Ukhwah Islamiyyah

Khamis, 19 April 2012

Pendorong Ke Arah Usaha Membaiki Diri


بسم الله الرحمن الرحيم

Usaha-usaha membaiki diri ini memang susah kerana tiga faktor iaitu:
1. Memerlukan mujahadatun nafsi yang serius.
2. Latihan mengawal nafsu ini satu kerja yang sangat menjemukan dan meletihkan. Risikonya, payah hendak istiqamah.
3. Banyak halangan dan rintangan yang menyekat iaitu dunia dan tarikannya serta keluarga dan sahabat-handai yang melalaikan kita.

Kalau begitu halnya, apa yang patut kita buat untuk mengatasi keadaan ini? Apa pula pendorong untuk kita terus berjuang membaiki diri? Jawapannya ialah ilmu rohaniah inilah pendorongnya. Yang patut kita buat ialah:
1. Suluh kelemahan diri kita.
2. Bangkitkan kesedaran jiwa.
Kedua-dua ini hendaklah dibuat melalui tafakur. Antara perkara-perkara yang boleh kita tafakurkan ialah:
A. Lemahnya diri kita
Mari kita sama-sama tafakur, merenung sekejap ke dalam diri kita. Rasakan di hati kita bahawa kita ini hamba Allah yang maha dhaif, lemah dan hina.
Buktinya:
1. Bolehkah kita elak diri kita dari sakit? Kalau terkena atau tercucuk duri yang halus dapatkah kita menahan bisanya? Itupun sudah terlalu sakit, sudah tidak tertahan lagi rasanya. Itulah tanda lemahnya kita. Bolehkah kita melihat kalau jarum tercucuk di mata kita? Bolehkah kita bernafas kalau air tersumbat di hidung kita? Tentu tidak boleh. Itulah tanda lemahnya kita ini. Apatah lagi kalau Allah tarik satu sahaja urat saraf kita, meranalah kita seumur hidup.
2. Bolehkah kita elak dari orang caci maki dan kata kita?
3. Bolehkah kita menolak dari bencana alam yang melanda mengejut pada kita? Tentu tidak boleh walaupun berkumpul seluruh tenaga makhluk yang berada di langit dan di bumi. Bencana alam tetap terjadi juga. Kita tidak mampu menahannya. Banjir yang melanda, datangnya tidak mampu diempang. Angin taufan, ribut yang mengangkat dan menghumban, tidak mampu kita membendungnya. Gempa bumi yang dahsyat yang membunuh segala hidupan, tidak kuasa manusia menahannya. Lemahnya manusia ini.
4. Dapatkah kita menahan kematian orang yang kita cintai? Akhirnya kita juga akan mati. Dapatkah kita menolaknya? Tentu tidak mampu. Betapa lemah dan hinanya kita. Sudah mati jadi bangkai. Tidak seorang pun yang mahukan jasad  kita itu. Isteri tidak mahu. Suami tidak mahu. Anak-anak pun tidak mahu. Ibu ayah tidak mahu. Kekasih pun tidak mahu. Sebab itulah orang hantar cepat-cepat ke kubur kerana kalau dibiarkan, busuk! Bila dinilai bukti-bukti tadi menggambarkan betapa hinanya kita. Cuba kita rasakan kehinaan dan kelemahan itu setiap ketika dan kita bawa perasaan itu di mana-mana.
B. Nikmat yang kita dapat
Hitung-hitungkan pula nikmat-nikmat yang ada pada kita. Mata, hidung, mulut, telinga, kaki, tangan, akal dan lain-lain lagi yang sangat penting untuk kehidupan kita itu.
Fikirkanlah tentang akal yang dikurniakan pada kita. Alangkah berharganya. Dengan akal itulah kita jadi cerdik, pandai dan bijaksana. Dengan akal itu juga kita membelah bumi, menerobos angkasa, menguasai lautan dan daratan. Kita bebas buat apa saja semahu-mahunya. Hatta jadi kaya-raya dan berkuasa. Menungkanlah, apakah layak akal yang begitu mahal kita gunakan hanya semata-mata untuk meruntuhkan tamadun manusia dengan berperang dan membunuh? Rasakan di hati takut pada Tuhan kerana sebelumnya kita tidak gunakan akal itu untuk memikirkan kebesaran-Nya dan nikmat-nikmat pemberian-Nya yang ada pada kita.
C. Nikmat di luar diri kita
Fikirkan dan hitungkan pula nikmat-nikmat Allah yang berada di luar diri kita. Hitung berapa banyak harta, duit, rumah, kereta, perabot, pinggan mangkuk, periuk belanga, kain baju, kasut, barang kemas, makanan yang kita simpan, berapa jenis lauk yang dimakan untuk satu hari, berapa banyak kenderaan kita, kebun, anak-anak, isteri-isteri, kawan-kawan, pengikut-pengikut, pembantu-pembantu, udara yang dihirup, bumi yang dipijak, cahaya matahari yang kita dapat manfaat darinya. Rasakan di hati bahawa alangkah banyaknya kurniaan Allah pada kita selama ini.
Kemudian pandang ke langit. Lihatlah besarnya ciptaan Tu-han itu. Tergantung tanpa tiang. Walhal rumah kita yang kecil pun ada tiangnya. Bumi yang terhampar tempat kita berpijak, sangat berguna pada kita. Saksikanlah matahari yang turun naik, yang cahayanya sangat memberi manfaat, yang menjadikan silih bergantinya siang dan malam, memberi peluang untuk kita bekerja dan rehat. Menjadikan waktu yang bermusim juga sangat berfaedah pada manusia. Air yang disedut naik, hujan yang turun, ini memberi bekalan air untuk seluruh hidupan. Memeriahkan alam dengan cahaya. Tenaga solar serta tenaga elektriknya. Rasakan ke dalam hati kita betapa pentingnya ini semua. Rasakan betapa perlunya nikmat-nikmat ini dalam kehidupan kita.
Fikirkanlah! Bolehkah manusia mencipta tanah, api dan air itu? Dapatkah kita tumbuhkan pokok? Yang kayunya kita gunakan untuk membuat rumah itu? Dapatkah kita buat segala keperluan-keperluan asas yang jadi peralatan hidup kita itu? Bolehkah hidup tanpa kita gunakan barang-barang ciptaan Allah itu? Tentu tidak. Oleh itu datangkan rasa insaf pada diri kita bahawa kita tidak mampu mengadakan itu semua.
Bila kita sedar begitu barulah kita terasa perlunya Allah itu pada kita. Barulah kita terasa patut kita menyembah-Nya. Barulah terasa patut kita taat perintah-Nya. Kalau begitu bukankah patut kita patuh kepada-Nya. Bukankah patut kita jadikan Allah itu Tuhan kita. Tidaklah kita hendak bertuhankan diri kita lagi. Inilah pendorong untuk kita beribadah.
Bila kita bawa berfikir tadi barulah kita terasa Tuhan itu terlalu berjasa dan pemberi. Barulah terasa patutnya kita bersyukur pada Allah kerana segala-galanya adalah ciptaan-Nya dan pemberian-Nya. Bukan kita buat sendiri. Inilah pendorong.
D. Kehidupan selepas mati
Lihatlah kepada kehebatan dunia ini. Semua yang kita miliki itu nanti akan terlucut dari kita kerana dunia ini negara yang fana. Allah jadikan kita bukan untuk tinggal terus di sini buat selama-lamanya. Tetapi akan mati dan pulang ke negara asal, negara Akhirat yang kekal lagi abadi. Yakni Syurganya kekal, Nerakanya juga kekal. Nikmatnya kekal, azab siksanya pun kekal.
Cuba kita rasakan nikmat Syurga yang kekal itu. Tiada bandingan dan tandingannya. MasyaAllah terlalu hebat! Patah lidah untuk mengungkapnya. Tiada bahasa yang dapat menggambarkannya. Tiada mampu mata pena untuk menulisnya. Mahligainya saja sudah seluas langit dan bumi, dibuat daripada emas, permata, dinding yang berkilau-kilau cahayanya, atapnya intan berlian yang tidak terkata indahnya dan nikmat berada di dalamnya. Seorang yang bertaqwa saja memiliki berpuluh-puluh buah bandar. Kalau rumahnya saja seluas langit dan bumi, agaknya berapa pula luas sebuah bandar? Apatah lagi kalau berpuluh-puluh buah bandar. Tentulah tidak dapat hendak dibayangkan betapa luasnya bandar-bandar kepunyaan seseorang itu. Tidak dapat pena menulisnya. Tidak ada kiraan di dunia ini. Peralatan mewah dalam mahligai itu pula tidak pernah rosakrosak. Bahkan makin dipandang, makin cantik. Semakin terasa nikmat. Sekali pandang lain cantiknya. Dua kali pandang, lain pula cantiknya. Tidak pernah jemu-jemu menikmatinya.
Kenderaan di Akhirat pula ialah apa saja yang kita inginkan. Teringat saja, sekelip mata datang. Teringat hendak naik kapal terbang, niat saja terus berada dalam kapal terbang yang diidamidamkan. Terbanglah selaju mana yang kita mahu dan ke mana saja yang kita ingin tuju, tidak pernah rasa bimbang dan cemas. Kalau naik kapal terbang dunia, hati selalu diragut takut tetapi di Akhirat, kalau ingin jatuh, ia jatuh tapi tidak sakit. Sebaliknya tetap lazat.
Rasakan pula nikmat di Akhirat itu tidak pernah lapar-lapar. Atau tidak pernah haus-haus. Sentiasa kenyang. Makanan yang kita makan tidak pernah menjemukan. Sebab rasanya berlainan. Suapan pertama dengan yang kedua, berlainan rasanya. Begitulah seterusnya. Untuk satu jenis buah, kita akan dapat berpuluhpuluh jenis rasa. Jadi tidak pernah jemu memakannya. Makin dimakan makin hendak dan semakin lazat. Demikian juga dengan jenis-jenis makanan yang lain. Makanlah sebanyak mana pun tidak akan memudaratkan. Tidak menyakitkan perut. Tidak juga susah payah untuk ke jamban. Tidak payah buang najis yang busuk itu. Tidak ada istilah tahi lagi seperti tahi mata, tahi telinga dan tahi gigi. Semuanya sedap-sedap, baik-baik, lazat dan indah-indah sahaja. Hatta peluh kita pun berbau wangi.
Rasakan pula setiap orang bertaqwa itu hadiahnya ialah bidadari-bidadari yang cantik jelita. Bukan seorang tetapi berpuluh-puluh dan beratus-ratus orang, yang nikmat dan ke-puasannya tiada tolok bandingannya dengan dunia ini. Seperti firman Allah dalam Al Quran: “Mereka bertelekan di atas dipandipan berderetan dan Kami kahwinkan mereka dengan bidadari-bidadari yang cantik bermata jeli. Dan Kami beri mereka tambahan dengan buah-buahan dan daging dari segala jenis yang mereka inginkan. Di dalam Syurga mereka saling memperebutkan piala (gelas) yang isinya tidak (menimbulkan) kata-kata yang tidak berfaedah dan tidak pula perbuatan dosa. Dan sekeliling di sekitar mereka anak-anak muda untuk melayani mereka, seakan mereka itu mutiara yang tersimpan.” (At Thur: 20 – 24)
Kemudian kita rasakan ke lubuk hati kita betapa azabnya Neraka yang kekal itu. Penderitaannya amat dahsyat dan mengerikan. Tidak dapat hendak ditulis dengan mata pena kedahsyatannya itu. Api yang dahsyat itu 70 kali ganda panasnya dari panas api dunia. Api di dunia pun kita tidak boleh pegang, apatah lagi api Neraka. Kita berada dalam rumah api, dinding api, bumbung api, lantainya api, makanannya api, minumannya api, pakaiannya api, bantalnya api dan segala-galanya dalam api. Apabila hancur daging-daging tubuh kita maka digantikan dengan daging baru, dibakar lagi hingga jadi bara dan diganti lagi.
Begitulah terus-menerus. Rasakan di hati, aduh, betapa sakitnya. Dahsyat dan ngeri. Rasakan di hati takut yang amat sangat. Di penjara Akhirat itu, seluruh kaki tangan diikat dan disatukan. Dihumban dan tenggelam di dalam api yang ombaknya bergelombang, menggulung dan membakar. Bila tubuh kita jadi bara dan hangus, diganti dengan kulit yang baru, kemudian diseksa lagi. Di samping itu malaikat Zabaniah yang tidak pernah senyum-senyum mencemeti terus setiap detik hingga jadi hancur-lebur, bersepai-sepai.
Gambarkan betapa dahsyatnya azab yang pedih itu yang tidak akan tertanggung oleh kita. Itu baru sedikit gambaran yang dapat digambarkan. Tidak akan tertulis hal keadaan yang sebenarnya betapa rasa azab itu. Yang diceritakan itupun sudah cukup untuk menggambarkan betapa ngerinya.
Kemudian datangkan rasa takut itu berterusan di hati kita. Di sana tidak ada yang boleh membela dan membantunya. Pangkat kita, kereta menjalar, pengikut-pengikut, pemimpin-pemimpin, ibu ayah, suami, isteri, anak-anak dan sahabat-handai kita, seorang pun tidak menjenguk kita. Tidak ada sebarang makhluk pun yang akan datang menolong meringankan penderitaan yang maha dahsyat itu. Rasakanlah di hati, kita sendirian nanti menanggung kesakitan itu, yang penderitaannya puluhan kali ganda seperti yang disebutkan.
Kalau kesemua rasa-rasa yang kita gambarkan di atas tadi dapat diresapkan secara serius ke dalam hati nurani kita, langsung kita bawa hati itu ke mana-mana, itulah yang jadi motor atau power yang kuat untuk mendorong hingga kita mudah dan ringan untuk membaiki diri. Inilah yang dikatakan hati mukmin. Al hasil kita tidak tergamak untuk melakukan dosa-dosa kecil, apatah lagi dosa besar. Kita akan rasa malu.
Hati mukmin ini walaupun fizikalnya bersama dengan makhluk tetapi hatinya tetap dengan Allah. Hatinya sentiasa meneroka alam Akhirat. Hatinya sentiasa takut dengan Allah, rindu dengan Allah dan Syurga-Nya. Perasaan-perasaan inilah yang akan menyelamatkan kita di dunia dan di Akhirat. Tetapi kalau kesedaran jiwa dalam hati seseorang itu tidak ada, apakah yang akan jadi pendorong untuk mengelak daripada kemungkaran? Apakah yang jadi pendorong untuk cinta Allah dan hari Akhirat? Tentu tidak ada.
Kalau perasaan ini tidak wujud di hati, apa yang akan terjadi ialah:
1. Makin tinggi ilmu seseorang, makin alim dia, makin jahat lagi sifatnya.
2. Bertambah kaya seseorang itu, makin dia angkuh dan sombong.
3. Makin berkuasa seseorang itu, bertambah lagi zalim dan kejamnya.
4. Bolehkah kita percaya dia dapat berlaku adil, tidak rasuah, tidak menipu, tidak mencuri masa dan lain-lain lagi? Apakah jaminannya? Tentu tidak ada.
Oleh itu sematlah perasaan-perasaan di atas. Moga-moga ia dapat membantu kita dalam membaiki diri. Inilah jalan yang menyelamatkan kita yakni bila hati kita selalu sedar dan insaf.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...