Penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW bukan sahaja berlaku semasa hayat baginda semata-mata, malah ia berterusan walaupun sesudah kewafatan baginda, bahkan sesudah lebih dari 1,400 tahun.
Kebencian musuh Islam terhadap Islam bukan sahaja ditumpukan kepada umat Islam, tetapi lebih utama lagi ditumpukan kepada teraju utamanya iaitu Nabi Muhammad SAW. Baginda SAW terus dihina dan dicaci oleh para musuhnya. Ia juga sebenarnya merupakan satu ujian kepada umat Islam, umat Baginda SAW. Bagaimanakah tindakan dan reaksi mereka apabila nabi mereka atau agama mereka dihina?? Apakah hati masih ada iman yang akan terasa ‘sakit’nya atau hanya diam sahaja tanpa endah apa-apa?
Dari satu sudut yang boleh diambil pengajaran, kita sewajarnya dapat mendidik diri kita sendiri dengan sifat tabah dan sabar sekiranya menerima cacian dan makian. Jika Junjungan Nabi SAW yang merupakan kekasih Allah SWT sendiri menerima penghinaan dan cacian daripada musuh-musuhnya, maka apa sangatlah diri kita jika menerima penghinaan dan cacian daripada orang lain. Maka bersabarlah serta berihtisab...
Namun, berasa marah kerana Allah Taala dalam isu ini adalah wajib ke atas setiap umat Islam.
Para ulama bersepakat, hukum ke atas orang yang menghina dan mencaci Nabi SAW ialah hukuman bunuh. Namun, tanggungjawab perlaksanaannya adalah di tangan pemerintah, bukannya di tangan orang awam.
Benar kita rasa marah, namun atas dasar apa kita rasa marah? Aku tak sokong kita berdiam diri bila Nabi dihina begitu tapi aku tetap juga tak sokong apabila bantahan dibuat mengikut nafsu marah hingga membahayakan orang lain. Saidina Ali pun dalam peperangan bila diludah, dia tak jadi bunuh musuh sebab takut salah niat bunuh kerana rasa marah.
Jangan terperangkap dalam perencanaan musuh. Benda-benda macam ini yang kita panggil provokasi untuk menarik perhatian orang Islam supaya bertindak sebab mereka boleh baca yang umat Islam tak akan berdiam diri. Demo dah buat, jangan berhenti sampai di situ saja. Masa inilah untuk kita pula mempromosikan Islam lebih dari mempromosikan negara dan negeri. Promosikanlah keindahan Islam itu dari sudut penulisan, perbuatan dan pergaulan seharian kita.
Bila Islam kuat dipromosikan lebih dari semangat-semangat yang tak berunsurkan Islam, maka orang akan tertarik dengan Islam sekaligus menjadi sebab ramainya orang kembali kepada agama fitrah ini. Moga kita semua beroleh manfaat.
Saya kongsikan sebuah entri lama dengan sedikit tambahan untuk kita renungi...
Kronologi Penghinaan Terhadap Rasulullah SAW :
Artikel oleh: lead88
.:: 1988 ::.
Salman Rushdie menghina Nabi saw dalam karyanya “The Satanic Verses”.
Kerajaan British menganugerahkan pengurniaan pingat ‘Knigh Bachelor’ (membawa gelaran Sir) kepada penulis novel ‘Surah Syaitan’ kelahiran India, Salman Rushdie dilihat sebagai satu tindakan yang tidak wajar.
Penulis buku “ The Satanic Verses” yang menghina Islam dan Rasulullah SAW menerima anugerah tersebut dalam satu majlis sempena ulangtahun kelahiran Ratu Elizabeth II yang ke-81.
Ia satu tindakan yang menghina Islam kerana tindakan tersebut sebagai tanda kerajaan Britain berbangga dengan pencapaian buku “The Satanic Verses”. Seharusnya ia tidak dipersetujui oleh umat Islam seluruhnya, kerana melambangkan betapa sensitiviti kita dalam beragama terus cuba diperkotak katikkan oleh musuh Islam.
Salman Rusdie, 60, anak seorang Muslim dilahirkan di Bombay pada 19 June 1947 dan bersekolah di Gereja John Conon kemudian di King Kolej, Cambridge.
Pada tahun 1988 dia menulis novel ‘The Satanic Versus’ (Surah-surah Syaitan) yang menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
Pada 14 Febuari 1989 pemimpin Republik Iran, Khomeini mengeluarkan fatwa supaya Salman Rusdie dihukum bunuh. Sejak itu Salman tidak muncul di khalayak ramai dan bersembunyi di Britain.
.:: 1990-an ::.
- Taslima Nasreen (warga Bangladesh) menghina Nabi s.a.w. dalam karyanya dan hidup mewah dengan hasil jualan karyanya.
- Haidar bin Haidar (warga Syria bermastautin di Mesir) memasukkan keluarga Nabi sebagai watak dalam novelnya dan menghina mereka.
- Seorang editor akhbar “Nigeria This Day” telah menghina Nabi dalam kolumnya dengan mengatakan Nabi akan membenarkan pertandingan ratu cantik di Nigeria dan memilih salah seorang sebagai isterinya.
.:: 1997 ::.
Tatyana Suskin (wanita Yahudi) membuat dan menyebarkan 20 poster yang menghina Islam dan Nabi SAW, antaranya gambar seekor babi.
.:: 2000 ::.
Farish Noor menulis artikelnya “Let Islam lead the way with its progressive view on sexuality” dalam New Straits Times menghina Nabi SAW.
.:: 2002 ::.
Islama Daniel (jurnalis Nigeria) menulis tentang Rasul dan Miss World. Pertandingan itu adalah untuk memperlekehkan pelaksanaan syariah Islam di Nigeria.
.:: 2004 ::.
Theo Van Gogh (producer filem) menghina Islam dan Nabi s.a.w. dalam sebuah dokumentari atas dasar kebebasan berkarya.
.:: 2005 ::.
Akhbar Denmark “Jylands Posten” menerbitkan kartun Nabi sebagai pengganas yang tidak berakhlak. Akhbar-akhbar dari Jerman, Perancis, Belanda, Itali dan Sepanyol turut mengeluarkan kartun yang sama untuk menyokong tindakan akhbar denmark itu.
- “Sarawak Tribune” menyiarkan kartun menghina Nabi .
- “Guang Ming Daily’ mengeluarkan foto akhbar yang menyiarkan karikatur itu.
- “New Straits Times” menyiarkan kartun lain yang menghina Islam dan Nabi saw.
.:: 2007 ::.
Salman Rushdie mendapat gelaran “ SIR” dari kerajaan British atas karyanya “The Satanic Verses”.
.............................................................................
.:: 2008 ::.
Di Mesir – seorang penulis wanita bernama Basant Rasyad menulis buku berbahasa Arab (الحب والجنس في حياة النبي) [Cinta & Seks Dalam Hidup Nabi] yang merendah-rendahkan peribadi Nabi Muhammad SAW.
.:: 2011 ::.
Di Malaysia - seorang wanita ‘iblis’ dengan nama samaran ‘Makcik Hajjah Sitt Al-Wuzara’ giat menghina Allah SWT, al-Quran dan Nabi Muhammad SAW melalui blog dan twitternya. Sungguh mengecewakan blog ‘lucah’nya yang keji hingga kini masih boleh dilayari, mohon pihak JAKIM atau pihak berkuasa agar menyekatnya dengan segera!..
.:: 2012 ::.
Di Amerika, September - Penerbitan filem “Innocence of Muslims” menghina Nabi Muhammad SAW dan Islam. Penulis dan pengarah filem itu, Sam Bacile didalangi oleh pihak Yahudi. Filem tersebut dikatakan mendapat derma dari 100 orang Yahudi berjumlah USD 5 juta dan melibatkan lebih kurang 60 orang pelakon serta 45 orang krew. Penerbit yang keji itu berkata: "Islam is a cancer, the movie is a political movie, it's not a religious movie".
Ya Allah, hinakanlah mereka yang menghina Nabi-Mu…
Dan hantarkanlah kepada mereka singa-singa-Mu…
Amin...
Sabtu, 22 September 2012
Jumaat, 21 September 2012
Perihal Sirat Mustaqim
بسم الله الرحمن الرحيم
1) Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat sepantas kilat.
2) Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat seperti tiupan angin.
3) Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat seperti burung terbang.
4) Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat seperti kelajuan kuda lumba.
5) Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat sepantas lelaki perkasa.
6) Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat sepantas binatang peliharaan.
7) Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat dalam tempoh sehari semalam.
8) Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat selama satu bulan.
9) Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat selama bertahun-tahun.
10) Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat selama 25 ribu tahun. semua kiraan masa adalah mengikut kiraan masa dunia.
DIANTARA TIPS UNTUK MELEPASI TITIAN SYIRAT AL-MUSTAQIM
Dalam sebuah hadith panjang riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud
“Dan diletakkan sebuah jambatan di atas neraka jahannam, lalu aku dan umatku menjadi orang pertama yang meniti di atasnya. Rasul-rasul berdoa pada hari itu : ‘Ya ALLAH, selamatkan, selamatkan.’ Di kanan kirinya ada pengait-pengait seperti duri pokok Sa’dan. Pernahkah kalian melihat duri pokok Sa’dan?” Para sahabat menjawab, “pernah, wahai Rasulullah.”
Baginda melanjutkan : “Sesungguhnya pengait itu seperti duri poko Sa’dan, namun hanya ALLAH yang tahu besarnya. Maka ramai manusia yang disambar dengan pengait itu sesuai dengan amal perbuatannya di dunia.”
Suasana pada saat itu pastinya mengerikan. Suara teriakan, jeritan meminta tolong, tangisan, dan ketakutan terdengar dari pelbagai arah. Lebih mengerikan suara gemuruh api neraka dari bawah sirat yang siap menelan orang terjatuh ke dalamnya. Tidak henti-henti Rasulullah s.a.w. dan nabi-nabi yang lain termasuk juga malaikat berdoa untuk keselamatan manusia,
“Ya ALLAH, selamatkan, selamatkan.”
Setiap muslim wajib menjadikan kepercayaan kepada perkara ini sebagai aqidahnya. Berkenaan dengan sifat titian ini, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda mafhumnya : “Ia ialah sebuah jalan yang sangat licin, kaki sulit sekali berdiri di atasnya.” (Riwayat Imam Muslim daripada Abu Said Al-Khudri)
Dalam hadith Ahmad daripada Aisyah r.h.a., Rasulullah s.a.w. menyifatkan bahawa sifat titian itu adalah lebih tipis daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang.
Sirat di akhirat ini wujud hasil daripada titian (jalan) hidup yang kita pilih selama tinggal di dunia. Oleh sebab itu, siapa yang memilih jalan ALLAH, sambil bepegang teguh dengan syariat Islam, maka sirat di akhirat ini akan mudah dilalui untuk sampai ke syurga idaman.
Sebaliknya, siapa yang enggan melalui jalan ALLAH ini, lalu memilih jalan hidup yang bebas daripada aturan halal-haram, maka hari itu sirat yang akan dilaluinya menjadi sangat sempit dan sukar dilalui. Golongan ini akan tergelincir dari titian lalu jatuh melayang-layang ke dalam neraka jahannam selama-lamanya.
Imam Abu Tahir al-Qazwini berkata : Setiap orang yang biasa berjalan di titian agama, maka ia akan sangat mudah melintasi sirat di akhirat. Dan sesiapa yang tidak biasa melaluinya, maka ia akan menemui kesulitan berjalan di atasnya, kakinya akan tergelincir dan ia akan menyesal selama-lamanya.”
Jadi di sini, disertakan tips dan pantang larat sirat
Rasulullah s.a.w. pernah menyebut beberapa amalan yang dapat menjamin keselamatan seseorang melintas di atas sirat. Antaranya adalah :
- Banyakkan bersedekah
- Melazimkan diri hadir ke masjid
Sebaliknya, beberapa amalan buruk dapat merencatkan kelancaran perjalanan seseorang di atas titian sirat. Amalan itu antara lain ialah :
- Membuat tuduhan dusta kepada seorang Mukmin.
Abu Daud meriwayatkan daripada Muaz bin Anas al-Juhani, sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“Sesiapa yang menjaga seorang Mukmin daripada gangguan munafik, maka ALLAH akan mengutus seorang malaikat untuk menjaga tubuhnya daripada api neraka jahannam, dan sesiapa yang membuat tuduhan (dusta) kepada seorang Mukmin untuk memburukkan namanya, maka ALLAH akan menghentikan langkahnya di atas sirat hingga ia bersedia melepaskan tuduhan tersebut.”
*Termasuk membuat tuduhan dusta ialah menyokong tuduhan tersebut dan menyebarkannya dalam kalangan masyarakat untuk merosakkan nama baik atau reputasi orang yang dituduh. Justeru, berhati-hatilah dalam menapis tiap berita dan cerita yang kita terima. Lebih-lebih lagi bila berkaitan dengan dosa seperti zina dan liwat. Kita memohon agar ALLAH membersihkan umat kita daripada sikap-sikap yang tidak sihat ini.
Petikan daripada Kitab Mahkamah di Padang Mahsyar m/s: 146
Rabu, 19 September 2012
Pendapat Mufti Mesir Mengenai Perlaksanaan Hukum Hudud
فضيلة الدكتور علي جمعة
Dalam memperkatakan tentang perlaksanaan hudud, satu perkara asas mesti dimaklumi semua pihak. Iaitu, Syariat Islam telah meletakkan beberapa syarat yang perlu ada sebelum sesebuah negara melaksanakan hudud.
Justeru, apabila dikatakan ‘suasana semasa tidak kondusif bagi perlaksanaan hudud’, ia bermakna syarat-syarat perlaksanaan hudud itu belum mengcukupi.
Kenyataan ini sama sekali tidak bermaksud hukum hudud itu sendiri ada kelemahan atau kecacatan, sehingga ia tidak boleh dilaksanakan dalam suasana semasa.
Saksi yang adil didefinisikan sebagai, antaranya ‘seorang Islam yang menjauhi dosa-dosa besar, tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil, bersikap baik dan bersopan santun (chivalry), dan boleh dipercayai ketika marah. Dengan makna tidak melampau batas dalam tindak tanduknya ketika marah. Hukum hudud adalah sempurna dan lengkap. Cuma suasana semasa tidak memiliki syarat yang ditetapkan yang membolehkan ia dilaksanakan.
Ringkasnya, kenyataan ‘suasana semasa tidak kondusif bagi perlaksanaan hudud’, bukan mempertikaikan kesempurnaannya dan kewajipan melaksanakannya. Ia sebaliknya berkenaan ‘ketidak-sempurnaan’ suasana semasa. Iaitu tidak memiliki syarat yang ditetapkan bagi membolehkan hukum itu dilaksanakan.
Antara syarat tersebut ialah kewujudan saksi-saksi yang berwibawa. Bagi mensabitkan jenayah hudud (zina, qazaf, minum arak, mencuri, hirabah dan kesalahan murtad), saksi yang bersifat adil (‘adalah) diperlukan.
Saksi yang adil didefinisikan sebagai, antaranya ‘seorang Islam yang menjauhi dosa-dosa besar, tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil, bersikap baik dan bersopan santun (chivalry), dan boleh dipercayai ketika marah. Dengan makna tidak melampau batas dalam tindak tanduknya ketika marah (Rujuk Feqh al-Manhaji, jld. 3, ms.569) Ketiadaan saksi yang memenuhi piawaian yang dinyatakan, akan mengakibatkan hukuman hudud tidak boleh dilaksanakan.
Zaman Ketiadaan Saksi
Persoalannya di sini, wujudkah saksi-saksi seperti yang dinyatakan, pada masa sekarang? Jika diambil kira kenyataan sesetengah ulama dahulu kala, boleh dikatakan kita mempunyai jawapan yang hampir pasti bagi persoalan ini.
Dalam karyanya, Nisywarul Muhadharah, al-Qadhi al-Tanukhi (356-446 Hijrah) ada memperkatakan tentang realiti manusia di zaman beliau dan zaman sebelumnya. Beliau mencatatkan dalam karyanya itu, “sesungguhnya hakim [pada zaman sebelum ini], ketika memasuki sesuatu tempat atau kampung, dia [boleh] menemui 40 orang saksi yang kita perakui [kewibawaan mereka] dari segi ‘adalah (sifat adil) dan ketepatan (accuracy). [Tapi] sekarang, [iaitu pada zaman beliau] seseorang hakim, apabila memasuki sesebuah negeri, dia tidak [dapat] menemui melainkan seorang atau dua orang [yang layak menjadi] saksi”.
Demikian realiti manusia pada zaman al-Tanukhi, iaitu sekitar 980 tahun yang lampau. Jika pada zaman beliau tidak boleh ditemui melainkan 1 atau 2 orang yang layak menjadi saksi bagi mensabitkan kes-kes hudud, maka apakah pada zaman kini-yang disifatkan sebagai akhir zaman yang penuh dengan kerosakan-saksi yang memenuhi piawaian yang ditetapkan syarak itu, mudah didapati?
Jawapannya ada pada Mufti Mesir yang diperakui kemantapan ilmu dan kewarakannya, al-Allamah Syaikh Ali Jum’ah (juga ditulis sebagai Ali Gomaa).
Setelah menukilkan kata-kata al-Tanukhi diatas, Syaikh Ali Jum’ah dengan jelas menyatakan bahawa, “zaman kita secara umumnya, boleh disifatkan sebagai [zaman] yang kehilangan kesaksian [saksi-saksi yang berwibawa]”.
Dalam erti kata lain, zaman yang kehilangan saksi-saksi yang berwibawa pada nilaian syarak, yang boleh diterima kesaksian mereka dalam perbicaraan membabitkan kes-kes hudud.
Dalam realiti Negara Mesir, fenomena ketiadaan syarat yang mencukupi bagi melaksanakan hudud, sebenarnya telah lama berlaku, iaitu sejak sekitar 1000 (seribu) tahun yang lampau. Ini dinyatakan sendiri oleh Syaikh Ali Jum’ah.
Oleh sebab itu, jelas beliau, Negara Mesir, sejak lebih kurang 1000 (seribu) tahun yang lampau, tidak pernah melaksanakan hudud disebabkan fenomena yang dinyatakan.
Hudud Bukan Keutamaan
Oleh kerana zaman kini tidak memiliki ‘kelayakan’ untuk melaksanakan hudud, antaranya kerana tidak memiliki saksi-saksi yang berwibawa, maka menurut Mufti Mesir ini lagi, persoalan hudud bukan sesuatu yang mendesak dan bukan suatu keutamaan.
Lebih dari itu, menurut beliau, membangkitkan isu hudud pada masa sekarang (iaitu tahun 2006, tahun beliau menyatakan pandangan) mendatangkan mudarat dan tidak memberi manfaat.
(Rujuk : Di sini ) jika link ini tidak berfungsi sila ikuti link dibawah:) Sebagai penutup, perlu dinyatakan di sini, Syaikh Ali Jum’ah tidak menyatakan secara jelas bahawa zaman kini tidak kondusif bagi perlaksanaan hudud, seperti yang terpapar pada tajuk tulisan ini.
Tajuk itu sebaliknya adalah rumusan dan kesimpulan penulis daripada dua kenyataan beliau.
Pertama, beliau menegaskan bahawa zaman kini boleh disifatkan sebagai zaman yang ketiadaan saksi yang boleh diterima bagi mensabitkan hukum hudud (seperti yang telah dinyatakan); dan
Kedua, beliau menyifatkan zaman ini sebagai zaman syubhah (penuh keraguan). Manakala prinsip yang terpakai dalam hukum hudud ialah ‘hukuman hudud diabaikan disebabkan kewujudan syubhah’.
Prinsip ini diambil daripada sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, ‘abaikanlah [hukuman] hudud dengan sebab [adanya] syubhah’.
Jika demikianlah keadaan zaman kini menurut kaca mata Syaikh Ali Jum’ah, maka bolehlah disimpulkan, perlaksanaan hukum hudud pada zaman kini tidak kondusif disebabkan dua sebab yang dinyatakan.
Pandangan beliau ini secara tidak langsung memberi ‘signal’ amaran kepada semua pihak, agar tidak tergesa-gesa menjatuhkan hukuman ke atas mana-mana pihak yang tidak sependapat dengan mereka dalam soal perlaksanaan hudud.
Dan, inilah objektif tulisan ini. Ia tidak bertujuan mengikat mana-mana pihak dengan pandangan al-Allamah Mufti Mesir ini!
والله أعلم
http://www.onislam.net/arabic/
kredit: onislam
Himpunan Sejuta Umat Jangan Hina Nabi Kami
Ayuh teman rapatkan saf, buktikan rasa kasih dan sayang kepada Junjungan Besar Sallallahu Alaihi Wassallam,. Marilah bersatu membantah penghinaan ke atasnya.
Kami katakan "tidak semudah itu agama ini 'kamu' perlekehkan..."
Kami katakan "tidak semudah itu agama ini 'kamu' perlekehkan..."
Isnin, 17 September 2012
Jumaat, 14 September 2012
Menaiplah Kerana ALLAH
بسم الله الرحمن الرحيم
Taiplah satu ayat yang boleh memberi kesan kepada seorang, Jika tidak mampu menaip satu perenggan yang boleh memberi kesan kepada sekampung, Sekurang-kurangnya tulis sesuatu perkara yang boleh beri peringatan setiap hari, kerana saham amalan yang diamalkan oleh mereka akan sampai kepada kita walaupun kita telah MENINGGAL DUNIA BERTAHUN LAMANYA.
“Apabila mati anak Adam, maka telah terputuslah amalannya melainkan 3 perkara ; Sedekah jariah, atau ILMU yang memanfaatkan, dan doa anak yang soleh” [Hadith diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud, Tirmudzi, al-Nasaa'i, dan al-Bukhari].
~~ tangan menaip, otak berfikir, hati berzikir, lidah berzikir ~~
Sesungguhnya Mukmin itu beruntung... kenapa ??
kerana hanya dengan mengingati Allah hati dan seluruh jasad itu akan TENANG
"Indah jasad ciptaan Ilahi,
Suci hati berbunga iman,
Pantulan cinta dari Ilahi,
Tanda diri ditemani Tuhan"
"Tenang damai mencipta langkah,
Keluh kesah jadi sejarah,
Zuhud diri menjaga akidah,
Kerana tawadduk itu sunnah"
Subhanallah, Alhamdulillah, wa Laa ila ha illaAllah, Allahu Akbar...
Khamis, 13 September 2012
Rabu, 12 September 2012
Saudaraku, Aku Hanya Kasihan
بسم الله الرحمن الرحيم
Di sini, setiap hari makanan dan minuman tak pernah kehabisan.. Malah melimpah-ruah.. melebihi apa yang kita perlukan.. Malah, tanpa rasa bersalah kita membuang makanan yang masih elok, masih boleh dimakan, atas alasan "Pagi tadi punya, lagipun tak sedap!" Ya Allah....
Saudaraku, di Malaysia hampir semua rakyatnya hidup dengan kesenangan... Rumah kita bak istana, bangunan negara seperti ingin menggapai langit, kadang-kala sebuah keluarga mempunyai dua tiga buah rumah.. MasyaAllah, syukur atas kurniaan Allah di bumi bertuah ini.. Alhamdulillah..
Saudaraku, pernahkah kita terfikir?? Saat sesuatu ada di depan mata, tidak pernah hati atau mulut melafaz syukur. Paling koman pun, "Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah..".. Namun, bila sesuatu itu hilang, kecoh sedunia.. Itulah, inilah, lebih teruk jika kita menuduh orang lain mengambilnya.. MasyaAllah..
Hari ini kita diulit kekayaan, kesenangan, dan kegembiraan.. Mana tahu, esok lusa hanya air mata yang menjadi peneman.. Tidak berniat langsung untuk menakutkan, namun bukti sudah jelas di depan mata... Betapa saudara kita di Palestin teraniaya, terseksa, cedera, syahid.. Ya Allah, KITA HANYA KASIHAN!!
Saudaraku yang dirahmati Allah, bayangkan andai kita berada di tempat yang sama seperti mereka.. Setiap hari, ada ahli keluarga yang pergi menghadap Illahi, betapa kegembiraan sesuatu yang hampir mustahil, rasa-rasanya apakah ertinya Syawal buat mereka? Kegembiraan atau kesengsaraan? 'Kuih raya' atau bedilan bom yang menjadi sajian di pagi raya? Solat Aidilfitri dengan tangisan kegembiraan atau rintihan kesakitan??
Bayangkan pula bagaimana mereka manahan lapar dan dahaga di bulan Ramadhan? cuaca yang panas, tenaga yang hampir habis digunakan untuk melarikan diri dari kehancuran? Ya Allah, kita hanya kasihan!! Saudaraku, hari ini anak-anak, muda remaja, semakin lupa... Lupa pada kehidupan diibaratkan seperti roda.. Jika esok, Allah ingin kita rasa seperti apa yang saudara kita di sana rasa, bagaimana?? Bersediakah kita?? Bukankah Allah Yang Maha Menguasai??
Belum lagi menyentuh soal kebuluran, SETIAP HARI berpuluh-puluh orang meninggal dunia di Somalia disebabkan kebuluran.. Mereka terseksa, lapar dan dahaga, sakit, cedera.. Pernah ke kita mengambil tahu?? Pernah tak kita cuba memahami apa yang mereka rasa? Ada kah sumbangan diberi kepada mereka melalui tabung-tabung yang disediakan??
Saudaraku, jika di sini makanan dibuang atas alasan "Tak sedap, kurang manis, pahit sangat, lemak sangat, murah sangat!" Tapi , mereka yang di sana berlutut, menangis mengharapkan sebutir nasi, setitis air buat menghilangkan perit dan dahaga...Ya Allah, aku di sini hanya kasihan Ya Allah!!
Saudaraku yang dirahmati Allah, andai seminit yang lalu kita masih tidak peka tentang kebajikan SAUDARA kita di sana, apa kata seminit selepas ini dan buat selama-lamanya kita menjadi rakan terbaik buat mereka.. Tak perlulah kita menghantarkan bantuan makanan, perubatan, keselamatan kepada mereka seandainya tiada berkemampuan, cukuplah sepotong doa yang paling ikhlas daripada kita buat mereka.. Bukankah itu lebih baik dari melupakan mereka terus...
Bukankah tercatat dalam sejarah.. Seorang sahabat berjalan di sebuah kampung yang dibelenggu kefakiran, kesusahan, kemarau hingga tiada sumber makanan.. Lalu sahabat ini menadah tangan sambil merenung langit malam di daerah itu..
"Ya Allah, alangkah baiknya jika awan yang banyak ini ditukarkan kepada gandum supaya mereka di sini dapat makan dengan cukup."
Di akhir cerita kehidupan sahabat ini, beliau dimasukkan ke syurga berbekalkan dengan hanya sepotong doa ini.. MasyaAllah, tidak mahukah kita??
Saudara, hakikat kehidupan seperti roda.. Mungkin hari ini kita kaya dengan keamanan, kesenangan, kemewahan dan nikmat kehidupan.. Ucapkanlah syukur sementara masih berkesempatan, gunakan nikmat ini sebaiknya.. Jangan tunggu lagi, gunakan apa yang kita ada untuk meluaskan empayar Islam.. Tak perlu sehingga mengangkat senjata menentang kemunafikan, kemungkaran, kita tidak berkemampuan..
Lihat diri kita saudara, apa yang ada pada kita? FB sudah pasti, blog dan tweeter hampir semua pun ada.. jadi gunakan semua ini.. Sebarkan Islam, gunakan medan ini sebagai jalan untuk berdakwah, berjihad.. TOLONG saudara kita di sana dengan menggunakan kemudahan ini.. BOIKOT segala peralatan, makanan yang menyumbang kepada kesengsaraan mereka... bukankah semua ini saham di Akhirat kelak? bukankah itu juga jihad?
Saudaraku, Rasulullah di zamannya sentiasa memerangi kebuluran, Rasulullah menangis melihat umatnya kesakitan.. Walau jauh beribu batu dari Madinah, namun demi sesuatu yang digelar kasih sayang, Rasulluah menggadai nyawa bersama para sahabat membela nasib umatnya.. Itu Rasullulah, sehebat-hebat manusia. Kita yang terlalu lemah ini, cukuplah mendoakan yang terbaik buat mereka..
Dahulu, Rasulullah bersama para sahabat berjuang untuk membebaskan dan menakhluki kerajaan Islam.. serata dunia menjadi kepunyaan Islam, namun mengapa agaknya hari ini Palestin hanya tinggal sekangkang kera???????? Apa yang telah berlaku kepada pahlawan hari ini???? Di mana semangat Salahuddin Al-Ayubi? Umar Al-Khattab? Lupakah pada semangat Rasulullah????
Kesimpulannya saudaraku, janganlah kita terlalu senang dengan kemudahan hari ini, kerana mungkin esok sudah terhampar tikar kesukaran untuk kita.. Cubalah untuk memahami penderitaan mereka dengan akal, hati yang paling tulus.. Tolonglah saudaraku, berikan sumbangan seadanya kepada saudara kita di sana.. Kasihanilah mereka, hubungan antara anak dan ibu terpisah kerana kesengsaraan yang dilukis rejim zionis.. suami dan isteri kehilangan anak, ahli keluarga dirampas daripada mereka.. apa yang kita lakukan buat mereka?? benar, kita hanya kasihan...
Jangan gelar diri kita saudara kepada mereka seandainya tiada langsung usaha kita buat kegembiraan mereka.. Jangan ungkap perkataan kasihan buat mereka andai tiada usaha untuk menghilangkan kesedihan hati mereka.. Cubalah untuk menjadi denai di tengah hutan, walau kehadirannya tidak masyhur, kadang kala langsung tidak ada orang perasan, namun dena di tengah hutan memberi harapan buat kehidupan.. Alirannya memberi ketenangan, kelegaan kepada mereka yang sesat di hutan..
Di antaramu, akulah yang paling lemah dan tidak tahu.. Jadi, perbetulkanlah aku jika khilaf tutur kataku.. Bahasa menyinggung perasaanmu... Salah tafsiranku mengenai sesuatu hal..
kredit: http://warkahseoranghamba.blogspot.com
Ahad, 9 September 2012
MENU RASULULLAH SAW
بسم الله الرحمن الرحيم
Rasulullah SAW tidak pernah mengada-ngada nak makan itu dan ini, Baginda saw biasanya akan makan apa apa sahaja yang sudah tersedia. Bukan itu sahaja, bahan bahannya pula mudah didapati dan penyediaan tidak rumit.
Apakah menu santapan Baginda Rasulullah SAW ?
1. Kurma dan air kosong.
2. Tharid yang dimakan bersama dengan cuka.
3. Roti yang dimakan dengan cuka.
4. Roti dengan minyak zaitun.
5. Roti dengan keju.
6. Bubur yang dibuat daripada susu dan gandum.
7. Roti dengan kurma.
8. Kurma dengan mentega.
9. 7 biji kurma yang direndam di dalam susu ( biasanya untuk sarapan Baginda saw.)
10. Kurma dengan tembikai.
11. Timun dan kurma.
Lihatlah betapa sederhana dan sihatnya hidangan Baginda SAW.. Namun dengan kuantiti yang sedikit pada pandangan kita itulah, Baginda mampu mengubah hati manusia kembali bertuhankan Allah, malah Baginda mampu menjana tenaga yang diperoleh melalui makanan itu untuk tujuan ketaatan. Kita bagaimana?
SUMBER:
Jumaat, 7 September 2012
Permulaan Pertama
بسم الله الرحمن الرحيم
"Setiap Perkara Pasti Ada Pertama Kalinya"
Percaya atau tidak setiap perkara pasti ada pertama kalinya ia berlaku. Selepas pertama itu barulah datang kali kedua dan kali ketiga. Nak beri contoh mungkin ramai dah boleh buat contoh sendiri. Tapi kalau tak beri contoh tangan mengatal nak nyatakan contoh.
Apabila sesuatu perkara terjadi sama ada baik atau buruk pasti selepas itu akan terjadi lebih banyak perkara yang sama sama ada perkara baik itu lebih baik atau perkara buruk itu lebih buruk. Semestinya kita mahukan perkara yang baik itu berterusan dan terus terus berlaku malah lebih baik dan perkara buruk itu berkurang lalu kurang hingga tiada langsung. Tapi perkara baik sekarang ini susah sudah untuk ditemui malah perkara buruk makin teruk dan teruk..
Seperti api yang kecil bermula daripada pembakaran yang pertama semestinya kecil dan lama ke lamaan marah dan terus merebak. Ia bermula dari pertama kalinya berlaku pembakaran. Bagaimana pula dengan pertama kali dalam hidup anda? Pastinya pertama kalinya ada yang baik dan ada yang buruk serta jika yang baik itu apabila kali pertama berlaku maka elok seeloknya ia di jadikan amalan "Istiqomah"..
Setiap perkara bermula dengan pertama kalinya ia berlaku. Bila pertama kali dah buat maka ia menjadi satu kebiasaan dan tiada sudah istilah "berat Tulang" namun jika perkaran pertama kali ini baik maka amatlah bagus di jadikan kebiasaan dan seadainya ia perkara buruk makan pakat-pakatlah tinggalkan perkara buruk itu dan jadilah "berat tulang" untuk melakukannya buat kali kedua
Rabu, 5 September 2012
Menghidupkan Jiwa dan Mata Hati
بسم الله الرحمن الرحيم
Lalu Baginda bertanya kepadanya: "Wahai Harith, bagaimana keadaan iman kamu pada hari ini? Beliau menjawab: Hari ini saya beriman dengan sesungguhnya.
Kemudian Baginda bersabda: Cuba tunjukkan hakikat kebenaran yang kamu katakan, kerana segala sesuatu tentu memiliki hakikat kebenaran, jadi apakah hakikat kebenaran imanmu? Beliau menjawab: Sungguh diri saya sudah jemu dengan dunia, sehingga malam hari saya habiskan untuk beribadah dan siang hari berpuasa sehingga seolah-olah saya melihat Arasy Allah dengan sangat jelas, saya melihat ahli syurga sedang kunjung mengunjungi dan penduduk neraka merintih menahan seksa. Kemudian Baginda bersabda: Wahai Harith, kamu sudah mengetahui, maka istiqamahlah, (Rasulullah SAW mengulangi sabdanya sampai tiga kali)." Hadis riwayat Ibnu Hibban.
Selepas melalui proses didikan di bawah asuhan wahyu, akhirnya sahabat tadi mencapai kemuncak ketinggian ilmunya. Jemu dengan dunia maknanya apa yang diusahakan di dunia ini sudah pun dicapai dengan jayanya, bukan bermakna beliau membenci dunia bahkan menguasai dan memegang kendali dunia. Bagaimanakah cara mencapai apa yang diperoleh sahabat Al-Harith ini?
Hakikatnya orang yang menuntut ilmu mempunyai beberapa tingkatan bergantung dengan seberapa jauh penguasaannya mengenai agama ini. Jibrail pernah mengajarkan kepada Baginda SAW asas penting mengenai Islam, iman dan ihsan.
Tingkatan pertama berada pada kelas permulaan mendapat jolokan Muslim, kemudian disebutkan ciri iman maka orang yang menuntut pada peringkat ini masuk dalam kategori mukmin dan terakhir yang paling tinggi serta sempurna ialah muhsin iaitu mereka yang bersikap ihsan.
Orang muhsin berada pada peringkat ilmu tertinggi, memiliki perasaan halus mengenai Allah . Dia menjadi pendengarannya dengan itu ia mendengar, menjadi penglihatannya dengan itu ia melihat dan menjadi tangannya dengannya ia memukul dan menjadi kakinya dengannya ia berjalan.
Satu lagi sifat mulia pada diri seorang yang ihsan ialah rasa diawasi Allah . Bayangkanlah bagaimana jika seseorang mengawasi kita, pasti rasa terkongkong, terpenjara dan menderita tetapi berlainan dengan rasa diawasi Allah , ia menjadi suatu kenikmatan yang tidak dapat diungkapkan oleh kata-kata.
Rasulullah bersabda yang bermaksud:
"Seolah-olah kamu melihat Allah , jika kamu tidak melihat-Nya sesungguhnya Dia melihat kamu."
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Tingkatan ilmu inilah yang disebut ahli makrifah. Antara ciri orang yang diberi makrifah oleh Allah ialah berminat mencari jalan menuju Allah , dekat di sisi-Nya dan mengharap reda-Nya. Jalan menuju Allah mestilah dengan mencari ilmu, meneroka rahsia al-Quran, mengambil petunjuk hadis Rasulullah SAW.
Jika seseorang sudah meningkat kefahamannya mengenai agama, akan lahir satu perasaan halus memujuk jiwanya supaya beralih minat daripada unsur berorientasi duniawi kepada bisikan Allah yang menguasai diri.
Anda akan merasai ketenangan apabila berzikir, juga kepuasan ketika mencapai ketinggian ilmu, bahkan kenikmatan apabila menambah yang wajib dengan amalan sunat. Ibadah bukan lagi bebanan berat bahkan cara untuk merehatkan jiwa dan raga. Sudahkah kita mencapai peringkat ini?
Untuk melonjakkan diri kita ke tingkat iman lebih tinggi, sewajarnya kita tidak berehat terlalu lama meninggalkan majlis ilmu, bagaimana mungkin kita meninggalkan proses belajar ilmu yang mengungkap rahsia khusyuk solat.
Ilmu rahsia mengenal Allah melalui ayat-Nya, ilmu mencintai dan membela Rasul SAW, ilmu mengenai akhlak yang mengajar kaedah bermuamalah dan toleransi sesama insan, ilmu jiwa yang mengungkap sifat reda, sabar, tawakal, khauf dan raja', supaya kita boleh mengawal emosi yang mempermainkan hati.
Ilmu mengenai amanah yang mengajak kita bertanggungjawab sebagai seorang bapa, ketua memimpin manusia dan anggota masyarakat yang sedar kewajipan amar makruf nahi mungkar. Islam menyediakan segala-galanya yang diperlukan manusia supaya dia boleh berdiri sebagai khalifatullah.
Islam adalah agama ilmu yang mengajarkan manusia apa yang tidak diketahui, al-Quran memecahkan kegelapan dunia dengan cahayanya, menunjukkan kebaikan dan kejahatan supaya jelas dan terang petunjuk daripada Ilahi ke seluruh alam.
Wahyu pertama turun ialah suruhan membaca yang harus dilanjutkan dengan mengkaji, memahami, mendalami, menghayati, beriman, kemudian mengamalkan juga bersabar untuk terus istiqamah, akhirnya membela apa yang diimani itu sehingga Allah reda ke atas diri kita.
Begitulah proses perjalanan makrifah seorang hamba. Mungkin kita masih berada pada salah satu mata rantai daripada proses itu, entah naik entah turun. Ramai orang yang sudah sampai pada peringkat iman tetapi kurang sabar akhirnya jatuh kembali ke bawah.
Racun duniawi nyata memberi perlawanan hebat untuk menghancurkan binaan iman yang lama kita perjuangkan. Sekuat apapun usaha untuk mendapat makrifat, tidak akan dapat mampu dimiliki melainkan atas kehendak Allah .
"Ya Allah kuserahkan jiwa ragaku. Sebagaimana Engkau jadikannya sebagai milik-Mu maka jadilah Engkau sebagai walinya yang merahmati, menunjukkan dan menjaganya daripada kejahatan diriku sendiri."
Selasa, 4 September 2012
Ahad, 2 September 2012
Risiko Makan Banyak di Musim Raya
بسم الله الرحمن الرحيم
Hampir semua hidangan mengandungi kadar lemak, gula, garam serta kolesterol yang tinggi. Itu belum dengan pelbagai jenis minuman manis yang sentiasa tersedia di dalam bekas air.
Begitulah lumrah pemakanan bagi kebanyakan individu setiap kali menjelang 1 Syawal. Puasa sebulan terus dibalas dengan makan dalam sehari.
Risiko Terkejut
Namun apakah risiko yang mungkin terjadi pada sistem perut dan penghadaman yang tiba-tiba dikejutkan dengan pemakanan mendadak ini?
Dalam keadaan berpuasa, kadar metabolik turun kerana tidak banyak makanan untuk diproses. Namun apabila hari raya, individu yang makan terlalu banyak boleh mengakibatkan kadar metabolik mereka semakin tidak stabil.
Kerana keadaan ini, individu yang makan berterusan akan mengalami penambahan berat badan secara mendadak, segala makanan yang masuk secara banyak itu tidak boleh dibakar oleh sistem metabolisme kerana keadaannya yang lemah selepas sebulan berpuasa.
Makan Alas Perut
Apa yang sepatutnya dilakukan oleh individu pada pagi raya ialah makan alas perut seperti buah-buahan dan sayuran sebelum menikmati juadah sinonim pada hari raya seperti lemang dan rendang.
Alas perut memang penting kerana apabila kita mengambil buah dan sayur yang kaya dengan serat, akan memberi lapisan kepada usus supaya lemak tidak diserap dengan banyak ke dalam darah. Antara buah yang baik dimakan ialah buah limau, epal hijau, kiwi dan salad.
Elak Kafein
Seperkara lagi yang perlu dielak pada musim raya ialah pengambilan minuman yang mengandungi kafein. Bukan kopi dan teh sahaja yang mengandungi kafein, air bikarbonat juga mengandungi kafein.
Pengambilan minuman berkafein bersama lemang, rendang dan sebagainya memang memudaratkan usus. Sebaiknya, apabila kita makan makanan berlemak, minumlah air suam dan jus buah sebagai alternatif.
Salah satu cara penyerapan lemak terbaik untuk tubuh ialah pengambilan soy lecithin sebelum makan makanan berlemak. Makanan tambahan ini berfungsi sebagai penyerap lemak yang akan dikeluarkan melalui najis ketika membuang air besar.
Elak Kerepek
Kerepek adalah makanan yang perlu dielak kerana ia mengandungi oksida yang tinggi.
Bahan makanan bergoreng dan mengandungi oksida tinggi ini boleh menyebabkan badan dipenuhi dengan toksin dan sebagai penyelesaiannya mereka disarankan mengambil bahan anti-oksida seperti vitamin A, C dan E.
Jika mahu makan kerepek, pilihlah kerepek daripada jenis dipanggang seperti emping jagung. Jika suka makan kekacang pula pilihlah kacang parang atau kacang kuda yang mempunyai kandungan lemak baik atau omega yang tinggi.
Jangan makan makanan mengandungi protein sekali gus. Sebagai contoh, makan ayam, daging, sotong dan ikan dalam satu masa, ini kerana usus hanya akan menghadamkan protein yang paling ringkas sahaja seperti ikan.
Protein lain seperti daging dan sotong akan terus menjadi toksin yang sekiranya tidak dibuang akan menjadi penyebab penyakit seperti migrain dan masalah-masalah lain.
Risiko Makan Banyak
Antara risiko yang boleh terjadi pada individu yang tidak mengawal pemakanan mereka pada musim raya ialah sembelit.
Apabila sembelit berlaku, masalah seperti buasir akan timbul. Selain itu, usus juga boleh mengalami kecederaan dan sekali gus mengakibatkan sistem penghadaman kacau bilau.
Ketika bulan puasa, pesakit darah tinggi atau kencing manis akan turun kadar glukos dan kolesterol tetapi naik mendadak pada musim raya. Kita tidak mahu bulan raya diserang penyakit berbahaya, sebab itu kena kawal makan.
Buang air besar sekurang-kurangnya sekali sehari. Selain menikmati makanan yang sedap pada hari raya, pastikan juga minum air kosong 8 gelas sehari demi kesihatan yang optimum.
p/s Kalau di Afrika orang mati kerana tak cukup makan, jangan pula kita di sini mati kerana
banyak makan!
sumber: http://paapaada.blogspot.com
Langgan:
Catatan (Atom)












.jpg)











