Ukhwah Islamiyyah

Rabu, 7 September 2011

Puasa Sunat Syawal, Ganti & Ziarah

سم الله الرحمن الرحيم


oleh: http://www.zaharuddin.net/

Puasa sunat Syawal sememangnya amat popular di kalangan masyarakat kita hari ini. Dikesempatan ini saya suka menasihatkan semua yang ingin mengamalkan puasa sunat ini agar berhati-hati dari tipu daya syaitan yang kerap berjaya menjadikan seseorang individu yang berpuasa itu bermegah dan riya' dengan amalannya.

" kau , dah hari ker berapa dah?"

"aku dah 5 hari dah ni"

"esok aku raya (sunat syawal)"

Ini adalah antara kata-kata yang kerap didengari di bulan syawal ini.

Ia menjadi seolah-olah satu budaya untuk berlumba menamatkan puasa enam. Ia agak terpuji tetapi ia dicemari oleh habahan-hebahan yang dibuat tentang bilangan hari puasanya bertujuan melihat 'sapa lebih hebat?'.

Amat dibimbangi, tindakan ini bakal menghilangkan seluruh pahala puasa sunatnya. Kerana ia boleh menjadikan seseorang merasa riya, serta memperdengarkan amalan masing-masing yang sepatutnya di sembunyikan khas untuk Allah.

Ziarah & Puasa Sunat

Saya tidak nafikan ada yang terpaksa memberitahu apabila ada rakan yang ajak makan dan menziarahi rumah rakan. Tatkala itu, ia tidaklah terkeji dan masing-masing bertanggung jawab menjaga niat dan hati masing-masing agar tidak timbul perasaan tersebut.

Puasa sunat ini juga tidak sewajarnya menjadi penghalang menerima jemputan rakan-rakan yang membuat rumah terbuka.

Isu Keutamaan Antara Sunat Syawal & Qadha

Selain itu, satu isu yang kerap ditimbulkan berkenaan hal ini adalah tentang penggabungannya dengan puasa ganti ramadhan dan puasa yang mana satu lebih perlu diutamakan.

Jika ada yang bertanya manakah yang lebih baik di antara puasa sunat syawwal dan puasa qadha?. Jawapannya sudah tentu adalah puasa Qadha. Ini terbukti dari hadis Qudsi yang sohih

وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه

Ertinya : "..dan tidaklah hampir kepadaku seorang hambaKu dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya..." (Riwayat Al-Bukhari, no 6021)

Hadis tadi sebagai asas keutamaan, walau bagaimanapun dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang.

Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu Qadha puasanya selama 30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih kuat. Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawwal terlebih dahulu di ketika itu . Ini adalah kerana waktu sunnat puasa Syawwal yang singkat berbanding Qadha (sepanjang tahun).

Bagaimanapun harus di ingat, walaupun waktu bagi puasa Qadha adalah panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dahulu.

Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadannya tetapi sudah berpuasa sunat Syawwal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih berhutang dengan Allah SWT.

Bagaimanapun seseorang yang mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawwal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat syawal itu sekali. Berdasarkan sabda Nabi SAW

إن الله كتب الحسنات والسيئات ثم بين ذلك فمن هم بحسنة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له عنده عشر حسنات إلى سبع مائة ضعف إلى أضعاف كثيرة ومن هم بسيئة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له سيئة واحدة

Ertinya " ... barangsiapa yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah di tuliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, di tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda.." ( Riwayat Al-Bukhari, no 6010)

Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qadha adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari sunat Syawwal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang' ibadah dengan Allah berbanding puasa syawwal yang hanyalah sebagai tambahan pahala.

Isu Gabung Sunat & Qadha

Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :-

Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang specifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.

Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.

Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti' itu dipersoalkan, iaitu :-

1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid' atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid'. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan lain-lain.

2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa'dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a'lam.

3. Tindakan A'isyah r.a yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawwal. Maka inilah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana Aisyah r.a tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut :

كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان

Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya'ban" ( Riwayat Muslim, no 101)

4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam' (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.

Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)

5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad 'Aayish al-'Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awlawiyyat. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW

من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر

Ertinya: "Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)" (Riwayat Al-Bukhari, no 6502).

6. Kita dapat melihat penggunaan ‘fe'il madhi' iaitu ‘past tense' bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.

7. Hujjah ulama yang mengharuskannya adalah hadith

" Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan." (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)

Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).

Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh dibuat sesuka hati di dalam ibadah.

Kesimpulan

Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini : Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal);

Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah "keringanan" bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

25 Oktober 2006

(Diedit semula pada 3 Syawal 1428 H = 15 Oktober 2007)

TERBIT SEMULA : 8 OKTOBER 2008 ( 9 Syawal 1429 H)

Selasa, 6 September 2011

Syarat Taubat Atas Dosa Dengan Allah dan Manusia

سم الله الرحمن الرحيم


Kita sentiasa berada dalam dosa. Dosa-dosa itulah yang menjadi hijab antara hamba dengan Allah SWT dan kerananya juga Allah memandang hamba-Nya itu dengan penuh benci dan murka sehingga terhijab seluruh rahmat dan kasih sayang-Nya. Bila ini terjadi, apa saja amal ibadah dan kebajikan yang kita buat, Allah tidak pandang dan tidak terima. Yakni pahalanya tergantung atau tidak sampai kepada Allah. Bahkan bukan itu saja, di Akhirat besok, Allah akan menghukum dengan Neraka yang maha dahsyat. Oleh itu wajib setiap hamba Allah itu bertaubat dengan segera terutamanya apabila melakukan dosa dan kesalahan.

Taubat ertinya kembali merujuk kepada Allah yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Menyerah diri (surrender) pada-Nya dengan hati penuh penyesalan yang sungguh-sungguh. Yakni kesal, sedih, dukacita serta rasa tidak patut di atas dosa-dosa yang dilakukan sehingga menangis mengeluarkan air mata. Hati terasa pecah-pecah bila mengingati dosa-dosa yang dilakukan itu. Merayu moga-moga Allah ambil perhatian. Memohon agar Allah yang Maha Pengampun akan mengampunkannya. Meminta agar Allah memandang dan memberi dengan penuh kasih sayang. Hati yang pecah-pecah itu menjadikan anggota-anggota lahir (mata, telinga, kepala, kaki, tangan, kemaluan) tunduk dan patuh dengan syariat yang Allah telah tetapkan dan berjanji tidak akan mengulangi lagi perbuatanperbuatan derhaka itu.

Itulah pengertian taubat. Tidak sepertimana sesetengah orang memahami pengertian taubat selama ini. Kata mereka, cukup dengan hanya mengucapkan istighfar di mulut, “ Astaghfirullahal azim.” Hati tidak merasa bersalah dan berdosa. Tidak semudah itu Allah SWT hendak menerima taubat hamba-hamba-Nya kecuali setelah menempuh syarat-syarat (proses) yang telah ditetapkan-Nya.

Syarat-syarat taubat ada dua bahagian sebagaimana dosa dan pahala terbahagi kepada dua, iaitu:

a. syarat taubat di atas dosa dan kesalahan dengan Allah
b. syarat taubat di atas dosa dan kesalahan dengan sesama manusia

SYARAT TAUBAT DOSA DENGAN ALLAH

Antara syarat-syarat taubat yang berhubung kait dengan Allah ialah:

  1. Menyesal sungguh di atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Yakni terasa kesal, sedih, dukacita, rasa tidak patut kerana melanggar syariat Allah. Sekaligus datang perasaan menyerah diri kepada-Nya.
  2. Berazam bersungguh-sungguh tidak akan mengulangi lagi perkara-perkara yang menjadi larangan Allah itu.
  3. Meninggalkan perkara-perkara yang mendatangkan dosa-dosa dengan Allah sama ada dosa besar atau dosa kecil.

a. Antara contoh-contoh dosa besar ialah meninggalkan sembahyang, tidak puasa, tenung nasib, minum arak, zina, judi, rasuah, riba, memfitnah, mengumpat, membunuh dan lain-lain lagi.

b. Di antara dosa-dosa kecil ialah mendedahkan aurat, bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, mendengar nyanyian yang menaikkan nafsu syahwat, bercakap perkaraperkara lucah, bergurau berlebih-lebihan, berkelakar, membazir dan lain-lain lagi.

Oleh itu, kalaulah selama ini kita terlibat dengan perbuatan yang haram (seperti riba, mendedahkan aurat, minum arak) maka kita tidak akan buat lagi atau terus tinggalkan perbuatan tersebut. Juga kalau kita terlibat dengan dosa-dosa kerana meninggalkan perkara-perkara wajib (seperti meninggalkan sembahyang dan tinggal puasa), maka kita tidak akan meninggalkannya lagi. Ertinya kita terus melaksanakan perkara-perkara yang wajib dengan bersungguh-sungguh dan membayar (qadha) segala perintah wajib yang tertinggal.

SYARAT TAUBAT DOSA DENGAN MANUSIA

Sekiranya seseorang itu berbuat dosa dan kesalahan yang ada hubungan sesama manusia, antara syarat-syarat taubat yang mesti ditempuhi ialah:

  1. Menyesal sungguh-sungguh di atas segala kesalahan yang dibuat terhadap orang lain itu. Benar-benar terasa di hati perasaan sedih, dukacita dan rasa tidak patut berbuat begitu.
  2. Meninggalkan terus perkara-perkara yang mendatangkan dosa dengan manusia.
  3. Berazam bersungguh-sungguh untuk tidak mengulangi perkara-perkara yang mendatangkan dosa yang ada hubungan dengan manusia itu.
  4. Meminta maaf atau meminta redha (halal) kepada orang yang kita telah berbuat dosa terhadapnya atau bayar semula ganti rugi atau pulangkan barang yang telah diambil.Dosadosa sesama manusia ini kalau hendak disebutkan terlalu banyak.

Secara ringkasnya ia boleh dibahagikan kepada empat kategori iaitu:

a. Dosa yang ada hubungan dengan harta.
Contohnya hutang yang tidak dibayar, harta yang dicuri, dirampas, ditipu, dibinasakan dan lain-lain lagi. Ini semua mesti minta dihalalkan atau meminta maaf pada orang yang bersangkutan atau bayar hutang atau dibayar ganti ruginya atau seumpamanya.

b. Dosa yang ada hubungan dengan peribadi.
Contohnya pukul, tempeleng, cubit, rotan, dera seperti membuli, mengikat, merantai, menyeksa dengan barangbarang tajam atau binatang-binatang bisa, mencacatkan anggotanya atau memotong anggotanya, mengurung atau memenjarakannya dan lain-lain. Dosa-dosa ini semuanya mesti diminta maaf kepada orang berkenaan dan bersedia menerima hukuman mengikut ketentuan syariat sekiranya dia meminta untuk mengenakan hukuman di atas perbuatan kita itu.

c. Dosa yang ada hubungan dengan maruah atau agamanya.
Misalnya memberi malu di depan khalayak ramai, mengumpat dirinya, menghinanya, menuduh dia dengan tuduhan-tuduhan yang tidak benar, fitnah dan lain-lain kesalahan. Ini mesti diminta maaf atau minta redha.

d. Dosa yang ada hubungan dengan keluarganya.
Contohnya kita pernah pegang-pegang, raba-raba, cium anak gadisnya atau zinai anggota keluarganya atau bunuh ahli keluarganya dan lain-lain. Maka hendaklah minta maaf dan minta redha dari keluarganya. Kalau mereka tidak redha dan maafkan, kenalah sanggup diapa-apakan sahaja oleh pihak keluarganya itu sama ada dipukul, ditempeleng dan sebagainya mengikut yang ditentukan oleh syariat.

Di sini kita dapat lihat bahawa bertaubat terhadap dosa dengan sesama manusia lebih berat daripada dosa dengan Allah. Ia mesti menempuh empat syarat tetapi dosa dengan Allah hanya tempuh tiga syarat.

Semua tuntutan syariat ini mesti dibuat mengikut kaedah di atas, barulah taubat itu diterima oleh Allah. Sungguhpun begitu bukan mudah untuk menunaikan syarat-syarat tadi melainkan setelah memiliki hati yang benar-benar ikhlas dan surrender (menyerah sebulat hati) pada-Nya. Kalau tidak dapat menunaikan syarat-syarat ini, taubat itu tetap tidak akan diterima. Orang yang egonya tinggi amat berat untuk bertaubat. Lebih-lebih lagi dosa yang dilakukan itu terhadap sesama manusia.

Begitulah kasih sayang Allah kepada hamba-hamba-Nya kalau mereka membuat dosa-dosa. Masih ada peluang bertaubat untuk mendapat keampunan dari Allah dengan menempuh syarat-syarat yang telah disebutkan. Kecuali dosa syirik yang tidak mendapat keampunan dari Allah. Ini telah dinyatakan di dalam firman-Nya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa-dosa syirik tetapi akan mengampunkan selain itu.” (An Nisaa’: 48)

Maknanya selain syirik, orang-orang yang bertaubat daripada dosa-dosanya akan diampunkan oleh Allah. Apabila diampunkan, maka samalah dia seperti orang yang tidak berdosa. Sabda Rasulullah SAW:

Sabda Rasulullah SAW: “Orang yang bertaubat daripada dosa sepertilah orang yang tidak berdosa.” (Riwayat At Tabrani)

Sabdanya yang lain: “Sesungguhnya Allah menyukai seorang mukmin yang terjerumus berbuat dosa tetapi bertaubat.” (Riwayat Ahmad)

Seterusnya Sabda Baginda lagi: “Sesungguhnya Allah menerima taubat hamba-Nya selama nyawa belum sampai ke tenggorokan.” (Riwayat Ahmad)

“Semua anak Adam pembuat kesalahan, dan sebaik-baik pembuat kesalahan ialah mereka yang bertaubat.” (Riwayat Addarami)

“Tiada sesuatu yang lebih disuaki Allah daripada seorang pemuda yang bertaubat.” (Riwayat Ad Dailami)
Allah juga memberitahu kita dalam firman-Nya: “Maka barangsiapa yang bertaubat, sesudah melakukan kejahatan itu dan membaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al Maidah: 39)

Firman Allah yang bermaksud: “Tidakkah kamu tahu, sesungguhnya Allah yang mempunyai kerajaan langit dan bumi, diseksa-Nya siapa yang dikehendaki-Nya dan diampuni-Nya bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Al Maidah: 40)

Allah berfirman lagi: “Dan barangsiapa yang mengerjakan ke-jahatan dan menganiaya dirinya kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (An Nisaa’: 110)

Berdasarkan Hadis-Hadis dan ayat-ayat Al Quran tadi, dapat difahami bahawa wajib setiap orang Islam itu bertaubat daripada dosa-dosanya supaya tidak menjadi hijab antara dia dengan Allah SWT (huraian lanjut dalam Bab 28: Rahsia Hati). Setelah bersih daripada dosa, hijab pun terangkat. Terhubunglah kembali kasih Allah yang terputus selama ini. Dia memandang hamba-Nya itu dengan pandangan penuh kasih sayang sehingga rahmat-Nya melimpah ruah. Justeru itu, hiduplah si hamba yang bertaubat itu dengan penuh bahagia di dunia dan mendapat balasan Syurga di Akhirat.

Demikianlah jika sebaliknya berlaku. Kalau hamba itu tidak bertaubat daripada dosa-dosanya, ertinya dia akan sentiasa berada dalam keadaan dosa. Maka terhijablah dia dengan Allah SWT. Hubungannya dengan Allah terputus. Di waktu itu Allah memandangnya dengan penuh kebencian dan kemurkaan. Rahmat dan kasih sayang Allah terputus. Seluruh amal ibadahnya tergantung. Di Akhirat nanti Allah seksa lebih dahulu dengan azab yang amat pedih.

Sebab itu Allah meminta dan memujuk hamba-hamba-Nya supaya segera bertaubat. Firman-Nya: “Dan bersegeralah kamu kepada ampunan Tuhanmu dan kepada Syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang yang bertaqwa, iaitu orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahu pun sempit, dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Dan Allah menyukai orang yang membuat kebajikan. Dan juga orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka, dan siapa lagi yang dapat mengampunkan dosa selain daripada Allah. Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu sedang mereka mengetahui.

Firman Allah: “Mereka itu balasannya ialah ampunan dari Tuhan mereka dan Syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya, dan itulah sebaik-baik pahala orang yang beramal.” (Ali Imran: 133-136)

Berdasarkan ayat ini Allah meminta kita bersegera bertaubat. Yakni membesihkan diri dari dosa dan menyerah diri sepenuh hati pada Allah, sebelum kedatangan mati atau sebelum bertemu dengan-Nya. Kerana mati itu tidak tahu bila masanya. Boleh jadi mengejut, datang tiba-tiba. Setelah bertaubat, Allah menyuruh kita segera mengejar Syurga. Yakni dengan cara melakukan amal soleh atau amal kebajikan seperti berjuang, berkhidmat kepada masyarakat, bersedekah, menahan marah, memaafkan kesalahan orang dan sebagainya. Orang yang tidak bertaubat ertinya orang yang berdosa.

Jika dalam waktu yang sama dia beramal ibadah atau mengadap Allah, perbandingannya samalah dengan seorang rakyat datang mengadap raja iaitu:

a. Jika seseorang itu terlibat dengan dosa-dosa besar, dirinya umpama seorang rakyat yang hendak bertemu raja sedangkan seluruh badan dan pakaiannya penuh dengan najis tahi anjing yang sangat busuk dan menjijikkan. Najis tahi anjing itu bukankah najis mughallazah, yakni najis yang amat be-rat. Jadi dia bukan saja tidak dapat berjumpa dengan raja bahkan di pagar istana lagi sudah ditangkap dan dihukum penjara oleh pengawal-pengawal istana, kerana dianggap mengotori majlis raja.

b. Orang yang melakukan dosa-dosa kecil pula macamlah seorang rakyat yang hendak bertemu dengan raja tapi badan dan pakaiannya penuh dengan najis tahi ayam atau tahi kucing atau tahi lembu yang sangat busuk dan sangat dibenci orang. Macam nasib orang tadi juga, belum sempat berjumpa raja, di pagar istana lagi dia sudah ditangkap dan dihukum penjara. Cuma hukuman yang dijatuhkan mung-kin agak ringan sedikit berbanding dengan orang yang pertama tadi.

c. Demikianlah juga berlaku dengan orang yang melakukan perbuatan-perbuatan makruh. Orang ini macamlah orang yang badan dan pakaiannya bercelomos dengan lumpur, debu-debu, habuk-habuk atau peluh yang busuk dan berbau hangit tapi bukan bernajis. Tiba-tiba dia mahu mengadap raja. Mungkin dia tidak dihalang untuk ke majlis raja tapi dia akan dimarahi dan ditempelak oleh pengawal raja kerana dianggap tidak bersopan. Walaupun tidak ditangkap tapi dia akan dapat malu juga kerana dimarahi.

Oleh itu untuk bertemu raja, ada syarat-syaratnya yang mesti dijaga supaya sentiasa berdisiplin iaitu kemas, bersih, rapi dan tahu adab-adab mengadap raja. Kalau tidak, di luar istana lagi akan dihalau, tidak diterima masuk mengadap dan ditangkap untuk dipenjarakan.

Demikianlah juga dengan orang-orang yang melakukan kesalahan, sama ada dosa-dosa besar mahupun dosa-dosa kecil, kalau tidak bertaubat, di Akhirat dia tidak berpeluang melihat Zat Allah yang Maha Indah. Sebaliknya, tempatnya adalah Neraka yang amat pedih dan amat dahsyatnya. Orang yang melakukan perbuatan makruh juga kalau tidak bertaubat, walaupun tidak diazab seksaan Neraka, tapi Allah memandang dengan penuh benci. Dia dimarahi, diherdik dan diberi malu di depan makhluk-makhluk lain sehingga malu yang dirasakan pada kita waktu itu tidak terhingga dan terkata. Sehingga cair dan gugurlah segala daging-daging di muka dan akhirnya tinggallah rangka-rangka yang sangat hodoh dan mengerikan. Begitulah penanggungan malu yang dirasakan waktu itu.

Itu baru azab malu kerana terlibat dengan perbuatan makruh yang Allah benci. Itupun sudah tidak tertanggung oleh kita. Gambarkanlah seksaan yang akan ditanggung kalau melakukan dosa-dosa besar dan dosa-dosa kecil. Sudah tentu tersangatlah azab dan seksanya. Oleh itu marilah kita sama-sama bertaubat daripada segala dosa sama ada dosa-dosa kecil dan perbuatan yang dibenci iaitu makruh. Moga-moga kita menjadi orang yang bertaubat dan taubat kita diterima oleh Allah.

Sabtu, 3 September 2011

Menjadi Hamba Tanpa Musim

سم الله الرحمن الرحيم


oleh:Langitilahi.com

Salam taaruf dan salam aidilfitri kepada semua pembaca. Maaf zahir dan batin. Moga Allah menerima Ramadhan kita !

Ramadhan telah pergi. Pergi buat kesekian kalinya. Tidak tahu apakah masih ada peluang untuk bertemunya sekali lagi.

Ramadhan telah habis dan tidak ada, tetapi Allah tetap ada.

Siapa yang beriman dengan Ramadhan, maka sesungguhnya Ramadhan telah pergi.

Sesiapa yang beriman kepada Allah, maka Allah sentiasa ada untuk menjaganya.

Dan, misi Ramadhan itu telah selesai bagi semua. Bezanya, ada yang berjaya dan ada yang gagal.

Bagi yang telah berjaya melaksanakan misi ini, maka sungguh dia telah berjaya. Rahmat Allah melimpah ruah ke atasnya, berlipat kali ganda keampunan ditambah lagi janji pembebasan daripada api neraka.

Bagi yang gagal, maka telah nyata dia gagal dan rugi. Tidaklah menghairankan selepas ini, jika ada yang menukarganti ‘persalinan-persalinan’ sebagai hamba Allah, dan memakai ‘persalinan’ yang bukan kepunyaan Allah.



‘PERSALINAN’ ALLAH, BOLEHKAH DITUKARGANTI?

Semasa Ramadhan, ramai yang memakai ‘persalinan’ sebagai hamba Allah. Berpuasa. Membaca Al-Quran. Melaksanakan solat-solat sunat. Alhamdulillah. Itu satu perkembangan yang sangat baik. Tetapi, sayangnya ia tidak bertahan lama.

Ramai yang mula menanggalkan ‘persalinan’ itu usai Ramadhan. Lupa yang dulu mulutnya pernah berzikir, membaca ayat-ayat Allah. Lupa yang dahulunya dahinya pernah sujud, tunduk penuh kehinaan di depan Allah.

Mulalah memakai ‘persalinan’ baru yang bukan milik Allah. Sedangkan kehidupan kita sebagai hamba Allah ini adalah 24/7.

Sekiranya kita memakai ‘persalinan’ selain Allah yang punya, maka kita seolah-olah telah merehatkan diri kita daripada menjadi hamba Allah. Maka, bermulalah episod kehidupan yang diisi dan dicampuraduk dengan siri-siri maksiat dan dosa kepada Allah bila diri rehat daripada menjadi hamba Allah.

Sepatutnya tidak ada masa rehat untuk IMAN walau sesaat pun. Siapa yang memberi rehat kepada IMAN, maka tunggulah NAFSUdan konco-konconya akan bermaharajalela dan mengambil alih jiwa.

Apabila bukan iman yang menguasai jiwa, maka tunggulah kehancuran dan kerosakan akan bertebaran di atas muka bumi ini.

Imam Ahmad Ibn Hanbal pernah ditanya: “Bila seseorang mukmin itu boleh beristirehat?” Jawabnya : “Bila kakinya telah berada di syurga.”

Justeru, mari muhasabah sebentar. Masih adakah masa rehat selepas Ramadhan? Masih adakah masa untuk berehat dalam perjalanan mengejar syurga Allah?

Tidak. Sebenarnya tidak ada walau sesaat sekalipun. Hatta, masa tidur (bukan semua jenis tidur) pun sebenarnya adalah sebahagian daripada saham dalam perjalanan itu !

Kita perlu pastikan usaha kita untuk menjejaki syurga Allah itu berterusan, ada ISTIMRARIAH (penerusan). Kerana nanti, di syurga, kita pun akan hidup secara berterusan.

Maka, untuk itu, usai Ramadhan ini, ada sesuatu yang besar kita perlu lakukan.



JADILAH HAMBA ALLAH TANPA MUSIM

Yang kita perlu lakukan, jadilah hamba Allah tanpa musim !

Jadikan setiap musim, adalah musim-musim perhambaan kepada Allah. Berdiri penuh ketundukan kepada Allah. Berjalan untuk memakmurkan bumi ini dengan sistem Allah.

Itulah hamba tanpa musim. Yang layak memiliki syurga itu hanyalah yang terus-menerus bergerak sebagai hamba Allah dalam kehidupan.

Sabda Rasul s.a.w. yang mafhum bermaksud:

“Berpegang teguhlah dengan (amal) yang benar (dengan tidak melebih-lebihkan dan tidak pula meringan-ringankan) dan buatlah sesuatu (amal) yang lebih hampir kepada sempurna (jika kamu tidak mampu melakukan yang sempurna itu) dan ketahuilah amalan seseorang dari kamu tidak dapat memasukkannya ke dalam syurga dan (ketahuilah) bahawa amal yang paling disukai Allah ialah (amal) yang paling berkekalan sekalipun sedikit.”

[HR Bukhari Muslim]

Orang yang bersemangat hanya pada musim tertentu sahaja, semangat itu tidak ada nilai jika amalannya tidak berterusan. Semangat yang bukan atas dorongan iman, ia tidak akan berkekalan.

Sangat bersemangat mengikuti solat tarawih pada bulan Ramadhan, curahkan sepenuh tenaga untuk membaca Al-Quran di bulan Ramadhan, tetapi usai Ramadhan, semangat pun hilang, keseronokan dalam beribadah pun sudah pudar.

Dan yang lebih menakutkan, adalah apabila dia kembali meletakkan selain Allah sebagai keutamaan dalam kehidupan!



PENUTUP : PROGRAMKAN PENERUSAN UNTUK PERUBAHAN!

Istimrariah (penerusan) perlu dirancang, bukan hanya dicanang. Barulah akan wujudnya perubahan dan peningkatan.

Bahkan Nabi sendiri menganjurkan ummatnya supaya meneruskan amalan ketaatan kepada Allah di bulan Syawal dengan ibadah puasa selama enam hari.

Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya bermaksud : Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan meneruskannya dengan enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seolah-olah berpuasa selama setahun.

[Hadis riwayat Muslim]

Lihat, Nabi pun merancang dan menyusun penerusan. Takkan kita berdiam diri sahaja tanpa ada pelan tindakan?

Tidak ada orang yang ke syurga dengan tangan kosong. Mustahil juga ada orang berjaya dalam peperiksaan tanpa melakukan apa-apa persediaan.

Nabi s.a.w. sendiri pun menitiskan air mata dan darah, untuk membuktikan kepada ummatnya bahawa hendakkan syurga, perlukan kesungguhan.

Lihatlah peristiwa Perang Khandak. Itu adalah bukti.

Nabi s.a.w. dan para sahabat menggali parit, berusaha dengan semaksimum mungkin membuat persediaan untuk berperang dalam bulan Ramadhan. Dan, mereka tidak berhenti setakat itu.

Bahkan, usaha mereka berterusan hingga selepas Ramadhan, berperang dan meraih kejayaan dalam peperangan itu. Itu adalah peningkatan setelah usaha yang berterusan.

Kita perlu susun dan rancang penerusan kita selepas Ramadhan ini.

Biar nanti kita tidak bermusim dalam mentaati Allah.

Biar nanti usaha kita berterusan mengejar syurga Allah itu ada buktinya dalam setiap saat kehidupan.

Barulah layak untuk kita memiliki kemuliaan dan ketinggian.

“Laisal ‘aidu man labisa jadid walakinnal ‘aida man tho’atuhu yazid”

Maksudnya :

Bukanlah Hari Raya itu itu untuk yang berpakaian baru, tetapi Hari Raya itu ialah bagi mereka yang semakin bertambah ketaatannya kepada Allah.

Justeru, ayuh meraih himmah dengan istimrariah!

artikel: © Langitilahi.com

Jumaat, 2 September 2011

Kisah Insan Yang Mahu Hatinya Terikat Dengan ALLAH S.W.T

سم الله الرحمن الرحيم


Suatu petang yang nyaman, angin petang bertiup tenang, burung berterbangan dicelah pohonan, beginilah ia suasana kampung..


tiba-tiba,


kedengaran azan yang menyeru manusia, seruan kepada kewajipan bagi setiap hamba-Nya, maka datanglah manusia yang berakal dan sedari ia, berdirilah mereka di belakang Imamnya..

beginilah keadaan seharian, solah jema'ah di dirikan, bertambah erat ikatan persaudaraan, bersama-sama menuju ke arah keredhaan..

subhanallah, alhamdulillah, Allahuakbar..

selesai sahaja solah berjema'ah itu, kemudian disambung dengan zikir dan doa, kemudian bersalaman mereka itu, indahnya Islam yang diredhai-Nya..

Selesai sahaja semua itu..

seorang pemuda kelihatannya sedang turun dari masjid.. sebelum sempat dia menyarung seliparnya, tiba-tiba bahunya di sentuh, "assalammualaikum, abang, boleh berbual dengan abang jap"..

Tersenyum pemuda itu menoleh kepada suara itu yang datang dari belakangnya, "waalaikummusalam, boleh, kita duduk di sana ya", lalu si pemuda itu menunjuk dengan ibu jarinya ke arah suatu sudut di luar masjid..

si lelaki itu tadi hanya tersenyum dan mengekori pemuda itu..



setelah duduk, si lelaki itu memulakan bicaranya, "abang, saya sebenarnya nak tanya, selalunya kerja yang kita buat sendiri itu lebih baik daripada kita menumpang kerja orang lain, begitu kan?"

si pemuda itu tersenyum, "apa yang sudah berlaku?"

si lelaki itu menyambung, "sebenarnya, saya nak tanya, saya selalu je amin kan doa sesiapa yang menjadi Imam solah, atau pun sesiapa yang berdoa, sedangkan saya jarang berdoa, atau, memang sikit sangat berdoa, jadi doa yang saya amin kan tu macam mana nilainya ya? sama ke dengan Imam atau orang yang berdoa? sedangkan saya hanya amin kan sahaja.."

si pemuda itu tersenyum, "boleh tak kamu ambil air dari kolah masjid itu ke sini? ambil dengan gayung"

si lelaki itu menurut sahaja..

selepas beberapa ketika, si lelaki itu datang kembali bersama segayung air dan diberikannya kepada si pemuda itu..

si pemuda itu mengambilnya dan terus meneguknya sekali.. dan kemudian menghulurkannya kepada si lelaki itu pula..

"cuba kamu minum air dari gayung ini seperti mana abang minum" kata si pemuda itu..

si lelaki itu menurut sahaja..

si pemuda itu tersenyum, "jadi, apa rasa air itu? abang rasa tawar sedikit, ada sedikit masin"

si lelaki itu mengangguk, "sama lah dengan saya, abang, kan air ni air sama sahaja, bukannya saya ada tambah gula ke apa", jawab si lelaki itu dengan nada bergurau..

si pemuda itu tersenyum, "maka begitulah jawapan bagi soalan kamu itu, doa yang sama, maka nilai pun sama, insya Allah, walaupun doa itu dibaca oleh orang lain, tetapi kamu amin kan juga, insya Allah, nilai yang diperolehinya sama.."

si lelaki itu bertanya lagi, "tetapi abang, sepatutnya Imam atau yang membaca doa itu lebih nilainya kan, sebab dia yang bacanya"

si pemuda itu tersenyum, "jadi seperti mana air tadi, kamu yang ambilkan dari kolah, kamu yang bawa ke sini dengan gayung, maka sepatutnya kamu lah yang lebih rasa sedap air itu, manis ke, tetapi kenapa sama juga rasanya seperti abang?"

si lelaki itu menjawab, "sebab air yang sama"

si pemuda itu tersenyum, "alhamdulillah, itu jawapannya, secara umumnya begitu..

di sudut pahala, adakah sama di antara kedua-duanya?, wallahua'lam, Allah lebih mengetahuinya, yang pasti kita kena usaha beramal ibadah kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala..

secara umumnya, begitulah, di mana Imam membaca doa, dapat pahala, si makmun yang mengaminkan pun dapat pahala..berapa nilainya? wallahua'lam, Allah jua lebih mengetahuinya..

begitu juga kalau orang lain, seperti orang baca doa untuk sesuatu majlis ke, kita aminkan bacaan doa itu, insya Allah, kita akan adanya pahala untuk itu, nilainya? wallahua'lam, Allah jua yang lebih mengetahuinya..

abang tambahkan sedikit lagi ya untuk pemahaman dan perkongsian bersama..

Di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Sayyiduna Ibnu 'Abbas Radhiyallahu 'anhu,



عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: اَلدَّاعِيْ وَالْمُؤَمِّنُ فِي اْلأَجْرِ شَرِيْكَانِ

(yang bermaksud) : "Daripada Sayyidina Ibnu 'Abbas Radhiyallahu 'anhu, beliau telah berkata : Telah bersabda (Sayyiduna) Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam : Orang yang berdoa dan orang yang mengaminkan sama-sama memperoleh pahala"

(Hadits riwayat al-Imam al-Dailami di dalam Musnad al-Firdaus)

wallahua'lam..

walaupun ada pendapat mengatakan hadits ini adalah hadits dhaif, tetapi kita boleh beramal dengannya, kita bukannya nak berhujah tetapi nak beramal..

kalau ada juga yang nak komen tentang doa orang lain, kita amin kan..atau ada lah orang nak kata tak leh doa secara berjemaah ke apa ke, atau tak leh berdoa selepas solah berjemaah ke....

maka, jawab sahaja dengan dalil yang lebih kukuh, iaitu suatu peristiwa yang berlaku di zaman Nabi Musa 'alaihi Sallam..

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala :

قَالَ قَدْ أُجِيبَتْ دَعْوَتُكُمَا فَاسْتَقِيمَا

(yang bermaksud) : "Sesungguhnya telah diperkenankan doa kamu berdua, oleh kerana itu tetaplah kamu berdua pada jalan yang lurus"

(surah Yunus, ayat 89)

Di dalam ayat itu, ia menegaskan tentang dikabulkannya doa Nabi Musa 'alaihi Sallam dan Nabi Harun 'alaihi Sallam, sedangkan yang berdoa hanyalah seorang iaitu Nabi Musa 'alaihi Salam, dan Nabi Harun 'alaihi Sallam hanya mengucapkan "amin", hal ini dijelaskan oleh para mufassirin..

dan untuk berdoa selepas solah berjema'ah pula..


Imam ath-Thabarani ada meriwayatkan hadits di dalam kitab beliau (Mu'jam al-Ausath, daripada Sayyidina Ibnu 'Umar Radhiyallahu 'anhu, صَلَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلاةَ الْفَجْرِ ، ثُمَّ انْفَتَلَ ، فَأَقْبَلَ عَلَى الْقَوْمِ ، فَقَالَ : " اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي مَدِينَتِنَا ، وَبَارِكْ لَنَا فِي مُدِّنَا وَصَاعِنَا ، اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي شَامِنَا ويَمَنِنَا " ، فَقَالَ رَجُلٌ : وَالْعِرَاقُ يَا رَسُولَ اللَّهِ ، فَسَكَتَ ، ثُمَّ قَالَ : " اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي مَدِينَتِنَا ، وَبَارِكْ لَنَا فِي مُدِّنَا وَصَاعِنَا.

(yang bermaksud) : "Telah bersolah Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam (Sayyiduna Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wa Sallam) akan solah (fardu) Subuh. Kemudian Baginda Shallallahu 'alaihi wa Sallam (Sayyiduna Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wa Sallam) menghadap kepada kaumnya, lalu berdoa : Ya Allah, berkatilah kami pada kota kami, berkatilah kami pada cupak dan gantang kami."



alhamdulillah, wallahua'lam..

maka, jelaslah kepada kita berdua, bahawa doa si Imam, dan kemudian kita mengaminkannya, insya Allah diperkenankan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala, sesungguhnya hanya Allah jua yang mengetahui..

begitu juga perbuatan doa selepas solah secara beramai-ramai, ia dibolehkan dan ia adalah sunnah Sayyiduna Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam..seorang Imam berdoa, kemudian di aminkan oleh makmunnya, insya Allah..

bolehkah begitu jawapannya? hanya itu yang termampu abang kongsikan.."

si lelaki itu hanya tersenyum dari tadi, "alhamdulillah, terima kasih di atas jawapannya, insya Allah, semoga saya dapat amalkan ilmu yang diperolehi ni, amin..

abang, jadi, sebaiknya kalau solah berjema'ah ni, selepas memberi salam, kita bersama-sama Imam berzikir, berselawat, kemudian mengaminkan doa si Imam, begitu ya?"

si pemuda itu tersenyum, "alhamdulillah, ya, itulah sebaiknya, dan itulah sunnah Sayyiduna Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wa Sallam..

kalau tak leh buat banyak, usahalah buat sikit-sikit..

sebaiknya, usahalah buat semua sunnah Sayyiduna Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wa Sallam, insya Allah, semoga Allah permudahkannya"..

si lelaki itu tersenyum dan menyambung lagi, "alhamdulillah, jadi kesimpualannya, untuk amin kan bacaan doa orang lain itu juga tidak salah, kan?"..

si Pemuda itu tersenyum, "alhamdulillah, ya, tidak salah, bahkan ia adalah sunnah Sayyiduna Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wa Sallam..

sebenarnya, adalah baik kita mengaminkan doa Imam atau orang yang soleh, moga-moga doanya adalah doa yang mustajab, dan kita juga mendapat keberkatan doa itu juga, insya Allah..

dan amat-amat baik pula, andai kemudian kita sendiri yang membaca doa, dan kita aminkan doa kita..begitu lebih baik, dan dapat kedua-duanya..tak salah doa banyak kali, kan?

Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta'ala amat suka kepada hamba-Nya yang sentiasa berdoa, berzikir pada-Nya..

قَالَ رَسُوْلُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى : أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي، وَأَنَا مَعَهُ، إِذَا ذَكَرَنِي، فَإِنْ ذَكَرَنِي فِي نَفْسِهِ، ذَكَرْتُهُ فِي نَفْسِي، وَإِنْ ذَكَرَنِي فِي مَلَإٍ، ذَكَرْتُهُ فِي مَلَإٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ، وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ، بِشِبْرٍ، تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ ذِرَاعًا، وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ ذِرَاعًا، تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ بَاعًا، وَإِنْ أَتَانِي يَمْشِي، أَتَيْتُهُ هَرْوَلَةً

(yang bermaksud) : "Sabda (Sayyiduna) Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam : "Dia (Allah Subhanahu waTa'ala) berfirman : "Aku bersama prasangka hamba-Ku, dan Aku bersamanya ketika ia mengingat-Ku, jika ia mengingat-Ku (menyebut-Ku) dalam kesendirian, maka Aku mengingatnya dalam Dzat-Ku, jika ia mengingat-Ku di tempat yang ramai, maka Aku mengingatnya di tempat yang lebih ramai (para malaikat)"

dan..

وَقَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اللَّهُ تَعَالَى أَنَا مَعَ عَبْدِي حَيْثُمَا ذَكَرَنِي وَتَحَرَّكَتْ بِي شَفَتَاهُ



(yang bermaksud) : "dan berkata (Sayyidina) Abu Hurairah (Radhiyallahu 'anhu), dari Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam (Sayyiduna Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wa Sallam), Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman : "Aku bersama hamba-Ku, saat hamba-Ku mengingat-Ku dan bergerak bibirnya menyebut nama-Ku"

subhanallah, maka doa banyak kali lagi baik, sesungguhnya itulah tandanya hati sentiasa bergantung kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, hati yang sentiasa terikat dengan Allah Subhanahu wa Ta'ala..

subhanallah.."

si lelaki itu tersenyum, "alhamdulillah, betul tu, doa banyak kali, subhanallah, alhamdulillah, terima kasih ya abang, semoga saya dapat amalkan semua yang di perolehi ini, insya Allah"

si pemuda itu tersenyum, "amin ya Rabb, insya Allah, semoga kita bersama-sama dapat amalkannya..rasanya dah lewat ya, abang balik dulu, boleh?"

si lelaki itu tersenyum, "alhamdulillah, boleh, saya pun nak balik juga"..

maka, bersalamanlah mereka berdua, dan kedua-duanya berjalan pulang ke rumah masing-masing..

wallahua'lam..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...