Salam buat semua..
InsyaAllah. Teruskan akhi.
Jangan ada rasa didalam hati untuk berundur. Berehat atau berkalau kalau. Biar apa pun yang berlaku, teruskan! Inilah medan amal kita. Medan kita menanam benih. Medan kita untuk mengumpul obor pahala untuk kita terangi jalan ke barzakh. Untuk kita luaskan titian sirat menuju wajah Allah.
Jangan sebab ditangan kanan mu itu ada masaalah, dan ditangan kiri mu itu ada ujian, kamu mula lemah. Hatimu mula retak. Fikiran mu mula sasau. Prinsipmu mula bergoyang. Amanah-amanah mula diabai!
Dan mulalah nafsu kamu bercatur dan berpantun dengan iman lemahmu untuk mengatur dan mengkhayalkan syurga palsu duniamu!
Mulalah kamu sia-siakan kekuatan yang pernah kamu kumpul diwaktu kamu sedang kuat menghayati tarbiyah dulu. Mulalah kamu sia-siakan semangat yang menjulang hingga ke awan dulu. Diwaktu jiwamu kental dengan tawakkal yang tinggi masa kamu sorang sorang dulu, sehingga kamu lupa akan hari penyesalan!
Kamu tahu tak, di akhirat nanti bukan sahaja penghuni neraka akan menyesal malah penghuni syurga juga akan menyesal …
Tidak ada sesuatu yang paling disesali oleh penghuni syurga kecuali satu saat yang pernah mereka lalui didunia yang tidak mereka gunakan untuk mengingat Allah dialamnya ~ HR Thabrani
Kamu tahu tak, betapa sukarnya kita nak bina empayar iman. Betapa sukarnya kita nak jadikan hati kita takut kepada Allah. Bukan sehari atau dua kita terpaksa mujahadah dan dicanai dengan tarbiyah tapi bertahun-tahun!
Bertahun-tahun kita korbankan usia muda kita semata-mata mencari falsafah diri kita. Dari mana kita? Siapa kita? Dan ke mana kita nak pergi? Hingga kita temui mesin tarbiyah. 'Memblender' kita hingga lumat. Kita dipintal-pintal. Dikoyak-koyak hingga akhirnya kita keluar menjadi orang yang mengenal hidup ini!
Inilah dunia kita. Dunia dakwah. Dunia yang memerlukan kita. Dunia yang akan menyedut segala saripati yang ada pada kita. Dunia yang akan meminta segala- galanya dari kita dan tidak mengizinkan kita menyimpan sedikit pun untuk kepentingan peribadi kita.
Aku tak punya apa lagi ya Rasullulah ….. ( Sayidatina Khadijah )
Letakkanlah bait-bait kata Ibu ini untuk kita satukan didalam aliran darah kita. Biar dia menyatu. Mengalir dan mengalir terus ke hati kita sehingga kita dapat menghayati mas'uliyah yang pernah beliau hayati dalam hidupnya bersama sang Rasul!
Akhi,
Hari-hari dalam hidup kita adalah lembaran baru untuk goresan amal perbuatan kita. Jadikanlah hari-hari kita sarat dengan amalan terbaik kerana kesempatan yang kita ada ini akan segera lenyap secepat perjalanan awan dan janganlah kita menunda-nunda kerja kerja dakwah ini kerana jika kita tunda kita adalah orang yang rugi!
Barangsiapa bersampan dengan kemalasan, ia akan tengelam bersamanya ~ Ibnul Jauzy
Wahai diriku, Wahai mujahid
Kenapa jiwa mu mula mengecil. Kamu masih lagi belum ke penghujung. Kamu masih di medan ini. Medan perang dengan nafsu mu. Medan perang dengan suami dan isterimu. Medan perang dengan dunia fantasimu … teruskan peperangan ini. Menangkan dakwah ini. Menangkan deen ini. Gunakan senjata-senjata tarbiyah itu untuk kamu menguasai dirimu. Menguasai nafsu mu. Menguasai tarikan-tarikan duniamu yang datang berwarna-warni mengelilingimu.
Buat sesuatu …initiate something. Allah will do the rest.
Dan barangsiapa yang berjihad di jalan kami, kami akan tunjukan jalan-jalan kami.
Dunia sering menakut nakutkan kita. Mengugut kita. Menyindir kita …
Lihat! Apa dunia dan nafsu kata pada da’i kerdil ini …
” Aku pelik tengok kamu ni. Siang kerja bagai nak rak. Malam pergi usrah, pergi mesyuarat, pergi program sampai pukul dua tiga pagi. Hari-hari pulak tu! Tak letih ke tak bosan ke? Orang lain pun ibadah dan buat dakwah jugak.
Ustaz yang bagi kuliyah kat masjid tu lagi hebat dari kamu. Banyak anak muridnya yang menadah kitab dengan dia! Besar pahalanya. Ada jugak masanya! Taklah macam kamu!
Tu, Ustadz YB tu, Wakil Rakyat lagi, kalau nak ikutkan lagi sibuk dari kamu.Tapi taklah jugak macam kamu. Ada juga masanya untuk anak bininya.
Tapi kamu … Tak hebat seperti mereka tapi hidup melebihi dari mereka tak tentu arah ke sana ke mari mengalah menteri.
Keluar pagi balik pagi. Solat tahajud pun dah nak masuk subuh. Itu pun tersenguk-senguk. Macam tak khusuk aje. Da’i apa macam ni! Macam ini ke seorang mujahid berhubung dengan Allah. Kelam kabut tak tentu pasal. Islam ajar macam ni ke? Apa yang kamu dapat? Tak alim pun. Tak hebat pun. Tak kenal pun orang pada kamu. Tak kaya pun malah duit tak pernah ada…..
Lalu da’i itu menjawab atas prinsipnya dan kefahamannya …
” Oii nafsu dan dunia, katalah apa kamu nak kata.
Aku tahu apa yang kamu tak tahu. Aku buat kerja yang tak ramai orang nak buat. Itu saja kemampuan yang Allah beri pada aku.
Aku faham agama cara macam tu. Mungkin kamu kata kerja aku ni sia-sia. Kerja kecik tapi bagi aku, aku buat kerja yang besar sebab itu aku tak cukup masa. Sebab itu aku terkejar-kejar dan kelam kabut. Sebab ramai yang tak nak tolong.
Kamu tahu tak, orang yang tak buat kerja saja yang ada masa. Orang yang buat kerja kecik saja yang ada masa dengan suami dan isteri jalan jalan bersantai. Berpegangan tangan menyulam cinta.
Orang yang buat kerja kecik saja yang boleh rehat rehat. Ronda sana ronda sini. Bergelak ketawa dan bercanda.
Aku tahu aku bukan siapa-siapa. Bukan ustaz, bukan YB dan bukan orang agama. Memang aku tak banyak ilmu agama pun. Tak mampu nak hurai kitab pun. Aku pun bukan ahli politik yang asyik nak berjuang diatas isu semasa saja dan memusuhi manusia diatas kesesatan mereka.
Yang aku tahu, kerja aku nak selamatkan aku dan nak selamatkan siapa-siapa saja yang dinamakan manusia dan bukan nak cari salah manusia.
Aku tahu aku tak kaya. Tak ada duit banyak nak infaq. Tak ada apa-apa yang berbentuk material nak sumbang! Sebab tu aku nak guna tubuh badan aku ini untuk gantikan segala yang aku tak ada.
Memang kamu nampak aku tak punya apa. Tapi tahukah kamu bahawa aku punya jiwa yang besar. Jiwa untuk lepas dari neraka ALLAH dan nak jawab soalan soalan Allah diatas penciptaanNya terhadap aku …
Betul akh…
Jangan kita kecilkan jiwa kita sebab Allah telah mengistimewakan kita. Bukan saja diberinya kita iman malah diberinya kita jamaah, diberinya kita kereta dakwah,diberinya kita mas'uliyah, dibukanya pintu-pintu amal yang luas dan banyak untuk kita melaksanakan amal hingga kita redha menjadi ‘khadam ummah’ sehingga Dia meredhai kita dengan lapangnya hidup kita dan lapangnya dada kita dari kesempitan dunia. Mulianya kita. Tak semua orang dapat macam yang kita dapat. Dia yang memilih kita seperti memilih antah beras ….Allahu akbar.
Apabila kita hidup untuk orang lain maka jadilah hidup kita ini panjang dan berarti ( Sayyid Qutb)
Kalau kita rasa jiwa kita mula mengecil sebab kerja dakwah ini, ingatlah sesungguhnya kita buat kerja besar. Kerja para nabi dan rasul ……penyambung matarantai perjuangan ini.
Mungkin medan amal manusia biasa hanyalah pada solat zikir dan amal-amal fardi mereka tapi kita Allah lebarkan amal kita hingga segenap makhluk hidup ini kagum dan mendoakan kita malah setiap langkah kita dan setiap gerak tubuh badan kita untuk dakwah ini mereka mengaminkan … amin … amin …amin ya Allah!
Bukalah cara pandang kita pada hidup ini. Pada jalan dakwah ini dan pada setiap amal yang kita lakukan ini ….tidak lain tidak bukan adalah mencari redhaNya dan untuk meraih kehidupan kita yang akan abadi sebentar lagi!
Biarlah orang lain bekerja dan sibuk mengurus duniawinya untuk memenuhi keperluan duniawinya. Tapi kita tidak boleh begitu ….kita adalah mesin dakwah yang akan terus bekerja untuk deen ini. Sibuk juga dengan duniawi ini tapi adalah untuk ukhrawi …
Jangan cemburu melihat mereka manja diatas ribaan suami dan isteri mereka dan didalam pelukan dunia itu kerana kita juga akan merasa akan kemanjaan itu cuma perlu sedikit kesabaran. Cumanya …marilah kita menentukan cara kematian kita agar kematian kita kematian yang menyentuh. Kematian yang menghidupkan seperti para syuhada’ …
Pendamkan. Azamkan. Insyaalah. Bidadari itu tidak sabar sabar menantimu …
Tiada ulasan:
Catat Ulasan