Ukhwah Islamiyyah

Isnin, 30 Mei 2011

Air Mata Takut Kepada Allah

سم الله الرحمن الرحيم


Air Mata Mahal

Api maksiat yang masuk ke hati manusia merubah hati mereka menjadi arang hitam. Api maksiat hanya boleh dipadamkan dengan air mata yang mengalir deras sebab takut nanti dihisab pada hari kiamat dan perasaan semua perkataan dan perbuatan selalu diawasi Allah Taa'la. Tentang air mata mahal ini, Hasan al-basri berkata,"Jika mata seseorang menyucurkan air mata kerana takut Allah, maka dia mengharamkan neraka menyentuh tubuhnya." Jika airmata mengalir ke pipinya maka wajahnya tidak hitam dan hina pada hari kiamat. Tiada amal perbuatan yg bertimbang berat dan diberi pahala, kecuali airmata yang keluar kerana takut Allah. Airmata seperti ini memadamkan panasnya api neraka. Jika ada seorang pada suatu umat menangis kerana takut Allah, aku berharap umat itu secara keseluruhan dirahmati Allah gara-gara tangis satu orang tersebut.

Api maksiat dan kelalaian telah merasuki hati kita, lalu membuat kita tidak mampu khusyuk. Mahukan kita memadamkan api maksiat itu, dengan airmata mahal seperti di atas dan kita evaluasi atau koreksi diri mulai sekarang juga?

Taujih Ruhiyah- Abdul Hamid Al-Bilali

Rasulullah S.A.W telah bersabda, "Bahawa tidak akan masuk neraka orang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya."

Dalam sebuah kitab Daqa'iqul Akhbar menerangkan bahawa akan didatangkan seorang hamba pada hari kiamat nanti, dan sangat beratlah timbangan kejahatannya, dan telah diperintahkan untuk dimasukkan ke dalam neraka. Maka salah satu daripada rambut-rambut matanya berkata,"Wahai Tuhanku, Rasul Engkau Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda, sesiapa yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T, maka Allah mengharamkan matanya itu ke neraka dan sesungguhnya aku menangis kerana amat takut kepada-Mu."

Akhirnya Allah S.W.T mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya dari api neraka dengan berkat sehelai rambut yang pernah menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Malaikat Jibril A.S mengumumkan, telah selamat Fulan bin Fulan sebab sehelai rambut."

Dalam sebuah kitab lain, Bidayatul-Hidayah, diceritakan bahawa pada hari kiamat nanti, akan didatangkan neraka jahanam dengan mengeluarkan suaranya, suara nyalaan api yang sangat menggerunkan, semua umat menjadi berlutut kerana kesusahan menghadapinya. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, "Kamu lihat (pada hari itu) setiap umat berlutut (yakni merangkak pada lututnya). Tiap-tiap umat diseru kepada buku amalannya. (Dikatakan kepadanya) Pada hari ini kamu dibalasi menurut apa-apa yang telah kau kerjakan." (Surah al-Jatsiyah ayat 28)

Sebaik sahaja mereka menghampiri neraka, mereka mendengar kegeraman api neraka dengan nyalaan apinya, dan diterangkan dalam kitab tersebut bahawa suara nyalaan api neraka itu dapat didengar sejauh 500 tahun perjalanan. Pada waktu itu, akan berkata setiap orang hingga Nabi-nabi dengan ucapan, "Diriku, diriku (selamatkanlah diriku Ya Allah) kecuali hanya seorang nabi sahaja yang akan berkata, "Umatku, umatku." Beliau ialah junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Pada masa itu akan keluarlah api neraka jahim seperti gunung-gunung, umat Nabi Muhammad berusaha menghalanginya dengan berkata, "Wahai api! Demi hak orang-orang yang solat, demi hak orang-orang yang ahli sedekah, demi hak orang-orang yang khusyuk, demi hak orang-orang yang berpuasa, supaya engkau kembali."

Walaupun dikata demikian, api neraka itu tetap tidak mahu kembali, lalu malaikat Jibril berkata, "Sesungguhnya api neraka itu menuju kepada umat Muhammad S.A.W" Kemudian Jibril membawa semangkuk air dan Rasulullah meraihnya. Berkata Jibril A.S. "Wahai Rasulullah, ambillah air ini dan siramkanlah kepadanya." Lalu Baginda mengambil dan menyiramkannya pada api itu, maka padamlah api itu. Setelah itu Rasulullah S.A.W pun bertanya kepada Jibril A.S. "Wahai Jibril, Apakah air itu?" Maka Jibril berkata, "Itulah air mata orang derhaka di kalangan umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Sekarang aku diperintahkan untuk memberikannya kepadamu agar engkau menyiramkan pada api itu." Maka padamlah api itu dengan izin Allah S.W.T.

Rasulullah saw seringkali berdoa: "Ya Allah berilah aku rezeki dua mata yang menangis kerana takut kepada Engkau sebelum air mata ini habis." Diceritakan daripada Muhammad bin Munzir ra.

Terdapat 2 jenis dua jenis mata yang tidak akan disambar di api neraka. Mata itu adalah :

  • Mata yang berjaga kerana berjihad ke jalan Allah
  • Mata yang berjaga kerana menangis takutkan Allah

Kata ahli Hikmah, dunia ini dimulai dengan tangis, dicelahi oleh tangis dan
diakhiri dengan tangis.

Menangis adakalanya dituntut oleh syariat. Abid yang menyintai Tuhan akan selalu menangis mengenangkan dosanya. Mereka memaksa diri menangis apabila mengenang nasib diri di hari akhirat dan membayangkan huru-hara apabila menjelang kiamat. Dalam hal ini menangis adalah dituntut. Setitis airmata yang jatuh kerana takutkan Allah akan dapat memadamkan api neraka di hari akhirat kelak.

Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w bersabda bahawa air mata dari tangisan pembuat dosa yang bertaubat adalah lebih disukai Allah dari tasbih para wali. Rasulullah s.a.w juga ada bersabda: "Kejahatan yang dibuat lalu menimbulkan rasa sedih adalah lebih baik dari kebaikan yang menimbulkan rasa takbur."

Anas r.a berkata: Pada suatu hari Rasulullah s.a.w berkhutbah, lalu baginda bersabda dalam khutbahnya itu: "Andaikan kamu mengetahui sebagaimana yang aku ketahui, nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis." Anas berkata: seketika itu para sahabat menutup muka masing-masing sambil menangis teresak-esak.

Hari ini manusia terus menangis dan menangis, tetapi tangisan mereka amatjauh bezanya dengan tangisan para Nabi, Rasul dan sahabat. Jika orang soleh zaman dahulu menangis kerana mengenang nasibnya diakhirat tetapi orang hari ini menangis kerana takut kehilangan dunia. Tangisan ini datangnya dari sifat tamak dan tidak redha. Kalau orang soleh takut berpisah dengan iman dan kecintaannya pada Allah, orang hari ini takut berpisah dengan dosa dan maksiat.

Jika para Nabi dan rasul serta para sahabat takut menghadapi akhirat, orang hari ini seolah-olah berani dan tidak takut menghadapinya. Tetapi bila orang soleh berani menghadapi gelombang hidup duniawi, orang hari ini takut dan lemah hati dalam menghadapi kegagalan dan kekecewaan dalam hidup.

Menangis dan menangislah tapi biarlah kena pada tempatnya yang dibolehkan oleh agama. Apa akan jadi jika kita gagal diakhirat? Inilah sebenarnya kegagalan yang total... jadi kalau perkara ini yang kita tangiskan, memang kenalah pada tempatnya. Abu Hummah(Shadujja) Bin Adilan Albahily r.a berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w:

"Tiada suatu yang lebih disukai oleh Allah dari dua titis dan dua bekas. Titisan airmata kerana takut kepada Allah dan titisan darah dalam mempertahankan agama Allah. Adapun dua bekas adalah bekas dalam perjuangan fisabilillah dan bekas perjuangan kewajiban kepada Allah."

Bukan mudah untuk kita mengalirkan air mata kerana air mata yang mengalir dengan ikhlas kepada Allah s.w.t lahir daripada hati yang merasai kehebatan dan keagungan Allah s.w.t.bersihkan hati kita setiap saat agar mudah untuk kita mengalirkan air mata kerana takutkan Allah s.w.t

"Menangislah.. walau dalam keterpaksaan...kerana dalam keterpaksaan akan lahirlah kebiasaan..dan dari kebiasaan akan lahirlah keikhlasan...takutkan ALLAH...menangislah kerana TAKUTKAN ALLAH...."

Jiwa Hamba

Rujukan: Halaqah.net

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...