Ukhwah Islamiyyah

Sabtu, 11 Jun 2011

Empati Terhadap Dakwah

سم الله الرحمن الرحيم


Setiap orang Islam adalah juga seorang pendakwah yang mesti menyeru kepada Islam. Daripada begitu ramai Umat Islam yang berada di atas muka bumi ini, hanya sedikit sekali yang benar-benar memahami akan tuntutan untuk berdakwah. Sedikit pula daripada yang faham itu yang benar-benar menjadikan dakwah sebagai misi besar dalam hidupnya. Daripada golongan ini, ada yang tetap teguh dengan misinya dan bergelumang saban hari demi melaksanakan kewajipan tersebut, ada yang selalu lalai daripada tanggungjawabnya.

Kita, berada dalam golongan yang mana? Adakah kita merasa cukup dengan berpesan kepada teman-teman yang aktif berdakwah, “bagus kerja kalian ini, saya suka dan seronok tengok kalian menyeru orang ke arah kebaikan”, lantas kita berlalu menjalani hidup dengan penuh keselesaannya?

Allah tidak memerlukan simpati kita. Tanpa kita memberikan rasa simpati, Islam tetap akan dimenangkan. Allah pasti memilih golongan yang benar-benar qowi (kuat) untuk menggalas misi dakwah yang sifatnya berterusan sampai ke hari kiamat. Adapun golongan-golongan yang bersimpati, harus terus dibina agar mereka menjadi sebahagian daripada angkatan dakwah menuju Allah.

Tidak keterlaluan jika seseorang yang bersimpati terhadap dakwah, akan berlepas tangan daripada segala tugas-tugasnya. Namun, adalah keterlaluan jika seorang da’i yang memilih jalan dakwah, untuk sekadar merasa simpati tanpa ingin terlibat secara aktif dan bersungguh-sungguh. Ibarat sebuah permainan bola. Adalah wajar jika seorang peminat atau penonton hanya sekadar melihat dan memberikan komen-komennya terhadap sepak terajang yang berlangsung di dalam padang. Namun, adalah sesuatu yang sangat tidak boleh diterima apabila pemain yang berada di dalam padang memilih untuk berpeluk tubuh, membiarkan bola dikuasai musuh dan teman sepasukannya dibelasah sedang dia hanya mampu berkata, “kejar bola, kejar bola!”

Empati, sesuatu yang harus ada dalam diri sesiapa sahaja yang memilih jalan dakwah. Kita harus melihat kerja dakwah sebagai orang yang berada dalam wilayahnya, bukan di luar. Maka, apabila kita merasakan ada tugas dakwah yang harus dilaksanakan, kita segera bangun bersuara, “apa yang boleh saya bantu? Saya bersedia memberikan yang terbaik daripada apa yang saya ada!”

Rugilah orang yang mengabaikan sebuah anugerah yang telah Allah kurniakan kepadanya, menyandang misi dakwah yang ganjarannya tak bisa dinilai dengan apa saja.

Masihkah kalian mahu mengatakan, “Silakan lakukan tugas kalian, saya tidak ada kena mengena selama itu tidak terkait dengan kepentingan saya”.

Semoga Allah tidak memalingkan kita setelah Dia memberi hidayah, dan memberikan taufik kepada kita untuk bersama-sama menjadi tenteranya.

Kepada kalian, jundi (tentera) dakwah yang selalu suka bersimpati, atau bahkan suka diberikan simpati, apakah kalian yakin bahawa syurga itu adalah untuk kalian? Bekerjalah, Allah akan melihat kerja-kerja kita.

"...Maka tatkala mereka berpaling (dari kebenaran), Allah memalingkan hati mereka..." (As-Saff: 5)

Persiapan Pendakwah

Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.

(Surah al-Anfal: 60)

Pendidikan dan latihan yang lengkap dan menyeluruh (tarbiyyah syumuliyyah)

  1. Latihan meningkatkan keimanan seperti solat malam, bacaan al-Quran dan zikrullah.

  2. Latihan meningkatkan keilmuan seperti menyambung pengajian sama ada secara formal atau tidak formal.

  3. Latihan meningkatkan kekuatan fizikal seperti latihan fizikal secara outdoor.

  4. Latihan pengukuhan emosi dengan meningkatkan kefahaman tugas dan tanggungjawab, keikhlasan dalam melaksanakan tugas, sanggup berjihad dan sebagainya.

Dakwah adalah cara hidup dan menjadi darah daging kita semua. Pengurusan dakwah secara lebih terancang dan sistematik merupakan aspek yang sangat penting dalam menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...