Ukhwah Islamiyyah

Sabtu, 12 Januari 2013

Batasan Iman Dan Kufur

















Isu "amanat" berlaku sejak tahun 1981, tiba-tiba isu ini dibangkitkan semula walaupun sudah berlalu lebih 31 tahun. Ia bukanlah sebuah amanat semata-mata, tetapi sebuah huraian ilmu yang lazimnya difahami oleh para agamawan untuk diterangkan sejelas-jelasnya kepada mad'u tentang persoalan iman dan kufur. Tidak mungkin "amanat" yang membataskan iman dan kufur, yang begitu mengangkat martabat politik Islam pada waktu itu, tiba-tiba jatuh sahamnya hari ini.

"Saudara-saudara sekalian. Kita menentang Umno, bukan kerana nama dia Umno. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.

"Percayalah saudara-saudara sekalian. Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan 'politik suku, agama suku'..." - Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Jika kita meneliti huraian tauhid - amanat - Tuan Guru Haji Abdul Hadi itu, ia tidak lain adalah "bahasa penegasan" terhadap ayat Allah Taala yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata." (Surah al-Baqarah: ayat 208)

Kekeliruan isu ini dihidupkan adalah tidak lain politik Umno untuk menimbulkan kemarahan orang-orang Melayu kepada PAS. Harapan mereka (Umno) supaya isu kafir-mengkafir menenggelamkan isu-isu rasuah, pecah amanah, korupsi dan kebejatan batang tubuh pemimpin-pemimpin Umno. Umno sedar undi Melayu perlu dipungut dengan apa cara sekalipun dengan cara mendungukan mereka terhadap persoalan akidah dan perjuangan.

Kalaulah amanat itu berbunyi, "...Barang siapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang kafir..."

Lalu kesannya wujud suasana keliru dan saling tuduh menuduh sehingga kafir-mengkafir dalam masyarakat, maka adakah perlu "kenyataan" - amanat - di atas ditarik balik demi mengelakkan pecah-belah? Jika jawapannya ya, bagaimana jika dienggani dengan hujah bahawa amanat di atas adalah sama dengan maksud ayat al-Quran dalam Surah al-Ma'idah ayat 44! 

Adakah kita akan kata, oleh kerana "ayat itu" memecah-belahkan umat Islam, maka ayat Allah ini mesti ditarik balik! Dilupuskan! Maha Suci Allah dari sifat-sifat kekurangan. Sudah pasti desakan lupus! Tarik balik! Bahaya! Pemecah belah umat! Itu bukan jawaban balas bagi orang yang beriman dengan penuh kefahaman terhadap ayat-ayat Allah. Maka setiap Muslim mesti takut untuk mendesak "amanat" yang membawa pengertian ayat al-Quran itu ditarik balik kerana ia umpama mencabar maksud al-Quran di dalam surah al-Maidah yang telah dijelaskan tadi.

Justeru apakah penyelesaian agar tuduh-menuduh yang memecahbelahkan tidak berlaku? Jawabannya hanya satu, iaitu memberikan peluang kepada Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, agar "amanat" ataupun dalam bahasa akademiknya, "huraian tauhid" itu dijelaskan, disyarahkan dan ditafsirkan. Hasil kefahaman yang bersuluh daripada tafsiran itulah, akan lenyaplah segala tuduh-menuduh yang mengelirukan, lalu terhasillah satu kefahaman yang satu terhadap amanat di atas.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang meminta siaran televisyen rasmi memberi ruang selama satu jam supaya dapat menjawab isu tersebut. Beliau juga bersedia untuk bermuzakarah dengan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) seperti yang diminta oleh Datuk Seri Rais Yatim. Cuma pertemuan tersebut perlu dirakam oleh pihak PAS sama. Sepatutnya pihak JAKIM juga perlu bersifat proaktif memanggil Tun Dr Mahathir yang mengatakan Malaikat juga membuat salah. Mana suara JAKIM dan ulama pengampu ketika Tun menyuarakan perkara yang bertentangan dengan akidah?

Jika timbul kekeliruan terhadap sesuatu kenyataan, ia mesti dipohon penjelasan, bukannya ditakwilkan nafsi-nafsi atau penafsiran syok sendiri tanpa melibatkan "orang yang tertuduh", Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Jika berlaku begitu, ia seperti orang yang mendengar satu ayat daripada al-Quran:

"Dan dari buah kurma dan anggur, kamu buat minuman yang memabukkan dan rezeki yang baik. Sesungguhnya pada perkara itu adalah tanda bagi kaum yang menggunakan akal" (Surah An Nahl : ayat 67)

Lalu tanpa penjelasan dan penafsiran yang benar, maka orang yang naif akal fikirannya mengatakan bahawa arak itu halal berdasarkan kefahaman tekstual ayat daripada surah an-Nahl di atas tanpa merujuk "Sohibul Nas" atau orang yang mempunyai pengetahuan tinggi dalam ilmu tafsir.

Maka, pentakwilan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) terhadap kenyataan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang adalah sangat tidak tepat kerana menganggap kenyataan beliau (Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang) membawa kepada kepercayaan sesat dalam kalangan masyarakat, antaranya yang didakwa oleh MAIK bahawa "amanat" tersebut membawa:

1. Kepercayaan bahawa tidak sah solat yang diimamkan orang Umno.
2. Kepercayaan bahawa haram makan sembelihan orang Umno.
3. Kepercayaan bahawa tidak sah pernikahan yang dijalankan oleh kadi atau imam yang dilantik Umno dan pasangan yang terlibat perlu dinikahkan kembali dengan segera.
4. Kepercayaan bahawa terfasakh pernikahan dengan pasangan yang menyokong Umno.
5. Kepercayaan bahawa jenazah orang Umno tidak perlu disembahyangkan sepertimana orang kafir atau murtad.
6. Kepercayaan bahawa tidak boleh membenarkan orang Umno melakukan sembahyang jenazah ke atas orang PAS / Islam.
7. Kepercayaan bahawa tidak boleh mengebumikan orang Umno di tanah perkuburan Islam.
8. Kepercayaan bahawa ibadah orang Umno tidak diterima Allah.

Sedangkan yang disebut oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tiada langsung kenyataan yang mengkafirkan Umno. Yang disebut oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tidak salah dari konsep "da'ie wa mad'u" - pendakwah dan orang yang di dakwah -. Sebagai contoh seorang yang menegur bahawa, "Orang tidak sembahyang adalah perbuatan yang menjatuhkan diri ke lembah kekafiran", sangat berbeza dengan kenyataan orang yang mengatakan, "si fulan - si fulan itu kafir". Perbahasan ini akan lebih jelas difahami jika kita menghadami perbahasan Imam Yusuf Al Qaradawi di dalam bukunya "Zohirotu al Ghuluww fi Takfir", bahawa terdapat perbezaan antara orang yang mentakwilkan perbuatan kafir dengan menuduh orang kafir.

Pentakwilan "dungu" MAIK dalam memahami petikan bernas Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sangat mengecewakan apabila intitusi yang sepatutnya menguasai hal ehwal agama berakal naif. Tafsiran MAIK ibaratnya kisah tentang guru yang begitu dedikasi mengajar anak-anak murid tentang bahayanya minuman keras. Guru tersebut telah mengambil dua ekor cacing yang hidup, sebagai sampel kehidupan dan dua gelas minuman yang masing-masing berisi dengan air mineral dan arak.

"Cuba perhatikan murid-murid. Lihat bagaimana saya akan memasukkan cacing ini ke dalam gelas, perhatikan betul-betul. Cacing yang sebelah kanan saya, akan saya masukkan ke dalam air mineral manakala cacing yang sebelah kiri saya akan masukkan ke dalam arak. Perhatikan betul-betul."

Semua anak murid tertumpu pada kedua-dua ekor cacing itu. Seperti dijangkakan, cacing yang berada dalam gelas yang berisi air mineral itu berenang-renang di dasar gelas, manakala cacing yang berada di dalam arak menggeletek lalu mati. Sang guru tersenyum lebar, apabila melihat anak-anak muridnya memberikan sepenuh tumpuan pada ujikajinya.

"Baiklah murid-murid, apa yang kamu dapat belajar dari ujikaji yang saya tunjukkan sebentar tadi?"

Dengan penuh yakin anak-anak muridnya yang naif pentakwilannya mengatakan, "Untuk mengelakkan kecacingan, minumlah arak..."

Sedangkan tujuan eksperimen yang dinyatakan oleh sang guru itu tadi bertujuan sebaliknya. Begitulah "amanat tuan guru" yang menimbulkan kehangatan. Ia sebuah amanat yang pendek yang dipetik daripada ceramah tuan guru yang panjang, lalu ditulis dan disebarkan. Ada yang faham dengan mudah dengan makna tauhid yang mendalam, ada juga orang yang perlukan penjelasan.

Sebagai bukti wujudnya ribuan kitab tafsir dan syarahan oleh para ulama mufassirin kita di sepanjang zaman di dalam menjelaskan maksud daripada petikan-petikan ayat al-Quran, al-hadis, athar dan kata-kata hikmat pujangga Islam. Maka memohon hak untuk menjelaskan maksud huraian "amanat" oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang adalah benar dan hak di atas hak.

Siapa Yang Mempertahankan Haknya, Matinya Mati Syahid 

Berkenaan mati syahid, hadis Nabi Muhammad SAW jelas memperlihatkan bahawa seseorang itu boleh dianggap mati syahid, meskipun kematiannya bukan di medan peperangan antara orang Islam dengan orang kafir. Nabi SAW bersabda (maksudnya), "Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan hartanya, maka dia (mati) syahid, sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan darahnya (nyawanya), maka dia (mati) syahid. Sesiapa yang mati mempertahankan agamanya, maka dia (mati) syahid. Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan keluarganya, maka dia (mati) syahid."

Hadis ini direkodkan oleh Abu Daud, Nasa'ie, Ibnu Majah dan Tirmizi. Imam Tirmizi menilainya hasan sahih, manakala Syaikh Nasiruddin Albani menilainya sahih (dalam Sahih al-Targhib Wa al-Tarhib)

Ringkasnya, "mati syahid" dalam hadis ini adalah kematian yang berlaku ekoran perjuangan mempertahankan harta, nyawa, agama atau kaum keluarga, bukannya kematian yang disebabkan oleh peperangan terhadap orang kafir semata-mata. Justeru, dakwaan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa mati syahid sesiapa yang mati dalam perjuangan menentang Umno, tidak boleh dijadikan tapak yang kukuh untuk melancarkan dakwaan bahawa beliau telah mengkafirkan Umno.

kredit: tarbawi

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...