Ukhwah Islamiyyah

Jumaat, 28 Februari 2014

Nikmat - Hitunglah kesyukuranmu, bukan kesusahanmu !






















Dalam kehidupan kita, terlalu banyak nikmat yang Allah berikan kepada kita. Antara sedar dan tidak sedar, nikmat yang kita dapat terlalu banyak. Nikmat kesihatan, nikmat kebahagiaan, nikmat rezeki, nikmat keamanan dan sebagainya. Alhamdulillah! kadang-kadang kita ini insan yang lemah yang mudah lupa untuk mengucapkan Alhamdulillah.

Ya Allah, aku bersyukur kepadaMu Ya Allah, kerana memberikan keluarga yang sentiasa berada di sisiku, kerana memberikan aku sahabat yang selalu mendorong ku kejalanMu, kerana memberikan aku nikmat-nikmat pemberianMu, Siapa lah aku untuk mengeluh jika apa yang diinginkan tak diperolehi, kerana jika difikirkan, telah terlalu banyak nikmat pemberianMu itu, Dan pasti Allah memberi dengan adil kepada hamba-hambaNya. 

Seringkali kita manusia biasa hanya fokus kepada nikmat orang lain yang dirasakan lebih baik daripada kita. Dan seringkali juga kita akan mengeluh atas segala ujian dan musibah yang melanda hidup kita. Kita terlalu membesarkan kesusahan yang kita lalui sedangkan ada lagi manusia lain yang lagi menderita dan susah dari kita seperti mana musibah yang menimpa saudara kita di Gaza sekarang. Dalam masa yang sama, kita turut membutakan mata atas segala nikmat yang dikurniakan di sekeliling kita. Realitinya, kita tersangat mewah dan kaya dengan kenikmatan. Mengapa kita mudah lupa?? Benarlah bahawa kita hanya asyik mengira kesukaran dan kesusahan yang melanda diri tetapi kita lupa menghitung kesyukuran atas segala nikmat yang ada di sekeliling kita!

Nikmat dalam hidup 

Nikmat Allah yang kita kecapi dalam hidup kita ini terbahagi kepada dua :

  • Nikmat yang dinisbahkan dengan dunia seperti mendapat nikmat diri dan tubuh badan yang sempurna, beroleh kesenangan dan keselesaan hidup dan dijauhkan dari segala musibah dan kecelakaan. 
  • Nikmat yang dinisbahkan dengan akhirat seperti mendapat hidayah Islam, mendapat taufik dan hidayah daripada Allah dan mendapat pemeliharaan Allah daripada mudarat agama. 

Tepuk dada, tanya iman dan hati masing-masing. Alhamdulillah, segala infiniti pujian berbalik kepadaNya sekiranya kita mendapat kedua-dua nikmat ini. Dan sebesar-besar nikmat adalah kita dikurniakan nikmat IMAN dan nikmat ISLAM.

Syukurlah sekiranya kita dilahirkan fitrah dalam ISLAM. Sama-sama kita jaga nikmat itu dengan sebaik-baiknya supaya mendapat pengakhiran yang baik. Tak semestinya permulaan kita baik yakni kita dilahirkan islam akan menjamin pengakhiran yang baik juga untuk kita. Semua bergantung kepada hati, amal ibadah dan ketaqwaan kita kepadaNya.

Jadilah hamba yang bersyukur 

Malulah jika kita tak mampu menjadi hambaNya yang bersyukur. Rasulullah SAW, manusia yang paling mulia di bumi Allah ini pun bersolat malam sehingga bengkak kaki dan tatkala ditanya oleh Saidatina Aishah mengapa berbuat sedemikian lantas baginda menjawab:

‘ …tidak bolehkah aku menjadi hambaNya yang bersyukur.’ 

Dan kita, aku, kamu, awak, anda bagaimana pula? Nikmat dan kurniaanNya terlalu banyak sedang dosa kita juga banyak. Astagfirullah, Astagfirullah, Astagfirullah! Sesungguhnya setiap nikmat datang bersama tanggungjawab. Setiap satunya pasti dipersoalkan bagaimanakah telah kita gunakan semua nikmat dan kurniaanNya ini. Pada jalan Allah kah atau kita menjadi pula hambaNya yang semakin jauh dariNya dengan bersifat sombong serta sangat alpa.

Jangan kufur nikmat. Semua ini hanya dipinjamkan sementara sahaja dan anytime je Allah boleh tarik balik nikmat yang ada pada kita. Ingatlah juga, setinggi mana pun pangkat dan sebanyak mana pun harta kita di DUNIA ini, kepada Allah jualah tempat kita kembali. Di dalam kain kubur berselimutkan kain putih juga akan kita huni. Hanya amal sahaja yang menjadi peneman kita. Jadi, jangan bongkak dan sombong. Siapa kita nak bongkak dan sombong, kita ini hanya hamba. Kita buat salah pun, Allah still bagi chance untuk kita bertaubat dan bagi perkara-perkara baik untuk kita. Luasnya kasih sayang Dia dan rahmatNya untuk kita. Fikir-fikirkanlah.

Pembahagian syukur 

Bagaimana cara nak bersyukur?? Syukur itu boleh dengan hati, lidah yakni lisan kita dan juga amal perbuatan kita.


  • Syukur dengan hati 
Hati yang bersyukur akan sentiasa merasakan bahawa setiap nikmat yang diperolehi adalah mutlak daripada Allah SWT bukan kerana kelebihan, ilmu atau kepandaian yang ada pada dirinya. Mereka akan sentiasa merasa malu dan ‘terhutang budi’ kepada Allah.
  • Syukur dengan lidah 
Lidah yang akan sentiasa melafazkan kalimah ALHAMDULILLAH sebagai menzahirkan erti kesyukuran terhadap nikmat yang diterima daripada Allah. Sesungguhnya Allah amat suka apabila hamba-hambaNya menzahirakn kesan nikmat yang diperoleh dengan melafazkan kalimah puji-pujian kepadaNya.
  • Syukur dengan amal 
Menggunakan segala nikmat yang diperolehi untuk beribadah dan ketaatan kepada Allah. Sebagai contoh, mensyukuri nikmat mata iaitu nikmat penglihatan dengan sentiasa digunakan untuk membaca al-Quran, menatap kitab-kitab Allah, melihat alam semesta dengan tujuan merasai kebesaran Allah dan tidak melihat perkara-perkara maksiat.

Akhir kalam, marilah kita sama-sama berusaha menjadi hamba yang bersyukur. Bersyukurlah dengan apa jua kehidupan yang kita jalani. Kita jatuh, bangunlah kerana masih ramai orang yang menyayangi dan memerlukan kita. Yakinlah bahawa langit yang gelap ini akan cerah di kemudian hari. Pandanglah ke hadapan dan jika perlu pandanglah laluan kita yang berliku di belakang sebagai pendorong kita untuk terus maju kerana ianya bukti bahawa kita telah mengharungi pelbagai pengalaman perit.

Namun kita masih mampu berdiri di dunia yang fana ini. Orang selalu kata jangan pandang orang yang lebih tinggi daripada kita tetapi pandanglah orang yang sama taraf dan lebih susah dari kita. Kerana kita akan termasuk dalam golongan orang-orang yang sentiasa bersyukur atas nikmatnya. In shaa Allah! Itu sahaja, jaga diri, jaga hati, jaga iman.

Wallahua’lam.

kredit: http://wafairdina.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...