Ukhwah Islamiyyah

Sabtu, 17 September 2011

Makan Cara Sihat Ikut Sunnah Nabi

سم الله الرحمن الرحيم



KITA berpantang dan mengawal tabiat makan apabila diserang penyakit. Lebih teruk jika doktor hanya membenarkan kita makan dalam kuantiti sedikit atau makanan tertentu.

Hakikatnya, amalan mengawal tabiat pemakanan selepas jatuh sakit adalah tindakan salah. Kita patut mengawal pemakanan seawal usia remaja, bukan apabila memasuki fasa 40-an.

Tabiat pemakanan yang boleh diteladani ialah mengikut sunah Rasulullah s.a.w. Jika dikaji, amalan pemakanan baginda amat bertepatan dengan al-Quran bermaksud: “… makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan…” (Surah al-A’raf, ayat 31).

Petua menjaga kesihatan cara Rasulullah turut mengambil kira sistem tubuh manusia. Sebagai mesin, ia memerlukan bahan bakar iaitu makanan untuk membolehkannya melaksanakan kerja, tetapi kuantiti makanan yang masuk ke perut mesti dikawal.

Sebenarnya, menjaga dan mengawal perut daripada makan terlalu banyak adalah kaedah pencegahan penyakit yang berkesan. Sebab itu ramai ilmuwan perubatan dan tabib zaman lampau sering bermadah ‘lapar itu ubat’.

Mengambil makanan dalam kuantiti banyak adalah amalan buruk kerana ia memberatkan organ dan sistem pencernaan sehingga ia lemah dan tidak mampu mencerna secara teratur dan berkesan.

Makanan dalam jumlah yang banyak menyebabkan pelbagai penyakit. Justeru, kaedah rawatan dan pencegahan penyakit yang terbaik sepatutnya bermula dari perut – pastikan kuantiti dan jenis makanan yang masuk ke perut terkawal.

Nabi Muhammad ada menyebut ‘perut adalah tempat bermula pelbagai penyakit’. Selain kuantiti makanan, petua kesihatan Nabi turut mengambil kira isi padu makanan.

Baginda lebih mengutamakan makanan lembut, terutama jika baru sembuh atau melalui proses pemulihan. Dalam satu hadis daripada Siti Aisyah r.a, beliau berkata: “Jika Rasulullah diberitahu si fulan sakit dan tidak ada nafsu makan, baginda bersabda: Berikanlah kepadanya ‘talbiinah’! Kata baginda lagi, Demi Allah, ia mencuci perut seseorang seperti kamu membersihkan mukamu daripada kotoran!”

Talbiinah ialah sejenis makanan masyarakat Arab menyerupai bubur atau susu. Ia lembut dan tidak membebankan perut. Bagi kita di sini, mungkin oat dicampur susu sesuai sebagai makanan yang lembut dan tidak membebankan perut serta fungsi pencernaan.

Makanan ini juga kaya serat dan banyak membantu proses penghadaman.

Disiplin pemakanan yang diamalkan Rasulullah biasanya mengelak makanan itu mendatangkan penyakit kepada individu yang sihat, manakala bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan, ia mengelak penyakit menjadi semakin serius.

Contoh peristiwa Nabi Muhammad s.a.w mengajar pemilihan makanan ketika sakit ialah sebagaimana hadis riwayat Ibnu Maajah dari Ummul Mundzir Qois al Anshoriyah, katanya:

“Suatu hari Rasulullah berkunjung ke rumah kami bersama Ali k.a yang ketika itu baru sembuh daripada sakit. Kami mempunyai buah daliah (sejenis buah-buahan di tanah suci), lalu Rasulullah mengambil dan memakannya dan Ali juga memakannya.

“Baginda berkata kepada Ali: Engkau baru saja sembuh daripada sakit.
“Lalu Ali berhenti memakannya. Kemudian saya buatkan masakan dari gandum dan saya berikan kepada mereka berdua, maka Rasulullah s.a.w bersabda: Ali, nah, ini lebih sesuai bagimu!”

Larangan Rasulullah kepada Ali yang baharu sembuh daripada sakit agar tidak memakan daliah sebagaimana dalam hadis di atas adalah kaedah pencegahan atau berpantang. Buah-buahan yang sifatnya mudah terurai mungkin memberi mudarat bagi mereka yang baru sembuh.

Ketika baru pulih daripada sakit, perut belum cukup kuat kerana ia sibuk bekerja menghakis sisa penyakit dari dalam perut dan badan.

Sebaliknya, Rasulullah menggalakkan Ali mengambil masakan daripada gandum kerana air daripada gandum itu dapat menguatkan tubuh.

Namun, baginda membenarkan pengambilan makanan yang tidak sesuai, tetapi dalam kuantiti sedikit sekadar menghilangkan keinginan.

Perkara menarik mengenai kaedah makanan seimbang yang diajarkan Rasulullah ialah baginda tidak membataskan pada satu jenis makanan saja. Contohnya, baginda menyeimbangkan makanan bersifat panas dengan sejuk.

Dari segi komposisi makanan, baginda tidak pernah mengambil susu dan ikan atau susu dan telur atau daging dan susu atau antara makanan yang kedua-duanya mempunyai sifat panas atau sifat dingin serentak.

Baginda juga tidak mengambil dua jenis makanan yang mempunyai sifat cepat dicernakan dan lambat dicernakan, serentak.

Rasulullah tidak mengambil makanan yang masih dalam keadaan panas atau makanan yang disimpan semalaman, makanan awet atau diasinkan seperti acar kerana semua itu memudaratkan kesihatan.

Kita juga patut mengelak mengambil makanan segera dan minuman berkarbonat, walaupun sedap, tetapi memudaratkan apatah lagi mengandungi perasa tiruan dan sintetik.

Rasulullah gemar makanan yang mengandungi unsur manis semula jadi dan madu malah baginda suka mengambil buah-buahan sebagai makanan tambahan.

Mengenai madu, Nabi mempunyai disiplin pengambilan madu yang baik untuk dicontohi, iaitu mengambilnya pada waktu pagi sebelum sarapan.

Madu dicampurkan dengan air dingin sebelum diminum. Ini bertujuan mencairkan lendir dan membersihkan sistem pencernaan.

Selain jenis dan kuantiti makanan, satu aspek lain penjagaan kesihatan Rasulullah s.a.w ialah cara baginda duduk ketika makan, iaitu dalam posisi ‘mutawarikan’, iaitu meletakkan pinggul pada kedua-dua tumit dan menempatkan telapak kaki kiri di atas punggung kaki kanan.

Postur badan penting dalam menentukan kebaikan ketika pengambilan makanan. Contohnya, baginda melarang makan sambil bersandar sebagaimana sabdanya bermaksud: “Saya tidak makan sambil bersandar.”

Baginda juga melarang minum sambil berdiri, kecuali jika dalam keadaan terpaksa. Baginda mempunyai disiplin khusus dari segi minuman.

Berdasarkan petunjuk Nabi s.a.w, makruh minum selepas melakukan olahraga atau sebaik selesai melakukan sesuatu kerja berat atau sebaik habis makan atau sebelum makan. Semua itu tidak baik untuk kesihatan. Sebaliknya, biarkan beberapa detik berlalu apabila selesai aktiviti berat atau makan, kemudian minum.

Rasulullah s.a.w mempunyai petua unik ketika minum. Dalam satu hadis dari Anas bin Malik bermaksud: “Rasulullah minum dengan tiga kali nafas. Baginda berkata: Hal itu lebih melegakan dan lebih menyihatkan.”

Maksud bernafas tiga kali ketika minum ialah dengan menjauhkan bekas atau cawan dari mulut, lalu bernafas atau seolah-olah menghisap air yang sedang diminum. Larangan bernafas di dalam gelas ketika minum ditemui dalam hadis bermaksud:

“Jika seseorang di antara kalian minum maka janganlah bernafas di dalam gelas minuman, tetapi hendaklah direnggangkannya dari bibir.”

Dan, pasti yang paling penting dan mungkin dilupakan kita apabila makan atau minum ialah membaca ‘basmalah’ (membaca Bismillah) dan mengucapkan ‘hamdalah’ (Alhamdulillah) apabila selesai. Ia banyak keberkatan dari segi kesihatan.

Rahsia besar Rasulullah s.a.w yang patut menjadi teladan ialah baginda tidak pernah mencela makanan yang tidak disukainya atau kurang enak. Ini terkandung di dalam hadis bermaksud:
“Anas berkata: Rasulullah tidak pernah mencela makanan. Jika berselera dimakannya, dan jika tidak maka ditinggalkannya.”

Justeru, semua orang tidak wajar menunggu hari tua atau berusia lewat 40-an untuk memulakan amalan pemakanan sihat. Mulakanlah sekarang!

Kepentingan menjaga pemakanan dapat difahami daripada hadis Nabi saw yang diriwayatkan at-Turmudzi dari Abdullah al-Ashory, Rasulullah saw bersabda bermaksud:

“Sesiapa dalam keadaan badan sihat, aman dalam penghidupan dan ia memiliki makanan sehari-hari yang cukup, maka seolah-olah dunia ini miliknya.”

Jumaat, 16 September 2011

Beberapa Suap Makanan

سم الله الرحمن الرحيم


Maksud hadis;


"Daripada Al-Miqdam bin Ma'dikarib ia berkata aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda : tidak mengisi perut anak Adam akan bahaya bencana sekira-kira memadai dengan beberapa suap yang kecil yang boleh mendirikan tulang salibnya, maka jika terpaksa maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya dan sepertiga untuk nafasnya".

(Riwayat Imam Ahmad, Tirmizi, Nisa'i dan Ibn majah-Hadis Hasan)

Mengisi perut bererti makan minum daripada berbagai-bagai benda mengikut tempoh suasana dan kebiasaan masing-masing dan makanan yang boleh menguatkan badan, seperti mana di dalam hadis (mendirikan tulang salibnya) iaitu boleh berdiri bertenaga, berjalan, bergerak dan sebagainya.

Beberapa suapan yang kecil bererti makan tidak banyak yang tidak mengakibatkan seseorang itu keterlaluan mengisi perut tanpa perhitungan yang wajar dan sesuai dengan kehendak kesihatan. Demikian pula makan yang sedikit yang tidak membawa kepada kelemahan tubuh badan.

Makanan yang beberapa suap yang sedikit yang tidak mengurangkan tenaga itu tidaklah mendatangkan bahaya kepada perut dan seluruhnya kerana bahaya yang selalu merosakkan kesihatan badan ialah dari keterlaluan banyak makan sebagaimana yang ternyata jelas pada hari ini didapati beberapa penyakit yang berlaku yang dinamakan "penyakit orang kaya", "penyakit orang senang", "sedap makan sedap selera", "makanan semua berzat". Maka timbullah penyakit gemuk ataupun obesiti yang mengakibatkan berbagai-bagai penyakit yang lain.

Oleh sebab tabiat hidup kita yang mesti makan, Rasulullah mengingatkan supaya jangan lupa mengisi perut dengan baik iaitu sepertiga perut itu diisi dengan makanan, sepertiga dengan air dan sepertiga lagi dikosongkan untuk bernafas tetapi seringkali kita tidak ikut apa yang Rasulullah sarankan. Oleh sebab itu, kita pun mengisi kesemuanya dengan makanan. Itulah menyebabkan sampai tidak boleh bernafas dan mendatangkan sakit.

Tepat seperti kata seorang Doktor Arab, Al-Haris bin Kalwah;

"Penting berjaga-jaga itu kepala ubat, perut besar makan banyak itu kepala penyakit".

Dalam hal menjaga kesederhanaan makanan, Rasulullah banyak mengingatkan sahabat-sahabatnya sampai berjaga-jaga seperti di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Junjungan telah bersabda yang bermaksud;

"Orang mukmin makan satu perut, orang kafir makan tujuh perut, yang bermaksud orang-orang mukmin makan mengikut adab syarak ialah sepinggan yang sederhana tidak seperti orang kafir makan sampai tujuh pinggan mengikut kehendak nafsu selera".

Junjungan mulia mengarahkan supaya orang-orang mukmin sentiasa berada dalam sihat dan cergas. Maka di antara faktor besar mencapai tujuan itu hendaklah menjaga makanan dan hendaklah selalu mengawal diri dan kehendak nafsu perut yang melampau-lampau. Baginda mengingatkan supaya selalulah mengingatkan diri bahawa makanan yang disediakan untuk seorang itu adalah mencukupi untuk dua seperti sabdanya yang membawa maksud;

"Makanan seorang cukup untuk dua, dua cukup untuk tiga dan tiga cukup untuk makan berempat".

Ingatan ini adalah bertujuan kepada kesederhanaan dan menjauhkan diri daripada penyakit perut besar. Ia adalah juga supaya dapat menimbulkan jiwa mulia, pemurah dengan menjauhkan sifat tamak dan mementingkan diri sendiri serta melatih diri supaya berjimat dan tidak membazir.

Rasulullah SAW bersama-sama sahabatnya telahmengamalkan sedikit makan dan minum setakat cukup yang tidak melemahkan untuk menunaikan tugas dan kewajipan. Dalam hal ini memang banyak para cendiakawan dan pakar-pakar kesihatan bersetuju dan diantaranya telah membuat beberapa nasihat seperti;

"Faedah makan sedikit kepada hati ialah membawa kepada perasaan halus, kuat fahaman dan lemah nafsu serta kurang marah, banyak makan membawa kepada sebaliknya".

Kesimpulannya, kita wajib memelihara kesihatan badan dan hati supaya dapat menunaikan tugas dengan baik dan sempurna. Perut ialah punca kesihatan dan kesakitan.Sesiapa yang mengawasi dengan baik dan tidak diisi mengikut nafsunya akan terselamatlah daripada penyakit manakala sebaliknya diisi tanpa perhitungan maka jadilah perut sumber penyakit yang menyebabkan sakit tubuh badan dan rosak hati dan perasaan. Makan banyak bukan sahaja menyebabkan pelbagai penyakit fizikal malah juga rohani. Makin banyak kita makan, makin malas kita hendak beribadat kepada Allah.

Oleh itu, orang-orang Islam hendaklah sentiasa berjaga-jaga dengan makanan mereka. Memadailah makan sekadar yang cukup yang boleh menguatkan tenaga bekerja dan tidak melemahkan badan. Jangan melampau sehingga menyebabkan kesusahan kepada tubuh badan. Makanlah dengan sederhana kerana Allah suka manusia yang bersikap sederhana.Jangan dituruti kehendak nafsu kerana nafsu yang diikuti itu umpama bertuhankan nafsu.Bak kata orang, perut lapar diisi dengan makanan, jiwa lapar diisi dengan santapan rohani. Sama-samalah kita beramal dengan perkara yang mudah ini sepertimana yang disarankan oleh Rasulullah SAW kerana setiap perkara yang disarankan oleh Rasulullah itu ada kebaikannya.

Sepotong hadis ada menyebut;

"Tidak sempurna iman seseorang itu jika dia tidur dalam kekenyangan, sedangkan jiran tetangganya menangis kerana kelaparan".

Jadilah umat yang sentiasa besrsyukur dengan setiap rezeki yang dimiliki kerana kita sendiri tidak tahu bila mana Allah akan tarik segala pinjaman yang diberi sepertimana insan-insan yang kebuluran di luar sana..

Rabu, 14 September 2011

Iman, awak bercuti ke??

سم الله الرحمن الرحيم


Iman : Assalamualaikum, bos


Diri : Waalaikumussalam wbt. lama tak nampak awak. Awak cuti ker?

Iman : Taklah, jabatan kami rasa tuan tak memerlukan kami lagi..

Diri : Laa.. kenapa pulak awak cakap camtu? pentadbiran diri saya berterabur sekarang bila jabatan kau takde..

Iman : Takdelah, kami lihat banyak pekerja tambahan tuan ambil. VCD, SMS, TV.. jadi kami rasa terpinggir

Diri : Entahlah, waktu cuti sebulan ni saya tak pernah menggaji mereka.Tapi mereka terlalu rajin buat kerja, bekerja tanpa gaji, tapi banyak jugak duit saya habis... entah ar

Iman : Tu sebab, kami agak rasa tuan memencilkan kami. Al Quran, Zikir, mathurat, solat Malam tak boleh bekerja dengan mereka.. kami memang tak boleh bercampur dengan mereka..

Diri : Saya tak pernah minta kau bercuti

Iman : Bagaimana kami ingin bekerja sedangkan tuan sudah punya pekerja tambahan? Saya lihat mereka buat tuan gembira..

Diri : Argh, gembira apenye.. Berterabur kerja kat pejabat tu!! Tolonglah, bekerjalah dengan saya kembali

Iman ; Kami sememangnya sudah berkhidmat dengan tuan dari tuan di dalam rahim ibu tuan lagi. Tapi, tuan kadang-kadang mengabaikan kami. Tuan sediakan makanan untuk bos pekerja tambahan, En Dosa, tapi kami, tuan tak sediakan makanan. Kebajikan kami tak terjaga...

Diri : Maafkan aku. kembalilah bekerja dengan saya. Saya janji kebajikan kamu semua saya jaga, En Iman.

Iman : Tuan boleh berjanji, tapi CEO kita akan memantau tuan, Dialah Allah.Tuan takkan tak takut menabur janji tapi melupakannya?

Diri : Janganlah menyalahkan saya.

Iman : Tuan perlu sedar, kami hanya bekerja di dalam syarikat yang bersih, dan amanah.. Bukanlah saya nak memandang rendah pada jabatan baru En Dosa, tp kami tidak suka cara mereka bekerja. mereka meminggirkan kami

Diri : Dah awak tak melawan?

Iman : Tuan, bagaimana kami ingin menang? Kami terlalu lemah, sedikit pula tu, kebajikan kami langsung tuan tak jaga..Sedangkan kami tidak pernah meminta gaji dari tuan. Cuma kami minta disediakan ruang yang bersih dan amanah untuk kami bekerja. Salahkah kami meminta yang sedikit?

Diri : Mereka kadang-kadang lebih menggembirakan saya

Iman : Kalau begitu maafkan kami. Tak dapat rasanya kami bekerja untuk tuan lagi.Tuan perlu memberi kebajikan kepada mereka. Siapalah kami..

Diri : Ehh, jangan.. Bekerjalah dengan saya

Iman : Buanglah pekerja itu.. Mereka meminta-minta dari tuan.Tuan perlu berhabis jutaan ringgit untuk mereka. Sedangkan kami, percuma khidmat kami

Diri : Aduh, mereka pekerja yang menggembirakan saya. Memang kamu percuma, tapi kamu kadang-kadang bising, ini tak boleh, itu tak boleh.. saya rimas

Iman : (senyum sinis).. Maafkan kami tuan.. kami minta diri dulu.. tak perlulah kami berkhidmat dengan tuan kalau begitu.. Kalau tuan perlukan kami, kami sentiasa di sisi.. Tuan jangan risau, kami maafkan tuan..

Diri : Jangan pergi.. saya sanggup pecat En Dosa.. dan ahli jawatankuasanya, vcd, majalah yang melalaikan, dan sebagainya

Iman : Tuan betul-betul sanggup?

Diri : Ya, saya kelam kabut sekarang.. Tak tenang, management berterabur..

Iman : Alhamdulillah.. kami free of charge.. Tuan takkan rugi, sebaliknya tuan beruntung besar.. Silap hari bulan, CEO, Allah kita akan naikkan tuan ke pangkat yang lebih tinggi

Diri : Terima kasih..=) Panggillah ajk kamu bekerja semula. En Iman, saya akan jaga kebajikan kamu, panggillah En Mathurat, En Zikir, En Solat, dan semua ahli jabatan kamu ya?

Iman : Alhamdulillah. Moga keuntungan tuan bergada-ganda tahun ini dan seterusnya

Diri : Terima kasih pegawai kewanganku ..

Ahad, 11 September 2011

Kenapa malas nak baca Al-Quran???

سم الله الرحمن الرحيم


Ada orang baca Al-Quran hari-hari,
Ada orang baca Al-Quran 2 hari sekali,
Ada orang baca Al-Quran selang sehari,
Ada orang baca Al-Quran seminggu sekali,
Ada orang baca Al-Quran setahun sekali,
Ada orang baca Al-Quran hanya bila ada orang mati,
Ada jugak yang langsung tak baca, tunggu orang bacakan time dia mati...
Ayookkk!!! Susah sangat ke nak baca Al-Quran? Layan facebook hari-hari, main game, lepak-lepak, borak-borak boleh pulak? Agak-agak dimana nilai hamba dalam diri kita. Cukup ke hari-hari kita hanya diisi dengan perkara-perkara dunia. Mungkin cerita kat bawah ni boleh membuka pintu hati kita untuk dekat dengan Al-Quran dan menghayati maknanya.
********************************
Mengapa perlu membaca Al-Quran, walaupun tidak memahaminya..?
Ini adalah satu kisah yang sangat menarik. Semoga dengan cerita ini hati anda akan terbuka tentang membaca Al-Quran. Kisah ini dipetik daripada kisah yang ditulis dalam Bahasa Inggeris.

Mengapa Kita membaca Al-Quran, sedangkan kita tidak memahami sepenuhnya apa yang di baca?

Ada seorang Atuk tua tinggal bersama cucu lelakinya di sebuah bukit di pendalaman. Setiap pagi Atuk bangun awal pagi duduk di meja makan dan membaca Al-Quran. Cucunya ingin menjadi seperti Atuk dan meniru seberapa boleh akan bacaan yang dibaca oleh Atuknya.

Pada suatu hari cucunya bertanya, ‘Atuk! saya cuba membaca Al-Quran macam Atuk baca tapi saya tak faham pun, dan jika saya faham sekali pun saya akan lupa sebaik sahaja saya menutupinya. Apa bagusnya bila kita membaca Al-Quran?’ Sedang orang tua itu meletakkan arang batu ke dalam dapur pemanas badan, dengan perlahan dia menoleh kepada cucunya sambil berkata, ‘ Bawa guni arang batu ini ke sungai dan bawakan saya seguni air.’

Budak lelaki itu buat seperti apa yang disuruh, tetapi semua air itu membocor keluar sebelum dia sampai ke rumah. Orang tua itu ketawa dan berkata. ‘ Awak hendaklah berjalan lebih cepat untuk yang akan datang,’ dan meminta cucunya ke sungai bersama dengan guni arang batu untuk cuba sekali lagi. Kali ini budak lelaki itu berjalan lebih laju, sekali lagi guni itu kosong sebelum dia tiba ke rumah. Terlalu letih, dia memberitahu Atuknya bahawa mana mungkin untuk membawa air di dalam guni, dan dia pergi untuk mengambil baldi. Orang tua itu berkata, ‘ saya tidak mahu sebaldi air, saya mahu seguni air. Anda tidak cukup kuat mencubanya.’ dan dia menuju ke pintu melihat cucunya mencuba lagi.

Pada katika itu, budak lelaki itu sudah tahu bahawa tidak mungkin dapat membawa air di dalam guni hingga ke rumah, tetapi untuk tidak menunjukkan apa-apa reaksi kepada Atuknya dia berlari seberapa laju yang dia boleh, semua air yang di bawa masih membocor keluar sebelum dia sampai ke rumah. Budak lelaki itu sekali lagi pergi ke sungai dan berlari secepat mungkin dengan seguni air, tetapi apabila sampai kepada Atuknya, guni tersebut sekali lagi kosong. Meletihkan, katanya,’ tengok Atuk, tak guna!’ ‘ Jadi anda fikir ianya tidak berguna?’ Orang tua itu berkata,’ tengok guni itu.’

Budak lelaki itu melihat akan guni tersebut dan buat kali pertamanya dia sedar bahawa guni tersebut sudah berubah. Ia telah bertukar daripada guni lama yang kotor bekas arang batu menjadi begitu bersih, luar dan dalam.

‘Cucuku, itulah yang akan berlaku jika anda membaca Al-Quran. Anda mungkin tidak faham ataupun ingat kesemuanya, tetapi apabila anda membacanya, anda akan berubah dengan sendirinya, dalaman dan luaran. Itulah kurniaan Allah s.w.t. dalam kehidupan kita.’
********************************
Pssstt: Malas lagi nak baca Al-Quran? Renung-renungkanlah cerita di atas. Semoga En. Reza yang kadang-kadang malas ni dan juga anda semua akan lebih rajin membaca Al-Quran selepas ini. Apa yang lebih penting, baca, fahami dan hayati maknanya.

Ada orang tanya, kenapa kita mesti nak baca Al-Quran sedangkan kita tak faham apa maknanya? Macam mana nak faham? Kena la belajar bahasa Arab. Susah? Apalagi, buka tafsir la. Tak faham pun tak ape, yang penting baca. Tapi kalau kita faham kira lagi bagus la. Wallahua’lam.

Sumber cerita:

Khamis, 8 September 2011

KEINDAHAN IBADAT SEPANJANG RAMADAN DITUAI DALAM SYAWAL

سم الله الرحمن الرحيم



RAMADAN sudah pun berlalu dan kini Syawal meriah dirai. Semoga hati, jiwa, akal dan fizikal yang dilatih sepanjang Ramadan dengan ibadat khusus dan kesabaran bekerja, membuahkan keriangan serta kepuasan berhari raya penuh kesyukuran.

Walaupun kemenangan yang diraikan itu cumalah sehari, amalan kunjung-mengunjungi, ziarah-menziarahi, bermaaf-maafan, saling mengucapkan selamat dan menjamu tetamu dalam rumah terbuka ada kala berlarutan kemeriahannya sehingga sebulan.

Budaya ini pula bukan sekadar dirai antara keluarga, sanak saudara serta jiran tetangga tetapi juga bersama golongan anak yatim, kurang upaya, rakan taulan serta teman sepejabat. Kemeriahan ini mengeratkan hubungan silaturahim dan persahabatan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, tetangga dekat dan jauh, teman sejawat, ibu hamil dan hamba sahayamu.”(Surah al-Nisa’, ayat 36)

Perlu diingatkan, nilai murni ini tidak sekadar diamalkan pada musim perayaan tetapi bulan selanjutnya. Ia juga janganlah hanya dizahirkan dalam kalangan sanak saudara dan jiran tetangga, sebaliknya hendaklah diamalkan sepanjang masa dan di mana juga berada.

Inilah sebenarnya keindahan akhlak daripada ibadat Ramadan yang dituai buahnya dalam Syawal. Sesungguhnya nilai itu bukan sekadar mengeratkan tetapi juga mengundang keberkatan rezeki, masa dan umur.

Sabda Rasulullah SAW daripada Anas bin Malik yang bermaksud: “Barang siapa suka untuk dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menghubungkan silaturahim.”(Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Menurut Imam al-Nawawi, yang dimaksudkan dengan pertambahan umur dan rezeki hasil daripada hubungan silaturahim ialah keberkatan serta taufik sebagai natijah masa diluangkan untuk kerja serta hubungan yang bermanfaat.

Imam al-Syafie juga menekankan supaya manusia sentiasa menyibukkan diri dengan kebaikan kerana jika tidak, dirinya akan disibukkan dengan kebatilan.

Walau bagaimanapun amalan berteraskan nilai akhlak ini perlu dilakukan dengan hati yang bersih, suci daripada sifat mazmumah seperti bertujuan membanggakan diri, menunjuk-nunjuk, memandang rendah kepada kurang berada, berpura-pura dalam persaudaraan, iri hati dan sifat berlebihan yang membawa kepada pembaziran. Kesemua sifat ini boleh memakan kebaikan yang dilakukan.

Benarlah kata-kata Saidina Ali yang dipetik dalam buku Nahj al-Balaghah, hati ibarat bumi yang menerima apa saja yang ditanam. Dan apa yang dituai nanti adalah hasil daripada apa ditanam. Ertinya, jika hati ditanam dengan kemanisan hidup bersaudara nescaya itulah yang akan dirasai.

Oleh itu, marilah kita berusaha memastikan apa juga benih ditabur dalam ‘bumi hati’ adalah benih yang subur dan bermanfaat supaya pintu rumah dan pintu pejabat yang terbuka luas menyambut kehadiran tetamu berkunjung disambut bersama hati luhur dan kaya dengan kesantunan diri.

Sebab itulah Rasulullah SAW meletakkan tiga pantang larang dalam menjalinkan perhubungan iaitu tiga pantang larang untuk menjaga dirinya dan tiga pantang larang terhadap orang lain.

Pantang larang untuk menjaga diri ialah jangan suka berdebat, menyombong diri dan melakukan perbuatan tidak bermanfaat, manakala terhadap orang lain pula ialah jangan mencela, mengejek dan mencari kesalahan orang lain. (Hadis riwayat al-Termizi)

Pantang larang ini jika kita sama-sama mengawal diri serta menjaga supaya tidak melanggarinya akan melahirkan kebahagiaan dan keamanan dalam apa juga hubungan sosial. Pada masa sama, budaya ini perlu disemarakkan dalam kehidupan berorganisasi supaya dapat mengeratkan hubungan sesama rakan sekerja.

Kesannya, pekerja ceria, pelanggan mendapat kepuasan manakala kerja dilakukan pula boleh menjadi sesuatu yang menyeronokkan walaupun ada kala berdepan dengan kerenah atau kesukaran. Ini menjadikan silaturahim antara warga organisasi tanpa mengira kedudukan umpama satu keluarga.

Budaya hidup secara berakhlak dan harmoni adalah sunnah Nabi SAW yang amat dituntut kepada umat Baginda bagi mencerminkan keindahan ajaran Islam. Oleh itu, marilah kita bersama memelihara serta membudayakannya di mana juga kita berada dan dalam apa juga urusan yang dilakukan.

Amalan baik apabila terus dilakukan akan menjadi budaya dan budaya baik akan mencerminkan kekuatan sesebuah masyarakat, bangsa yang kuat akan mampu menjadi contoh kepada yang lain.

Apabila ‘kitaran amal salih’ ini berterusan, maka setiap daripada mereka sama ada yang mencetuskan idea, menunjuk cara, mengatur strategi, mengawal selia, melaksana, meniru cara, menerima manfaat manakala organisasi dan negara dilimpahi rahmat, keberkatan serta mendapat keampunan.

Kamu Ada 5 Minit Sahaja!

سم الله الرحمن الرحيم


Jemaah dakwah pergi menemui seorang usahawan yang berjaya. Perjumpaan mereka sekadar untuk berbincang tentang iman dan amal.

“Saya tengah sibuk. Kamu ada 5 minit sahaja untuk sampaikan dakwah kamu!”

“Tuan yang mulia. Tuan seorang usahawan yang berjaya, boleh tak tuan ceritakan susah payah dan kejayaan tuan dalam perniagaan? Ceritakan dalam masa 5 minit sahaja.”

Usahawan itu terpinga-pinga.

“Apa yang kamu merepek ni? Kejayaan saya, penat lelah saya dari dulu sampai sekarang bukan sikit-sikit. Kamu pula suruh cerita dalam 5 minit? Mana boleh habis!”

“Kejayaan tuan hanya kisah tuan sahaja, tetapi agama adalah kisah untuk seluruh alam. Adakah 5 minit cukup untuk cerita tentang agama?”.

Usahawan itu tersentak!

Manusia sering memperkecilkan agama dan dakwah. Sebaliknya, terlalu membesar-besarkan kejayaan dunianya. Itulah anggapan nilaian iman dan kekayaan dunia pada kebanyakkan manusia.

SEDIKITNYA MASA UNTUK ALLAH

Allah Subhanahu Wa Taa’la memperuntukkan 24 jam sehari kepada semua manusia. Tidak lebih dan tidak kurang.

Ada orang yang menggunakan masanya untuk bekerja mencari duit selama 24 jam. Baginya, masa yang ada perlu digunakan untuk mengutip seberapa banyak kekayaan dunia.

Ada orang siang dia bekerja, malam pula merintih di hadapan Allah. Masa yang diperuntukkan kepadanya, hanya untuk beribadat kepada Allah tidak kira semasa bekerja atau pun sedang beribadat di malam hari.

Allah Subhanahu Wa Taa’la itu Maha Adil. Tiada siapa pun di kalangan hamba-Nya yang boleh mendakwa Allah di akhirat nanti tentang masa.

“Ya Allah.. Masa aku tidak cukup untuk beribadat kepada-Mu”. Adakah boleh kita bagi alasan begitu di hadapan Allah?

Kita boleh memberi masa untuk hiburan, kita juga boleh memberi masa untuk bekerja. Tetapi masa untuk Allah sangat sukar untuk diberikan.

Jika 1 waktu solat Fardu dikira selama 5 minit, 5 kali solat adalah sebanyak 25 minit! Kadang-kadang 25 minit untuk Allah pun susah nak diberikan. Nauzubillah.

“ASYIK DENGAR CERAMAH AGAMA JER”

“Hari-hari kau dengar ceramah agama tak boring ke? Cubalah bawa berhibur, banyak sangat dengar pasal ceramah agama ni tak elok juga. Nanti kita bosan”, kata seorang rakan.

“Hari-hari kau dengar lagu-lagu merapu tu tak boring ke? Cubalah dengar tazkirah, banyak sangat dengar lagu merapu tak elok juga. Nanti kita bosan dan hati jadi gelap!”, jawapan yang memulangkan paku buah keras kepada rakannya tadi.

Buka TV di waktu pagi sungguh bermanfaat. Motivasi Pagi, Bacaan Al-Quran, Tanyalah Ustaz.

Buka TV di waktu lewat malam juga bermanfaat. Bicara Mufti, ulangan Tanyalah Ustaz, siaran ulangan Al-Kuliyyah dan sebagainya. Semuanya bermanfaat.

Waktu subuh dan waktu sebelum tidur (kadang-kadang ramai yang sudah tidur di waktu itu), TV berkisar tentang agama. Waktu yang ramai penonton diulik mimpi, waktu itulah cerita tentang agama.

Waktu manusia aktif (7 pagi hingga 10 malam) pula bercerita tentang hiburan yang melalaikan dan drama yang tiada kesudahan.

Waktu manusia aktif MARI MENARI dan waktu manusia tidak aktif pula MARI MENGAJI. Ramai orang mengatakan hidup ini kena separuh untuk dunia dan separuh untuk akhirat, kena seimbang di antara keduanya.

Persoalannya, adakah seimbang antara dunia dan akhirat?

FIKIR TENTANG IMAN DAN AMAL

Allah menciptakan manusia sebagai khalifah untuk beribadat dan mentadbir bumi. Itu bermakna, Allah Subhanahu Wa Taa’la tidak melarang manusia untuk bekerja, berkahwin, membina rumah dan mengumpul harta. Sebaliknya, semua yang kita lakukan akhirnya perlu dipulangkan balik kepada Allah. LILLAHI TAA’LA.

Jika Allah ingin menciptakan makhluk yang semata-mata untuk solat dan berzikir kepada-Nya, Allah sudah mempunyai malaikat yang sentiasa tunduk kepada-Nya.

Kejadian manusia adalah satu tanda kekuasaan Allah Subhanahu Wa Taa’la. Makhluk yang diberi akal untuk berfikir di antara baik atau pun buruk. Barang siapa yang berfikir tentang akhiratnya, maka beruntunglah dia. Sebaliknya jika berfikir tentang dunia semata-mata, maka rugilah dia.

Gunakan akal kita untuk fikir tentang iman dan amal. Berikan masa untuk Allah yang telah memberi masa seluruhnya untuk kita. Insya-Allah.

CUKUPKAH HANYA 5 MINIT?

sumber: Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com

Rabu, 7 September 2011

Puasa Sunat Syawal, Ganti & Ziarah

سم الله الرحمن الرحيم


oleh: http://www.zaharuddin.net/

Puasa sunat Syawal sememangnya amat popular di kalangan masyarakat kita hari ini. Dikesempatan ini saya suka menasihatkan semua yang ingin mengamalkan puasa sunat ini agar berhati-hati dari tipu daya syaitan yang kerap berjaya menjadikan seseorang individu yang berpuasa itu bermegah dan riya' dengan amalannya.

" kau , dah hari ker berapa dah?"

"aku dah 5 hari dah ni"

"esok aku raya (sunat syawal)"

Ini adalah antara kata-kata yang kerap didengari di bulan syawal ini.

Ia menjadi seolah-olah satu budaya untuk berlumba menamatkan puasa enam. Ia agak terpuji tetapi ia dicemari oleh habahan-hebahan yang dibuat tentang bilangan hari puasanya bertujuan melihat 'sapa lebih hebat?'.

Amat dibimbangi, tindakan ini bakal menghilangkan seluruh pahala puasa sunatnya. Kerana ia boleh menjadikan seseorang merasa riya, serta memperdengarkan amalan masing-masing yang sepatutnya di sembunyikan khas untuk Allah.

Ziarah & Puasa Sunat

Saya tidak nafikan ada yang terpaksa memberitahu apabila ada rakan yang ajak makan dan menziarahi rumah rakan. Tatkala itu, ia tidaklah terkeji dan masing-masing bertanggung jawab menjaga niat dan hati masing-masing agar tidak timbul perasaan tersebut.

Puasa sunat ini juga tidak sewajarnya menjadi penghalang menerima jemputan rakan-rakan yang membuat rumah terbuka.

Isu Keutamaan Antara Sunat Syawal & Qadha

Selain itu, satu isu yang kerap ditimbulkan berkenaan hal ini adalah tentang penggabungannya dengan puasa ganti ramadhan dan puasa yang mana satu lebih perlu diutamakan.

Jika ada yang bertanya manakah yang lebih baik di antara puasa sunat syawwal dan puasa qadha?. Jawapannya sudah tentu adalah puasa Qadha. Ini terbukti dari hadis Qudsi yang sohih

وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه

Ertinya : "..dan tidaklah hampir kepadaku seorang hambaKu dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya..." (Riwayat Al-Bukhari, no 6021)

Hadis tadi sebagai asas keutamaan, walau bagaimanapun dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang.

Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu Qadha puasanya selama 30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih kuat. Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawwal terlebih dahulu di ketika itu . Ini adalah kerana waktu sunnat puasa Syawwal yang singkat berbanding Qadha (sepanjang tahun).

Bagaimanapun harus di ingat, walaupun waktu bagi puasa Qadha adalah panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dahulu.

Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadannya tetapi sudah berpuasa sunat Syawwal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih berhutang dengan Allah SWT.

Bagaimanapun seseorang yang mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawwal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat syawal itu sekali. Berdasarkan sabda Nabi SAW

إن الله كتب الحسنات والسيئات ثم بين ذلك فمن هم بحسنة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له عنده عشر حسنات إلى سبع مائة ضعف إلى أضعاف كثيرة ومن هم بسيئة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له سيئة واحدة

Ertinya " ... barangsiapa yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah di tuliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, di tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda.." ( Riwayat Al-Bukhari, no 6010)

Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qadha adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari sunat Syawwal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang' ibadah dengan Allah berbanding puasa syawwal yang hanyalah sebagai tambahan pahala.

Isu Gabung Sunat & Qadha

Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :-

Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang specifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.

Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.

Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti' itu dipersoalkan, iaitu :-

1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid' atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid'. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan lain-lain.

2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa'dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a'lam.

3. Tindakan A'isyah r.a yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawwal. Maka inilah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana Aisyah r.a tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut :

كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان

Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya'ban" ( Riwayat Muslim, no 101)

4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam' (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.

Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)

5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad 'Aayish al-'Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awlawiyyat. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW

من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر

Ertinya: "Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)" (Riwayat Al-Bukhari, no 6502).

6. Kita dapat melihat penggunaan ‘fe'il madhi' iaitu ‘past tense' bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.

7. Hujjah ulama yang mengharuskannya adalah hadith

" Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan." (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)

Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).

Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh dibuat sesuka hati di dalam ibadah.

Kesimpulan

Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini : Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal);

Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah "keringanan" bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

25 Oktober 2006

(Diedit semula pada 3 Syawal 1428 H = 15 Oktober 2007)

TERBIT SEMULA : 8 OKTOBER 2008 ( 9 Syawal 1429 H)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...