Ukhwah Islamiyyah

Sabtu, 7 Julai 2012

MEREKA YANG PALING DAHSYAT MEMUSUHI ISLAM

بسم الله الرحمن الرحيم


Alhamdulillah hari ini saya ingin kongsikan ilmu yang diperolehi semasa mengikuti kuliah maghrib beberapa hari lepas di Masjid An-Nahdhah, Shah Alam. Iaitu tafsiran ayat pertama dari juzuk ke 7, iaitu ayat 82 hingga 86 Surah Al Maidah.

Ia merupakan ayat-ayat yang sangat penting dalam membicarakan tentang permusuhan dan persahabatan kaum lain dengan umat Islam. Dalam ayat 82, Allah menjelaskan bahawa golongan yang paling dahsyat dalam memusuhi orang-orang yang beriman ialah kaum Yahudi dan golongan musyrikin.

لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِّلَّذِينَ آمَنُواْ الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا

“Demi sesungguhnya kamu akan dapati manusia yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang yang mensyirikkan (Allah).” Sememangnya kejahatan golongan Yahudi tidak ada tolok bandingnya dalam catatan sejarah. Bermula dengan pendustaan mereka terhadap nabi-nabi Allah yang diutus dari kalangan bangsa mereka sendiri, hinggalah kepada usaha jahat mereka membunuh para nabi dan cubaan-cubaan untuk membunuh Nabi Muhammad SAW.

Ibnu Murdawaih meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW pernah bersabda: ما خلا  يهودى بمسلم قط إلا همّ بقتله “Apabila seorang Yahudi bersama dengan seorang Islam, maka pastinya dia akan berazam untuk membunuh orang Islam itu.”

Mereka juga telah mengkhianati perjanjian yang mereka buat dengan Nabi SAW ketika mendirikan kerajaan Islam Madinah. Mereka bekerjasama dengan kaum Musyrikin untuk memerangi Nabi dan umat Islam di Madinah. Peperangan Ahzab (Khandaq) menyaksikan pengkhianatan paling nyata.

Para mufassirin menyatakan bahawa sepanjang dakwah Rasulullah SAW, baginda terpaksa berhadapan dengan musuh yang paling jahat dan paling kuat mengganggu baginda iaitu Yahudi di Madinah dan kaum musyrikin di Makkah dan Taif.

Seterusnya Allah menjelaskan bahawa golongan yang paling baik dan mesra dengan orang-orang yang beriman ialah kaum Nasara. وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُمْ مَّوَدَّةً لِّلَّذِينَ آمَنُواْ الَّذِينَ قَالُوَاْ إِنَّا نَصَارَى

“Dan kamu akan dapati golongan yang paling dekat mawaddahnya dengan orang-orang beriman ialah mereka yang berkata, sesungguhnya kami adalah kaum Nasara...”

Ini adalah kerana mereka mendapat bimbingan daripada para ulama’ mereka yang digelar sebagai Qissisin dan para ahli ibadat yang dikenali sebagai Ahbar yang sentiasa merendah diri. Mereka adalah pengikut Nabi Isa yang berpegang kepada Injil. Hati mereka sangat mulia menyebabkan apabila mereka mendengar perkhabaran Al Quran mengenai Isa AS, mereka bisa menitiskan air mata. Mereka lantas berikrar menyatakan keimanan kepada Allah serta berazam untuk menjadi orang-orang yang soleh (ayat 83 dan 84).

Atas dasar ini, maka Islam menetapkan jika berlaku peperangan antara orang Islam dan Kristian, maka tidak dibenarkan merobohkan gereja dan rumah ibadat mereka. Memusnahkan rumah ibadat hanya akan meningkatkan permusuhan, kebencian dan dendam kesumat. Sebaliknya apabila dihormati rumah ibadat mereka, mudah-mudahan akan terbuka pintu hati mereka untuk menerima Islam.

Ini yang berlaku di zaman Rasulullah SAW. Apabila tawanan Kristian diberi layanan yang baik, akhirnya mereka secara sukarela memeluk Islam, termasuk anak kepada ketua mereka yang terbunuh iaitu Adi bin Hatim At To’i.

Kebanyakan para mufassirin berkata, ayat-ayat ini turun menceritakan perihal Ashamah yang menjadi raja Habasyah dengan gelaran Najasyi. Baginda memberi layanan yang baik kepada para sahabat Rasulullah SAW yang meminta suaka politik daripadanya. Apabila Jaafar bin Abi Talib membaca surah Maryam di hadapannya, Najasyi menangis dan turun dari singgahsananya.

Said bin Jubair berkata, Najasyi mengutus 30 orang pembesarnya bertemu dengan Rasulullah SAW. Apabila baginda membaca surah Yasin di hadapan mereka, mereka menangis dan berkata, “Hampir-hampir sama ayat-ayat ini dengan apa yang diturunkan kepada Isa.”

Imam At Tabari berkata, ayat-ayat ini bukan sahaja untuk Najasyi, bahkan semua golongan Nasara yang baik dan yang menerima Islam.

 َتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِّلَّذِينَ آمَنُواْ الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُواْ وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُمْ مَّوَدَّةً لِّلَّذِينَ آمَنُواْ الَّذِينَ قَالُوَاْ إِنَّا نَصَارَى ذَلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لاَ يَسْتَكْبِرُونَ {5/82} وَإِذَا سَمِعُواْ مَا أُنزِلَ إِلَى الرَّسُولِ تَرَى أَعْيُنَهُمْ تَفِيضُ مِنَ الدَّمْعِ مِمَّا عَرَفُواْ مِنَ الْحَقِّ يَقُولُونَ رَبَّنَا آمَنَّا فَاكْتُبْنَا مَعَ الشَّاهِدِينَ {5/83} وَمَا لَنَا لاَ نُؤْمِنُ بِاللّهِ وَمَا جَاءنَا مِنَ الْحَقِّ وَنَطْمَعُ أَن يُدْخِلَنَا رَبَّنَا مَعَ الْقَوْمِ الصَّالِحِينَ {5/84} فَأَثَابَهُمُ اللّهُ بِمَا قَالُواْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَذَلِكَ جَزَاء الْمُحْسِنِينَ {5/85} وَالَّذِينَ كَفَرُواْ وَكَذَّبُواْ بِآيَاتِنَا أُوْلَئِكَ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ {5/86}

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...