Ukhwah Islamiyyah

Isnin, 28 November 2011

Kenduri Kahwin Cara Islam

سم الله الرحمن الرحيم



Di zaman moden ini, masih ada segelintir masyarakat yang menjalankan majlis perkahwinan dengan terlalu ringkas, hanya cukup syarat dan rukun sahaja, berlainan dengan masyarakat yang mengikut arus perdana, menghabiskan banyak wang untuk kenduri kendara, dengan khemah dan peralatan yang mewah, karaoke, D.J jemputan, joget lambak, pertunjukkan silat dan macam-macam lagi, maklumlah sekali seumur hidup katanya.

Manakala golongan yang tidak mengikuti gaya hidup semasa pula sering menjadi topik perbualan yang amat panas, lebih panas dari gosip dunia hiburan, maka masyarakat yang tidak faham mulalah membuat andaian dan tekaan, " Oh, mereka ini terlalu extrem lah".."Alahai, bab kahwin pun nak berkira ke, cerewet betul la, bukannya haram pun".. dan macam-macam lagi. Oleh yang demikian, disini ingin saya jelaskan kepada pembaca yang mungkin masih belum faham apa tuntutan Agama kita dalam bab perkahwinan ini.

Anas bin Malik dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah (saw) telah melaksanakan majlis kenduri kahwin dengan seekor kambing untuk isteri-isterinya dan untuk Zainab.

Jelas daripada mafhum hadis itu bahawa hukum mengadakan walimah atau kenduri perkahwinan adalah diharuskan agama sebagai mengumumkan suatu ikatan pernikahan, tetapi hendaklah mengikut batas yang ditetapkan syariat Islam.

Menurut pandangan Syed Sabaq dalam sebuah kitabnya, beliau menerangkan bahawa walimah atau kenduri kahwin dapat dilaksanakan ketika berlangsungnya akad nikah atau sesudahnya. Ia juga boleh dilangsungkan pada hari perkahwinan (mencampuri isterinya) atau sesudahnya.

Pada kisah Abi Usaid juga didapati bahawa walimah yang dilakukan beliau yang dihadiri Rasulullah, Abu Usaid menghidangkan kurma yang disimpan pada malam harinya. Kurma itulah yang dihidangkan kepada tetamu. Ini bermakna, jenis makanan yang ingin dihidangkan pihak keluarga yang mengadakan walimah itu bergantung kepada kemampuan.

Pun begitu, dalam mengadakan majlis kenduri kahwin, janganlah pula ada di kalangan keluarga Islam yang mengadakannya secara melampau batas syariat.

Antaranya menyerlahkan sikap ingin menunjuk-nunjuk dengan mengadakan kenduri besar-besaran, boros berbelanja hingga memberi kesan kepada kewangan apabila melakukan pembaziran wang ringgit dan harta benda, membuat pinjaman bank dan berhutang.


Firman Allah dalam surah al-Isra bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang boros itulah saudara syaitan. Dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.

Sudah menjadi budaya masyarakat kita, apabila orang daripada golongan mewah dan kaya mengadakan kenduri kahwin, jarang sekali mendahulukan orang miskin dan kurang berada sebagai tetamu untuk meraikan majlis itu.

Hal ini dijelaskan Rasulullah dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan Bukhari bermaksud: Seburuk-buruk makanan ialah makanan dari majlis kenduri kahwin yang hanya dijemput orang kaya, orang fakir dan miskin tidak diundang untuk makan bersama.

Dari segi memenuhi tuntutan sebagai orang yang dijemput untuk menghadiri majlis kenduri kahwin pula, Rasulullah menyatakan dalam hadis baginda yang diriwayatkan Bukhari bermaksud: Jika salah seorang di antara kamu dijemput ke majlis perkahwinan, maka hendaklah ia mendatangi majlis itu.

Walau apapun, jika diteliti hadis di atas, menghadiri jemputan majlis kenduri kahwin adalah dituntut agama sebagai sunat muakad. Dalam sebuah kitab yang ditulis Syed al-Bari ada menyatakan syarat undangan yang wajib dipenuhi hendaklah memenuhi syarat-syarat yang berikut:

  • Orang yang mengundang itu adalah mukallaf, merdeka serta sihat pemikirannya.
  • Tidak dikhususkan kepada orang-orang kaya sahaja.
  • Orang yang mengundang beragama Islam.
  • Tidak ada kemungkaran(pergaulan bebas, nyanyian, joget dll) di majlis itu.
  • Orang yang diundang tidak mengalami keuzuran syarie.

Janganlah mencemarkan kenduri dengan perkara yang bercanggah dengan syariat Islam. Pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pertuturan keji dan lucah, nyanyian dan tarian yang melalaikan, senda gurau yang melampau adalah contoh beberapa situasi yang sering berlaku dalam majlis kenduri kahwin.

At-Tirmizi meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah yang bermaksud: Perbezaan antara majlis perkahwinan yang halal dan haram ialah adanya nyanyian dan pukul rebana.

Daripada mafhum hadis itu, sama-samalah kita menepati kehendak sebenar syariat apabila ingin memeriahkan majlis walimah atau kenduri kahwin dengan persembahan hiburan agar ia tidak tercemar dengan unsur yang ditegah agama.

Agama hendaklah didahulukan daripada Budaya, kerana dalam budaya belum pasti ada kebaikan dan kejayaan dari Allah s.w.t Tuhan Semesta Alam, Budaya adalah rekaan nenek moyang kita semata. Jangan tertipu dengan kata-kata "Biar mati anak, jangan mati adat" . Ada ketika kita terpaksa melawan adat, kerana bila beradat kita terpaksa melanggar perintah Tuhan, dan membuat larangan-Nya.

Biarlah masyarakat sekeliling memanggil kita dengan panggilan cerewet sekalipun, asalkan kita berpegang kepada Al-Quran dan Hadis, mereka yang mencaci adalah mereka yang jahil mengenai Islam. Ramai orang yang saya perhatikan sangat cerewet dalam pemakaian, adat melayu, makanan dan adab bertutur, tetapi bila bab syariat Islam, langsung tak diendahnya. Semoga kita dijauhi dari sifat tersebut. amin...

P/S : Memandangkan kenduri kahwin sekali je seumur hidup bagi yang tak berpoligami sahaja, maka biarlah menjadi faktor ke syurga buat suami dan isteri itu, bukannya ke neraka... Wallahu A'lam

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...