Ukhwah Islamiyyah

Jumaat, 27 Disember 2013

Peringatan Berharga di Tahun Baru






















Khutbah Jumaat Tahun Baru 2014... Renung-renungkan wahai jemaah..

Tajuk : Peringatan berharga di tahun baru

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ 

Sidang jumaat mudah-mudahan dirahmati Allah
Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan sidang jumaat sekali, marilah kita menambahkan tahap ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan seluruh perintahnya dan meninggalkan seluruh larangannya… maka beruntunglah orang yang bertaqwa…..

Sidang jumaat yang dirahmati Allah
Sedar tak sedar kita sudah berada dalam tahun 2014M… Ini bermakna bahawa umur kita telah menjangkau setahun lagi….Maka mahu tak mahu kita telah meningkat lebih tua daripada setahun yang lepas. Ini memberi erti subsidi umur yang Allah kurniakan kepada kita semakin berkurang, jarak perjalanan kita ke alam barzakh semakin dekat , panggilan kubur bertambah nyaring, rumah kata pergi semakin lantang kedengaran dan kematian semakin hampir dengan kita. Berbahagialah mereka yang membuat persediaan yang cukup ke arah menghadapi segalanya itu. Sebaliknya celaka besarlah mereka yang terus lali dan tidak mengambil peduli tentang perkara itu..

Sebagai seorang muslim tentulah yakin tentang adanya hari kiamat, Di mana pada hari itu setiap individu akan menerima pembalasan yang paling adil daripada Allah SWT atas segala yang kita lakukan selama hidup di alam maya ini..Kita seharusnya membuat perhitungan lebih awal lagi tentang apakah pembalasan yang bakal diterima di akhirat nanti serta berusaha sedaya upaya untuk mengumpul bekal yang boleh dibawa bersama-sama pada hari yang tak berguna lagi segala harta kekayaan, pangkat kebesaran, anak pinak dan kaum kerabat, hanya amal bakti terhadap Allah SWT sahaja yang berfaedah.

Pada akhir tahun, tidak kiralah tahun masihi atau tahun hijriah, sesorang itu patut menutup rekod kegiatan serta amalannya. Rasulullah SAW pernah mengingatkan kepada umatnya semua supaya mengira dan menimbang amalan-amalan diri sendiri sebelum orang lain mengira dan menimbangnya. Dengan berbuat demikian dapatlah diperbaiki mana-mana kecacatan, menampung segala kekurangan dan memperbetulkan segala kesalahan. Tetapi mungkin tidak ramai dari kita yang sedar dan berbuat begitu. Akibatnya menjadikan kita sebagai seorang yang lalai dengan urusan dunia , leka mengejar kemewahan dan kesenangan sementara…. Lebih teruja merancang di mana mahu menyambut tahun baru daripada bermuhasabah diri yang semakin dimakan usia. Bagi orang yang bersikap seperti ini, Allah SWT telah mengingatkannya melalui firmannya didalam surah Al-munafikun ayat 9-11 :

Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). dan (ingatlah), sesiapa Yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang Yang rugi. dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki Yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadaNya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu Dengan katanya: " Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa Yang sedikit sahaja lagi, supaya Aku dapat bersedekah dan dapat pula Aku menjadi dari orang-orang Yang soleh ". dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu Yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah amat mendalam pengetahuannya mengenai Segala Yang kamu kerjakan.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah
Sebelum terlewat, kita semestinya bertindak untuk memperhitungkan untung ruginya masa yang telah berlalu itu. Sebenarnya masa hidup kita di atas dunia amatlah terhad, jarang sekali umur manusia di zaman ini berlanjutan sehingga seratus ke dua ratus tahun, tetapi hitung panjang kebanyakkan orang tidak lebih daripada 70 ke 75 tahun. Cubalah perhitungkan diri kita masing-masing, kalaulah sekadar itu sahaja umur kita dilanjutkan, berapa lama lagi sisa umur kita yang masih tinggal? Apakah patut kita habiskan masa yang sedikit itu untuk terus tidur, bekerja dan berhibur semata-mata tanpa diisi dengan pengisian yang akan menjadi bekal untuk kita menghadap Allah SWT di hari akhirat kelak.

Solat fardhu yang sebanyak 5 kali sehari semalam itu mengandungi 17 rakaat semuanya. Kalau tiap-tiap rakaat mengambil masa 3 minit, semuanya berjumlah 51 minit. 3 minit untuk satu rakaat memang sangat lama dan lebih dari cukup bagi sesetengah orang. Tetapi oleh kerana wirid-wirid dan doa-doa selepas solat maka dikirakan satu jam semuanya bukan sekadar 51 minit sahaja. Berdasarkan jumlah ini, maka sebulan mengambil masa 1 hari 6 jam. Dalam setahun meningkat kepada 15 hari. Manakala dalam masa 50 tahun pula menjadi 2 tahun 1 bulan. Kalaulah begitu keadaannya, jelaslah betapa sedikitnya umur kita digunakan untuk beribadah kepada Allah dalam erti kata sebenarnya berbanding dengan kehidupan kita mengejar duniawi.

Bagi mereka yang suka cuai dan selalu mengabaikan solat amnya dan solat berjemaah khususnya, tidakkah terlintas di dalam hati mereka tentang betapa degilnya mereka, betapa kufurnya mereka terhadap nikmat Allah sehingga tidak sanggup menghabiskan 1/25 dari umurnya untuk beribadah kepada Allah bagi faedah dirinya sendiri… pulang ke rumah nanti sama-sama kita renungkan..lapangkan dada, buka minda seluas-luasnya, adakah kita tergolong dalam golongan yang Allah sebutkan sebagai orang yang teramat rugi.

Sidang jumaat yang dirahmati Alllah,
Oleh itu, bersempena kita berada di tahun baru masihi ini, marilah kita memperbaharui keazaman kita masing-masing untuk melakukan perubahan daripada jauh dari Allah kepada dekat dengan Allah, hidupkan kehidupan beragama dalam diri kita dan keluarga kita, kembali bertaut dengan kitabullah dan sunnah rasulnya..Kepada mereka yang jarang datang berjemaah, mungkin banyak alasan yang dikemukakan samada alasan itu benar atau sengaja direka-reka, kalau datang pun bila ada masalah seperti mahu menjemput orang surau ke kendurinya atau ada kematian atau ada pernikahan anaknya…. Berazamlah untuk datang berjemaah sekerap-kerapnya.. jadikan surau atau masjid itu sebagai rumah kedua kita, jangan ditunggu bila dah pencen barulah nak berubah, sebab roh kita akan dijemput pada bila-bila masa, bukan menunggu kita pencen. Ubah sebelum parah. Mudah-mudahan keazaman dan perlaksanaan perubahan kita itu diberi sejuta keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT.

Sidang jumaat yang dirahmati Alllah, Pada hari jumaat yang mulia ini, marilah sama-sama kita memperbaiki dan menyucikan hati kita yang mungkin sudah menjadi kotor dengan kemaksiatan kepada pencipta ini.. jangan jadikan hati kita ini sebagai hati orang yang kufur mahupun hati si munafik.. Kerana yang hanya selamat dihadapan Allah SWT adalah orang yang mengadapnya hal keadaan hati yang selamat daripada kekufuran, kemaksiatan serta kemunafiqan.

"Hari Yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. "Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang Yang datang mengadap Allah Dengan hati Yang Selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik);

 بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...