Ukhwah Islamiyyah

Sabtu, 16 Oktober 2010

KATA-KATA INDAH TENTANG KHAT

سم الله الرحمن الرحيم

TULISAN YANG CANTIK MENERANGKAN MATA, TULISAN YANG BURUK MENGELUARKAN AIRMATA.

PERTUTURAN YANG BAIK MENAKLUKI HATI, DAN TULISAN YANG ELOK MEMBERSIHKAN MATA

TULISAN YANG CANTIK IALAH HARTA BAGI YANG MISKIN, HIASAN BAGI HARTAWAN, KESEMPURNAAN BAGI KERAJAAN.

KECANTIKAN TULISAN ADALAH LIDAH BAGI ANGGOTA DAN KEINDAHAN BAGI FIKIRAN.

MANUSIA TIADA MEMPUNYAI HARTA YANG LEBIH BERNILAI DARI KEBIJAKSANAAN DAN BAKAT

TULISAN YANG BAIK IALAH TULISAN YANG DAPAT DIBACA

TULISAN WUJUD SUPAYA BOLEH DIBACA, BUKAN UNTUK MENYUSAHKAN PEMBACA.

TULISAN ADALAH LIDAH KEPADA JANTUNG DAN TEMPAT MENYIMPANRAHSIA PENYIASAT KHABAR DAN PENGAWIT PERINGATAN SEJARAH.

KATA2 YANG BAIK JIKA DITULISKAN DENGAN CANTIK MEMBERI NIKMAT KEPADA MATA, KEGEMBIRAAN KEPADA HATI, DAN KEHARUMAN KEPADA ROH.

TULISAN ADALAH JOEMETRI ROHANI YANG DIUJUDKAN MELALUI ALAT JASMANI.

AIR MATA YANG MENGALIR DARI QALAM ITU TIDAK KURANG INDAHNYA DARI AIR MATA YANG MENGALIR DIPIPI ANAK DARA.- AL-MA’MUN

DAKWAT ADALAH HITAM PADA PENGLIHATAN MATA , TETAPI PUTIH PADA MATA HATI.

SAYA TIDAK PERNAH MELIHAT SEORANG YANG MENGALIRKAN AIR MATA SERTA TERSENYUM LEBIH INDAH DARI SEBATANG QALAM.- JAAFAR BIN YAHYA.

Ganjaran pahala solat Subuh mengatasi keindahan dunia

سم الله الرحمن الرحيم
http://www.solat.info/v1/

RASULULLAH SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah SWT. Kerana itu, janganlah kamu mencari jaminan Allah SWT dengan sesuatu (selain daripada solat), yang pada waktu kamu mendapatkannya, lebih-lebih lagi ditakuti kamu tergelincir ke dalam api neraka.” (Hadis riwayat Muslim) Muhammad Abdur Rauf al-Munawi dalam kitabnya at-Ta’arif menegaskan, as-Subhu atau as-Sabah adalah permulaan siang hari, iaitu ketika ufuk berwarna merah jingga di langit tertutup oleh tabir matahari. Adapun solat Subuh ibadat yang dilaksanakan ketika fajar siddiq dan berakhirpada waktu matahari terbit.

Solat Subuh memiliki banyak daya tarikan kerana kedudukannya dalam Islam dan nilainya yang tinggi dalam syariat. Banyak hadis mendorong untuk melaksanakan solat Subuh serta menyanjung mereka yang menjaga dan mengerjakannya.

Rasulullah SAW mengetahui waktu Subuh adalah waktu yang sangat sulit dan payah untuk bangun dari tidur. Seorang Muslim bila dibiarkan begitu saja (tertidur), akan memilih untuk merehatkan dirinya sampai terjaga hingga terbit matahari dan meninggalkan solat Subuh, atau ‘Subuh gajah’, iaitu dikerjakan solat Subuh tidak pada waktunya yang betul.

Rasulullah SAW mengkhususkan solat subuh dengan beberapa keistimewaan tunggal dan sifat tertentu yang tidak ada pada solat lain. Banyak keutamaan dan kelebihan yang didapati di waktu subuh.

Solatsubuh6_1

Salah satu keutamaannya adalah Rasulullah SAW mendoakan umatnya yang
bergegas dalam melaksanakan solat Subuh, sebagaimana disebutkan dalam
hadis: “Ya Allah, berkatilah umatku selama mereka suka bangun subuh
(iaitu mengerjakannya).” (Hadis riwayat Termizi, Abu Daud, Ahmad dan
Ibnu Majah)

Jika Rasulullah SAW yang berdoa, maka tidak ada hijab di antara
Baginda dengan Allah SWT kerana Baginda sendiri adalah orang yang
secara jasadiyah paling dekat dengan Allah SWT.

Waktu Subuh adalah waktu yang paling baik untuk mendapatkan rahmat
dan keredaan Allah SWT. Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan bersabarlah
kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan
senja hari dengan mengharap keredaan-Nya, dan janganlah kedua matamu
berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan duniawi, dan
janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya sudah Kami lalaikan
daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah
keadaannya itu melampaui batas.” (Surah al-Kahfi, ayat 28)

Keutamaan solat Subuh diberikan ganjaran pahala melebihi keindahan
dunia dan seisinya, sebagaimana disebutkan dalam hadis riwayat Imam
at-Termizi: “Dari Aisyah telah bersabda Rasulullah SAW, dua rakaat
solat Fajar pahalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya.”

Begitulah keistimewaan solat Subuh. Apakah yang menghalang kita
untuk menyingkap selimut dan mengakhiri tidur untuk melakukan solat
Subuh? Bukankah solat Subuh menjadi bahagian yang begitu besar
kemuliaannya dibandingkan dunia dan seisinya?

Diriwayatkan Muslim daripada Usman bin Affan berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah
solat setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka
seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh.”
(Hadis riwayat Muslim).

Solat Subuh adalah sumber daripada segala cahaya di hari kiamat. Di
hari itu, semua sumber cahaya di dunia akan padam. Matahari akan
digulung, ibadat yang akan menerangi pelakunya.

Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asyaari, dia berkata Rasulullah
SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa yang solat dua waktu yang
dingin, maka akan masuk syurga.” (Hadis riwayat Bukhari). Dua waktu
yang dingin itu adalah solat Subuh dan Asar.

Mereka yang menjaga solat Subuh dan Asar dijanjikan kelak di syurga
akan melihat Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kami
sedang duduk bersama Rasulullah SAW, ketika melihat bulan purnama.
Baginda berkata, “Sungguh kamu akan melihat Rabb (Allah), sebagaimana
kamu melihat bulan yang tidak terhalang dalam memandangnya. Apabila
kamu mampu, janganlah kamu menyerah dalam melakukan solat sebelum
terbit matahari dan solat sebelum terbenam matahari. Maka lakukanlah.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW memberi janji, apabila solat Subuh dikerjakan, maka
Allah akan melindungi siapa saja yang mengerjakannya seharian penuh.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa yang menunaikan
solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah. Maka janganlah
cuba-cuba membuat Allah membuktikan janji-Nya. Barang siapa yang
membunuh orang yang menunaikan solat Subuh, Allah SWT akan menuntutnya,
sehingga Allah SWT akan membenamkan mukanya ke dalam neraka.” (Hadis
riwayat Muslim, at-Termizi dan Ibn Majah)

Semoga kita tetap menjaga dan memelihara solat Subuh seperti
dijanjikan Allah. Bergegas bangun tidur apabila terdengar laungan azan
berkumandang untuk segera mengerjakan solat Subuh.

Ahad, 10 Oktober 2010

Mengapa berat menunaikan solat?

سم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum warahmatullah,

Semua umat Islam rasanya sudah maklum apakah dia seksa Neraka itu. Api yang membakar sampai ke hati. Minumannya ialah leburan logam yang menggelegak yang tidak terhingga panasnya. Makanannya ialah buah yang berduri. Seksa Neraka tersangatlah pedih. Ia adalah sehina-hina tempat untuk kembali.

Rata-rata juga umat Islam tahu bahawa sembahyang itu tiang agama. Siapa yang mendirikan sembahyang, dia sebenarnya telah mendirikan agama. Siapa yang meruntuhkan sembahyang, dia telah meruntuhkan agama. Mereka juga tahu, yang membezakan di antara orang kafir dan orang Islam itu ialah sembahyang. Barang siapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja, nyata dia telah kufur.

Sembahyang adalah amalan pertama yang dihisab di akhirat. Kalau sembahyang tidak selesai, segala amalan yang lain tertolak.

Namun masih ramai umat Islam yang tidak menunaikan sembahyang lima waktu. Buktinya, fakta yang diperolehi daripada satu kajian yang telah dibuat oleh pakar motivasi terkenal, Dato’ Dr Mohd Fadzilah Kamsah berkenaan solat orang Muslim di Malaysia. Rujuk entry : Betullah orang Malaysia semakin gila!. Menurut kajian beliau yang saya simpulkan di sini:
  1. 80% umat Islam di Malaysia masih tidak menyempurnakan solat lima waktu sehari
  2. hanya 17~20% sahaja yang cukup menunaikan solat fardu lima waktu sehari
  3. hanya 15% pelajar sahaja mengaku mengerjakan solat lima kali sehari
Hemmm… Menakutkan! Ini secebis fakta tentang umat yang mengaku Islam [NB: Islam baka?] yang meninggalkan solat. Persoalannya, daripada 20% yang mengerjakan ibadah solat ini, kekhusyukannya dan kesempurnaannya pula, bagaimana?

Masih ramai yang cuai menunaikan sembahyang. Yang cuai menunaikan sembahyang itu bukan sahaja orang muda tetapi juga orang tua. Bukan sahaja orang miskin tetapi juga orang kaya. Bukan sahaja di kalangan orang-orang bawahan tetapi juga orang-orang atasan. Bukan hanya dari kalangan orang-orang tidak berpelajaran tetapi juga yang berpelajaran tinggi. Bukan sahaja dari kaum pekerja atau buruh tetapi juga dari para eksekutif dan pengurusan. Bukan sahaja di kalangan rakyat tetapi juga pemimpin. Bukan sahaja lelaki, tetapi ramai juga perempuan yang cuai bersembahyang.

Menjadi kafir kerana tidak bersembahyang tidak dirasakan sebagai suatu ancaman. Meruntuhkan agama kerana cuai sembahyang juga tidak dirasakan besar. Malahan, ancaman seksa Neraka yang begitu perit, hebat dan dahsyat pun umat Islam tidak rasa gerun dan takut.

Apakah puncanya umat Islam jadi begini?

Kalau ditanya pendapat orang, maka akan timbullah berbagai-bagai sebab dan alasan. Lemah imanlah. Kurang ilmu agamalah. Tidak ada asas agamalah. Kurang didikan agamalah. Kerana pengaruh liar seperti rock, black metal, dadah dan sebagainya. Kerana ibu ayah sibuk mengejar dunia dan tidak mengambil berat serta tidak ada masa untuk anak-anak. Kerana tidak ada kasih-sayang dari ibu bapa dan keluarga. Kerana sibuk dengan urusan, kerja, tugas, perniagaan dan bermacam-macam lagi alasan.

Mungkin alasan-alasan ini boleh diterima tetapi ia lebih merupakan alasan-alasan sampingan. Ada sebab dan alasan yang lebih pokok dari itu iaitu rata-rata umat Islam sudah tidak kenal Tuhan. Umat Islam berat menunaikan sembahyang kerana mereka tidak kenal Tuhan. Apabila Tuhan tidak dikenali, maka umat Islam tidak cinta dan tidak takut dengan Tuhan. Apabila cinta dan takut tidak ada, maka tidak wujud hubungan hati dengan Tuhan.

Hati yang tidak terhubung dengan Tuhan tidak ada apa-apa rasa. Tidak ada keinsafan. Tidak ada kesedaran. Tidak ada rasa bahawa Tuhan itu diperlukan. Bahawa Tuhan itu Maha Hebat dan Maha Agung. Tidak ada rasa bahawa kita manusia begitu kerdil dan lemah di sisi Tuhan. Walhal hati itu adalah wakil Tuhan pada diri kita, tempat kita berzikir dan berhubung rasa dengan Tuhan. Dalam erti kata yang lain, kalau hati tidak terhubung dengan Tuhan, kita tidak akan khusyuk dengan Tuhan.

Itulah sebabnya konsep pendidikan Islam bermula dari apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW, bermaksud, "Awal-awal agama mengenal Allah."

Setelah Allah dikenali, dicintai dan ditakuti, maka kita akan suka mengamalkan syariat. Kita akan suka bersembahyang. Kita akan suka membuat perkara yang Tuhan suka. Kita akan suka menggembirakan Tuhan. Kita akan khusyuk dengan Tuhan. Akan timbullah keinginan untuk menyembah dan membesarkan-Nya dan untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Barulah datang keinginan untuk bersembahyang kerana sembahyang itu ialah upacara untuk membesar dan mengagungkan Tuhan. Kalau Tuhan tidak dirasakan besar dan agung maka kita tidak akan terdorong untuk bersembahyang. Sembahyang tidak akan ada apa-apa makna.

Yang menjadi masalah, umat Islam sudah tidak dididik mengikut konsep pendidikan Islam ini lagi. Mereka tidak dikenalkan kepada Tuhan terlebih dahulu. Mereka dikenalkan kepada dunia dan apabila sudah tua atau dewasa, barulah hendak berusaha untuk mengenal Tuhan. Itu pun hanya bagi orang yang sedar dan yang mendapat hidayah.

Kalau setiap anak dididik dari kecil untuk mengenal Tuhan, maka semua akan jadi mudah. Dari kecil lagi anak-anak sudah kenal, cinta dan takut dengan Tuhan. Dari kecil lagi mereka sudah merasa khusyuk dengan Tuhan. Orang yang khusyuk dengan Tuhan akan mudah bersembahyang. Tuhan ada berfirman, maksudnya: "Jadikanlah sabar dan solat itu sebagai penolongmu. Sesungguhnya solat itu berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk." (Surah al-Baqarah, 2:45)

Kalau sudah tua dan dewasa baru hendak mengenal Tuhan, ia seperti anak angkat yang sudah tua mahu diperkenalkan oleh ibu angkatnya kepada ibu kandungnya sendiri. Memang dia akan menerima hakikat bahawa ibu kandungnya itu memang benar ibu kandungnya. Lebih-lebih lagi kalau disahkan dan diakui pula oleh ibu angkatnya. Tetapi untuk hidup dengan ibu kandungnya atau untuk berpindah dari rumah ibu angkat untuk tinggal bersama-sama ibu kandungnya, itu amat rumit sekali. Dia tidak akan mahu. Cintanya telah tertumpah kepada ibu angkatnya kerana ibu angkatnyalah yang telah banyak mencurahkan kasih sayang padanya. Begitu jugalah orang yang telah meninggalkan Tuhannya untuk bermewah di dunia. Dunia seperti ibu angkatnya. Memang sukar untuk kembali kepada Tuhan yang menciptanya.

Renung-renungkan!

sumber: http://laman-seri.blogspot.com

Ahad, 3 Oktober 2010

Adab Menuntut Ilmu

سم الله الرحمن الرحيم

"Ta'alim wa Ta'alum" bermaksud "belajar dan mengajar". (Ta'alim bererti menuntut ilmu dan ta'alum pula bererti mengajarkan ilmu kepada orang lain.)

Ilmu yang sebenar-benarnya ialah ilmu yang mendekatkan kita kepada Allah, Tidak kiralah ilmu ukhrawi seperti tauhid atau ilmu duniawi seperti sains dan matematik kerana kedua-dua jenis ini mengajar kita kewujudan dan kekuasaan Allah yang tidak terbatas.

Ilmu ada dua cabang:

Ilmu masail -- ilmu hukum-hakam dan perundangan (misalnya, fiqh).
Ilmu fadhail -- ilmu mengenai fadhilat dan ganjaran.

Ilmu masail perlu dipelajari dari orang-orang yang ahli dalam cabang ilmu tersebut (ustaz atau guru). Ilmu fadhail boleh dipelajari daripada membaca buku dan menghadiri majlis-majlis ta'alim Fadhail Amal.

Kalau kita perhatikan, ilmu duniawi seperti Sejarah, Matematik dan Sains juga mempunyai kedua-dua komponen ini, iaitu masail dan fadhail.

Maksud kita mengadakan Majlis Ta'alim

1. Menghidupkan Sunnah, iaitu amalan di Masjid Nabawi di zaman Rasulullah SAW. Di waktu itu, Masjid Nabawi hidup 24 jam sehari dengan 4 jenis amalan:

• Dakwah
• Ta'alim wa Ta'alum (belajar dan mengajar)
• Ibadah (temasuk dzikir, solat, membaca Al-Qur'an dan sebagainya)
• Khidmat

2. Memasukkan nur Qu'ran dan Hadis dalam hati agar timbul keghairahan untuk beramal. (Sesiapa yang tidak mendengar ayat Al-Qur'an atau Hadis selama 3 hari berturut-turut, satu titik hitam akan muncul dalam hatinya. Apabila titik hitam ini menebal dan akhirnya menutupi hati seseorang itu, maka amatlah sukar baginya untuk menerima hidayah.)

3. Untuk kita dengar berulang-ulang kali hingga timbul dalam hati kita rasa yakin akan janji-janji Allah yang dikhabarkan melalui Al-Qur'an dan Hadis Rasulullah SAW.

Fadhilat Ta'alim, di antaranya ialah:

1. Sesiapa yang menghidupkan Sunnah di zaman kerosakan umat akan mendapat ganjaran 100 pahala syahid.

2. Menuntut ilmu adalah suatu bentuk jihad. Sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan niat ingin menuntut ilmu, para malaikat akan mengiringinya sambil menghamparkan sayap-sayap mereka, dan orang itu akan berjalan di atas sayap-sayap para malaikat. Seandainya dia mati dalam perjalanan, matinya itu adalah mati syahid.

3. Syaitan benci dan takut kepada seorang yang berilmu lebih daripada 1000 orang abid, kerana tugas Syaitan ialah untuk menyesatkan manusia, tetapi seorang yang berilmu pula boleh mengembalikan mereka semula ke pangkal jalan.

4. Majlis ta'alim adalah majlis dzikrullah. Majlis dzikrullah adalah majlis yang amat besar sekali di sisi Allah SWT. Di antara kelebihan majlis dzikrullah ialah:

• Para malaikat akan mengerumuninya dan bertimpa-timpa hingga sampai ke Arasy. Apabila malaikat-malaikat ini kembali kepada Allah dengan laporan mereka, Allah akan menyebut nama-nama orang di majlis itu dan ibu bapa mereka dengan bangganya di dalam perhimpunan para malaikat.

• Penghuni langit melihat majlis-majlis dzikrullah di bumi ini bersinar seperti kita melihat bintang-bintang yang berkilauan di langit.

• Orang-orang yang berhimpun dalam majlis dzikrullah akan diampuni dosa-dosanya oleh Allah. Bukan setakat itu saja, dosa ibu bapa mereka juga akan diampunkan.

• Orang yang melewati majlis sebegini tanpa niat untuk duduk dalam majlis ini pun akan diampunkan dosanya.

Satu majlis dzikrullah di masjid menghapuskan 100 majlis lalai. Satu majlis dzikrullah di rumah menghapuskan 40 majlis lalai.

5. Disebabkan ramainya Malaikat yang mengerumuni majlis dan rahmat yang melimpah akibat daripada kehadiran mereka, ia menjadikan majlis ta'alim sebuah majlis sakinah (ketenangan). Ketika para Sahabat ra menghadiri majlis ta'alim yang dikendalikan oleh Rasulullah SAW, suasana menjadi sungguh tenang hinggakan burung-burung datang dan bertenggek di atas bahu dan kepala mereka tanpa sedikit pun rasa takut.

6. Dengan rahmat ini juga, Allah membersihkan dan melembutkan hati manusia di sekeliling dan memberi hidayah kepada mereka. (Sebab itulah, kita juga digalakkan untuk buat majlis ta'alim di rumah, agar ahli keluarga kita juga akan dapat hidayah, biarpun yang nampak hanya kita seorang saja yang baca kitab ta'alim, tetapi para malaikat sebenarnya ada bersama kita dan sedang mendengar apa yang kita bacakan.)

Adab Ta'alim

1. Berwudhu.

2. Solat sunat 2 rakaat sebelum majlis (dengan harapan Allah mengampunkan dosa-dosa kita dan memudahkan kita untuk memahami, mengingati, mengamalkan dan menyampaikan).

3. Pakaian bersih dan menutup aurat.

4. Memakai wangi-wangian.

5. Pandang mulut orang yang membaca ta'alim. Anggaplah hadis-hadis yang kita dengar sebagai sabdaan-sabdaan Rasulullah SAW yang datang dari mulut Baginda sendiri.

6. Apabila kita membaca ta'alim, ulangilah hadis yang kita baca hingga 3 kali agar mudah dihayati oleh jemaah.

7. Mendengar dengan penuh konsentrasi. Ketika para Sahabat ra duduk dalam majlis ta'alim yang dikendalikan oleh Rasulullah SAW, mereka tumpukan sepenuh perhatian hinggakan mereka tidak mempedulikan burung-burung yang bertenggek di atas bahu dan kepala mereka.

Apabila kita menunaikan hak mendengar, Allah akan memudahkan 3 perkara:

• Allah mudahkan ilmu masuk ke dalam hati kita.

• Allah mudahkan kita untuk memahami apa yang kita dengar.

• Allah mudahkan kita untuk bercakap tentang ilmu tadi bila diperlukan.


8. Anggaplah hadis yang kita dengar itu seolah-olah inilah kali pertama kita mendengarkannya.

9. Duduk rapat-rapat (supaya syaitan tidak mencelah di antara kita dan supaya Allah satukan hati kita dan wujudkan sifat kasih sayang di antara kita). Ketika para Sahabat ra duduk dalam majlis ta'alim yang dikendalikan oleh Rasulullah SAW, mereka duduk rapat-rapat hinggakan daun yang gugur dari pokok tidak jatuh ke tanah, tetapi jatuh ke riba dan bahu mereka.

10. Sebaik-baiknya duduk dalam posisi tahiyat awal dan kalau boleh, lutut kita bertemu dengan lutut si pembaca ta'alim. Kalau penat duduk tahiyat awal, bolehlah berubah kepada posisi tahiyat akhir. Kalau tidak mampu juga, bolehlah duduk bersila. (Cara duduk beginilah yang ditunjukkan oleh Malaikat Jibril AS ketika dia datang kepada Rasulullah SAW dan mengajukan beberapa soalan kepada Baginda, dengan disaksikan oleh para Sahabat.)

11. Apabila disebut nama Allah, kita sambut dengan Allahu azza wajalla atau Allahu Jalla Jallaluhu atau Subhanallah.

12. Apabila disebut nama Rasulullah SAW, hendaklah kita berselawat ke atas Baginda. (Malaikat melaknat orang yang tidak berselawat bila nama Baginda disebut).

13. Bila disebut nama para Sahabat atau Sahabiah, kita sambut dengan RadhiAllahu Anhu / Anha.

14. Bila disebut nama orang-orang alim (seperti tabi'en, imam-imam besar dan sebagainya), kita sambut dengan Rahmatullah Alaih.

15. Bila disebut nama musuh-musuh Allah (seperti Iblis, Fir'aun, Namrud, Abu Lahab dan sebagainya), kita dibolehkan menyambut dengan Laknatullah Alaih.

16. rasa gembira bila disebut tentang syurga dan takut bila disebut tentang neraka. (Kalau tak boleh, cuba paksa.)

17. Jangan mengganggu perjalanan majlis (seperti berbual-bual atau bersalam-salam bila datang lewat).

18. Menghadiri majlis ta'alim adalah lebih baik daripada melakukan ibadat-ibadat sunat yang dilakukan bersendirian. Seandainya kita datang ke masjid dan mendapati majlis ta'alim sedang berlangsung, kita digalakkan supaya duduk dalam majlis ta'alim dan menggantikan solat tahiyatul masjid dengan zikir "Subhanallah Walhamdulillah Wa lah Ilaha Ilallah Wallahu Akbar" 3 kali.

19. Ta'azeem bil Qalbi --- Memuliakan dan membesarkan majlis di dalam hati.

20. Tashdiq wa Yaqin --- Membenarkan dan meyakini (percaya) akan segala yang didengar.

21. Tabligh wa Amal --- Mempunyai niat untuk menyampaikan dan mengamalkannya.

Nota Tambahan

• Saiyidina Umar Al-Khattab ra mendapat hidayah melalui majlis ta'alim yang dipimpin oleh Saiyidina Khabbab bin Alarat ra yang dibuat di rumah adik perempuannya.

• Saiyidina Mus'ab bin Umayr ra telah diutuskan oleh Rasulullah SAW untuk berdakwah di Madinah. Sampai saja beliau di sana, beliau duduk di bawah sebatang pokok dan membuat majlis ta'alim. Dengan berkat majlis ta'alim itu, seluruh penduduk Madinah memeluk agama Islam. Peristiwa ini berlaku selepas peristiwa Baiatul Aqabah dan sebelum penghijrahan umat Islam Makkah ke Madinah.

Artikel Dari: Portal Komuniti :: Ukhwah.com http://www.ukhwah.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...