Lokasi kisah benar ini berlaku di salah sebuah daerah di Yaman dan
ianya terjadi dalam bulan Januari lalu.
Kisah penderitaan dan keperitan yang dilalui oleh penduduk Gaza
tersebar ke seantero dunia. Semua marah, benci, kesumat dan
mendidih pedih. Lebih banyak yang terasa sayu dan terharu apabila
kanak-kanak kecil nan comel menjadi korban muntahan peluru dan
darah membasah bumi tanpa henti.
Tragedi dahsyat ini juga sampai juga ke pengetahuan seorang
perempuan tua yang hidup miskin di salah sebuah kampung di Yaman.
Sama seperti orang lain, dia juga turut sedih dan pilu sehingga
berjurai air mata.
Lantas suatu hari, dia berazam sedaya upaya untuk cuba membantu
sekadar mampu. Kebetulan, ‘harta’ yang dia ada hanyalah seekor
lembu tua, terlalu uzur, kurus dan sudah tidak bermaya.
Dengan semangat tinggi dan perasaan simpati amat sangat, dia
berhajat menyedekahkan lembunya itu kepada penduduk Gaza lalu
berjalan kaki dari rumah pergi ke salah sebuah masjid di Yaman
sambil memegang lembu tunggal kesayangannya itu.
Kebetulan hari itu Jumaat dan para jemaah sudah mengerumuni
pekarangan masjid untuk melaksanakan ibadat tersebut.
Ketika itu, betapa ramai yang memerhati dan menyorot mata melihat
gelagat perempuan tua nan miskin dengan lembunya yang berada di
sisi luar masjid. Ada yang mengangguk, ada yang menggeleng kepala.
Tanpa kecuali ada juga yang tersenyum sinis malah terpinga-pinga
melihat perempuan miskin itu setia berdiri di sisi lembunya.
Masa berlalu, jemaah masjid walaupun khusyuk mendengar khutbah
imam namun sesekali memerhati dua mahkhluk tuhan itu. Perempuan
dan lembu itu masih di situ tanpa ada cebis rasa malu atau segan
diraut wajah.
Setelah imam turun dari mimbar, solat Jumaat kemudiaannya
dilakukan, biar dibakar terik mentari dan peluh menitis dan
memercik di muka, perempuan dan lembu tua itu masih lagi di situ.
Sebaik selesai sahaja semua jemaah solat dan berdoa,
tiba-tiba perempuan itu dengan tergesa-gesa mengheret lembu itu
betul-betul di depan pintu masjid sambil menanti dengan penuh
sabar tanpa mempedulikan jemaah yang keluar. Ramai juga yang tidak
berganjak dan perasaan ingin tahu, apa bakal dilakukan oleh
perempuan tua itu.
Tatkala keluar imam masjid, perempuan tua itu bingkas berkata :
"Wahai imam, aku telah mendengar kisah sedih penduduk di Gaza. Aku
seorang yang miskin tetapi aku bersimpati dan ingin membantu.
Sudilah kau terima satu-satunya lembu yang aku ada untuk dibawa ke
Gaza, beri kepada penduduk di sana.”
Gamam seketika. Imam kaget dengan permintaan perempuan itu namun
keberatan untuk menerima. Ya, bagaimana nak membawa lembu tua itu
ke Gaza, soal imam itu. Keliling-kelalang para jemaah mula
bercakap-cakap. Ada yang mengatakan tindakan itu tidak munasabah
apatah lagi lembu itu sudah tua dan seolah-olah tiada harga.
“Tolonglah..bawalah lembu ini ke Gaza. Inilah saja yang aku ada.
Aku ingin benar membantu mereka,” ulang perempuan yang tidak
dikenali itu. Imam tadi masih keberatan.Masing-masing jemaah
berkata-kata dan berbisik antara satu sama lain. Semua tertumpu
kepada perempuan dan lembu tuanya itu.
Mata perempuan tua yang miskin itu sudah mula berkaca dan berair
namun tetap tidak berganjak dan terus merenung ke arah imam
tersebut. Sunyi seketika suasana.
Tiba-tiba muncul seorang jemaah lalu bersuara mencetuskan idea:”
Tak mengapalah, biar aku beli lembu perempuan ini dengan harga
10,000 riyal dan bawa wang itu kemudian sedekahkanlah kepada
penduduk di Gaza.
Imam kemudiannya nampak setuju. Perempuan miskin yang sugul itu
kemudian mengesat-ngesat air matanya yang sudah tumpah. Dia
membisu namun seperti akur dengan pendapat jemaah itu.
Tiba-tiba bangkit pula seorang anak muda, memberi pandangan yang
jauh lebih hebat lagi:”Apa kata kita rama-ramai buat tawaran
tertinggi sambil bersedekah untuk beli lembu ini dan duit itu
nanti diserahkan ke Gaza?”
Perempuan itu terkejut, termasuk imam itu juga. Rupa-rupanya
cetusan anak muda ini diterima ramai. Kemudian dalam beberapa
minit bidaan itu pun bermula dan ramai kalangan jemaah
berebut-rebut menyedekahkan wang mereka untuk dikumpulkan.
Ada yang membida bermula dari 10,000 ke 30,000 riyal dan
berlanjutan untuk seketika. Suasana pekarangan masjid di Yaman itu
menjadi riuh, apabila jemaah membida ‘bertubi-tubi’ sambil
bersedekah.
Akhirnya lembu tua, kurus dan tidak bermaya milik perempuan tua
miskin itu dibeli dengan harga 500,000 riyal (sekitar
RM500,000.00)!
Semua melalui bidaan para jemaah dan orang ramai yang simpati
dengan penduduk Gaza termasuk niat suci perempuan miskin itu.
Paling manis, setelah wang itu diserahkan kepada imam masjid itu,
semua sepakat membuat keputusan sambil salah seorang jemaah
bersuara kepada perempuan tua itu.
“Kami telah membida lembu kamu dan berjaya kumpulkan wang sejumlah
500,000 riyal untuk memiliki lembu itu.
“Akan tetapi kami telah sepakat, wang yang terkumpul tadi
diserahkan kepada imam untuk disampaikan kepada penduduk Gaza dan
lembu itu kami hadiahkan kembali kepada kamu,” katanya sambil
memerhatikan perempuan tua nan miskin itu kembali menitiskan air
mata…gembira.
Tanpa diduga, Allah mentakdirkan segalanya, hajat perempuan miskin
itu untuk membantu meringan beban penderitaan penduduk Palestin
akhirnya tercapai dan dipermudahkan sehingga berjaya mengumpulkan
wang yang banyak manakala dia masih lagi terus menyimpan
satu-satunya ‘harta’ yang ada. Subhanallah.
Justeru, iktibarnya ialah segala niat murni yang baik
sentiasa mendapat perhitungan dan ganjaran Allah apatah lagi ianya
datang daripada hati kecil seorang yang miskin yang mahu membantu
umat islam yang menderita akibat dizalimi rejim zionis israel
biarpun diri serba payah dan serba kekurangan.
Sekiranya anda bersimpati, sudilah hulurkan sumbangan,demi
insan-insan yang sedang dizalimi di Palestin melalui Tabung
Kemanusiaan Harakah di akaun BIMB: 14069010021298
(Kisah ini telah disusun semula daripada cerita Timbalan Mursyidul
Am PAS Dato’ Haron Din kepada Harakahdaily melalui kisah benar
yang dipaparkan di sebuah majalah Arab)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan