Ukhwah Islamiyyah

Khamis, 5 Mei 2011

Makanan Paling Sedap Di Dunia

سم الله الرحمن الرحيم



Ibu, bukan yang boleh kita biasa-biasakan dalam kehidupan kita.

Artikel ini telah lama saya tulis tetapi sengaja saya kongsikan semula untuk kita belajar menghargai insan yang terlalu banyak berjasa kepada kita. Saya juga bukanlah orang yang suka merayakan hari ibu setahun sekali kerana sepintas lalu sejarah hari ibu ini tidak ada kaitan sangat dengan Islam dan pula bagi saya, setiap hari adalah hari ibu. Namun memandangkan saat ini ramai yang berkongsi dan mencari bahan berkaitan ibu maka saya mengambil kesempatan ini untuk berkongsi pengalaman dan perasaan saya sendiri mengenai Insan Teristimewa ini. Pengorbanan mereka untuk kita bukan untuk diingati setahun sekali sahaja tetapi dalam setiap detik waktu yang kita lalui.

Ketika saya sedang membasuh tangan di sinki tiba-tiba pandangan saya tertumpu kepada beberapa sikat pisang awak yang sedang mula masak. Ketika itu saya teringat kata-kata abang sulung saya beberapa bulan yang lepas. “Arwah mak dulu selalu goreng pisang awak yang baru-baru nak masak, selalunya mak akan belah dan goreng tanpa tepung, memang sedap” kata abang saya. Saya memang sering teringatkan pisang goreng ‘special’ yang disebutkan oleh abang saya itu, cuma saya tidak tahu bagaimana nak masakkannya. Mungkin pada masa itu saya masih kecil…hanya tahu makan saja. Tak teringat pula saya nak tanyakan resepinya pada abang-abang atau kakak saya.

Saya pun cepat-cepat basuhkan tangan saya dan terus mencapai pisau dan mula mengupas pisang awak yang masih separuh masak itu. Kebetulan minyak lebihan goreng cempedak semalam masih di dalam kuali jadi sayapun terus nyalakan api dapur. Kerjanya memang cukup mudah. Pisang awak separuh masak itu cuma perlu dibuang kulit dan dibelah dua, tak perlu bancuh tepung, goreng terus saja sampai warnanya menjadi coklat gelap.

Apabila pisang mula dimasukkan ke dalam kuali saya mula hilang sabar. Rasa terlalu lama menunggu pisang itu untuk diangkat. Apabila pisang itu siap digoreng saya pun ambil beberapa sudu gula sebagai bahan pencicah. Sayapun bawa pinggan tersebut dan letakkan disebelah computer , “boleh makan sambil buat kerja” fikir saya di dalam hati.

Apabila suapan pertama menyentuh mulut saya, saya mula terbayang wajah arwah ibu saya. Satu persatu kenangan bersamanya muncul semula hingga akhirnya saya sibuk membayangkan saat-saat saya bersamanya. Sekejap saya tersenyum sendirian, sekejap saya menangis mengenangkan insan yang cukup saya sayangi itu.

Ibu saya memang tidak sehebat saidatina Khadijah atau mungkin Nusaibah yang mengorbankan dirinya untuk Rasulullah SAW yang selalu saya sebutkan pada pelajar-pelajar saya tetapi ibu saya sehebat seorang ‘ibu’. Jiwanya penuh dengan kasih sayang dan kesabaran. Ya, kasih sayang dan kesabaran itulah modal untuk dia membesarkan kami sembilan beradik dengan kehidupan serba susah dan miskin.

Setiapkali saya cuba membayangkan wajahnya, saya akan terbayangkan wajahnya yang penuh ketabahan. Dia sering termenung tetapi wajahnya membayangkan ketabahan jiwanya berdepan dengan kesusahan hidup, ketegasan pada wajahnya menggambarkan semangat dan keazamannya yang tinggi. Wajah ini sering terbayang diwajah saya kerana saya memang tidak memiliki gambarnya jadi apabila teringatkannya saya akan cuba bayangkan wajahnya.

Ibu saya jarang memukul saya, sekiranya saya melakukan kesalahan dia lebih suka mencubit. Tetapi bukan cubitannya yang memberi bekas pada hati saya tetapi ketegasan pada wajahnya yang menggambarkan harapannya agar anak-anaknya menjadi seorang insan yang baik. Sekali sekala dia pukul saya dengan tangannya tetapi pergerakan tangannya nampak kaku…seperti robot, saya tahu bahawa dia cuba untuk mengawal tangannya agar tidak menyakiti anaknya. Yang dia inginkan ialah anaknya menjadi baik bukan untuk menyakitinya. Seingat saya ibu saya tidak pernah memukul saya dengan wajah yang bengis dan penuh kebencian. Dan seingat saya saya tidak pernah tersinggung dengan kemarahan, cubitan atau pukulannya. Daripada wajahnya dia berjaya meyakinkan saya bahawa semua tindakannya itu dilakukan semata-mata kerana kasih sayangnya bukan kebencian.

Satu peristiwa yang sering bermain diingatan saya ialah ketika mana saya diminta untuk menghantar nasi bungkus (daun pisang) ke kedai, jualan nasi ini menjadi sumber utama untuk kami hidup membesar disamping sedikit wang yang dikirimkan oleh ayah saya yang ketika itu bekerja sebagai pemandu lori di Kuala Lumpur. Untuk buat nasi lemak ini memang emak saya belikan beras yang khas dari kedai kerana beras yang ada dirumah kami adalah beras zakat yang diberikan orang kampung kepada kami. Jadi beras yang dirumah itu memang emak saya tidak gunakan untuk buat nasi lemak untuk dijual. Ketika memberikan nasi lemak itu kepada saya, emak saya berpesan seperti biasa “jangan main-main, nanti tumpah. Inilah yang kita ada untuk belanja Mi dan abang-abang pergi sekolah”. Saya ni memang banyak bermain, kurang fokus dan agak lincah, ketika itu saya baru saja tahun satu atau dua.

Seperti biasa ketika turun dari tangga rumah saya akan melangkah lebih dari satu anak tangga kerana nak cepat, lepas tu boleh pergi main. Ketika itulah ditakdirkan Allah tiba-tiba kaki saya tersangkut dan terjatuh. Walaupun tidak tinggi tetapi habis nasi lemak yang saya bawa itu terkeluar dari bakul yang saya pegang hingga nasi-nasi itu berselerakan di atas lantai. Ketika itu saya tidak dapat lagi menahan air mata, bukan kerana sakit tetapi kerana saya rasa benar-benar bersalah. Dalam hati saya, saya sanggup menerima apa saja hukuman dari ibu saya kerana saya tahu hasil jualan nasi inilah yang kami ada untuk menunggu kiriman wang dari ayah saya. Ketika ibu saya sampai, saya memandang wajahnya sambil menahan air mata saya. Memang saya bertekad untuk menerima apa saja hukuman dari ibu saya. Tetapi apa yang paling menyentuh hati saya bahkan hingga kehari ini, ibu saya sedikitpun tidak menunjukkan wajah marahnya. Dia bercakap dengan nada perlahan “kan tadi mak dah kata, bawa elok-elok nanti tumpah”. Walaupun ayat itu terlalu pendek untuk kesalahan yang saya rasakan terlalu besar tetapi kata-kata itu cukup memberi kesan kepada hati saya kerana saya sudah cukup bersedia untuk dimarahi, sebaliknya ibu saya menegur dengan penuh kelembutan.

Goreng pisang yang saya makan hari ini memang terlalu istimewa, semakin saya makan saya semakin hanyut di dalam kenangan saya bersama ibu tercinta. Seolah terdengar-dengar panggilannya. Saya memang terlalu banyak kenangan bersama ibu saya, mungkin kerana kemiskinan menyebabkan pergerakan saya agak terbatas. Kemana saja saya nak keluar mesti dengan keizinan ibu saya. Saya pun tak pernah rasa terkongkong dengan peraturan ini. Memang saya faham orang miskin seperti kami ini memang cepat difitnah. Kalau ada kecurian tentulah kami yang akan terima cemuhannya kerana ‘orang kaya tak akan mencuri”. Pernah suatu maghrib seorang nenek tua datang bercekak pinggang di depan rumah kami dengan berbagai sumpah seranah kerana katanya, abang saya telah ajar cucunya jadi jahat. Bermacam makian dan sumpah seranah yang hinggap ketelinga kami. Tetapi ibu saya tetap tenang dan tidak menjawab. Peristiwa-peristiwa ini menjadikan saya lebih kenal kehidupan walaupun pada masa itu saya masih terlalu muda. Kemana saja saya nak pergi, saya akan minta keizinannya terlebih dahulu. Sikap ini menjadi sebahagian dari diri saya hinggakan saya masuk ke tingkatan 6 pun saya masih terbiasa keluar dengan keizinannya.

Ibu saya memang pandai menyembunyikan kesedihannya, segalanya dihadapi dengan wajah tenang dan bersemangat. Pernah satu ketika, ibu saya terpaksa hidangkan kami nasi berlaukkan garam. Dengan wajah yang ceria ibu saya mulakan ceritanya “Emak dulu masa kecik-kecik kami adik beradik selalu lumba makan. Mak dengan adik beradik mak akan gaulkan nasi dengan garam, kemudian kami gumpalkkan nasi tu bulat-bulat, kemudian kami susun dalam pinggan. Kamipun bilang satu, dua dan tiga….kami pun lumba makan sapa yang habis dulu.” Saya dan adik saya pun cepat-cepat gaulkan nasi dan garam kemudiannay kami gumpal-gumpalkan jadi bulatan. Ketulan-ketulan nasi yang seperti bola itupun kami susun sama banyak di dalam pinggan. Setelah semuanya bersedia, ibu sayapun mula membilang “Satu, dua….tiga” Saya dan adik saya terus berlumba makan hingga tidak ada satu biji nasi pun yang berbaki. Ketika itu saya memang rasa seronok tetapi kini, apabila saya ada anak sendiri barulah saya mulai faham perasaan ibu saya pada masa itu. Dia sembunyikan segala kesedihannya demi untuk anak-anaknya.

Saya masih ingat ketika saya mula masuk darjah 1 (tahun 1). Ibu saya tunggu berhampiran pintu kelas dari pagi hinggalah waktu pulang sekolah pada tengaharinya. Saya masih terbayangkan senyumannya ketika cikgu saya mengajar kami membuat bulatan. Memang persekolahan dulu terlalu berbeza dengan sekarang. Kalau dulu…semasa darjah satu itulah baru kami belajar pegang pensil. Biasanya pelajaran pertama ialah buat bulatan. Saya pun cuba untuk buat sebulat mungkin tetapi bulatan saya tidak juga sempurna, ketika itu ada seorang pakcik yang juga sedang menunggu anaknya dikelas yang sama berkata ‘Amboi! Pandainya adik ni lukis buah mempelam.” Saya pun terlalu gembira dan berlari keluar untuk tunjukkan pada ibu saya, sambil tersenyum dia memuji-muji saya hingga saya rasa cukup gembira untuk kesekolah lagi dihari seterusnya.

Dalam ceramah-ceramah atau program muhasabah yang saya kendalikan, saya selalu mengingatkan atau mungkin mengancam peserta-peserta bahawa apa yang kita lalui dalam kehidupan kita akan tersimpan di dalam ingatan. Mungkin kita rasakan kita sudah lupa pengalaman kita masa kecil, masa tahun satu dan sebagainya. Sebenarnya semua itu tersimpan kemas di dalam fikiran kita cuma kita tidak ada cukup kekuatan untuk menggali keluar segala kenangan itu. Apabila orang-orang yang kita sayangi meninggalkan kita maka kita akan ingat semula terutamanya saat-saat manis dan saat kita melukakan hati mereka.

Apabila saya sudah biasa ke sekolah ibu saya tidak lagi menemani saya ke sekolah. Setiap pagi ibu saya akan tunggu bas ditepi jalan. Biasanya saya ke sekolah sebelum subuh. Setiap pagi saya akan menaiki bas kilang kerana tambangnya cuma RM0.00 (percuma). Bas itu hanya untuk mengangkut pekerja-pekerja kilang yang berulang alik dari Batu Kurau ke Taiping. Bas itu akan lalu dikampung saya biasanya pukul 4 lebih untuk masuk kependalaman yang paling hujung dan dalam perjalanan itu bas itu akan melalui sekolah saya. Selepas subuh bas itu akan berpatah balik untuk mengambil penumpang disepanjang jalan ke Taiping. Kadang-kadang saya terlewat bangun jadi ibu saya akan tahan kereta guru yang lalu di depan rumah kami. Kadang-kadang saya tak sempat sarapan dirumah jadi sayapun bersarapan di dalam kereta tetapi sekalipun saya tak pernah pelawa guru-guru dikiri kanan saya(itulah budak-budak). Ketika pulang biasanya saya akan jalan kaki lebih kurang 6 atau 7 kilometer. Bukan tidak ada duit intuk bayar tambang (Pada masa tu hanya 10 sen sahaja) Cuma saya rasa terlalu berharga untuk belanjakan hasil titik peluh ibu saya itu untuk keselesaan diri sedangkan saya mampu berjalan kaki. Kadang-kadang ibu saya marah juga kerana selalu balik jalan kaki.

Setiap pagi sebelum menaiki bas atau kereta guru untuk ke sekolah ibu saya selalu berpesan “Mi belajar rajin-rajin biar berjaya. Mak tak mau anak mak nanti hidup susah macam mak. Biar mak cukuplah yang hidup susah”.

Ketika saya di sekolah menengah, setiap kali pulang kerumah dengan basikal, saya sering menangis sambil berdoa agar Allah memberi kesempatan untuk saya membalas budi bonda tercinta namun Allah SWT lebih mengetahui. Ibu saya meninggal ketika saya masih lagi belajar di ITM (Sekarang UiTM) Perlis.

Setelah hidup selama 37 tahun, hari ini saya telah menjamah makanan yang paling sedap di dunia. Setiap keping yang saya jamah adalah warna warni pengorbanan seorang insan yang bernama ibu. Rasanya ialah pahit manis serta susah payahnya untuk membesarkan anak-anaknya bermodalkan harapan dan kasih sayang.

Bagi yang masih memiliki kedua ibu bapa hargailah mereka ketika mereka masih disisi kita. Awasilah diri dari kelalaian dan janganlah menghitung nikmat-nikmat yang telah hilang sedang kita masih ada peluang dan kesempatan.

Saya tidak menafikan ibu dan ayah kita juga manusia biasa, kadang-kadang mereka melakukan kesalahan namun kesalahan yang mereka lakukan itu tidak layak dibandingkan dengan pengorbanan mereka untuk melahirkan dan membesarkan kita. Gembirakanlah mereka ketika bibir mereka masih boleh mengukirkan senyuman bukan ketika kita hanya memiliki gambar yang kaku dari kerdipan mata dan senyuman. Bahagiakanlah jiwa mereka ketika mereka masih disisi kita bukan ketika mereka telah pergi meninggalkan kita dengan jiwa yang hampa dan kecewa.

sumber: http://langitilahi.com/2011/05/03/makanan-paling-sedap-di-dunia/#more-2114

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...