Ukhwah Islamiyyah

Selasa, 31 Disember 2013

TRANSFORMASI TAHUN BARU


Seorang pemuda tergesa-gesa masuk ke sebuah kedai runcit di sebuah pekan kecil. Setelah dia membayar satu tin minuman dan mendapatkan baki duit syiling, dia terus mendapatkan set telefon berbayar yang terletak dihujung kaunter tadi. Sungguh berhati-hati dia mendail dan mula berbual. Tuan punya kedai runcit turut memasang telinga mendengar perbualan pemuda berkenaan.

Pemuda: "Puan, bolehkah saya mendapat pekerjaan memotong rumput di halaman rumah puan?"

Puan: "Saya sudah ada pekerja..".

Pemuda: "Puan boleh membayar saya separuh upah dari orang itu".

Puan: "Saya amat berpuas hati dengan hasil kerja pekerja saya itu".

Pemuda (merayu): "Saya akan menyapu dan membersihkan halaman rumah puan dan saya jamin di hari minggu halaman rumah puan akan jadi yang tercantik di antara rumah-rumah yang berada di situ".

Puan: "Tidak, terima kasih".

Pemuda tadi terus meletak kembali gagang telefon. Tuan punya kedai runcit turut bersimpati, dan mendekati pemuda tadi.

Pemilik Kedai: "Anak muda, aku suka sikapmu, semangat positifmu, dan aku ingin menawarkanmu pekerjaan".

Pemuda: "Tidak. Terima kasih sajalah Pak Cik!".

Pemilik Kedai: "Tapi tadi kedengarannya kamu sangat memerlukan pekerjaan".

Pemuda: "Oh, itu. Sebenarnya Pak Cik, Saya mahu memastikan apakah kerja yang selama ini saya lakukan memuas hati majikan saya atau tidak. Sayalah tukang kebun yang bekerja untuk puan dalam telefon tadi!" 

Hebat Pemuda tadi! Kita juga patut menilai prestasi kerja yang kita lakukan di tahun 2013 untuk memastikan kualiti yang lebih baik lagi di tahun 2014.

Ingatlah...... "WAKTU seperti sungai, kita tidak boleh menyentuh air yang sama untuk kedua kalinya, kerana air yang telah mengalir akan terus berlalu dan tidak akan pernah KEMBALI".

Selamat menyambut tahun baru 2014!

Jumaat, 27 Disember 2013

Peringatan Berharga di Tahun Baru






















Khutbah Jumaat Tahun Baru 2014... Renung-renungkan wahai jemaah..

Tajuk : Peringatan berharga di tahun baru

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ 

Sidang jumaat mudah-mudahan dirahmati Allah
Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan sidang jumaat sekali, marilah kita menambahkan tahap ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan seluruh perintahnya dan meninggalkan seluruh larangannya… maka beruntunglah orang yang bertaqwa…..

Sidang jumaat yang dirahmati Allah
Sedar tak sedar kita sudah berada dalam tahun 2014M… Ini bermakna bahawa umur kita telah menjangkau setahun lagi….Maka mahu tak mahu kita telah meningkat lebih tua daripada setahun yang lepas. Ini memberi erti subsidi umur yang Allah kurniakan kepada kita semakin berkurang, jarak perjalanan kita ke alam barzakh semakin dekat , panggilan kubur bertambah nyaring, rumah kata pergi semakin lantang kedengaran dan kematian semakin hampir dengan kita. Berbahagialah mereka yang membuat persediaan yang cukup ke arah menghadapi segalanya itu. Sebaliknya celaka besarlah mereka yang terus lali dan tidak mengambil peduli tentang perkara itu..

Sebagai seorang muslim tentulah yakin tentang adanya hari kiamat, Di mana pada hari itu setiap individu akan menerima pembalasan yang paling adil daripada Allah SWT atas segala yang kita lakukan selama hidup di alam maya ini..Kita seharusnya membuat perhitungan lebih awal lagi tentang apakah pembalasan yang bakal diterima di akhirat nanti serta berusaha sedaya upaya untuk mengumpul bekal yang boleh dibawa bersama-sama pada hari yang tak berguna lagi segala harta kekayaan, pangkat kebesaran, anak pinak dan kaum kerabat, hanya amal bakti terhadap Allah SWT sahaja yang berfaedah.

Pada akhir tahun, tidak kiralah tahun masihi atau tahun hijriah, sesorang itu patut menutup rekod kegiatan serta amalannya. Rasulullah SAW pernah mengingatkan kepada umatnya semua supaya mengira dan menimbang amalan-amalan diri sendiri sebelum orang lain mengira dan menimbangnya. Dengan berbuat demikian dapatlah diperbaiki mana-mana kecacatan, menampung segala kekurangan dan memperbetulkan segala kesalahan. Tetapi mungkin tidak ramai dari kita yang sedar dan berbuat begitu. Akibatnya menjadikan kita sebagai seorang yang lalai dengan urusan dunia , leka mengejar kemewahan dan kesenangan sementara…. Lebih teruja merancang di mana mahu menyambut tahun baru daripada bermuhasabah diri yang semakin dimakan usia. Bagi orang yang bersikap seperti ini, Allah SWT telah mengingatkannya melalui firmannya didalam surah Al-munafikun ayat 9-11 :

Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). dan (ingatlah), sesiapa Yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang Yang rugi. dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki Yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadaNya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu Dengan katanya: " Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa Yang sedikit sahaja lagi, supaya Aku dapat bersedekah dan dapat pula Aku menjadi dari orang-orang Yang soleh ". dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu Yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah amat mendalam pengetahuannya mengenai Segala Yang kamu kerjakan.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah
Sebelum terlewat, kita semestinya bertindak untuk memperhitungkan untung ruginya masa yang telah berlalu itu. Sebenarnya masa hidup kita di atas dunia amatlah terhad, jarang sekali umur manusia di zaman ini berlanjutan sehingga seratus ke dua ratus tahun, tetapi hitung panjang kebanyakkan orang tidak lebih daripada 70 ke 75 tahun. Cubalah perhitungkan diri kita masing-masing, kalaulah sekadar itu sahaja umur kita dilanjutkan, berapa lama lagi sisa umur kita yang masih tinggal? Apakah patut kita habiskan masa yang sedikit itu untuk terus tidur, bekerja dan berhibur semata-mata tanpa diisi dengan pengisian yang akan menjadi bekal untuk kita menghadap Allah SWT di hari akhirat kelak.

Solat fardhu yang sebanyak 5 kali sehari semalam itu mengandungi 17 rakaat semuanya. Kalau tiap-tiap rakaat mengambil masa 3 minit, semuanya berjumlah 51 minit. 3 minit untuk satu rakaat memang sangat lama dan lebih dari cukup bagi sesetengah orang. Tetapi oleh kerana wirid-wirid dan doa-doa selepas solat maka dikirakan satu jam semuanya bukan sekadar 51 minit sahaja. Berdasarkan jumlah ini, maka sebulan mengambil masa 1 hari 6 jam. Dalam setahun meningkat kepada 15 hari. Manakala dalam masa 50 tahun pula menjadi 2 tahun 1 bulan. Kalaulah begitu keadaannya, jelaslah betapa sedikitnya umur kita digunakan untuk beribadah kepada Allah dalam erti kata sebenarnya berbanding dengan kehidupan kita mengejar duniawi.

Bagi mereka yang suka cuai dan selalu mengabaikan solat amnya dan solat berjemaah khususnya, tidakkah terlintas di dalam hati mereka tentang betapa degilnya mereka, betapa kufurnya mereka terhadap nikmat Allah sehingga tidak sanggup menghabiskan 1/25 dari umurnya untuk beribadah kepada Allah bagi faedah dirinya sendiri… pulang ke rumah nanti sama-sama kita renungkan..lapangkan dada, buka minda seluas-luasnya, adakah kita tergolong dalam golongan yang Allah sebutkan sebagai orang yang teramat rugi.

Sidang jumaat yang dirahmati Alllah,
Oleh itu, bersempena kita berada di tahun baru masihi ini, marilah kita memperbaharui keazaman kita masing-masing untuk melakukan perubahan daripada jauh dari Allah kepada dekat dengan Allah, hidupkan kehidupan beragama dalam diri kita dan keluarga kita, kembali bertaut dengan kitabullah dan sunnah rasulnya..Kepada mereka yang jarang datang berjemaah, mungkin banyak alasan yang dikemukakan samada alasan itu benar atau sengaja direka-reka, kalau datang pun bila ada masalah seperti mahu menjemput orang surau ke kendurinya atau ada kematian atau ada pernikahan anaknya…. Berazamlah untuk datang berjemaah sekerap-kerapnya.. jadikan surau atau masjid itu sebagai rumah kedua kita, jangan ditunggu bila dah pencen barulah nak berubah, sebab roh kita akan dijemput pada bila-bila masa, bukan menunggu kita pencen. Ubah sebelum parah. Mudah-mudahan keazaman dan perlaksanaan perubahan kita itu diberi sejuta keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT.

Sidang jumaat yang dirahmati Alllah, Pada hari jumaat yang mulia ini, marilah sama-sama kita memperbaiki dan menyucikan hati kita yang mungkin sudah menjadi kotor dengan kemaksiatan kepada pencipta ini.. jangan jadikan hati kita ini sebagai hati orang yang kufur mahupun hati si munafik.. Kerana yang hanya selamat dihadapan Allah SWT adalah orang yang mengadapnya hal keadaan hati yang selamat daripada kekufuran, kemaksiatan serta kemunafiqan.

"Hari Yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. "Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang Yang datang mengadap Allah Dengan hati Yang Selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik);

 بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

APAKAH 8 SEBAB AMALAN DITOLAK?




















Berikut ialah sebab-sebab amalan kita tidak diterima di setiap lapisan langit:

1. Lapisan Langit Pertama: Mengumpat.
2. Lapisan Langit Ke-2 : Amalan untuk keuntungan dunia semata-mata.
3. Lapisan Langit Ke-3 : Sombong atau takabbur.
4. Lapisan Langit Ke-4 : Ujub.
5. Lapisan Langit Ke-5 : Dengki.
6. Lapisan Langit Ke-6 : Tidak berbelas kasihan kepada orang lain.
7. Lapisan Langit Ke-7 : Riak.

 ๑๑ Menurut Imam Al-Ghazali, riak boleh berlaku dalam 12 perkara iaitu: ๑๑

1. Riak dalam ibadat.
2. Riak dalam ilmu.
3. Riak dalam amalan.
4. Riak dalam kata-kata.
5. Riak bila berzuhud.
6. Riak dengan harta.
7. Riak kerana pangkat.
8. Riak dengan pencapaian.
9. Riak dengan kebolehan.
10. Riak dengan kecantikan tubuh badan.
11. Riak dengan suara yang lunak merdu.
12. Riak dengan kumpulan yang disertai.

Akhir sekali, apabila amalan yang dihadapkan kepada Allah melepasi kesemua 7 lapisan langit, ada satu lagi sebab mengapa amalan kita ditolak oleh Allah S.A.W. Sebab amalan kita ditolak setelah melepasi 7 lapisan langit ialah amalan yang tidak disertai keikhlasan.

Sama-samalah kita bermuhasabah diri. Jadikan petikan hadith ini sebagai peringatan dan panduan dalam kehidupan seharian kita.

Rabu, 25 Disember 2013

Aceh, Hikmah Tsunami Di Astro Oasis


Masih terpahat di hati penduduk Aceh selepas sembilan tahun tragedi Tsunami yang berlaku pada tahun 2004 kekal tersimpan sebagai ‘memori duka’ terutamanya mereka yang kehilangan orang yang tersayang. Tidak hanya di Aceh, tragedi pilu turut meragut ratusan ribu penduduk yang tinggal di Sri Lanka, Thailand termasuk Malaysia.

Sebagai memperingati kisah menyayat hati yang telah meragut hampir 200,000 ribu nyawa di Aceh, pihak Astro bakal membawakan anda sebuah dokumentari berjudul Aceh, Hikmah Tsunami yang bakal menemui para penonton pada hari Khamis, 26 Disember 2013 bermula jam 11.00 malam di Astro Oasis (106).

Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Encik Namanzee Harris, beza antara dokumentari Tsunami terbitan pihak Astro dengan produksi yang lain adalah bagaimana kebangkitan umat Islam di Aceh selepas kejadian pilu ini berlaku.

“Sedia maklum, sudah banyak dokumentari Tsunami Aceh telah diterbitkan tetapi untuk kali ini Aceh, Hikmah Tsunami menyingkap kebangkitan umat Islam di sana selepas meragut hampir 200,000 nyawa selain menggubah sekaligus landskap bumi Aceh.

“Jadi kami akan paparkan empat kisah menarik di Aceh iaitu kehidupan seorang anak yatim, cerita bekas pemberontak Gerakan Aceh Merdeka (GAM), kisah seorang ibu yang kehilangan anak-anaknya dan keajaiban seorang lelaki yang ditakdirkan terselamat apabila sebuah bot mendarat di atap rumah jirannya.

“Dokumentari ini juga bakal mengubah penerimaan dan tanggapan para penonton tentang bencana alam dan bagaimana kemusnahan yang banyak mampu mengubah pembangunan fizikal serta peningkatan kualiti kehidupan yang dinikmati oleh penduduk Aceh,” ujar Namanzee kepada Astro Gempak.

Lebih menarik, pihak Astro turut berpeluang sekali lagi bekerjasama dengan pihak Layar Consult Sdn Bhd yang baru sahaja memenangi anugerah dalam kategori Rancangan Dokumentari/Majalah Terbaik di Anugerah Skrin 2013 menerusi rancangan Salam Muslim.

Jelas Namanzee lagi, selain tragedi di Aceh, pihak Astro Oasis juga bakal menerbitkan beberapa rancangan tentang keadaan umat Islam sejagat seperti di isu Palestin, perkembangan umat Islam di China, kisah Islamophobia di negara-negara Eropah dan beberapa kisah masih dalam perancangan.

Jadi jangan lupa untuk menyaksikan dan mengambil iktibar dengan menyaksikan dokumentari istimewa berjudul Aceh, Hikmah Tsunami yang bakal bersiaran pada hari Khamis, 26 Disember bermula jam 11 malam di Astro Oasis (106) dan Maya HD (135) serta siaran ulangan pada 27 Disember (11 pagi), 28 Disember (2.30 petang) dan 29 Disember (6 petang).

sumber: http://www.astrogempak.com.my

Sabtu, 21 Disember 2013

Sambutan Ambang Tahun Baru 2014 Di Dataran Shah Alam [ Azhar Idrus-Shiro, Haslin Bahrim-Sepahtu berganding ]


Ustaz Azhar Idrus – Shiro dan Ustaz Haslin Bahrim – Sepahtu merupakan antara gandingan tokoh agama dan kumpulan pelawak popular yang bakal mewarnai program ambang tahun baru 2014 Negeri Selangor. Dua gandingan terbabit akan ditampilkan dalam segmen Sembang Santai dalam Program Generasi Idaman Selangor (GEMS) Sempena Ambang Tahun Baru 2014 yang diadakan pada 31 Disember di Dataran Kemerdekaan Shah Alam nanti.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, berkata berbeza dari program sambutan tahun baru dikebanyakkan negeri, GEMS Sempena Ambang Tahun Baru 2014 itu turut memfokuskan Kempen Anti Zina bagi membendung gejala zina di kalangan generasi masa kini.

“Ini adalah satu program yang melibatkan jabatan dan agensi kerajaan di bawah GEMS di mana kita akan menganjurkan program alternatif dari kelaziman sambutan tahun baru yang sering diisikan dengan program yang melalaikan dan akhirnya remaja belia kita hari ini kerana keseronokkan yang melampau, mereka boleh terjebak dalam gejala sosial seperti berzina, mabuk dan sebagainya.

“Sembilan bulan selepas itu dah ada anak luar nikah, ada yang buang anak, jual anak dan sebagainya. Jadi kita lihat ini adalah satu program mendidik generasi muda iaitu boleh berseronok, bergembira tetapi dengan cara yang ada pengisian sekaligus mengelakkan mereka dari terjebak dengan dosa,” kata Dr Halimah ketika ditemui Selangor Kini di pejabat beliau di Bangunan Setiusaha Kerajaan Negeri semalam.

Sebelum itu Dr Halimah mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Program GEMS Sempena Ambang Tahun Baru 2014 di Bilik Mesyuarat Kekwa Seksyen Sektoral, UPEN bagi menyelaras persediaan program sempena yang akan bermula seawal jam 5.00 petang itu.

Turut memeriahkan program itu nanti, penyanyi cilik dari Indonesia, Tegar; pengacara, David Teoh, pelawak, Sathiya dan pelakon, Diana Amir.

Program GEMS Sempena Tahun Baru 2014 dengan konsep yang menekankan pengisian bercorak pendidikan ini merupakan kali ketiga diadakan sejak 2011.

Program sebelum ini mendapat sambutan memberangsangkan sehingga mencecah hampir 100,000 hadirin dan manakala tayangan di laman sosial, you tube pula mencecah jumlah penonton melebihi satu juta pengunjung.

Sumber: Selangorku.com

Khamis, 19 Disember 2013

Sikap Kritis Pada Zaman Kritikal @ Zaman Fitnah

Apakah definisi pemikiran kritis?
Apakah ciri-cirinya? dan Bagaimanakah sikap seorang pemikir yang kritis?


























Dalam zaman teknologi maklumat yang sungguh canggih ini, keadaan menjadi bertambah kritikal dengan maklumat yang bersimpang-siur kesahihannya serta komunikasi yang tebal dengan salah faham. Lantas, keadaan yang begitu kritikal ini memerlukan sikap yang kritis dalam berhadapannya dengannya secara bijak. Apa yang dilihat dan didengar tidak boleh diambil sekadar selayang pandang, tetapi ia harus disusuli dengan sikap yang kritis untuk meneliti kebenarannya.

Dalam zaman seperti ini, persepsi terhadap sesuatu itu akan memberanak menjadi persepsi yang tebal jika dibiarkan berlarutan untuk terus bersambung-sambung dengan persepsi yang lain tanpa disusuli dengan usaha untuk mengkaji bagi mendapatkan kepastian. Lagipun persepsi yang timbul tidak semestinya menggambarkan realiti yang terjadi.

Sebagai contoh, komunikasi melalui SMS, laman sosial dan seumpamanya tidak boleh terlalu dikecewakan akan salah faham yang bakal wujud kerana teknologi sedemikian tidak dapat memberikan gambaran yang jelas terhadap sesuatu mesej yang hendak disampaikan. Sedangkan untuk sesebuah komunikasi antara manusia itu wujud adalah dengan mengisi beberapa keperluan seperti pemilihan perkataan yang sesuai, intonasi (nada suara), riak wajah dan tempat yang sewajarnya.

Akhir sekali, dalam kesedaran kita semua bahawa zaman ini adalah zaman fitnah, maka zaman ini harus dihadapi dengan sikap yang kritis dan lebih berusaha untuk mengkaji. Jika zaman fitnah yang kita dakwakan ini dihadapi seperti ia sebuah zaman yang penuh kebenaran, maka kehidupan kita akan cenderung untuk berjalan di atas jalan-jalan fitnah yang disangka sebagai suatu kebenaran yang penuh kepastian. Semoga kita semua mempersiapkan diri dengan sikap kritis dalam mendepani cabaran zaman.

Wallahua'lam.

Rabu, 18 Disember 2013

Dunia Ibarat Kebun Ibadah (tempat menanam amal soleh)


































Demikian peringatan buat manusia beriman dan kita mesti yakin dengan sebenar-benar yakin bahawa setiap amal perbuatan di dunia akan diberikan ganjaran di akhirat nanti. Besar atau kecil amal seseorang semua dihitung. Siapa pun kita, pemimpin atau rakyat, raja atau hamba sahaya semua akan ‘pergi’ menghadap Yang Maha Esa. Jadi apakah bekalan yang kita bawa untuk dipersembahkan nanti?

Oleh itu, kita hendaklah menjadi mukmin cemerlang di dunia. Cemerlang dari segi akhlak. Cemerlang dalam lapangan ilmu pengetahuan. Cemerlang dengan amal ibadah dan amal soleh. Ini kerana kecemerlangan dalam hakikat sebenar yang berpaksikan keimanan, ketakwaan dan menyusuri alur agama akan memberikan impak besar di akhirat nanti.

Dengan itu, selagi kita bernafas dan kudrat yang dipinjamkan Allah kepada kita ini masih bertenaga maka pergunakanlah ia untuk mengumpul perbendaharaan akhirat. Maksudnya melakukan segala amar makruf dan nahi mungkar.

Nabi Muhammad s.a.w pernah berpesan kepada kita yang katanya, “Rebutlah lima perkara sebelum lima perkara: Muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, kelapangan sebelum sibuk, hidup sebelum mati.’ (Hadis riwayat Hakim).

Ini adalah pesanan terbaik buat umat manusia. Peringatan supaya kita tidak lalai dengan nikmat kerana sifat manusia cepat lupa dan terlalu ghairah dengan dunia sehingga pesanan Nabi s.a.w ini kita pandang remeh saja.

Bak kata orang tua ‘Menyesal dulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya.’ Sebab itulah Nabi s.a.w menyentuh lagi soal kelalaian manusia ini sebagaimana terdapat dalam sabda Baginda yang bermaksud, “Dua nikmat yang manusia terpedaya dengannya, iaitu sihat dan kelapangan.” (Hadis riwayat Bukhari).

Memang tepat apa yang Nabi s.a.w kata kerana sudah menjadi lumrah bagi sesetengah manusia mudah dihanyutkan oleh waktu sihat dan masa lapang. Sedangkan kedua-duanya adalah nikmat Allah yang sepatutnya kita gunakan anugerah tersebut dengan pengisian amal ibadah dan amal soleh. Alangkah beruntungnya orang yang dapat melalui kehidupan dengan amal ibadah dan amal soleh sehingga ke akhir hayat.

Ini kerana bekalan yang penuh berisi dengan ganjaran pahala itu akan menjadi bekal diri bagi menghadapi detik cemas di akhirat nanti. Ingatlah, duka dunia duka sementara tetapi sengsara akhirat kekal selamanya. Jadi, isi kehidupan dengan amal menggunung dan pahala melangit.

Sekali lagi marilah menghayati wasiat Rasulullah s.a.w yang ditujukan buat kita semua dalam melayari kehidupan dunia.

Sabda Baginda, “Seseorang yang meninggal diikuti (dihantar) oleh tiga hal. Maka dua hal pulang dan tinggallah satu. Dia dihantar keluarganya, hartanya dan amalnya. Maka keluarga dan hartanya pulang dan tinggallah amalnya.’ (Hadis riwayat Bukhari).

Inilah hakikat yang mesti semua manusia akui. Harta menimbun sekalipun semua akan kita tinggalkan. Ramai anak pun, semua kita tinggalkan. Hanya amalan yang kita bawa bersama memasuki liang lahad. Apakah ini masih tidak menginsafkan kita? Apakah kita masih mahu terus dibuai keghairahan dunia sehingga lupa kepada ‘pelabuhan’ terakhir kita iaitu akhirat?

Jadi, kita sebagai mukmin yang beriman kepada Allah seharus menyeimbangkan kedua-duanya, dunia dan akhirat. Dunia dikejar tetapi akhirat tetap tidak dilupai.

Dalam hal ini, Allah ada mengingatkan kita sebagaimana terkandung dalam Surah Al-Qasas ayat 77 yang bermaksud, “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia.”

Inilah panduan Allah kepada kita supaya mengambil dunia untuk mendapat pahala dan bukannya mengambil dunia dengan mengisi dosa! Di sini juga ada baiknya kita merenungi mutiara hikmah Saidina Ali Abi Talib sebagai pembuka mata hati menginsafi diri.

Kata Saidina Ali, “Seharusnya mereka yang berakal tidak bersungguh-sungguh melainkan di dalam tiga perkara; berusaha untuk keperluan hidupnya, beramal untuk hari kemudian dan bersuka-suka di dalam perkara yang tidak haram.”

Jadikanlah pesanan ini sebagai perisai pembenteng diri dalam memacu ketulenan roh keimanan dan insya-Allah ketiga-tiga perkara itu memandu setiap insan mukmin ke mercu kegemilangan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Justeru, binalah diri kita sebagai mukmin setiap hari dan setiap masa supaya memenuhi ruang lingkup penghidupan dengan perkara bermanfaat berteraskan syariat beragama yang luhur. Budayakan diri dengan amar makruf dan nahi mungkar, biasakan diri dengan beramal kebajikan untuk kesejahteraan ummah.

Inilah landasan yang membawa bekalan pahala buat kita. Allah berfirman melalui Surah An-Nisa’ ayat 40 bermaksud, “Sesungguhnya Allah tiada menzalimi seberat zarahpun kalau ada (yang mengerjakan) satu kebaikan, nescaya Allah akan melipat- gandakannya dan memberikan daripada sisi-Nya pahala yang besar.”
Kita susuri lagi Firman Allah dalam Surah Ali-Imran ayat 115, Allah memberi jaminan pahala buat insan yang melakukan kebaikan di dunia. Firman Allah, “Apa- apa kebaikan yang mereka buat, nescaya tiadalah dikurangkan pahalanya dan Allah Maha Mengetahui orang- orang yang bertakwa.”

Yakinlah dengan jaminan Allah ini. Imam Ibnu Taimiyah mengingatkan kita dengan katanya, “Sangat berbeza antara yang menjadikan agama sebagai tujuan dan dunia sebagai sarana, dengan orang yang menjadikan dunia sebagai tujuan dan agama sebagai sarana. Orang yang kedua inilah yang tidak mempunyai bahagian apa- apa di akhirat.”

Oleh yang demikian, bersama-samalah kita menjadikan dunia yang kita diami ini sebagai kebun buat beramal ibadah dan beramal soleh dengan satu visi mengumpul dana akhirat dan menjadikan segala gerak laku kita sesuatu yang bermanfaat dan berpahala di sisi Allah.

Menyesal Tidak Belajar Bersungguh-Sungguh





























Soalan: 

Saya sering dihantui rasa menyesal kerana tidak belajar bersungguh-sungguh yang membolehkan saya mendapat pekerjaan yang bagus. Kini saya sering dihimpit kesusahan hidup yang kadang-kala membuatkan saya putus asa dalam hidup. Bantulah saya.

Jawapan: 

Kebetulan baru-baru ini saya menghantar kereta untuk diperbaiki. Bengkel saya yang pilih kelihatan sederhana sementara mekanik yang juga pemilik bengkel kelihatan dalam tahap hidup yang selesa lagi ceria. Setelah siap dan membuat bayaran, saya meminta resit daripada mekanik tersebut. Mekanik itu memanggil salah seorang pekerjanya yang merupakan warga asing untuk menuliskan resit. Ketika menyerahkan resit itu kepada saya, warga asing itu berbisik “Bos tidak tahu menulis!”.

Pengajaran yang ingin saya sampaikan ialah, pekerjaan yang baik atau buruk banyak bergantung kepada perspektif seseorang. Ada orang yang berpendidikan tinggi tetapi tidak menyukai kerjayanya. Bahkan kerjayanya itu tidak dapat memberikan kelapangan kewangan kepadanya, sehingga dia masih tidak dapat membayar pinjaman pendidikan yang pernah diambilnya sebelum itu.

Pada waktu yang sama ada orang yang berpendidikan rendah namun dia menyukai kerjayanya. Baik mekanik, peniaga gerai pasar malam atau pembersih bangunan, dia bangga dengan kerjayanya kerana ia halal di sisi Allah, tidak dibebani oleh hutang dan mudah mengawal hati dari perasaan sombong dan angkuh. 

Oleh itu saya sarankan kepada anda untuk

(1) abaikan sejarah zaman sekolah
(2) ambil iktibar dari kemalasan anda pada zaman sekolah agar tidak diulangi lagi
(3) betulkan perspektif anda tentang kerjaya yang baik dan buruk
(4) mulakan hidup yang baru berdasarkan apa yang ada
(5) kembangkanlah ia sekadar yang mampu. Paling penting, pastikan apa yang anda lakukan adalah halal di sisi Allah dan tidak menyakiti orang lain. Janganlah anda berputus asa kerana Allah tidak pernah berputus asa memberikan rezeki kepada para hamba-Nya yang berusaha.

kredit: Kapten Hafiz Firdaus Abdullah

Isnin, 16 Disember 2013

Kisah Moden Penuh Teladan




















Aku ingin kongsi kisah-kisah kehidupan masa kini... kisah ini aku terima dari seorang teman melalui e-mail.. dan aku rasa tersentuh bila membaca email ini... terima kasih ya Allah.. kerana masih beri peluang kepada aku untuk membaca kisah-kisah teladan.. terima kasih ya Allah.. kerana memberi kesempatan untuk aku menyampaikan dan berkongsi kisah ini dengan teman-teman.. semoga hati kami Engkau sucikan dan dipermudahkan menerima perkara kebaikan.. dan di permudahkan untuk melakukan perkara kebaikan... Amin..

Kisah-1 

Ketika belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia , Salleh (bukan nama sebenar) telah bertemu jodoh dengan isterinya Siti Rahmah (bukan nama sebenar). Salleh mengambil jurusan kejuruteraan manakala Siti Rahmah Mengambil bidang perakaunan. Sekarang mereka telah 15 tahun berkahwin Dan Dikurniakan Allah dengan 7 orang anak. Beberapa bulan yang lepas saya Berkunjung ke rumah Salleh di Kajang. Kebetulan pada pagi Ahad itu selepas Solat Subuh di Masjid Kajang saya bertemu dengan Salleh. Dia terus mengajak Saya ke rumahnya. Dia menyewa rumah teres setingkat tidak jauh dengan Masjid.

Saya mengenalinya sejak hampir 10 tahun yang lalu. Pagi itu tidak sedar kami telah berbual-bual hampir lima jam. Saya ingin berkongsi tentang keluarga Salleh ini yang pada saya satu contoh keluarga yang mendapat keberkatan Allah.

1. Salleh bekerja makan gaji dan pendapatan bersihnya sebulan kurang dari RM3000.
2. Isterinya adalah anak sulung, walaupun berkelulusan ijazah namun menjadi suri rumah sepenuh masa atas kehendak Salleh. Sebagai penghargaan kerana isterinya sanggup tidak bekerja, Salleh memberikan RM300 sebulan kepada Ibu-bapa mertuanya setiap bulan.
3. Di samping itu Salleh juga memberi kepada ibunya di kampung RM200 Sebulan. Bapa Salleh telah meninggal dunia.
4. Dia memiliki Toyota Unser dengan ansuran RM500 sebulan.
5. Dia membayar rumah sewa RM400 sebulan.
6. Di rumahnya serba lengkap dengan perabot (TV, Peti Sejuk, Mesin Basuh, Set Sofa) serta teratur dan kemas.
7. Pelik tetapi benar, bil elektrik di rumahnya kurang dari RM20 sebulan sedangkan jirannya tidak pernah kurang dari RM60. TNB dah buat pemeriksaan bahawa meter di rumahnya tidak rosak. Begitu juga dengan bil air kurang dari RM10 sebulan..
8. Empat orang anaknya dihantar ke sekolah agama integrasi.
9. Bayangkan dia boleh hidup dengan Selesa walaupun gajinya kecil jika di Nisbahkan dengan keluarganya yang agak besar.

Sejak berkawan dengannya Ada beberapa perkara yang saya lihat jadi amalan Dia yang patut di contohi;

1. Solat Duha menjadi amalan hariannya walaupun ketika pergi outstation
2. Solat Istikharah menjadi suatu amalan walaupun nak membeli benda yang Kecil seperti nak membeli mesin basuh.
3. Sering membaca Surah Al-Waqiah
4. Tidak terlibat langsung dengan sistem Riba . Dia menggunakan Kredit Kad Bank Islam. Pinjaman kereta pun menggunakan sistem pinjaman Islam.
5. Buat baik kepada Ibu bapa Dan Ibu Bapa mertuanya .
6. Suka menolong orang Dan memberi derma
7. Semua anak-anaknya mempunyai akhlak yang baik Dan jarang kena sebarang Penyakit.
8. Dia dah empat tahun menggunakan Toyota Unser, sekali pun tidak pernah Rosak atau menyusahkan nya. 9. Segala masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dengan mudah Dan cepat.

Kisah-2 

Ketika saya bujang dahulu saya sering menziarahi kawan saya, Norizam (bukan Nama sebenar) yang tinggal di Masai Johor. Pada Hari Ahad itu saya sampai Di rumah Norizam selepas waktu Asar. Norizam memperkenalkan Abang dia, Rashid (bukan nama sebenar) yang baru sampai dari Kuala Lumpur . Rashid Berkunjung ke rumah Norizam kerana untuk menghadiri temuduga pada pagi Isnin di Johor Baru.

Kawan saya Norizam ini, dalam beberapa hal dia tidak berpuas hati dengan Abangnya. Kadang kala saya tidak suka mendengar dia merungut tentang Abangnya. Petang itu Norizam merungut lagi iaitu abangnya datang untuk Temuduga kerja sebagai Pengurus Besar (General Manager). Gaji Rashid Sekarang ialah RM10,000 sebulan. Katanya tidak mencukupi. Dia akan minta Gaji sebanyak RM14,000 sebulan untuk tempat baru ini.

Saya pun berasa hairan gaji RM10,000 sebulan tidak mencukupi sedangkan Hanya mempunyai dua orang anak sahaja. Beberapa tahun kemudian baru saya Tahu kenapa gaji abangnya RM10,000 tidak mencukupi.... Ini Ada kaitan dengan Tiada keberkatan hidup.

Perkara-perkara yang pada pandangan saya menyebabkan Rashid jadi susah Ialah seperti berikut;

1. Banyak sangat terlibat dengan sistem Riba . Pinjaman Kereta, Kad Kredit, Pinjaman Rumah, Akaun Simpanan semuanya Sistem Konvensional (Riba)
2. Menggunakan banyak kad kredit konvensional kemudian bayar pokok sahaja. Bermakna memakan riba yang berterusan.
3. Sering bertukar kereta sebab kereta selalu bermasalah walaupun kereta Baru (Masalah kena curi Dan kemalangan jalan raya)
4. Sering bertengkar dengan isteri..
5. Isteri sering masuk hospital kerana penyakit misteri.
6. Anak perempuan sulungnya yang di tingkatan tiga kena tangkap basah.
7. Suka menengking jika Ada orang mintak derma.
8. Soal sembahyang lima waktu dipandang sebelah Mata sahaja.

Kedua-dua kisah ini adalah sesuatu yang lumrah berlaku di sekeliling Kita. Kadang kala Kita tidak sedar langsung atau tidak menghiraukan langsung untuk mencari keberkatan hidup.

Kisah 3 

Saya hanya nak sampaikan sebuah cerita yang saya dapat, yang membuatkan hati saya amat tersentuh. Cerita ini saya dapati selepas menghadiri sebuah usrah umum di tempat saya baru-baru ini. Ustazah yang menceritakan ini sekarang mengajar di KISAS.

Ceritanya begini... 

Suatu hari, seorang ustazah travel, Dia singgah di rumah seorang sahabatnya yang mana pasangan suami isteri tersebut adalah guru biasa. Si suami seorang guru penolong kanan. Beliau tiba di rumah sahabatnya ini sekitar tengahari tapi belum zohor. Kedua-dua suami isteri ini masih di sekolah. Walau bagaimanapun beberapa orang dari 8 orang anak mereka yang ke semuanya lelaki yang mana yang paling tua dalam tingkatan satu & yang paling muda masih bayi sudah pun pulang dari sekolah. Waktu zohor masuk, abang yang tua mengajak semua adik-adiknya yang baru pulang untuk solat berjemaah dengan dia sendiri sebagai imam. 

Sewaktu dalam rakaat kedua, salah seorang adiknya yang berumur lingkungan 8 tahun pulang. Tanpa bertangguh tatkala melihat jemaah yang sedang solat, dia mengambil wudhu' dan solat bersama jemaah, ia ikut ruku' apabila imam ruku'. Dia ikut sujud apabila imam sujud. Dan selesai imam memberi salam, dia bangun menyelesaikan satu rakaat solatnya yang tertinggal. Subhanallah... adik yang berumur 8 tahun ini sudah pandai masbuk... ustazah yang melihat terkejut dan kami yang mendengar mengucap memuji ALLAH. Bayangkan betapa taatnya anak-anak yang masih kecil ini menunaikan perintah ALLAH tanpa pengawasan kedua orang tua mereka atau mana-mana orang dewasa dan tanpa disuruh-suruh. Cerita tak berakhir di situ.
Ustazah bermalam di rumah sahabatnya itu. Apabila subuh, ustazah menyangka dialah yang paling awal bangun kerana dia bangun selesai sahaja azan subuh berkumandang kalau saya tak lupa. Takjubnya dia apabila ke bilik air dilihatnya anak-anak kecil sedang sibuk ambil wudhu'. Bayangkan 7 orang budak lelaki dengan yang paling tua berumur 13 tahun dan yang ke tujuh ntah berapa tahun sibuk mengambil wudhu' di bilik air di waktu subuh paling awal. Si ayah menunggu anak-anaknya di tikar sembahyang dengan sabar sambil berzikir.

Mereka solat jemaah sekeluarga (termasuk ustazah). Sewaktu hendak mula solat,si ibu meletakkan anak bongsunya yang masih bayi (yang sedang jaga) di sisinya. Ajaibnya anak ini tidak menangis mengganggu jemaah sepanjang mereka solat. Dan sekali lagi cerita tak berakhir di situ.

Ustazah tersebut ingatkan hendak sambung tidur kerana penat travel semalamnya tak surut lagi. Alangkah terkejutnya dia apabila hendak melipat sejadah, si ayah berpusing menghadap jemaah sambil berkata, "Anak-anak... hari ni ayah nak beri kuliah mengenai solat dan puasa... ". Dan 8 orang anak termasuk si ibu dengan tekun mendengar kuliah subuh yang disampaikan.

Subhanallah. ... bila ditanya kepada si ibu mengapa didikan sedemikian diberi kepada anak-anaknya? Dia menjawab bahawa itu persediaan dia dan suaminya sebelum mati. Mereka berharap agar anak-anak lelakinya yang 8 orang itu dapat membacakan sekurang-kurangnya fatihah untuk mereka jika ditakdirkan mereka pergi dulu.. Lagipun anak-anak mereka semuanya lelaki... Pasangan suami isteri ini tak sanggup melihat anak-anak mereka terabai tanpa pedoman... cuba kita tanya diri kita sendiri...

-Berapa ramai keluarga Islam hari ini yang dapat mengamalkan solat jemaah dalam keluarga???
-Berapa ramai anak-anak Islam berumur 8 tahun yang pandai solat masbuk???
-Berapa ramai anak-anak berumur 13 tahun yang pandai mengimami solat memimpin adik- adik mereka ??? -Berapa ramai ibubapa yang berjaya mendidik anak-anak mereka sedemikian rupa yang taat melaksanakan perintah ALLAH tanpa suruhan dan pengawasan mereka yang lebih dewasa ???

Subhanallah. .. Alhamdulillah... semoga apa yang saya sampaikan ini menjadi pedoman dan iktibar buat kita semua...

Ahad, 15 Disember 2013

Kisah Seorang Pemandu Lori yang sering meninggalkan Solat Zohor





























Kali ini saya ingin menceritakan kisah seorang pemandu lori yang sering qada solat zohor di waktu asar kerana hendak mengejar waktu penghantaran supaya tidak lebih dari pukul 5.

Pemandu lori sering menghantar barang tapi apabila masuk waktu zohor, dia tidak berhenti sekejap untuk solat kerana dia takut terlambat sampai ke destinasi bagi mengejar masa yang ditetapkan.. kerana jika lambat akan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dan sebagainya.. dia juga berkata kadang-kadang dia terlambat juga sampai ke destinasi.. kalau dia solat lagi lah dia lambat.. Dan dia bertemu dengan seorang Ustaz bagi mendapatkan bolehkah dia buat begitu..

Ustaz menjawab, janganlah membuat begitu.. takkanlah solat sekejap pun tak boleh.. disebabkan anda nak kejar masa, saya bagi sedikit cadangan.. waktu zohor nanti, awak berhenti untuk solat.. tapi awak solat benda yang wajib je.. yang sunat awak tak payah buat.. wirid lepas solat tak payah buat.. tapi jangan solat dalam keadaan gopoh.. cuba buat dulu...

Pemandu lori itu mengangguk lalu dia pun mula melakukan solat zohor apabila sampai waktunya.. beliau mengambil masa dalam 4-5 minit untuk solat.. hasil daripada beliau solat zohor itu, beliau tiba ke destinasi 15 minit lebih awal berbanding dengan sebelum ni yang beliau tidak solat zohor... langsung tak de jem.. lancar je perjalanan beliau... subhanallah.. inilah kuasa Allah..

Kejadian ini saya rasa selalu berlaku di dalam persekitaran kita.. kita lebih mementingkan tentang perkara di dunia dan sanggup menepikan perkara yang benar-benar penting dan wajib iaitu solat..

Ramai orang lebih mengejar masa tapi ramai yang terlupa bahawa Allah lah yang menciptakan masa.. tiada satu pun zarah dalam dunia dapat bergerak melainkan dengan izin Allah tapi di mana kita meletakkan Allah di hati kita ?? Allah berkuasa atas segala-galanya..

Contoh , jika kita ada 'appointment' dengan klien pukul 2 petang.. pukul 1 kita dah sampai coffee house.. tak nak terlambat sebab takut hilang projek... solat zohor lebur.. habis waktu asar baru buat..

Contoh , Kita keluar rumah atas beberapa urusan, kemudian masuk waktu solat, tapi kita tangguhkan solat tersebut atas alasan pakaian tidak bersih, walhal islam mengutamakan kebersihan dan kita boleh juga bawak pakaian extra letak saja dalam kereta. Kenapa perlu beralasan dengan Allah.

Tapi bab solat, kadang nak habis waktu baru kita nak solat.. langsung kita tak jaga sebab apa ? sebab kita tak nampk hasil dia di dunia tapi kita lupa tentang akhirat yang kekal selama-lamanya.. Dia yang memberikan kita rezeki, kesihatan malah segala-galanya tapi kita masih meletakkan Allah di tempat kedua berbanding urusan duniawi kita.. layakkah kita dengan syurga Allah yang tiada tandingannya itu ??

Renungan untuk diriku dan sahabat sahabat budiman semua..

Jumaat, 13 Disember 2013

Apakah Yang Terindah Dalam Hidup?






















Terdapat beberapa hal yang terindah yang berlaku dalam kehidupan seharian kita. Hal-hal yang mampu membuatkan bibir kita terukir senyuman dan hati kita selesa dan tenang. Hal yang terindah dalam hidup ialah…

Ketika kita PERGI ada yang MENDOAKAN..

Ketika kita JAUH ada yang MERINDUKAN..

Ketika kita SEDIH ada yang membuat kita TERSENYUM..

Ketika BERTEMU ada yang mengucapkan SALAM.. 

Ketika kita SAKIT ada yang MENJENGUK.. 

Ketika kita TAK TAHU ada yang bersedia MENGAJAR..

Ketika kita KEBINGUNGAN ada yang memberi PETUNJUK..

Namun yang lebih indah dari segalanya adalah Allah masih memberi kita kesempatan untuk hidup sehingga kita mampu melakukan dan memberi yang terbaik yang kita mampu..Alhamdulillah..

Ya ALLAH jadikan kami hamba-Mu yang pandai bersyukur,
Aamiin ya Rabbal’alamin..

Rabu, 11 Disember 2013

Ku Sangka Orang Gila | Kisah yang menyentuh jiwa


26 May 2011.....
Pagi tadi lebih kurang pukul 10.30 aku singgah sarapan di bazar batu buruk sementara menunggu interview di steten minyak kerana sudah tiada kerja di Terengganu yang menggunakan Ijazah aku ini. Sewaktu makan, mata ni terpandang seorang pakcik yang "lusuh " karekternya.. Bau busuk, baju koyak, pakai kain pelikat singkat, tak beralas kaki, tapi berkopiah.

Duduk bersandar di tiang bazar dekat dengan kerusi aku. Terdetik dalam hati, apa pakcik ni kelaparan. Orang gila pun lapar, masih tetap manusia. Aku pesan satu lagi nasi minyak. Pesanan aku sampai ke meja. Terus aku beri pada pakcik tadi. Tuan kedai terkejut dan mengangkat tangan melambai seolah-olah memanggilku. Aku pun balas tunggu sekejap.

Pakcik tadi tenung aku sambil berkata "pakcik dah makan nak.. terima kasih nak.." Dalam hati terdetik sungguh indah bahasa pakcik yang ku sangka gila tadi. Aku bangun dengan kecewa kerana pesanan aku tidak dijamah oleh pakcik. Lalu aku pergi kepada tuan kedai yang memanggil ku tadi.

Ada apa pakcik? Pakcik kedai balas: Jangan bagi dan suruh dia makan kat sini, nanti customer pakcik lari. Aku tersentap. Dan spontan aku membalas. "Jika orang ini ayah kandung pakcik, pakcik halau tak dia?" Pakcik tu diam. Takpe pakcik, saya akan bayar ansuran kalau pakcik rugi hari ni. Saya nak tanya, betul ke pakcik tadi tu sudah makan? Pakcik kedai jawab, tidak. Dari mula pakcik buka kedai pukul 6.30 tadi pakcik kopiah tu duduk kat tiang tu.

Dalam hati kecil ni cakap, tak pernah aku jumpa pakcik gila semulia ini. Tidak mengemis, tidak pula meminta. Aku pegi semula pada pakcik kopiah tu. "Pakcik, saya sunyi makan sorang-sorang, pakcik teman saya makan jom." Pakcik tu akur dengan pelawaan aku kerana kesungguhan aku. Ramai yang beralih meja kerana bau pakcik tu, namun kerana ingin menjaga hati orang tua yang aku tak kenal, aku tahan bau itu. 

Lega tengok pakcik tu makan dengan sangat sopan. Aku lontarkan beberapa soalan pada pakcik tu. Pakcik dari mana, tinggal dimana? Pakcik tu jawab. Pakcik merantau cari redha Allah. Aku terkejut. Dalam hati aku dah syak bukan-bukan. Kot2 wali ke ni? Mana keluarga pakcik? Pakcik dibuang oleh keluarga pakcik kerana sekeping geran tanah. Kenapa pakcik? Apa masalahnya? Pakcik sedekahkan geran itu untuk seseorang untuk dibangunkan pondok-pondok mengaji. Keluarga pakcik terus buang pakcik. Allah...

Pakcik tinggal dimana? Pakcik tu diam tak menjawab. Masa terlalu singkat untuk aku menyambung urusan kerja. Aku panggil pakcik kedai untuk kira. Semuanya berharga RM 11.60. Aku celup dompet aku, dan aku lupa yang aku hanya bawa RM 5.00. Aduh.... Pakcik tu nampak raut wajah muka aku seolah-olah melihat masalah dalam dompetku. Pakcik tu mencelah. Nak, ambil duit ni, pakcik bayarkan.

Nak tau ape? pakcik keluarkan satu sampul surat sebagai dompet dia (macam dompet TGNA), dalam tu duit seratus setebal setengah inci, dan satu kad BSN dan i.c lama (pakcik tu bekas tentera laut).. Satu kedai dia bayarkan. Allah.. Satu kedai hairan apabila pakcik kedai tu announce yang makanan semua sudah dibayarkan oleh pakcik kopiah tadi. Masing-masing semua pandang aku dan pakcik kopiah. Dengan tiba-tiba pakcik kopiah angkat tangan dan berdoa dengan suara yang agak sederhana kuat, aku pun turut angkat sama. Dan paling terharu apabila aku dengar suara "amin....." dengan suara yang ramai. Bila aku berpaling ke belakang, satu kedai mengangkat tangan bersama pakcik kopiah tu.. Ada yang bangun mendekati kami berdoa dekat-dekat.

Terasa sangat gemuruh dan terharu dengan keperibadian orang yang ku sangka gila ini rupanya seorang guru agama!! Ada yang menangis kerana doa oleh sang guru itu sungguh merdu.. Kecoh seketika.. Selesai berdoa, aku bersalam dengan pakcik tadi dan ucap terima kasih dengan harapan dapat jumpa lagi. Aku terus berjalan ke motor aku. Aku berpaling ke belakang, semakin ramai yang berkerumun pada pakcik tadi. Aku senyum tanda puas bahawa orang sekeliling mula mendekati pakcik. Aku buka semula dompet aku kerana aku simpan kunci motor dalam tu.

Nak tau apa? Aku terkejut kerana ada 2 keping duit seratus dan satu nota kecil yang bertulis: "Ambil duit ni buat beli susu anak dan buah delima untuk orang rumah anak yang mengidam.." Aku terkaku, dan terus pandang ke arah tempat pakcik tadi. Beliau sudah tiada disitu. Aku terus pakai helmet dan tutup pemuka helmet. Aku menangis kerana terharu dan sangat bersyukur. Bagaimana dia tahu aku dalam kesusahan...
Ya Allah.. Kau peliharakanlah pakcik itu..

(Copy pasted - Warta Dari Hati)

Sebarkan.. Seburuk mana pun luaran seseorang jangan sesekali menghina kerana siapa tahu dia lebih mulia dari kita di sisi Allah swt..

Selasa, 10 Disember 2013

Genap 20 Tahun Tragedi Highland Tower !
























Hari ini genap 20 tahun tragedi Highland Tower runtuh iaitu pada 11 Disember 1993 yang mengorbankan lebih kurang 48 nyawa. Tragedi tersebut adalah satu-satunya tragedi bangunan runtuh yang pertama dan terburuk setelah Malaysia mencapai kemerdekaan.

Tragis, pilu dan seram. Itu yang jelas terbayang di fikiran sesiapa sahaja apabila mengenang kembali tragedi Highland Towers. Kejadian itu mengejutkan banyak pihak apabila bangunan berkenaan hanya runtuh selepas 15 tahun ia siap dibina. Kini, Highland Towers hanya tinggal nama selain dua blok yang masih berdiri sepi tanpa penghuni. Sama-sama kita sedekahkan Al-fatihah kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

Tapi Ramai tidak tahu Peristiwa yang bersejarah bagi Umat Islam..

SEJARAH HARI RABU DALAM ISLAM

1.) Kehancuran Auj bin Unuq
2.) Kehancuran Qarun
3.) Kehancuran Fir'aun
4.) Kebinasaan Namruz bin Kan'nan
5.) Kehancuran! kaum Saleh as.
6.) Kehancuran Syadad bin 'Aad
7.) Kebinasaan kaum Hud

Ahad, 8 Disember 2013

Ramai Lelaki dan Wanita Mampu


:: PEREMPUAN ::
~ Ramai PEREMPUAN mampu memakai AKSESORI yang BERAT-BERAT, tetapi mereka tidak mampu memakai TUDUNG yang RINGAN untuk MENUTUP AURAT

:: Lelaki ::
~ Ramai LELAKI yang mampu ANGKAT BERAT di GYM, tapi TIDAK RAMAI lelaki mampu ANGKAT TAKBIR SOLAT BERJEMAAH DI MASJID...

Aku yang dulu bukanlah yang sekarang.
Dulu aku lalai, kini aku sedar.
Dulu dulu dulu aku banyak dosa, kini aku lebih dekat dengan ALLAH.

Cita-citaku ingin menakluki Syurga ALLAH.
Dulu ku sering alpa. Sekarang Alhamdulillah.
Bersyukur ku pada Maha Berkuasa.
Kerana memberi jalan kebenaran untukku.

Jika dosa tu berbau busuk takde orang akan dekat dengan kita. Jika pahala itu berbau wangi pasti ramai org buat kebaikan hatta sebesar zarah. Tapi malangnya keduanya tak berbau. Hanya di akhirat baru kita nampak zahir keduanya.

Rabu, 4 Disember 2013

Banjir - Bencana Alam Pertama

'Bencana alam' pertama 
Banjir semakin teruk di Kuantan hingga darurat dan ini dikatakan banjir paling teruk pernah melanda. Takziah kepada semua mangsa yang terlibat dalam bencana banjir kali ini dan kepada yang tidak terlibat, panjatkan kesyukuran dan jangan pernah dilupa mereka yang sedang kesusahan ketika ini. Sama-sama kita panjatkan doa kehadrat Illahi agar segala ujianNya ini dipermudahkan. InsyaAllah.

Di dalam sejarah dunia, banjir merupakan ‘bencana alam’ yang pertama berlaku. Al-Quran menceritakan kisah banjir besar di zaman Nabi Nuh a.s. Banyak ayat yang menerangkan kedegilan kaum Nabi Nuh a.s. terhadap amaran dan peringatan yang disampaikan kepada mereka.

Mereka membelakangi dan mendustakan seruan ayat-ayat Allah SWT dan mempersekutukan-Nya dengan sesuatu yang lain. Walaupun baginda berusaha bersungguh-sungguh berdakwah kepada mereka tetapi mereka menuduh Nabi Nuh a.s. melakukannya demi kepentingan diri seperti kepimpinan, kekayaan dan sebagainya. Mereka juga menuduh Nabi Nuh a.s. seorang yang gila.

Allah SWT memberitahu kepada Nabi Nuh a.s. bahawa kaumnya yang menentang kebenaran dan berbuat kezaliman akan ditimpakan azab dan yang beriman akan selamat.

Tiba masanya air dari mata air keluar dengan membuak-buak manakala hujan turun dengan selebatnya sehingga menenggelamkan gunung-gunung yang tinggi. Semua manusia telah mati termasuk anak lelaki Nabi Nuh a.s. kecuali yang menaiki bahtera bersama-sama Nabi Nuh a.s.

Apabila banjir telah surut, bahtera tersebut terdampar di Judi iaitu pada sebuah tempat yang tinggi, menurut al-Quran.

Di antara firman Allah SWT:

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, maka tinggalah ia dalam kalangan mereka selama seribu tahun kurang lima puluh tahun. Maka mereka dibinasakan oleh banjir besar, dan mereka adalah orang-orang yang zalim (dengan kufur derhaka).” (al-Ankabut: 41) “Mereka terus mendustakannya, lalu Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera, dan Kami karamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta (matahatinya daripada melihat kebenaran).” (al-A`raaf: 64)

“Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah. Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air-mata air (di sana sini), lalu bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk (melakukan) satu perkara yang telah ditetapkan. Dan Kami bawa naik Nabi Nuh (berserta pengikut-pengikutnya) di atas (bahtera yang dibina) dari keping-keping papan dan paku. Yang belayar laju dengan pemeliharaan dan pengawasan Kami; (Kami melakukan yang demikian dan menimpakan taufan itu) sebagai balasan bagi orang-orang yang kufur ingkar.” (al-Qamar: 11-14)

“Lalu Kami wahyukan kepadanya: "Buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya); kemudian apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka, dan air memancut-mancut dari muka bumi (yang menandakan kedatangan taufan), maka masukkanlah ke dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap jenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu (dan pengikut-pengikutmu) kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya di antara mereka (disebabkan kekufurannya); dan janganlah engkau merayu kepadaku untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan dengan taufan sehingga mati lemas.” (al-Mukminun: 27)

“Sesungguhnya Kami, - ketika air (banjir) melampaui hadnya (serta menenggelamkan gunung-ganang), - telah mengangkut (serta menyelamatkan nenek moyang) kamu ke dalam bahtera Nabi Nuh (yang bergerak laju pelayarannya). (Kami lakukan yang demikian) untuk Kami jadikan peristiwa itu satu pelajaran bagi kamu, dan untuk didengar serta diambil ingat oleh telinga (orang-orang) yang mahu menerima pengajaran.” (al-Haqqah: 11-12)

Ambil pengajaran 

Kisah-kisah umat terdahulu banyak dimuatkan di dalam al-Quran. Seharusnya ia menjadi perkara yang perlu direnungi. Allah SWT menurunkan seksaan-Nya kepada umat terdahulu lantaran keingkaran dan pendustaan mereka terhadap ayat-ayat Allah. Marilah kita menginsafi diri kerana di dalam kisah-kisah yang sebegini ada peringatan dan pegajaran bagi mereka yang mahu berfikir dan menggunakan akal. 

Allah SWT berfirman: 

"Yang demikian, ialah sebahagian dari khabar berita penduduk negeri-negeri (yang telah dibinasakan), kami ceritakan perihalnya kepadamu (wahai Muhammad). Di antaranya ada yang masih wujud (sisanya yang dapat disaksikan), dan ada pula yang telah hancur lebur (dan hilang lenyap). Dan tiadalah Kami menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri. Maka berhala-berhala yang mereka sembah selain dari Allah itu tidak dapat menolong mereka sedikitpun pada masa datangnya azab Tuhanmu; dan penyembahan yang mereka lakukan itu hanya menambahkan kerugian sahaja kepada mereka." (Hud: 100-101)


Musibah adalah sebahagian dari ketentuan Allah ke atas hambaNya.. Ia akan memaniskan iman seseorang terhadap Allah swt... Tetapi pada hakikatnya, orang yang ditimpa musibah perlu diberikan bantuan dengan cara pelbagai, sama ada nasihat dan kata-kata yang menyenangkan hati, atau dengan sedikit harta dalam bentuk hadiah atau sedekah dan lain-lain... Di saat ini, ramai saudara kita yang ditimpa dengan MUSIBAH BANJIR di beberapa tempat dalam negara... Doakan untuk mereka keselamatan dan ketenangan dan redakanlah musibah mereka dengan bantuan kewangan dalam bentuk sumbangan derma..... Mudah-mudahan mereka akan berasa tenang hati dan jiwa di atas musibah yang sedang menimpa mereka... Amin.

Hujan masih mencurah di luar dengan lebatnya. Hujan juga ada peringatan dan pengajarannya, tentu sekali bagi mereka yang mahu berfikir.

“Ya Allah, jadikanlah hujan yang turun ini membawa rahmat dan memberi manfaat kepada kami semua, ameen ya Rabb.

diolah semula.
kredit: http://abuikhwan.blogspot.com/

Selasa, 3 Disember 2013

Sumpahan Seorang Ibu ! Susu Meleleh Keluar Melalui Mulut !

“Kalau betul engkau anak kandung aku,
minum susu dari badan aku…aku sumpah
akan keluar balik susu dari mulut engkau!”


Itulah kata-kata sumpahan yang ditujukan ibu kepada saya. Sejak hari itulah saya jatuh sakit. Susu sentiasa meleleh dari mulut saya tanpa henti.

Tubuh saya yang dahulunya agak comel jadi kurus melidi tak ubah seperti mayat hidup. Saya terbaring dan menyesali perbuatan lampau saya terhadap ibu.

Tetapi sejahat mana pun seorang anak, ibu tetap mengambil berat sewaktu saya terlantar. Ibu juga risau melihat keadaan saya, hari demi hari semakin teruk.

Ibu serba salah dan tidak tahu apa yang patut dilakukan untuk membantu saya. Ibu juga memberitahu saya, menyesal menyumpah saya. Ibu tidak menyangka begitu kuat sumpahan seorang ibu.


Waktu itu hanya tuhan yang tahu betapa seksanya termakan sumpah seorang ibu. Sebulan saya merana kerana sakit. Sebulan itu juga saya tidak makan nasi.

Saya langsung tidak ada selera untuk makan nasi. Biarlah saya lapar begini daripada merana seperti ini. Setiap saat, susu sentiasa mengalir dari mulut saya tanpa mengira masa…

Saya masih ingat , kejadian itu berlaku ketika tiga orang rakan saya datang ke rumah. Sambil berborak, ibu bertanya kepada mereka. “Kamu ni kerja apa?” Tanya ibu kepada rakan-rakan saya.

“Kami semua kerja kilang kat hujung kampung ni mak cik,’ jawab tiga rakan saya. Ibu terdiam lalu pergi keruang tamu dan duduk di kerusi. Saya buat tidak kisah dengan fiil ibu dan terus ke dapur membuat air untuk di hidang. Waktu itu saya masih ingat saya buat air Milo panas.

Sebaik siap , saya bawa air di dalam teko itu keruang tamu. Tapi, belum sempat meletakkannya di atas meja, ibu terus mengherdik saya.

“Kalau hari-hari engkau hidang air bagi orang makan percuma larilah perbelanjaan kita! Dah, hentikan. Simpan balik air tu!” herdik ibu kepada saya.

Saya merasa malu. Kawan saya semua terdiam kerana merasa terkejut dengan sikap ibu. Saya beritahu ibu supaya jangan berbuat begitu di depan kawan-kawan. Malu!

Sepatutnya ibu harus bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya di beri rezeki melimpah-ruah dan kami sekeluarga tidak lagi perlu kais pagi makan pagi.

Saya tidak setuju dengan perangai ibu menghina orang miskin. Sebaliknya rakan-rakan yang setaraf atau lebih kaya dari kami dilayannya seperti raja. Mereka diajak datang kerumah dan dihidangkan dengan pelbagai makanan sedap-sedap. Saya betul-betul malu dan terkilan dengan sikap buruk ibu.

Saya ingatkan ibu, dulunya kami sekeluarga pun susah seperti mereka juga. Setelah hidup senang, kita herdik-herdik mereka. Apa perasaan mereka apabila ibu buat begitu? “

Ah! Kau apa tau? Bukan kau yang cari duit ! Aku ni yang susah payah cari duit siang malam, kau senang-senang saja nak menghabiskan!” tambah ibu lagi.

Ketika itu saya seperti orang hilang akal. Saya tidak dapat terima cara ibu memarahi saya di depan kawan-kawan. Tidak semena-mena tangan saya yang sedang memegang teko air Milo panas dihayun lalu tersimbah ke muka ibu.

Ibu melolong-lolong menjerit kesakitan terkena simbahan air Milo panas. Saya mula menyinga. Kawan-kawan terkejut dengan tindakan saya dan cuba menenangkan saya. Tetapi ketika itu saya bagai dirasuk syaitan. Tanpa sedar, saya terus berlari ke dapur mengambil sebilah pisau pemotong sayur.

Sekali lagi kawan dan ayah saya menahan perbuatan saya. Mereka memegang saya dengan sekuat hati. Ibu berlari dan keluar ke pintu depan rumah takut ditetak pisau di tangan saya. Ibu berdiri tercegat di situ. Saya pula terjerit-jerit seperti terkena hysteria.

Disinilah bermulanya episod duka dalam sejarah hidup saya apabila ayat ini terpancul dari mulut ibu.

“Kalau engkau betul anak kandung aku, minum susu dari badan aku, aku sumpah akan keluar balik susu dari mulut engkau!”

Selepas keadaan reda sedikit, rakan-rakan balik rumah. Tiga hari selepas kejadian itu, saya terus jatuh sakit. Saya di serang demam teruk. Ayah bersusah payah menjaga saya. Ibu hanya buat-buat tidak tahu sahaja. Mungkin ibu masih lagi geram dan marah dengan tindakan saya. Ketika itulah berlaku satu kejadian pelik yang tidak pernah saya bayangkan sebelum ini.


Tiba-tiba air susu berwarna putih dan berbau busuk mula meleleh dari mulut saya tanpa henti. Air susu masam itu jatuh membasahi dagu saya setiap detik tanpa henti.

Ayah juga merasa hairan melihat susu aneh tiba-tiba meleleh dari mulut saya. Setiap kali dikesat, air susu itu meleleh lagi tanpa henti. Ibu pula masih tidak endahkan saya.

Keesokan harinya saya masih lagi demam dan susu masih lagi mengalir. Kali ini lebih teruk. Ayah membawa saya ke sebuah klinik.

Anehnya selepas diperiksa, doktor juga mengatakan hairan, mengapa susu masam itu meleleh dari mulut saya. Doktor pun tidak dapat menjelaskan punca dan sebab saya mengalami penyakit aneh ini. Doktor juga mengatakan tiada ubat untuk merawat penyakit yang saya alami ini.

Ayah bawa pula saya ke hospital besar di Bandar. Keputusannya tetap sama juga apabila doktor tidak dapat mengenal pasti punca penyakit saya. Jadi saya dibawa pulang semula dan terbaring siang malam. Selama sebulan saya terlantar ibu mulai risau dengan keadaan saya yang semakin kurus ini. Ibu beberapa kali meminta maaf kepada saya kerana tidak menyangka kata-kata yang dilafazkannya betul-betul menjadi kenyataan.

Akhirnya ibu sendiri pergi berjumpa dengan seorang ustaz di kampong saya. Ustaz ini memang dikenali ramai kerana kealiman dan kehebatan ilmunya. Ibu membawa ustaz ini berjumpa saya di rumah. Apabila ustaz melihat keadaan saya, beliau terus menggeleng-gelengkan kepala. “

Ada tak apa-apa yang ibu kamu buat sebelum terkena penyakit ini?” Tanya ustaz itu. Ayah lalu menceritakan tentang perbuatan saya menyimbah air panas ke muka ibu. Selepas itu, ibu terus mengeluarkan kata-kata sumpahan tentang air susu yang pernah di minum ketika saya masih bayi.

Sekali lagi ustaz itu menggeleng-gelengkan kepalanya. Ustaz itu dalam nada perlahan memberitahu saya terkena sumpahan ibu. Ustaz itu lalu mengajak ibu dan ayah saya ke dapur.

Ustaz itu menerangkan penyakit saya tidak ada ubatnya kecuali meminum air bekas celupan tapak tangan dan tapak kaki ibu. Ustaz itu menyuruh ibu membasah kedua-dua tangannya di dalam baldi diikuti kedua-dua belah kakinya seperti orang mengambil wuduk.

Ustaz itu menerangkan penyakit saya tidak ada ubatnya kecuali meminum air bekas celupan tapak tangan dan tapak kaki ibu.

Setelah selesai, ustaz itu menyuruh ibu meludah di dalam baldi itu sebanyak tiga kali. Kemudiannya air ludah di dalam baldi itu disimpan di dalam sebuah bekas khas. Ustaz itu berpesan kepada ibu supaya memberi air ludah itu untuk diminum oleh saya dan selebihnya disapu di ubun-ubun kepala saya sehingga habis.

Selepas ibu memberi minum dan menyapu air ludah itu di kepala, pada masa itu juga saya terus merasa lapar dan meminta nasi untuk dimakan. Selera saya yang tersekat selama sebulan lebih datang kembali. Mujarab sungguh cara rawatan ustaz ini. Serta merta air susu masam yang meleleh sejak sebulan lalu berhenti mengalir.

Saya mencium kaki ibu. Saya menangis. Saya menyesal berdosa kepada ibu. Ibu memberitahu sejak kejadian, ibu telah memafkan perbuatan saya. Ibu memeluk saya dan kami bertangis-tangisan di depan ustaz. Ustaz itu membacakan doa dan menasihati ibu supaya tidak mengeluarkan kata-kata sumpahan terhadap anak. Ustaz itu mengingatkan bahawa sumpahan seorang ibu amat ampuh dan berkesan terhadap seorang anak. Akibatnya sangat buruk dan tiada penawarnya kecuali anak itu diberi ampun selain meminum air kaki dan tangan ibunya dengan ikhlas dan redha.

Sejak hari itu, saya tidak lagi meninggikan suara kepada ibu. Ibu juga sedar kesilapan yang telah dilakukan sebelum ini. Yang paling penting, ibu tidak lagi sesombong dahulu! Ibu juga tidak kedekut dan suka menghina orang susah.

Saya ingin berpesan kepada pembaca, jangan sesekali bertindak biadab terhadap ibu biar sejahat mana sekalipun ibu kita. Saya sudah merasai betapa sengsara, merana dan terasa ajal hendak tercabut akibat disumpah ibu. Ingat, sumpahan seorang ibu itu adalah benar kerana ianya telah benar-benar menimpa keatas diri saya sendiri.

‘Saya’ dalam artikel ini adalah Roseyatimah bt Ahmad, berasal dari Sabah. Kejadian berlaku ketika beliau berusia di awal remaja. Kini beliau telah berhijrah ke Kuala Lumpur. Walaupun berjauhan, Rose tetap sayang dan menghormati ibunya.

Mastika : Julai 2010

Isi perut, isi rohani


“Lunch ni nak makan apa?”

Bila tiba je waktu makan, kebanyakannya pasti akan fikir apa yang nak dimakan untuk mengisi perut yang kosong. Malah, ada yang sanggup cari tempat makan yang jauh-jauh untuk memenuhi selera masing-masing. Kalau waktu rehat untuk office hour adalah daripada pukul 1 pm hingga 2 pm, maka satu jam tu hanya dihabiskan untuk makan saja.

Pendek kata kalau pasal makan, nombor satu. Kalau pasal mengisi perut, semua boleh jadi. Solat lambat sikit pun tak apa, lepas waktu rehat boleh solat lagi, yang penting makan dulu.

Bila perut lapar, automatically tuan punya badan akan dapat detect, siap dengan ‘bunyi-bunyi amaran’ lagi daripada perut, menandakan sudah sampai masa untuk diisi. Dan makanan akan segera dicari.

Tapi, kalau hati dan rohani yang kering kontang, dahaga, dan tak terisi dengan pengisian yang sepatutnya, tuan punya badan tak semestinya akan peduli. Malah, mungkin tak terasa langsung bahawa jiwanya sudah kosong. Ada yang sedar tentang kekosongan jiwanya, tapi dia tak berbuat apa-apa atau tak tahu untuk berbuat apa. Ada yang tahu jiwanya kering, tapi dia silap memilih makanan untuk jiwanya.

Sebagaimana kita berusaha mencari makanan yang sedap-sedap untuk memenuhi selera (nafsu makan) kita, maka sepatutnya kita lebih lagi berusaha mencari pengisian yang terbaik untuk rohani. Kerana komponen itulah yang memberi erti penghidupan yang sebenarnya kepada diri kita. Hati dan jiwa yang sudah mati tak memberi apa-apa erti walaupun jasadnya masih hidup dan sihat walafiat.

Makan itu memang satu keperluan asasi. Keperluan untuk meneruskan hidup sebagai hamba di atas muka bumi Allah ni. Dan itu hanya diwakili oleh sebahagian sahaja daripada portion makanan yang diambil, yang ditukarkan menjadi tenaga. Sebahagian lagi hanya menjadi bahan kumuh dan bahan buangan.

Sedangkan makanan rohani akan berguna seluruhnya untuk menghidupkan jiwa dan jasad. Tak ada sedikit pun makanan rohani yang diterima akan menjadi sia-sia dan tak berguna kepada tuannya.

Perut akan berbunyi kalau lapar, tapi jiwa hanya akan merintih dan terseksa dalam diam andai tidak terisi. Maka, perhatikanlah selalu keadaan jiwamu.

Kita sanggup memandu sejauh 10 kilometer untuk cari makan 
tapi kita tak sanggup berjalan 100 meter untuk solat berjemaah..
Jiwa Hamba

Isnin, 2 Disember 2013

As Syahid Ahmad Ammar - Kisah Syahid Yang Tertangguh

Walaupun saya tidak mengenali As Syahid Ahmad Ammar Bin Ahmad Azam tetapi saya begitu terkesan membaca perjuangan hidup beliau... Disini saya kongsikan bersama untuk renungan bersama...


























Ahmad Ammar Ahmad Azam telah pergi menemui Tuhannya pada usia 20 tahun di dalam kemalangan jalan raya di Istanbul, Turki. Beliau memilih bidang sejarah di Universiti Marmara dengan mendapat biasiswa Kerajaan Turki. Semangatnya untuk mendalami sejarah Uthmaniyyah dan melihat Kerajaan Islam kembali tertegak selari dengan cita-cita ayahanda dan bondanya.

Sememangnya beliau dilahirkan di dalam keluarga yang mementingkan ilmu, ibadah, dakwah dan pengorbanan. Ayahandanya Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman, mantan Presiden Abim sudah tidak asing lagi bagi para pendakwah dan gerakan Islam di Malaysia. Ahmad Ammar satu-satunya anak lelaki kepada pasangan Tn. Hj Ahmad Azam Abdul Rahman dan Puan Nur Azlina Aziz.

Sungguh bagi remaja semuda Ammar, untuk mendengar alunan Quran sebagai halwa telinga mungkin menjadi pilihan yang terakhir sekali. Namun tidak untuk Ammar. Beliau dikhabarkan keluar rumah setelah membaca al-Quran dalam tempoh yang panjang. Malah pada usia semuda itu beliau telah menyertai pelbagai misi kemanusiaan di beberapa negara di dunia. Misi ke Syria begitu menyayat hati, seolah-olah Ammar tertinggal hatinya di Syria. Meskipun letupan demi letupan meletus di kiri dan kanan malah terlalu hampir dengan hospital tempat penginapan mereka, namun Ammar teguh tidak gentar ingin terus membantu Syria. 

Allahu Akbar! Sejak pulang dari Syria itulah sahabat-sahabat menggelarnya “Syahid yang Tertangguh”. Alangkah bertuahnya ayahanda dan bonda beliau kerana dapat menyaksikan sendiri perjalanan terakhir seorang anak dengan pengakhiran yang baik. Ribuan manusia memenuhi Masjid Abu Ayyub al-Ansari, malah dimakamkan berhampiran sahabat agung Rasulullah saw iaitu Abu Ayyub al-Ansari yang berjihad untuk membebaskan Konstantinopel dahulu. Seorang sahabat menulis, Ammar adalah “Muhajir” dan menjadi tetamu kepada Abu Ayyub al-Ansari.

Subhanallah indahnya “tawafuk” yang disusun Allah dan bukan kebetulan. Sekiranya kita masih mengingati sejarah hijrah Rasulullah s.a.w dari Makkah ke Madinah, bukankah Baginda Rasulullah s.a.w menjadi tetamu di rumah Sayyidina Abu Ayyub al-Ansari? Bukankah unta baginda s.a.w dengan hidayah Allah telah memilih rumah Abu Ayyub al-Ansari tidak yang lain? Secara simboliknya Ahmad Ammar Ahmad Azzam berhijrah menuntut ilmu dari Malaysia ke Turki seperti hijrahnya Baginda s.a.w dari Makkah ke Madinah.

Takdir Allah menentukan Sayyidina Abu Ayyub al-Ansari terpilih untuk memuliakan Rasulullah s.a.w di rumahnya, begitu jugalah Ahmad Ammar menjadi tetamu kepada Sayyidina Abu Ayyub al-Ansari di permakaman Eyup, Turki. Inilah rezeki beliau yang pastinya amat menggembirakan ayahanda dan bondanya yang kesedihan. Janji Allah amat jelas di dalam ayat 100 surah al-Nisa’ : “…Dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudia ia mati, maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Subhanallah, pada pagi kejadian, Ammar keluar menuju rumah pelajar-pelajar baru dari Asia Tenggara dengan semangat untuk berkongsi ilmu dan bermuzakarah Rasail Nur karangan Imam Bediuzzaman Said Nursi.

Malah catatan terakhirnya dan dimasukkan ke dalam beg sandang beliau berbunyi : “Perlu ada keredhaan Allah dalam amalan kalian. Sekiranya Allah redha sedangkan seluruh dunia berpaling daripadamu, maka itu tidak penting. Jika Dia telah menerima amalanmu sedangkan seluruh makhluk menolak maka ia tidak memberi apa-apa kesan pun… Kerana itu lah sepatutnya hanya redha Allah semata-mata yang menjadi tujuan utama di dalam khidmat dakwah ini.” Namun seperti yang dicatatkan ayahandanya Tn. Hj. Azam beliau sempat melintasi jalan, namun kehilangan imbangan badan dan terjatuh lalu dirempuh sebuah ambulans.

Beliau pergi pada usia 20 tahun, penuntut tahun dua Universiti Marmara. Beliau amat rindukan syahid. Rupa-rupanya Ahmad Ammar ini telah pun menyaksikan bidadarinya sehingga beliau tidak lagi menoleh ke kiri atau ke kanan dalam mengejar cita-citanya. Beliau terus berkhidmat untuk berdakwah dan tekun beramal sehingga pada tarikh itu berakhirlah tugasan beliau di bumi yang fana ini. Alhamdulillah kerana Allah dengan kasih sayang-Nya masih memelihara agama ini dengan adanya remaja-remaja seumpama Ammar. 

Masyaallah Tabarakallah! Al-Fatihah..

Lihat Video: http://www.youtube.com/watch?v=HIR30U3E9sE

SYAHID YANG TERTANGGUH...

Catatan dari Ibu Ammar...

Allahu...rupa-rupanya anakandaku ingin syahid di bumi Syria!!!

Saya masih teringat semasa Almarhum anakanda Ahmad Ammar meminta izin untuk menyertai misi kemanusiaan ke Syria selama 3 hari selepas beberapa hari beliau pulang ke Istanbul setelah bercuti lebih 2 bulan di Malaysia penghujung September yang lalu. Tanpa ragu-ragu saya mengizinkan kerana yakin pengalaman ke sana itu penting buat beliau..."Pergilah....yang penting, make sure u take good care of yourself."

Tidaklah saya ketahui sehinggalah dalam pertemuan dengan pelajar2 Msia sebelum berangkat pulang setelah selesai menyempurnakan persemadian beliau bahawa rupa2nya beliau sangat menginginkan syahid di bumi Syria.....

Lebih sebak di dada apabila sahabatnya berkongsi bahawa semasa di sana Almarhum telah bermimpi berjumpa "bidadari di syurga"....

Namun syahidnya telah tertangguh sehinggalah beliau kembali ke bumi AlFateh....

Berikut adalah catatan Almarhum pada wall FB beliau:

"Tidak beriman seseorang kamu selagi mana dia tidak mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri" HR Bukhari

Gambar ini ditangkap di sebuah hospital yang menjadi tempat aku menginap ketika berada di Syria pada 29 September lepas. Waktu ini, aku duduk termenung beberapa ketika sehinggakan tak sedar mata sudah bergenang dengan air mata. Sungguh aku berasa sebak dan pilu setelah berbual ringkas dengan seorang pak cik yang melayan kami ketika berada di situ. Pak Cik itu sentiasa tersenyum ketika berbicara dengan kami tapi aku dapat rasakan sesuatu dari pandangan matanya. Lalu tanpa ditanya beliau menceritakan yang dua anak perempuannya yang lebih kurang sebaya aku telah syahid akibat terkena letupan bom tentera Asad tidak lama yang lalu. İnnalillahI wa inna ilaihi rajiun, barulah aku mengerti rupanya pandangan itu merupakan pandangan penuh rindu seorang ayah kepada anaknya. Aku dilayannya seperti anaknya sendiri. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Bermula saat itu aku mulai sedar dan memasang tekad sebagai saudara se-Islam aku harus keluar dari zon selesa untuk membantu saudaraku yang menderita di bumi Syam ini. Sungguh hatiku tertinggal di Bumi Syam!

(***catatan ini telah Almarhum nukilkan di FB pada14 Okt lalu, hampir 3 minggu sebelum kembali ke pangkuan rahmat Ilahi...)

Berikut adalah perbualan terakhir allahyarham bersama kakaknya...


Allahummaghfirlahu Warhamhu Wa ‘Afihi Wa’fu ‘anhu. 
Al-Fatihah untuk Allahyarham. 

Sumber dari blog sahabat As Syahid Ahmad Ammar....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...