سم الله الرحمن الرحيم
Ini merupakan kisah yang dimuatkan dlm majalah Tarbawi. Penulis kisah ini Nita Rahayu, menceritakan pengalamannya ketika mendapat tugsan penelitian di Bandung pada pertengahan tahun 2008. Bersama tiga orang rakannya, dia ditugaskan untuk mengambil data berhubung dengan penelitian kualiti udara di salah satu jalan di kota yang berudara sejuk itu. Dia merasa kurang selesa dengan tugas itu kerana terpaksa bekerja di luar dan harus terus dalam keadaan berjaga selama 24 jam. Dia tidak boleh tidur sepanjang malam. Dia menjalankan tugas dengan perasaan yang berat. Jam baru menunjukkan pukul 11.00 malam, tapi matanya sudah mula mengantuk. Udara bandung yang dingin membuatkannya ingin pulang ke rumah dan tidur. Dia memeriksa alat yang dilengkapi pengukur suhu alat itu menunjukkan angka 17 darjah Celsius, patutlah terasa dingin. Rasa dingin, mengantuk dan rasa penat bercampur menjadi satu. Dia mula kesal mengapa mesti dia ditugaskan seperti itu, sementara orang lain boleh tidur nyenyak di rumah masing-masing. Ini merupakan pekerjaan yang tidak normal dan sangat tidak menyenangkan baginya.
Beberapa ketika kemudian dia melihat ada seorang pakcik yang berumur sekitar 50-60an berseragam lengkap tanpa jaket mula menyapu jalan. Dia melihat jam di tangannya dan pada ketika itu waktu menunjukkan pukul 2.30 pagi malah masih terlalu awal. Baru pertama kali dia melihat secara langsung ada orang yang bekerja seawal pagi begini. Jika seawal pagi ini pakcik tua itu sudah mula bekerja, pada pukul berapa pula dia bangun dan bersiap-siap untuk pergi bekerja? Lebih-lebih lagi, pakcik itu kelihatan melakukan tugas secara rutin. Pakcik itu menyapu dan membersihkan sampah di bahu-bahu jalan, masukkannya ke dalam tong sampah dan dia melakukan semua itu dengan bersungguh-sungguh tanpa perasaan jijik. Lama dia memerhatikan aktiviti pakcik itu. Dia tertarik untuk menghampiri dan mengajak pakcik itu berbual, sambil membantunya membuang sampah ke dalam tong sampah dan dia mula bertanya tentang aktiviti pakcik itu setiap hari.
"Pakcik tidur selepas Isyak, sekitar jam 9.00 malam, Pakcik itu memulakan cerita. “Kemudian bangun semula seawal jam 1.00 pagi dan pakcik sempat untuk qiamullail, setelah itu baru pakcik bersiap untuk menyapu jalan. Sebelumnya, jika ada makanan di rumah, pakcik makan dulu dan kalau tidak ada pakcik akan bersarapan teh panas saja. Selesai menyapu dan ke tempat pembuangan sampah, jam 4.00 pagi. Alhamdulillah, masih sempat solat Subuh berjemaah di masjid. Selesai solat pakcik bantu isteri buat adunan tepung goreng dan di sebelah petang pakcik membantu isteri menjual di sekolah. Alhamdulillah pakcik masih sihat, tidak pernah sakit walaupun pekerjaan pakcik mengangkut sampah. Mungkin kerana sering cergas bergerak menyapu jalan setiap hari, maka tidak pernah sakit."
Ketika ditanya tentang pendapatannya, pakcik hanya menjawab, "Alhamdulillah, rezekinya sentiasa ada. Kalau soal cukup atau tidak gaji kurang RM100.00 satu bulan, apalagi dengan keadaan sekarang pastinya tidak cukup. Apalagi anak pakcik yang paling kecil masih ada yang sekolah di Kolej Agama (Madrasah Tsanawiyah). Tapi semuanya sudah diambil kira, pakcik terus berusaha. Yang penting berkat." Tanpa disedari orang yang bertanya mula menangis dan dia merasa malu sendiri. Pakcik itu hidup begitu sederhana malah mula bekerja di awal pagi setiap harinya dan dia sama sekali tidak mengeluh.
Kisah pakcik itu merupakan satu pengajaran yang berharga bagi kita semua. Cuba perhatikan kembali kisah ini, adakah kita dapati pakcik itu mengeluh dengan keadaannya? Cuba perhatikan baik-baik, berapa kali dia mengucapkan Alhamdulillah, walaupun keadaanya begitu susah namun masih mampu bersyukur. Betapa pakcik itu memiliki kekayaan yang tidak dimiliki oleh orang lain iaitu kesihatan, semangat menjaga ibadah yang begitu baik dan jiwa yang tenang serta penuh rasa syukur. Lalu bagaimana dengan kebanyakan manusia moden yang hidup senang, bergelumang harta, tapi sepanjang waktu asyik saja mengeluh kerana persoalan-persoalan yang remeh. Wang banyak tapi hidup penuh tekanan dan kekecewaan. Pekerjaan dan gaji yang lumayan tapi sering stres dan marah-marah. Rumah mewah, lengkap dengan penghawa dingin, tetapi masih susah tidur dan perlu mengambil pil tidur. Alangkah anehnya hidup ini. Betapa relatifnya kesenangan dan kesusahan hidup.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan