terimalah teguran dengan hati yang terbuka. |
Kita sebagai manusia sangat sukar untuk menerima teguran atas kekhilafan diri sendiri. Semakin sukar apabila si penegur adalah orang bawahan atau pekerja kita. Ini berlaku di mana-mana sahaja kita berada. Teguran dan nasihat amat penting untuk kita cepat sedar dan seterusnya bangun memperbaiki diri. Namun, bukan semua mampu berbuat demikian.
Syeikhul Islam, Ibnu Taimiyyah sendiri pernah menegur panglima zalim, Mahmud Ghazan ketika tentera beliau menjarah kota Baghdad. Bergitu juga apabila wali Allah, Sheikh Abdul Kadir al-Jailani yang menerima teguran daripada seorang ketua perompak. Ketua perompak itu menegur Sheikh Abdul Kadir untuk memperingati semua ilmu-ilmu yang diperolehinya bukannya bergantung kepada buku. Peristiwa itu berlaku semasa buku-buku Sheikh Abdul Kadir al-Jailaini dirampas dalam satu perjalanan menimba ilmu. Sejak itu, beliau terus menghafal setiap ilmu yang diperolehinya.
Tidak kira kita siapa, teguran mesti diterima dengan hati yang terbuka dan berlapang dada. Percayalah, setiap teguran ada hikmahnya. Lihatlah teguran seorang perompak kepada seorang wali. Bagaimana teguran seorang perompak mampu mengubah 360 darjah cara pembelajaran seorang wali Allah. Itulah hikmahnya wahai saudara.
Percayalah bahawa, junjungan besar kita, Rasulullah saw beberapa kali ditegur oleh Allah swt dan ia disampaikan melalui wahyu. Jika melalui wahyu, ini bermakna, sehingga kiamat kita sebagai orang mukmin akan sentiasa membaca teguran Allah swt tersebut di dalam Al-Quranul karim.
Persoalannya, adakah Rasulullah menyembunyikan wahyu tersebut daripada kaum muslimin ketika itu? Jawapannya adalah tidak sama sekali. Rasulullah saw jika menerima wahyu baru daripada Jibrail as, beliau segera akan memanggil penulis wahyu iaitu Zaid bin Tsabit untuk berada di sampingnya. Itulah kelebihan dan sifat amanah Rasulullah saw yang wajib kita contohi yang mana tidak mungkin ditandingi oleh insan lain hari ini.
Daripada beberapa teguran Allah swt kepada Rasulullah saw ini terdapat hikmah di sebaliknya. Kepada pembaca, kutip dan gali hikmah daripada teguran Allah swt kepada Rasulullah saw.
Teguran Allah swt kepada Rasulullah saw
Surah Abasa ayat 1-10
(1) Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, (2) Karena Telah datang seorang buta kepadanya (3) Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa), (4) Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manfaat kepadanya? (5) Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup (6) Maka kamu melayaninya. (7) Padahal tidak ada (celaan) atasmu kalau dia tidak membersihkan diri (beriman). (8) Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera (untuk mendapatkan pengajaran), (9) Sedang ia takut kepada (Allah). (10) Maka kamu mengabaikannya.
Surah Abasa ayat 1-10 adalah surah khusus untuk mendidik dan menegur Rasulullah saw tentang perlakuan baginda terhadap seorang sahabat yang cacat perlihatan. Sahabat tersebut adalah Abdullah ibnu Maktum.
Pada satu hari Abdullah Ibnu Maktum yang cacat perlihatannya telah datang kepada Rasulullah dan berkata, “Berikan pertunjuk kepadaku ya Rasulullah”.
Pada waktu itu, Rasulullah saw sedang sibuk untuk berdakwah kepada para pemuka Quraisy yang terdiri daripada Utbah bin Rabi’ah, Syaibah bin Rabi’ah, ‘Amr bin Hisyam (Abu Jahal), Umayyah bin Khalaf dan Al Walid bin Mughirah (ayah Saiyidina Khalid bin Al Walid).
Rasulullah saw berpaling kepada Abdullah namun tidak memperdulikan pertanyaan Abdullah Ibnu Maktum kerana kesungguhan baginda ingin memberi dakwah kepada lima pemuka Quraisy tersebut.
Abdullah ibnu Maktum menyedari hal itu lantas bertanya Rasulullah saw, “Adakah ia menggangu tuan?” Rasulullah saw menjawab, “Tidak”.
Maka, turunlah wahyu ke dalam hati Rasulullah saw saat itu juga bagi memberi peringatan dan teguran Rasulullah berhubung kelakuan baginda terhadap sahabatnya yang bernama Abdullah ibnu Maktum. Selepas saat itu, Rasulullah saw sentiasa mendahulukan Abdullah ibnu Maktum dalam segala hal. Abdullah ibnu Maktum sendiri pernah dilantik menjadi pemangku setelah Rasulullah keluar berjihad di jalan Allah. Abdullah ibnu Maktum juga dilantik menjadi muazzin selain Bilal bin Rabah. Abdullah ibnu Maktum meninggal dunia setelah syahid di medan peperangan. Moga Allah swt merahmati roh beliau.
Surah al-Tahrim ayat 1
“Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah halalkan bagimu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isterimu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”
Ayat ini turun sebagai teguran kepada Rasulullah saw. Imam Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah saw pernah mengharamkan dirinya minum madu hanya untuk menyenangkan hati isteri-isterinya. Maka turunlah ayat teguran ini kepada baginda Rasulullah saw.
Surah at-Taubah ayat 84
“Janganlah sekali-kali kamu menyembahyangkan (jenazah) seorang yang mati dari mereka (keadaan munafik), dan janganlah kamu berdiri (mendoakan) di atas kuburan mereka. Sesungguhnya mereka telah kafir pada Allah dan utusannya dan mereka mati dalam keadaan fasik.”
Ayat ini turun ketika Rasulullah saw menyembahyangkan ketua munafik, Abdullah bin Ubai miskipun mendapat halangan daripada Saidina Umar al-Khattab ra. Saidina Umar al-Khattab ra sangat tidak setuju dengan tindakan Rasulullah saw kerana beliau tahu bahawa Abdullah bin Ubai adalah individu munafik dan merosakkan Islam dalam diam. Kerana tidak setujunya Umar ra, beliau telah menarik baju Rasulullah saw untuk menghalangnya melakukan solat jenazah. Akibat tindakan Saidina Umar ra itu, Allah swt menurunkan ayat di atas. Sejak daripada itu, Rasulullah saw tidak pernah hadir untuk menyembahyangkan orang-orang yang dikhabarkan munafik.
Surah at-Taubah ayat 43
Semoga Allah memaafkanmu. Mengapa kamu memberi izin kepada mereka (untuk tidak pergi berperang), sebelum jelas bagimu orang-orang yang benar (dalam keuzurannya) dan sebelum kamu ketahui orang-orang yang berdusta?
Ayat ini turun setelah Rasulullah saw memberi tolak ansur dan toleransi kepada golongan munafik untuk tidak turut serta dalam kempen perang memerangi musuh Islam. Golongan munafik memberi pelbagai alasan kepada Rasulullah saw sehingga baginda akhirnya memberi kelonggaran kepada golongan perosak akidah Islam ini. Lantas, ayat 43 dalam surah at-Taubah ini turun bagi menegur perbuatan baginda. Setelah jelas ayat yang diturunkan, Rasulullah saw tidak pernah bertolak ansur dengan golongan tersebut kemudian harinya.
Surah ali-Imran ayat 128
Tak ada sedikitpun campur tanganmu dalam urusan mereka ituatau Allah menerima taubat mereka, atau mengazab mereka karena sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim.
Imam Bukhari meriwayatkan daripada Humaid bin Tsabit daripada Anas bin Malik ra, beliau berkata,
“Rasulullah saw terluka di kepalanya semasa Perang Uhud, maka baginda bersabda: ‘Bagaimana akan beruntung kepada kaum yang melukai nabi mereka?’ Maka turunlah ayat “Tak ada sedikitpun campur tanganmu dalam urusan mereka”.
Dalam satu riwayat lain pula, Imam Ahmad meriwayatkan daripada Anas bin Malik ra bahawa Rasulullah saw pernah patah gigi dan luka berdarah pada wajahnya semasa Perang Uhud, maka baginda bersabda,
“Bagaimana akan beruntung kaum yang berbuat seperti ini kepada Nabi mereka, sedangkan ia (Nabi) mengajak mereka kepada Rabb mereka”
Maka Allah swt menurunkan ayat 128 dalam surah ali-Imran bagi menegur Rasulullah saw,
Tak ada sedikitpun campur tanganmu dalam urusan mereka ituatau Allah menerima taubat mereka, atau mengazab mereka karena sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim.
Surah al-Anfal ayat 67
“Tidak pantas bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuh-musuhnya di muka bumi. Kau menghendaki harta duniawi sedang Allah menghendaki (pahala) akhirat (untukmu), dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.”
Ayat 67 surah al-Anfal turun setelah selesaikan Perang Badar yang dimenangi oleh kaum Muslimin. Dalam perang tersebut, kaum muslimin telah menawan lebih kurang 70 pemuka Quraisy. Rasulullah saw telah menawarkan pandapat para sahabatnya tentang untung nasib 70 pemuka Quraisy tersebut.
Maka bangkitlah pendapat daripada Saidina Abu Bakar as-Siddiq ra. Beliau berpendapat supaya dilepaskan sahaja tawanan tersebut. Kemudian, bangkit pula pendapat Saidina Umar al-Khattab. Beliau berpendapat supaya dibunuh sahaja tawanan tersebut. Kedua-dua pendapat daripada dua sahabat besar Rasulullah saw ada benarnya. Pendapat Abu Bakar lebih kepada tolak ansur dan berunsur pendamaian manakala pendapat Umar al-Khattab lebih memikirkan kepada ancaman kaum musyrikin yang bakal bangkit jika dilepaskan bergitu sahaja. Oleh sebab itu, pendapat Umar lebih kepada keselamatan kaum Muslimin di kemudian harinya.
Akan tetapi, Rasulullah saw memilih pendapat Abu Bakar as-Siddiq ra. Setelah itu, turunlah ayat 67 dalam surat al-Anfal. Para jumhul ulama berpendapat, Allah swt lebih menyenangi pendapat Umar al-Khattab.
Maka diketahuilah bahawa, susuk paling unggul seperti Rasulullah saw sendiri juga ditegur oleh Allah swt dalam al-Quran. Namun, kita tidak boleh terkongkong dengan dakwaan bahawa Rasulullah saw ditegur oleh Allah swt menyebabkan ‘hilangnya’ sifat maksum milik baginda. Ia tidak benar sama sekali kerana teguran Allah swt terhadap baginda adalah untuk mendidik baginda dan bukan untuk menjatuhkan martabat kerasulan baginda Rasulullah saw.
Jika dilihat daripada segi logik akal, setiap perbuatan Rasulullah saw ditegur dalam wahyunya. Ia mencakupi hubungan Rasulullah dengan isteri-isteri baginda, sahabat dan musuh-musuh Islam.
Jikalau dihitung dengan jumlah ayat dalam al-Quran, berapa banyak ayat yang menunjukkan baginda ditegur oleh Allah swt? Hanya sedikit sahaja berbanding beribu ayat yang diturunkan oleh Allah swt.
Ini membuktikan Rasulullah saw hanya membuat kesalahan yang sangat kecil yang kemudiannya diperbetulkan pula oleh Allah swt. Yang lebih hebat adalah, kesalahan tersebut adalah normal bagi manusia biasa yang mana dengan kata lain, ia adalah tidak menjadi kesalahan jika manusia tersebut bukan bermaktabat seorang Rasul dan Nabi.
Namun yang pasti, teguran Rasulullah oleh Allah swt menunjukkan semua manusia WAJIB ditegur untuk memperbetul dan mendidik mereka. Kita jangan melenting jika ditegur kerana ingatlah Rasulullah saw juga pernah ditegur malahan sehingga hari ini kita akan membaca kisahnya dalam al-Quran. Siapalah kita ini berbanding Rasulullah saw jika ditegur pun melenting sakan.!
kredit: http://takusahrisau.wordpress.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan