Ukhwah Islamiyyah

Jumaat, 23 Ogos 2013

Bagaimana Kita Selepas Ramadhan?


Saudaraku yang dicintai kerana Allah, Berlalunya Ramadhan bukan beerti bebaslah kita daripada menahan diri dalam melakukan perkara yang disukai oleh hawa nafsu. Menjaga makan, minum, mata dan anggota badan yang lain daripada melakukan perkara yang boleh mendatangkan dosa tetap sama dijaga walaupun kita berada di bulan mana sekalipun. Ini jelas terakam di dalam Firman Allah SWT : “ Tidak ada suatu kata yang diucapkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang selalu siap (mencatat) “. Surah Qaf, ayat 18.

Raqib dan ‘Atiq tidak pernah berhenti daripada mengintip segala gerak geri kita untuk dilaporkan kepada Allah SWT dan kitalah yang bertanggungjawab dalam menjawab segala apa yang dicatat oleh mereka berdua. 

Syawal yang menjelma merupakah hadiah yang mahal daripada Allah SWT kepada orang-orang yang berpuasa untuk dirai dengan penuh kegembiraan kerana selama sebulan kita berjaya mendidik jiwa dan mengawal nafsu sehingga kita berjaya mendapat ijazah berpangkat “taqwa”. Sama ada semua di kalangan kita berjaya meraih pangkat tersebut atau tidak, maka yang terlebih layak untuk menjawabnya adalah diri kita masing-masing. Semoga segala amalan yang dilakukan sepanjang Ramadhan lepas mendapat nilaian yang terbaik dan diterima oleh Allah SWT.

Saudaraku yang dikasihi kerana Allah, Imam Hassan al Basri r.a ada menyebut : “ Tiadalah satu hari yang dilalui oleh seorang lelaki pada hari tersebut, akan ada seruan menyeru kepadanya dengan berkata : Wahai anak adam, aku adalah hari baru buatmu, amalanmu sebagai saksi. Maka rebutlah peluang dariku. Sesungguhnya aku tidak akan kembali lagi sehinggalah tibanya qiamat “. 

Oleh yang demikian sama-samalah kita penuhi hari-hari kita dengan amalan yang disukai oleh Allah SWT dan RasulNya agar kita tidak segan untuk kembali kepada Tuhan dengan hati yang tenang.

Latihan Bernilai 

Hari yang berlalu atas kita, sama ada sehari, dua minggu, mahupun sebulan, lalu apakah perkara yang kita isi di dalamnya? Apakah pengajaran yang kita dapat pelajari daripadanya? Sepanjang Ramadhan, kita dilatih supaya tidak makan dan minum bermula daripada terbit fajar sehinggalah terbenamnya matahari, lalu apa pula yang kita peroleh daripada peraturan ini? Sesungguhnya orang berakal ialah orang yang sentiasa menginsaf diri agar diari kehidupannya pada hari ini lebih baik daripada hari kelmarin dan diari untuk keesokan harinya terlebih baik dari hari ini.

Saudaraku yang dimuliakan Allah, Sebenarnya, latihan yang kita perolehi di bulan Ramadhan menjadikan kita lebih kuat dan tabah dalam mengharungi liku-liku sebuah kehidupan. Lapar mengajar erti kesabaran. Menjinakkan hati agar bersifat Qana’ah iaitu bersyukur dengan seadanya daripada nikmat pemberian Tuhan. Seluruh manusia mukmin menjadi sama rata. Si miskin tetap berpuasa. Si kaya juga tidak akan menjamu selera sehinggalah dikumandangkan azan maghrib, waktu untuk berbuka. 

30 Hari Sepanjang Latihan

Sepanjang 30 hari kita dilatih supaya mentaati Allah SWT. Kita berhenti daripada makan dan minum yang semuanya halal buat kita bermula terbit matahari sehinggalah tenggelamnya matahari barulah segala yang halal tadi kita kembali melakukannya. Kita makan lalu berhenti, makan kemudian berhenti sehinggalah sebulan berlalu..mengapa?

Sungguh Bulan Ramadhan telah melatih kita. Maka selepas Ramadhan seharusnya kita dapat menilai dan melihat apakah kejayaan yang kita perolehi sepanjang keberadaan kita di dalam latihan bulan yang mulia tersebut. Kenderaan yang dibaik pulih enjinnya tentu sekali meluncur lebih laju di jalan raya berbanding kenderaan yang belum dibaik pulih enjinya. Selama sebulan ‘enjin’ kita dibaik pulih, seharusnya sedikit sebanyak perlu ada perbezaan daripada sebelumnya. Tepuk dada, tanyalah Iman.


Sekiranya Quran yang mulia dapat dikhatamkan di dalam bulan mulia ini. Maka mengapa tidak dikhatamkan juga di dalam bulan-bulan yang lain. Apakah hanya Ramadhan memiliki bilangan hari yang lebih daripada bulan-bulan Islam yang lain. Atau barangkali sehari di bulan Ramadhan melebihi 24 jam??

Pemilik Ramadhan Juga Merupakan Pemilik Bagi Syawal 

Sekalian bulan mempunyai pemilik yang satu iaitu Tuhan Yang Esa. Sesiapa yang berbuat ibadat kerana Ramadhan sesungguhnya Ramadhan telah berlalu pergi, akan tapi sesiapa yang beribadat kerana Tuhan bagi Ramadhan sesungguhnya Tuhan bagi Ramadhan [Allah] itu Maha Hidup tidak akan mati.

Ketaatan Yang Berpanjangan 

Firman Allah SWT : “ Wahai orang yang beriman, taatilah kalian kepada Allah dan taatilah kalian kepada Rasul ( Muhammad SAW ) ”. Surah Annisa’, ayat 59.

Kita diperintahkan oleh Allah SWT supaya taat perintahNya dan RasulNya tanpa mengira masa dan waktu. Ramadhan mahupun bulan lain. Taat kepada Allah dan Rasul semestinya berpanjangan dan berterusan sehingga kita semua menemui Allah.

Bersegera Untuk Tunai Solat Fardhu

Selepas Ramadhan pun kita seharusnya memakmurkan masjid-masjid khususnya pada waktu solat subuh bahkan kita mesti berlumba-lumba untuk memenuhkan saf yang pertama. Namun apa yang berlaku amat menyedihkan. Kemana menghilangnya mereka-mereka yang pernah memenuhkan masjid di dalam dan perkarangan masjid? Mengapa mereka tidak solat subuh berjemaah lagi?

Saudaraku yang dikasihi kerana Allah, Jangan sekali-kali kita mencipta jawapan untuk membalas balik pertanyaan ini. Kita bangun seawal pagi di bulan Ramadhan kerana ingin bersahur supaya dapat menahan letih di siang hari sedang Nabi Muhammad SAW bersabda : “ Bersahurlah kalian semua kerana padanya ada keberkatan ”.
Siapakah yang mengejutkan kita sebenarnya di awal pagi? Tentu sekali ‘sahur’ yang mengejutkan kita. Maka apakah kita tidak lagi bangun seawal pagi kerana sesudah Ramadhan kita tidak lagi dituntut bersahur?

Alangkah ruginya kita setelah mata kita begitu senang untuk celik dan tubuh semakin mudah untuk bangkit seawal pagi untuk bersahur di bulan Ramadhan, tiba-tiba kita memanjakan diri kita semula untuk bangun seawal pagi. Sepatutnya yang mengejutkan kita seawal pagi adalah ‘solat subuh’ bukan sahur yang hanya tertumpu di bulan Ramadhan sahaja sedang solat subuh itu sehingga hujung nyawa. Motivasi yang pernah diucapkan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW : “ Barangsiapa yang solat isya secara berjemaah seumpama dia melakukan solat separuh malam, dan barangsiapa yang solat subuh secara berjemaah seumpama dia melakukan solat sepenuh malam ”

Hari Kemenangan 

Adakah Syawal yang kita rai ini untuk mereka yang tidak berpuasa di bulan Ramadhan atau untuk mereka yang tidak solat sunat teraweh atau pun untuk mereka yang tidak pernah mendekatkan diri dengan Allah? Sekali-kali tidak!!
Hari kemenangan ini adalah semata-mata untuk mereka yang berpuasa dengan penuh taat, membaca Quran dengan penuh khusyuk, dan melakukan solat teraweh sepenuh ikhlas serta mereka yang membanyakkan kebajikan pada bulan Ramadhan. Oleh yang demikian kita sepatutnya bergembira dengan ketibaan hari yang bertuah ini.

Memelihara Ketaatan 

Kita semua diumpakan seperti mereka yang melakukan haji ke Baitullah. Pergi ke Mekah dengan penuh dosa dan kembali ke desa permai dalam keadaan dosa terampun. Maka berhati-hati dalam setiap tindak tanduk kita supaya buku catatan amal kita senantiasa bersih daripada terpalit dengan dosa.

Segala Perbuatan Mesti Mengikut Niat 

Barangsiapa yang bersusah payah di dunia dan bersungguh-sungguh dalam melakukan amal ibadat kepada Allah SWT dia akan merasai kerehatan yang sebenar di akhirat kelak serta menikmati Syurga yang kekal abadi. Imam Hassan al Basri r.a pernah menyebut beberapa kalimat yang masyhur : “ Sesungguhnya Allah SWT tidak menjadikan kerehatan kepada orang mukmin kecuali di dalam Syurga ”.

Oleh itu bertakwalah kepada Allah dengan sepenuh hati, taatilah perintahNya serta tahanlah diri kita daripada menyakiti sesama Islam. Lidah begitu mudah menutur kata akan tetapi pastikan ianya bermanfaat untuk Islam. Begitu juga langkahan kaki dan hayunan tangan kita pastikan bahawa pergerakan itu mampu memberi saham dalam neraca amalan kebaikan buat kita. Insya Allah.

Saudaraku yang dicintai kerana Allah, Marilah sama-sama kita bermuhasabah dan menghitung amalan kita seharian agar kita tidak termasuk dalam golongan yang dimurkai oleh Allah SWT. Umur semakin berkurang sedang amalan tidak bertambah. Di kala peluang yang diberikan oleh Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih ini, gunakanlah sebaik mungkin dengan memperbanyakkan syukur atas segala nikmat dan bertaubat atas segala maksiat yang dilakukan secara sengaja atau tidak. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...