'Bencana alam' pertama
Di dalam sejarah dunia, banjir merupakan ‘bencana alam’ yang pertama berlaku. Al-Quran menceritakan kisah banjir besar di zaman Nabi Nuh a.s. Banyak ayat yang menerangkan kedegilan kaum Nabi Nuh a.s. terhadap amaran dan peringatan yang disampaikan kepada mereka.
Mereka membelakangi dan mendustakan seruan ayat-ayat Allah SWT dan mempersekutukan-Nya dengan sesuatu yang lain. Walaupun baginda berusaha bersungguh-sungguh berdakwah kepada mereka tetapi mereka menuduh Nabi Nuh a.s. melakukannya demi kepentingan diri seperti kepimpinan, kekayaan dan sebagainya. Mereka juga menuduh Nabi Nuh a.s. seorang yang gila.
Allah SWT memberitahu kepada Nabi Nuh a.s. bahawa kaumnya yang menentang kebenaran dan berbuat kezaliman akan ditimpakan azab dan yang beriman akan selamat.
Tiba masanya air dari mata air keluar dengan membuak-buak manakala hujan turun dengan selebatnya sehingga menenggelamkan gunung-gunung yang tinggi. Semua manusia telah mati termasuk anak lelaki Nabi Nuh a.s. kecuali yang menaiki bahtera bersama-sama Nabi Nuh a.s.
Apabila banjir telah surut, bahtera tersebut terdampar di Judi iaitu pada sebuah tempat yang tinggi, menurut al-Quran.
Di antara firman Allah SWT:
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, maka tinggalah ia dalam kalangan mereka selama seribu tahun kurang lima puluh tahun. Maka mereka dibinasakan oleh banjir besar, dan mereka adalah orang-orang yang zalim (dengan kufur derhaka).” (al-Ankabut: 41) “Mereka terus mendustakannya, lalu Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera, dan Kami karamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta (matahatinya daripada melihat kebenaran).” (al-A`raaf: 64)
“Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah. Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air-mata air (di sana sini), lalu bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk (melakukan) satu perkara yang telah ditetapkan. Dan Kami bawa naik Nabi Nuh (berserta pengikut-pengikutnya) di atas (bahtera yang dibina) dari keping-keping papan dan paku. Yang belayar laju dengan pemeliharaan dan pengawasan Kami; (Kami melakukan yang demikian dan menimpakan taufan itu) sebagai balasan bagi orang-orang yang kufur ingkar.” (al-Qamar: 11-14)
“Lalu Kami wahyukan kepadanya: "Buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya); kemudian apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka, dan air memancut-mancut dari muka bumi (yang menandakan kedatangan taufan), maka masukkanlah ke dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap jenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu (dan pengikut-pengikutmu) kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya di antara mereka (disebabkan kekufurannya); dan janganlah engkau merayu kepadaku untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan dengan taufan sehingga mati lemas.” (al-Mukminun: 27)
“Sesungguhnya Kami, - ketika air (banjir) melampaui hadnya (serta menenggelamkan gunung-ganang), - telah mengangkut (serta menyelamatkan nenek moyang) kamu ke dalam bahtera Nabi Nuh (yang bergerak laju pelayarannya). (Kami lakukan yang demikian) untuk Kami jadikan peristiwa itu satu pelajaran bagi kamu, dan untuk didengar serta diambil ingat oleh telinga (orang-orang) yang mahu menerima pengajaran.” (al-Haqqah: 11-12)
Ambil pengajaran
Kisah-kisah umat terdahulu banyak dimuatkan di dalam al-Quran. Seharusnya ia menjadi perkara yang perlu direnungi. Allah SWT menurunkan seksaan-Nya kepada umat terdahulu lantaran keingkaran dan pendustaan mereka terhadap ayat-ayat Allah. Marilah kita menginsafi diri kerana di dalam kisah-kisah yang sebegini ada peringatan dan pegajaran bagi mereka yang mahu berfikir dan menggunakan akal.
Allah SWT berfirman:
"Yang demikian, ialah sebahagian dari khabar berita penduduk negeri-negeri (yang telah dibinasakan), kami ceritakan perihalnya kepadamu (wahai Muhammad). Di antaranya ada yang masih wujud (sisanya yang dapat disaksikan), dan ada pula yang telah hancur lebur (dan hilang lenyap). Dan tiadalah Kami menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri. Maka berhala-berhala yang mereka sembah selain dari Allah itu tidak dapat menolong mereka sedikitpun pada masa datangnya azab Tuhanmu; dan penyembahan yang mereka lakukan itu hanya menambahkan kerugian sahaja kepada mereka." (Hud: 100-101)
Musibah adalah sebahagian dari ketentuan Allah ke atas hambaNya.. Ia akan memaniskan iman seseorang terhadap Allah swt... Tetapi pada hakikatnya, orang yang ditimpa musibah perlu diberikan bantuan dengan cara pelbagai, sama ada nasihat dan kata-kata yang menyenangkan hati, atau dengan sedikit harta dalam bentuk hadiah atau sedekah dan lain-lain... Di saat ini, ramai saudara kita yang ditimpa dengan MUSIBAH BANJIR di beberapa tempat dalam negara... Doakan untuk mereka keselamatan dan ketenangan dan redakanlah musibah mereka dengan bantuan kewangan dalam bentuk sumbangan derma..... Mudah-mudahan mereka akan berasa tenang hati dan jiwa di atas musibah yang sedang menimpa mereka... Amin.
Hujan masih mencurah di luar dengan lebatnya. Hujan juga ada peringatan dan pengajarannya, tentu sekali bagi mereka yang mahu berfikir.
“Ya Allah, jadikanlah hujan yang turun ini membawa rahmat dan memberi manfaat kepada kami semua, ameen ya Rabb.
diolah semula.
kredit: http://abuikhwan.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan