Ukhwah Islamiyyah

Jumaat, 28 Februari 2014

Nikmat - Hitunglah kesyukuranmu, bukan kesusahanmu !






















Dalam kehidupan kita, terlalu banyak nikmat yang Allah berikan kepada kita. Antara sedar dan tidak sedar, nikmat yang kita dapat terlalu banyak. Nikmat kesihatan, nikmat kebahagiaan, nikmat rezeki, nikmat keamanan dan sebagainya. Alhamdulillah! kadang-kadang kita ini insan yang lemah yang mudah lupa untuk mengucapkan Alhamdulillah.

Ya Allah, aku bersyukur kepadaMu Ya Allah, kerana memberikan keluarga yang sentiasa berada di sisiku, kerana memberikan aku sahabat yang selalu mendorong ku kejalanMu, kerana memberikan aku nikmat-nikmat pemberianMu, Siapa lah aku untuk mengeluh jika apa yang diinginkan tak diperolehi, kerana jika difikirkan, telah terlalu banyak nikmat pemberianMu itu, Dan pasti Allah memberi dengan adil kepada hamba-hambaNya. 

Seringkali kita manusia biasa hanya fokus kepada nikmat orang lain yang dirasakan lebih baik daripada kita. Dan seringkali juga kita akan mengeluh atas segala ujian dan musibah yang melanda hidup kita. Kita terlalu membesarkan kesusahan yang kita lalui sedangkan ada lagi manusia lain yang lagi menderita dan susah dari kita seperti mana musibah yang menimpa saudara kita di Gaza sekarang. Dalam masa yang sama, kita turut membutakan mata atas segala nikmat yang dikurniakan di sekeliling kita. Realitinya, kita tersangat mewah dan kaya dengan kenikmatan. Mengapa kita mudah lupa?? Benarlah bahawa kita hanya asyik mengira kesukaran dan kesusahan yang melanda diri tetapi kita lupa menghitung kesyukuran atas segala nikmat yang ada di sekeliling kita!

Nikmat dalam hidup 

Nikmat Allah yang kita kecapi dalam hidup kita ini terbahagi kepada dua :

  • Nikmat yang dinisbahkan dengan dunia seperti mendapat nikmat diri dan tubuh badan yang sempurna, beroleh kesenangan dan keselesaan hidup dan dijauhkan dari segala musibah dan kecelakaan. 
  • Nikmat yang dinisbahkan dengan akhirat seperti mendapat hidayah Islam, mendapat taufik dan hidayah daripada Allah dan mendapat pemeliharaan Allah daripada mudarat agama. 

Tepuk dada, tanya iman dan hati masing-masing. Alhamdulillah, segala infiniti pujian berbalik kepadaNya sekiranya kita mendapat kedua-dua nikmat ini. Dan sebesar-besar nikmat adalah kita dikurniakan nikmat IMAN dan nikmat ISLAM.

Syukurlah sekiranya kita dilahirkan fitrah dalam ISLAM. Sama-sama kita jaga nikmat itu dengan sebaik-baiknya supaya mendapat pengakhiran yang baik. Tak semestinya permulaan kita baik yakni kita dilahirkan islam akan menjamin pengakhiran yang baik juga untuk kita. Semua bergantung kepada hati, amal ibadah dan ketaqwaan kita kepadaNya.

Jadilah hamba yang bersyukur 

Malulah jika kita tak mampu menjadi hambaNya yang bersyukur. Rasulullah SAW, manusia yang paling mulia di bumi Allah ini pun bersolat malam sehingga bengkak kaki dan tatkala ditanya oleh Saidatina Aishah mengapa berbuat sedemikian lantas baginda menjawab:

‘ …tidak bolehkah aku menjadi hambaNya yang bersyukur.’ 

Dan kita, aku, kamu, awak, anda bagaimana pula? Nikmat dan kurniaanNya terlalu banyak sedang dosa kita juga banyak. Astagfirullah, Astagfirullah, Astagfirullah! Sesungguhnya setiap nikmat datang bersama tanggungjawab. Setiap satunya pasti dipersoalkan bagaimanakah telah kita gunakan semua nikmat dan kurniaanNya ini. Pada jalan Allah kah atau kita menjadi pula hambaNya yang semakin jauh dariNya dengan bersifat sombong serta sangat alpa.

Jangan kufur nikmat. Semua ini hanya dipinjamkan sementara sahaja dan anytime je Allah boleh tarik balik nikmat yang ada pada kita. Ingatlah juga, setinggi mana pun pangkat dan sebanyak mana pun harta kita di DUNIA ini, kepada Allah jualah tempat kita kembali. Di dalam kain kubur berselimutkan kain putih juga akan kita huni. Hanya amal sahaja yang menjadi peneman kita. Jadi, jangan bongkak dan sombong. Siapa kita nak bongkak dan sombong, kita ini hanya hamba. Kita buat salah pun, Allah still bagi chance untuk kita bertaubat dan bagi perkara-perkara baik untuk kita. Luasnya kasih sayang Dia dan rahmatNya untuk kita. Fikir-fikirkanlah.

Pembahagian syukur 

Bagaimana cara nak bersyukur?? Syukur itu boleh dengan hati, lidah yakni lisan kita dan juga amal perbuatan kita.


  • Syukur dengan hati 
Hati yang bersyukur akan sentiasa merasakan bahawa setiap nikmat yang diperolehi adalah mutlak daripada Allah SWT bukan kerana kelebihan, ilmu atau kepandaian yang ada pada dirinya. Mereka akan sentiasa merasa malu dan ‘terhutang budi’ kepada Allah.
  • Syukur dengan lidah 
Lidah yang akan sentiasa melafazkan kalimah ALHAMDULILLAH sebagai menzahirkan erti kesyukuran terhadap nikmat yang diterima daripada Allah. Sesungguhnya Allah amat suka apabila hamba-hambaNya menzahirakn kesan nikmat yang diperoleh dengan melafazkan kalimah puji-pujian kepadaNya.
  • Syukur dengan amal 
Menggunakan segala nikmat yang diperolehi untuk beribadah dan ketaatan kepada Allah. Sebagai contoh, mensyukuri nikmat mata iaitu nikmat penglihatan dengan sentiasa digunakan untuk membaca al-Quran, menatap kitab-kitab Allah, melihat alam semesta dengan tujuan merasai kebesaran Allah dan tidak melihat perkara-perkara maksiat.

Akhir kalam, marilah kita sama-sama berusaha menjadi hamba yang bersyukur. Bersyukurlah dengan apa jua kehidupan yang kita jalani. Kita jatuh, bangunlah kerana masih ramai orang yang menyayangi dan memerlukan kita. Yakinlah bahawa langit yang gelap ini akan cerah di kemudian hari. Pandanglah ke hadapan dan jika perlu pandanglah laluan kita yang berliku di belakang sebagai pendorong kita untuk terus maju kerana ianya bukti bahawa kita telah mengharungi pelbagai pengalaman perit.

Namun kita masih mampu berdiri di dunia yang fana ini. Orang selalu kata jangan pandang orang yang lebih tinggi daripada kita tetapi pandanglah orang yang sama taraf dan lebih susah dari kita. Kerana kita akan termasuk dalam golongan orang-orang yang sentiasa bersyukur atas nikmatnya. In shaa Allah! Itu sahaja, jaga diri, jaga hati, jaga iman.

Wallahua’lam.

kredit: http://wafairdina.blogspot.com/

Kesusahan Hidup Tanda Kerinduan ALLAH























Hidup dalam dunia yang penuh kemewahan dan semua yang ada di dalamnya berlumba-lumba pada hari ini sering menghanyutkan kita dengan seribu macam perkara. Hari-hari yang dilalui, dipenuhi dengan jadual dan aktiviti untuk mencapai yang dihajatkan oleh hati. Ingin mengejar itu dan ini.

Hati dan fikiran fokus kepada hal-hal dunia sehinggakan masa untuk kita berhubung mesra dengan ALLAh Ta’ala, berkhalwat dengan ALLAH Ta’ala sudah hampir tiada. Kalau ada pun, berapa ramaikah dari kita yang tergolong dari orang-orang yang sedaya upaya mencuri masanya untuk berhubungan ‘heart to Rabb’ dengan Dia?

Yang parahnya adalah, dalam 1 hari yang dilalui itu, ada manusia yang langsung tidak mengingati Tuhannya dek kesibukan yang mengikat diri. Dan ALLAh Ta’ala, punya cara yang tersendiri untuk menyedarkan! Dan hanya selepas itu, manusia yang tersedar.

ALLAH Punya Cara-Nya Sendiri 

Dia Maha Penyayang, Maha Mengingati dan Maha Mengasihi kepada semua hamba-Nya.

Apabila kita menyayangi seseorang, mesti timbul rasa rindu apabila berjauhan, dan rasa rindu untuk berhubung serta bermesra, bergurau sendanya dengannya. Begitulah juga tamsilan, halnya dengan kerinduan ALLAh Ta’ala terhadap hamba-Nya.

Tapi, cara manusia dan cara ALLAh Ta’ala memanggil, menyeru dan berhubung dengan hamba yang dikasihi-Nya sangat luar biasa. Tidak sama seperti cara manusia. ALLAh Ta’ala punya cara-Nya sendiri. Tapi sayang, dek kerana lemahnya iman yang ada, sangat sedikit dari pada manusia (termasuk saya) yang sedar dan faham akan cara ALLAh menyeru dan memanggil kita untuk mendekati dan mendampingi-Nya. 

Musibah dan masalah dalam kehidupan itu sebenarnya merupakan panggilan-panggilan ALLAh supaya manusia berhubung dengan-Nya. Manusia sering lupa untuk mengingati ALLAh Ta’ala. Sering!

Bagaimana mahu berhubung dengan ALLAH Ta’ala? Melalui telefonkah? Bukan, sayang.

ALLAH Ta’ala menyeru dan memanggil manusia untuk menghampiri-Nya dengan menurunkan kesusahan demi kesusahan, supaya dengan itu, manusia boleh tersedar dan lembut hatinya untuk kembali kepada-Nya berdoa, mengadu dan meluahkan masalah dalam hidup.

Ini soal pergantungan manusia sebagai seorang hamba kepada Tuhannya!

ALLAH Ta’ala yang menurunkan bala bencana dan ALLAH Ta’ala jugalah yang akan mengangkat kesemua bala bencana itu kembali daripada kita. 

Pernah terfikir tidak, kenapa diri sendiri ditimpa musibah secara tiba-tiba, padahal beberapa minit atau beberapa jam sebelumnya hati lapang dan gembira serta tersenyum tawa dengan hati yang riang? Mengapa ALLAh Ta’ala turunkan suatu masalah yang sangat menghimpit jiwa secara tiba-tiba tanpa sebarang alamat? 

Maka, itulah sebenarnya maksud dan perancangan ALLAh Ta’ala pada setiap waktu dan ketika menanti-nanti manusia yakni hamba-Nya meluangkan masa untuk bersama-Nya. Setiap kali ALLAh Ta’ala menyeru dan memanggil manusia melalui kesusahan-kesusahan hidup itu, ALLAh mahu manusia menyahut panggilan-Nya dengan berusaha merapat pada-Nya melalui solat, doa dan munajat.

Ujian kesusahan, kedukaan dalam kehidupan itu bukanlah tanda ALLAh Ta’ala itu zalim. Tetapi kerana zalimnya manusia terhadap diri sendirilah yang menyebabkan ALLAh Ta’ala dengan sifat-Nya yang Maha Pengasih menyedarkan manusia dari lamunan duniawi.

Itu adalah tanda kasih dan sayang-Nya!

Saya sendiri, dan anda yang membaca,
tidakkah terasa kecut jiwa untuk mahu tunduk terhadap ALLAh?

Dia, ALLAh Ta’ala. Tuhan kita, sentiasa ada untuk menjaga kita.
Maka, jagalah Dia dalam urusan kehidupanmu.

Semoga ALLAh merahmati.

Rabu, 26 Februari 2014

Ketenangan Itu Tidak Wujud Di mana-mana, Tapi Ia Berada Di Dalam Hati






















Apabila kita melihat pemandangan-pemandangan yang indah dan damai tentu hati kita berdetik; alangkah bahagianya kalau dapat pergi atau tinggal di tempat-tempat tersebut. Di situlah ketenangan dapat diperolehi, di situlah kebahagiaan dapat dikecapi. Paling tidak pun, itulah yang lazim dirasakan oleh sebahagian besar manusia.

Maka menujulah manusia ke pantai-pantai yang permai mencari apa yang mereka namakan sebagai ketenangan. Menjelajahlah manusia ke hutan rimba, ke dataran hijau dan ke bukit serta gunung yang tinggi demi mendapatkan ketenangan yang mereka cari.

Begitulah hakikat fitrah kemanusiaan yang memerlukan hiburan ketenangan, setelah hidup mereka dipenuhi dengan seribu macam kesibukan. Tapi benarkah wujud ketenangan di tempat-tempat yang dikejarkan oleh mereka ini? Di situkah wujud kebahagiaan yang mereka dambakan saban waktu?

Kalau benarlah ketenangan itu berada di tempat-tempat yang indah dan permai, kenapa ada juga manusia yang memiliki ketenangan yang paling hakiki, walaupun kehidupannya hanya dikelilingi lautan pasir dan dipayungi terik mentari?

Siapakah manusia yang paling tenang hatinya kalau bukan Nabi Muhammad s.a.w.? Dan bukankah hayat baginda hanya berlegar di padang pasir. Tidak pernah baginda menyelam ke dasar lautan Pasifik melihat keindahan hidupannya. Tidak pernah baginda menjelajah hingga ke Eropah atau Asia Tengah; bumi yang penuh dengan flora dan fauna yang kita idam-idamkan peluang untuk ke sana.

Dalam keadaan hidup baginda yang di kelilingi padang pasir itu pun, ketenangan yang hakiki berjaya baginda dan para sahabat perolehi. Justeru, di manakah wujud ketenangan itu sebenarnya?

Kalau pun kita diberi peluang untuk ke tempat-tempat yang indah dan permai itu dan di sana kita merasai ketenangan yang kita harapkan, adakah berkekalan rasa tenang itu apabila kita meninggalkan tempat tersebut? Lazimnya tidak. Bahkan kalau memang kita ditakdirkan bermastautin di tempat itu, pastikah ketenangan itu akan berterusan? Jawapannya juga tidak. Buktinya?

Cuba perhatikan, sejak lahir, kita hidup di bumi Malaysia, yang akhirnya kita merasa bosan dengan suasana flora dan fauna negara sendiri, padahal ribuan pelancong dari tempat-tempat yang menjadi idaman kita itu memuji-muji keindahan negara ini. Mengapa mereka ke sini pula, padahal tempat merekalah yang kita rasakan lebih indah dan permai suasananya?

Fikirkan. Kenapa mereka mencari ketenangan di sini, sedangkan kita pula merasakan ketenangan itu berada di tempat mereka sendiri? Cuba halusi kembali. Di manakah sebenarnya ketenangan yang dicari-cari?

Ramai yang menyangka bahawa dengan berada di tempat-tempat seperti itulah ketenangan dapat diperolehi dan kebahagiaan dapat dikecapi. Namun hakikatnya ketenangan itu tidak wujud di mana-mana pun, tapi ia sebenarnya berada di dalam hati. 

Walau di mana sekalipun kita berada, sebenarnya ketenangan itu sangat dekat dengan kita. Walau hidup kita di dalam gua yang tertutup tanpa cahaya atau hidup di kelilingi dengan hiruk pikuk kesibukan kotaraya, ketenangan itu tetap dapat kita perolehi. Kerana syarat untuk tenang itu bukannya ke pantai, ke bukit atau ke hutan. Tapi syarat ketenangan itu ialah mengingati Tuhan. Maksud firman Allah; “Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itulah hati akan tenang.” (Surah Al-Ra'd 38)

Itulah rahsia ketenangan. Pintunya di hati. Dan kuncinya mengingati. Dan yang diingat itu ialah Tuhan Yang Maha Suci. Lihatlah apa sahaja di depan matamu dan kalau yang dilihat itu diperhati dan yang diperhati itu dihayati dan yang dihayati itu difahami akan hakikatnya, kemudian segalanya dapat membawa hati mengingati Allah, maka akan lahirlah ketenangan.

Melihat manusia yang berbagai rupa bangsa, kemudian mengkagumi kebijaksanaan Tuhan, maka hati akan tenang. Melihat kenderaan lalu-lalang, kemudian memuji kehebatan Tuhan atas ilmu yang Dia ilhamkan pada manusia untuk mencipta kenderaan itu, maka hati akan tenang.

Melihat kemusnahan dan pencemaran kotaraya, kemudian menginsafi ketentuan Tuhan terhadap kehancuran dunia (kiamat), maka hati akan tenang. Melihat manusia dengan segala macam ragam; ada yang kuat ibadatnya dan ada yang hebat maksiatnya, kemudian menangisi dan memohon keuzuran dari Tuhan atas kesilapan diri sendiri, maka hati akan tenang.

Begitulah yang disuruh oleh Tuhan. AlamNya terbentang luas bukan untuk dipandang, tapi diperhati. Bukan untuk dilihat, tapi dihayati. Bukan untuk direbut, tapi dimanfaati. Maksud firman Allah;

“Sesungguhnya pada penciptaan langit-langit dan bumi, dan silih pergantian malam dan siang, terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang berakal.” (Surah Ali Imran 190)

Itulah tujuan alam dicipta. Tuhan lahirkan kita merata di seluruh dunia. Biarlah di mana pun kita berada. Kalau pun tempat kita ditakdirkan lahir itu adalah tempat yang dipenuhi dengan kehancuran akibat peperangan atau malapetaka alam, ketahuilah! Tuhan itu tetap adil.

Dia tidak menetapkan syarat ketenangan itu mesti berada di tempat yang indah permai, tapi yang Dia telah tentukan ialah; untuk tenang itu, hati mesti mengingati DiriNya. Itulah syarat ketenangan yang menjadi impian setiap insan. Yang pasti, tiada siapa yang hanya mahu ketenangan yang bersifat sementara. Justeru, ingatlah Tuhan, dan selama mana ini dilakukan, insyaAllah hati akan tenang.

Selasa, 25 Februari 2014

Sunnah Yang Diabaikan






















Solat Sunat Istisqa'

Istisqa’ bermaksud meminta siraman air.

Istisqa’ juga bermakna doa meminta hujan kepada Allah S.W.T dengan cara yang tertentu seperti berdoa ketika khutbah Jumaat, berdoa setelah selesai solat, doa secara sendirian (tanpa solat atau khutbah) dan mengerjakan solat Istisqa’.

Oleh itu solat sunat Istisqa’ adalah solat yang dikerjakan secara spesifik untuk memohon kepada Allah swt agar menurunkan hujan ketika terjadinya musim kemarau.

Sebagai mukmin,kita meyakini bahawa apa jua musibah seperti kemarau yang menimpa adalah salah satu tanda kemurkaan Allah SWT terhadap hamba-hamba-Nya yang tidak menurut perintah-Nya.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:

 ...وَلَمْ يَنْقُصُوا الْمِكْيَالَ وَالْمِيزَانَ إِلاَّ أُخِذُوا بِالسِّنِينَ وَشِدَّةِ الْمَئُونَةِ وَجَوْرِ
 السُّلْطَانِ عَلَيْهِمْ وَلَمْ يَمْنَعُوا زَكَاةَ أَمْوَالِهِمْ إِلاَّ مُنِعُوا الْقَطْرَ مِنْ السَّمَاءِ... 

 …Dan tidak akan ada suatu golongan yang mengurangi sukatan dan timbangan kecuali Allah akan mencabut nikmat-Nya dan menjadikan penguasa zalim memerintah mereka. Tidak ada orang yang menahan zakat daripada harta-harta mereka kecuali Allah akan menahan turunnya titisan air dari langit…
(Riwayat Ibnu Majah)

Justeru, Rasulullah saw telah mengajar umatnya agar mengerjakan solat Istisqa’, memperbanyakan doa serta istighfar (memohon keampunan) agar Allah swt mengampunkan dosa lalu Dia menurunkan hujan dan mengembalikan nikmat rezeki kepada para hamba-Nya.

Hukum solat Istisqa’ ini adalah sunat .

KAIFIAT PERLAKSANAAN SOLAT ISTISQA’

Antara perkara yang perlu dilakukan oleh para jemaah untuk solat ini ialah :

Puasa tiga hari, sambil itu bertaubat kepada Allah dengan meninggalkan segala dosa dan kezaliman.

1. Pada hari yang keempat, semua penduduk disuruh keluar dengan berpakaian sederhana menuju ke tanah lapang. Di samping itu binatang-binatang ternakan juga perlu dibawa bersama. Maka pada hari tersebut semua penduduk disuruh supaya memperbanyakkan membaca istighfar.

2. Pada rakaat pertama sesudah membaca surah al-Fatihah bacalah Surah Sabbihisma Rabbikal A’la, dengan suara keras. Dan pada rakaat kedua pula dibaca surah Hal Ataaka Hadithul Ghasyiah.

3. Sesudah itu, khatib harus membaca dua khutbah, pada khutbah yang pertama dimulai dengan membaca Istighfar 9 kali dan pada khutbah kedua pula dimulai dengan 7 kali istighfar.

4. Sunnah memperbanyak membaca doa minta hujan di dalam khutbah yang kedua, yang diucapkan oleh khatib terkadang dengan jahar (suara keras) dan terkadang dengan sir (suara perlahan) menzahirkan harapan dari alunan suara. Adapun jika doa itu diucapkan dengan jahar maka ma’mum mengucapkan “amin” dengan jahar pula, dan jika diucapkan dengan perlahan maka ma’mum berdo’a sendiri dengan perlahan juga .

5. Sunnah pada akhir khutbah yang kedua :
a) khatib menghadap qiblat (membelakangi makmum)
b) Bagi khatib dan sekalian makmum membalikkan selendangnya (serbannya) dengan menjadikan yang sebelah atas menjadi kebawah dan yang sebelah kanan menjadi kekiri.
c) kemudian berpaling lagi oleh khatib membelakangi kiblat pada akhir khutbah yang kedua itu. 

NIATNYA

 أُصَلِّي سُنَّةَ الإِسْتِسْقَاءِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى 

Maksudnya : Sahaja aku menunaikan solat ististiqa’ 2 rakaat kerana Allah Taala.

DOA SOLAT ISTISTIQA’

الْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِين . الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ مَالِكِ يَوْمِ الدِّيْنِ
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ يَفْعَلُ مَا يُرِيْدُ ، اللَّهُمَّ أَنْتَ اللهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ . أَنْتَ الْغَنِّيُ وَنَحْنُ الْفُقَرَاءُ
، أَنْزِلْ عَلَيْنَا الْغَيْثَ وَاجْعَلْ مَا أَنْزَلْتَ عَلَيْنَا قُوَّةً وَبَلاًغًا إِلَى حِيْنَ . 

Maksudnya : “Segala puji bagi Allah pemelihara alam semesta, Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Raja hari kiamat, tiada Tuhan yang maha benar selain Allah, Yang berbuat menurut kehendak-Nya. Ya Allah, Engkaulah Allah yang tiada Tuhan selain-Mu. Engkaulah Maha Kaya, sedangkan kami adalah papa, turunkanlah kepada kami hujan, dan jadikanlah apa yang Engkau turunkan itu menjadi bekal sampai beberapa lama.

PENCERAHAN :

A) Penampilan Fizikal Dan Mental Untuk Bersolat Istisqa’ Mereka yang mengerjakan solat Istisqa’ ini hendaklah menuju ke tempat perlaksanaan solat tersebut dengan penampilan sederhana, tawadhu’ (merendah hati), tadharru’ (bersungguh-sungguh dalam memohon) dan tamaskun (menunjukkan benar-benar perlukan permintaan tersebut)

B) Solat Istisqa’ Dikerjakan Secara Berjemaah Sebanyak Dua Rakaat.

C) Tidak Dilaungkan Azan Atau Iqamah Sebelum Solat Tersebut.

D) Dilaksanakan Sebagaimana Solat Hari Raya. Solat Istisqa’ dikerjakan sama sebagaimana solat Hari Raya yakni dengan melakukan tujuh takbir pada rakaat pertama dan lima takbir pada rakaat kedua.

E) Waktu Perlaksanaan Solat Istisqa’. Solat sunat Istiqa’ boleh dikerjakan pada bila-bila masa kecuali waktu yang diharamkan untuk bersolat.

F) Bacaan Dalam Solat Istisqa’ Adalah Secara Jahar (Kuat).

G) Tempat Perlaksanaan Solat Istisqa’. Tidak dikerjakan di dalam masjid atau surau tetapi di tanah yang lapang seperti padang atau halaman masjid yang luas.

RUMUSAN : Rasulullah saw sebagai ketua negara umat Islam telah turun bersama-sama rakyat untuk mengerjakan solat Istisqa’ ini. Lantaran itu pada masa kini terdapat beberapa negara-negara Islam di timur tengah yang mana para pemerintah tertinggi sesebuah negara itu turut turun bersama rakyat jelata untuk mengerjakan solat Istisqa’ ini Kita ternanti-nanti bila sunnah ini akan diamalkan pula oleh pemerintah di Malaysia.

Wallahu a'lam

Jumaat, 21 Februari 2014

Apa Maksud Rezeki Yang Berkat


Sesunguhnya dalam kita mencari rezeki berkat juga dikenali sebagai rezeki yang halal perlu ada satu tanggungjawab dalam setiap apa yang kita cari untuk kita dan keluarga. Kerana apa yang masuk dalam mulut kita dan keluarga akan menjadi darah daging.

Semoga kita di jauhkan daripada rezeki yang haram dan syubhah yang akan menjadi bahan bakar api neraka. Nauzubillah min zalikh.. Minta di jauhkan. Rezeki yang berkat sedikitnya cukup banyaknya di agih-agihkan. Semoga dalam pencarian rezeki sehari-hari kita perlu ikhlaskan diri dalam mencari rezeki dan amanah dalam kerja yang di lakukan... Insha allah

Rabu, 19 Februari 2014

Kerana Tidak Tahu Baca Qur’an, Kuburnya Bercahaya Menjulang Ke Langit.




























"Suatu kisah yang diceritakan dalam tazkirah Ramadhan di Masjid Sultan Zainal Abidin Kuala Terengganu yang sangat mengharukan dan mampu menitis air mata.

Seorang lelaki melewati sebuah kawasan perkuburan di suatu malam yang kelam dan sunyi. Tiba-tiba ia terpandang suatu cahaya yang terang benderang muncul dari sebuah kubur, dan terus menjulang ke langit. Dia merasa sedikit ketakutan dan berdebar.

Terpegun dan kaku melihat kejadian itu. Dia terfikir kemungkinan kubur ini adalah kubur seseorang yang sangat istimewa. Samada ia seorang waliyullah atau ulamak atau orang soleh yang istimewa kedudukannya di sisi tuhan. Diambilnya sebatang kayu lalu dipacak di atas kuburan yang bercahaya itu.

Keesokannya lelaki itu datang lagi ke kawasan perkuburan itu dengan ditemani orang kampung. Beliau ingin menyelidiki dan ingin mengetahui kubur siapakah yang sangat ajaib itu.

Apakah seorang tuan guru atau waliyullah atau alim ulamak atau orang soleh yang terkenal?.

Bila bertanya kepada orang kampung, mereka kehairanan kerana apa yang mereka ketahui dan pasti ini adalah kubur seorang lelaki tua, yang pernah mendiami sebuah pondok dihujung kampung bersama isterinya. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut , lelaki itu berkunjung ke rumah simati dan bertemu dengan isteri si mati lalu menceritakan keajaiban yang dilihat diperkuburan suaminya.

Anehnya isteri si mati terkejut dan kehairanan. Dia sangat mengenali suaminya. Suaminya bukan siapa-siapa . Suaminya seorang petani kecil. Bukan seorang kiyai, bukan seorang ahli ibadat, bukan orang soleh, apa lagi bukan imam, bukan muazzin, bukan guru quran. Malah suaminya tidak pandai membaca quran dan dia tidak pernah mendengar suaminya membaca quran. Hal ini benar-benar menimbulkan kehairan kepada lelaki tersebut dan isteri simati.

Akhirnya lelaki itu bertanya apakah perkara-perkara aneh yang simati selalu lakukan dalam kehidupan sehari-harinya. Akhirnya isteri simati teringat suatu perkara yang selalu dilakukan oleh si mati, setiap kali sebelum tidur pada setiap malam. Katanya, setiap malam sebelum tidur suaminya akan mengambil wudhuk, kemudian masuk di dalam suatu bilik lalu diambilnya al qur'an di atas rak, lalu dicium dan dipeluknya dengan penuh kecintaan dan kasih sayang.

Ia akan duduk dan membelek al qur'an itu sehelai demi sehelai seperti sedang membaca, sedangkan ia seorang yang buta al qur’an. Dia akan meraba-raba ayat-ayat qur’an itu dengan tangannya , seolah-olah sedang menyentuh dan membelai sesuatu yang sangat dikasihi. Tambah isteri simati lagi, ia pernah mendengar rintihan dan esakan tangis suaminya yang sangat sedih, mendayu-dayu dengan penuh penyesalan.

“Tuhanku! ampunkanlah aku kerana aku tidak mampu membaca kalimah mu. Janganlah engkau hukum aku di atas kebodohanku ini.”

“Wahai Kalam Allah, maafkan kesalahan ku. Aku tidak mampu membaca kalimah mu. Aku tidak dapat bersahabat dengan mu. Aku tidak dapat memahami mu. Tapi aku sangat mengasihi mu. Aku sangat mencintaimu."  “Wahai Kalamullah, jangan lah engkau mendakwa aku, jangan engkau menuduh aku dihadapanTuhan diakhirat nanti”. Cerita isteri simati lagi. Kadang-kadang suaminya tertidur di dalam bilik itu ditemani al-qur’an buah hati kesayangannya.

Begitulah suaminya setiap malam sebelum tidur. Lelaki itu meminta untuk melihat al-quran kesayangan suaminya itu. Benar dan sangat mengharukan apabila ia melihat naskah yang mulia itu kelihatan lusuh, helaian-helaiannya kelihatan selalu dibelek berkali-kali. Dan ada bekas-bekas airmata di kertasnya, tanda seseorang sering menangis berjurai airmatanya tatkala membuka lembaran yang maha suci ini.

Pastinya lelaki ini sangat mulia peribadinya. Hatinya telah bersatu dengan ruh al qur’an. Dia sangat mengasihi kalimat tuhan dengan sesungguhnya. Bererti ia mengasihi tuhan dengan seluruh jiwa dan raganya. Marilah kita menghidupkan alquran di dalam masjid kita, di dalam rumah kita, di dalam diri kita, sepanjang masa. Perkisahan ini ditulis dan disesuaikan semula untuk bacaan semua."

Jumaat, 14 Februari 2014

Ilmu Tanpa Amal dan Amalan Tanpa Ilmu
































25 Wasiat Imam Ghazali
(Wasiat 8)

Imam Ghazali berkata: " Ilmu tanpa amal adalah gila dan pada masa yang sama, amalan tanpa ilmu merupakan suatu amalan yang tidak akan berlaku dan sia- sia.''

Ilmu semata-mata masih belum dapat menjauhkan diri kita daripada maksiat, kerana ilmu yang tidak diamalkan tidak akan mampu menolong manusia melarikan diri daripada melakukan maksiat selama-lamanya.

Di samping itu, ilmu yang ada juga masih belum mampu mendorong kita untuk taat kepada Allah s.w.t. Ini kerana beramal dan taat kepada Allah itu datangnya daripada kesedaran diri bahawa ia akan menghadapi maut suatu hari nanti.

Seseorang itu juga tidak mampu menjauhkan dirinya daripada api neraka hanya dengan bergantung kepada pencapaian hidup dan ilmunya semata-mata.

Ia hendaklah diikuti dengan amalan yang didasari dengan ilmu yang telah dipelajarinya.

Apabila kita tidak beramal dengan ilmu yang ada pada diri kita, kita sudah tentu tidak dapat melepasi perhitungan Allah pada Hari Akhirat kelak.

Janganlah sampai kita menjadi orang yang menyesal dan meminta dikembalikan semula ke dunia, suatu perkara yang tidak mungkin terjadi. Sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah as-Sajdah ayat 12 yang bermaksud :

Wahai Tuhan kami, kami telah melihat kebenaran di hadapan mata kami, kami telah mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan perkara yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia agar kami mengerjakan perkara yang baik-baik. Sesungguhnya kami sekarang telah yakin. 

Maka pergunakanlah masa di dunia ini sebaik- baiknya dengan menuntut ilmu dan beramal dengannya, dan jauhilah sikap hanya berbangga- bangga dengan amalan sedangkan ilmunya tiada.

KITAB IHYA' ULUMUDDIN - AL-GHAZALI

Wallahualam

Khamis, 13 Februari 2014

Meraih Pahala dengan Memaafkan Orang Lain
































Marilah kita sama-sama memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Di bawah ini saya salin beberapa ganjaran pahala apabila kita memaafkan kesilapan orang lain.

Semuanya ini dirujuk dalam buku Amalan Meraih Ganjaran Pahala, Antaranya ialah:

1) Mendapat keampunan daripada Allah SWT.

 وَلۡيَعۡفُواْ وَلۡيَصۡفَحُوٓاْ‌ۗ أَلَا تُحِبُّونَ أَن يَغۡفِرَ ٱللَّهُ لَكُمۡ‌ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ 

"..hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani". (An-Nuur [24] : 22)

2) Mendapat redha Allah SWT.

 فَمَنۡ عَفَا وَأَصۡلَحَ فَأَجۡرُهُ ۥ عَلَى ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّهُ ۥ لَا يُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِينَ

"...sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (atas tanggungan Allah dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim". (Asy-Syura [42] : 40)

Maksud أَجۡرُهُ ۥ عَلَى ٱللَّهِ ialah ganjaran pahala yang dikurniakan sendiri oleh Allah SWT, bukan oleh manusia seperti raja atau pemimpin dan sebagainya, malah ganjaran itu datang daripada raja sekelian raja iaitu Allah SWT. Maka apakah yang kita mahukan lebih daripada itu? Allah memberi jaminan dengan ganjaran yang begitu besar.

3) Mendapat keuntungan yang besar (حَظٍّ عَظِيمٍ۬)

وَلَا تَسۡتَوِى ٱلۡحَسَنَةُ وَلَا ٱلسَّيِّئَةُ‌ۚ ٱدۡفَعۡ بِٱلَّتِى هِىَ أَحۡسَنُ فَإِذَا ٱلَّذِى بَيۡنَكَ وَبَيۡنَهُ ۥ
 عَدَٲوَةٌ۬ كَأَنَّهُ ۥ وَلِىٌّ حَمِيمٌ۬ وَمَا يُلَقَّٮٰهَآ إِلَّا ٱلَّذِينَ صَبَرُواْ وَمَا يُلَقَّٮٰهَآ إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ۬ 

"Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat". (Fussilat [41] : 34 - 35)

Dalam ayat ini Allah SWT memerintahkan kita supaya membalas kejahatan yang dilakukan oleh manusia dengan melakukan kebaikan semampu yang boleh. Dengan kata lain kita perlu membalas setiap dosa orang kepada kita dengan kemaafan, kemarahan dibalas dengan kesabaran, tidak mengambil kira kesilapan yang telah berlaku serta rela menanggung keperitan daripada perlakuan orang lain terhadap kita.

Mujahid al-Farra' berkata بِٱلَّتِى هِىَ أَحۡسَنُ ialah membalasnya dengan kesejahteraan dan keselamatan bagi kejahatan yang diterima dan bermaaf-maafan ketika bertemu. Dan ayat فَإِذَا ٱلَّذِى بَيۡنَكَ وَبَيۡنَهُ ۥ عَدَٲوَةٌ۬ كَأَنَّهُ ۥ وَلِىٌّ حَمِيمٌ۬ (orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib); menjelaskan hasil yang diperoleh daripada tindakan memaafkan atau dengan kata lain membalas dengan kebaikan bagi apa-apa kejahatan yang dilakukan terhadap kita; dengan sendirinya dia akan bertukar daripada musuh kepada rakan karib.

Imam az-Zajjaj berkata, ayat ini وَمَا يُلَقَّٮٰهَآ إِلَّا ٱلَّذِينَ صَبَرُواْ bermaskud tidak dianugerahkan sifat ini (membalas kejahatan dengan kebaikan) kecuali kepada orang-orang yang sabar menanggung kemarahan dan keperitan. 

Ayat ini pula وَمَا يُلَقَّٮٰهَآ إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ۬ bermaksud ganjaran dan kebaikan yang diperoleh daripada orang yang mengamalkan sifat-sifat di atas adalah orang-orang itu sangat beruntung. Qatadah berkata "Keuntungan yang besar itu ialah balasan syurga"

4) Mendapat ganjaran pahala kerana meneladani salah satu sifat Allah iaitu al-'afwu. 

Al-'afwu bermaksud Allah Maha Memaafkan kesalahan. Allah mengampunkan dosa yang dilakukan oleh hambaNya yang menderhaka dan Allah tidak membalas kesalahan hambaNya semasa berada di dunia dengan menyegerakan hukuman.

 إِن تُبۡدُواْ خَيۡرًا أَوۡ تُخۡفُوهُ أَوۡ تَعۡفُواْ عَن سُوٓءٍ۬ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَفُوًّ۬ا قَدِيرًا 

"Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan atau menyembunyikannya atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa".
(An-Nisa' [4] : 149)

Ayat ini bermaksud Allah memaafkan dan mengampunkan dosa orang-orang yang melakukan kejahatan walaupun Allah Berkuasa membalas dengan segera. Oleh itu contohilah sifat Allah ini.

5) Mendapat pahala kerana mencontohi akhlak Rasulullah SAW. 

Para nabi dan rasul tidak pernah memabalas kejahatan kaum mereka. Para nabi dan rasul menyerahkan urusan tersebut kepada Allah SWT. Siapakah kita sehingga kita tidak sanggup bersifat pemaaf dan menganggap sifat pemaaf itu hina dan rendah?

6) Mendapat kelebihan termasuk ke dalam golongan orang-orang yang memaafkan kesilapan dan kejahatan orang lain terhadap kita dan mendapat ganjaran syurga 'Adn. 

"Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata dan mendirikan solat, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat; Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; (Memberi hormat dengan berkata): Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu. (ar-Ra'd [13] : 22 - 24) 

7) Kemaafan yang kita berikan adalah kebaikan yang kita lakukan dan akan dapat balasan yang baik.

هَلۡ جَزَآءُ ٱلۡإِحۡسَـٰنِ إِلَّا ٱلۡإِحۡسَـٰنُ 

"Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik melainkan balasan yang baik juga?" (ar-Rahmaan [55] : 60)

Allah membalas hamba-hambaNya dengan balasan yang setimpal dengan kebaikan yang dilakukan. Jika hambaNya memaafkan kesalahan orang maka Allah akan memaakan dan mengampuni dosanya. 

8) Mendapat kelebihan yang dikurniakan oleh Allah SWT pada hari Isnin dan Khamis.

Rasulullah SAW bersabda; "Dibukakan pintu-pintu syurga pada hari Isnin dan Khamis bagi setiap hamba yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu kecuali (bagi) lelaki yang di antaranya dan saudaranya permusuhan maka dikatakan; Lihatlah kepada dua orang ini sehingga mereka berdua berdamai". (Direkodkan oleh Muslim)

9) Dicintai Allah SWT 

 فَٱعۡفُ عَنۡہُمۡ وَٱصۡفَحۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ 

"Oleh itu, maafkanlah mereka (jika mereka sedia bertaubat) dan janganlah dihiraukan kerana sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang berbuat baik". (al-Maaidah [5] : 13)

10) Ditinggikan kedudukan oleh Allah SWT baik di dunia mahupun di akhirat atau kedua-duanya. 

Rasulullah SAW menyebut:

"Allah tidak menambah (kepada) seseorang hamba yang (bersifat) pemaaf kecuali kemuliaan dan tidak merendah diri seseorang kepada Allah kecuali diangkat oleh Allah". (Direkodkan oleh Muslim).

Harapan dan cita-cita kita ialah untuk mendapat cinta Allah. Sesungguhnya jika seseorang itu dikasihi atau dicintai Alllah, para malaikat dan semua manusia turut mengasihinya. Orang yang sentiasa mendahului orang lain dalam melakukan amal kebajikan adalah orang yang mendapat kejayaan dan kelebihan. 

Sekian, mudah-mudahan memberikan manfaat.

Selasa, 11 Februari 2014

Akhir Zaman : Kekuasaan Dipegang Oleh Orang-Orang Bodoh Dan Zalim


Pada akhir zaman nanti, akan kelihatan kuasa dari orang-orang bodoh dan zalim. Mereka mempunyai ramai pembantu dalam kezaliman mereka, bahkan mendera manusia dan menghinakan mereka. Rasulullah SAW telah mengumpamakan cambuk-cambuk tersebut dengan ekor lembu serta memperingatkan mereka dengan neraka dan azab Allah SWT.

Dari Abu Umamah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Pada akhir zaman, akan ada orang yang membawa cemeti seperti ekor lembu. Mereka pergi pada pagi hari dalam kemurkaan Allah dan kembali pada petang hari dalam kemarahan Allah. “(HR. Al-Albaniy).

Dari Abu Hurairah ra bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Jika engkau diberi kesempatan yang panjang, engkau akan melihat suatu kaum yang pergi pada pagi hari dalam kemurkaan Allah dan kembali pada petang hari dalam kemarahan Allah. Di tangan mereka ada semisal (cambuk) ekor lembu. “(HR. Ahmad).

Dari Abu Hurairah ra bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Ada dua golongan ahli neraka yang belum pernah kulihat sebelumnya, iaitu suatu kaum yang bersamanya cemeti seperti ekor lembu, yang dipukul untuk memukul manusia, dan para wanita yang berpakaian tetapi telanjang, berjalan lenggak -lenggok, dan kepala mereka seperti bonggol unta yang condong. Mereka tidak akan masuk syurga, bahkan tidak akan mencium baunya. Padahal, baunya dapat tercium dari perjalanan (jarak) sekian dan sekian. “(HR Muslim).

Tanda-tanda itu telah berlaku dalam sejarah Islam dan akan muncul lebih hebat lagi sebelum berlakunya kiamat, iaitu ketika ilmu dicabut dan muncul kebodohan sehingga Islam tidak ada lagi, kecuali nama dan tulisannya sahaja. 

Turunnya bencana alam dan seksaan berat dari pemimpin yang Zalim. 

Rasulullah SAW memberitahu bahawa di akhir zaman nanti sebelum munculnya Al-Mahdi, umat akan ditimpa musibah besar, seperti cubaan dan seksaan berat yang dilakukan oleh para pemimpin dan hakim yang zalim. Mereka menyempitkan ruang gerak orang beriman sehingga seseorang akan berharap dapat menduduki seperti tempat saudaranya yang sudah meninggal agar terbebas dari cubaan, seksaan, kejahatan dan kezaliman para pemimpin tersebut.

Keadaan itu akan terus berlaku sehingga munculnya Al-Mahdi untuk menghukum mereka. Dia memenuhi bumi ini dengan kebaikan dan keadilan, sebagaimana sebelumnya bumi ini telah dipenuhi dengan kezaliman dan pembunuhan.

Dari Abu Sa’id Al-Khudri ra bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Akan turun kepada umatku di akhir zaman nanti cubaan yang dahsyat dari pemimpin mereka. Belum pernah terdengar cubaan yang lebih dahsyat darinya sehingga bumi yang luas itu terasa sempit bagi mereka kerana bumi dipenuhi dengan kejahatan dan kezaliman. Seorang mukmin tidak mendapatkan tempat berpindah dari kezaliman itu. Kemudian, Allah Azza wa Jalla mengutus seseorang dari keturunanku.

Dia akan memenuhi bumi dengan keadilan sebagaimana bumi dipenuhi dengan kejahatan dan kezaliman. Penduduk bumi dan langit redha dengannya dan bumi tidak menyimpan sesuatu pun dari bijinya, kecuali mengeluarkannya. Begitu juga dengan langit, kecuali Allah menuangkannya ke bumi. Dia hidup di tengah-tengah mereka selama tujuh, lapan, atau sembilan tahun agar semua yang hidup dan mati menikmati apa yang tellah diperbuat Allah Azza wa Jalla terhada penduduk bumi dari kebaikan-Nya. “(HR Hakim).

Keadaan ini merupakan rangkaian dari bencana sebelumnya. Kezaliman mengakibatkan keadaan seperti ini. Begitu juga dengan pelbagai fitnah, kejahatan dan kezaliman pemimpin terhadap rakyatnya dengn sedikit rezeki serta kebajikan. Semua itu mengakibatkan kebimbangan manusia antara beriman dengan kufur.

Dari Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Kiamat tidak akan berlaku sehingga seseorang yang melewati kubur dan mengatakan, seandainya aku boleh menduduki tempatnya.” (HR Asy-Syaikhoni).

* Diterjemahkan oleh Detik Islam dari sumber eramuslim.com.

Garam - Amalan Sunnah Yang Jarang Diketahui

Amalan Rasulullah S.A.W memakan secubit garam sebelum dan selepas makan kini dibuktikan oleh para saintis bahawa tabiat ini menambahkan keberkesanan perut untuk menghadam makanan dan menghindarkan perut dari menyerap racun.

Pada zaman Yunani, Tentera Yunani ( askar Greek ) dibayar gaji menggunakan garam. Begitu juga dengan episod penjajahan negara kecil oleh negara besar dengan mengenakan hukuman penjara kepada penentang mereka.

Apabila dipenjarakan, mereka ( penentang ) akan diberi makanan seperti roti dan air tanpa garam. Walaupun kerap dihidangkan dengan roti dan air tanpa garam, badan mereka tetap lemah memandangkan kurangnya kandungan garam dalam badan.

Dari Abdullah Bin Umar ”Sesungguhnya ALLAH menurunkan empat perkara berkat ( mempunyai kebaikan ) dari langit ( menerusi hujan ) ke bumi iaitu besi, api, air dan garam” 

Hadis Riwayat Al-Baghawiy dalam tafsirnya. Dari Anas Bin Malik, Nabi s.a.w. bersabda ;

”Penghulu segala lauk pauk kamu ialah garam ."

Dalam kitab perubatan Islam, untuk penyakit dari laut maka untuk keluarkannya dari badan / merawatnya dari laut juga iaitu menggunakan air garam.

Antaranya:

1. Penyakit Ghaut – timbus anggota badan atau bahagian yang bengkak dengan pasir laut ( tepi pantai ) 1 – 2 jam kemudian mandi air laut.

2. Kalau tinggal di bandar, goreng 1 – 2 genggam garam kasar sampai kekuningan kemudian demah / tuam di bahagian yang bengkak atau sakit. Garam itu dibungkus dengan kain.

3. Guna cara yang sama seperti di atas untuk penyakit lenguh-lenguh sendi, sakit kepala, senggugut. Kalau sakit lelah demah / tuam pada tapak kaki.

4. Elak mabuk semasa perjalanan dengan meminum madu dan secubit garam atau air suam dan secubit garam sebelum memulakan perjalanan.

5. Mengembalikan tenaga untuk orang yang bekerja berat seperti bertani, bersukan dan seumpamanya – minum air suam dan sedikit garam. 

6. Cuci perut : minum air suam dan satu butir garam kasar sebelah pagi.

Petua berdasarkan kajianMerendam kerang supaya hilang tahinya. Dalam kaedah perubatan Islam, sesuatu perkara yang buruk diubat dengan asalnya. Kerang berasal dari laut, dan garam digunakan untuk meneutralkan keburukannya (tahi).

Mengurang tahap kemasinan ikan masin. Ikan kering yang terlalu masin boleh dikurangkan kadar kemasinannya dengan merendam dalam air garam juga.

Merawat cirit-birit. Ia boleh diubati dengan meminum air yang dicampur sedikit garam.

Garam diguna untuk merawat kegatalan. Air yang dicampur garam disapukan pada kulit yang gatal. 

Menambah imuniti badan akibat perubahan hawa / angin. Hal ini berlaku di sesetengah tempat di negeri Arab. Misalnya pelajar Malaysia yang berkunjung ke Arab akan mengalami alahan terhadap hawa / angin tempat baharu. Air garam diminum sebagai ubatnya.

Sabtu, 8 Februari 2014

Bagaimana mahu konsisten dalam ibadah?

























1. Banyak bertaubat dan beristighfar
2. Melakukan amal soleh yang sesuai dengan kemampuan
3. Jangan memberatkan diri dengan ibadah secara drastik
4. Mencontohi ibadah salafussoleh
5. Mengambil pengajaran daripada orang yang tidak konsisten dalam ibadah
6. Berdoa supaya dikurniakan istiqamah dalam ibadah
7. Berkawan dengan mereka yang konsisten dengan amal soleh

 ~ Ustaz Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Khamis, 6 Februari 2014

ALLAH MENJAWAB AL-FATIHAH KITA






















"Ramai orang yang cara membacanya tegesa-gesa, dan seakan-akan ingin cepat menyelesaikan solatnya. Padahal di saat kita selesai membaca satu ayat dari surah Al-Fatihah tersebut, ALLAH menjawab setiap ucapan kita.

Dalam Sebuah Hadits Qudsi Allah Subhanahu Wata'ala ber-Firman: "Aku membagi solat menjadi dua bagian, untuk Aku dan untuk Hamba-Ku."

■ Ertinya, tiga ayat di atas Iyyaka Na'budu Wa iyyaka nasta'in adalah Hak Allah, dan tiga ayat ke bawahnya adalah urusan Hamba-Nya.

■ Ketika Kita mengucapkan "Alhamdulillahi-Rabbil 'alamin". Allah menjawab: "Hamba-Ku telah memuji-Ku."

■ Ketika kita mengucapkan "Ar-Rahmanir-Ra-him", Allah menjawab: "Hamba-Ku telah mengagungkan-Ku."

■ Ketika kita mengucapkan "Maliki yaumiddin", Allah menjawab: "Hamba-Ku memuja-Ku."

■ Ketika kita mengucapkan “Iyyaka na’ budu wa iyyaka nasta’in”, Allah menjawab: “Inilah perjanjian antara Aku dan hamba-Ku.”

■ Ketika kita mengucapkan “Ihdinash shiratal mustaqiim, Shiratalladzina an’amta alaihim ghairil maghdhubi alaihim waladdhooliin.”- Allah menjawab: “Inilah perjanjian antara Aku dan hamba-Ku. Akan Ku penuhi yang ia minta.” (HR. Muslim dan At-Tirmidzi)

■ Berhentilah sejenak setelah membaca SETIAP satu ayat. Rasakanlah jawaban indah dari Allah kerana Allah sedang menjawab ucapan kita.

■ Selanjutnya kita ucapkan "Aamiin" dengan ucapan yang lembut, sebab Malaikat pun sedang mengucapkan hal yang sama dengan kita.

■ Barangsiapa yang ucapan “Aamin-nya” bersamaan dengan para Malaikat, maka Allah akan memberikan Ampunan kepada-Nya.” (HR. Bukhari, Muslim, Abu Dawud)

Wallahu a'lam..

Sunnah-sunnah Hari Jumaat


Isnin, 3 Februari 2014

Allah Tak Pernah Merampas Sesiapa Yang Kita Sayang Tetapi Allah Gantikan Lebih Baik

























Yaa Robb, Bila dia memang jodohku, segera berikanlah aku jalan agar aku tahu bila dia benar-benar pemilik tulang rusuk yang kau pilihkan untukku. Namun Yaa Robb jika dia bukanlah jodoh yang kau pilihkan, segera berikan aku jalan agar aku tak berlarut-larut dalam penantian .. Aamiin

Sujudku pada seperempat malam, membuatku lebih tenang. Memang hanya Dia tempatku mengadu, kerana hanya Dia lah Yang Selalu ada untukku. Ketika aku gundah, ketika aku putus harapan dan ketika aku mula berhenti berharap, Dia selalu menemaniku dalam apa jua keadaanku.

Dahulu aku seperti yang lain, begitu hebat sekali untuk mencari cinta yang sering di khabarkan. Aku juga hanyut di bawa mimpi dengan keindahan cinta tersebut. Aku pernah berasa amat gembira kerana dia aku rasa dia tercipta khas untukku.

Ketika perasaan sayang itu memuncak, ketika aku rasa dia memang jodohku yang tepat dan aku letakkan dia sebagai calon isteriku. Tetapi langit itu tak selalu indah kadang-kadang awan mendung mendatang, dugaan demi dugaan yang perlu aku hadapi, apabila dia di telah di jodohkan oleh keluarganya dengan seorang ustaz dan pelbagai rintangan yang membuatkan hati ini begitu kecewa.

Pernah aku putus harapan dan tidak menerima siapa sahaja yang datang dalam hidup ini. Ramai yang cuba mengisi kekosongan hati, tetapi hati ini tetap berdegil tak mahu berganjak dari pendiriannya. Hati selalu berkata " aku telah menjaga batas pergaulanku, aku menjaga segalanya , kenapa dia bukan jodohku ?  

Sehinggakan air mata ini mengalir demi menanti sebuah jawapannya yang aku sendiri tak tahu bila ianya terlerai.

Tetapi kini barulah aku mengerti dan fahami bahawa apa yang berlaku ada hikmah yang tersembunyi. Kini akui bahawa apa yang terjadi itu adalah terbaik untuk diriku. Allah tak pernah rampas sesiapa dalam hidupku, ia pertemukan aku dan dia untuk aku mengenali apa itu kehidupan dan soal cinta. Bagaimana untuk aku bangkit jika aku terjebak pada cinta yang salah ?

Itulah cara Allah mentarbiyah diri ini yang banyak kekurangan. Allah adalah sebaik perancangan dalam hidup kita. Ia tahu apa yang terbaik untuk kita. Allah tak pernah merampas sesiapa yang kita sayang. Bila kita kehilangan seseorang tu, mungkin Allah mahu gantikan dengan yang lebih baik.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
(Surah Al Baqarah ayat 216) 

Ahad, 2 Februari 2014

Kisah Syaitan Membantu Pemuda ke Masjid


Seorang pemuda buta bangun awal pagi untuk solat subuh di Masjid. Dia berpakaian, berwudhu dan berjalan menuju masjid. Di tengah jalan menuju masjid, pemuda tersebut jatuh dan pakaiannya kotor.

Dia bangkit, membersihkan bajunya, dan pulang kembali ke rumah. Di rumah, dia berganti baju, berwudhu, dan, LAGI, berjalan menuju masjid . Dalam perjalanan kembali ke masjid, dia jatuh lagi di tempat yang sama! Dia, sekali lagi, bangkit, membersihkan dirinya dan kembali ke rumah. Di rumah, dia, sekali lagi, berganti baju, berwudhu dan berjalan menuju masjid .

Di tengah jalan menuju masjid , dia bertemu seorang lelaki dan memimpinnya. Dia menanyakan identiti lelaki tersebut, dan menjawab “Saya melihat anda jatuh 2 kali di perjalanan menuju masjid, jadi saya mahu bantu anda..”

Pemuda tersebut mengucapkan terima kasih dan mereka berdua berjalan ke masjid . Saat sampai di masjid , pemuda buta itu bertanya kepada lelaki yang memimpinnya untuk masuk dan solat subuh bersamanya, lelaki itu menolak, pemuda itu mengajak lagi hingga berkali kali dan, lagi, jawapannya sama.

Pemuda bertanya, kenapa menolak untuk masuk dan solat? lelaki itu menjawab 

“Aku adalah IBLIS”

Pemuda itu terkejut dengan jawapan lelaki itu.

Syaitan kemudian menjelaskan, ‘Saya melihat kamu berjalan ke masjid , dan sayalah yang membuat kamu terjatuh. Ketika kamu pulang ke rumah, membersihkan badan dan kembali ke masjid, Allah memaafkan semua dosa dosamu.

Saya membuatmu jatuh kali kedua, dan bahkan itupun tidak membuatmu berubah fikiran untuk tinggal di rumah, kamu tetap memutuskan kembali masjid .

Kerana hal itu, Allah memaafkan dosa dosa seluruh anggota keluargamu.

Saya KHUATIR jika saya membuat kamu jatuh untuk kali ketiga, jangan jangan Allah akan memaafkan dosa dosa seluruh penduduk desamu, jadi saya harus memastikan bahawa anda sampai di masjid dengan selamat….’

Moral:

Jangan biarkan Syaitan mendapatkan keuntungan dari setiap aksinya. Jangan melepaskan sebuah niat baik yang hendak di lakukan kerana kita tidak pernah tahu ganjaran yang akan kita dapat dari segala kesulitan yang kita temui dalam usaha kita untuk melaksanakan niat baik tersebut .

Wallahua’lam..

via FB
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...