Ukhwah Islamiyyah

Khamis, 3 Mac 2011

Sebab apa aku perlu dakwah-dakwah ni?

سم الله الرحمن الرحيم














'Layakkah saya berdakwah?', tanya seorang rakan kepada saya. 'Kenapa tanya soalan begini?'

'Erm. Saya ni jahat, selalu buat dosa. Ilmu agama saya cetek. Amal soleh saya sedikit. Saya tak layak'

Oh. Nampaknya kamu sudah salah faham....

Dakwah: Mengapa ia perlu?

Mengapa kita dituntut untuk berdakwah?

'Kerana Allah suruh'.

'Tapi, mengapa Allah suruh?'

Senyap.

'Ayuh. Jawablah, mengapa Allah suruh kita berdakwah?'

Sepi.

'Maaf, saya tidak tahu...'

Ya, tak ramai dalam kalangan 'orang dakwah' faham mengapa dakwah ini difardukan kepada kita. Banyak sebab sebenarnya! Jika kita ada usaha untuk 'menggali' maksud ayat-ayat al-Quran, pasti kita akan faham mengapa Allah menyuruh kita berdakwah.

Sebab Satu: Kerana Allah mahu menjadikan kita insan beriman.

Apa maksud iman?
Iman ialah meyakini kekuasaan Allah dengan hati, mengakui dengan lidah dan membuktikan dengan amalan. Siapakah manusia yang paling beriman diatas dunia ini?

Rasulallah s.a.w, Abu Bakar r.a, Umar r.a, Usman r.a, Ali r.a, para sahabat dan seterusnya generasi-generasi selepas mereka.

Bagaimana mereka mendapat iman?
Jawapannya satu, iaitu kerana mereka berdakwah. Rasulallah ialah seorang manusia. Dan setiap manusia, belajar. Rasulallah juga belajar. Siapa guru Baginda?

Allah.

Apa yang Allah ajar?

Wahyu.

Maka, kita perlu kembali kepada wahyu...

Perasan atau tidak, dalam banyak tempat di dalam al-Quran, Allah memulakan firman-Nya dengan perkataan 'Qul' yang bermaksud 'katakanlah'. Ini yang Allah ajar kepada Rasulallah- 'Cakaplah, beritahulah dan sampaikanlah wahyu'.

Inilah dia dakwah. Kita bercakap tentang perintah-perintah Allah. Kita beritahu tentang larangan-larangan Allah. Dan kita sampaikan berita-berita dari Allah. Dan inilah yang dilaksanakan oleh Rasulallah, dan diteruskan oleh para sahabat serta generasi selepas mereka.

Apa yang mereka dapat dengan 'bercakap?'
Mereka mendapat keimanan. Mereka dapat keyakinan, dan mereka mendapat perasaan 'dekat' dengan Allah. Beritahu saya, siapakah dalam kalangan sahabat Rasulallah yang tidak berdakwah? Tiada. Semuanya berdakwah.

Maka, jelas bahawa kita perlu bercakap tentang keesaan Allah, supaya ia hadir dalam diri kita.

Sebab Dua : Kerana Allah mahu menguji kita.
Allah paling hebat. Tiada keraguan tentang fakta itu. Tapi, Allah sengaja tidak jadikan semua manusia ini islam. Mengapa? Bukankah Allah berkuasa untuk melakukan sedemikian?

Ya, Allah mampu mengislamkan semua manusia di muka bumi ini. Tapi Allah tidak buat begitu. Mesti ada sebab.

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?"-al ankabut ayat 2.

Allah mahu uji kita. Dan inilah tanda Allah sangat adil. Ya, Allah adil. Dia beri kita ujian. Dan Allah juga sediakan ganjaran, habuan bahkan, denda juga. Sesiapa yang lulus ujian, maka dia dibalas syurga dan siapa gagal, maka dia akan dibalas dengan neraka. Theory wise, senang. Tapi praktikal, belum tentu...

Tanggungjawab berdakwah juga ialah satu bentuk ujian kepada kita. It is a must.


Sebab Tiga: Keselamatan.
Satu analogi. Kita berada dalam satu kapal yang besar. Kapal mewah 2 tingkat. Kita berada di tingkat atas. Di tingkat bawah, ada beberapa orang manusia 'nakal' yang sedang berusaha menebuk lubang pada kapal itu. Alasan mereka, mereka mahu membuat lubang di dasar kapal kerana mahu memasang jala dari dasar kapal. Logiknya, lebih dalam, lebih banyak ikan. Kita yang berada di tingkat atas tahu bahawa jika mereka membuat lubang juga, kapal ini akan karam. Lalu, apa tindakan kita untuk 'menjawab' alasan mereka yang jahil itu?

Adakah kita akan membiarkan, lalu kita turut sama karam.

Atau, adakah kita akan katakan 'Stop! Jangan buat' kepada mereka?

Inilah dakwah. Kita memberitahu kesan-kesan perbuatan salah mereka. At the end, bukan setakat mereka yang selamat, kita juga akan selamat.

Sebab Empat: Cinta
Satu lagi analogi. Kita ada satu ekar kebun. Disebelah kebun kita, ada satu ekar lagi kebun milik orang lain. Kebun kita ini baik. Kita potong semak samun dan kita bagi ia lapang. Tapi kebun jiran kita tidak. Kebunnya penuh dengan semak samun. Bahkan pasti, ada hidupan berbisa seperti ular di kebunnya. Kebun kita tidak ada ular, tapi kebunnya ada ular. Satu hari, ular yang mendiami semak samun itu masuk ke dalam kebun kita. Boleh bayangkan apa terjadi?

Ya. Kita akan dipatuk ular.

Lihatlah sendiri. Kita tidak boleh menjadi baik sorang-sorang. Tidak boleh. Sebaliknya, kita juga perlu ajak 'jiran' kita untuk 'membersihkan kebunnya bersama-sama'. Kesannya jelas, supaya jika datang musibah atas sebab maksiat yang berleluasa, musibah itu akan menimpa semua, bukan sekadar pelakunya. Jangan ingat kita baik, kita selamat. Belum tentu..kerana yang pasti, orang baik pasti tidak mahu jadi baik seorang-seorang, dia pasti mahukan semua orang jadi baik juga- Dakwah!

Sebab Lima: Kerana Islam menjaga.
Dahulu, ketika virus H1N1 sedang menular, semua orang dituntut untuk memakai topeng. Sesiapa yang terkena jangkitan wabak ini pula, akan dikuarantin. Mengapa? kerana kita tahu bahaya nya virus ini.

Virus H1N1 ini kita boleh ibaratkan sebagai dosa. Dosa, sifatnya ialah ia akan merosakkan diri kita, dan juga diri orang lain. Maka, orang yang berdosa ialah orang yang 'memberi ancaman' kepada kita. Mari kita merenung sebentar. Apakah dosa yang memberi manfaat kepada kita?

mencuri? membunuh? mengumpat? mengeji? membuka aurat? berzina? arak? judi?

Inilah dia islam. Dalam islam, apa-apa saja perkara yang memberi mudharat adalah haram, kerana islam menjaga 5 aspek kehidupan. Islam menjaga akal kita. Kerana itu, arak haram. Islam menjaga harta kita. Kerana itu, judi haram. Islam menjaga keturunan kita. Kerana itu jugalah zina diharamkan. Islam juga menjaga diri kita. Kerana itu jugalah Islam melarang kita dari mencederakan diri dengan sengaja seperti ritual agama-agama lain. Dan paling utama, islam menjaga akidah kita. Kerana itu kita dilarang syirik dan khurafat.

Mahu selamat di dunia dan diakhirat?
-Tinggalkan dosa.
-Tinggalkan maksiat.


Dan, ajak manusia dia sekeliling kita untuk meninggalkan dosa serta maksiat bersama-sama kita.

Sebab Enam- Lombong pahala.
Kita banyak dosa. Siapa mahu mengaku bahawa diri dia tidak punya dosa? Dosa dan pahala silih berganti. Jadi, bagaimana mahu menambah pahala?

Pahala adalah seumpama duit. Namun, ia tidak laku untuk membeli apapun kecuali syurga. Hanya syurga sahaja yang mampu 'dibeli' dengan pahala. Dan disisi Allah, atas sebab adilnya Allah, Dia sediakan satu tempat kita menimbang, al mizan.

Disana, kita akan dikira dengan penuh teliti dan adil. Malangnya, nyata dosa kita lebih berat berbanding pahala. Maka, terkulat-kulat kita disitu tercari-cari pahala. Ada kah?

Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang mengajak ke jalan hidayat, maka baginya pahala seperti pahala (sebanyak pahala) pengikutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun dari pahala mereka. Dan sesiapa yang mengajak ke jalan sesat, maka menanggung dosa sebanyak dosa-dosa pengikutnya, dengan tidak mengurangi dari dosa-dosa mereka sedikit pun"
-Riwayat Muslim

Sebab Tujuh: Memudahkan amal.
Apakah dakwah yang paling kerap kita dengar? Ya.azan. 'Hayya ala solaah'- mari bersolat. Itu dakwah yang istimewa. Kerana itu, syariat nya hanya 5 kali sehari. Orang yang nak menyeru, pasti akan datang dahulu kepada apa yang diserunya.

Contoh lain. Jika seorang ibu mahu mengejutkan anaknya untuk bangun awal pagi untuk ke sekolah, si ibu harus terlebih dahulu bangun 30 minit lebih awal dari si anak.

Kerana itulah orang yang buat dakwah, mereka lebih mudah untuk beramal kerana ada 2 force yang push mereka, iaitu 'ini perintah Allah' dan juga 'aku ajak orang, aku kena buat lah'. Sekarang, tahulah kita sebab apa kita susah nak beramal, iaitu kerana kita telah meninggalkan dakwah.

Kesimpulan
Dakwah itu seumpama ubat sakit kronik. Kita boleh memilih untuk makan atau tidak, tapi kita sedia maklum akan kesan jika kita tidak makan ubat.

Saya baru jawab persoalan tentang "sebab" dan saya belum menyentuh bab "aku bukan baik untuk berdakwah". Apapun, semoga dengan kehadiran artikel ini, kita menjadi lebih bersyukur kerana diberi mulut dan diberi pancaindera. Moga-moga kita dapat gunakan mereka untuk berdakwah.

Ingat, dakwah ialah untuk mendapat iman, bukan untuk mendapat habuan dunia...

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...