hati untuk mencintai ALLAH dan RASULULLAH. Ramai yang mengatakan bahawa ia cinta ALLAH ia cinta RASULLULLAH, saya tak pasti macam mana dan bagaimana cara ia menyintainya. Sedikit pandangan moga bertambah keberkatan INSYA'ALLAH
Jawapan:
Sebagaimana diri yang telah berminat atau suka kepada seseorang mesti ada usaha yang akan dibuat untuk mengenali dengan lebih rapat dengan si dia.
Mula-mula ingin tahu nama, umur, tempat tinggal, pekerjaan. Kemudian setelah diketahui semuanya ingin mendalami lagi tentang latar belakangnya dan ingin menyelami kisah hidupnya dan dalam usaha tersebut kamu telah jatuh hati kepadanya. Apabila kamu jatuh hati kepadanya, tentu kamu akan berusaha untuk membuatkan si dia jatuh hati kepada kamu. Ini pandangan saya sahaja, mungkin pada pandangan orang lain pula berbeza.
Apabila usaha kamu berhasil kamu mesti akan tunaikan segala permintaannya ke atas kamu. Oleh kerana kamu terlalu cintakannya kamu sanggup berkorban apa sahaja pada tahap kemampuan kamu. Malah kamu mungkin setiap masa memuja-muja namanya tidak kira siang dan malam. Menatap wajahnya untuk menghilangkan rindu dan kalau boleh sepanjang waktu ingin ada bersama si dia.
Begitu juga dalam mencari cinta Allah dan Rasulullah, kita kena berusaha untuk mengenali Allah SWT dan Muhammad SAW. Apabila kita kenal siapa Allah SWT dan Muhammad SAW insya Allah dengan izinNya hati kita akan cuba menurut segala ajaran yang disampaikan oleh Muhammad SAW yang diperintahkan oleh Allah SWT. Ini adalah salah satu tanda cinta kepada baginda dan Allah SWT. Hingga ada sabda nabi mengatakan:
Katakanlah: Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. [Surah Ali Imran: 31].
Maknanya segala kewajipan yang ditentukan ke atas umatnya mesti ditunaikan walau dalam keadaan macam mana sekali pun seperti sakit, sibuk, dalam perjalanan dan lain-lain lagi. Menjauhi perkara yang dilarang dan mendekatkan diri kepada setiap kebaikan.
Memuja-muji Allah SWT dan berselawat ke atas baginda beserta keluarganya.
Hasil daripada kita mengingati dan merindui. Cuba biasakan diri untuk mengamalkannya walaupun sedikit cuma insya Allah kita akan terbiasa walau dalam keadaan macam mana pun.
Mengamalkan Sunnah Baginda SAW.
Baginda SAW ada mengatakan jika kita tidak menyukai sunnah baginda bermakna kita bukan umatnya. Jadi untuk mendapatkan cintanya kita mesti menghidupkan sunnah tersebut dengan mengamal dan menerapkan pada diri dalam amalan harian atau kehidupan.
Inginkan lebih lanjut tentang persoalan ini, banyakkan usaha sebab ada pelbagai pandangan dari setiap orang. Ini hanya sedikit pandangan daripada saya.
Di sini anda telah menunjukkan usaha anda dengan menanyakan persoalan ini.
Insya Allah moga kita digolongkan dalam golongan mencintai Rasulullah dan Allah SWT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan