بسم الله الرحمن الرحيم
Kisah Balat Al-Shuhada ini merupakan antara kisah yang terpenting dalam sejarah umat Islam. Banyak pengajaran dan iktibar yang dapat kita ambil dari kisah ini bukan sahaja dari segi kepahlawanan dan semangat umat Islam hendak Islamkan seluruh kota Perancis tetapi bagaimana perlunya penyucian hati dan meniatkan perang hanya untuk Allah. MasyaAllah, Mampukah kita untuk duduk sebaris dengan tentera Abdul Rahman Al-Gahfiqi yang ibarat singa-singa yang menyerang. Pilihannya hanya dua, Menang atau syahid!!! Ikuti dan hayati kisah perang ini.
Angkatan tentera dibawah pimpinan Abdul Rahman seramai 100 ribu orang telah mara berbekalkan semangat waja dan tekad yang tinggi menggunung.
Matlamat mereka ialah Kota Arles yang terletak di tebing sungai Rhone. Kota Arles suatu ketika dahulu pernah memeterai perjanjian dengan umat Islam apabila mereka bersetuju untuk membayar jizyah tetapi selepas Al-Samah gugur di medan jihad, mereka telah mengkhianati perjanjian. Di pinggir kota, tentera Islam telah bertempur dengan tentera musuh di bawah arahan Eudes, Duke Aquitania yang telah bersiap sedia menyekat kemaraan tentera Islam. Tentera Islam berjaya mengalahkan tentera musuh. Harta yang diperoleh sangatlah banyak. Kemudian, tentera Abdul Rahman menyeberangi Sungai Garonnes dan telah menakluk ke seluruh kawasan Aquitania. Semua perkampungan dan kota yang dilalui jatuh satu persatu ibarat daun kering yang jatuh ke bumi ditiup angin di musim luruh. Harta yang diperolehi sangat-sangat banyak. Mereka tidak pernah melihat atau mendengar harta yang sebanyak itu.
Tentera Islam bergerak dan menakluk Kota Bordeaux.. Rentetan daripada itu, jatuhlah juga kota besar yang lain seperti kota Lyon, Besancon dan Sens. Penaklukan ini hanya mengambil masa beberapa bulan sahaja dan ini telah membuka mata rakyat Perancis tentang bahaya yang akan dilalui. Akhirnya, rakyat Perancis telah mara dan menyahut perintah kerajaan dan berada dibawah pimpinan Charles Martel untuk menentang tentera Islam dengan batu, kayu, duri atau senjata. Pada ketika itu, tentera Islam telah mara dan menakluk Kota Tours (kota yang paling padat dengan penduduk). Kota ini dianggap penting kerana mempunyai gereja yang indah, besar dan memiliki bahan bersejarah.
Pada akhir Syaa’ban tahun 104 hijrah, Abdul Rahman dan tenteranya menuju ke Kota Poitiers di mana disinilah berlakunya satu perang yang dikenali sebagai Balat Al-Shuhada. Pada ketika ini, tentera Islam berada di kemuncaknya tetapi pada masa yang sama bebanan harta rampasan perang yang ditanggung semakin bertambah, mencurah-curah ibarat hujan. Inilah yang membimbangkan Abdul Rahman, kerana harta yang banyak ini akan mengganggu hati tentera Islam dan bakal mengugat kekuatan umat Islam. Abdul Rahman berhasrat untuk memerintahkan tenteranya untuk membuang harta itu tetapi beliau takut cadangannya tidak dapat diterima oleh mereka. Jadi, pilihan terbaik ialah meletakkan semua harta di dalam satu khemah khas di bahagian belakang markas sebelum peperangan meletus.
Akhirnya bertemulah tentera Islam dan musuh. Setelah berperang dengan tenang selama beberapa hari, Abdul Rahman mengambil keputusan untuk melancarkan serangan kepada musuh. Pertempuran berlaku ibarat tiada penghujungnya. Hanya kegelapan malam yang mampu menghentikan peperangan hari itu. Peperangan telah berlaku selama tujuh hari dan tiada tanda akan memihak kemana-mana.
Pada hari kelapan, umat Islam telah melancarkan serang secara besar-besaran. Tapi, pada masa yang sama, tentera musuh telah menyerang hendap ke khemah yang menyimpan harta yang banyak. Apabila melihat harta mereka diserang dan hampir jatuh ke tangan musuh, tentera Islam telah berundur ke belakang untuk menyelamatkan harta. Dalam keadaan yang gawat itu, Abdul Rahman Al-Ghafiqi telah berusaha untuk membawa tentera-tenteranya kembali ke tempat asal dan menutup ruang yang terbuka. Tetapi, satu peristiwa sedih telah berlaku dimana Abdul Rahman telah terkena panahan musuh dan menyebabkan panglima agung itu rebah dan syahid di medan peperangan. Umat Islam telah diserang rasa takut dan goyah dan kegelapan malam sahaja yang dapat menyelamatkan mereka.
Pada keesokan harinya, Charles Martel mendapati tentera Islam telah berundur. Charles tidak berhasrat untuk mengejar tentera Islam kerana dikhuatiri itu hanyalah taktik peperangan. Dengan pengunduran ini, maka terukirlah dalam sejarah, umat Islam gagal untuk mencapai matlamat besar yang dicitakan malah mereka kehilangan seorang panglima agung. Tragedi UHUD berulang kembali. Inilah Sunnah Allah di alam semesta dan tidak akan mungkin dapat diubah.
Berita tentang kekalahan di Balat al-Shuhada amat menyayat hati umat Islam. Seluruh tempat berkabung kesedihan menerima berita ini. Malah luka yang pedih ini masih terasa hingga kini. Sebenarnya luka ini bukan sahaja dirasai oleh umat Islam tetapi turut dirasai oleh cendikiawan Eropah. Bagi mereka, kemenangan datuk nenek mereka mengalahkan umat Islam di Poiters merupakan satu bencana besar yang merugikan seluruh bangsa manusia. Suatu bencana yang memalapkan tamadun. Henry De Shamboone, pengarah majalah Rivi Barlmintier berbahasa perancis pernah berkata:
”Jika Charles Martel tidak mencapai kemenangan ke atas umat Islam, sudah tentu negara kita tidak akan terjerumus ke dalam medan kegelapan di kurun pertengahan. Jika Charles tidak menang, sudah tentu kita tidak akan merasai kedahsyatan zaman itu. Sudah tentu tidak akan berlaku peperangan saudara yang disebabkan oleh fanatik agama kemazhaban”
"Benar, jika tidak kerana kemenangan barbarian ke atas umat Islam di Poitiers, sudah tentu Sepanyol masih menikmati keadilan Islam. Sudah tentu Sepanyol akan selamat dari Mahkamah Taftish. Sudah tentu perjalanan tamadun manusia tidak akan terbantut selama lapan kurun”
”Walau apa sekalipun perasaan kita terhadap kemenangan ini, kita masih terhutang budi kepada umat Islam yang telah banyak berjasa kepada tamadun ilmu, teknologi dan industri kita. Kita perlu mengakui bahawa mereka ialah contoh manusia yang unggul. Dalam masa yang sama, kita adalah contoh manusia Barbarian” ”Apa yang kita dakwa hari ini bahawa zaman telah kembali berulang adalah satu pembohongan. Termasuklah juga dakwaan kita bahawa umat di zaman ini sama seperti keadaan kita di zaman pertengahan.”
Ayuh, semua rakan-rakan, bangkitkan kesedaran perihal betapa kita pernah menakluk 2/3 dunia dan itu tidak mustahil untuk kita ulangi jika kita mempunyai semangat waja yang tinggi sama seperti tentera Islam yang dulu dan yang paling penting, kita perlu sentiasa dekat dengan Allah. Makin dekat kita dengan Allah, makin besar pertolongan Allah kepada kita. Apa yang perlu kita buat??? Kembalikan manusia kepada Allah yang Esa dan bawa cahaya Islam dengan menyedarkan umat Islam kita sendiri kepada penyucian hati dan akidah. Biarpun usaha kita kecil,tapi di pandangan Allah sangatlah besar jika hati kita ikhlas.
Ayuh rebutlah peluang ini kerana Allah sudah menyediakan syurga untuk kita.
”Bersegeralah kamu mencari keampunan dari Allah dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa”(Ali-Imran,133).
:: Kisah Abdul Rahman Al-Ghafiqi dipetik dari Buku 37 kisah Kehidupan Tabiin karangan Dr. Abdul Rahman Ra’fat al-Basha terbitan Pustaka Salam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan