Ukhwah Islamiyyah

Khamis, 20 Jun 2013

Dosa Umpat Kekal Jika Tak Diampun Mangsa



MENGUMPAT ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain. Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya.

Rasulullah menjelaskan mengenai mengumpat dalam sabdanya, bermaksud, "mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya" (Hadis Riwayat Muslim). 

Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan bangkai saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.

Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Ia hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpat. Selagi orang yang diumpat tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasan di akhirat.

Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua. Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya.

Sabda Rasulullah, "Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan jangan lah kamu mengintip-intip keaiban. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaiban, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri" (Hadis riwayat Abu Daud).

Pahala Kita Menjadi Milik Orang, Dosa Orang Menjadi Milik Kita 

Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.

Sabda Rasulullah bermaksud : "Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering". 

Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.

Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya didunia. Maka, dia berkata kepada Allah "Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya" .

Maka Allah menjawab: "Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui".

Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat nanti.


Kenapa manusia boleh terjerumus ke dalam perangkap ghibah (mengumpat) ?

1. Lemah iman dan tidak takut kepada Allah. Seseorang yang lemah imannya, tidak akan mampu mengawal dan menguasai lidahnya.

2. Berkawan dengan orang yang suka mengumpat. Lantaran itu Rasulullah sallallahu alaihi wasallam mengingatkan kita agar mendampingi orang yang baik-baik. Sabda baginda (maksudnya): “Seseorang itu mengikut cara hidup teman rapatnya. Maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapa teman rapatnya.” (Riwayat At-Tirmizi)

3. Dengki dan iri hati. Dengki merupakan penyakit hati yang terpendam di dalam diri seseorang. Orang yang dengki tidak senang hati melihat orang lain memperoleh nikmat daripada Allah dan bercita-cita agar nikmat tersebut segera hilang, malah kadang-kadang mendorongnya berusaha dengan langkah-langkah tertentu untuk menghilangkannya.

4. Cintakan dunia dan berlumba-luma untuk meraih keuntungannya. Al-Fuadhil bin Iyadh pernah berkata: “Tiada seorang pun yang cintakan pangkat kecuali dia akan berdengki, berbuat zalim, mencari-cari keaiban manusia dan tidak suka kebaikan orang lain disebut.” Sesetengah orang tidak melihat kecuali dirinya. Dia suka mengangkat dirinya dan menyebut keaiban orang lain.

5. Tidak tahu mengisi masa lapang. Sesetengah manusia berasa seolah-olah dia mempunyai banyak masa lapang dan tidak tahu mengisinya dengan perkara yang berfaedah. Lalu masa itu diisi dengan percakapan kosong sehingga terbawa-bawa kepada mengumpat dan mengorek rahsia orang lain.

Selamatkan diri daripada dosa ini dengan:

1. Takut kepada Allah pada setiap masa dan tempat. Bertakwa kepada Allah membantu kita berhenti daripada mengumpat dan dapat menghapuskan dosa-dosa lalu. Firman Allah bermaksud: “...Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahannya dan akan membesarkan pahala balasannya.” (At-Talaq: 5)

2. Sibukkan diri dengan membaiki kelemahan sendiri, jangan asyik memerhati kelemahan orang lain. Bak kata seorang penyair: “Perhatikanlah dirimu dan periksa kelemahannya; biarkanlah kekurangan manusia itu diurus oleh mereka.”

3. Membaca sirah para sahabat dan salaf as-soleh serta mendampingi orang-orang yang baik. Dengan itu kita dapat mencontohi akhlak mereka. Kata seorang penyair: “Tirulah mereka walaupun kamu tidak seperti mereka; sesungguhnya meniru seseorang tokoh akan membawa kejayaan.”

4. Muhasabah diri dan mencelanya ketika ia melakukan kesalahan. Itu merupakan cara yang dianjurkan untuk membaiki kesilapan diri.

5. Sentiasa menyedari kepentingan taubat daripada dosa ghibah dan sentiasa menanam azam untuk tidak melakukannya. Minta maaf daripada orang yang pernah kita umpat dan mohon ampun kepada Allah untuk diri sendiri dan untuk kaum Muslimin seluruhnya.


Moga-moga Allah memelihara lidah kita daripada ghibah dan menyelamatkan kita daripada fitnah dunia dan akhirat.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...