سم الله الرحمن الرحيم
Masya-Allah, Astaghfirullah.
Aku seolah-oleh baru tersedar dari mimpi. Mindaku seolah-olah baru bangun dari kelalaian yang lama. Aku sangat-sangat bersyukur kerana Dia masih menginginkan aku untuk berubah menjadi lebih baik. Menginginkan aku kembali merujuk kepada-Nya dalam melayari kehidupan ini.
Kedatangan rakanku bersama rakannya yang tidak aku kenali, benar-benar memberi hidayah kepadaku. Sememangnya rakan perempuanku itu telah memberitahu untuk datang ke rumahku pada hari itu. Setelah mendapat izin suamiku, aku pun menerima kedatangannya. Namun tidak disangka dia membawa seorang lagi kawan perempuannya yang tidak pernah aku kenal sebelum ini. Aku tidak tahu bagaimana hendak menolak kehadiran tetamu baruku itu kerana aku belum meminta izin suamiku. Inginku menelefon atau menghantar sms pada masa itu di hadapan tetamu, terasa tidak sesuai. Apa yang perlu aku lakukan? Hati aku berdolak-dalik. Sekiranya aku menjemput dia masuk, berdosa kah aku kerana tidak meminta izin suamiku dahulu? Kalau aku tidak menerima kehadirannya, apa pula perasaannya? Bagaimana kendak ku terangkan kepada tetamuku? Bukan aku tak sudi tetapi, aku tersepit antara adat dan tuntutan. Masya-Allah, sesungguhnya tuntutan adat sememangnya selalu bercanggah dengan tuntutan agama.
Otakku ligat membuat keputusan, yang akhirnya aku terpaksa membenarkan tetamu-tetamu ku masuk. Di dalam hatiku, hanya Allah yang tahu betapa rasa bersalahnya aku kerana mengizinkan orang lain masuk ke rumah tanpa izin suamiku. Pada masa itu juga aku telah bertekad untuk memohon maaf kepada suamiku bila pulang dari kerja. Semoga suamiku faham situasiku pada masa itu. Amin.
Ternyata, kedatangan kawanku bersama rakannya, ada hikmahnya dan memberi hidayah kepada aku. Selama ini aku sememangnya telah bertekad untuk berhenti mengumpat atau berkata tentang orang lain sama ada orang itu aku kenal atau pun tidak. Namun, bertahun telah berlalu, semakin aku usaha, semakin banyak pulak dugaan yang menggalakkan aku terus mengumpat tanpa tahu cara untuk mengelaknya. Tambahan pula jiran-jiranku terdiri daripada wanita-wanita yang sama sikapnya, iaitu mengumpat.
Ya Allah, setiap kali aku bersembang dengan jiranku, mengumpat itu mesti ada. Fitnah, entahlah. Aku pun tidak tahu. Aku yang tidak tahu apa-apa cerita tentang orang di sekitar aku kerana aku sememangnya tidak mempunyai ramai kawan, akan menjadi tahu hanya dengan bersembang bersama jiran-jiranku. Sama ada ceritanya benar atau tidak hanya Allah yang tahu. Setiap kali aku masuk ke rumah setelah habis bersembang, aku akan rasa bersalah sendiri. Aku memohon ampun kepada-Nya kerana mengumpat, namun ia berulang kembali. Aku belum mempunyai kekuatan untuk berubah. Aku sering mengingatkan diriku dengan sering membaca buku-buku azab Allah kepada sesiapa yang mengumpat supaya aku boleh berubah. Tetapi, itulah tipu daya syaitan laknatullah. Semakin kita berusaha untuk berubah, semakin kuat hasutannya.
Dengan izin Allah, Dia mendatangkan aku seorang tetamu yang tidak ku kenal, menceritakan masalahnya yang telah di burukkan oleh orang yang dia kenal dan baik hubungannya dimana orang tersebut juga merupakan salah seorang jiranku. Semakin dia bercerita, semakin banyak keburukan orang tersebut terbongkar. Tiba-tiba aku tersedar.
Maha Suci-Mu Ya Allah, kalau kita selalu menceritakan keburukan orang, Allah pasti akan membuka aib kita. Aku yang pada asalnya hanya kenal sedikit tentang insan itu, menjadi semakin kenal dengan sikap buruknya hanya dengan melalui cerita orang lain. Terbukti Allah telah membuka aibnya kerana sikapnya yang suka menceritakan keburukan orang lain.
Ia memberikan aku kesedaran dan keinsafan. Aku tidak mahu aibku di buka oleh Allah SWT. Aku benar-benar insaf. Pada masa itu juga aku bertekad untuk tidak mengumpat lagi. Azamku semakin kuat untuk berubah walaupun aku tahu cabarannya banyak. Sebagai langkah permulaan, aku menguatkan hati dengan berkata kepada kawan dan tetamu baruku itu agar semua ceritanya itu cukuplah sampai di sini sahaja kerana aku tidak mahu keaiban kita pula di buka oleh Allah.
Alhamdulillah, tetamu-tetamuku bersetuju. Begitulah halusnya cara Allah, dan aku bersyukur kerana aku diberi petunjuk, hidayah dan kekuatan untuk aku terus berubah. Sekarang ini, sekiranya aku bersembang, aku membuat keputusan agar otakku mendengar juga apa yang dituturkan oleh mulutku agar otakku boleh tapis dan menghalang agar aku tidak mengumpat lagi. Aku juga seboleh daya cuba mengelak dari banyak bercakap dan mengurangkan aktiviti suka bersembang bersama jiran-jiranku.
Semoga usahaku akan berjaya kerana aku tidak mahu di hidangkan dengan daging manusia di akhirat nanti. Insya-Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan