Ukhwah Islamiyyah

Rabu, 31 Julai 2013

BERDOALAH DALAM TANGISAN DI RAMADHAN INI


Berdoalah kalian:
  1. Ya Allah muliakanlah aku ketika menghadapi sakaratul maut. 
  2. Ya Allah muliakanlah aku untuk menghadapi masuk ke alam barzakh. 
  3. Ya Allah muliakanlah aku ketika berada di alam barzakh 
  4. Ya Allah muliakanlah aku ketika aku bangkit di Padang Mahsyar 
  5. Ya Allah muliakanlah aku ketika aku berada dihadapan mizan mu nanti. Ya Allah berilah aku syafaat Nabi Muhammad SAW. 
  6. Ya Allah muliakanlah aku ketika aku meniti Titian Siratulmustaqim 
  7. Ya Allah muliakanlah aku ketika aku berhimpun dengan orang-orang yang ku sayangi di syurga nanti. 
Sahabat... Berdoalah dalam tangisan.... Mungkin juga Ramadhan ini ialah Ramadhan yg terakhir bagi kita... 

Sabda Rasulullah SAW maksudnya: "Tidak ada sesuatu yang paling disukai Allah SWT selain daripada dia titisan dan dua kesan. Dua titisan itu ialah titisan air mata yang keluar kerana takutkan Allah SWT dan titisan darah yang tumpah di dalam perjuangan di jalan Allah. Manakala dua kesan ialah kesan berjuang di jalan Allah dan kesan kerana menunaikan kefardhuan yang difardhukan oleh Allah".
(Hadith riwayat at-Tarmizi).

Ahad, 28 Julai 2013

10 Malam Terakhir Ramadhan - Kita Pilih Yang Mana?


























Salam Ramadhan buat semua pembaca Jiwa Hamba, semoga anda semua masih diberi kekuatan oleh Allah SWT untuk meningkatkan amal ibadah terutamanya di sepuluh terakhir Ramadhan ini.

Begitu cepat Ramadhan berlalu, kini kita telah berada di 10 terakhir Ramadhan, sepertimana kita ketahui di 10 terakhir Ramadhan Rasulullah SAW meningkatkan amalan dengan berjaga malam, beriktikaf dan Baginda juga tidak lupa mengejutkan semua ahli keluarganya untuk bersama beribadah dengannya.

Setelah melalui ibadah puasa selama 20 hari ini, pernahkah kita bertanya kepada diri, apakah selama 20 hari berpuasa, kita benar-benar menjadi hamba Allah yang bertaqwa atau sebaliknya ?

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan maksudnya: Aisyah r.a meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW apabila masuknya sepuluh malam terakhir (Ramadan) baginda menghidupkan malam, baginda mengemaskan kainnya dan baginda mengejutkan isterinya (yakni tidak bersama dengan isteri). 

Hadis ini menceritakan kepada kita bagaimana Nabi SAW bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah meskipun baginda tidak melakukan dosa. Namun baginda telah memberikan satu contoh tauladan yang baik kepada umatnya di dalam menghayati sepuluh hari terakhir Ramadan.

Panduan yang diberikan oleh baginda ini menggambarkan betapa tinggi nilainya saat yang kita lalui sekarang. Menjadi suatu yang amat malang sekiranya kita semakin lemah dan cuai dalam melakukan ibadah meskipun Ramadan semakin hampir meninggalkan kita.

Imam Muslim juga meriwayatkan maksudnya: Aisyah r.a berkata: Bahawa Nabi SAW bersungguh-sungguh (beribadat) pada 10 malam terakhir tidak seperti mana (di bulan) selainnya.

Contoh yang ditinggalkan kepada kita oleh baginda SAW wajar dijadikan pedoman di dalam mengisi hari-hari terakhir Ramadan ini. Sepatutnya waktu ini tidak dihabiskan dengan menonton televisyen atau mengunjungi pusat-pusat membeli belah. Kerana inilah fenomena yang sering kita lihat.


Apa yang berlaku, kelebihan 10 malam terakhir Ramadhan seolah-olah tidak langsung di ambil kira. Apa yang menyedihkan setelah ditinjau dimasjid atau surau, kebanyakkannya sudah tidak semeriah sepertimana diawal Ramadhan dahulu.

Kalau diawal Ramadhan dahulu masjid penuh sesak tetapi sekarang agak sepi. Jika puasa yang akan kita lakukan adalah ibadat bukannya adat, nescaya keadaan menjadi sebaliknya iaitu pertengahan puasa dan akhir puasa, kehadiran jemaah makin bertambah.

Malah lebih mendukacitakan ada dikalangan masyarakat kita terutamanya muda-mudi yang beragama Islam keluar malam ke ibu kota dan ke taman-taman untuk berdua-duaan dan bermadu kasih tanpa rasa bersalah dan malu. Apatah lagi untuk menghormati bulan yang mulia ini….

Sepatutnya ibu bapa hendaklah mengambil berat soal membudayakan suasana ibadah terutamanya 10 malam terakhir Ramadhan ini. Anak-anak memerlukan didikan dan panduan dari ibu bapa.

Sebaliknya jika ibu bapa pun turut serta mengabaikan ibadah sepanjang 10 terakhir Ramadhan ini, maka tidak hairanlah anak-anak juga tidak berminat untuk mengerjakan solat terawih, malah mereka datang ke masjid atau surau bukan untuk solat, tetapi membuat bising dan bermain mercun. Ini boleh menganggu para jamaah untuk menunaikan solat terawih.

Justeru itu, marilah sama-sama kita mempertingkatkan lagi amal ibadah menjelang penghujung Ramadhan ini kerana di dalamnya ada satu malam yang sangat istimewa iaitu malam lailatul qadar dan ianya menjadi rebutan para hamba-hamba Allah yang beriman dan bertaqwa.

Firman Allah SWT: Maksudnya: ”Sesungguhnya kami Telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan, Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan “. (al-Qadr: 1-3)

Malam al-Qadr sengaja dirahsiakan oleh Allah Taala sebagai satu ujian kepada umat Islam di dalam mencari rahmat dan kasih-Nya. Bagi mereka yang benar-benar beriman keghairahan mencari reda Allah menjadikan mereka begitu teruja meningkat kan pencarian ganjaran berlipatganda yang dijanjikan oleh Allah SWT. 

Sebaliknya bagi mereka yang alpa dan lupa, saat-saat ini seringkali dipenuhi dengan aktiviti persiapan hari raya yang menyibukkan mereka hingga terlupa untuk beribadah dan promosi istimewa pelepasan azab neraka yang dijanjikan oleh Allah di penghujung Ramadan. 

Antara amalan yang boleh dilakukan bagi menghidupkan sepuluh hari terakhir Ramadan ialah :

  • Menghidupkan malam dengan solat malam seperti tahajud, hajat, taubat dan juga berzikir kepada Allah. 
  • Digalakkan juga supaya mengejutkan ahli keluarga supaya bersama-sama menghidupkan malam dengan amal ibadah.
  • Ibu bapa wajar mengajak anak-anak yang sudah dewasa khususnya bersama berqiamullail dan jangan biarkan mereka lena.
  • Bagi suami isteri pula 10 malam terakhir tidak digalakkan untuk bersama kerana Nabi SAW diberitakan bahawa baginda mengemaskan ikat kainnya yakni tidak bersama dengan isteri kerana disibukkan dengan amal ibadah.

Amalan beriktikaf juga wajar diteruskan di penghujung Ramadan ini iaitu dengan memperbanyakkan duduk di masjid untuk beribadat kepada Allah. Kata Imam Az-Zuhri: Maksudnya:

“Suatu yang pelik bagi kaum muslimin mereka meninggalkan amalan iktikaf sedangkan Nabi SAW tidak pernah meninggalkan nya semenjak baginda tiba di Madinah (hijrah) hingga ia meninggal dunia”. 

Dengan demikian, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri, dan mempertingkatkan amal ibadah mudah-mudahan kita dipermudahkan oleh Allah SWT untuk melakukan amalan-amalan khususnya 10 malam terakhir Ramadhan ini agar kita menjadi hamba Allah SWT yang bertuah di dunia dan di akhirat.

Sumber olahan semula. Kredit: http://ibnismail.wordpress.com

Khamis, 25 Julai 2013

Kesilapan kita dengan Al-Quran yang perlu tahu (Nuzul Quran)






















Tanggal 17 Ramadan merupakan satu tarikh yang selalu diperingati oleh umat Islam. Pada tarikh ini masjid-masjid dipenuhi dengan ceramah dan media massa terutamanya televisyen tidak akan terlepas menyiarkan rancangan atau kuliah sempena memperingati Nuzul (penurunan) Al-Qur’an.

Majlis Tilawah Al-Qur’an tidak pernah ketinggalan diadakan bersempena meraikan bulan yang berkat ini. Ratusan ribu dibelanjakan setiap tahun untuk memperdengarkan bacaan Al-Qur’an oleh peserta- peserta yang bersaing merebut gelaran Qari atau Qari’ah.

Bagi kebanyakan individu, pada bulan inilah mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk menghabiskan bacaan 30 juzuk Al-Qur’an sebagai satu kelaziman.

Al-Qur’an adalah petunjuk (huda) dan pembeza (furqan). Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah, ayat 185 :

"(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur".

Kesilapan kita dengan Al-Qur'an 

1. Kebanyakan kita berusaha menjaga fizik Al-Qur’an. Kita tidak akan meletakkan Al-Qur’an di lantai atau di kerusi atau lain-lain tempat yang kita rasakan tidak sesuai. Kita akan marah jika mendapati sesiapa saja yang tidak menjaga Al-Qur’an.

2. Kita turut sensitif dan merasa amat marah apabila mendengar dan melihat Al-Qur’an dipijak, dibakar atau dibuang di dalam tandas. Kita juga tidak akan berdiam diri jika Al-Qur’an dihina, diremeh atau dipermainkan di dalam apa bentuk sekalipun.

3. Umat Islam berusaha untuk menjaga fizik Al-Qur’an, tetapi tidak berusaha untuk memahami isi-isinya dan menerapkan hukum- hakamnya.

4. Umat Islam marah apabila Al-Qur’an dihina, tetapi mereka sendiri menghina Al-Qur’an dengan tidak mengamalkan hukum-hukum yang terdapat di dalamnya.

5. Umat Islam sakit hati bila Al-Qur’an dikatakan telah ketinggalan zaman, tetapi mereka sendiri telah berzaman meninggalkan ajaran Al-Qur’an.

6. Di antara salah faham yang ketara tentang Al-Qur’an oleh umat Islam adalah mereka hanya mengambilnya sebagai bahan bacaan semata-mata tanpa difahami dan diamalkan isi kandungannya.

7. Al-Quran bukan kitab untuk mendapat ilmu pengetahuan semata, ia mengandungi hukum-hakam yang wajib diamalkan oleh manusia.

Apakah sesuatu itu boleh dikatakan sebagai petunjuk jika kita tidak memahaminya, apatah lagi tidak mengamalkannya?

Petunjuk adalah lawan dari kesesatan, maksudnya jika seseorang itu tidak memahami petunjuk, maka ia termasuk di dalam golongan yang sesat.

Mari kita jadikan Ramadan dan Nuzul Qur’an ini sebagai momentum untuk kembali kepada fahaman yang benar terhadap Al-Qur’an.

Mari kita jadikan Ramadan ini sebagai momentum untuk meneguhkan tekad kita untuk senantiasa muhasabah diri kita dengan Al-Qur’an; membaca, memahami dan menghayati maknanya; mengamalkan isi kandungannya; serta menjadikannya sebagai sumber hukum untuk mengatur segala urusan kehidupan kita dan sumber penyelesaian atas seluruh masalah kita.

Rabu, 24 Julai 2013

Renungan Ramadhan































Saat kau sedang makan dengan penuh selera & diselang selikan dengan ketawa di restoran mewah, kau lupa ada yang sedang menahan lapar sehingga menitiskan air mata di kaki-kaki lima sehingga mereka tertidur dengan harapan agar kelaparan itu dapat dilupakan buat seketika. Bersyukurlah.

Isnin, 22 Julai 2013

Adab-adab berpuasa
























HABIB Abdullah bin Alwi al-Haddad, dalam kitabnya Nashaihud Diniyyah wal Washaayal Imaniyyah berkata: "Orang yang berpuasa mempunyai adab-adab yang puasanya tidak menjadi sempurna, kecuali dengan adanya adab-adab itu. Yang terpenting daripadanya ialah menjaga lidahnya daripada dusta dan ghibah serta membicarakan sesuatu yang tidak perlu baginya. Ia menjaga kedua mata dan telinganya daripada mendengarkan dan memandang sesuatu yang tidak halal baginya serta sesuatu yang dianggap berlebihan."

Seterusnya, ia menjaga pula dirinya daripada memakan makanan haram dan subahat, khususnya ketika berbuka puasa. Ia berusaha dengan sangat berhati-hati untuk tidak berbuka puasa, kecuali dengan memakan makanan halal lagi tayyibah.

Ulama Salaf berkata: "Apabila engkau berpuasa, lihatlah makanan apa yang engkau makan ketika berbuka dan di tempat mana engkau berbuka. Hal itu merupakan dorongan agar berhati-hati mengenai makanan berbuka puasa."

Begitu pula orang yang berpuasa harus menjaga semua anggota tubuhnya daripada perbuatan yang tidak perlu. Dengan itu puasanya menjadi sempurna dan bersih.

Banyak orang yang berpuasa memayahkan dirinya dengan lapar dan dahaga. Namun membiarkan anggota tubuhnya berbuat maksiat sehingga merosakkan puasanya dan mensia-siakan kepayahannya.

Nabi SAW bersabda bermaksud: Banyak orang yang berpuasa tetapi puasanya hanya menghasilkan lapar dan dahaga. (riwayat Muslim).

Meninggalkan maksiat adalah wajib bagi orang yang berpuasa mahupun yang tidak berpuasa. Tetapi orang yang berpuasa lebih utama untuk berhati-hati dan lebih wajib.

Nabi SAW bersabda bermaksud: Puasa itu perisai. Maka pada hari kamu berpuasa, janganlah ia berkata-kata dan jangan berbuat kefasikan serta jangan menganggu orang lain. Jika ada orang memakinya atau memusuhinya, maka katakanlah, sesungguhnya aku berpuasa. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Termasuk adab orang berpuasa ialah tidak banyak tidur di siang hari dan tidak banyak makan di waktu malam. Hendaklah ia makan sekadarnya sehingga ia merasakan sentuhan lapar dan dahaga supaya jiwanya menjadi baik dan nafsunya menjadi lemah serta hatinya menjadi terang. Itu rahsia puasa dan tujuannya. 

Hendaknya orang yang berpuasa menjauhi kesenangan hawa nafsunya serta kenikmatan melampau. Latihan dan menjauhi keinginan nafsu menimbulkan pengaruh besar dalam menerangi hati dan secara khusus dituntut di bulan Ramadan.

Adapun orang -orang yang menjadikan bersenang-senang dan hidup mewah di bulan Ramadan, hal itu merupakan tipu daya syaitan agar mereka tidak merasakan keberkatan puasa mereka.

sumber: http://epondok.wordpress.com/

Rabu, 17 Julai 2013

PAKEJ RAMADHAN

Kalau jiwa tidak kuat usaha tidak dapat diteruskan atau buat tanpa kesungguhan.
Kerana itulah mujahadah perlu pemangkin yang menggalakkan.....




















Berbagai-bagai jenis pakej yang ada di dunia ini seperti pakej percutian, pelancongan, pakej motivasi dan pakej haji serta umrah, tetapi ada satu lagi pakej yang penting dalam proses overhaul hati manusia iaitu pakej Ramadhan. Mari kita baca seterusnya apakah pakej Ramadhan ini.

Merujuk kepada Al-Quran, tujuan berpuasa adalah untuk bertaqwa. Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 183, ertinya: Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa. 

Berpuasa rupa-rupanya boleh mengakibatkan seseorang hamba Allah bertaqwa kepada Tuhannya yakni bila mana Ramadhan dilalui dengan tepat dan penuh penghayatan. Kalau bukan caranya, berpuasa di bulan Ramadhan hanya menghasilkan lapar, dahaga dan keletihan sahaja, sia-sia. Dalam setahun kita telah melalui berbagai-bagai cabaran hidup yang boleh merosakkan ketaqwaan kita kepada ALLAH.

Bila manusia tidak bertaqwa, mereka akan hilang wibawa dan kemanusiaan. Manusia menzalim, menindas, menipu, mementingkan diri, jatuh menjatuhkan , hasad dengki, pemarah, takabur, bakhil, berdendam dan lain-lain. Masyarakat manusia tidak lagi berkasih sayang, bekerjasama, bertolak ansur dan bertolong bantu. Sebaliknya akan berebut-rebut, berkrisis, bertelagah dan berperang. Peperangan antara suami isteri, anak dengan ibu bapa, murid dengan guru, buruh dan majikan, rakyat dengan pemimpin dan lain-lain. Manusia hilang kemanusiaan. Masyarakat manusia tidak berwatak manusia lagi! Bertukar kepada watak syaitan dan haiwan. Allah SWT yang Maha Adil lagi Bijaksana, yang menjadikan manusia , tahu di mana kekuatan dan kelemahannya, tahu bagaimana menguatkan yang lemah, menyuburkan yang kuat, tahu punca kekuatan dan kelemahan, telah memilih sebulan Ramadhan untuk jadi ubat kepada setahun penyakit. Berpuasa dan ibadah-ibadah tambahan Ramadhan itu mampu menyelesaikan masalah-masalah selama setahun. Umpama kereta yang letih dan lemah setelah setahun digunakan , overhaul sebulan cukup untuk sihat semula. Ya, Ramadhan datang untuk overhaul manusia supaya dapatkan kemanusiaan semula. Rugilah orang-orang yang gagal menjadikan ibadah-ibadah Ramadhan untuk membaik pulih kemanusiaan mereka. Macam ruginya orang yang diberi kereta tapi tidak pandai mengguna atau tersalah guna.

Bagaimana Ramadhan Overhaul Hati Manusia? 

Terdapat pakej ibadah yang cukup hebat dan berkesan, kuat menguat satu sama lain, supaya manusia dibaik pulihkan sepanjang Ramadhan . Allahlah yang punya pakej ini Maha pakar dalam merawat jiwa, fikiran dan fizikal manusia supaya kembali suci sesuci fitrah semulajadinya.

Pakej itu ialah ibadah puasa, terawih, baca Quran, zikir, tasbih, paling asas adalah mujahadah untuk melawan nafsu. Seseorang yang sanggup melakukan keseluruhan pakej ibadah ini dengan serius dan penghayatan, sungguh akan memperolehi satu kekuatan roh, mental dan fizikal untuk meneruskan perjuangan sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi. Membawa bersamanya segala sifat-sifat baik seorang manusia seperti merendah diri, pemurah, berkasih-sayang terutama dengan orang miskin dan susah, tawakkal, sabar, tenang, adil, berbaik sangka, sanggup meminta maaf dan memberi maaf, bertolak ansur, jujur, mementingkan orang lain dan lain-lain. Kalau ada manusia begini, di muka bumi ini dan tentunya ada, ketahuilah bahawa pada merekalah Allah akan pusakakan bumi ini untuk ditadbir. Sebab Allah berjanji untuk menutup bumi ini dengan keadilan oleh orang-orang yang mereka itu cintakan Allah dan Allah juga cintakan mereka. 

Bagaimana Ibadah Memproses Ketaqwaan Manusia 

Allah jadikan manusia makhluk yang wajib berusaha dan berikhtiar untuk berjaya dalam apa juga bidang. Kejayaan tidak jadi sendiri kepada manusia. Manusia perlu bertarung, berjuang untuk kejayaan besar mereka. Nelayan mengharungi gelombang laut, petani melawan panas terik, ibu bertarung dengan kesusahan melahirkan anak, bapa tercabar dalam melakukan tanggung jawab pada keluarga, guru berhadapan dengan ragam murid, pemimpin paling teruk berhadapan dengan 1001 jenis kesusahan dalam kepimpinan.

Untuk mengalahkan nafsu dan syaitan, Allah mewajibkan peperangan yang paling besar dan dahsyat yang tak dapat dilihat oleh mata kerana ia bersifat rohani dan maknawi. Hanya orang yang mampu melepasi halangan-halangan nafsu sahaja yang layak mendapatkan taqwa. Ketaqwaan adalah sijil atau ukuran paling mulia untuk seseorang manusia menjadi sesempurna manusia . Tanpa taqwa, PhD, harta, pangkat tidak menjamin manusia dapat dikembalikan kepada kemuliaan yakni kemanusiaannya. Orang kaya, berpangkat dan berijazah tapi yang bertuhankan hawa nafsu akan jadi sejahat-jahat manusia sedangkan dengan taqwa, orang miskin pun jadi mulia apa lagi kalau orang kaya yang bertaqwa!

Sebab itulah dikatakan ibadah paling asas dalam pakej Ramadhan ialah mujahadah terhadap nafsu. Yakni usaha-usaha memaksa diri sendiri untuk melakukan perintah Allah dan meninggalkan larangannya. Mujahadah ialah sanggup menyiksa diri sendiri dalam usaha untuk menunaikan perintah-perintah Allah kerana kebaikan yang diperintahkan bertentangan dengan kehendak nafsu liar dalam diri. Contoh, untuk berkasih sayang seperti yang Allah Taala perintahkan, seseorang sanggup menelan marahnya pada seseorang dengan penuh sabar. Tahan marah dan sabar itu sungguh menyiksakan . Orang-orang yang tahu selok beloknya sahaja yang boleh melakukan dengan pertolongan Allah. Mujahadah memang menjemukan, nafsu benci dan meletihkan . Siapa sanggup tersiksa atas cita-citanya? Hanyalah orang yang berjiwa besar. Sebab letih fizikal boleh rehat, tapi perang dengan nafsu tak boleh rehat-rehat. Kalau rehat nafsu lagi manja dan mengada-ngada. Perang yang tak rehat-rehat inilah dikatakan perang paling berat dan dahsyat.

Terdapat tiga pemangkin yang Allah sediakan untuk mendorong mujahadah ini di bulan Ramadhan iaitu:
  1.  Puasa yang dihayati 
  2.  Sembahyang yang khusyuk 
  3.  Baca Quran yang dijiwai 
Puasa yang dihayati akan menjadi pendorong dan pemangkin mujahadah melawan hawa nafsu kerana puasa itu akan menimbulkan keinsafan, kesedaran, rasa timbang rasa, rasa lemah dan rasa hamba seorang hamba Allah. Orang yang berpuasa dapat menangisi golongan susah dan miskin. Orang miskin terus lapar tanpa tahu pasti bila waktu berbuka. Buruh-buruh terus letih sampai bila-bila tanpa tahu bila sebenarnya mereka boleh rehat dan holiday. Bilamana rasa-rasa itu menguasai diri seseorang pasti akan membunuh nafsu-nafsu yang suka kepada kejahatan dan melanggar perintah Tuhan seperti rasa tamak dan sombong orang kaya terhadap orang miskin.

Sembahyang yang khusyuk adalah rahsia kemenangan. Kemenangan seseorang terhadap musuh utama dalam hidupnya iaitu nafsu dan syaitan. Sembahyang itu adalah sebesar-besar atau seagung-agung projek yang menjamin kekayaan manusia paling utama. Yakni sembahyang dapat membina dan menebalkan rasa-rasa yang amat diperlukan oleh seseorang hamba yakni rasa kehambaan dan rasa bertuhan. Rasa yang mampu menghalau dan memusnahkan nafsu yang jahat yang menjadikan manusia paling berguna pada manusia yang lain. Kalau bukan sembahyang, apakah langkah lain untuk manusia memperolehi modal-modal hidup rohaniah yang amat diperlukan itu?

Baca Quran yang dijiwai sesungguhnya akan menemukan khabar gembira, ada amaran, suri teladan, kesedaran dan keinsafan . Pemikiran yang agung, global dan praktikal hanya dan hanya oleh Al Quran. Membacanya di bulan Ramadhan, ertinya membangunkan suatu pemangkin yang cukup kuat untuk mengalahkan nafsu dan pengaruh syaitan dalam diri manusia. Bila nafsu kehaiwanan dapat dikalahkan, manusia akan mendapatkan kemanusiaannya semula. Masyarakat kita akan berwibawa semula! Ibadah tambahan lainnya akan jadi ringan untuk dilaksanakan dan akan membuahkan akhlak yang luar biasa. Allah SWT memerintahkan puasa Ramadhan adalah semata-mata untuk bertaqwa kepadaNya. Yakni dengan melakukan overhaul dan baik pulih kepada jiwa, fikiran dan fizikal.

kredit: http://www.usahataqwa.com

Ahad, 14 Julai 2013

Amalan Sunah Pada Bulan Ramadan


Ramadan yang menjelma pada setiap tahun merupakan bulan yang sangat yang dinanti-nantikan oleh umat Islam dengan berbagai persiapan sama ada dari segi mental mahu pun fizikal mereka. Kedatangan Ramadan adalah membawa satu ibadah khusus buat umat Islam iaitu diwajibkan berpuasa.

Berpuasa ialah dengan menahan diri dari lapar dan dahaga serta mengawal semua pancaindera daripada berbuat perkara yang dilarang di samping mengekang nafsu syahwat.

Berpuasa yang mengikut sunah adalah satu ibadah seperti dalam sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesiapa menghidupkan sunahku ketika umatku rosak maka baginya mendapat pahala seratus orang mati syahid”. 

Amalan Sunah Terpenting Pada Bulan Ramadan 

  • Mengucapkan “Marhaban ya Ramadan”. 
  • Niat berpuasa sebulan pada malam pertama dan seterusnya berniat pada tiap-tiap malam berikutnya. 
  • Solat Isyak berjemaah di masjid / surau 
  • Solat Tarawih 20 rakaat diikuti solat Witir 3 rakaat. 
  • Tadarus membaca al-Quran dengan bersemak dan berturut-turut juzuk. 
  • Sebelum tidur malam membaca empat ayat terakhir surah al-Kahfi, supaya dikejutkan bangun jam 4.00 pagi. 
  • Bangun jam 4.00 pagi untuk Qiamullail ringan (Solat Tahajjud, solat Taubat dan solat Hajat) selama setengah jam. 
  • Jam 4.30 pagi kaum ibu masak sahur. 
  • Jam 5.00 – 5.15 pagi makan sahur. 
  • Jangan tidur sesudah sahur 
  • Solat Subuh berjemaah di masjid 
  • Tadarus pendek selepas Subuh 
  • Apabila matahari tinggi segalah, lakukan solat sunat Isyrak 
  • Menjalankan kerja harian dan menjaga pancaindera dari melakukan dosa. 
  • Tunaikan solat sunat Dhuha antara jam 8-11 pagi. 
  • Lakukan solat sunat Kafarah Baul 2 rakaat pertama selepas Fatihah baca Surah al-Kautsar 7 kali dan rakaat kedua selepas Fatihah baca Surah Ikhlas 7 kali. 
  • Jam 12.00 tengahari tidur Qailullah selama ½ - 1 jam (ganti berjaga satu jam pada waktu sahur). 
  • Solat Zuhur berjemaah. 
  • Tadarus pendek selepas Zuhur. 
  • Sebelah petang kaum ibu menyediakan juadah berbuka puasa. 
  • Solat Asar berjemaah di masjid. 
  • Masa petang jangan gunakan untuk bersiar-siar atau menonton TV yang melibatkan kemaksiatan atau kelalaian. Sebaik-baiknya digunakan utnuk mengikuti majlis-majlis ilmu atau berdoa kerana waktu itu amat mustajab untuk berdoa. 
  • Berbuka ala kadar dengan minuman yang belum dipanaskan api dan buah kurma atau buah tempatan. Segera solat Maghrib berjemaah di masjid. 
  • Makan malam bersama keluarga. 
  • Bersiap sedia untuk pergi ke masjid menunaikan solat Isyak dan Tarawih secara berjemaah.
Dipetik daripada Ramadan Tiba Lagi, terbitan Yamani Angle

The Power of Istighfar


















Kelebihan Istighfar:

Manusia tidak dapat lari dari melakukan kesilapan. Itu adalah fitrah manusia. Tetapi untuk kembali membersihkan diri dari dosa, Allah memberi jalan keluar untuk manusia kembali pada-Nya.

Istighfar umpama butang 'escape' atau butang 'backspace' di keybord. Andai anda tersilap kata, terkasar bahasa, terbuat dosa, maka beristighfarlah.

Jangan tunggu melakukan dosa sahaja baru beristighfar, lakukan ia setiap masa. Mungkin ada beberapa perkara dosa yang kita lakukan tanpa kita sedari.

Jikalau pun yakin sepenuh hati bahawa anda tidak melakukan dosa, beristighfar lah juga. kerana Rasulullah yang maksum juga beristighfar. Apatah lagi kita manusia biasa.

Sabda Rasulullah saw : “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar dan bertaubat kepada Nya pada setiap hari lebih dari tujuh puluh kali” (H.R Bukhari)

'Astaghfirullah al-'azim'

Credit by: Aimsdesign a.k.a Izzy Sabki

Jumaat, 12 Julai 2013

Hari ini dalam sejarah Ramadan

























Tahukah anda ?
3 Ramadhan 825 H

Pada hari ini Sultan Murad II dari kekhalifahan Uthmaniyah mengadakan pengepungan kota Konstantinople dalam rangka menakluk dan memasukannya ke dalam naungan Islam.

Setelah sekian lama peperangan berkecamuk dengan sangat dahsyatnya dan beliau tidak mampu menaklukannya akhirnya beliau kembali kepusat pemerintahannya tanpa membawa hasil yang dicita-citakan. 

Namun obor semangat perjuangannya tidak pernah padam dari pemerintah ke pemerintah dari kerajaan ke kerajaan sehinggalah ia dibuka oleh sultan Muhammad II dan beliau diberi gelaran Al-Fatih (pembuka) kerana berjaya membuka kota Konstantinople.

Sumber : Kitab “Ramadaniyyat” karangan Muhammad Sa’id Mursy dan Qosim Abdullah

Cetakan : Darul Tauzi’ wa Nasr Al Islamiyah Cairo Mesir.

MAKANAN KEGEMARAN RASULULLAH S.A.W




























1. Barli – Bagus untuk demam jika dibuat sup / air minuman.

2. Kurma – Nabi berkata rumah yang tidak mempunyai kurma adalah seperti rumah yang tidak ada makanan.

3. Buah Tin – Buah dari syurga. Boleh mengubati buasir.

4. Anggur – Nabi suka buah anggur. Ia membersihkan darah, menguatkan buah pinggang, membersihkan perut

5. Madu – Ia adalah makanan segala makanan, minuman segala minuman, ubat segala ubat. Mengubati cirit birit jika dibancuh dengan air panas, membuka selera, menguatkan perut, membuang kahak. Elok diminun waktu pagi dengan air suam.

6. Tembikai (Segala Jenis) – Nabi berkata wanita mengandung tidak akan gagal melahirkan anak yang baik dari segi perwatakkan dan wajahnya.

7. Susu – Nabi berkata susu baik untuk membuang panas badan. Menguatkan belakang,memperbaiki otak memperbaharui pandangan mata, membuang kelupaan.

8. Cendawan – Baik untuk mata, perancang keluarga.

9. Minyak Zaitun – Rawatan kulit dan rambut. Melambatkan penuaan, merawat radang perut.

10. Delima – Membersihkan tubuh dari syaitan & bisikan syaitan selama 40 hari.

11. Cuka – Nabi selalu meminum dengan minyak zaitun (Trend yang popular di restoran Itali)

12. Air – Minuman terbaik. Jika dahaga hendaklah disedut perlahan-lahan. Jangan diteguk. Mudah mendapat sakit pada hati ~

SUMBER: Kami Peminat Ustaz Mohd Kazim Elias

Rabu, 10 Julai 2013

BERSEDEKAH WALAU DENGAN SEBIJI KURMA

بسم الله الرحمن الرحيم


SEMUA orang tahu sedekah itu besar pahalanya, malah sedekah boleh menjadi pendinding kita daripada api neraka. Walaupun bersedekah boleh dibuat pada bila-bila masa namun sepanjang bulan Ramadan, kecenderungan dan keghairahan bersedekah lebih tinggi.

Rasulullah SAW menggalakkan umat baginda bersedekah walaupun hanya dalam bentuk cuma sebelah buah kurma. Ini terbukti melalui hadis baginda yang bermaksud: Dari ‘Adi bin Hatim r.a. kata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Siapa yang sanggup mendinding dirinya dari api neraka. Walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma, maka hendaklah dia lakukan (segera). (Hadis nombor 972 daripada Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV)

Satu lagi hadis baginda bermaksud: Dari ‘Adi bin Hatim r.a. kata: Bahawa Rasulullah SAW pernah bercerita mengenai mereka, lalu baginda berlindung kepada Allah daripadanya, dan memalingkan mukanya tidak kali. Kemudian baginda bersabda, Peliharalah dirimu daripada api neraka, walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma. Jika kamu tidak sanggup, maka dengan tutur kata yang baik. (Hadis nombor 973 dari Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV)

Ini bermakna amalan bersedekah itu amat dituntut termasuk di kalangan mereka yang miskin. Penerima sedekah barangkali boleh memberi sebahagian daripada sedekah yang diterimanya kepada orang lain yang lebih memerlukan sedekah.

Dengan hanya sebelah buah kurma pun digalakkan bersedekah atau paling tidak pun bersedekah dalam bentuk menggunakan tutur kata yang baik, maknanya dalam konteks kita di Malaysia, tidak ada sebab untuk kita tidak bersedekah walaupun barangkali kita adalah merupakan orang sering diberi dan menerima sedekah.

Orang Malaysia tidak akan membeli hanya sebiji buah kurma untuk berbuka puasa, sebaliknya akan membeli sekotak dan akan dipilih daripada jenis yang baik, malah akan dipilih pula kurma yang diimport.

Tok fakir pun pilih kurma yang ada tangkai atau kurma segar untuk berbuka puasa. Namun, masih ramai umat Islam di negara kita yang memilih untuk menjadi penerima daripada memilih menjadi pemberi sedekah.

Ada yang sanggup sewa kereta berpemandu sehari suntuk untuk membawa satu keluarga meminta sedekah bermula pada minggu ketiga Ramadan dan jumlahnya akan bertambah bila 1 Syawal semakin dekat.

Daripada setiap tangan yang menghulur diharap paling kurang pun RM10. Kalau sekadar hulur RM5 atau RM1, apatah kalau 50 sen atau jumlahnya lebih kecil, pasti peminta sedekah akan tarik muka masam, malah siap dengan seranah lagi.

Kalau pemberi sedekah bertindak balas dengan kata-kata kesat juga, maka hilanglah pahala bersedekah. Anggap saja muka masam dan seranah penerima sedekah kita itu sebagai suatu bentuk ujian. Malah ia akan mendatangkan bonus pahala kepada kita kalau kita mampu bersabar.

Penerima sedekah yang mencerca pemberi sedekah atau tidak berpuas hati dengan jumlah sedekah yang diberikan akan menerima seksa yang pedih.

Ini dijelaskan oleh Allah dalam firmannya yang bermaksud: Orang munafik, yakni mereka yang mencela orang-orang mukmin yang memberikan sedekah dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang yang yang tidak memperoleh (sesuatu untuk disedekahkan) selain hasil jerih payah mereka. maka orang-orang munafik itu menghina mereka. Allah akan membalas penghinaan mereka dengan seksaan yang pedih. (at-Taubah: 79)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah bersabda: Hai, wanita muslimat! Janganlah kamu meremehkan pemberian tetanggamu, walaupun hanya berupa kuku kambing. (Hadis nombor 988 daripada Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV)

Di samping itu, pemberi sedekah pula dilarang menghitung-hitung sedekah yang diberi dan bakal diberi. Larangan itu terbukti melalui hadis baginda yang bermaksud: Dari Asmai binti Abu Bakar r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda: Bersedekahlah kamu dan jangan menghitung-hitung kerana Allah akan menghitung-hitung pula pemberian-Nya kepadamu, dan jangan kikir kerana Allah akan kikir pula kepadamu. (Hadis nombor 987 daripada Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV)

Selasa, 9 Julai 2013

ORANG YANG KENAL RAMADAN


Orang yang kenal kepada Ramadhan.

"Orang yang bersiap awal untuk menghadapi Ramadhan, itulah orang-orang yang kenal kepada Ramadhan. Mengapa perlu bersiap awal, kenapa tidak masuk Ramadhan baru kita mula? Mengapa yang bersiap awal? Ini kerana orang yang bersiap awal itu kenal, akan mahalnya dan tingginya Ramadhan itu. Sebab itu dia bersiap awal."

"Sepertimana orang yang nak kahwin. Oh dia kata kahwin ni bukan senang. Kahwin ni hebat. Persiapannya kadang-kadang setahun sebelum dari tarikhnya itu. Sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum itu dah buat persiapan. Sedangkan majlis perkahwinan itu berapa hari? Satu hari sahaja. Demi untuk menyempurnakan satu hari ini, bila persiapannya? Daripada setahun sebelumnya lagi. Perancangannya, persiapannya, berbagai-bagai keadaan disediakan demi untuk menyempurnakan satu hari."

"Sedangkan Ramadhan, 30 hari. Didalamnya mempunyai kelebihan yang tidak dapat kita gambarkan dengan penilaian kita. Sehingga ALLAH SWT mengatakan puasa itu adalah milik AKU kata ALLAH SWT, 'AKU-lah yang akan memberikan ganjaran'."

~ Al-Habib Najmuddin Othman Al-Khered hafizahullah ~  الَلهمَ بلَغنا رمضان
 اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِِّ الأُمِّيِّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسلِّمْ

Isnin, 8 Julai 2013

Renungan Ramadhan


Membantu Saudara Sesama Muslim Ketika Kesusahan

 عن أبي هریرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: (( من نفس عن مؤمن آربة من آرب الدنيا نفس الله عنه آربة من آرب یوم القيامة، ومن یسر على معسر یسر الله عليه في الدنيا والآخرة، ومن ستر مسلما ستره الله في الدنيا والآخرة، والله في عون العبد ما آان العبد في عون أخيه، ومن سلك طریقا یلتمس فيه علما سهل الله له طریقا إلى الجنة، وما اجتمع قوم في بيت من بيوت الله یتلون آتاب الله ویتدارسونه بينهم، إلا نزلت عليهم السكينة وغشيتهم الرحمة، وحفتهم الملائكة، وذآرهم الله فيمن عنده ومن بطأ به عملُه لم یسرع به نسبه )) رواه مسلم بهذا اللفظ 

Dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, Nabi shalallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Barang siapa melepaskan seorang mukmin dari kesusahan hidup di dunia, nescaya Allah akan melepaskan darinya kesusahan di hari kiamat, barang siapa memudahkan urusan (mukmin) yang sedang kesusahan nescaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Barang siapa menutup aib seorang muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan menolong seorang hamba, selama hamba itu sentiasa menolong saudaranya. Barang siapa menempuh perjalanan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan baginya menuju syurga. Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah untuk membaca Kitabullah (Al Quran) dan mempelajarinya bersama-sama, melainkan akan turun kepada mereka ketenteraman, rahmat Allah akan menyelimuti mereka, dan Allah memuji mereka di hadapan (para malaikat) yang berada di sisi-Nya. Barang siapa amalnya lambat, maka tidak akan disempurnakan oleh kemuliaan nasabnya.”

(Hadits yang sama penerbitannya seperti ini diriwayatkan oleh Muslim)

Menanti Ketibaan Ramadhan

























Menanti-nanti ketibaan bulan Ramadhan dengan penuh kegembiraan dan keriangan serta sentiasa mengharapkan agar dapat melaksanakan ibadah puasa dan ibadat-ibadat lain sepanjang Ramadhan kali ini dengan baik dan diterima oleh Allah SWT.

"Tirai Ramadhan akan dibuka,
Cahaya kemuliaannya semakin bersinar dihati insani
yang setia menanti janji Ilahi,
Hiasilah cahaya itu dengan taqwa dan Ibadah
Agar hidup diberkati-NYA."

Renungkan sejenak...
  1. Ada yang bersungguh-sungguh dalam beramal dan ada yang lalai dan alpa. 
  2. Berpuasa hanya sebagai adat bukannya Ibadah. Faktor Iman dan mengharapkan keredhaan daripada Allah tidak menjadi pendorong utama kepada Ibadah Puasa. 
  3. Berpuasa hanya sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi tidak menghalang daripada melakukan perbuatan mungkar seperti berdusta, mengumpat, menipu, berkata lucah dsb. 
  4. Meninggalkan makan sahur, sedangkan banyak hadis yang menyatakan tentang kelebihannya. Ada yang bangun lewat sehingga tertinggalnya solat subuh. 
  5. Ibadah solat fardhu dan sunat hanya dilakukan pada bulan Ramadhan sahaja. 
  6. Bersungguh mengerjakan solat sunat Tarawikh dan Witir serta meninggalkan solat fardhu lain. 
  7. Bersungguh-sungguh dalam pelaksanaan ibadah di bulan Ramadhan termasuk membaca Al-Quran untuk diri sendiri tetapi mengabaikan penglibatan ahli keluarga untuk sama-sama beribadah. 
Sesungguhnya...
Kian berlabuh tirai Syaaban,
Lambaian Ramadhan kian dinanti,
Luhur hati ikhlas amalan,
Semoga segala Ibadat Allah berkati.

"SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK"

Isnin, 1 Julai 2013

11 Bulan Untuk Merosakkan 1 Bulan


Kesian syaitan... Dalam setahun, 11 bulan mereka berhempas-pulas berusaha menghasut nafsu kita supaya leka dan lalai. Ini semua semata-mata sebagai persiapan untuk baki 1 bulan lagi yang dinamakan sebagai bulan Ramadhan dimana syaitan-syaitan pada masa itu akan dibelenggu. Mereka tidak akan biarkan manusia melakukan kebaikan walau satu saat, apatah lagi sebulan. Maka 11 bulan itu lah masa yang digunakan oleh syaitan untuk 'mendidik' nafsu agar lalai dan leka semasa di dalam bulan Ramadhan.

Berapa ramai agaknya daripada kita yang menghargai bulan Ramadhan? Dan berapa ramai agaknya yang benar-benar gembira akan kedatangan bulan Ramadhan dan tidak sabar-sabar untuk menemuinya? Tidak kurang daripada kita yang mula berasa susah hati apabila Ramadhan hampir tiba, tidak kurang jugak yang berkata: "Aduh.... Boring la hari-hari berlapar.. Sebulan plak tuh!!!" dan macam-macam alasan lagi...

Ya, itulah tandanya syaitan sudah berjaya 'mendidik' nafsu kita. Selama sebelas bulan, syaitan menggoda manusia agar makan banyak-banyak, minum banyak-banyak, melecehkan amalan-amalan harian yang sepatutnya dilakukan oleh umat Islam, mengumpat dan mencaci, dan sebagainya, sehingga akhirnya apabila tiba sahaja bulan Ramadhan, kita mengeluh. Mengeluh kerana dah tak boleh dah makan banyak-banyak siang malam, tak boleh dah bercampur gaul dengan kawan-kawan yang suka mengumpat, nak kena pergi sembahyang tarawikh (kalau tak pergi orang kata apa pulak kan) dan sebagainya.

Alangkah ruginya kita dan betapa berjayanya syaitan menghasut hati kita supaya menurut hawa nafsu yang diusahakan oleh syaitan selama 11 bulan untuk merosakkan 1 bulan umat Islam di bulan Ramadhan! 

Manakan tidak. Pada hari-hari biasa (yang bukan dalam bulan Ramadhan), amalan kita cumalah ala kadar sahaja. Lebih-lebih lagi apabila kita tidak berusaha langsung memperbaiki amalan-amalan kita. Pendek kata, kita tidak pernah berusaha menundukkan hawa nafsu untuk patuh pada syariat, dan hidupkan hati dengan amalan-amalan soleh. Sebab itu kita lemah, mudah dipengaruhi syaitan.

Bayangkan 11 bulan nafsu kita dihasut, yang akhirnya akan merosakkan 1 bulan Ramadhan yang mana disitulah bulan untuk mempertingkatkan amalan, bulan keampunan, bulan yang penuh dengan keberkatan yang luasnya seluas langit dan bumi... Pada bulan itulah umat Islam sepatutnya benar-benar berusaha dan berlumba-lumpa melipatgandakan amalan-amalan untuk memperoleh pahala yang berlipat-lipat kali ganda. Apatah lagi jika kita melakukan amalan-amalan soleh itu sehingga beroleh rahmat Allah dan diampuni oleh Allah SWT. Tapi bagi hatinya yang telah 'dididik' oleh syaitan, Ramadhan hanya tinggal Ramadhan, ia dibiarkan berlalu begitu sahaja; disia-siakan. Mungkin seminggu dua saja dia bersemangat untuk berpuasa, solat tarawikh 20 rakaat, tadarus Al-Quran, bersedekah dan sebagainya, tapi lepas tu LEMBIK... Kerana 11 bulan kita diberikan masa untuk memperbaiki amalan sebagai persediaan untuk menghadapi bulan Ramadhan, tapi akhirnya kita gagal.

Jadi, jangan biarkan syaitan menipu kita lagi. Jangan biarkan hati kita dididik oleh syaitan untuk merosakkan 1 bulan yang penuh dengan keberkatan iaitu bulan Ramadhan. Biarkan syaitan-syaitan berpenat lelah berhempas pulas memujuk nafsu kita, jangan kita turutkan hawa nafsu.

Kesian syaitan, kan? Hah! Peduli apa..?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...