Ukhwah Islamiyyah

Ahad, 25 Disember 2011

Menyedari Hakikat Seorang Hamba

سم الله الرحمن الرحيم


Apa ertinya menjadi seorang hamba? Biasanya seseorang itu dianggap rendah martabatnya apabila ditakdirkan menjadi hamba. Malah ada yang menyesal apabila dirinya dilahirkan sebagai seorang hamba. Apabila disebut istilah hamba, tersingkap difikiran golongan yang berada dikelas bawahan. Bukan mereka memilih, tetapi kerana terpaksa. Kerana ditawan dalam peperangan ataupun kerana keturunan.

Ketika zaman pemerintahan kerajaan Melayu, sistem hamba masih lagi wujud. Terdapat beberapa jenis hamba yang wujud pada zaman ini antaranya hamba istana, hamba sahaya, hamba istana, hamba abdi dan sebagainya. Istilah yang digunakan oleh orang kebiasaan yang memiliki hamba adalah “Tuan Hamba”. Ini untuk menunjukkan darjat seseorang yang lebih tinggi daripada hamba kerana menjadi tuan kepada hamba, lalu digelar Tuan Hamba. Zaman tersebut sudah berlalu. Istilah hamba dalam bentuk sistem hieraki kehidupan manusia sudah lupus sejak zaman berzaman.

Perkembangan dunia ke arah kemodenan berjaya menghapuskan sistem penghambaan. Tenaga manusia yang diperhambakan untuk melakukan kerja-kerja seharian digantikan dengan “hamba” moden yang lebih canggih. Mesin dan robot digunakan untuk memudahkan urusan kerja seharian kita. Dengan hanya menekan punat sahaja, pelbagai benda boleh dihasilkan dalam tempoh yang singkat.

Di dalam kesibukkan menguruskan “hamba-hamba” moden ini, masih ramai manusia yang lupa akan hakikat penghambaan yang sebenarnya. Sudah menjadi sunatullah sejak azali, kelahiran manusia kedunia adalah sebagai seorang hamba. Bukan hamba secara keturunan, tetapi hamba secara fitrah. Menjadi hamba kepada Allah SWT yang menciptakan kita.

Hakikat ini apabila dilupakan oleh manusia menyebabkan mereka gagal di dalam kehidupan yang sebenar ini. Tujuan manusia diciptakan adalah untuk menjadi seorang hamba dengan beribadat kepada Allah dan menjadi khalifah di atas muka bumi. Menjadi hamba untuk menyembah, menjadi khalifah untuk memerintah. Memerintah berdasarkan titah daripada pemerintah yang agung yakni Allah SWT, pemilik seluruh alam ini.

Apabila manusia dilahirkan sebagai hamba dan khalifah, kedua-dua perkara ini memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan kita diatas muka bumi ini. Perlu sepadu diantara sifat hamba dan khalifah.

Seorang tokoh yang berpengaruh, Imam Hassan Al-Banna pernah berkata:

“Jadilah kamu seorang hamba sebelum menjadi pemimpin, kerana sifat kehambaan itu akan menyampaikan kamu kepada sebaik-baik kepimpinan”


Apabila manusia menyedari bahawa dirinya adalah seorang hamba, maka segala tindak tanduknya akan berfungsi dengan baik. Inilah ketentuan fitrah yang dicampakkan oleh Allah SWT ke dalam hati manusia. Merasai hakikat seorang hamba membawa kepada kemuncak kebahagian.

Di kisahkan pada suatu hari ada seorang tentera bertemu dengan seorang lelaki tua dibawah sebatang pokok. Lalu tentera tersebut bertanya kepada lelaki tersebut.

“Adakah kamu seorang hamba?”

“Ya, saya seorang hamba”, jawab lelaki tersebut.

“Boleh saya bertanya. Di mana tempat manusia membangunkan hasil mereka?”

“Di kuburan”, lelaki itu menunjukkan arah kuburan kepada tentera tersebut.

Oleh kerana berasa dirinya dipermainkan, tentera tersebut membelasaha lelaki yang ditanya olehnya itu.

Ketika pulang ke kawasan kem, lelaki tersebut menceritakan peristiwa tersebut kepada teman-temannya. Lalu mereka bertanyakan ciri-ciri lelaki yang telah dibelasah tentera ini. Lalu dia menceritakan berkenaan ciri-ciri lelaki tersebut. Dalam keadaan yang terkejut, mereka memberitahunya lelaki yang dipukulnya itu adalah seorang wali Allah yang bernama Ibrahim Bin Adham.

Dalam keadaan yang bergetar ketakutan, tentera ini bergegas kembali pergi mencari Ibrahim Bin Adham.

Apabila ditemui kembali lelaki yang dipukulnya itu, tentera ini memohon maaf diatas perbuatan yang dilakukannya tadi. Kemudiannya dia bertanya kepada Ibrahim Bin Adham mengapa dia menjawab soalan yang ditanyakan kepadanya sedemikian rupa.

“Soalan pertama engkau bertanya adakah aku seorang hamba. Aku menjawab sememangnya aku seorang hamba. Aku hamba kepada Allah”, jawab Ibrahim.

“Keduanya aku menjawab kubur. Ini kerana manusia berusaha bekerja di dunia, mereka akan membina kebahagian hasil usaha mereka dialam kuburan sana”.

Beginilah kehidupan seorang hamba. Sentiasa melihat dirinya dari kaca mata pencipta. Merasai hakikat diri sebagai sebagai seorang hamba tidak memberikan kerugian di dalam kehidupan, tetapi lebih membawa kepada keuntungan. Apabila berada dalam kesusahan, merasakan tenang jiwanya kerana masih adalah Allah yang maha kaya dalam hidupnya. Apabila berada dalam kesenangan diri sentiasa bersyukur kepada Allah atas nikmat yang diberikan.

Seperti kata-kata hukama’ “Nikmat itu ibarat binatang liar, maka tambatlah ia dengan syukur”. Sekiranya gagal diselarikan nikmat itu dengan syukur dikhuatiri membawa kepada kufur. Sehingga digelar orang sebagai kufur nikmat. Hidup di dunia dan akhirat tidak selamat.

“Diriwayatkan bahawa satu rombongan pergi mengadap Khalifah Umar b Abd Aziz, lalu bangun seorang pemuda seraya berkata kepada Khalifah Umar r.a:


“Kami bukan rombangan yang inginkan sesuatu daripada engkau, juga kami bukan rombongan yang takut kepada engkau. Adapun kami tidak perlu sesuatu daripada engkau kerana kami telah dapat merasai kelebihan pemerintah engkau. Adapun kami tidak takut kepada engkau kerana kami telah merasa aman dengan keadilan engkau. Sebenarnya kami merupakan rombongan syukur, kami datang mengadap engkau untuk mengucap syukur dengan lisan kepada engkau”.

Sifat kehambaan yang ada pada mereka membuatkan mereka bersyukur atas segala yang berlaku dalam kehidupan mereka. Mereka datang bukan kerana Umar, tetapi mereka datang kerana syukur atas ketaatan Umar kepada Sang Pencipta dalam pemerintahannya. Syukur bukan hanya sebuah retorika, tetapi ianya adalah perkara yang perlu diamalkan dalam kehidupan kita. Jangan bersyukur kepada manusia, tetapi syukur itu hanyalah pada Allah SWT. Kerana kita adalah hamba pencipta.

Sabtu, 24 Disember 2011

Hubungan Solat Dan Waktu

سم الله الرحمن الرحيم

Semasa mencari dan mencari sesuatu.. saya ade terbaca 1 artikel yang mungkin jarang sekali anda semua jarang nak cari atau tak terlintas nak tahu pun.. jadi sebagai hamba yang ingin berkongsi sesuatu perkara yang bermanfaat inilah yang perlu dan patut anda semua tahu... Selamat beramal

SUBUH - Pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki. Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) – dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Disini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat diawal waktu. Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

ZUHUR - Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya.

ASAR - Warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu). Tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.

MAGHRIB - Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

ISYAK
- Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.


Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

P/S: Dipetik dari SINI..

Jumaat, 23 Disember 2011

Meneliti Aib Sendiri

سم الله الرحمن الرحيم


Oleh Imam al Ghazali

Jika Allah Azza wa Jalla menginginkan kebaikan bagi seseorang, ia akan membuat orang itu dapat melihat aib-aibnya. Orang yang memiliki basiroh (mata hati) yang tajam akan mengetahui aib-aibnya. Jika ia telah mengetahui aib-aibnya, maka ia dapat mengubatinya. Namun kebanyakan orang tidak mengetahui aibnya sendiri. Manusia dapat mengetahui kotoran yang terdapat di mata temannya, tetapi ia tidak mampu melihat ranting di depan matanya.

Barangsiapa hendak mengetahui aib-aibnya, maka ia hendaklah menempuh empat
jalan berikut :

1. Duduk di hadapan seorang guru yang mampu mengetahui keburukan hati dan pelbagai bahaya yang tersembunyi di dalamnya. Kemudian ia mempasrahkan dirinya kepada guru dan mengikut petunjuknya dalam bermujahadah membersihkan aib itu. Ini adalah keadaan seorang murid dengan syeikhnya dan seorang pelajar dengan gurunya. Guru akan menunjukkan aib-aibnya dan cara merawatnya, tetapi di zaman ini guru seperti ini amat sukar dicari.

2. Mencari seorang teman yang jujur, memiliki basiroh (mata hati yang tajam) dan berpegang pada agama. Ia kemudian menjadikan temannya itu sebagai pengawas yang mengamati keadaan, perbuatan serta semua aib batin dan zahirnya sehingga ia dapat memperingatkannya. Demikian inilah yang dahulu dilakukan oleh orang-orang yang cerdik, orang-orang yang terkemuka dan para pemimpin agama.

Umar RadiyaLlahu 'anhu berkata : "Semoga Allah merahmati orang yang dapat menunjukkan aib-aib kepadaku."

Ketika Salman mengunjunginya, beliau berkata : "Cuba sebutkan perilakuku yang tidak engkau sukai."

Salman menolak dengan halus. Tetapi beliau terus memaksa. Akhirnya Salman berkata : "Aku mendengar engkau makan dengan 2 lauk dan memiliki 2 pakaian: satu engkau memakainya di siang hari dan satu lagi engkau memakainya di malam hari."

"Selain itu adakah hal lain yang engkau tidak sukai?" Tanya Saidina Umar.

"Tidak"

"Sesungguhnya dua perbuatan yang engkau sebutkan tadi telah kutinggalkan," ucap beliau.

Beliau (Saidina Umar RadiyaLlahu 'anhu) pernah bertanya kepada Huzaifah. "Engkau adalah sohibus sir (orang yang mengetahui pelbagai rahsia. Di antaranya Huzaifah mengetahui siapa yang munafik dan siapa yang bukan munafik) RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam yang dapat mengenali orang munafik. Apakah engkau melihat tanda-tanda kemunafikan pada diriku?"

Perhatikan, Saidina Umar dengan kedudukan yang agung dan mulia masih mencurigai dirinya. Semakin cemerlang akal seseorang dan semakin tinggi kedudukannya, ia akan jarang berbangga hati dan semakin sering mencurigai dirinya sendiri. Yang kedua ini juga sudah sukar untuk dicari. Sedikit teman yang mahu berterus terang dan menunjukkan aib kita.

3. Berusaha mengetahui aib dari ucapan musuh-musuhnya. Sebab, pandangan yang penuh kebencian akan berusaha menyingkap keburukan seseorang. Boleh jadi manfaat yang diperolehi seseorang dari musuh yang sangat membencinya dan suka mencari-cari kesalahannya adalah lebih banyak dari teman yang suka bermanis muka, memuji dan menyembunyikan aib-aibnya.

Namun, sudah menjadi watak manusia untuk mendustakan ucapan musuh-musuhnya dan menganggapnya sebagai ungkapan kedengkian. Tetapi, orang yang memiliki mata hari jernih mampu mengambil pelajaran dari pelbagai keburukan dirinya yang disebutkan oleh musuhnya.

4. Bergaul dengan masyarakat. Setiap kali melihat perilaku tercela seseorang, maka ia segera menuduh dirinya sendiri juga memiliki sifat tercela itu. Kemudian ia tuntut dirinya untuk segera meninggalkannya. Sebab, seorang Mukmin adalah cermin bagi Mukmin lainnya. Ketika melihat aib orang lain ia akan melihat aib-aibnya sendiri.

Sumber : Muhammad Bin Muhammad al Ghazali, Ihya' Ulumiddin, Toha Putera, Semarang - Indonesia, m/s 62.

Sumber : Novel bin Muhammad Alaydrus, Orang Bijak Berkata - Kumpulan Nasihat Sepanjang Masa, Taman Ilmu, Cetakan ke-5, 2008 Semanggi-Surakarta,

Rabu, 21 Disember 2011

Menangislah, Kamu Akan Hebat Dengannya

سم الله الرحمن الرحيم


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam penghulu anbiya’ dan para rasul.




MEREKA HEBAT


Dalam sejarah manusia, yang paling hebat dalam kalangan mereka adalah yang paling berjaya dalam mendidik rohani sendiri.


Mereka ialah baginda nabi, para sahabat baginda, dan pengikut-pengikut mereka yang seterusnya.


Antaranya ialah Salahuddin al-Ayyubi yang orang barat memanggilnya Saladin (1137 -1193 M). Beliau ini masyhur kisahnya selepas menawan semula Baitulmuqaddis (Jerusalem).


Kita mendengar kisah bagaimana Sultan Salahuddin ini, beliau memilih tentera di barisan hadapan pasukannya hanya dari kalangan mereka yang pada malam sebelumnya khemah-khemah mereka cerah bercahaya kerana lampu yang dinyalakan untuk memudahkan mereka mendirikan solat sunat tahajjud.


Hasilnya, pada 2 Oktober tahun 1187 mereka menawan semula Baitul Maqdis selepas hampir 88 tahun kota itu dikuasai tentera Salib.



Bahkan Sultan Salahuddin ini sebenarnya jika mendengar kisahnya, dapat mengalirkan air mata kita. Beliau ini ketika wafat pada 4 Mac 1193 di Damsyik, yang ada ketika dibuka peti simpanan beliau hanyalah beberapa dinar sahaja.


Yang jasadnya disegani kawan dan lawan ini, wang simpanannya tidak cukup untuk menguruskan pengebumiannya sendiri. Semua wang yang dimiliki awal-awal lagi telah disedekahkan kepada rakyatnya.


Antara mereka yang hebat ini juga termasuklah Sultan Muhammad al-Fatih (1432-1481 M). Beliau ini masyhur apabila berjaya menakluk Konstantinople.


Kejayaan beliau ini menepati hadis nabi yang telah disabdakan baginda beratus-ratus tahun sebelumnya.


Rasulullah s.a.w. bersabda ketika menggali Parit Khandaq,

“..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”
(Hadis riwayat Imam Ahmad)


Tentera beliau adalah tentera yang mereka ini tidak pernah walau sekali meninggalkan solat fardhu, tentera beliau juga adalah tentera yang mereka ini kebanyakannya tidak pernah meninggalkan solat rawatib sejak baligh.


Namun, antara mereka hanya beliau seorang yang tidak pernah meninggalkan solat tahajjud sejak baligh.


Inilah yang saya lihat sebagai kekuatan yang sebenar. Kekuatan rohani yang dengan kekuatan itu, mereka menawan kota yang selama 800 tahun umat Islam berusaha untuk menaklukinya.





Itulah pendidikan roh yang sebenar. Pendidikan roh yang dengan roh mereka ini, kekuatan pihak batil walau sekuat mana sekalipun tetap dapat ditumpaskan.

MARILAH MENANGIS



Sebenarnya artikel ini saya tulis untuk mengajak kita semua menangis. Menangis kerana kekurangan diri, menangis kerana mengenangkan dosa-dosa kita yang terlalu banyak, kerana maksiat yang bergunung-gunung tingginya.


Menangis kerana maksiat-maksiat kita ini, kita telah dijauhkan dari khusyuk kepada-Nya. Menangis kerana maksiat-maksiat ini, kita jadi dekat dengan dunia. Malah tidak mahu berpisah dengan dunia ini.


Sedangkan dunia ini tidak lebih berharga dari sebelah sayap nyamuk pun. Malah dunia ini pernah baginda nabi sifatkan sebagai bangkai, dan orang yang menggemarinya adalah haiwan yang menggerumuni bangkai.


Marilah menangis kerana kita tidak mampu untuk melazimi solat sunat tahajjud, marilah menangis kerana kita selalu terlupa membaca ayat-ayat suci Al-Quran, marilah menangis kerana kita sukar sekali untuk solat fardu berjemaah di awal waktu.


Marilah menangis dengan air mata keinsafan sebelum sampai masanya nanti apabila kita menangis dengan darah mata sekalipun, insaf kita itu tertolak.





Marilah menangis dan bersujud kepada Allah dengan sujud yang sebenar. Sementara kita masih mampu sujud sebelum sampai masanya nanti kita hanya mampu berlutut,


“Dan (pada hari itu) kamu lihat tiap-tiap umat berlutut. Tiap-tiap umat dipanggil untuk (melihat) buku catatan amalnya. Pada hari itu kamu diberi balasan terhadap apa yang telah kamu kerjakan.” Surah al-Jaathiah ayat 28


Marilah, kita kita menangis dan bersujud kepada-Nya dengan penuh ketundukan hati.


Kita ini,kita beriman kepada-Nya.

"Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan
kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik."

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...