Ukhwah Islamiyyah

Jumaat, 5 April 2013

Mengapa tak sokong perjuangan Islam?

























Soalan:

Tidakkah segala keterangan sudah sampai dengan jelas, bahawa perjuangan menegakkan Islam adalah kewajipan utama yang sepatutnya menjadi prioriti umat seluruhnya dalam melaksanakan amanat Allah. Kenapa realitinya tidak demikian, malah mengapa majoriti umat Islam, mengambil ‘side’ terus-menerus tidak menyokong perjuangan Islam? Mengapa hal sebegini boleh berlaku.

Jawapan:

Itulah dia manusia. Daripada jenis manusia yang anda sebutkan di atas itulah Allah menurunkan kitab al-Quran kepada mereka, mengajak mereka kepada Islam yang syumul. Membuka minda mereka supaya memahami makna kehidupan yang hakiki, iaitu hidup ini tidak habis dengan mati, kerana mati adalah permulaan kepada penghidupan yang sebenar.

Itulah yang al-Quran menyebutkan firman-Nya (mafhumnya): “Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).” (al-Ankabuut: 64)

Bagi manusia yang telah dipengaruhi, dari segi pemikiran dan cara hidupnya, dengan keduniaan yang melampau, sehingga melupakan akhirat, maka tidak hairanlah dengan tindakan mereka yang membelakangi agama dan tuntutannya, dan terus-menerus memperjuangkan hal-hal keduniaan dengan membelakangi hal-hal keakhiratan, maka itulah yang disebutkan dalam soalan anda.

Sedangkan memperjuangkan agama Allah demi memartabatkannya dalam penghidupan yang sementara ini, adalah tuntutan utama yang wajib dilaksanakan.

Firman Allah (mafhumnya): “Allah telah menerangkan kepada kamu – antara perkara-perkara agama yang Ia tetapkan hukumnya – apa yang telah diperintahkan-Nya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: “Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah-belah atau berselisihan pada dasarnya.” Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima agama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendaki-Nya untuk menerima agama tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada agama-Nya itu sesiapa yang rujuk kembali kepada-Nya (dengan taat).” (asy-Syura: 13)

Ertinya, seluruh Rasul-rasul yang diutus Allah kepada manusia, daripada Adam as. Sehingga ke Muhammad saw, menjadi tugas mereka ialah menegakkan agama Allah, memartabatkan syariat Allah dan melaksanakan tuntutan wahyu dengan sebaik-baiknya, tanpa mengendahkan tentangan golongan kuffar yang sudah pasti akan menentang mereka.

Inilah yang Allah sebut khusus kepada Nabi Muhammad saw menerusi firman-Nya (mafhumnya): “Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu.” (al-Hijr:94)

Penentang-penentang gerakan Islam ada di mana-mana dan ada bila-bila masa dari dahulu sehingga sekarang ke hari akan datang.

Cuba renung semula, hatta di zaman Rasulullah saw, penentang-penentang Islam wujud dengan ketara dari luar dan dari dalam. Dari luar golongan kuffar, malah dari kalangan keluarga baginda Rasulullah saw sendiri, bapa saudara dan emak saudara menentangnya, sepupu-sepapatnya dan rakan karib menentangnya.

Malah dari dalam organisasi Islam sendiri, iaitu daripada kalangan umat Islam yang berlegar hidup bersama Rasulullah saw, wujud penentang-penentang Islam, iaitu golongan al-munafikin.

Sehinggakan Allah berfirman (mafhumnya): “Dan antara orang-orang yang di sekeliling kamu daripada orang-orang Arab ada yang bersifat munafik dan (demikian juga) sebahagian daripada penduduk Madinah; mereka telah berkeras dengan sifat munafik; engkau tidak mengetahui mereka (bahkan) Kamilah yang mengetahui mereka. Kami akan azabkan mereka berulang-ulang, kemudian mereka dikembalikan kepada azab yang besar.” (at-Taubah: 101)

Jika itu realitinya, maka tidak hairanlah di zaman kita ini, ada orang Islam, yang walaupun mereka mengetahui Islam itu benar dan PAS yang memperjuangkan Islam itu mereka tahu benar, tetapi mereka tidak suka kepada undang-undang Islam.

Anehnya mereka mengaku bahawa mereka mukmin, beriman kepada Allah, tetapi tidak beriman kepada ayat-ayat-Nya, tidak percaya kepada hukum dan undang-undang-Nya.

Oleh kerana itulah Allah SWT mengajak kita yang faham dan sedar dengan kebenaran agama Allah, agar berjihad memperjuangkannya, tanpa mengambil kira golongan-golongan yang menentang kerana mereka menolak hidayah Allah dan kita memahaminya sebagai satu kewajipan.

Ayuh kita gembleng tenaga bersama-sama, mengajak diri dan masyarakat kita memperjuang dan memartabatkan agama Allah yang salah satu daripada cara atau jalannya, adalah bersama-sama dengan PAS. Untuk memperjuangkan Islam yang syumul.
Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Haron Din

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...