Ukhwah Islamiyyah

Khamis, 26 Julai 2012

Puasa Wasilah Taqwa

بسم الله الرحمن الرحيم


ALHAMDULILLAH, marilah sama-sama kita memanjatkan rasa kesyukuran kita kepada Allah SWT kerana pada detik ini, pada saat ini kita masih lagi hidup. Darah kita masih mengalir, nadi kita masih berdenyut, nafas kita masih terus turun dan naik, kita masih lagi mampu untuk menatap wajah insan-insan yang kita kasih dan sayang, kita masih hidup.

Bagaimanapun akan datang satu masa, satu saat, kita akan dimandikan, dikafankan, disembahyang, diusung ke tanah perkuburan oleh orang dan kemudian ditinggalkan di dalam tanah, bersendirian.

Hakikatnya, mati bukan noktah kepada kehidupan. Sesungguhnya dengan mati bermulalah kehidupan kita. Kehidupan yang lebih hakiki. Kehidupan yang lebih abadi. Apa yang akan berlaku ke atas kita pada kehidupan kita yang satu lagi itu bergantung bagaimana kehidupan kita di atas dunia ini. Kalau padi yang kita tanam, padilah yang kita akan tuai. Tapi kalau lalang, maka lalanglah yang kita akan dapat.

Rasulullah SAW menegaskan bahawa sebaik-baik bekal adalah takwa. Sesungguhnya orang yang paling mulia di kalangan kita pada sisi Allah adalah orang yang bertakwa.

Maka Allah SWT mendatangkan bulan Ramadan. Di mana dengan kita berpuasa, kita akan menjadi orang yang bertakwa. (rujuk al-Baqarah: 183)

Walau bagaimanapun, Allah meletakkan di dalam ayat tadi perkataan la al la yang bermaksud, mudah-mudahan. Maka dengan itu, belum tentu dengan kita berpuasa, takwa akan dapat dibina dan dijana. Ini adalah kerana sejauhmana takwa akan terbina adalah bergantung kepada kualiti puasa kita.

Sebab itu sabda Nabi SAW: "Ramai umat aku berpuasa, tetapi mereka hanya dapat lapar dan dahaga sahaja."

Maka penting untuk kita sama-sama muhasabah diri. Bagaimanakah mutu puasa kita selama ini? Marilah kita jadikan bulan Ramadan tahun ini adalah bulan Ramadan yang terbaik daripada sebelum ini.

Dalam kehidupan ini penting untuk kita mempunyai matlamat yang jelas. Sebab itu dalam konteks organisasi kita ada visi dan misi. Dalam konteks individu pun kita ada penyata wawasan.

Dalam konteks puasa yang kita jalani, melalui ayat tadi kita boleh bentuk satu objektif iaitu setelah menjalani ibadah puasa selama sebulan dalam bulan Ramadan, di akhirnya orang-orang yang beriman akan menjadi orang yang bertakwa.

Allah SWT dengan sifat kasih sayangNya telah mendatangkan dalam bulan Ramadan modul-modul khusus untuk menjadi pemangkin ke arah penjanaan budaya hidup orang bertakwa dalam kehidupan kita.

kredit: Naim Qlate

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...