Solat Sunat Istisqa'
Istisqa’ bermaksud meminta siraman air.
Istisqa’ juga bermakna doa meminta hujan kepada Allah S.W.T dengan cara yang tertentu seperti berdoa ketika khutbah Jumaat, berdoa setelah selesai solat, doa secara sendirian (tanpa solat atau khutbah) dan mengerjakan solat Istisqa’.
Oleh itu solat sunat Istisqa’ adalah solat yang dikerjakan secara spesifik untuk memohon kepada Allah swt agar menurunkan hujan ketika terjadinya musim kemarau.
Sebagai mukmin,kita meyakini bahawa apa jua musibah seperti kemarau yang menimpa adalah salah satu tanda kemurkaan Allah SWT terhadap hamba-hamba-Nya yang tidak menurut perintah-Nya.
Dalam sebuah hadis diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:
...وَلَمْ يَنْقُصُوا الْمِكْيَالَ وَالْمِيزَانَ إِلاَّ أُخِذُوا بِالسِّنِينَ وَشِدَّةِ الْمَئُونَةِ وَجَوْرِ
السُّلْطَانِ عَلَيْهِمْ وَلَمْ يَمْنَعُوا زَكَاةَ أَمْوَالِهِمْ إِلاَّ مُنِعُوا الْقَطْرَ مِنْ السَّمَاءِ...
…Dan tidak akan ada suatu golongan yang mengurangi sukatan dan timbangan kecuali Allah akan mencabut nikmat-Nya dan menjadikan penguasa zalim memerintah mereka. Tidak ada orang yang menahan zakat daripada harta-harta mereka kecuali Allah akan menahan turunnya titisan air dari langit…
(Riwayat Ibnu Majah)
Justeru, Rasulullah saw telah mengajar umatnya agar mengerjakan solat Istisqa’, memperbanyakan doa serta istighfar (memohon keampunan) agar Allah swt mengampunkan dosa lalu Dia menurunkan hujan dan mengembalikan nikmat rezeki kepada para hamba-Nya.
Hukum solat Istisqa’ ini adalah sunat .
KAIFIAT PERLAKSANAAN SOLAT ISTISQA’
Antara perkara yang perlu dilakukan oleh para jemaah untuk solat ini ialah :
Puasa tiga hari, sambil itu bertaubat kepada Allah dengan meninggalkan segala dosa dan kezaliman.
1. Pada hari yang keempat, semua penduduk disuruh keluar dengan berpakaian sederhana menuju ke tanah lapang. Di samping itu binatang-binatang ternakan juga perlu dibawa bersama. Maka pada hari tersebut semua penduduk disuruh supaya memperbanyakkan membaca istighfar.
2. Pada rakaat pertama sesudah membaca surah al-Fatihah bacalah Surah Sabbihisma Rabbikal A’la, dengan suara keras. Dan pada rakaat kedua pula dibaca surah Hal Ataaka Hadithul Ghasyiah.
3. Sesudah itu, khatib harus membaca dua khutbah, pada khutbah yang pertama dimulai dengan membaca Istighfar 9 kali dan pada khutbah kedua pula dimulai dengan 7 kali istighfar.
4. Sunnah memperbanyak membaca doa minta hujan di dalam khutbah yang kedua, yang diucapkan oleh khatib terkadang dengan jahar (suara keras) dan terkadang dengan sir (suara perlahan) menzahirkan harapan dari alunan suara. Adapun jika doa itu diucapkan dengan jahar maka ma’mum mengucapkan “amin” dengan jahar pula, dan jika diucapkan dengan perlahan maka ma’mum berdo’a sendiri dengan perlahan juga .
5. Sunnah pada akhir khutbah yang kedua :
a) khatib menghadap qiblat (membelakangi makmum)
b) Bagi khatib dan sekalian makmum membalikkan selendangnya (serbannya) dengan menjadikan yang sebelah atas menjadi kebawah dan yang sebelah kanan menjadi kekiri.
c) kemudian berpaling lagi oleh khatib membelakangi kiblat pada akhir khutbah yang kedua itu.
NIATNYA
أُصَلِّي سُنَّةَ الإِسْتِسْقَاءِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya : Sahaja aku menunaikan solat ististiqa’ 2 rakaat kerana Allah Taala.
DOA SOLAT ISTISTIQA’
الْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِين . الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ مَالِكِ يَوْمِ الدِّيْنِ
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ يَفْعَلُ مَا يُرِيْدُ ، اللَّهُمَّ أَنْتَ اللهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ . أَنْتَ الْغَنِّيُ وَنَحْنُ الْفُقَرَاءُ
، أَنْزِلْ عَلَيْنَا الْغَيْثَ وَاجْعَلْ مَا أَنْزَلْتَ عَلَيْنَا قُوَّةً وَبَلاًغًا إِلَى حِيْنَ .
Maksudnya : “Segala puji bagi Allah pemelihara alam semesta, Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Raja hari kiamat, tiada Tuhan yang maha benar selain Allah, Yang berbuat menurut kehendak-Nya. Ya Allah, Engkaulah Allah yang tiada Tuhan selain-Mu. Engkaulah Maha Kaya, sedangkan kami adalah papa, turunkanlah kepada kami hujan, dan jadikanlah apa yang Engkau turunkan itu menjadi bekal sampai beberapa lama.
PENCERAHAN :
A) Penampilan Fizikal Dan Mental Untuk Bersolat Istisqa’ Mereka yang mengerjakan solat Istisqa’ ini hendaklah menuju ke tempat perlaksanaan solat tersebut dengan penampilan sederhana, tawadhu’ (merendah hati), tadharru’ (bersungguh-sungguh dalam memohon) dan tamaskun (menunjukkan benar-benar perlukan permintaan tersebut)
B) Solat Istisqa’ Dikerjakan Secara Berjemaah Sebanyak Dua Rakaat.
C) Tidak Dilaungkan Azan Atau Iqamah Sebelum Solat Tersebut.
D) Dilaksanakan Sebagaimana Solat Hari Raya. Solat Istisqa’ dikerjakan sama sebagaimana solat Hari Raya yakni dengan melakukan tujuh takbir pada rakaat pertama dan lima takbir pada rakaat kedua.
E) Waktu Perlaksanaan Solat Istisqa’. Solat sunat Istiqa’ boleh dikerjakan pada bila-bila masa kecuali waktu yang diharamkan untuk bersolat.
F) Bacaan Dalam Solat Istisqa’ Adalah Secara Jahar (Kuat).
G) Tempat Perlaksanaan Solat Istisqa’. Tidak dikerjakan di dalam masjid atau surau tetapi di tanah yang lapang seperti padang atau halaman masjid yang luas.
RUMUSAN : Rasulullah saw sebagai ketua negara umat Islam telah turun bersama-sama rakyat untuk mengerjakan solat Istisqa’ ini. Lantaran itu pada masa kini terdapat beberapa negara-negara Islam di timur tengah yang mana para pemerintah tertinggi sesebuah negara itu turut turun bersama rakyat jelata untuk mengerjakan solat Istisqa’ ini Kita ternanti-nanti bila sunnah ini akan diamalkan pula oleh pemerintah di Malaysia.
Wallahu a'lam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan