Ukhwah Islamiyyah

Rabu, 14 November 2012

Jihad Palestin : Tuntutan Maruah Iman Dan Persaudaraan

بسم الله الرحمن الرحيم

Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)

Memandangi wajah bayi dan kanak-kanak yang terkorban di Gaza menimbulkan perasaan amat bersalah di dalam hati kita kerana tidak mampu melakukan apa-apa untuk menyelamatkan saudara kita yang ditindas. Kemudian soalan-soalan datang menerjah nurani keimanan kita, apakah bentuk-bentuk bantuan yang paling relevan disumbangkan kepada mereka agar kita terlepas dari tanggungjawab sebagai muslim di hadapan Allah nanti? Mengapa kamu membiarkan agamamu diperangi? Mengapa kamu berdiam diri menonton keganasan dan kekejaman yang menumpahkan darah kaum muslimin di atas tanah suci yang melahirkan para Nabi? Apakah sumbanganmu untuk agama Allah, apakah perananmu untuk memastikan kalimah Allah tertegak di atas bumi tanpa penghinaan?

Tak mampu rasanya menjawab soalan-soalan tajam umpama peluru-peluru yang mengoyak jantung hati kita. Betapa selama ini keselesaan hidup telah melayukan semangat Islam dalam diri yang lena. Sesungguhnya seluruh bumi Allah ini adalah tanggungjawab kita, di mana seorang muslim lahir disitulah tanahair kita. Tiada batasan yang memisahkan seorang Malaysia dan seorang Palestin, agama telah mengajarkan tiada perbezaan antara kulit hitam atau putih kerana yang menyatukan mereka adalah keimanan kepada Allah Yang Satu. Kita disatukan oleh iman, inilah nasionalisme Islam yang sebenar.

Amat menyedihkan, ramai di kalangan umat Islam yang jahil terhadap isu Palestin. Padahal mereka cukup bijak dalam menempa kejayaan peribadi, kerjaya dan kedudukan selesa yang seharusnya mencelikkan hati nurani untuk memandang dengan serius isu-isu kemanusiaan sejagat. Keghairahan membina masa depan sendiri telah menyuburkan egoisme dan sifat individualistik dalam diri manusia. Mengabaikan isu Palestin semudah mereka menekan butang televisyen yang memaparkan kisah Palestin ke siaran sukan atau hiburan tanpa rasa prihatin. Apakah bentuk-bentuk sokongan kepada perjuangan umat Islam di Palestin?

Bermula dari kesedaran memahami bahawa peperangan di Palestin adalah isu agama dan keimanan. Walaupun media sentiasa memaparkan perbalahan yang terjadi antara dua kubu Fatah dan Hamas yang seolah-olah mahu menunjukkan perebutan kuasa politik, ketamakan dan kotornya peperangan sesama umat Islam sendiri. Tujuan media barat memaparkan isu ini supaya umat Islam yang melihat dari kaca televisyen berputus asa terhadap masa depan Palestin dan tidak mahu lagi campur tangan dalam isu ini kerana letih melihat pertumpahan darah sesama muslim yang mencalarkan imej perjuangan mereka. Padahal isu perebutan kuasa di Gaza sebenarnya telah selesai dengan keputusan pilihanraya yang dimenangi Hamas. Yang membangkitkan peperangan lagi adalah Israel dan sekutu kuatnya Amerika yang mahu Fatah memerintah supaya terjadi konflik yang berlanjutan. Sengketa Fatah dan Hamas merupakan makar dan rancangan busuk Israel dan sekutunya untuk menciptakan ketidakstabilan politik dalam tubuh Palestin. Juga menipu mata dunia Islam supaya mereka mempersoalkan keikhlasan pejuang-pejuang Palestin tersebut. Akhirnya umat Islam seluruh dunia melupakan Palestin. Jika seorang muslim yang mengikuti dari jauh kisah-kisah perjuangan Palestin telah pun rasa bosan, tidak terdetik hati untuk berniat memberi sokongan dan pertolongan, maka dikhuatiri keadaan itu akan mencabut keimanan dalam hatinya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW menyuruh umatnya untuk sentiasa berada dalam keadaan membela saudara muslimnya dengan sabda baginda SAW yang bermaksud: “Tidak ada seorang muslim yang membiarkan saudara muslimnya ketika maruahnya dicerobohi dan kehormatannya dicela melainkan Allah akan membiarkannya (tidak menolong) ketika dia memerlukan pertolongan.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud)

Kelemahan umat Islam dalam menyampaikan maklumat yang sahih tentang isu Palestin ini dimanfaatkan oleh Zionis yang mampu memutarbelitkan fakta dalam berita yang mereka sebarluaskan melalui media masa. Mereka menyatakan tanah Palestin adalah milik nenek moyang mereka, sedangkan jika diteliti, sejarah dunia ini telah mencatatkan pembohongan mereka itu.

Asal bangsa Palestin dikenali sebagai bangsa Kan’an dan keturunannya telah mendiami tanah itu sejak 1500 tahun sebelum bani Israel menetap di sana. Islam pula telah datang dan memerdekakan Palestin dari cengkaman penjajahan dan berkuasa selama 1200 tahun. Sejarah tamadun Islam telah merekodkan pembebasan Palestin dari cengkaman Rom pada zaman Umar bin al-Khattab. Islam memberi kedamaian selama 500 tahun di mana Kristian dan Yahudi dilindungi status kerakyatan mereka sebaga kafir Zimmi yang diberi hak-hak sebagai warganegara.

Berdasarkan fakta penyelidikan seorang ahli akedemik Yahudi sendiri yang bernama Arthur Koestler, lebih dari 80% Yahudi hari ini langsung tidak mempunyai kaitan sejarah dengan Palestin. Majoriti Yahudi sekarang sebenarnya berketurunan Yahudi Khazar iaitu puak Tartar-Turki kuno yang asalnya bukanlah Yahudi. Mereka mendiami bahagian utara Kaukaz (kawasan bekas Soviet) yang telah memeluk agama Yahudi pada kurun ke-8 M, mereka sepatutnya pulang ke selatan Rusia bukannya ke Palestin.

Jadi, mengapa Zionis amat berminat dengan bumi Palestin? Zionis Internasional telah merangka dengan teliti tanah jajahan yang paling strategik dan berharga dengan menciptakan Negara Yahudi. Suatu ketika mereka pernah merancang memilih Uganda sebagai jajahannya tetapi di situ tidak terdapat nilai-nilai sentimental sebagaimana di Baitul Maqdis yang menyimpan sejarah bani Israel bertapak suatu ketika dahulu. Mereka juga beriman bahawa di Al-Quds akan muncul Messiah (penyelamat) dan akan mengasaskan kerajaan Yahudi yang besar sepertimana yang dibina oleh Sulaiman, menurut dakwaan dongeng mereka.

Sikap umat Islam terhadap penjajahan Israel ke atas Palestin tidak akan berubah sehingga hari kiamat. Kita wajib menentang sekeras-kerasnya pembantaian dan pencerobohan ke atas kaum muslimin. Para ulama sedunia telah memfatwakan haram mengakui kedaulatan Israel di bumi Palestin yang terjajah. Pada Tahun 1947, Fatwa Al-Azhar menyatakan haram membahagi-bahagiakan tanah antara Arab dan Yahudi di Palestin dan haram mengiktiraf kewujudan Negara Israel di Palestin. Tahun 1956 Fatwa Syaikul Azhar dan Mufti Mesir ketika itu, al-Imam al-Akbar al-Syaikh Hassan Makmum menyatakan menjadi fardu ain ke atas kaum Muslimin semua untuk membebaskan bumi Palestin kerana Islam tidak mengenal persempadanan antara Negara. Perdamaian dengan Israel untuk merelakan mereka menindas dan membunuh kaum muslimin, perdamaian sebegini adalah haram. Fatwa Syaikhul Azhar terkini, Syaikh Muhammad Tantawi, ulama ulung sedunia, al-Syaikh Yusuf al-Qaradawi, Mufti Mesir Syaikh Nasr Farid Wasil pula menyatakan aksi serangan berani mati ke atas Yahudi penjajah adalah satu aksi jihad dan pelakunya adalah mati syahid.


Antara tindakan minima yang wajib dilakukan oleh umat Islam di seluruh dunia adalah memboikot barangan Israel dan sekutu. Mereka juga haram menjalankan hubungan dagang dan memberi apa-apa bekalan musuh termasuk, memboikot Amerika yang merupakan sekutu utama Israel. Dr Yusuf Al-Qaradawi telah menyatakan: “Satu riyal yang digunakan untuk membeli barangan Amerika bersamaan dengan sebutir peluru yang akan digunakan oleh tentera-tentera Zionis untuk membunuh anak-anak kecil di Palestin.” Inilah jihad minima yang wajib dilakukan.

Apakah fatwa-fatwa ini mampu menggerakkan umat Islam untuk menyokong perjuangan Palestin? Setiap kali kita membaca surah al-Isra dan mengingati peristiwa Israk dan Mikraj, muncul satu pertanyaan tentang keterlibatan kita dalam isu Baitul Maqdis, adakah cukup sokongan yang diberi untuk melayakkan kita sebaris dengan mereka yang berjihad di sana? Terdetik ketakutan atas kelalaian, memandangkan Palestin adalah tanahair kita juga kerana Rasulullah SAW telah memberi amaran dalam hadis baginda yang bermaksud: “Barangsiapa yang tidak peduli akan nasib saudara muslimnya maka dia bukan daripada golongan mereka.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Palestin adalah sejarah kita, perjuangan dan impian umat Islam seluruh dunia. Sudahkah kita memastikan generasi selepas kita nanti masih menjaga nilai-nilai sejarah dan kedaulatan Islam di sana? Ataukah anak-anak kita akan menjadi pemuda-pemudi yang buta maklumat tentangnya? Bahkan akan melupakan cita-cita tertinggi dalam kehidupan seorang muslim iaitu berjihad di jalan Allah. Apabila telah terhakis semangat menegakkan agama Allah dalam diri generasi Islam tidak mustahil mereka akan mengikut jejak tali barut kuffar memerangi umat Islam sendiri. Tak peduli dengan agama, mencampakkan Al-Quran dari dada mereka dan mengejek kemuliaan hadis-hadis Rasulullah SAW kerana terlalu taksub dengan kitab-kitab dari Amerika, Eropah dan bangsa-bangsa lain.

Sebagai ibu bapa yang beriman dan mengharapkan keluarga menjadi keluarga mujahid semestinya maklumat dan bukti sejarah tentang perjuangan intifada menjadi bacaan wajib untuk anak-anak sebagai persedian awal memupuk semangat cintakan Islam. Dan menjadi kewajipan umat Islam untuk menyokong Palestin dengan harta, jiwa, ilmu dan kepakaran yang diperlukan bagi sebuah Negara Islam merdeka. Allah Taala berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang beriman itu ialah mereka beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian tidak ragu-ragu berjihad dengan harta dan nyawa mereka. Mereka itulah golongan mukmin yang benar.” (Surah al-Hujurat ayat: 15)

Sumber :- DrJuanda.com

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...